Tuesday, August 15, 2000

Jagalah PAS Baik-baik Untuk Memimpin Malaysia di Alaf Baru


NAIB Presiden PAS, Senator Ustaz Hassan Shukri pernah menceritakan kepada penulis perihal keperitan masalah kewangan yang dihadapi PAS, terutama selepas kembali menjadi pembangkang pada tahun 1978. Sebagai seorang pemimpin kanan parti, beliau adalah juga salah seorang pemimpin yang mengalami sendiri pahit-maung zaman peralihan PAS daripada menganggotai sebuah kerajaan, kepada menjadi pembangkang semula.

“Pada masa itu, nak cari orang yang nak hulur derma jihad cukup payah. Orang PAS dah tak biasa nak bagi derma-derma ni. Hinggakan nak bayar elaun kerani Pejabat Agung pun, garu kepala kami!”, kata Ustaz Hassan sewaktu kami sembang-sembang petang di atas buaian di depan Pejabat Agung PAS di Taman Melewar, pinggir ibukota. Kebetulan di tahun-tahun awal 90-an dulu, penulis tinggal berjiran dengan beliau di lorong depan Pejabat Agung, yang dinamakan sempena nama beliau itu.
 
Bagi Ustaz Hassan, dan mungkin ramai lagi para pemimpin PAS, keadaan itu berlaku adalah akibat kesilapan PAS sendiri. Sewaktu berada dalam kerajaan, PAS telah sekelip mata berubah corak perjalanannya. Ia gagal mengekalkan identitinya sebagai parti berteraskan pengorbanan para ahli dan gagal juga memanfaatkan peluang sebagai kerabat pemerintah, untuk memperkuatkan parti.

Tradisi ‘menderma pada jalan Allah’ hampir berkubur dalam beberapa tahun PAS menjadi kerabat BN itu. Ahli-ahli PAS dibiasakan dengan program percuma. ‘Everything is fully sponsored’. Manakala beberapa program yang agak besar dilaksanakan dengan jaya, dengan mengambil manfaat daripada peruntukan dan kemudahan tertentu. Maklumlah, parti yang ada kerajaan, katakan!

Akibatnya PAS menghadapi Pilihan Raya Umum 1978 seolah-olah tanpa persediaan. Tahap sokongan kewangan dan juga moral ahli-ahli PAS waktu itu sangat rendah. PAS bukan sahaja tinggal dua ‘batu nesan’ di Kelantan lewat pilihan raya negeri yang diadakan lebih awal, malah ia juga gagal mempertahankan sebarang kerusi di Terengganu. Ia mengambil masa yang agak lama pula untuk memulihkan kembali kekuatannya sebagai sebuah parti yang competent dalam arena politik tanahair.

Sememangnya secara jujur harus diakui bahawa satu-satunya parti pembangkang yang berdaya tahan dan masih menyengat dalam menongkah arus politik negara ialah PAS. Lain-lain parti yang datang seangkatan dengannya atau kemudian daripadanya, hampir kesemuanya telah berkubur. Parti Kemerdekaan Malaya (IPM) dan Parti Negara hanya bertahan untuk satu-dua penggal pilihan raya. Parti Progresif Rakyat (PPP) yang pernah menyengat suatu ketika dahulu, hanya tinggal nama dalam senarai kerabat BN.

Parti Buruh dan Front Sosialis sudah lama tidak disebut orang. Berjasa, Hamim dan Akim pula dikatakan ada lebih ramai pemimpin daripada ahli. Manakala Semangat 46 pula memilih untuk ‘membunuh diri’ setelah Presidennya gagal mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.

DAP dan PRM boleh dianggap berdaya tahan juga. Tetapi ia masih belum berpeluang memerintah mana-mana negeri setakat ini. BN juga tidak banyak memfokuskan serangan kepada mereka berdua.

Ranjau yang dihadapi PAS sepanjang liku perjuangannya amat menguji kesabaran dan ketabahan. Walau pun dalam sejarahnya menghadapi pilihan raya, pencapaian PAS seringkali tersangkut di bawah sasaran, parti ini mampu bangkit semula setiap kali ia dikatakan tersungkur. Bahkan kejatuhan kerajaan PAS yang dianggap ‘tersembam’ di dua negeri Pantai Timur suatu ketika dahulu, juga tidak melemahkan perjuangan PAS. Ia menjunam di Terengganu daripada 13 kerusi pada 1959 kepada hanya 3 kerusi pada 1964, tetapi bangkit mendadak kepada 11 kerusi dalam pilihan raya berikutnya.

Begitu juga di Kelantan. Daripada hanya tinggal dua kerusi selepas kejatuhan pada tahun 1978, PAS bangkit semula dan mampu bertahan di 10 kerusi dalam dua pilihan raya umum selepas itu, sebelum menawan semula Kelantan pada tahun 1990.

Dalam Pilihan Raya Umum 1999 lalu, PAS disifatkan oleh banyak pihak sebagai paling bertuah. Parti ini adalah pemenang sebenar dalam pertarungan memenangi hati para pengundi, khususnya Melayu/Islam yang membentuk majoriti penduduk negara ini. Selain memperkukuhkan kemenangan di Kelantan, PAS juga berjaya membentuk kerajaan baru di Terengganu. Ia menapak gagah di Kedah dan Perlis, sambil membuka lembaran baru di Pahang, Selangor dan Perak.

Kepimpinan ulama yang dikemukakan oleh PAS nyata dapat diterima oleh masyarakat negara ini. Gandingan mantap tiga tokoh utama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Datuk Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang kebetulan pula mewakili tiga negeri kubu kuat PAS (masing-masing Kelantan, Kedah dan Terengganu), dilihat sangat berwibawa, bukan sahaja untuk memimpin negeri-negeri berkenaan malah Malaysia secara amnya.

Sejak beberapa ketika sebelum berlangsungnya pilihan raya, poster dan pelekat yang menggabungkan gambar ketiga-tiga pemimpin berkenaan adalah antara bahan bercetak yang sangat menambat hati masyarakat. ‘Pemimpin Alaf Baru: Kepimpinan Ulama’, baca sebuah poster. ‘Taati Kepimpinan Syarat Kemenangan’, baca yang lain pula. ‘Confirm Pangkah PAS’, bunyi yang satu lagi pula.

Kemaraan mendadak PAS bersama gandingan Barisan Alternatif (BA) itu sebagai suatu isyarat jelas bahawa Umno/BN dianggap sudah tidak relevan lagi. Rakyat sudah memihak kepada BA, sebagai alternatif kepada BN. Umno sudah dianggap sebagai ‘kalah dalam menang’. Walau pun BN masih mempu menang bergaya melebihi dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, tetapi pada masa yang sama Umno sebagai tulang belakang BN telah kehilangan berbelas-belas kerusi di Parlimen, dan berpuluh-puluh lagi di DUN-DUN seluruh negara.

Beberapa tokoh ulamanya tumbang serentak. Beberapa Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen turut kecundang. Seorang Naib Presidennya menang tipis dengan hanya 241 undi, manakala Presidennya sendiri merosot populariti lebih 10,000 undi. Di beberapa tempat, majoriti undi Umno menjunam daripada puluhan ribu kepada beberapa ribu sahaja. Tulang belakang BN itu sudah semakin reput, dan ia tentunya suatu petanda awal kehancuran BN.

