Thursday, May 2, 2013

MFTQ & DATQ – komited lahirkan pelajar berakhlak al-Quran

Oleh: Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Di pinggir utara bandar Pasir Puteh, sepertimana di kebanyakan bandar di Kelantan, laluan utama menghubungkan bandar itu dengan Kota Bharu sentiasa sibuk dengan kenderaan. Keadaan itu memungkinkan pengguna jalan raya yang melintasi kawasan itu tidak sempat mengamati kejiranan di kiri-kanan jalan tersebut.

Penulis sendiri, walau pun agak kerap berulang-alik menggunakan jalan tersebut sebelum ini turut “terlepas pandang” kewujudan sekelompok bangunan pengajian yang berceratuk hanya puluhan meter dari laluan itu.

Maahad al-Firdaus li Tahfizil Quran (MFTQ) dan Dar Asma’ li Tahfizil Quran (DATQ) adalah dua institusi ‘adik-beradik’ di Wakaf Lanas, kira-kira 2km dari pusat bandar Pasir Puteh. Sementara MFTQ khusus untuk pelajar lelaki, DATQ pula untuk perempuan.

Biar pun berkongsi lot tanah yang sama, pentadbiran dan urusan pengajaran-pembelajaran kedua-dua institusi ini hampir sepenuhnya berjalan secara berasingan.

Latar penubuhan
Antara keduanya, DATQ lebih dahulu ditubuhkan, iaitu pada 1998 berbekalkan hampir 50 orang pelajar sebagai ambilan pertama. Manakala MFTQ diwujudkan pada 2003, ketika ‘kakak’nya sudah berusia lima tahun. Ia bermula dengan pengambilan 20 pelajar. Jumlah itu bagaimana pun tidak pernah melangkaui 30 orang.

“Kita memang tak nak ambil ramai (pelajar lelaki), sesuai dengan jumlah ustaz kita hanya tiga orang, termasuk saya sendiri. Lagi pun, kita ada faktor limitation kawasan (kemudahan infrastruktur yang terbatas). Yang keduanya, kita tak mahu ambil ramai sebab tarbiyahnya payah sikit pelajar laki-laki ni”, demikian pengakuan terus-terang Ustaz Talib Mat, dalam sesi temubual eksklusif di MFTQ baru-baru ini.

Sosok berusia 58 tahun ini merupakan mudir MFTQ. Kembara ilmunya bagaimana pun amat mengagumkan. Lulusan University of Tasmania, Australia ini meninggalkan kerjayanya sebagai seorang guru matematik di MRSM, pergi mendalami ilmu agam secara talaki di Mekah selama tujuh tahun, sebelum pulang membuka pusat pengajian tahfiz sendiri.

Komitmennya mendapat dukungan penuh isterinya, Ustazah Wan Lokma Wan Yusof, yang juga Mudirah DATQ. Manakala anaknya, Ustaz Jaafar Talib, 27 turut membantunya di MFTQ, bersama Ustaz Ahmad Adam Syukiman, 20, juga bekas pelajar di situ. Manakala Ustazah Wan Lokma dibantu 12 guru, kesemuanya bekas pelajar DATQ.

Objektif
Kedua-dua institusi ini berkongsi objektif utama, iaitu melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak dengan akhlak al-Quran.

Bagi memenuhi hasrat itu, sukatan pengajaran dan pembelajarannya mengutamakan penguasaan pelajar ke atas ilmu-ilmu al-Quran.

“Matlamat kita sebenarnya untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak dengan akhlak al-Quran. Oleh sebab itu dia kena hafaz al-Quran, menguasai tafsir dan seumpamanya. Yang penting lagi ilmu akidah ”, ujar Ustaz Talib.

Pengajaran & Pembelajaran
Tempoh pengajian bagi pelajar MTFQ ialah lima tahun. Julat umur mereka adalah antara 13 hingga 17 tahun. Manakala bagi pelajar DATQ pula, tempoh pengajian mereka lebih panjang, iaitu delapan tahun.

Sepanjang pengajian mereka, para pelajar diasingkan (kelas) mengikut kemampuan mereka membaca al-Quran.

“(Pelajar) yang baru masuk, tahap pertama, pastikan bacaan dia dulu. Lepas tu dia masuk kelas lima juzuk ke bawah. Dah habis, baru (masuk kelas) lima juzuk ke atas”, Ustaz Talib menjelaskan.

Menurutnya, sesi tasmik (semak bacaan) al-Quran diadakan pada setiap hari, sama ada untuk ayat-ayat yang baru pertama kali dihafaz atau yang diulang baca. Manakala ujian al-Quran (bertulis) turut diadakan secara bulanan.

“Kita sasarkan mereka patut menghafaz satu juzuk (al-Quran) setiap bulan. Ada yang dapat (mencapai sasaran itu), ada yang tak dapat”, akui Ustaz Talib.

