Friday, November 1, 2013

Gula mahal sebab kilang rosak?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

Gula sepenting minyak. Jika kenaikan harga minyak memberi kesan menyeluruh kepada hampir semua barangan keperluan harian rakyat, maka begitulah juga kesan yang bakal dirasai pengguna ekoran kenaikan harga gula.

Di dalam pembentangan belanjawan negara untuk tahun 2014 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan antara lain mengumumkan pemotongan subsidi gula sebanyak 34 sen bagi setiap kilogram. Ini bermakna harga bahan pemanis itu dinaikkan dengan kadar sama, yakni 34 sen sekilo.

Sebelum ini harga sekilo gula ialah RM2.50. Mengambilkira sistem “pembulatan harga” yang telah diterimapakai dalam urusan perniagaan di negara kita, maka harga runcit terbaru gula akan dikira kepada nilai 5 sen terdekat. Ertinya, kenaikan itu ialah 35 sen, bukannya 34 sen. Walau pun mungkin peruncit menulis harganya sebagai RM2.84, tetapi semasa mengiranya pekedai akan mengutip RM2.85 juga.

Sebagaimana penggunaan petrol dan diesel melibatkan hampir semua barangan keperluan harian, maka begitulah juga gula. Kita telah melihat bagaimana kesan ke atas kos sara hidup rakyat ekoran kenaikan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter bermula awal September lalu.

Seperti biasa, di setiap kali berlaku kenaikan harga apa-apa barangan pun, akan ada pihak yang cuba merasionalkannya sekali gus meremehkan suara-suara membantahnya. Maka di awal kenaikan harga minyak dulu, kerap kita dengar dan baca orang menyebut, “Alahhh... 20 sen je, tak payah la nak kecoh sangat!”.

Inilah masalahnya dengan orang kita, suka sangat mengambil ringan (atau sebenarnya memutarbelit fakta agar perkara ini dilihat kecil dan ringan). Sedangkan sebenarnya isu ini bukan soal “20 sen je”, kerana boleh dikatakan tidak ada pengguna mengisi hanya seliter petrol atau diesel setiap kali ke stesen minyak. Namun, oleh kerana kebiasaan kita mengisi minyak mengikut harga belian dan bukannya mengikut sukatan, maka kita semacam gagal mengesan perbezaannya. Ia akan hanya terserlah bila kita mengisi penuh tangki sekaligus.

Kesan lebih ketara ialah pada kenderaan awam, pengangkutan dan perniagaan. Kenaikan harga minyak selalunya tidak diserap pengusaha pengangkutan, sebaliknya dipaksakan ke atas penumpang/pengguna. Maka kenaikan harga tiket bas dan tambang teksi tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan harga barang-barang keperluan lain yang sememangnya menggunakan pengangkutan untuk sampai kepada pengguna.

Isu kenaikan harga minyak terbukti bukan soal “20 sen je” sepertimana cuba dirasionalkan sesetengah pihak. Begitulah juga halnya dengan kenaikan harga gula. Ia juga bukan soal “34 sen je”. Hanya pengguna “luar biasa” yang membeli sekilo setiap kali berbelanja di kedai. Kebanyakan pengguna (sebuah keluarga) tahap rendah pun, akan menghabiskan tidak kurang dua kilogram gula seminggu. Itu kita rasa sukatan agak munasabah dengan jumlah purata isi keluarga seramai empat atau lima orang.

Manakala bagi sebuah keluarga yang jumlah ahlinya lebih ramai, ia mungkin memerlukan penggunaan gula lebih besar, misalnya empat kilo seminggu. Maka kos tambahan untuk gula sahaja bagi keluarga itu bukan lagi “34 sen je”, tetapi sudah empat kali ganda atau RM1.36 seminggu. Jumlah sebulan pula

Itu pada penggunaan sendiri. Bagaimana pula dengan pengusaha makanan dan minuman? Segala kueh-mueh menggunakan gula. Maka harga runcit berbagai pemanis mulut akan turut naik. Bahkan, dalam kesibukan memikirkan bagaimana nak menyesuaikan diri dengan kenaikan harga gula, sudah kedengaran harga susu isian pekat manis/krimer manis juga telah dinaikkan pekedai. Alasan diberikan kononnya harga gula sudah naik, maka kilang pembekal susu turut menaikkan harga susu. Sedangkan hal itu baru sahaja berkuatkuasa.