Maka rakyat semestinya akan beralih sepenuhnya kepada BA. Manakala parti yang paling menonjol untuk memimpin BA ialah PAS. Parti Keadilan Nasional mampu melangkah ke hadapan, tetapi ia mestilah berwaspada dan berketabahan. Jangan mudah goyah atau kecewa dengan kegagalan dan pujuk rayu rakan-rakan di dalam BN. Ketabahan amat diperlukan dalam mengharungi dugaan dan keperitan hidup. Belajarlah banyak-banyak daripada orang-orang PAS tentang selok-belok ini.

DAP pula perlu mengubah persepsi negatifnya terhadap Islam dan hukum Islam. Sikapnya yang menentang keras hasrat PAS mendaulatkan hukum Islam menyebabkan ia dilihat sebagai parti yang bersikap ‘double standard’. Di suatu masa para pemimpinnya menyerang secara terbuka kenyataan-kenyataan para pemimpin PAS mengenai hukum dan syariat Islam. Di masa yang lain pula ia bersetuju dengan manifesto bersama gabungan BA, yang antara lain memuatkan kelonggaran kepada PAS untuk melaksanakan cita-cita politiknya, iaitu Negara Islam.

Barangkali DAP merasa perlu membantah hasrat PAS itu dengan tujuan untuk menambat hati masyarakat Cina yang menjadi pengundi tradisinya. Tetapi pilihan raya lalu jelas membuktikan pengundi Cina solid di belakang BN. Ertinya sikap keras yang ditunjukkan DAP terhadap hasrat PAS menubuhkan Negara Islam itu tidak mendatangkan sebarang keuntungan politik kepadanya. Ia tidak berupaya memaut simpati pengundi Cina. Sebaliknya ia menyulitkan jalinan kemesraan dengan para pendukung BA yang lain, khususnya ahli-ahli PAS.

Bagi kita, ada baiknya DAP cuba memahami dengan sebaik mungkin apa yang dimaksudkan oleh PAS dengan hasratnya itu. Kemudian buatlah pertimbangan yang adil. Tidak ada salahnya kalau DAP tampil ke dalam masyarakat secara ‘gentleman’, menyeru dan cuba meyakinkan rakyat akan keadilan Islam dan kebaikan bernaung di bawah pemerintahan Islam.

Dalam apa pun keadaan, BN sudah tidak relevan. Hanya BA, setakat ini, yang mampu menjadi alternatif. Sedangkan yang paling layak diakui secara jujur untuk memimpin BA ialah PAS. Justeru, mahu tidak mahu, PAS mestilah memikul tanggungjawab sebagai parti yang bakal memimpin Malaysia di alaf baru.

Untuk itu, kemenangan bergaya di dua negeri Pantai Timur seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk lebih memperkuatkan parti. Jangan dibiarkan pengalaman pahit 1978, sebagaimana yang disuarakan oleh Ustaz Hassan itu, berulang kembali. Dalam apa keadaan sekalipun, slogan ‘parti memerintah kerajaan’ hendaklah sentiasa diterima pakai. Untuk memastikan ia berfungsi dengan lancar, maka mereka yang dipilih dan dilantik menganggotai jentera kerajaan hendaklah dari kalangan ahli PAS yang komited dengan parti.

Tidak ada salahnya bagi orang-orang PAS untuk belajar daripada Umno, bahawa punca utama kedurjanaan dan kejatuhan yang menimpa Umno ialah perilaku buruk para ahli dan pemimpinnya, yang membudayai Umno. Umno dipenuhi orang-orang yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Mereka menyertai politik dan bergiat aktif dengan matlamat dan niat peribadi masing-masing. Soal kepentingan parti telah menjadi agenda sampingan.

Demi mencapai matlamat peribadi itu mereka tidak segan-silu berebut jawatan. Mereka menaja cawangan-cawangan yang dibentuk oleh para kroni masing-masing, untuk tujuan politik peribadi. Mereka menonjol-nonjolkan kelebihan dan keupayaan diri sendiri, seolah-olah mereka itu layak untuk memegang apa-apa jua jawatan.

Pada masa yang sama, dengan cara yang tidak bermoral mereka sanggup merendah dan menjatuhkan sesiapa jua yang dirasakan mampu memberi saingan politik kepada mereka. Itulah sebabnya budaya memfitnah sesama sendiri juga menular dalam Umno.

Orang-orang Umno juga telah terbudaya untuk berbangga-bangga dengan jasa dan sumbangan masing-masing. Di sebalik setiap kejayaan, akan ada suatu perlumbaan untuk saling mendakwa bahawa, “Kamilah yang memenangkan parti! Kamilah yang bekerja kuat! Kamilah yang menghabiskan begian-begian banyak duit untuk parti!”

Mengapa dakwaan-dakwaan itu muncul tiba-tiba? Kerana mereka minta dibalas segala jasa dan budi tadi. Mereka mahukan habuan, seolah-olah untuk cover balik segala yang kononnya dihabiskan tadi. “Kami dah kerja kuat-kuat, takkan tak dapat apa-apa?”. Itulah ungkapan yang lumrah dalam ‘politik isi perut’ Umno.

Demi Allah, penulis sendiri mampu melihat bahawa ‘benih-benih’ budaya Umno itu sedang bertunas dengan galak sekali selepas kemenangan PAS di Terengganu. Inilah yang sangat membimbangkan kita. Kalau ia tidak direpih (dipatahkan) segera, tunas itu akan menyubur menjadi ranting dan dahan pula.

Bukan hendak mengata, sebab utama perkara sebegitu boleh berlaku ialah kerana kebanjiran terlalu ramai bekas ahli Umno menyertai PAS menjelang Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Maaf cakaplah, mereka itu sebenarnya masih tidak sempat ditarbiyah dengan cara dan budaya hidup orang PAS. Bahkan sebahagian mereka walau pun sudah menjadi ahli PAS, masih kekal dengan budaya hidup Umno.

Tambahan pula apabila kemenangan memihak kepada PAS, saki-baki mereka yang sebenarnya masing ‘betul seling’ Umno, turut mengambil kesempatan menyelinap bersama rakan-rakan mereka itu, untuk sama-sama mendakwa mereka adalah ahli dan penyokong PAS juga. Mereka itulah nampaknya yang sedang galak cuba membudayakan PAS dengan budaya karut Umno. Merekalah yang paling ke hadapan mendakwa, “PAS menang kerana kami”.

Sebab itu barangkali kini masih bersipongang dalam masyarakat di segenap peringkat suatu ungkapan: “Umno perintah, Umno kenyang. PAS perintah pun, Umno juga kenyang!”. Ungkapan itu sedikit-sebanyak ada benarnya, walau pun ia mungkin mempunyai unsur-unsur sindiran terhadap keupayaan dan nasib malang orang-orang PAS yang sering gagal memanfaatkan peluang.

Khabarnya beberapa pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan negeri banyak melibatkan orang-orang kuat Umno. Satu sumber yang rapat dengan jabatan-jabatan kerajaan mendakwa peluang rombakan perjawatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh para ketua atau mereka yang bertanggungjawab di jabatan-jabatan, untuk memperkemaskan semula kedudukan ‘geng-geng Umno’ dalam jabatan masing-masing. Manakala di peringkat daerah pula, sebilangan besar projek utama di daerah-daerah masih dimonopoli oleh kontraktor-kontraktor dari kalangan orang-orang Umno juga.