Di samping penguasaan hafazan, para pelajar juga didedahkan dengan ilmu tafsir. Menurut Ustaz Talib lagi, kebiasaannya kebolehan seseorang pelajarnya dalam kedua-dua perkara itu lebih kurang sama. Pelajar yang “laju” dari segi hafazan, “laju” juga dalam sudut tafsir.

Ko-kurikulum
Para pelajar MFTQ didisiplinkan agar “ringan tulang”. Untuk itu mereka dilatih dan dibiasakan dengan kerja-kerja fizikal, seperti bercucuk-tanam, membantu tukang dalam pembinaan bangunan dan sebagainya.

Bagi pelajar perempuan (DATQ) pula aktiviti luar kelas mereka lebih “hebat”. Mereka antara lain diajar kemahiran menjahit dan memasak.

Ustaz Talib merasionalkan, “sebab kita nak lahirkan ibu yang solehah. Makan di sini dia masak sendiri, dia buat enam kumpulan bergilir tugas. Pelajar perempuan masak nasi dan lauk untuk kumpulan dia. Lauk tu pula dia masak lebih, untuk pelajar-pelajar lelaki sekali. Pelajar laki-laki yang kecil pergi ambil (lauk). Pelajar lelaki masak nasi sahaja”.

Pencapaian
Setelah beroperasi lebih sedekad, MFTQ alhamdulillah telah berjaya melahirkan sebilangan pelajar yang sekurang-kurangnya terdedah kepada ilmu dan akhlak al-Quran. Bahkan, tiga daripada mereka telah hafaz lengkap 30 juzuk.

“Tak semua (bekas pelajar itu) menghafaz al-Quran 30 juzuk. Sampai umur 17, dia ambil periksa, kemudian dia menyambung ke tempat lain, termasuk ke Yaman”, ujar Ustaz Talib.

Menurutnya, sudah ada bekas pelajarnya menyambung pengajian ke dua universiti di negara itu, iaitu Universiti al-Iman dan Universiti Sains & Teknologi, Kuliah Pengajian Islam, di Sanaa. Malah, salah seorang pelajarnya yang hafaz 30 juzuk itu telah diterima melanjutkan pengajian di Madinah.

Jumlah pelajar perempuan lepasan DATQ pula jauh lebih ramai. Sebilangan mereka malah “dihantar” menjadi guru di beberapa sekolah tahfiz sekitar Kuala Lumpur.

Penutup
Menurut Ustaz Talib, sumber kewangan untuk mengoperasi kedua-dua institusi ini hanya semata-mata hasil sumbangan kawan-kawan dan ahli keluarganya. Beliau bagaimana pun menolak tawaran kami untuk merayu sumbangan orang ramai.

Pun begitu, anggota masyarakat adalah dipelawa menziarahi pusat pendidikan ini, sama ada untuk bertaaruf dengan warganya atau mengetahui lebih lanjut mengenainya.

(Artikel ini disiarkan di ruangan "Medan Ilmu' majalah Dian - Ihya as-Sunnah, Bil. 14, yang terbit pada 2 Mei 2013)

Thursday, April 11, 2013

Dia bukan sebarangan ibu...


Oleh: Mohd Nasir Awang

BARU-baru ini berlangsung cuti penggal persekolahan. Di negara kita, malah mungkin di seluruh dunia, cuti persekolahan atau pengajian agak sinonim dengan trip percutian. Kesempatan musim cuti kerap dimanfaatkan sebaiknya oleh orang kita. Ketika itulah ada yang langsungkan kenduri-kendara, ada yang tunaikan hasrat melancong ke destinasi impian. Tidak kurang juga yang ambil kesempatan menjengah kampung halaman.

Bagi seorang yang banyak menghabiskan masa di kejauhan, tentu banyak perkara mengenai kaum keluarga dan rakan-taulan serta perkembangan hal ehwal kampung yang kita agak ketinggalan. Kesempatan bersua dengan sahabat-handai tentu sekali disarati dengan “pengkisahan semula” oleh mereka mengenai itu dan ini, terutama berkaitan hal ehwal kampung dan warganya.

Selain perkhabaran ada kawan yang ‘berhijrah’ dan ada yang terus berjerih-pahit di kampung, cerita yang agak tidak ketinggalan dilaporkan teman-teman ialah senarai kematian, sama ada melibatkan sanak-saudara, rakan-taulan, jiran-tetangga mahu pun sekadar orang sekampung.

Salah seorang di antara mereka yang dijemput pulang ke rahmatullah baru-baru ini ialah seorang yang kami panggil Kak Mashitah. Maklumat dari seorang teman kemudiannya mengatakan nama penuhnya Mashitah bte Abdullah, berumur di awal 50-an. Dia dikhabarkan meninggal dalam satu kemalangan dekat Gerik, Perak.