Manipulasi keadaan sangat luar biasa di Malaysia. Pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah menjadikan peniaga gemar mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sesuka hati. Pengusaha makanan dan minuman juga begitu. Sesetengahnya memang hanya fikirkan untung. Jauh sekali untuk mengharapkan mereka menyerap kenaikan harga bahan mentah. Maka amat besar kemungkinan bakal kita lihat kueh-kueh seumpama donut, keria, seri muka, agar, karipap dan gula hangus yang sebelum ini berharga 40 sen sebiji/sepotong akan dinaikkan menjadi 50 sen.

(Selalunya bila naik, akan ada yang merasionalnya. Akan ada yang kata, “alahhh... tak pelru la kecoh, 10 sen je!”.  Ia bukan soal “10 sen je” kenaikan atas sebiji kueh, tetapi soal wewenangan. Bersetuju dengan kenaikan itu bererti kita membiarkan berleluasanya wewenangan itu. Sedangkan dengan sekilo gula itu bukan boleh hasilkan hanya sepuluh biji kueh, katakan 35 biji (jumlah sebenar memang lebih dari itu), maka kenaikan 35 sen hanya melibatkan tambahan kos 1 sen setiap biji donut. Tapi hasil manipulasi keadaan, harga sebiji donut sudah naik 10 sen atau 10 kali ganda lebih besar dari kenaikan kosnya.)

Pengusaha kedai makan/restoran juga ada alasan sangat kukuh untuk menaikkan segala sajian terutama makanan/minuman menggunakan gula. Lebih-lebih lagi di sebelah Kelantan dan Terengganu, di mana masak gulai, kari, tumis bilis dan sayur lemak pun dibubuh gula. Maka harga nasi berlauk/sarapan pagi akan naik. Segala minuman ‘o’ yang menggunakan gula juga bakal dinaikkan harga. Maka rakyat seakan dipaksa bersedia untuk menghadapi kenaikan harga lebih besar untuk satu “sajian lengkap” set sarapan mereka.

Penjelasan pihak kerajaan setakat ini masih gagal meyakinkan rakyat. Alasan dan hujah diberikan mengiringi kenaikan harga runcit gula sangat memalukan. Ia menjadi bahan persendaan awam. Amat tidak munasabah apabila dikatakan kenaikan itu kerana mahu mengurangkan jumlah pengidap diabetes. Jangankan khalayak cerdik pandai dan mereka yang terdedah dengan dunia teknologi maklumat, masyarakat kelas bawahan di kampung-kampung juga mentertawakan alasan tersebut.

Maka dalam diam-diam ada pihak tertentu memainkan peranan menyebarkan ‘saraf’ memulihkan imej kerajaan. Tanpa diduga rupa-rupanya ada sebilangan pakcik-makcik di kampung yang percaya kononnya harga gula yang naik sekarang ini bukan kerana tindakan kerajaan, tetapi dinaikkan oleh para peniaga. Alasan diberikan kononnya beberapa kilang memproses gula terpaksa memberhentikan operasi kerana mengalami kerosakan.

Kita tidak tahu siapa yang mereka-reka cerita ini. Kita juga malas mengusul dengan pakcik-makcik itu, memandangkan mereka ini kelihatannya sangat taksub dengan apa juga yang dikemukakan kerajaan. Namun yang pastinya, lagi besar khalayak yang bermentaliti sebegini dalam masyarakat kita, maka lagi mudah untuk Umno/Barisan Nasional mengekalkan kuasanya!