Para Penghulu Mukim (Penggawa), Imam dan Bilal pula sebahagian mereka masih kekal dengan Umno mereka dan mereka masih bertugas seperti biasa, walau pun tidak berupaya menuruti dasar pemerintahan kerajaan baru. Mereka inilah khabarnya yang membentuk ruang-ruang yang mampu mencemarkan kredibiliti kerajaan dengan cara masing-masing.

PAS sudah memerintah Terengganu kini. Di peringkat nasional pula ia sangat diharapkan untuk menjadi pemimpin bagi sebuah kerajaan alternatif kepada kerajaan BN yang bakal tumbang entah bila. Maka ahli-ahli dan pemimpin PAS mestilah melayakkan diri mereka sebagai pemimpin alternatif kepada Umno/BN yang penuh kedurjanaan itu.

Jawabannya tentu sekali bukan dengan cara membiarkan PAS dan kerajaan pimpinan PAS terus diresapi budaya Umno yang sangat jijik dan meloyakan itu. Jagalah PAS baik-baik!

(Artikel ini adalah Bab 4, Bahagia A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

Petanda Awal Kejatuhan BN


MENURUT firasat orang tua-tua, setiap orang yang akan berpulang ke rahmatullah selalunya akan berkelakuan ganjil untuk beberapa ketika sebelum tiba ajalnya. Ada yang mengatakan tempoh itu tujuh hari, ada pula riwayat yang lebih kuat menyebut 40 hari. Malah ada juga yang dikatakan menampakkan tanda-tanda awal kematian sehingga 60 hari sebelum tiba waktunya.

Berapa pun tempoh sebenarnya, itu tidak penting. Apa yang kita tahu, secara natural perkara sebegitu memang ada berlaku. Ada orang yang seumur hidupnya tidak pernah turun ke laut, misalnya, tiba-tiba sahaja amat ghairah untuk ‘menjadi nelayan’. Tahu-tahu keghairahannya itu membawa padah. Dia mati di dalam laut, sebelum sempat pulang dari trip pertamanya ke medan rezeki nelayan itu.

Begitu juga kita pernah dengar cerita bagaimana orang yang terlalu takut nak masuk hutan. Tiba-tiba pula tergerak hati nak ikut kawan-kawan pergi berburu. Tahu-tahu dia menemui nahas di dalam hutan itu. Seperti dia sudah tahu ajalnya sedang menunggunya di situ.

Ada juga orang yang ‘meracau’ entah apa-apa, minta nak makan itu dan ini yang tidak pernah diminta sebelumnya. Ada pula yang menunjukkan perangai ‘ganjil’ dan lain dari kebiasaan. Yang selalunya baik, pongah tak tentu hala. Yang terkenal pongahnya, tiba-tiba menjadi lemah-lembut dan penyayang pula.

Ada suami yang tak semena-mena berpesan kepada isteri supaya jaga diri dan jaga anak-anak baik-baik. Selalunya isteri tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah mendapat berita mengejutkan, si suami menemui ajal begian dan begian. Ada juga ayah yang berpesan kepada anaknya supaya jaga emak dan adik-adik baik-baik, sekali pun ayah ‘tidak ada’. Selang tidak lama, ayah memang betul-betul ‘tidak ada’.

Dalam dunia binatang pun, tanda-tanda awal kematian bukanlah suatu yang asing. Kata orang tua-tua, apabila seekor gajah pulang ke tempat lahirnya, itu petanda si gajah itu telah menghampiri saat kematiannya. Ikan paus pula ada cara ‘buang tabiat’nya tersendiri. Ia akan melemaskan dirinya di air cetek, atau terus mendamparkan dirinya di tepi pantai. Sehinggakan kumpulan ‘cinta alam’ yang kurang ada kerja itu pun kelam-kabut apabila sekali-sekala dapat kerja. Atas nama menyelamatkan nyawa paus, mereka akan ikhtiar menundanya kembali ke lautan luas.

Dunia politik juga tidak lari dari fenomena semulajadi itu. Kejatuhan sesebuah parti atau pemerintah yang sedang berkuasa selalunya didahului beberapa petanda awal. Apa yang membezakannya dengan kematian manusia dan haiwan, dalam politik ia akan berlaku tidak sangat secara semulajadi. Ia lebih didorong oleh perlakuan dan tindakan manusia di sesuatu tempat.

Kejatuhan kerajaan Shah Reza Pahlavi di Iran didahului dengan siri kezaliman. Rakyatnya hidup terkongkong dan penuh curiga-mencurigai. Antara mereka sukar dibezakan yang mana rakyat biasa dan yang mana polis perisik khas Savak. Shah meletakkan diri dan keluarganya pada kehidupan yang terlalu mewah, sedangkan rata-rata rakyat Iran dihimpit kemiskinan dan kesengsaraan hidup.

Akhirnya kebencian rakyat terhadap pemerintah sampai ke kemuncaknya. Rakyat menjadi berani untuk membantah secara terbuka. Mereka turun ke jalan-jalan raya dan sanggup bertempur dengan pasukan keselamatan, sehingga bumi Iran dibasahi darah mereka. Shah terpaksa ‘angkat punggung’ apabila fenomena itu berterusan buat beberapa ketika.

Apa yang berlaku ke atas regim Haji Moehamed Suharto di Indonesia dua tahun lalu banyak persamaannya dengan apa yang berlaku di Iran dahulu. Kezaliman terhadap rakyat, terutamanya pihak pembangkang, kehidupan keluarga para pemimpin yang terlalu bermewah-mewah, dan kemelesetan ekonomi yang gagal diatasi para pemimpin negara itu, menyebabkan rakyat hilang hormat terhadap mereka. Akhirnya rakyat memberontak dan menyingkirkan mereka.

Kejatuhan regim Ferdinand Marcos di Filipina, selain disebabkan kezaliman dalam pemerintahan dan kemewahan hidup keluarganya, ialah juga ekoran tindakan kemuncaknya menembak mati musuh politiknya yang juga ketua pembangkang, Benigno ‘Ninoy’ Aquino. Peristiwa itu menjadi titik tolak kepada angin perubahan ketara di kalangan rakyat negara itu. Marcos akhirnya terpaksa melarikan diri ke luar negara dan meninggal dunia dalam pelarian.

Di negara-negara Barat pula, beberapa pemimpin menyaksikan kejatuhan masing-masing akibat bermacam-macam skandal atau krisis. Jika Richard Nixon terkenal sebagai Presiden Amerika Syarikat yang jatuh kerana skandal Watergate, George Bush pula gagal mempertahankan kekuasaan Parti Republikan disebabkan antara lain oleh skandal Iran-Contra.

Rakan mereka di Jerman, Canselor Helmut Kohl pula jatuh antara lain disebabkan skandal kewangan. Beliau dan partinya Christian Democratic Union (CDU) dikecam hebat oleh masyarakat negaranya dan dibabitkan dengan amalan rasuah, apabila menerima sumbangan kempen pilihan raya daripada ‘penderma rahsia’ (secret donor).  

Parti Liberal Demokratik di Jepun dan Parti Kongress di India masing-masing gagal mempertahankan kepercayaan rakyat negara mereka ekoran krisis dalaman parti yang berlarutan. Manakala Parti Konservatif di Britain pula jatuh ekoran krisis ekonomi negaranya yang gagal diperbaiki oleh pemerintahan John Major.

