Sunday, May 26, 2013

Besut, Setiu ibarat Sabah, Sarawak?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Baguslah PAS Terengganu cepat sedar akan kelemahannya “membiarkan” gerakerja parti di Besut dan Setiu sebelum ini tanpa fokus dan perhatian khusus. Setelah dua kawasan parlimen itu tidak berupaya menyumbang sebarang kerusi dalam PRU-13 baru-baru ini, kepimpinan parti di negeri itu segera melontarkan hasrat mengambil perhatian lebih berat terhadap kawasan berkenaan.

Harakah  17 Mei lalu memetik kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahari Mamat bahawa pihaknya akan memberi tumpuan lebih serta mensasarkan kawasan Besut dan Setiu untuk dimenangi pada PRU-14 nanti. Menurut Adun Paka itu, tumpuan lebih bagi kedua-dua kawasan berkenaan kini dijadikan keutamaan bagi PAS Terengganu sebagai persiapan mengambil alih negeri pada pilihan raya akan datang.

Dua kawasan parlimen paling utara negeri itu kini menjadi bahan bualan dan sindiran paling laris di kalangan pengulas dan penganalisis politik. Boleh dikatakan hampir semua medan sembang politik, rasmi atau tidak rasmi, seakan tidak melepaskan peluang untuk mempersoalkan, “kenapa Besut dan Setiu langsung tidak menyumbang sebarang kerusi (untuk PAS Terengganu)?”

Selalunya juga pertanyaan itu akan disusuli dengan andaian penuh harapan, “kalau lah setiap kawasan tu sumbang satu kerusi pun, kita (PAS) dah boleh memerintah (Terengganu).”

Mereka merujuk kepada kejayaan PAS nyaris merampas Terengganu pada PRU lalu. Parti itu menang di 15 daripada 32 kerusi dan memerlukan hanya dua kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah.

Itulah gambaran penyesalan di forum-forum sembang, terutama di kedai kopi, anjung surau mahu pun di tempat kerja. Sedangkan pada asalnya (sebelum tiba pilihan raya) harapan sebegitu tinggi terhadap sumbangan kerusi dari dua kawsan itu (khususnya Besut) tidak pun menjadi bahan utama bual bicara umum.

Sebab itu penulis melihat persoalan ini wajar diperhalusi semula. Sekurang-kurangnya para pemimpin dan pendukung PAS Terengganu sendiri, juga penganalisis dan pemerhati politik yang ghairah mengulas keputusan PRU-13 di negeri itu boleh sedikit berlaku adil dan realistik dengan faktor-faktornya.

Untuk itu, di sini penulis lontarkan beberapa pemerhatian yang bagi penulis menjadi antara faktor mendorong terhasilnya keputusan pilihan raya itu seadanya.

Pertama, maaf cakap, kesungguhan PAS Terengganu sendiri untuk merampas kerajaan tidaklah begitu meyakinkan. Penulis teringat dalam satu perbincangan tertutup, seorang pemimpin kanan PAS negeri menyatakan pihaknya tidak berhasrat untuk memerintah Terengganu tanpa menawan Putrajaya. Meminjam perkataannya, “tak leh buat apa jugak kalau tak perintah Pusat!”.

Pendirian itu rupanya bukan bersifat peribadi. Ia diulang pemimpin lebih atas daripadanya (di peringkat negeri) dalam satu majlis di Besut. Lebih kurang katanya, “kita (PAS) akan hadapi banyak kesukaran kalau pun kita menang Terengganu, banyak benda tak leh nak buat, kalau kita menang negeri saja, tak menang Pusat.”

Ertinya, kepimpinan tertinggi PAS Terengganu seakan seia-sekata meletakkan harapan menawan Terengganu secara bersyarat, yakni mestilah juga di masa sama menawan kerajaan Pusat. Itu bukanlah pendirian atau penegasan yang baik, lebih-lebih lagi apabila ia diucapkan secara terbuka. Bagi penulis, ia tidak membantu melonjakkan semangat gerakerja jentera bawahan.

Kedua, dalam setahun-dua terawal selepas PRU 2008 lalu, senarai kerusi-kerusi sasar tidak begitu jelas melibatkan mana-mana kerusi di kawasan Besut. Hal itu mungkin mengambilkira majoriti kekalahan pada pilihan raya tersebut, di mana Dun terbaik di Besut, iaitu Hulu Besut (dengan majoriti kekalahan lebih 2,500), hanya berada di tangga ke-21. Sedangkan untuk memerintah Terengganu, jumlah kerusi yang disasarkan hanyalah 17.

Ertinya, Besut tidak diletakkan harapan tinggi untuk menyumbang kerusi membantu kemenangan Terengganu. Jangan dikatakan untuk sasaran 17 kerusi, untuk senarai lebih panjang melibatkan 20 kerusi pun masih belum termasuk mana-mana kerusi dari Besut.

