Sunday, October 13, 2013

Imam Ibnu Katsir – Mufassir al-Quran terulung



Muqoddimah
TIDAK munasabah rasanya andai kedapatan seseorang individu yang mendalami ilmu tafsir al-Quran, tetapi tidak mengenali atau mengetahui nama Imam Ibnu Katsir. Selaku pengarang kitab tafsir al-Quran yang paling popular dan dikatakan menjadi kitab rujukan paling meluas di kalangan penelaah ilmu tafsir, nama itu bagaikan meniti di bibir umat Islam.

Latardiri
Nama sebenar Imam Ibnu Katsir ialah Abul Fida’ Imaduddin Ismail bin Umar bin Katsir al-Qurasyi al-Bushrawi. Gelaran al-Bushrawi adalah dibahasakan kepada kota Basrah, Syam, di mana beliau dilahirkan. Lebih tepat, kelahirannya ialah di Mijdal, sebuah penempatan di kota Basrah. Tarikh kelahirannya dicatatkan pada tahun 701H. Mengenai tarikh ini, ada penulis mencatatnya bersamaan 1302M dan ada juga sebagai 1301M.

Ayahnya, seorang khatib di kota itu, meninggal ketika beliau berusia 4 tahun. Beliau diasuh bapa saudaranya, Syaikh Abdul Wahab. Dialah yang mendidiknya di usia kecilnya, sebelum berpindah ke Damsyik, Syam pada tahun 706H, yakni dalam usia 5 tahun.

Guru-gurunya
Ibnu Katsir sempat berguru dengan sebilangan ilmuan Islam dalam pelbagai bidang, seumpama ilmu al-Quran, ilmu hadith, sejarah, fikah dan lain-lain. Direkodkan beliau mula belajar kepada Syaikh Burhanuddin Ibrahim bin Abdir-Rahman al-Fazari, yang terkenal dengan nama Ibnul Farkah (wafat pada 729H).

Beliau juga menuntut dengan Isa bin al-Muth’im, Ahmad bin Abi Talib, yang juga terkenal dengan nama Ibnusy Syahnah (w. 730H), Ibnul Hajar (w. 730H), Bahauddin al-Qasim bin Muzhaffar Ibnu Asakir, muhaddith negeri Syam (w. 723H), Ibnu asy-Syirazi, Ishaq bin Yahya al-Amidi Afifuddin – ulama Zahiriyah (w. 725H) dan Muhammad Ibnu Zarrad.

Ibnu Katsir turut menyertai pengajian oleh Syaikh Jamaluddin Yusuf bin az-Zaki al-Mizzi (w. 742H), seorang ahli hadith terkemuka di Syria. Beliau mendapat banyak faedah dan menimba ilmu daripada ulama besar ini. Syaikh Jamaluddin kemudiannya menikahkan Ibnu Katsir dengan puterinya.

Beliau juga belajar dari Syaikhul Islam Taqiyyuddin Ahmad bin Abdil Halim bin Abdis Salam bin Taimiyah (w. 728H), atau lebih dikenali sebagai Ibnu Taimiyah. Guru-gurunya yang lain ialah Syaikh al-Hafiz, seorang ahli sejarah, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad bin Uthman bin Qayimaz adz-Dzahabi (w. 748H). Manakala di antara ulama Mesir yang memberi beliau ijazah dalam pengajiannya ialah Abu Musa al-Qarafi, Abul Fath ad-Dabbusi dan Ali bin Umar as-Suwani.

Ibnu Katsir juga sempat mendengar hadith-hadith secara langsung daripada ulama-ulama Hijaz serta memperoleh ijazah dari mereka.

Sanjungan atas keilmuannya
Kealiman dan kesolehan sosok Ibnu Katsir telah diakui para ulama dan pembesar di zamannya mahu pun khalayak sesudahnya. Pada tahun 1366, Gabenor Mankali Bugha telah melantik Ibnu Katsir menjadi guru utama di Masjid Umaiyah, Damsyik.