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1890, 27-29 Zulkaedah 1434/1-3 November 2013 di ruangan F22 KOLUMNIS dengan tajuk sama)

Sunday, October 13, 2013

Al-Quran dan as-Sunnah berpisah tiada


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar, serta menjadikan Rasul-Nya suri teladan terbaik buat sekalian manusia.

Al-Quran adalah sumber rujukan utama dalam Islam. Ia juga disebut sebagai dustur yang mengatur segenap aspek kehidupan manusia, sekira-kira tidak tertinggal walau seperkara pun yang penting, melainkan dirakam di dalam kitab suci ini (baca al-An’am 6:38).

Dalam ungkapan lebih kontemporari, al-Quran diistilahkan sebagai “GPS” atau alat panduan perjalanan hidup manusia. Di ketika yang lain, al-Quran disebut penawar atau ubat penyembuh (syifa’) penyakit manusia. Pendekata, segenap aspek hidup kita boleh dikaitkan dengan peranan al-Quran.

Namun, sebagai makhluk yang serba lemah dan kurang, kita tidak mungkin dapat memahami maksud-maksud kandungan al-Quran berdasarkan ilmu semata-mata. Apatah lagi tidak semua ayat al-Quran diketahui maknanya, walau pun di kalangan orang-orang Arab sendiri. Bukankah kerap kita temui kisah para Sahabat ra sendiri bertanya kepada Rasulullah saw mengenai makna dan maksud ayat-ayat al-Quran?

Di sinilah terserlahnya hubungan sangat intim antara al-Quran dan as-Sunnah Nabi saw. Tanpa merujuk kepada keterangan dan penjelasan oleh Rasulullah saw, tentunya banyak kandungan al-Quran yang sukar difahami maksudnya yang sebenar.

Bahkan, di antara tugas Rasulullah saw adalah menerang dan menafsirkan al-Quran sepertimana dikehendaki oleh Allah SWT. Dalam ertikata lain, al-Quran adalah sumber asas atau pokok, manakala hadith atau as-Sunnah pula adalah huraian atau keterangannya. Kedua-duanya berpisah tiada.

Al-Imam Asy-Syafie rahimahullah di dalam menjelaskan hubungan hadith dengan al-Quran menggariskan empat peranannya. Selain menerang dan menghuraikan maksud al-Quran, hadith atau as-Sunnah juga berperanan memperkuatkan hukum yang telah didatangkan oleh al-Quran, sebagai dalil nasakh-mansukh ayat-ayat al-Quran dan mendatangkan hukum yang tidak disebutkan oleh al-Quran.

Untuk Edisi 18 ini, kami memilih tema berkisar peranan dan fungsi al-Quran dari berbagai sudut kehidupan manusia. Alhamdulillah kerjasama sebilangan kolumnis/penyumbang memudahkan kami memberikan garapan agak menyeluruh dalam pembicaraan topik ini. Diharapkan para pembaca seronok meneliti paparan kami. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan EDITORIAL majalah Dian - Ihya'as-Sunnah Bil. 18 (15 Oktober 2013) yang disiarkan dengan tajuk sama)

Saidina Umar cetus idea kumpul al-Quran



Muqoddimah
Apabila Rasulullah saw wafat, al-Quran belum terkumpul di dalam sebuah kitab. Sebaliknya, bahagian-bahagian daripada kitab suci itu berada pada individu-individu berbeza di kalangan para Sahabat Baginda saw – ada yang dicatatkan pada kulit-kulit binatang, di atas tulang-temulang dan sebahagian lagi tersemat di dalam hati para Sahabat ra.

Beberapa mushaf al-Quran yang agak tersusun dikatakan disimpan oleh beberapa orang Sahabat ra. Mushaf-mushaf itu dikenali dengan nama mereka yang mengumpul dan menyimpannya. Antaranya yang masyhur ialah Mushaf Ibnu Mas’ud, Mushaf Ali, Mushaf Aisyah dan lain-lainnya.