Kes ini berbeza dengan Setiu, di mana dua kerusi dari kawasan berkenaan, iaitu Jabi dan Batu Rakit memang tersenarai sebagai kerusi sasaran “mesti menang” sedari awal lagi.

Namun, menurut kata beberapa pihak, senarai itu kemudiannya berubah. Kononnya, ada dua kerusi di Besut, iaitu Jertih dan Kota Putera dimasukkan ke dalam senarai sasar. Kita tidak pasti sejauh mana dakwaan itu benar. Apa yang pasti, tidak ada pula kedengaran cakap-cakap mengiyakan dakwaan sedemikian, khususnya di kalangan pendukung PAS di Besut sendiri.

Lebih-lebih lagi dalam konteks Dun Kota Putera, agak tidak munasabah jika dikatakan ia turut termasuk dalam Dun sasar PAS negeri, memandangkan ia pada sepanjang masa diletakkan sebagai Dun paling tidak berpotensi untuk dimenangi. Dun itu malah sentiasa dijadikan keutamaan untuk difaraidkan kepada parti rakan, Keadilan. Hanya di saat-saat akhir menjelang PRU lalu barulah ‘angin’ sokongan dari pihak atasan, termasuk PAS Kawasan Besut sendiri terhadap tuntutan pendukung PAS di Dun berkenaan terzahir.

Sebab itu ‘perebutan’ hak ke atas kerusi itu terseret hingga ke tahap pertarungan tiga penjuru. Ketegasan pimpinan parti mempertahankan hak PAS bertanding di situ tidak terserlah sedari awal. Sebab itu bagi penulis agak tidak logik bila ada pihak mengatakan kononnya PAS negeri juga menyenaraikan Kota Putera sebagai Dun sasar untuk dimenangi.

Ketiga, apabila PAS gagal di mana-mana kerusi, kena tengok juga kekuatan parti lawan di situ. Pernah disebut orang dan diakui banyak pihak bahawa di antara Umno paling ganas dan paling jahat di seluruh negara ialah Umno Terengganu. Sedangkan pendukung Umno Terengganu paling “kepala pengat” ialah dari Besut.

Sedarilah hakikat bahawa Ketua Umno Bahagian Besut adalah Pengarah Strategik Umno Malaysia. Beliau adalah kepala perancang segala macam strategi BN mengalahkan PAS/PR di seluruh negara. Maka mana mungkin dia membiarkan partinya sebegitu mudah dikalahkan oleh PAS di daerahnya sendiri?

Kini, orang galak bercakap bahawa Besut dan Setiu paling payah menerima angin perubahan. Dua kawasan Parlimen ini dianggap ‘deposit tetap’ BN Terengganu.

Lalu ada yang secara berseloroh (sinis... sebenarnya!) mengumpamakan dua daerah itu ibarat Sabah dan Sarawak buat BN dalam konteks nasional (deposit tetap kemenangan BN). Namun bagi kita, tidak ada yang mustahil dalam politik. Insya Allah tanggapan itu bakal berubah dalam siri pilihan raya akan datang.

Bahkan, Sabah dan Sarawak sendiri pun sudah menunjukkan perubahan ke arah lebih positif buat pakatan pembangkang. Maka tidak mustahil Besut dan Setiu juga mampu mengorak langkah lebih bagus buat PAS.

Paling tidak pun kita patut ucapkan tahniah kepada PAS Kawasan Besut. Mereka telah menunjukkan pencapaian sangat positif di Jertih dan Kota Putera baru-baru ini. Di kedua-dua kerusi itu PAS berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN sekitar 2,000 undi.

Bayangkan, andaikata “lonjakan” serupa berlaku di Dun Kuala Berang, Batu Rakit dan Jabi (tiga Dun yang difahamkan termasuk senarai “perlu menang”), maka pada adatnya sudah tentu Terengganu menjadi milik PAS dan Pakatan Rakyat. Di kala itu, barangkali orang pun tidak akan segalak kini mempersoalkan kenapa Besut tidak menyumbang walau pun satu kerusi. Betul tak?

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil:1847 17-20 Rejab 1434/27-30 Mei 2013 di ruangan F8 KOLUMNIS dengan tajuk sama)

Monday, May 20, 2013

Politik balas dendam BN Terengganu mangsakan rakyat


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Belum apa-apa lagi, Dato’ Seri Ahmad Said sudah pun mencetuskan kontroversi. Sebaik sahaja menerima watikah pelantikan semula sebagai Menteri Besar Terengganu, pemimpin yang terkenal suka “cakap lepas” itu terus sahaja menzahirkan warnanya yang sebenar.

“Selama ini BN yang ambilalih tugas wakil rakyat PAS. Mereka (rakyat/pengundi) sudah pilih wakil rakyat masing-masing, jadi kalau ada masalah, pergi mengadu kepada wakil rakyat mereka,” latahnya, sepertimana dipetik media.

Ahmad dilaporkan berkata demikian selepas Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, 11 Mei lalu.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan mengkaji semula sama ada akan menerus atau menamatkan khidmat Pegawai Pembangunan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kawasan-kawasan BN mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini.