Berkata Al-Hafiz Adz-Dzahabi mengenai Ibnu Katsir: “Beliau seorang imam lagi pemberi fatwa, muhaddith yang pakar, faqih yang berwawasan luas, mufassir dan pemilik banyak tulisan yang bermanfaat” (dalam al-Mu’jam al-Mukhtash).

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Beliau (Ibnu Katsir) selalu menyibukkan diri dengan hadith, menelaah matan dan rijal hadith. Beliau adalah orang yang memiliki hafalan yang banyak, cerdas akal, menghasilkan banyak karya dan telah memberikan manfaat yang sangat banyak kepada orang-orang sepeninggalannya” (dalam ad-Durar al-Kaaminah).

Abul Mahasin Jamaluddin Yusuf Ibnu Saifuddin yang terkenal dengan nama Ibnu Taghri Bardi, seorang ahli sejarah, berkata: “Beliau adalah ulama yang banyak berkarya, mengaut ilmu, mengumpul, mengarang, mengajar, menyampaikan hadith dan menulis. Beliau memiliki penelaahan yang luas dalam ilmu hadith, tafsir, fikih, bahasa Arab dan ilmu-ilmu lainnya. Beliau mengeluarkan fatwa dan mengajar hingga wafat, semoga Allah merahmati beliau. Beliau dikenali sebagai ulama yang memiliki hafalan yang kuat dan tulisan yang bagus. Ia telah mencapai puncak dalam ilmu sejarah, hadith dan tafsir” (dalam kitabnya al-Manhalush Shaafii wal Mustaufa ba’dal Waafi).

Salah seorang muridnya, Syihabuddin bin Hajji pula dipetik berkata: “Beliau adalah seorang yang paling kuat hafalannya yang pernah aku temui, terutama tentang matan hadith, dan paling mengetahui cacat hadith serta status para perawinya. Hal itu diakui para sahabat dan gurunya. Ketika bergaul dengannya, aku selalu mendapat manfaat darinya.

Ibnul Imad al-Hanbali berkata: “Hafalannya banyak dan jarang lupa, pemahamannya baik, ilmunya dalam bahasa Arab sangat tinggi” (dalam kitabnya Syadzaraatudz Dzahab fii Akhbaari Man Dzahab).

Ibnu Habib pula berkata: “Dia mendengar riwayat, mengumpulkan, menulis, mengeluarkan fatwa, menyampaikan hadith, memberi banyak faedah, dan lembaran-lembaran fatwanya tersebar ke berbagai negeri. Dia dikenali dengan kekuatan hafalan dan kebagusan karyanya.”

Tulisan-tulisannya
Hasil karya Imam Ibnu Katsir tersangatlah banyak. Di antara yang utama ialah:
1.                  Kitab tafsir al-Quran yang terkenal yang bernama Tafsir Ibnu Katsir. Hingga kini, kitab tafsir 10 jilid ini masih menjadi bahan rujukan utama di seluruh dunia. Para ulama mengatakan bahawa Tafsir Ibnu Katsir adalah sebaik-baik tafsir yang ada di zaman ini, terbesar dan tersahih, kerana ia memiliki berbagai keistimewaan. Ia telah diterbitkan berulang kali dan telah diringkaskan oleh ramai ulama.

Ibnu Katsir mengaplikasikan kaedah tersendiri yang sangat mantap dalam menghasilkan karya agung ini, yakni:
a. Menafsirkan ayat al-Quran dengan al-Quran sendiri.
b.      Bagi yang tidak ditemui penafsiran al-Quran dengan ayat al-Quran, beliau menafsirkannya dengan hadith Nabi Muhammad saw. Sememangnya diakui al-Quran sendiri bahawa di antara tugas Baginda saw ialah untuk menerangkan maksud kandungan al-Quran.
c.       Jika tidak didapati hadith Nabi saw, maka al-Quran harus ditafsirkan oleh pendapat para Sahabat, kerana merekalah orang yang paling mengetahui keadaan semasa turunnya ayat-ayat tertentu dari al-Quran.
d.      Setelah itu, barulah pendapat dari para Tabien dapat diambil, disusuli pendapat Tabiet Tabien, kemudian dengan keilmuannya terhadap kaedah-kaedah bahasa Arab.