Secara keseluruhan, berdasarkan contoh-contoh yang disebut di atas, kejatuhan seseorang pemimpin atau sesebuah parti pemerintah dari tampuk kekuasaan masing-masing didahului petanda-petanda awal yang seakan-akan sama. Perangai buruk dalam pemerintahan, seperti berlaku zalim terhadap lawan politik dan juga rakyat, para pemimpin utama negara membina kehidupan yang terlalu mewah berbanding kehidupan rakyat jelata, krisis ekonomi negara yang meletakkan rakyat dalam keadaan terhimpit, amalan rasuah dan skandal kewangan di kalangan pembesar, atau krisis dalaman parti masing-masing, menjadi penyakit-penyakit yang telah terbukti meruntuhkan kekuasaan sesebuah pemerintahan.

Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Barisan Nasional (BN), yang telah diberi mandat memerintah negara ini sejak sekian lama itu, memiliki kesemua petanda awal yang dinyatakan tadi. Rekod kezaliman atau ketidakadilan pemerintahan BN amat menggerunkan. Ia berlaku zalim bukan sahaja kepada musuh-musuh politik di kalangan pembangkang, malah kerap juga ‘melepaskan gian’ sikap ganas itu kepada sesama kalangan mereka.

Malah, kezaliman BN tidak terbatas sekadar di dunia politik. Ia turut terbawa-bawa ke dalam aspek sosial, perundangan dan ekonomi. Rakyat terbanyak menjadi komponen utama dalam negara yang menerima kesan paling besar di atas segala perlakuan buruk itu.

Bagi Parti Islam SeMalaysia (PAS), kezaliman sesebuah pemerintahan yang paling besar ialah apabila ia tidak meletakkan Islam pada tempat yang sepatutnya. Di Malaysia, Islam jelas menjadi agama yang diperintah, dan bukannya agama yang memerintah negara. Perlembagaan negara dengan jelas mensyaratkan mana-mana hukum atau undang-undang yang diadakan selepas merdeka, yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, adalah tidak sah dan terbatal. Ia tidak mengira langsung sama ada kewajiban menegakkan hukum dan peraturan itu dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran atau tidak.

Sebab itu, Perlembagaan Persekutuan dikira menjadi halangan utama kepada pelaksanaan hukum dan undang-undang Islam di mana-mana negeri di negara ini. PAS telah lama memperincikan bentuk kezaliman ini. Selama setahun dalam era 80-an, PAS mengutarakan tema tahunannya dengan tajuk ‘Bertindak Menentang Kezaliman’. Berbagai-bagai bentuk kezaliman diperjelaskan kepada rakyat. Penekanan utamanya sudah tentulah kezaliman tidak melaksanakan hukum dan peraturan Allah. Maka PAS secara terus terang menyeru rakyat supaya menolak pemerintahan BN.

Penerangan berterusan selama belasan tahun itu rupa-rupanya mula membuahkan hasil. Hakikat itu terbukti apabila berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-10. BN dengan jelas telah ditolak oleh rakyat, khususnya para pengundi Melayu beragama Islam. Seluruh negara menyaksikan kemerosotan undi yang diperolehi calon-calon BN dengan amat ketara, terutama di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu.

Walau pun BN masih mampu meraih kemenangan dan mengekalkan majoriti dua-pertiga di Dewan Rakyat, itu tidak bermakna kekuatannya masih seutuh sebelum ini. Di banyak kawasan yang sebelum ini menyaksikan kemenangan cemerlang calon-calon BN dengan majoriti puluhan ribu, kali ini majoriti yang dipungut mereka menjunam kepada hanya beberapa ratus undi. Mereka menang dengan ‘nyawa-nyawa ikan’ sahaja.

Mungkin luka paling parah bagi BN dalam sejarahnya menghadapi pilihan raya ialah apabila ia terpaksa menyaksikan kekalahan beberapa anggota kabinet pusat dan anggota Exco di beberapa kerajaan negeri. Bayangkan orang sekuat Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub pun boleh kalah. Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu tewas di Parlimen Parit, Perak.

Rakan sejawatnya di Kedah, Datuk Paduka Dr. Abdul Hamid Othman juga turut ditolak oleh rakyat di Parlimen Sik. Manakala Datuk Dr. Ibrahim Saad, seorang timbalan menteri, turut kecundang di Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Rakyat Kelantan pula membuktikan mereka masih tidak bersedia menerima BN. Mereka menumbangkan tiga anggota kabinet, termasuk dua orang menteri penuh yang bertanggungjawab terhadap tiga kementerian. Datuk Mustapa Mohamad yang memegang dua jawatan menteri sekaligus, iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Menteri Kewangan Kedua, tewas di Parlimen Jeli.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Annuar Musa, kecundang di Peringat. Manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paduka Ibrahim Ali, tersembam di Pasir Mas.

Rakyat Terengganu pula menyahut seruan PAS agar ‘Bangkit Menolak BN’. Tiga anggota kabinet tersungkur di tangan calon-calon PAS. Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansur tewas di Parlimen Setiu. Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Idris Jusoh pula kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Raja. Manakala seorang lagi Timbalan Menteri, Datuk Abu Bakar Daud, gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Melihatkan kejadian itu seorang pengamat politik Terengganu berkata, nasib baik juga di kalangan para pemimpin BN Terengganu tidak ada seorang pun yang dilantik menjadi menteri penuh, dan ada hanya tiga timbalan menteri sahaja. Kerana, katanya, “sekiranya menteri penuh sekali pun yang bertanding atas tiket ‘dacing’ (simbol BN), dia akan tersugung (tersembam) juga”.

Bunyinya mungkin agak takbur sedikit. Namun mood yang dipaparkan oleh para pengundi di Terengganu lewat pilihan raya lalu memaksa kita untuk tidak semudah itu menolak kebenaran di sebalik kata-kata hamba Allah tadi. Kalau tidak, masakan pemimpin sekuat Tan Sri Datuk Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad pun boleh ditewaskan di kawasan kubu kuat BN.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu bertanding mempertahankan kerusi DUN Cukai, dalam Parlimen Kemaman, yang terkenal sebagai kawasan paling kebal bagi BN di Terengganu. Beliau pula adalah pemegang rekod Menteri Besar paling lama menerajui sebuah negeri, iaitu melebihi 25 tahun.

Namun, rekod pentadbiran yang didakwa sangat ‘cemerlang’ oleh BN itu terbukti gagal memberikan sebarang advantage kepada parti itu. Segala saham pembangunan yang dipacu oleh BN selama 38 tahun pemerintahannya (sejak 1961), seolah-olah dilupakan buat seketika oleh rakyat Terengganu. Mereka bukan mahu mengatakan pembangunan material itu tidak penting. Tetapi mereka semakin faham bahawa pembangunan fizikal itu semestinya seiring dengan pembangunan mental dan spiritual.

Apa gunanya negeri maju kalau seinci demi seinci tanah warisan pusaka terlepas ke tangan ‘orang lain’, seperti yang berlaku di Pulau Redang, misalnya? Apa yang boleh dibanggakan dengan bangunan besar dan tinggi, kalau ia bukan dimiliki oleh umat Islam?

Lebih penting lagi, rakyat yang semakin faham itu turut mempersoalkan, siapakah sebenarnya yang memperoleh manfaat langsung daripada segala pacuan pambangunan itu? Alhamdulillah, melalui pendedahan demi pendedahan yang dilakukan parti-parti alternatif, sekali pun dengan keterbatasan wasilah penerangan (hanya dengan ceramah dan akhbar Harakah), semakin ramai rakyat yang menjadi ‘celik politik’. Mereka sedar bahawa jawaban kepada persoalan mereka itu bersemadi di sebalik isu kronisme dan nepotisme dalam pemerintahan BN.