Justeru, difahamkan segala peruntukan pembangunan ke kawasan terbabit (yang selama ini disalurkan melalui pegawai-pegawai pembangunan itu) tidak akan disalurkan lagi. Sebaliknya, fokus pembangunan akan hanya ditumpukan kepada kawasan-kawasan dimenangi partinya. Ia termasuklah projek pembangunan perumahan mampu milik yang dinyatakan di dalam ‘Aku Janji BN Terengganu’, sebagai sebahagian manifesto pilihan raya parti itu baru-baru ini.

Tidak syak lagi, kenyataan ‘sulung’ Ahmad selaku MB Terengganu itu mengejutkan banyak pihak. Bukan sahaja khalayak pemimpin dan pendukung parti pembangkang yang kecewa, bahkan turut terkilan ialah kalangan pegawai kerajaan dan rakyat bawahan. Cakap seorang pemimpin utama dianggap dasar yang bakal dikuatkuasa dan dilaksanakan pemerintahannya. Maka, apakah kerajaan Terengganu suka dilabelkan sebagai sebuah kerajaan pendendam?

Banyak pihak, termasuk kalangan tidak berparti mahu pun pendukung BN sendiri sebenarnya mutakhir ini sudah semakin berfikiran terbuka. Bagi mereka, perbezaan politik hendaklah ditangani secara sihat dan matang. Sebab itu biar pun berlawan hangit sepanjang kempen pilihan raya, mereka tidak mengharapkan sentimen kepartian itu berlarutan seusai proses demokrasi itu.

Sejajar perkembangan dunia yang semakin maju kini, minda rakyat juga telah beranjak. Mereka bukan lagi dibentengi pemikiran lama yang suka hidup bersuku-sakat atau berpuak-puak, lebih-lebih lagi dibatasi perbezaan parti. Bagi mereka selesainya proses pilihan raya bererti selesailah tindakan-tindakan dengan merit politik.

Apabila yang menang dan kalah dapat menerima keputusan masing-masing, sepatutnya mana-mana parti pun yang menang menjuruskan agenda pemerintahan ke arah pembangunan negeri dan masyarakat. Untuk itu manfaat pembangunan itu sepatutnya untuk seluruh rakyat, tanpa lagi mengira latarbelakang politik mereka.

Ini bukan lagi era 80-an atau 90-an. Politik balas dendam bukan lagi pendirian yang dianggap murni dan berpatutan. Sebaliknya, sebarang keputusan pilihan raya sepatutnya dijadikan asas ke arah menyediakan khidmat dan manfaat yang semakin baik kepada rakyat. Dalam ertikata lain, semakin seimbang kekuatan (kemenangan) di antara kerajaan dan pembangkang, sepatutnya semakin merata dan menyeluruh juga agenda pembangunan dan kebajikan di dalam masyarakat.

Malangnya, ternyata Ahmad dan para pemimpin BN Terengganu belum benar-benar “kebah” daripada “demam terkejut” ekoran kedudukan partinya yang nyaris tumbang di tangan PAS/Pakatan Rakyat. Dalam PRU-13, 5 Mei lalu, BN yang sebelum ini menguasai 24 daripada 32 kerusi hanya mampu bertahan di 17 kerusi. Hayat pemerintahannya hanya disambung dengan kelebihan dua kerusi berbanding pakatan pembangkang yang memenangi 15 kerusi.

Ekoran prestasi memalukan itu, kedengaran suara-suara dari kalangan pendukung BN Terengganu sendiri agar Ahmad tidak lagi disambung khidmatnya sebagai ketua kerajaan. Mujur juga beliau telah mengambil tindakan “penyelamat” lebih awal. Beliau telah menggugurkan sebilangan nama yang dikenalpasti berpotensi menggugat kedudukan beliau selaku peneraju pasukan BN negeri. Nama-nama seperti Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) siang-siang lagi disingkirkan dari senarai calon-calon BN kali ini. Menyingkap sejarah “perebutan” pada 2008 lalu, mereka inilah menjuarai suara menentang pelantikan Ahmad sebagai MB.

Banyak pihak mengharapkan Ahmad belajar daripada pengalaman pahit dilaluinya sebelum ini. Bahawa beliau sekurang-kurangnya akan mengurangkan musuh dalaman partinya. Dengan itu tidak akan ada unsur-unsur sabotaj di kalangan sesama pendukung kerajaan, sepertimana kes-kes yang berlaku pada penggal lalu. Rakyat dapat merasai betapa kelancaran program pemerintahan banyak terbantut ekoran pergeseran dalaman BN sendiri.

Lebih diharapkan ialah agar Ahmad memulakan penggal baru ini secara lebih matang. Beliau seharusnya meletakkan dirinya sebagai pemimpin kepada semua rakyat Terengganu, tanpa mengira kecenderungan politik. Bertolak dari situ, tidak akan ada pilih kasih dalam pelaksanaan apa-apa agenda pemerintahan berasaskan merit politik semata-mata.