Di samping itu, Ibnu Katsir juga menulis buku Fada'il Al-Quran (Keutamaan Al-Quran), yang memuatkan ringkasan sejarah al-Quran.

2.                  Kitab sejarah yang dinamakan al-Bidaayah, terdiri dari 14 jilid, dengan judul al-Bidaayah wan Nihaayah (Permulaan dan Akhir) atau nama lainnya Tarikh Ibnu Katsir. Di dalamnya disebutkan tentang kisah-kisah para nabi dan umat-umat terdahulu, sejarah Islam hingga zamannya, ditambah dengan pembahasan tentang fitnah dan tanda-tanda hari Kiamat serta keadaan pada hari Akhirat. Kitab ini telah ditahqiq oleh ramai ulama.
3.                  Kitab At-Takmiil fii Ma’rifatith Thiqaat wadh-Dhu’afaa’ wal-Majaahil (Pelengkap dalam Mengetahui Perawi-perawi yang Dipercaya, Lemah dan Kurang Dikenal). Di dalamnya terangkum dua kitab dari tulisan guru beliau, iaitu al-Mizzi dan adz-Dzahabi (Tahdziibul Kamaal fii Asmaa-ir Rijaal dan Miizanul I’tidaal fii Naqdir Rijaal) dengan disertai beberapa tambahan yang bermanfaat dalam masalah al-Jarh wat-Ta’diil.
4.                  Kitab Al-Hadyu was Sunan fii Ahaadiithil Masaaniid was Sunan (Kitab Penghimpun Musnad dan Sunan) sebanyak lapan jilid, dan dikenal dengan nama Jaami’ al-Masaaniid. Ia memuatkan nama-nama sahabat yang banyak meriwayatkan hadith. Di dalamnya terangkum Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Bazzar, Abu Ya’la al-Mushili, Ibnu Abi Syaibah, beserta Kutubus Sittah, iaitu Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim serta kitab Sunan yang empat. Beliau menyusunnya berdasarkan bab-bab fikih dan telah dicetak beberapa juz darinya.
5.                  Thabaqaat asy-Syafi’iyyah (Peringkat-peringkat Ulama Mazhab Syafie) yang disertai biografi Imam asy-Syafie rahimahullah.
6.                  Beliau mentakhrij hadith-hadith yang digunakan sebagai dalil dalam kitab at-Tanbiih fii Fiqh asy-Syafi’iyyah.
7.                  Beliau memulai penulisan Syarah Shahih al-Bukhari tetapi tidak sempat menyelesaikannya.
8.                  Ringkasan kitab al-Madkhal, karya al-Baihaqi dan sebahagian besar belum diterbitkan.
9.                  Beliau meringkaskan kitab Ulumul Hadith karya Abu Amr bin ash-Shalah, yang beliau beri judul Mukhtasar Ulumul Hadith. Ia dicetak oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah, seorang ahli hadith dari Mesir disertai penjelasan dari beliau dan diberi judul al-Baa’itsul Hathiith fii Syarh Mukhtasar Ulumul Hadith, dan telah dicetak beberapa kali.
10.              As-Siirah an-Nabawiyyah yang panjang (bahagian dari kitab al-Bidaayah) dan ringkasannya, keduanya diterbitkan dalam cetakan yang berbeza.
11.              Risalah dalam masalah jihad yang diberi judul al-Ijtihaad fii Thahabil Jihaad (Ijtihad Dalam Mencari Jihad) dan telah dicetak berulang kali.

Kematiannya
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rhm berkata, “beliau (Ibnu Katsir) kehilangan penglihatan di akhir hayatnya dan wafat di Damsyik, Syam pada 774H/1373M. Ada penulis mencatatkan tarikh tersebut sebagai 1372M. Jenazah Ibnu Katsir dikebumikan di samping makam gurunya, Ibnu Taimiyah.