Tidak ada apa-apa hubungan atau kepentingan agak istimewa antara Allahyarhamah dengan kami, selain jiran sekampung. Namun, ada sesuatu di sebalik cerita kematiannya yang menyentap hati saya. Kata teman saya itu, turut terkorban dalam kereta yang sama ialah “emak Catriona Ross”.

Ya Rabbi, hati saya terus berdetup. Bukan setakat wajah artis kacukan itu yang segera terlintas di benak, tetapi lebih saya ingati ialah cerita panjang lebar Cat mengenai kebaikan dan kemuliaan ibunya itu. Betulkah yang meninggal itu Puan Siti Zawiah Abdul Rahman, yang sangat dikagumi dan disanjungi serta dijadikan idola hidup anak perempuannya sendiri?

Menurut rakan tadi, cerita kemalangan itu memang tersebar luas. “Siap masuk suratkhabar lagi”, katanya. Hanya saya yang sangat ketinggalan mengenai kejadian itu. Sekadar mengesahkan, saya menghubungi Cat.

“Ya, dialah ibu saya. Alhamdulillah, saya redha dan dapat menerima ketentuan takdir ini,” sayu suara Cat di hujung talian, mengesahkan kejadian itu.

Saya kira selang masa antara pertengahan Februari (tarikh kemalangan) dengan hujung Mac (tarikh dihubungi) sudah lebih dari cukup untuk Cat “menerima hakikat” kehilangan orang paling disayanginya itu.

Ya, memang saya pernah mengadakan wawancara eksklusif bersama Cat, sekitar Februari 2012 lalu. Ia termuat dalam majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah, Edisi 4 yang terbit April 2012.

Demi Allah, biar pun saya tidak mengenali dan tidak pernah bersua walau sekali pun dengan Puan Siti Zawiah ini, gambaran dituturkan anaknya sendiri, Cat, sangat mengagumkan. Sebagai tatapan pembaca, saya perturunkan kembali sebahagian catatan yang merakam sanjungan Cat terhadap ibunya itu:

“Beliau yang sangat mengagumi ibunya sempat mengimbau kembali pesanan orang paling disayanginya itu tatkala beliau mula-mula berjinak dengan dunia lakonan dulu. Masih segar dalam ingatannya bagaimana ibunya, Puan Siti Zawiah Abdul Rahman memberikan syarat sangat ketat untuknya memasuki dunia hiburan.

Dalam loghat Kelantan, Cat mengulangi kata-kata ibunya, “kalu lah ada sekali tubik dalam suratkobar, ada apa-apa kontroversi dengan budak jatae, ada apa-apa hal buat malu ke keluarga, jangan kelik kampung. Nih! (sambil mengangkat jari).. dia tunjuk kepada saya... Nih! Bukan anak aku...”

Disebabkan selalu berpegang kepada pesanan itulah, kata Cat, sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, alhamdulillah beliau tidak dilanda sebarang gossip yang buruk.

Cat dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, pada 2 September 1980 sebagai Catriona Noorhayati Ross binti Bahrin Ross. Ibunya adalah anak watan ibu negeri Serambi Mekah itu, manakala ayahnya berasal dari Scotland. Mereka ditakdirkan bertemu ketika Siti Zawiah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di United Kingdom.

Cerita keupayaan ibunya menarik minat Brian Ross (nama asal bapanya) yang tidak pernah kenal Islam untuk masuk Islam, seterusnya membimbing beliau menghayati ajaran agama, adalah suatu yang amat dikagumi Cat. Hingga kini beliau menganggap apa yang dicapai ibunya itu bukan suatu yang mudah dan wajar diberikan pujian.

“Ibu ni orang yang strick tentang agama. Masa tu lah dia jumpa somebody yang tidak Islam dan boleh (buat dia) jadi muallaf. Jadi daripada dulu lagi pun, daripada kecik lagi saya rasa ibu ni memang somebody strong, sebab dia wanita tapi dia membimbing seorang lelaki dalam agama kan? Lelaki yang tidak pernah kenal Islam masa tu...”

So, daripada kecik lagi saya memang tahu (kisah itu) dan respect pada ibu ni, sebab saya rasa kerja dakwah ibu berlaku daripada usia dia yang awal itu, sebab dia kahwin dulu umur 23”, cerita Cat, membanggai peranan ibunya.

Di bawah asuhdidik dan belaian kasih insan mulia lagi berprinsip itulah Cat dibesarkan.”

Sebagai orang Islam, kita diajar supaya menyebut kebaikan dan kemuliaan orang yang sudah mati. Lebih-lebih lagi dalam kes Allahyarhamah Puan Siti Zawiah ini, ternyata beliau bukan sebarangan ibu. Keluhuran peribadi, kemampuannya menarik minat seorang bukan Islam terhadap Islam dan kejayaannya mengasuhdidik anak untuk taat kepada agama sudah terbukti.