Sejurus selepas kewafatan Baginda saw juga, berlaku penodaan akidah Islam oleh beberapa pihak. Antaranya kemunculan beberapa individu yang mengaku sebagai nabi. Saidin Abu Bakar ra yang dilantik sebagai khalifah menggantikan Rasulullah saw lantas memerangi mereka ini. Maka berlakulah Perang Yamamah, di mana para Sahabat menumpaskan golongan perosak Islam diketuai nabi palsu, Musailamah al-Kazzab.

Kejayaan membanteras golongan sesat itu suatu yang menggembirakan buat Islam. Namun, ada sisi negatif hasil peperangan itu. Ramai di kalangan para Sahabat ra yang gugur. Antara mereka itu adalah Qurra’ (yang menguasai pembacaan al-Quran) dan huffaz (menghafaz al-Quran). Kehilangan mereka bukan sekadar perginya sejumlah individu muslim yang mulia dan taat. Ia juga sebenarnya mengisyaratkan kemungkinan suatu tragedi buat umat Islam, sekiranya tidak ditangani secara sebaiknya, iaitu “kehilangan” al-Quran atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada ayat-ayatnya dan juzuk-juzuknya.

Kemungkinan ini sangat besar. Apatah lagi para Sahabat Rasulullah saw adalah khalayak yang senantiasa terkedepan di dalam menyahut apa jua seruan jihad menentang musuh Islam. Maka, jika berlaku peperangan lagi selepas itu, semakin ramai antara mereka mungkin gugur syahid. Sedangkan pada merekalah tersembunyinya sebahagian ayat-ayat al-Quran, terutama yang dihafaz itu. Maka tidak mustahil tragedi “kehilangan” al-Quran boleh berlaku.

Umar bimbang “kehilangan” al-Quran
Orang pertama yang menanggapi kemungkinan yang sangat membahayakan Islam ini, dan terdetik mengambil inisiatif menyelamatkan keadaan ini, ialah Umar ibnu al-Khattab ra. Kematian sebilangan para Sahabat ra yang Qurra’ dan huffaz amat membimbangkannya. Beliau lantas melontar cadangan kepada Saidina Abu Bakar ra agar ayat-ayat al-Quran yang disimpan individu berbeza di tempat berasingan itu dikumpulkan.

Abu Bakar as-Siddiq ra pada mulanya keberatan melaksanakan cadangan itu. Antara hujah utama mengasak benak fikirnya ialah kerana hal itu sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda saw sendiri. Umar al-Khattab ra bagaimana pun tidak memadamkan hasrat itu. Kebimbangan yang menghantuinya memaksa dirinya mengajukan perkara sama kepada Abu Bakar ra berulang kali. Amirul Mukminin akhirnya bersetuju dengan cadangan Umar itu.

Bagi menyempurnakan tugasan itu, Abu Bakar memanggil Zaid ibn Thabit al-Ansari ra. Beliau merupakan salah seorang jurutulis wahyu kepada Rasulullah saw. Zaid terkenal dengan sikap amanah, teliti, cerdas akal, sangat baik akhlaknya dan pintar. Bahkan, Zaid adalah antara Sahabat yang sentiasa bersama Rasulullah saw sehingga ke akhir turunnya wahyu.

Zaid ditugaskan mengumpul
Apabila Zaid tiba di hadapan Abu Bakar, beliau melihat Umar ra turut berada di situ. Abu Bakar ra bercerita kepadanya: “Sesungguhnya Umar ra telah datang kepadaku dan berkata, ‘ramai di kalangan Qurra’ terkorban di dalam peperangan Yamamah, dan aku bimbang lebih ramai lagi Qurra’ akan meninggal dalam peperangan-peperangan yang akan datang, dan kesan terburuk daripada hal itu akan berlakunya kehilangan banyak al-Quran. Oleh itu aku berpendapat elok kamu memerintahkan seseorang mengumpulkan al-Quran’.”

“Aku telah menjawab kepada Umar, ‘bagaimana mungkin aku melakukan sesuatu yang Rasulullah saw sendiri tidak lakukannya?’ Umar menjawab, ‘demi Allah, ini adalah suatu yang sangat baik (yang engkau perlu lakukan).’ Umar selepas itu terus datang menemuiku dengan saranan yang sama (walau pun aku menolaknya), sehingga Allah Taala membuka hatiku untuk menerima cadangan itu, sebagaimana Allah telah membuka hati Umar. Maka aku pun bersetuju dengan pandangan Umar mengenai hasrat mengumpulkan al-Quran.”