Apatah lagi dengan keputusan pilihan raya lalu, hampir separuh kawasan di negeri itu bukan lagi milik BN. Bayangkan saja, di mana rasionalnya untuk sebuah kerajaan menidakkan pembangunan kepada separuh negerinya, semata-mata didorong bisikan syaitan yang menyeru “padan muka dia orang kerana menolak BN”?

(Artikel ini disiarkan di ruangan F21 KOLUMNIS akhbar Harakah, Bil: 1845, 10-13 Rejab 1434/20-23 Mei 2013dengan tajuk serupa)

Monday, May 13, 2013

Lonjakan akhir PAS Terengganu cipta kejutan


Oleh: Mohd Nasir Awang

Agak tinggi nada suara saya tatkala berbual bicara soal perkembangan politik negara dengan sebilangan teman di ibukota beberapa minggu lalu. Ketika itu Parlimen Malaysia diambang pembubaran. Cakap-cakap mengenai persepsi umum bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan menawan Putrajaya (pusat pentadbiran negara) amat laris kedengaran. Masing-masing (rakan-rakan pendukung PR) seronok menghitung kononnya beberapa negeri lagi akan jatuh ke tangan PR, selain empat negeri sedia ada.

Di masa sama, kutukan dan pertikaian terhadap nasib yang bakal menimpa PAS Terengganu turut menjadi bahan persendaan agak laris. Boleh dikatakan setiap yang mengejek itu akan menyandarkan hujah mereka kepada apa yang mereka dakwa sebagai hasil kajian oleh pihak itu dan ini, yang kesemuanya kata mereka menyimpulkan bahawa Terengganu antara negeri yang akan kekal di perintah Barisan Nasional (BN).

“Terengganu paling tak ada harapan... Perak boleh ambik balik, Johor pun boleh ambik! Perlis, Negri Sembilan, semua kemungkian (PR) dapat ambik. Terengganu je tak nampak gaya. Macamana ni Sir?”, terjah seorang teman, yang juga aktivis media.

Sepertimana yang lain, beliau mendakwa hujah itu adalah penemuan terbaru hasil kajian seorang ahli akademik kulit putih yang dikenali pakar kajian politik Asia Tenggara, khususnya Malaysia. Saya sendiri pun pernah beberapa kali bertemu dan berbicara dengan pakar dimaksudkan.

Saya tidak menafikan keilmuan dan kepakarannya dalam kajian politik negara kita. Cuma saya tidak pasti apakah yang didakwa sebagai hasil kajian itu memang betul-betul dinyatakan pakar tersebut, atau hanya “raisan” teman tadi daripada perawi lain untuk menyedapkan hujahnya.

Apa pun saya agak tersinggung apabila jangkaan kegagalan di Terengganu itu dibahasakan kepada sikap, pendekatan dan strategi politik diambil PAS negeri itu yang kononnya “eksklusif dan tidak terbuka”, lalu dinilai tidak mampu menarik masyarakat. Lebih mencabar rasional saya lagi ialah apabila dihujahkan kononnya PAS Terengganu “tidak mesra Pakatan Rakyat”. Malah pendekatan diambilnya “menyimpang” daripada strategi diambil PAS negeri-negeri lain di seluruh negara. Sedangkan, katanya Terengganu adalah “negeri Presiden dan Setiausaha Agung” PAS.

“Ente ni negatif sangat, kuat sangat sentimen anti-Terengganu”, tepis saya, agak keras bercampur kecewa. Sebagai anak Terengganu, yang juga pendukung parti, saya tidak pernah ketinggalan mengikuti segala perkembangan politik negara, termasuk “pertikaian dalaman” parti. Justeru, saya anggap “persendaan” itu lebih dibauri sentimen negatif sesama sendiri ketika itu.

Seraya menghormati jika benar apa yang didakwa sebagai hasil kajian pakar itu, saya turut cuba mengendurkan “serangan” terhadap PAS Terengganu. Rasional saya, boleh dikatakan hampir semua faktor atau fenomena menjurus ke arah perubahan politik di seluruh negara yang terserlah ketika itu turut wujud di Terengganu.

Paling ketara ialah fenomena kebangkitan anak muda dan penguasaan media baru oleh khalayak pendukung PR. Antara faktor kebangkitan anak muda ialah kejayaan program Orang Muda Geng Kita” (OMGK) dilaksanakan Dewan Pemuda di seluruh negara.

Terengganu tidak terkecuali. Bahkan lebih menyemarakkan kebangkitan anak-anak muda di Terengganu ialah apabila ikon utama rakan sebaya mereka di seluruh negara adalah Ustaz Azhar Idrus, ulama yang bukan sahaja berasal dari negeri mereka sendiri, tetapi sengaja mengekalkan slanga Terengganu walau di mana beliau berkuliah. Anak-anak muda menggelarkan beliau “Big Boh”. 