Pada usia 63 tahun, beliau dijemput “pulang” ketika dalam perjalanan menyampaikan sumbangan derma untuk sebuah sekolah agama di Merbok, Kedah. Kak Mashitah yang turut terkorban bersamanya adalah rakan niaganya dalam satu jenama produk halal.

Sekalung doa kerahmatan buat roh mereka di sana. Al-Fatihah!

Gambar hiasan: Kulit depan majalah Dian Edisi 4 memuatkan wawancara eksklusif dengan Catriona Ross.

(Artikel ini disiarkan di kolum 'Catatan Ketua Pengarang', majalah Era Muslimah, Edisi 14, yang terbit awal April 2013)

Suntikan semangat, cabaran dari kegemilangan silam


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, yang dengan nikmat-Nya jua dapat disempurnakan kerja-kerja yang baik, seumpama menghasilkan bahan bacaan sebegini.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pihak kami alhamdulillah mendapat banyak maklumbalas daripada khalayak pembaca dan peminat di luar sana. Keseluruhan mereka menyambut baik kehadiran kami di celah-celah lambakan bahan bercetak, biar pun dengan nada yang agak kecewa terhadap tahap promosi majalah kami ini. Semoga komen-komen membina sebegitu akan menjadi pendorong kepada kami mempergiatkan lagi tahap promosi dan pemasaran, sekira-kira nantikan tidak akan ada peminat yang masih sukar mendapatkannya di pasaran, insya Allah.

Selain kelemahan itu, turut dibangkitkan ialah sejarah kewujudan majalah ini. Beberapa individu yang menghubungi kami malah turut berkongsi ‘luahan’ hampir sama – mengimbau kegemilangan majalah Dian Daiges, terutama di dekad-dekad 60-an hingga 80-an dulu.

Terimakasih kepada Encik Hassan Said dari Tanjung Malim, Perak yang melontarkan harapan sangat tinggi agar “Dian generasi baru” ini dapat menyamai, kalau pun tidak dapat mengatasi kegemilangan Dian Daiges dulu. Beliau merupakan peminat setia Dian “generasi dulu” dan masih memiliki koleksi daiges itu sejak keluaran terawalnya.

Cuma beliau agak terkilan kerana baru menyedari kehadiran kami di pasaran. Justeru, agar tidak ketinggalan menelaah isi kandungannya, beliau berhasrat mendapatkan koleksi penuh majalah ini sedari edisi pertamanya.

Turut meluahkan hasrat sama ialah Tuan Haji Zahari Mohamad dari Jabi, Terengganu. Beliau merupakan pelanggan Dian Daiges selama lebih tujuh tahun, sejak edisi bertulisan Jawi. Seluruh naskhah itu dijilid seeloknya, sebelum musnah diratah anai-anai. Kini, selain berhasrat mendapatkan keseluruhan edisi majalah “Dian era baru” ini, beliau juga mengharapkan kami melonjak ke puncak kegemilangan sepertimana pendahulu kami itu.

Sebelum ini kami telah memetik komen-komen serupa dari beberapa pihak. Kesemua harapan dan doa itu, selain menjadi suntikan semangat buat kami meneruskan usaha murni ini, turut kami anggap sebagai cabaran. Bahawa kegemilangan pendahulu kami itu selayaknya dijadikan penanda aras tahap kejayaan yang perlu kami capai.

Semoga Allah bersama pencinta dan pendukung medan penyebaran ilmu-ilmu Islam ini. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini mengisi ruangan EDITORIAL majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 13, diterbitkan awal April 2013)

Friday, March 1, 2013

Seksi - antara hak individu dan keselesaan awam


Oleh: Mohd Nasir Awang

Tuntutan ke arah wujud dan berkuatkuasanya suatu peraturan khusus berhubung etika berpakaian (sopan) di khalayak awam, terutama terhadap wanita, sering berkumandang. Sebagai sebuah negara berteraskan bangsa Melayu yang tebal dengan adat sopan ketimuran, ditambah pula dengan imej negara kita yang sering ditonjol dan diwar-warkan sebagai “Negara Islam Contoh”, maka sudah selayaknya hal-hal berkaitan kesopanan awam dititikberatkan oleh masyarakat negara ini.

Perbahasan dicetuskan isu berpakaian sopan ini juga tidak kurang menghangatkan dada media. Setiap kali berbangkit, ia selalunya segera mengundang reaksi pelbagai pihak, yang pada kebiasaannya terbahagi kepada dua kelompok pandangan atau pendirian.

Pihak yang terbabit dengan penguatkuasaan peraturan tersebut, serta sebilangan yang berpendirian selari dengannya, sudah tentu akan mengutarakan hujah dan sandaran bagi mengukuhkan tindakan mereka.