Terima kasih kepada BN yang memperkenalkan teknologi maklumat, termasuk kemudahan internet, beserta kempen kerajaan agar rakyat ‘celik maklumat’. Ternyata teknologi berkenaan bermanfaat mencelikkan rakyat terhadap pergolakan politik negara. Rakyat yang ‘celik maklumat’ akhirnya menjadi ‘celik politik’ dan tidak mahu terus-terusan bersama dengan parti yang terbukti banyak membawa haru-biru dalam negara.

Gelombang ‘celik politik’ itu telah melanda seluruh negara. Rakyat begitu cepat menelah sepak terajang politik para pemimpin BN.

(Artikel ini adalah Bab 5, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, di dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

Rakyat Sepakat Tolak BN


BAYANGKAN, dalam kesibukan kakitangan Wisma Darul Iman turun-naik lif pejabat mereka, boleh ada antara mereka yang berani bersuara: “Jaga-jagalah Umno! Tak lama lagi tumbanglah kamu!”.

Bayangkan lagi, daripada seramai hampir sepuluh orang yang berada dalam lif itu, hanya seorang dua sahaja yang diam membisu atau menunjukkan raut muka yang kurang senang. Manakala yang lain ada yang menyampuk tanda setuju dan ada yang ketawa. Paling kurang mereka tersengih, tersenyum atau cuba menyembunyikan senyum.

Percaya atau tidak, itu bukanlah suatu figment semata-mata. Ia benar-benar berlaku, sekali pun agak sukar dipercayai. Mana tidaknya! Semua orang tahu Wisma Darul Iman adalah bangunan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar Terengganu. Di situlah juga letaknya pejabat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Segala Setiausaha yang ada di sekeliling Menteri Besar (MB), juga berpejabat di situ. Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu pun di situlah juga pejabatnya. Bahkan, jabatan-jabatan dan para pengarah di bawah pentadbiran SUK, sebahagian besarnya berpejabat di situlah juga.

Pendekata Wisma Darul Iman adalah nadi penggerak bagi Kerajaan Negeri Terengganu. Maka, sepatutnya ia menjadi satu tempat paling kebal bagi BN/Umno. Orang-orang di situ, sama ada kakitangan pejabat atau orang luar yang menjadi pelawat ke situ, sepatutnya sangat berdisiplin dalam percakapan mereka, terutama berkaitan politik. Cakap-cakap mahu melihat Umno tumbang tidak patut langsung dituturkan di situ, sama ada dengan maksudnya atau sekadar bergurau.

Kalau pun mereka itu sememangnya ahli kepada mana-mana parti Alternatif sekali pun, apa salahnya pendamkan saja sikap itu di dalam hati. Kata orang ‘biar pecah di perut jangan, pecah di mulut’. Sekurang-kurangnya mereka patut hormat kepada bos-bos yang masih berpejabat di situ.

Tapi sokongan mereka nampaknya sudah tidak dapat dipendam lagi. Dan apa yang berlaku itu menzahirkan sikap sebenar mereka dalam politik. Mereka benar-benar mahu melihat Umno/BN tumbang di Terengganu. Mereka tidak mahu selindung-selindung lagi.

Hal ini sudah disedari umum sejak beberapa tahun lalu. PAS memerhatikan perkembangan positif itu dari kejauhan dengan penuh kecaknaan. BN juga sedar mereka semakin dibenci oleh rakyat, bahkan oleh para kakitangan di pejabat-pejabat ‘nadi kerajaan’ mereka sendiri. Sebab itu BN sejak lebih setahun lalu telah mengadakan kursus demi kursus kepada kakitangan jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Boleh dikatakan sebahagian besar pegawai dan kakitangan awam, termasuk para pegawai pendidikan (istilah profesional untuk ‘guru’), dilibatkan dalam kursus-kursus ‘brainwashed’ berkenaan, yang diadakan secara bersiri.

Perkara utama yang sering diulang sebut lewat setiap kursus ialah soal kesetiaan. Ditekankan bahawa para pegawai dan kakitangan kerajaan mestilah setia dan patuh kepada kerajaan. Boleh dikatakan tiada tokoh BN Pusat yang datang melawat Terengganu yang tidak mengulang sebut ingatan tersebut. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kunjungannya ke Besut, juga menyentuh soal pentingnya mengekalkan ketaatan para penjawat awam kepada kerajaan yang memerintah.

Malah Perdana Menteri sendiri, dalam salah satu sesi perjumpaan dengan penjawat awam sewaktu lawatan singkat beliau ke Kuala Terengganu, secara terus terang memberi amaran kepada mereka agar jangan mengkhianati jasa yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka. Beliau mendakwa dimaklumkan ada pegawai kerajaan yang menentang kerajaan. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengugut guru-guru dengan mengatakan sesiapa antara mereka yang didapati menentang kerajaan akan dihantar ke “pulau”.

Malangnya ugutan, ingatan atau pun amaran itu semacam tidak berupaya lagi meninggalkan sebarang bekas di hati para penjawat awam di Terengganu. Semakin dikursus dan ‘dibasuh’, mereka menjadi semakin benci dan meluat kepada kerajaan yang ada. Bahkan, sebilangan mereka menjadi bertambah daring menyuarakan bantahan atau pandangan, sekali pun dalam kursus ‘brainwashing’ itu sendiri. Apatah lagi selepas selesai kursus, kesannya ternyata semakin backfired BN/Umno.

Peristiwa dalam lif di Wisma Darul Iman seperti yang disebut tadi adalah salah satu buktinya. Ia berlaku beberapa hari selepas berlangsungnya satu kursus brainwashed, di wisma berkenaan. Kursus yang dinamakan Program Khas Kefahaman Ketatanegaraan (2K) itu diadakan sepetang di Dewan Syarahan di wisma itu. Ia menghimpunkan para pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan dari daerah-daerah di seluruh Terengganu. Turut dipaksa hadir juga sebilangan pegawai pendidikan yang dianggap ‘degil’.

Mereka yang dijemput itu sebenarnya adalah para penjawat awam yang telah dikenalpasti sebagai ‘orang pembangkang’. Para pegawai Unit Perpaduan Ummah (UPU) di daerah-daerah dan kampung-kampung bertanggungjawab mengenalpasti kecenderungan politik mereka itu.

Sebelum itu mereka juga telah diarahkan menghadiri Kursus Bina Negara Penggerak Masyarakat yang diadakan secara gabungan di peringkat daerah masing-masing. Untuk zon utara Terengganu misalnya, kursus berkenaan diadakan pada 15-17 Ogos 1999, bertempat di Kem Bina Negara, Bukit Keluang, Besut. Ia menggabungkan penjawat awam ‘terpilih’ dari tiga daerah, iaitu Besut, Setiu dan Kuala Terengganu.

Program yang dikendalikan sepenuhnya oleh Biro Tata Negara (BTN) itu dikatakan turut sama melibatkan tokoh politik setempat. Pun begitu ia masih tidak mampu membendung gelombang penentangan dari para peserta. Diceritakan, para fasilitator dari kalangan pegawai terlatih BTN itu turut menghadapi ‘saat-saat paling sukar’ dalam sejarah kerjaya mereka, terutama dalam menghadapi soalan demi soalan secara bertubi-tubi daripada peserta. Kewibawaan mereka sebagai pegawai terlatih, serta kesahihan fakta yang mereka kemukakan terutama berkaitan pergolakan politik negara, nyata di tahap yang amat dipersoalkan.