Semoga Allah mencurahkan rahmat seluas-luasnya kepada beliau dan menempatkan beliau di syurga-Nya yang luas. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Biografi Penulis (Ibnu Katsir), oleh Fadhilatusy Syaikh Abdul Qadir al-Arnauth hafizahullah pada pengantar Shahih Tafsir Ibnu Katsir oleh Shaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfuri, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, 2011.
-          http://solihin87.abatasa.co.id/post/detail/9415/biografi-ibnu-katsir

((Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 18 (15 Oktober 2013) di kolum "ULAMA PEWARIS NABI" dengan tajuk sama)

Saturday, October 12, 2013

Moga kita tak mendustai Rasulullah


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Selaku pemilik akaun facebook, sebahagian besar kita tentu pernah memanjangkan perkongsian (share) sesuatu maklumat yang kita perolehi, bukan? Ada ketikanya, kita bukan sekadar mengongsikannya di timeline sendiri untuk ditatap rakan-rakan yang berkunjung ke situ, tetapi kita turut memanfaatkan laman mana-mana kumpulan yang kita anggotai. Bahkan, kita turut ‘menceroboh’ laman milik kenalan dengan memaparkan perkongsian maklumat itu.

Tidak syak lagi, segalanya itu kita lakukan didorong keinginan hati agar teman-teman facebook dan juga teman kepada teman turut membaca maklumat yang baru kita temui itu. Apatah lagi sekiranya kita merasakan maklumat tersebut sangat berguna dan amat sesuai disebarkan, kerana mungkin bertepatan dengan konteks semasa atau latar diri teman-teman dimaksudkan.

Namun, pernahkah berlaku keghairahan anda berkongsi maklumat yang dianggap sangat penting itu kembali menyulitkan anda? Bukan setakat tidak meraikan perkongsian yang anda buat, teman-teman yang menurunkan komentar masing-masing malah memperkecil dan mempertikaikan perkongsian yang anda paparkan itu.

Ya, itulah persis apa yang pernah dialami beberapa teman facebook saya sendiri. Seorang teman, sebagai contoh, share satu paparan daripada akaun seseorang berhubung status produk-produk satu syarikat makanan segera terkenal. Paparan itu secara jelas mempertikaikan status halal produk-produk tersebut. Sedangkan makanan jenama syarikat itu menjadi kegemaran rakyat negara ini. Ia dijual sangat laris di sebegitu banyak kedai eksklusif syarikat tersebut di seluruh negara.

Tiba-tiba hanya baru-baru ini tersebar penemuan baru berhubung status halal produk-produk terbabit. Ia dikatakan mengandungi DNA binatang yang diharamkan untuk umat Islam. Lalu teman saya tadi yang membaca paparan itu tanpa tangguh terus mengongsikan maklumat itu, yang dianggap sangat penting diketahui oleh teman-teman lain yang beragama Islam.

Niat suci dan keprihatinan tinggi yang beliau tunjukkan itu bagaimana pun tidak menghasilkan natijah diharapkan. Sementara sebilangan teman yang memberikan komen melahirkan rasa terkejut, mengutuk ketidakbertanggungjawaban syarikat atas sensitiviti umat Islam dan mengucapkan terimakasih atas perkongsian yang dia buat, sebilangan lagi mempersoalkan kesahihan maklumat yang dikongsikan itu.

“Betul ke ni?”, “boleh percaya ke ni?”, “Maklumat ni dari mana? Ada kajian mana-mana pihak ke?” dan berbagai lagi komen seumpama itu menerjah masuk. Bahkan, ada juga yang menegur, “lain kali elok cek betul-betul fakta sebelum nak share... tak elok sebar fitnah.”

Aduhhh! Lain dihasratkan, lain pula diperolehi nampaknya. Namun, walau pun agak pedih, komen yang seakan memarahi beliau itu bagi saya sebenarnya yang paling wajar diberikan perhatian.

Ya, kita sebetulnya masih bernasib baik apabila ada teman mengingatkan agar berhati-hati mengesahkan maklumat diperolehi sebelum menyebarluaskannya kepada teman lain. Kerana, kerap berlaku keyakinan yang terhasil dalam diri kita secara spontan sebaik membaca sesuatu maklumat dipaparkan pihak lain itu, mungkin sesuatu yang memperdayakan kita.