Selain itu, usaha menawan Terengganu turut dibantu beberapa faktor pendorong lain. Antaranya, kerja keras Kelab Anak-Anak Terengganu Penyokong PAS di Perantauan (Perantau). Kelab ini menjelajah seluruh negara sejak bertahun, mengesan dan mengumpul anak-anak Terengganu, termasuk mengadakan suaikenal dan ramah mesra dengan pemimpin PAS negeri.

Kemuncak agenda Perantau membantu PAS negeri ialah kempen P3P, yakni “Perantau Pulang Pakoh Pakatan”, yang alhamdulillah dilaksanakan dengan jayanya untuk Pilihan Raya Umum ke-13 minggu lalu.

Pendorong lain ialah usaha gigih dan pengorbanan besar PAS negeri menyempurnakan berbagai program memasyarakatkan PAS. Antara yang utama ialah lapan siri himpunan raksasa. Tujuh siri Himpunan Kebangkitan Rakyat-PAS Ganti Umno (HKR-PGU) dilaksanakan sepanjang dua tahun terkebelakang melibatkan tujuh kawasan Parlimen. Manakala untuk kawasan Hulu Terengganu, siri itu digantikan dengan ijtimak Itqanul Muluk. Setiap satu himpunan yang memakan belanja ratusan ribu itu alhamdulillah berupaya meninggalkan kesan positif, terutama dalam membentuk persepsi politik masyarakat setempat terhadap keupayaan PAS.

Turut saya anggap faktor pembantu sokongan terhadap PAS ialah rekod khidmat Adun-Adun PAS yang sangat baik. Sebab itu kesemua kerusi milik PAS pada 2008 berjaya dipertahankan. Sebagai contoh, saya ke Dungun tahun lalu. Orang di sana sangat memuji Ustaz Wan Hassan, Adun Sura. Prestasinya sangat baik. Beliau malah dikatakan memanjangkan khidmat di luar sempadan Dun. Sehinggakan orang Dungun berkata, “jika Ustaz Wan Hassan tanding Parlimen pun, insya Allah boleh menang”. Cakap setahun lalu itu kini benar-benar menjadi realiti.

Di atas rekod sama, walau pun Dato’ Harun Taib tidak bertanding di atas faktor kesihatan, legasinya di Dun Manir memudahkan anaknya mewarisi kemenangan cemerlang untuk PAS. Begitulah juga Adun-Adun PAS yang lain, yang kebanyakannya mencatat peningkatan dalam majoriti kemenangan masing-masing.

Kesemua faktor di atas melibatkan perancangan dan usaha berterusan. Ia bukan dibuat secara ‘adhoc’ atau tidak berencana, sebaliknya dirancang dan dilaksanakan berterusan selama bertahun. Ertinya, jika negeri lain menunjukkan perkembangan sokongan terhadap PAS/PR yang lebih menyerlah berbanding Terengganu, itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan dakwaan kononnya PAS Terengganu ‘tak buat kerja’, atau ‘silap pilih strategi/pendekatan’.

Namun, persepsi kurang baik terhadap PAS negeri itu tetap menguasai forum politik negara. Sehinggalah ke saat pembubaran Parlimen dan DUN-DUN pun, Terengganu masih diletakkan sebagai negeri paling tidak ada harapan buat PR.

Persepsi itu bagaimana pun segera berubah sejurus selepas pembubaran Parlimen. Entah macamana, tiba-tiba cakap-cakap yang sangat negatif terhadap keupayaan negeri itu melonjakkan sokongan bertukar nada menjadi lebih positif. Sehinggalah apabila usai penamaan calon, cakap-cakap negatif itu beransur ranap. Sebaliknya, semakin berkumandang pula laungan bahawa “kita (PAS) akan perintah semula Terengganu”.

Pada pengamatan saya, ada beberapa faktor yang mendorong “pecutan akhir” ini berlaku. Secara ringkasnya, saya simpulkan seperti berikut.

Pertama, perebutan kerusi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Walau pun dari luarannya “kegagalan” pemimpin kedua-dua parti rakan menyelesaikan tuntutan ke atas beberapa kerusi di Terengganu dianggap memberikan kesan negatif terhadap PR, ada implikasi positif sebenarnya yang terhasil dari episod perebutan itu.

Saya melihat berlaku “lonjakan” luar biasa dalam mempamerkan kekuatan jentera PAS, terutama di Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir, sebagai justifikasi tuntutan mewakili PR di kerusi-kerusi terbabit. Sekira-kira jika alasan kelemahan gerakerja dijadikan sandaran menyerahkan mandat kepada PKR untuk melawan BN, alasan itu sudah tidak relevan lagi.

Ketegasan Tuan Guru Presiden meminta kerusi-kerusi berkenaan diserahkan kepada PAS amat tepat. Ia bukan sahaja melonjakkan semangat dan kesungguhan kerja pendukung di situ, malah turut mewujudkan kerjasama lebih erat dengan parti rakan itu di kawasan-kawasan lain. Di empat kerusi lain ditandingi PKR, iaitu Telemong, Bandar, Permaisuri dan Parlimen Kemaman, jentera PAS telah menunjukkan setiakawan sangat tinggi membantu parti yang memang kekurangan jentera itu.