Secara positif, peraturan itu dilihat usaha terbaik untuk menegakkan kesopanan awam, sekaligus mengurangkan keruntuhan akhlak di kalangan anggota masyarakat. Bagi khalayak ini, menjadi tanggungjawab sebuah kerajaan untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara.

Bahawa wanita bukan bahan pameran atau barang dagangan untuk menarik perhatian lelaki. Daya tarikan istimewa yang ada pada wanita tidak seharusnya disalahgunakan, termasuk bagi melariskan perniagaan. Membiarkan wanita memperagakan susuk tubuh dan kecantikan sebenarnya menjatuhkan martabat mereka yang suci.

Malangnya, hasrat murni itu gagal difahami, terutama oleh khalayak yang kononnya memperjuangkan martabat wanita sendiri. Peraturan sedemikian dianggap prejudis dan diskriminasi terhadap wanita. Kata mereka, “pakaian adalah hak individu dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak berhak mencampuri atau menentukan fesyen pakaian individu”.

Itulah hujah agak stereotaip yang kerap diulangsuara pelbagai pihak tatkala berbangkit perbahasan mengenai penampilan sopan di tempat awam. Bantahan dan sanggahan itu seringkali bersandarkan hak dan kebebasan individu.

Kes seumpama ini pernah berbangkit apabila masyarakat setempat di beberapa kampung berdekatan sebuah pusat peranginan di Terengganu membantah cara berpakaian para pelancong di situ. Bagi mereka, para pelancong perlu berpakaian lebih sopan, terutama ketika mandi kerana kawasan itu adalah pantai awam yang turut dikongsi masyarakat setempat.

Agak mendukacitakan, pihak berkuasa dikatakan tidak berminat menyantuni desakan awam itu. Alasan utama diberikan kononnya tidak ada undang-undang khusus membenarkan mereka bertindak berkaitan pakaian tidak sopan di khalayak awam. Turut kedengaran ialah justifikasi “bodoh” kononnya apa yang dipakai para pelancong itu adalah hak individu, terutama dalam kes pelancong dari negara-negara Barat.

Itu satu lagi mindset orang kita yang agak terkebelakang. Mengapa kita mesti “mengalah” sehingga menggadai keselesaan awam kita, hanya semata-mata mahu meraikan gaya hidup pelancong luar? Malah, jika diterjah lebih jauh, apakah betul fahaman kita kononnya masyarakat di negara-negara Barat mengamalkan kebebasan individu sehingga ke tahap seseorang itu boleh berpakaian sesuka hati di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja?

Dalam memahami hakikat ini, saya suka berkongsi satu kes yang baru berlaku hujung tahun lalu di Amerika Syarikat, negara yang sering menjadi kiblat para pejuang hak dan kebebasan individu sedunia.

Ceritanya, selepas bekerja sebagai pembantu pergigian selama 10 tahun, Melissa Nelson dipecat kerana bertabiat terlalu “menggoda” dan dianggap menjadi “ancaman” terhadap perkahwinan majikannya. Menariknya, kes ini diputuskan menerusi saluran undang-undang.

Pada 21 Disember 2012, Mahkamah Agung Negeri Iowa memutuskan bahawa Dr. James Knight, majikan Nelson, berada di dalam hak undang-undangnya apabila memecat Nelson. Keputusan itu mengesahkan keputusan mahkamah rendah sebelumnya.

"Kita sentiasa berpendirian bahawa Puan Nelson tidak diberhentikan disebabkan gender, dia diberhentikan kerana pertimbangan bahawa tabiatnya tidak sesuai di tempat kerja. Dia seorang wanita yang menawan. Dr. Knight menganggap perlakuan dan pakaiannya tidak sesuai", kata Stuart Cochrane, peguambela Knight.

Berdasarkan dokumen mahkamah, mereka berdua tidak pernah melakukan hubungan seks atau cuba melakukannya. Bagaimana pun, dalam setahun setengah terakhir perkhidmatan Nelson, Knight mula menegur mengenai cara Nelson berpakaian yang disifatkan terlalu ketat atau “mengganggu”.

"Dr. Knight mengakui dia pernah sekali memberitahu Nelson bahawa jika dia melihat seluarnya (Knight) timbul, dia (Nelson) patut tahu bahawa pakaiannya terlalu menjolok mata," baca penghakiman itu.

"Dr. Knight merasakan demi kepentingan terbaik perkahwinannya dan kepentingan terbaik untuk dia (Nelson) juga, ialah dengan menamatkan hubungan perkhidmatannya," kata Cochrane.

Knight mengesahkan di dalam dokumen mahkamah bahawa Nelson berkhidmat dengan baik. Nelson sendiri malah mengakui dia dilayan dengan penuh hormat.

Apabila suami Nelson cuba berunding dengan Knight, doktor gigi itu memberitahunya dia "bimbang dia akan mempunyai hubungan sulit dengan Nelson kemudian hari jika dia tidak memecatnya."