Difahamkan, mereka yang gagal menghadiri kursus tersebut dijemput pula menghadiri Program Khas 2K di Wisma Darul Iman tadi. Insiden soal-jawab yang hampir sama panasnya dengan apa yang berlaku di peringkat daerah, turut berlaku dalam kursus siri kedua itu. Padahal fasilitator yang terlibat bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah Pengarang Khas di Pejabat MB Terengganu sendiri. Beliau juga menjadi Pengarah Studio 305, yang terkenal dengan penerbitan video klip mengenai bermacam-macam ‘kesesatan dan salah laku’ PAS.

Amat bertepatan dengan tugas sebagai fasilitator itu, kerana beliau seorang yang dikenali fasih berbahasa, petah berpidato dan mahir berhujah. Membaca ayat-ayat al-Quran dan memetik hadith Rasulullah saw bagi dipadankan dengan kepentingan kerajaan BN adalah ibarat ‘nasi makan air minum’nya, walau pun beliau hanya bergelar ‘cikgu’. Malangnya petang 29 Ogos itu, khabarnya ‘cikgu’ berkenaan telah diperbudakkan oleh ‘anak-anak murid’nya.

Gelombang penentangan secara terbuka terhadap pemerintahan BN di Terengganu nampaknya sudah tidak berupaya diempang oleh sesiapa lagi. Di mana-mana pun rakyat bercakap soal menukar kerajaan. Di sebuah jabatan kerajaan negeri di salah sebuah daerah, seorang ketua jabatan sambil berbual-bual dengan beberapa pegawai kanannya di waktu rehat bertanyakan soalan: “Siapa agaknya yang akan ganti Wan Mokhtar?”

Para pegawainya yang sudah kalih dengan tabiat bos mereka yang suka bersembang soal politik, lantas mencelah dengan berbagai reaksi. Ada yang menjawab “Sukar ditelah, kerana semuanya di tangan Mahathir. Dia boleh pilih siapa yang dia suka.”

Ada pula yang mencadangkan nama beberapa pemimpin BN Terengganu. Mereka kata mungkin Tengku Mahmud (Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansur, bekas Timbalan Menteri Pertanian, dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu), kerana beliau diura-urakan akan kembai bertanding di kerusi DUN.

Ada pula yang menyebut nama Datuk Idris Jusoh, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, kerana beliau seorang tokoh muda yang mempunyai rekod berkhidmat yang sangat cemerlang. Pemimpin Umno Besut itu memang seorang yang bersih, tiada rekod rasuah, salahguna kuasa atau diskriminasi politik. Beliau terkenal seorang pemimpin yang tidak ‘memilih bulu’ dan sangat disenangi oleh masyarakat, termasuk oleh para penyokong PAS.

Tidak kurang juga yang menyebut nama Datuk Dr. Abdul Latif Awang, Ahli Exco Kerajaan Negeri. Selain berpendidikan tinggi, beliau juga dikatakan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Lebih utama lagi, beliau didakwa menjadi kroni Wan Mokhtar. Sudah tentulah jika Dr. Mahathir bertanyakan Wan Mokhtar terlebih dahulu tentang siapa penggantinya, peluang untuk Wan Mokhtar menyebut nama Dr. Latif lebih cerah dari nama-nama yang lain.   

Pendekata, masing-masing dengan pandangan dan hujah tersendiri, berdasarkan pemerhatian dan bacaaan politik masing-masing. Setelah semua selesai memberikan pandangan dan hujah, si ketua jabatan tadi pun bersuara semula. Dengan nada tegas beliau menjawab: “Tak betul belaka tu! Saya kata MB baru Terengganu Haji Hadi. Nanti tengok (kalau) tak caya”.

Jawaban itu membuatkan dua-tiga orang pegawai yang menjadi penyokong kuat BN tersentak dan mengeluh panjang. Di masa yang sama, sebahagian besar yang lain pula tanpa selindung lagi terus bersorak, sambil berkata: “Hak tu hak kita nak dengarnya!” Ketua jabatan tadi berlalu ke biliknya dengan senyum meleret di bibir.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi, betapa gelombang perubahan itu turut melanda sekolah-sekolah. Kalau tidak, masakan Datuk Najib sampai memberi ingatan serta amaran berulang kali kepada para guru agar jangan terlibat dengan politik. Bahkan Datuk Najib sampai ke peringkat mengugut untuk mengambil tindakan menukarkan para guru yang berpolitik ke tempat-tempat paling terpencil dalam dunia Malaysia, terutamanya ‘pulau-pulau’, kecuali Pulau Langkawi.

Dua aspek utama yang sering ditekankan oleh Kementerian Pendidikan ialah agar guru-guru jangan menghasut pelajar dan jangan membawa sebarang bahan bacaan yang berunsur politik ke kawasan sekolah. Kononnya guru-guru dikatakan sering membincangkan persoalan politik semasa di dalam kelas. Akibatnya para pelajar ditanamkan perasaan membenci kerajaan. Guru-guru juga dikatakan sering membawa akhbar dan majalah parti pembangkang ke sekolah. Ia dibaca oleh rakan-rakan guru dan kadangkala turut dibaca oleh murid-murid.

Dua perkara itu disebut secara jelas dalam pekeliling Kementerian Pendidikan yang dihantar ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Pertama, guru dilarang bercakap soal politik, dan kedua, akhbar Harakah dan majalah politik seperti Detik dan Tamadun dilarang dibawa masuk ke kawasan sekolah.

Apa yang pemimpin BN gagal fahami ialah gelombang perubahan itu sebenarnya telah melanda segenap penjuru masyarakat, termasuk para pelajar. Dan bila kita sebut para pelajar turut menerima percikan gelombang itu, kita tidak mengatakan ia angkara guru-guru mereka. Ada berlaku beberapa kes di mana guru cuba mengelak daripada berbicara soal politik di dalam kelas, sebaliknya para pelajar pula memulakan topik politik, sehingga mengheret sama guru untuk membicarakannya.

Katakanlah anda seorang guru. Disebabkan profesion anda mencelik-hurufkan manusia, maka anda secara logiknya adalah manusia paling layak untuk ‘celik-politik’. Dalam keadaan anda seorang yang celik politik, tetapi juga ‘celik peraturan’, maka anda cuba untuk tidak membicarakan soal yang dilarang sewaktu mengajar di dalam kelas.

Bayangkan, dengan gelombang perubahan yang membadai masyarakat tetapi cuba diempang oleh peraturan itu, bila anda melangkah masuk ke kelas, tiba-tiba pelajar anda bertanya: “Cikgu, pergi tak dengar ceramah malam tadi?” Tentulah tercabar naluri semulajadi anda yang ‘celik politik’ itu. Paling kurang jawaban pertama yang anda berikan ialah: “Tidak!”.

“Rugi cikgu tak pergi. Sedap betul ceramah semalam. Mat Sabu dengan Ustaz Bunyamin pulak tu,” sambung pelajar lagi.

Berderau darah anda, tentunya! Pertuturan anak-anak itu sangat menggoda keintelektualan anda. Belum pun sempat anda mengarahkan sesuatu kepada mereka, seorang yang lain pula menyampuk: “Cikgu kena gi dengar ceramah, cikgu! Kalau tidak, mana kita nak tahu Mahathir betul ke Anwar betul! Dengar TV saja, memang Mahathir betullah!”