Zaid setakat itu barangkali belum dapat menduga apa yang akan berlaku. Bahawa beliau bakal diserahkan tugasan yang sangat penting dan amat berat sepanjang hidupnya. Abu Bakar ra kemudian menyambung, “demi sesungguhnya kamu seorang anak muda yang baik dan bijak, dan padamu tidak ada apa-apa yang layak kami ragui. Kamu juga pernah menulis wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Oleh itu, carilah seluruh bahagian al-Quran dan kumpulkannya (dalam satu kitab).”

Zaid kini benar-benar faham apa yang dikehendaki Abu Bakar ra daripadanya. Beliau lantas menjawab, “demi Allah, andaikata tuan mengarahkan saya untuk mengalihkan sebuah bukit dari satu tempat ke tempat lain, tuan tidaklah meletakkan beban tugas lebih berat berbanding tugas yang tuan arahkan saya dalam mengumpulkan al-Quran ini.”

Teliti syarat dua saksi
Tercatat di dalam Sunan Abu Daud bahawa Abu Bakar ra berkata kepada Umar ra dan Zaid ra:“Duduklah kamu pada pintu masjid. Sekiranya ada orang datang membawa ayat-ayat (al Quran) yang telah diperkuatkan dengan pernyataan dua saksi, maka hendaklah kamu menulisnya.”

Abu Daud juga meriwayatkan, Umar ra kemudian pergi menemui orang ramai menyampaikan perintah khalifah Abu Bakar itu, dengan katanya: “Barangsiapa yang mendapatkan ayat (al-Quran) dari Rasulullah saw, maka hendaklah ia membawa kepadanya (Zaid bin Tsabit ra).” Mereka menuliskan ayat-ayat itu pada lembaran, ketulan batu dan pelepah-pelepah tamar. Dan dia (Zaid) tidak mahu menerima ayat dari seorang pun sebelum terlebih dahulu disaksikan dua saksi.”

Imam Sakhawi menyatakan, bahawa maksud dua saksi itu ialah dua orang saksi yang menyaksikan di hadapan mata mereka sendiri ayat tersebut ditulis di hadapan Rasulullah saw. Manakala Imam Ibnu Hajar pula berpandangan ia merujuk kepada ayat yang dibawakan dalam dua bentuk, iaitu hafalan dan tulisan.

Apa pun maksudnya, yang nyata dalam hal ini ialah usaha pengumpulan ayat-ayat al-Quran diarahkan Saidina Abu Bakar itu dilakukan melalui prosedur sangat ketat dan teliti, serta disusun dan disemak oleh mereka yang berkelayakan dan dipercayai.

Zaid kemudiannya menceritakan, “aku pun selepas itu memulakan pencarian pelbagai bahagian dari al-Quran. Aku menemuinya tertulis di atas pelepah-pelepah tamar, di atas permukaan-permukaan batu, dari hafalan sebilangan individu, di atas kepingan-kepingan kulit dan di atas tulang-tulang binatang. Aku terus mencari al-Quran sehingga aku menemui bahagian akhir surah at-Taubah (9:128) yang ada pada Abu Khuzaimah al-Ansari – bahagian al-Quran yang tidak aku temui pada orang lain.”

Usaha itu akhirnya menghasilkan mushaf yang disusun dengan cara paling sistematik. Saidina Ali bin Abi Talib ra pernah menyanjungi usaha ini dengan katanya: “Orang yang paling besar pahalanya dalam hal mushaf ialah Abu Bakar ra. Beliaulah yang mempelopori pengumpulan al-Quran.”