Nah! Bukankah kes ini menafikan alasan “bodoh” tadi, kononnya negara Barat mengamalkan kebebasan individu yang tidak boleh disentuh atau disanggah? Apa yang pasti, sebuah masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat negara kita yang bertunjangkan penduduk beragama Islam, perlu ada peraturan termasuklah peraturan berpakaian.

Ya, memang setiap individu mempunyai hak dalam memilih cara berpakaian dan menampilkan diri. Tetapi dia harus ingat bahawa orang lain juga mempunyai hak untuk berasa selesa ketika berada bersamanya di tempat awam.

Akuilah bahawa kita hidup dalam masyarakat, bukan tinggal seorang diri dalam gua atau hutan belantara. Sekiranya kita memilih untuk berpakaian sesuka hati, ia mungkin menyinggung perasaan dan keselesaan orang lain. Justeru, hormatilah hak-hak keselesaan awam!

(Artikel ini termuat di dalam majalah ERA Muslimah Bil. 13 (Mac 2013) di ruangan "Coretan Ketua Pengarang" dengan judul sama)

Secebis sumbangan untuk Palestin


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah kerana di sebalik segala kesulitan dan kekangan yang membelenggu, kami masih diberi peluang dan pertolongan oleh-Nya untuk menerbitkan majalah kesayangan anda ini. Selagi mana termampu, kami komited menyebarluas dan menyemarakkan penghayatan ilmu-ilmu Islam ini dalam masyarakat.

Sepertimana pernah dicoretkan di sini sebelum ini, kami akan cuba dari masa ke semasa memberikan ‘nilai tambah’ kepada persembahan majalah ini. Untuk itu, komentar berupa cadangan, teguran, pembaikian mahu pun kritikan (yang membina, tentunya!) dari para pembaca amatlah kami harapkan. Manfaatkanlah laman facebook kami atau apa jua wasilah yang selesa bagi anda.

Untuk edisi ini kami memilih pembicaraan isu Palestin sebagai topik utama. Sentuhan dipaparkan bagaimana pun bukanlah berorientasikan perbincangan semasa semata-mata, tetapi lebih bersifat umum dan luas – dari aspek latar sejarah politik dunia, kaitan kewujudan wilayah itu dengan era para anbiya’ dan mursalin, mendetail tabiat dan perangai bangsa Yahudi (selaku aktor paling jahat dalam kisah Palestin), sehinggalah kepada tuntutan tanggungjawab kita sebagai umat Islam “menyelesaikannya” dalam konteks semasa.

Selamat membaca, mengutip ilmunya dan membantu kami menyebarluas pengajaran-pengajarannya. Semoga setiap kita yang mengambil bahagian di dalam usaha ini akan memperolehi rahmat dan keberkatan dari sisi Allah Ta’ala. Wassalam.


Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini termuat di ruangan EDITORIAL majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 12, Mac '2013)

Toleransi Saidina Umar - Yahudi tak kenang budi


PERGERAKAN pembebasan Kota al-Quds bermula dengan peperangan Mu'tah, perutusan tentera Usamah bin Zaid dan peperangan Yarmouk, yang menyaksikan kemenangan Islam mengalahkan tentera Romawi. Pada bulan Rabiul Awwal tahun 15 Hijrah, Saidina Umar  bin al-Khattab ra menerima anak kunci Kota al-Quds dan memeterai perjanjian dengan kaum Kristian, yang dikenali sebagai al-Uhdah al-Umariyah.

Perjanjian bersejarah itu berbunyi:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin, keamanan kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadat mereka, sama ada yang elok atau rosak, dan kepada seluruh penganut, bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka, sama ada pada tubuh badan atau harta benda. Mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya'.

Menjadi kewajiban ke atas penduduk Iliya' untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak. Maka sesiapa dari kalangan mereka yang keluar, dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal, maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah, sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'.

Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom, maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal, maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya, tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka.

Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin, jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka.

Ditulis dan dihadiri pada tahun 15H oleh Umar bin Al-Khattab. Saksi kepadanya ialah: Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-Aas, Abdul Rahman bin Auf dan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Sejarah telah membuktikan sikap bertanggungjawab umat Islam yang berpegang teguh kepada janji setia ini. Begitu juga dengan keredhaan dan setiakawan ditunjukkan oleh kaum Kristian yang tulen terhadap kerajaan Islam.

Antara isi kandung terpenting perjanjian aman dengan penduduk Kristian di Kota al-Quds (Jerusalem atau Iliya') ini ialah tidak membenarkan pendudukan Yahudi mendiami kota ini. Tentang hal ini, Abdul Hadi Awang berpandangan, “kerana pada waktu itu belum ada lagi orang Yahudi ketika orang Islam membukanya, ini kerana orang Nasrani (Kristian) mengharamkan ke atas orang Yahudi untuk menghuni di kota-kota suci.” Dalam ertikata lain, penegasan Saidina Umar yang melarang orang Yahudi mendiami Kota Al-Quds adalah sebagai meraikan pendirian kaum Kristian sejak sekian lama.