Kedua, ‘line-up’ calon-calon PAS yang meyakinkan. Kepelbagaian latarbelakang pendidikan dan profesion di kalangan mereka bagaikan isyarat bahawa PAS serius dalam usahanya membentuk pasukan terbaik menerajui kerajaan sekiranya diberi kemenangan. Ketiadaan beberapa “muka lama” juga melegakan banyak pihak.

Dalam masa yang singkat persepsi itu berjaya membentuk mood positif terhadap PAS di seluruh negeri, tentu sekali antaranya dengan bantuan media baru. PAS/PR mengetengahkan 20 muka baru melibatkan semua kawasan. Paling menonjol ialah di kesemua lima kerusi di Besut dan tiga kerusi di Setiu, serta masing-masing dua di setiap kawasan lain.

Ketiga, percaturan calon BN. Dengan mengemukakan 15 muka baru dan menonjolkan semula lima muka lama, BN sepatutnya dapat menambah keyakinan rakyat. Malangnya, manouvre politik di sebalik penampilan mereka itu membawa natijah negatif. Rupa-rupanya percaturan calon BN terhasil daripada politik cantas. Tidak kurang lapan penyandang digugurkan, bukan sangat kerana nilaian prestasi mereka, tetapi lebih kerana merit politik dalaman Umno.

Memang cerita perbalahan dalaman Umno tidak pernah padam. Parti itu malah sudah sinonim dengan perpecahan dan cantas-mencantas ini. Namun, kebiasaannya ia akan “diubati” oleh pucuk pimpinan tatkala berdepan pilihan raya.

Kali ini penyelesaian itu tidak muncul. Sebaliknya, yang muncul ialah calon-calon Bebas dari kalangan pemimpin dan aktivis Umno. Enam kerusi menyaksikan calon BN turut ditentang ahli partinya sendiri. Walau pun semua mereka tidak berjaya menarik undi yang besar, kemunculan mereka telah melontarkan persepsi kepada masyarakat umum bahawa Umno/BN adalah parti yang suka berbalah. Persepsi ini secara tidak langsung memberikan imej positif kepada PAS.

Keempat, pengundi Cina tolak BN. Bukti paling nyata ialah di Dun Bandar, apabila mereka menolak bangsa sendiri (calon BN) sehingga memenangkan calon Melayu (PR). Sokongan dan undi mereka turut dirasai di peti-peti undi kaum itu. Ia turut memberi saham memenangkan PAS di Cukai dan hampir merampas Jertih.

Kelima, isu-isu yang memakan diri BN. Beberapa isu diketengahkan BN tidak menghasilkan kesan diharapkan. Sebaliknya kes-kes seperti pengedaran/penayangan video lucah di pos-pos BN, poster ‘seluar dalam’ dan isu kalimah Allah yang diputarbelit, gagal mempengaruhi rakyat. Manakala isu kononnya PAS menjadi tunggangan DAP berbalik menikam BN apabila terbukti Umno sebenarnya yang menjadi tunggangan MCA, sepertimana dalam kes hudud.

Ada lagi faktor-faktor lain yang boleh disenaraikan. Antaranya isu pelbagai kegagalan pemerintahan BN di bawah Dato’ Seri Ahmad Said, isu peningkatan bebanan hidup rakyat, pembaziran wang rakyat dan seumpamanya.

Wujud juga beberapa isu yang lebih bersifat lokal, antaranya membabitkan perbandingan kelebihan calon PAS dan kelemahan calon BN, buruk laku pemimpin Umno setempat dan seumpamanya.

Berbekalkan suasana itu, PAS Terengganu akhirnya berjaya memenangi 15 daripada 32 kerusi Dun, berbanding 17 oleh BN. Pencapaian itu tidak syak lagi mengejutkan banyak pihak. Daripada penilaian yang dianggap paling tidak ada harapan, ia melonjakkan prestasi sehingga hampir-hampir merampas semula kerajaan.

Biar pun tidak berjaya memerintah semula Terengganu, kejayaan dicapai PAS negeri itu bagi saya amat membanggakan. Ia bukan sahaja menyentap keegoan dan keangkuhan BN selaku parti pemerintah, tetapi turut menutup mulut para pengkritik dalaman yang selama ini terlalu pesimis dan negatif terhadap keupayaan PAS Terengganu.

Apalah agaknya reaksi teman-teman saya tadi jika kami bersua selepas ini?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil. 1843, 3-6 Rejab 1434/13-16 Mei 2013 di ruangan F14 FOKUS dengan tajuk "PAS Terengganu cipta kejutan - Lonjakan akhir tutup mulut pengkritik, benam keegoan BN")

Wednesday, May 8, 2013

Jadilah pendorong kebaikan


Oleh: Mohd Nasir Awang

EDISI ini dijadualkan menjengah pasaran sejurus sebelum berlangsungnya pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Barangkali ketika halaman ini ditatap pembaca, kerancakan kempen dan “pertarungan” antara pihak-pihak yang bertanding sedang berada di kemuncak. Boleh jadi juga proses demokrasi yang hanya datang empat atau lima tahun sekali itu telah pun usai.