Diriwayatkan naskhah-naskhah tertulis ayat-ayat al-Quran itu kemudiannya disimpan oleh Abu Bakar sehingga beliau wafat. Setelah itu, mushaf tadi disimpan oleh Umar, sehingga beliau pula wafat. Amanah untuk menyimpan mushaf al-Quran kemudian diserahkan kepada Hafsah binti Umar ra, yang juga isteri kepada Rasulullah saw.

Uthman menyalinan Mushaf Abu Bakar
Pada zaman Uthman ra menjadi khalifah, Islam telah berkembang ke pelbagai negara dan benua. Ia bukan lagi anutan bangsa Arab dan Parsi, tetapi turut dianuti pelbagai bangsa yang bertutur pelbagai bahasa berbeza.

Maka salah satu masalah yang dihadapi ketika itu ialah masalah qiraat al-Quran yang digunapakai di daerah-daerah berbeza ini. Misalnya, penduduk Kufah menggunakan qiraat disampaikan Abdullah bin Mas’ud. Penduduk Syam pula menggunakan qiraat Ubai bin Kaab. Manakala yang lain menggunakan qiraat Abu Musa al-Asyaari.

Hal perbezaan qiraat ini tidak pernah menjadi masalah di kalangan generasi Sahabat. Ia rupanya menjadi masalah besar, terutama di daerah-daerah yang jauh dari pusat pentadbiran kerajaan Islam di Madinah. Setiap qiraat itu mempunyai pengikut masing-masing yang sesetengahnya terlalu taksub kepadanya, sehingga menyebabkan mereka tergamak mengkafir kumpulan yang berbeza cara bacaan al-Quran.

Perkembangan ini dilihat sebagai satu ancaman yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan. Justeru, isu perbezaan qiraat ini perlu diatasi segera. Di situlah timbulnya cadangan agar dihasilkan mushaf-mushaf piawai yang banyak, lalu kesemua mushaf yang seragam itu dikirimkan ke segenap pelosok daerah didiami umat Islam.

Kisah ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, dengan katanya: “Sesungguhnya Hudzaifah bin Yaman datang kepada Saidina Uthman. Ketika itu beliau sedang menyiapkan penduduk Syam dan Iraq untuk satu peperangan ke Asia Tengah. Kedatangan Hudzaifah itu bermaksud meminta pertolongan Uthman berhubung kebimbangannya melihat pertengkaran yang terjadi antara para sahabat dalam masalah qiraat. Dia berkata kepada Uthman bin Affan ra: “Wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum pertengkaran mereka mengenai Kitab (al-Quran) semakin parah sebagaimana parahnya pertengkaran antara orang Yahudi dan Nasrani.” Kemudian Uthman mengirimkan surat kepada Hafsah yang berbunyi, “Aku memohon agar kiranya Puan dapat menyerahkan mushaf kepadaku, untuk kusalin menjadi beberapa mushaf. Dan apabila sudah selesai kusalin, aku akan kembalikannya semula kepada Puan.” Hafsah pun segera mengirimkan mushaf kepada Uthman. Selanjutnya beliau (Uthman) mengarahkan Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Saad bin Ash dan Abdur Rahman bin Harith bin Hisyam menyalin mushaf Hafsah tersebut menjadi beberapa mushaf. Dan mereka bersedia melaksanakan tugas itu. Lalu Uthman memberikan pesanan kepada tiga orang sahabat dari kalangan Quraisy itu, “jika kamu berselisih pendapat dengan Zaid bin Tsabit mengenai al-Quran, maka tulislah apa yang kamu perselisihkan itu dengan bahasa Quraisy, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy.” (HR Imam Bukhari)

Dengan usaha itu terhasillah mushaf al-Quran yang piawai dan digunakan oleh umat Islam di segenap pelusuk daerah. Mushaf itu jugalah yang kita warisi hingga ke zaman ini. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-
The Biography of ‘Umar ibn Al-Khattaab ra (Vol. 1), Dr. Ali Muhammad Muhammad As-Sallaabee (2010). Maktaba Dar-us-Salam, London.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 18 (15 Oktober 2013) di kolum 'SECEBIS KISAH" dengan tajuk sama)