Kes dialami teman saya di atas itu bagi saya tidaklah begitu “berat”. Walau pun dia mungkin tersilap berkongsi maklumat tidak tepat atau diragukan, kesalahannya itu tidaklah sampai mewujudkan fitnah besar terhadap umat Islam, melainkan syarikat terbabit. Sedangkan mengambil sikap berwaspada terhadap apa-apa produk yang diragukan itu sendiri adalah sesuatu yang wajar di sisi agama. Justeru, kita mungkin boleh menjadikan maklumat dikongsikan itu sebagai suatu peringatan, biar pun ia mungkin tidak setepat keadaan sebenar.

Lain halnya dengan kes-kes perkongsian dilakukan beberapa teman saya yang lain. Zahirnya mereka kelihatan sangat berminat dengan hujah dan sandaran agama. Alhamdulillah kesedaran di kalangan umat Islam global untuk kembali menghayati dan mengatur hidup bersandarkan dua sumber ajaran tertinggi, yakni al-Quran dan al-Hadith, semakin terserlah mutakhir ini.

Bagaimana pun, ia tidak terlepas daripada unsur-unsur yang mampu memesongkan matlamat suci itu. Tanpa sedar, ada teman-teman itu terjebak dengan “fitnah besar” terhadap agama. Paling banyak dan paling mudah berlaku ialah dengan mengongsikan paparan-paparan yang mendustakan Rasulullah saw! Astaghfirullah al-Azim, bagaimana mungkin hal ini berlaku?

Elok saya jelaskan latarbelakangnya. Bahawa di antara cabaran atau pemesongan paling bahaya terhadap ajaran Islam ialah wujudnya fitnah dan gerakan pemalsuan hadith. Pelakunya mendakwa sesuatu rangkap kata itu sebagai sabda Rasulullah saw, sedangkan sebenarnya ia bukan dari Baginda saw.

Kajian dibuat para ulama Islam dan para pengkaji hadith menunjukkan banyak hadith palsu mula direka selepas berlakunya pergolakan pada akhir zaman Khulafa ar-Rasyidin. Walau pun para ulama sejak zaman itu telah bangkit menentang fitnah itu, namun penyebaran hadith-hadith palsu terus juga berlaku, sama ada angkara musuh-musuh Islam yang menyamar sebagai orang Islam, mahu pun oleh orang-orang Islam yang jahil atau orang-orang yang mempunyai kepentingan peribadi.

Sehingga kini hadith-hadith maudhu’ (palsu) dan yang sebangsa dengannya masih tersebar meluas di kalangan masyarakat Islam serata dunia. Bahkan, rangkap-rangkap sebegini banyak dijadikan sandaran dalam urusan-urusan ibadat dan pegangan hidup umat Islam, tidak terkecuali di negara kita sendiri. Sedangkan menjadi satu kesalahan besar menyebar dan mengamalkan hadith-hadith maudhu’ dalam apa jua urusan hidup. Bahkan, kesesatan umat Islam dikenalpasti berpunca dari kepalsuan ini.

Malangnya, saya dapati laman facebook kini menjadi antara medan paling mudah menyebarkan hadith-hadith sedemikian. Dengan petikan yang dianggap sandaran kuat, ditambah pula dengan rekaletak yang menarik beserta gambar hiasan yang menyedapkan mata memandang, maka mudahlah bagi kita yang terasa dekat hati dengan mesej-mesej berunsur agama ini memanjangkan pula paparan itu kepada teman-teman.

Di kala itu, tanpa disedari kita bukan sahaja telah menyebarkan maklumat tidak benar berhubung ajaran atau hukum agama, bahkan lebih teruk lagi kita telah menyebarkan pendustaan terhadap Rasulullah saw. Wa na’uzubillahi min zaalik.

Maka ada baiknya kita mengambil sikap lebih berhati-hati dan memeriksa status kesahihan hadith-hadith ditemui. Contohnya, jika terbaca sesuatu petikan yang sekadar menyebut kononnya Rasulullah saw suka memakan buah itu, makanan ini, atau mendakwa Nabi saw berkata begian-begian, tanpa menyebut siapa perawinya, maka seeloknya tangguhkanlah niat mengongsikan paparan sebegitu.