Apa pun keadaannya, seperkara yang tidak sayugia dipandang ringan ialah setiap kita ada peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan corak dan halatuju kepimpinan masyarakat dan negara. Bahawa setiap diri ada saham di atas apa jua keputusan akhir yang muncul hasil proses demokrasi itu. Bahawa undi yang diberi atau tidak diberi kepada mana-mana calon adalah penentu sama ada kerajaan yang bakal terbentuk hasil pilihan anda itu akan membawa rakyat menuju ke arah lebih baik atau sebaliknya.

Sepertimana yang selalu diajarkan kepada kita, Islam adalah agama yang lengkap. Dalam istilah yang lebih popular, ia disebut agama yang “syumul”, dengan maksud ia bersifat menyeluruh dan merangkum. Sekira-kira tidak ada sebarang aspek kehidupan manusia – dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya - yang tertinggal atau tidak diambil tahu oleh ajaran Islam.

Hakikat ini sering disebutkan contohnya oleh para asatizah dan ulama lewat kuliah atau tazkirah mereka. Bahawa agama kita mengatur tatacara hidup dengan amat rinci. Sebab itu akan kita dapati ajaran agama mengenai tertib dan adab dalam melaksanakan sekecil-kecil perkara, seumpama bagaimana mahu masuk ke tandas, apa yang wajar dituturkan tatkala seseorang itu bersin dan apa pula jawaban orang yang mendengarnya.

Begitu juga soal berjalan, apabila ada larangan berjalan dengan megah, mengangkat dada atau mendongak muka. Sebaliknya ada pula pengesyoran agar menundukkan pandangan. Kesemua itu diteladani dari sabda dan perbuatan Rasulullah saw, selain hukumnya yang umum turut dicatatkan di dalam kitab suci al-Quran.

Lalu para asatizah dan alim-ulama kita menegaskan, kalaulah dalam perkara-perkara sekecil mengutis daun atau mematahkan ranting pokok pun ada larangan agar tidak dilakukan sewenang-wenangnya, maka apatah lagi soal yang sangat besar seumpama penentuan kepimpinan masyarakat dan negara.

Jika proses pemilihan itu belum usai, maka ingatlah bahawa tanggungjawab kita menentukan kepimpinan negara dan negeri amat besar. Ia bukan sahaja didesak atas nama tanggungjawab anda sebagai rakyat untuk menunaikan hak di bawah sistem demokrasi. Bukan juga semata-mata di atas semangat ‘demi negara yang tercinta’. Lebih penting dari semua itu, bagi kita yang bernama umat Islam, ialah ianya merupakan tuntutan dari agama kita sendiri.

Ketahuilah bahawa Islam amat menitikberat soal memilih pemimpin. Lihat saja bagaimana tatkala wafatnya Rasulullah saw, sebilangan sahabat utama Baginda tidak menumpukan urusan pengebumian Nabi saw, sebaliknya berkumpul dan bermesyuarat untuk menentukan pengganti Baginda.

Bukan soal pengurusan jenazah Baginda itu tidak penting. Jauh sekali untuk dikatakan para sahabat besar itu lebih mengutamakan “perebutan” jawatan khalifah sehingga tergamak tidak memuliakan Nabi saw. Tidak munasabah buat para sahabat selaku sosok-sosok paling akrab dan paling setia kepada Rasulullah saw untuk bersikap demikian. Melainkan hanya sanya kerana apa yang perlu mereka putuskan (yakni mencari pengganti Baginda saw dalam kadar segera) itu adalah sesuatu yang sangat penting, bahkan lebih penting daripada urusan pengebumian Baginda saw sendiri.

Dalam kes lain, kita turut diajarkan pesanan Rasulullah saw bahawa sekiranya kita bermusafir bertiga atau lebih, maka hendaklah diangkat salah seorang di antara kita sebagai amir atau ketua permusafiran itu. Bahkan, ada juga ulama berpandangan bahawa berdosa bagi umat Islam untuk hidup lebih daripada tiga hari tanpa ada seorang antara mereka sebagai ketua.

Banyak lagi contoh yang boleh dipetik bagi menggambarkan betapa Islam sangat menitikberatkan soal memilih pemimpin. Manakala soal sifat atau ciri pemimpin yang baik dan wajar dijadikan pilihan juga banyak diperkata dan diperbahaskan, sama ada menerusi firman Allah SWT, sabda Rasulullah saw mahu pun syarah oleh para ulama terbilang,

Bagi kita selaku individu muslim sekaligus warga masyarakat yang prihatin, prinsip utama yang wajar kita pegang ialah, dalam apa pun keadaan biarlah hidup kita ini menjadi pendorong kepada kebaikan. Semua orang cinta dan mahukan kebaikan. Namun kebaikan yang terbaik sudah tentulah yang bertepatan dengan apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya, yang terangkum di dalam ajaran-ajaran Islam.