Menurut Ahmad Fauzi Hassan pula, tindakan itu “hanya ilham dan pandangan jauh Saidina Umar tentang masa depan dan nasib kota ini (Al-Quds) jika diduduki sama oleh bangsa Yahudi. Sedangkan bangsa Yahudi tidaklah menimbulkan apa-apa permasalahan ketika itu.”

Namun seperkara yang jelas, meski pun Islam mendakwa Al-Quds milik umat Islam, penghormatan diberikan Islam terhadap pegangan dan kepercayaan agama-agama lain amatlah tinggi. Soal kebebasan menganut dan mengamalkan ajaran agama bukan Islam adalah suatu kewajiban yang dijamin oleh Islam.

Islam adalah agama yang penuh tolak ansur dan tidak memaksa pihak lain mempercayai dan menerima apa yang mereka tidak percaya atau terima. Apa yang dibuat oleh Saidina Umar terhadap kaum Kristian di Kota Al-Quds jelas membuktikan bahawa meski pun memiliki kuasa sebagai penakluk, Islam tidak mengajar umatnya untuk memaksa apatah lagi menindas kaum yang ditakluki.

Sebab itu apabila Saidina Umar mengetuai umat Islam membuka Kota Al-Quds, kerajaan Islam pimpinannya telah memberikan hak-hak yang berkait dengan keagamaan kepada penganut-penganut agama yang mempunyai asas dan kedudukan agama di situ. Kota itu memiliki kesuciannya dan kesucian itu adalah untuk semua umat yang mempunyai risalah samawiyah – Yahudi dan Kristian. Sebab itu tidak boleh sama sekali mana-mana agama memonopoli kota itu dan menyisihkan penganut-penganut agama lain.

Secara praktikal, prinsip ini ditunjukkan oleh Saidina Umar, menerusi beberapa kejadian. Satu ketika Baginda meraikan jemputan daripada orang Kristian untuk menziarahi Gereja Qiyamah. Tatkala sedang berada di situ, masuklah waktu solat. Lantas Saidina Umar berpaling kepada paderi yang ada bersamanya dan bertanya: “Di manakah aku boleh bersolat?

Paderi itu menjawab: “Sembahyanglah di tempat kamu berdiri ( di dalam gereja).”

Umar menjawab: “Tidak sayugia bagi Umar untuk bersolat di Gereja Qiyamah, kerana kemungkinan selepas ini orang-orang Islam akan berkata, ‘di sinilah Umar mendirikan solat’, lalu mereka (menjadikannya alasan untuk) mendirikan masjid di sini.”

Lalu Umar menunaikan solat di tempat lain tidak jauh dari Gereja Qiyamah itu (dan tepat sebagaimana dijangkanya, di situlah umat Islam membina masjid kemudiannya), (Abdul Hadi, 2010).

Dalam riwayat lain oleh Abu Salamah, bahawa Abu Sinan memberitahunya bahawa Ubaid bin Adam mendengar Umar bin Al-Khattab ra berkata kepada Kaab bin Al-Ahbar (seorang Yahudi yang telah memeluk Islam) ketika kedua-dua mereka berada di dalam Masjid Al-Aqsa, “di mana kamu fikir aku patut bersolat di dalam masjid ini?”

Kaab menjawab, “jika tuan menanyakan pendapat hamba, maka hamba rasa seeloknya tuan bersolat di belakang Batu Sakhrah, supaya dengan itu seluruh Kota Al-Quds berada di depan tuan hamba (dan di masa sama turut menghadap ke Mekah – Kaabah).”

Batu Sakhrah atau Foundation Stone (dalam bahasa Ibrani disebut ‘Even haShetiya’) adalah batu yang dianggap suci oleh kaum Yahudi. Mereka bersembahyang menghadap batu itu dan percaya ia merupakan persimpangan untuk mereka menuju ke syurga.

Mendengarkan cadangan itu, Umar menjawab: “Kamu nampaknya mahu aku berebut dengan kaum Yahudi! Tidak, aku sepatutnya bersolat di mana Rasulullah saw bersolat (ketika malam Isra’ Baginda).”

Lalu Saidina Umar menghadap ke arah Kaabah dan bersolat. Baginda kemudiannya menyapu masjid dengan jubahnya dan sekalian yang hadir ikut berbuat demikian (As-Sallaabee, 2008).

Ibnu Taimiyah pula menyebut, “apabila Umar menakluki Kota Al-Quds, Baginda dapati banyak sampah-sarap dilonggokkan di atas Batu Sakhrah, yang dipercayai sengaja dicampakkan oleh kaum Kristian untuk menghina kepercayaan kaum Yahudi yang menganggap batu itu suci dan bersembahyang menghadapnya.