Ya Rabbi! Bayangkan betapa tercabarnya jiwa dan perasaan anda sebagai seorang pegawai pendidikan yang profesional, yang berkelulusan universiti. Nampak seolah-olah anak-anak murid anda pula yang mengajar anda tentang apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan dalam menentukan sikap politik. Tapi itulah yang kerap berlaku di sekolah-sekolah menengah serata negeri di Terengganu, sejak setahun lalu.

Seorang rakan penulis pernah berkata: “Ini bukan lagi kes guru hasut pelajar. Ini dah jadi pelajar pula yang hasut guru”, katanya sambil menggeleng-gelengkan kepala penuh kelucuan.

Barangkali terbawa-bawa oleh kesedaran politik yang tinggi di kalangan pelajar itulah maka guru-guru pun kekadang tersasul atau terlepas cakap tentang topik-topik sensitif itu. Sebagai contoh, seorang teman penulis bercerita mengenai satu kursus guru-guru Bahasa Inggeris di Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN), di Marang. Seorang fasilitator mengesyorkan para peserta agar membiasakan diri membaca akhbar-akhbar berbahasa Inggeris, guna memperkaya penguasaan bahasa masing-masing. Antara akhbar-akhbar itu disebutkannya The New Straits Times, The Sun dan The Star. Mendengarkan cadangan itu, serentak beberapa orang peserta secara ‘nakal’ menyahut, “The Moon!!”

Fasilitator itu terperanjat, terus menjawab, “What? The Moon? Is there such paper?”.

“Yes! There is!”, jawab guru-guru itu, diiringi ketawa kecil rakan-rakan yang lain.

Selepas berfikir sejenak, dan dapat menangkap bahawa yang dimaksudkan itu ialah akhbar Harakah (English Section), fasilitator berkenaan menjawab, “Oh! That ‘Moon’ ah? No, no, no! Please don’t,” dan disambut gelak ketawa para peserta.

Sekatan terhadap bahan bacaan berunsur pembangkang atau anti-kerajaan seumpama Harakah, tidak terhad di sekolah-sekolah sahaja. Pejabat-pejabat awam juga turut mengenakan peraturan yang sama. Malangnya, sesiapa yang berkunjung ke mana-mana pejabat awam di Terengganu, akan merasa suatu yang pelik jika tidak melihat Harakah dibaca di dalam pejabat-pejabat awam. Ia menjadi sumber maklumat utama, sebagai alternatif kepada akhbar-akhbar arus perdana yang hanya menyajikan berita-berita mengampu BN.

Di pasar, di anjung masjid, di atas wakaf, di perhentian bas dan teksi, di atas katil dalam wad hospital, di dalam kem tentera, bahkan di mana-mana jua, Harakah dapat dilihat dikepit atau dibaca orang. Di dalam bas atau kereta, juga ada yang masih mencuri peluang membacanya. Kelarisannya menyebabkan para pekedai yang dikenali sangat kuat ke-Umno-annya pun, tidak mahu melepaskan peluang menjualnya, atas dasar keuntungan perniagaan.

Kedahagaan masyarakat terhadap maklumat alternatif itu turut mendorong pacuan pasaran ke atas beberapa bahan bercetak lain seperti akhbar Eksklusif, majalah Tamadun, Detik dan beberapa buku isu semasa. Penulis diberitahu, sebuah buku isu bersaiz majalah berjudul ‘Talqin Buat Tuan Haji Mahathir’ terbitan Rangkaian Minda Publishing (penulis menjadi Editor Perundingnya) terjual macam goreng pisang panas di beberapa kantin pejabat awam dan hospital daerah di Terengganu, dalam minggu pertama ia diterbitkan. Bagaimanakah ia mampu menyelinap masuk ke pasaran ‘larangan’ itu, masih menjadi tanda tanya.

Suatu justifikasi yang agak munasabah ialah anggapan bahawa rangkaian pengedaran bahan-bahan bacaan sebegitu sememangnya dikuasai oleh para penyokong PAS. Lebih-lebih lagi jika diambil kira komposisi penyokong PAS yang tinggi di kalangan para peniaga kecil.

“Demo tak sah runsinglah Sir. Sembilan puluh peratus peniaga sokong kita. Pasar malam ke, Pasar Tani ke, kedai sehari ke, 90% pembangkang, Sir!”, cerita seorang rakan penulis di Kuala Terengganu. Beliau sendiri juga seorang peniaga yang mobile, bergerak ke mana sahaja mengikut Pasar Tani, pasar malam atau kedai sehari.

Peratusan yang hampir sama juga berlaku di kalangan pemandu teksi dan kereta sewa seluruh Terengganu. Walau pun kehidupan mereka sangat bergantung kepada permit yang diluluskan pihak kerajaan, kali ini mereka nampaknya sanggup mengkesampingkan kepentingan diri, demi melihat perubahan dalam pemerintahan negeri. Sokongan terbuka yang mereka suarakan agak memeranjatkan. Salah satu insiden yang menarik untuk dicatatkan di sini ialah keberanian mereka memalukan seorang pemimpin kanan Umno negeri.

Dalam satu majlis ramah-mesra (majlis kempen, sebenarnya) pemimpin berkenaan dengan para pemandu teksi di sebuah daerah, pemimpin yang sudah bercakap panjang dengan penuh semangat itu mengakhiri ucapannya dengan bertanya para pemandu yang hadir: “Jadi ambe nak tanya, kita nak pangkah sapa kali ini?”

Para pemandu dengan berani menyahut beramai-ramai, “PAS!” Pemimpin itu terkejut. Serta merta berubah air mukanya. Tetapi sebagai orang politik, beliau tetap menunjukkan muka yang senyum dan ketawa kecil. “Ambe nak tanya sekali lagilah. Kita nak pangkah sapa kali ini?” sambung pemimpin itu lagi.

“PAS!!”, sekali lagi suara mereka bergema, beserta tepukan dan tawa kecil dari sebilangan yang hadir.

“Ambe nak tanya sungguh dah ni, kali akhir dah nak tanya ni. Tuan-tuan, pakcik-pakcik tolong jawab molek lah. Kita nak pangkah sapa kali ini?”, tanya pemimpin itu sekali lagi.

“Barisang!”, laung seorang antara para pemandu teksi itu, diiringi tawa sinis rakan-rakan yang lain.

“Hak tu ambe nak dengarnya! Wassalamu’alaikumwarahmatullahi wabarakatuh”, pemimpin berkenaan cepat-cepat menghabiskan ucapannya.

Insiden tersebut mungkin contoh agak melampau, dan tidak menggambarkan fenomena sokongan keseluruhan golongan pemandu teksi terhadap PAS secara tepat. Namun keberanian mereka menyatakan sikap di hadapan seorang pemimpin kanan kerajaan negeri, adalah sesuatu yang amat jarang berlaku. Barangkali juga ia belum pernah berlaku sebelum ini. Tetapi pilihan raya umum lalu telah menjadi saksi kejadian tersebut.

Sebagai suatu kenangan bersejarah, perlu juga rasanya dicatatkan di sini bahawa anggota keamanan (tentera) juga turut memberikan sokongan moral yang tidak sedikit kepada PAS di Terengganu. Sebelum pilihan raya berlangsung, terutama di saat tohmahan dan fitnah propaganda BN terhadap PAS sedang memuncak, mereka tampil menyatakan sikap, atas sifat mereka sebagai warganegara yang bebas membuat pilihan, bahawa mereka bersimpati dengan perjuangan PAS. Rata-rata mereka yang datang menemui pemimpin PAS menyebut kata-kata semangat, “Insya Allah, kita pakat ubah kali ini!” Peningkatan mendadak dalam jumlah undi pos yang diperolehi calon-calon PAS di serata negeri, membuktikan kejujuran komitmen mereka itu.