Dalam hal ini teringat saya kepada sepotong hadith riwayat Muslim yang kira-kira maksudnya: “Pendorong kepada kebaikan adalah seumpama pelakunya”. Dalam ertikata lain, jika kita meletakkan diri kita sebagai pendorong atau pembantu kepada seseorang yang melakukan kebaikan, maka ia seumpama kita sendiri yang melakukan kebaikan itu. Kita akan turut mendapat ganjaran dari sisi Allah hasil kebaikan dilakukan orang itu, walau pun kita sekadar membantu atau mendorongnya.

Sebaliknya, dalam menghuraikan hadith ini para ulama menambah, “pendorong atau pembantu ke arah keburukan, juga seumpama pelakunya sendiri”. Maka terpulang kepada kita mahu memilih sama ada untuk menjadi pendorong kebaikan atau keburukan.

Jika PRU-13 sudah melabuhkan tirainya, bermakna kita semua sudah membuat pilihan. Maka, sama ada pemimpin yang kita beri kepercayaan itu bakal menjadikan undi kita kepadanya sebagai pendorong kebaikan atau keburukan, terpulanglah kepada kebijaksanaan kita memilihnya.

Sementara proses pemilihan umum itu berlangsung hanya beberapa tahun sekali, proses memilih sama ada untuk membantu kerja-kerja ke arah kebaikan atau keburukan pula akan kita temui setiap hari di dalam kehidupan kita.

Contohnya, dengan duit RM10 dari kocek, kita boleh pilih sama ada untuk dihabiskan kepada majalah humor, hiburan dan gossip yang berpotensi melalaikan kita dari mengingati Allah Ta’ala, atau untuk membeli majalah agama dan motivasi diri yang boleh membawa kita lebih dekat dengan-Nya.

Anda seorang yang bijak sekiranya memilih menjadi pendorong kepada kebaikan!

(Artikel ini mengisi ruangan 'Catatan Ketua Pengarang' majalah Era Muslimah, Bil. 15, yang terbit 8 Mei 2013)

Thursday, May 2, 2013

Pendorong kerja baik seumpama pelakunya


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Yang mengajarkan ilmu kepada manusia dengan perantaraan mata pena. Dia juga mengajarkan manusia apa yang tidak mereka ketahui.

Topik edisi ini ialah mengenai media. Berbanyak terimakasih kepada sebilangan kolumnis dan penyumbang rencana yang memungkinkan kami memaparkan sorotan dan ulasan dari berbagai aspek dan sudut berkaitan media. Tidak syak lagi, berbekalkan ilmu dan pemahaman mengenai topik dibicarakan, masing-masing mereka telah muncul dengan garapan sangat mantap dan meyakinkan.

Tidak kurang juga penghargaan kami buat sejumlah responden di luar sana yang sudi mencoretkan komentar masing-masing mengenai topik bicara kali ini, bagi dikongsikan bersama para pembaca sekalian. Apa yang kami siarkan di sini (berdasarkan apa yang mereka lontarkan) mungkin tidak mewakili pandangan atau pendirian masyarakat terbanyak. Namun paling tidak mereka berani menyuarakan buah fikir masing-masing, yang kami kira dihamburkan secara jujur.

Semoga interaksi dua hala yang konstruktif dan bermanfaat ini akan dapat diperluaskan, sekali gus membantu kami menyemarakkan lagi pemahaman ilmu-ilmu Islam di dalam masyarakat kita.

Kesungguhan ditunjukkan semua pihak, sama ada kolumnis terbabit, penulis undangan mahu pun para responden dalam memeriahkan perbincangan topik kali ini amat membanggakan kami. Amat terasa wujudnya suatu kerjasama sangat bermakna sehingga memudahkan kami menghidangkan sajian terbaik buat para pembaca.

Kami turut berharap mudah-mudahan keghairahan dan kesediaan semua pihak membantu urusan kami ini menepati saranan Baginda saw, bahawa menjadi pembantu atau pendorong kepada sesuatu kebaikan itu adalah dikira seumpama melakukan kebaikan itu sendiri. Dalam ertikata lain, walau pun kita hanya berperanan sebagai pendorong atau penggalak kepada sesuatu kerja mulia, sedangkan kerja itu sebenarnya direalisasikan pihak lain, di sisi Allah Ta’ala perbuatan kita itu juga dinilai seumpama kita sendiri yang melakukan kerja mulia itu.

Dalam konteks kami, banyak pihak sebenarnya telah membantu dan mendorong kami untuk kekal menemui para pembaca saban bulan. Semoga Allah mengganjari semua pihak yang terlibat menjaya dan memajukan organ penyebaran ilmu-ilmu Islam ini. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan di ruangan 'Editorial' majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 14, yang terbit pada 2 Mei 2013)