Ingatlah amaran keras Baginda saw terhadap sesiapa yang sengaja mendustainya dengan mencipta sesebuah rangkap kata lalu menisbahkannya kepada Baginda (maksudnya): “Sesiapa yang sengaja mendustaiku, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya di neraka.” (HR Bukhari dan Muslim)

Semoga kita tidak tergolong di kalangan mereka yang mendustai Rasulullah saw.

(Artikel ini adalah pengisi kolum 'Coretan Ketua Pengarang', Majalah ERA Muslimah Bil. 19, 15 Oktober 2013, dengan tajuk sama)

Wednesday, October 2, 2013

Masjid runtuh, mengapa di Terengganu lagi?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

ADA sekurang-kurangnya dua persoalan utama yang layak dilontarkan ekoran berlakunya siri keruntuhan bangunan dan binaan awam di Terengganu sejak beberapa tahun lalu. Terbaru ialah keruntuhan sebahagian bumbung Masjid Kampung Tebauk dekat Bukit Tunggal, Kuala Terengganu pada awal pagi Ahad (29 September).

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku seawal 4 pagi itu, dan disedari oleh pegawai masjid berkenaan menjelang waktu Subuh, kekuda besi yang menampung atap di ruang legar masjid itu runtuh menyebabkan kerangka besi yang memegang siling dan bumbung turut jatuh.

Menurut laporan media yang memetik kenyataan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Datuk Shafii Mohamad, masjid tersebut dibina mulai Januari 2010 dan siap Oktober 2011.  Satu laporan menyebut kos pembinaannya RM5.6 juta, manakala satu laporan lain menyebut kosnya RM5.8 juta. Pembinaannya bagaimana pun disahkan di bawah pengawasan JKR. Ia dikatakan mampu menampung kehadiran maksima 1,500 jemaah.

Jelaslah bahawa masjid itu baru siap dan digunakan sepenuhnya hanya dua tahun lalu. Bahkan, menurut pegawai masjid berkenaan, majlis perasmian pembukaannya pun belum sempat dibuat lagi.

Kejadian ini menjadikan sudah lebih lima belas kes keruntuhan bangunan dan binaan awam di Terengganu sejak 2008. Ia juga kes ketiga melibatkan runtuhan bumbung masjid. Kejadian serupa pertama kali berlaku ke atas Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman pada 3 Oktober 2009. Kes kedua pula di Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu pada 20 Mei lalu.

Soalnya, mengapa masjid pun boleh runtuh tanpa diganggu faktor alam? Sedangkan di sisi agama Islam, masjid dianggap sebagai tempat paling selamat untuk umatnya, terutama di waktu terjadi bencana alam. Bukankah ada pesanan daripada Rasulullah saw agar kita bergegas ke masjid tatkala berlaku ribut atau angin kencang? Sebagai pusat berkumpul untuk bermunajat dan memanjatkan doa kepada Allah SWT, sudah tentu ia juga bangunan paling selamat memberikan perlindungan daripada angin dan hujan.

Masjid adalah “Rumah Allah”. Maka Dialah yang berhak menjaganya dengan sebaik-baik penjagaan. Hakikat ini bahkan pernah terbukti dalam kes tsunami hampir sedekad lalu. Kita pernah dipertontonkan kes yang dianggap “ajaib” apabila masjid menjadi satu-satunya bangunan terselamat dari ranapan ombak besar pada 26 Disember 2004 lalu.

Disebutkan terdapat 27 masjid di seluruh rantau terlibat, terutama di Indonesia, Sri Lanka dan India yang terselamat di sebalik kemusnahan ketara seluruh binaan sekitarnya. Videonya masih boleh ditonton di YouTube, “27 Mosques Saved in Tsunami”. Juga berlaku kes masjid terselamat dalam kejadian gempa bumi di beberapa negara, sedangkan seluruh bangunan di sekitarnya runtuh dan ranap.

Ajaib bukan? Ya, kita selaku muslim yang beriman dengan kekuasaan Allah tentu segera mengaitkannya dengan kudrat dan iradat Allah memelihara rumah-Nya. Ia juga akan dikaitkan dengan keikhlasan dalam pembinaan masjid-masjid terbabit. Itu termasuklah sumber kewangannya yang halal dan bersih, selain bertolak daripada dasar taqwa dan menegakkan agama Allah.