Sekali pun institusi polis dikenalpasti oleh PAS sebagai institusi yang paling tidak simpatik terhadap perjuangan rakyat, itu tidak bermakna tiada langsung ruang sokongan terhadap PAS di kalangan mereka. Pameran muka yang manis kepada para penyokong PAS, terutama di hari penamaan calon dan hari mengundi, adalah sikap yang zahir dari hati yang cenderung kepada perjuangan rakyat menuntut keadilan.

Antara anggota polis itu juga tidak keberatan menghulurkan tangan kepada para penyokong PAS, bersalaman dan beramah mesra. Malah ada yang menghampiri petugas PAS dan berbisik, “ada lebih ke badge (lencana PAS)? Mintak se!”

Fenomena yang melanda Terengganu sejak beberapa bulan sebelum berlangsungnya pilihan raya itu, seolah-olah menggambarkan bahawa seluruh rakyat Terengganu telah sepakat untuk menolak BN. Kesepakatan itu pula jelas melangkaui batasan kaum dan keturunan. Walau pun keputusan pilihan raya lalu menyaksikan pola sokongan pengundi Cina yang agak padu terhadap BN di seluruh negara, di Terengganu sokongan tersebut tidaklah sepadu di negeri-negeri lain. Begitu juga di Kelantan, khabarnya.

Sekurang-kurangnya dua kejadian yang disaksikan oleh penulis sendiri menjadi bukti bahawa sebahagian masyarakat berketurunan Cina di Terengganu telah tampil memberikan sokongan terbuka kepada PAS. Kejadian pertama berlaku suatu pagi di sebuah warung di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, tidak jauh dari Bangunan Tabung Haji dan Stesen Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Pagi itu, seorang lelaki Cina berumur sekitar pertengahan 40-an, menguasai perbualan di warung berkenaan. Sambil menikmati nasi lemak dan teh panasnya, beliau berleter panjang tentang perlakuan zalim kerajaan BN, terutama dalam kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kebetulan pula baru dua hari sebelum itu buku laporan rasmi siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai kecederaan Anwar sewaktu ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berada di pasaran. Beliau turut membawa buku itu bersamanya, yang didakwanya sudah sold-out di kedai berhampiran pejabatnya, tidak jauh dari warung itu.

“How could this happened to a man like Anwar?”, katanya dengan nada sedikit meraung sambil mengangkat buku tersebut. Perhatian sebahagian besar pengunjung warung tertumpu ke arah gambar Anwar berpakaian seragam banduan berwarna biru itu. Memang jelas dan terlalu amat jelas kelebaman mata Anwar di dalam gambar-gambar tersebut. Semua orang dapat membayangkan betapa rakus dan ganasnya Anwar diperlakukan.

Beliau membelek dan terus membelek helaian-helaian lain buku itu, sambil memberikan komentar selarinya. “Eh, kalu orang macang Anwar pung boleh mudoh-mudoh kena tumbuk, macang kite ni ‘barang’ (mudah) sangat la!”, sambungnya lagi agak provokatif, dalam pelat Terengganu pula.

Di kalangan yang hadir semuanya berbangsa Melayu, ada yang menggeleng kepala, ada yang mengeluh dan ada yang membebel-bebel seorang diri.

Kejadian kedua pula berlaku di Besut, sewaktu kempen pilihan raya sedang memuncak. Penulis sendiri bersama beberapa petugas pilihan raya di sana sempat mengiringi calon Parlimen, Sdr Hassan Mohamad, dan calon DUN Jertih, Tun Mohd Salleh Abas, mengadakan ziarah rumah ke rumah di sekitar bandar Jertih. Tiada satu pintu kedai pun yang tidak dimasuki oleh rombongan kami. Dan tiada seorang pun yang terserempak dengan rombongan kami yang tidak kami sapa.

Kebetulan kedua-dua calon PAS itu agak ‘baru’ dengan masyarakat Besut, walau pun kedua-dua mereka adalah anak jati kelahiran Besut. Sdr Hassan bekerja mencari makan di Batu Berendam, Melaka dan aktif di peringkat Badan Perhubungan PAS Melaka. Manakala Tun pula banyak menumpukan kerja-kerja guamannya di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu. Maka kami di Besut mengaturkan kempen yang agak intensif dan all-out untuk mereka berdua bertemu muka dengan orang ramai.

Sepertimana lazimnya, di mana-mana bandar pun di negara ini, peniaga dan penghuni tetap paling ramai ialah dari kaum Cina. Begitulah juga keadaannya di bandar Jertih. Suatu hal yang menarik, di sebahagian besar kedai yang kami lawati, kami disambut dengan muka yang manis dan kata-kata yang sangat menyedapkan hati. Fenomena itu amat berbeza berbanding masa-masa lalu. Masyarakat Cina di situ secara terbuka turut menyatakan sokongan mereka kepada calon-calon yang PAS kemukakan itu.

Seorang peniaga di situ menerpa keluar dari kedainya apabila melihat kedatangan kami. Beliau lantas memeluk erat Tun Salleh, dan sambil memegang kedua-dua bahu Tun Salleh, beliau berkata, “Molek! Molek! Kami pun nak masyarakat bertaqwa juga”, disambut ketawa kecil ahli rombongan kami.

Memang agak melucukan, bagaimana mungkin seorang Cina yang belum Islam, sudah pandai bercakap mengenai masyarakat bertaqwa!

“Umno nak mampus sungguh dah, barangkali”, celah seorang rakan apabila diceritakan kepadanya peristiwa menarik itu.

Isyarat yang diberikan oleh peniaga Cina tersebut tidak terhenti di situ sahaja. Sehari selepas itu mereka secara berkumpulan mengunjungi Markas Pilihan Raya PAS Parlimen Besut, yang terletak di bandar Jertih, dan memohon mengadakan perbincangan ‘hati ke hati’ dengan calon Dun Jertih dan calon Parlimen Besut. Sekurang-kurangnya tiga perjumpaan khusus antara tiga kumpulan berasingan dari masyarakat Cina Besut telah sempat diadakan di tiga lokasi berbeza, sepanjang tempoh kempen itu. Suatu hal yang menarik, ketiga-tiga perjumpaan itu adalah atas permintaan masyarakat Cina sendiri.

Cerita-cerita yang dipaparkan ini secara jelas menggambarkan wujudnya suatu kesepakatan di kalangan rakyat Terengganu untuk menerima PAS, sekali gus menolak pemerintahan BN. Bila kita sebut rakyat, ia bukan sekadar nelayan, bukan hanya petani dan penternak, bukan para peniaga sahaja. Ia meliputi para penjawat awam, penjawat swasta, doktor dan kakitangan pusat perubatan, anggota pasukan keselamatan (polis) dan keamanan (tentera), para imam dan bilal, warga pendidik dan pelajar, para pemandu teksi dan bas, serta orang awam yang lain. Ia juga bukan setakat masyarakat berbangsa Melayu, tetapi turut membabitkan rakyat berketurunan Cina dan India, yang telah sama-sama menunjukkan kesediaan untuk bernaung di bawah kerajaan baru pimpinan PAS.

(Artikel ini adalah Bab 6, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, di dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)