Maaf cakap, dasar taqwa itu nampaknya tidak begitu jelas dalam pembinaan sebahagian masjid di Terengganu. Bukan suatu yang rahsia lagi betapa sifat suka “menyohor” (berbangga) dengan pembinaan masjid yang banyak pernah menjadi kegemaran pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri itu suatu ketika dulu. Rakyat negeri itu dan sesiapa saja yang berkunjung ke Terengganu dalam beberapa tahun pertama BN mengambil alih kerajaan daripada PAS pada 2004 lalu telah menyaksikannya.

Di sana-sini di seluruh negeri dipacakkan papan tanda gergasi memaklumkan betapa kerajaan BN negeri telah membina 32 masjid di tahun pertama pemerintahannya (2004/05) sebagai memenuhi sasaran sebuah masjid untuk setiap Dun. Ia jelas perbuatan menunjuk-nunjuk kebaikan dan atas dasar meraih mileage politik, bukan lagi sebagai memenuhi tuntutan keperluan kepada pusat ibadat.

Bahkan berlaku kes di mana masjid sedia ada masih baik dan boleh menampung kehadiran jemaah setempat serta tidak begitu mendesak keperluan membina yang baru, tetap diluluskan juga pembinaannya. Tiada sebab yang boleh difikirkan di atas pembinaan itu, melainkan kerana mahu menunjuk kononnya kerajaan BN prihatin terhadap pembangunan agama.

Kedua, kerana memelihara tembolok para kontraktor kroni yang tidak pernah “kenyang”. Projek pembinaan masjid adalah peluang mereka mengaut untung. Ertinya pembinaan masjid bukan atas dasar taqwa dan menegakkan syiar serta syariat Islam, tetapi lebih kepada kepentingan politik dan menjaga perut kroni.

Soalan kedua, mengapa hanya di Terengganu kekerapan kes runtuhan seumpama ini berlaku? Jawabannya ialah kerana hanya di Terengganu pemerintahnya yang mengaku Islam, tetapi bertindak di luar kewarasan menyondol masjid yang telah siap dan digunakan, semata-mata atas alasan kegagalan pihak pembina mematuhi peraturan teknikal pihak berkuasa tempatan (PBT). Kes berlaku di RTB Bujal, Kemaman pada 26 Mei 2005 akan sentias diingati memandangkan ia tidak dapat disembunyikan lagi berunsur balas dendam politik.

Andainya para pemimpin BN berfikir secara waras dan ada walau pun sekelumit rasa cintakan agama, sudah tentu mereka tidak akan tergamak merobohkan tempat ibadat. Ya, ia mungkin tidak menepati peraturan pembinaan PBT, tapi soal teknikal selalu disebut orang sebagai sesuatu yang boleh diatasi. “Technicalities we can overcome”.

Apatah lagi segala kuasa untuk berunding dan bertolak ansur terletak di tangan pemerintah. BN yang diterajui individu Muslim tidak sepatutnya hilang pertimbangan, dan begitu mudah menidakkan kesucian “Rumah Allah” itu. Sedangkan jika alasan tidak mematuhi syarat pembinaan PBT, maka beratus-ratus kes seumpamanya boleh diselongkar di serata Terengganu, termasuk beberapa bangunan milik Umno sendiri.

Justeru, biar pun setiap kali berlaku kes runtuhan sebegini, pihak bertanggungjawab akan sibuk membentangkan kegagalan teknikal, bagi kita ia sebenarnya isyarat daripada kemurkaan Allah SWT atas keterlanjuran yang pernah dibuat BN itu. Selagi mereka tidak bertaubat, mengakui dan menyesali perbuatan di RTB Bujal itu, maka selagi itulah satu demi satu kes keruntuhan akan berlaku di Terengganu!

(Artikel ini adalah versi asal (lebih panjang) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1882, 28 Zulkaedah 1434/4 Oktober 2013 di ruangan F10 KOLUMNIS dengan tajuk sama)