Melihatkan keadaan itu, Umar segera mengarahkan orang-orang Islam yang ada bersamanya agar mengalihkan sampah-sarap dari situ.”

Sebagaimana Saidina Umar menunjukkan sikap tolak ansur dan hormat terhadap kebebasan beragama untuk kaum Kristian, memberikan jaminan keselamatan untuk gereja dan hak milik mereka, Baginda juga tidak menyimpan walau sedikit pun perasaan buruk terhadap kaum Yahudi, di sebalik segala macam karenah dan kejahatan dilakukan kaum itu terhadap umat Islam. Baginda sendiri bahkan menyapu dan membersihkan batu paling suci bagi kaum Yahudi itu dengan tangannya serta mengangkat sebahagian sampah dari situ.

Malangnya, sikap toleransi dan rasa hormat sebegitu tinggi dari umat Islam terhadap kepercayaan kaum Yahudi, sepertimana yang telah dicontohkan oleh Saidina Umar itu nampaknya tidak langsung meninggalkan bekas di kalangan mereka. Kaum itu terus mengganas dan menzalimi umat Islam, sehingga akhirnya memonopoli segala hak memakmurkan kota suci Al-Quds. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Abdul Hadi Awang, 2010, Palestin: Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan, Kuala Lumpur: Jundi Resources Sdn Bhd.
-          Ahmad Fauzi Hasan, 2011, Palestin: Bumi Pertemuan dan Pertembungan, Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
-          Dr. Muhammad As-Sallaabee, 2008, The Biography of Umar Al-Khattab r.a. (2), London: Maktaba Darus-Salam.

Maahad Darul Anuar perlukan sokongan, bantuan masyarakat


Oleh: Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Sebagai menyempurnakan agenda sosial, sekaligus membantu menyemarakkan lagi kecintaan masyarakat kepada ilmu-ilmu Islam, maka bermula edisi ini pihak kami – Majalah Dian Ihya’ as-Sunnah – akan membawa para pembaca mengenali lebih dekat satu demi satu institusi/pusat pengajian dalam negara ini. Institusi terpilih tidak semestinya berlabelkan pusat pengajian Islam, tetapi yang kami dapati memiliki program penyebaran ilmu dan tarbiyah Islam, khususnya dalam aspek pembinaan sahsiah para penghuninya. Sebagai pembuka ruangan MEDAN ILMU ini, kami paparkan tulisan mengenai Maahad Darl Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Sejarah penubuhan dan perkembangan awal
Maahad Darul Anuar atau ringkasan namanya MADA adalah salah sebuah pusat pengajian Islam yang tidak asing lagi, terutama bagi masyarakat di negeri Kelantan dan Pantai Timur. Ia diasaskan pada tahun 1963 oleh Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar, atau lebih dikenali oleh anggota masyarakat sekitar sebagai Tok Ku Nik Mat Alim.

Ia bermula sebagai sebuah institusi persendirian keluarga tok guru itu yang bertitik tolak daripada hasratnya untuk menyebarkan ilmu kepada anak-anaknya yang ramai (17 orang), selain kepada anggota masyarakat setempat. Pusat pengajian itu kemudiannya berkembang menjadi sebuah madrasah dan dikenali sebagai Madrasah Darul Anuar.

Skop operasi MADA semakin berkembang, terutama selepas kembalinya Nik Abdul Aziz, anak kepada Tok Ku Nik Mat Alim, dari pengajiannya di Al-Azhar. Ia mula membuka kelas-kelas pengajian yang menggabungkan sistem pengajian pondok dengan pengajian sekolah.

Komitmen Nik Abdul Aziz (yang kemudiannya juga dikenali sebagai Tok Guru) untuk memajukan MADA bagaimana pun tidak mampu diteruskannya. Penglibatannya dalam politik secara sepenuh masa (setelah bergelar wakil rakyat) menyebabkannya tidak berupaya memperikan tumpuan sepatutnya kepada sekolah itu.

Akibatnya, setelah Tok Ku Nik Mat Alim berpulang ke rahmatullah, tiada siapa yang sanggup menggalas tanggungjawab dan amanah meneruskan usaha murni beliau mengasaskan pusat pengajian itu. Maka pada 1977, pengurusan MADA diserahkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Keluarga mohon semula
Pada 1998, perjumpaan Keluarga Nikmatillah (anak-anak dan cucu-cucu Tok Ku Nik Mat) memutuskan resolusi untuk mengambil alih semula pengurusan MADA. Mereka merasakan suatu yang tidak kena dan tidak selesa untuk membiarkan usaha diasaskan ayah/datuk mereka itu terputus begitu sahaj, tanpa ada penerusan oleh anak-cucunya sendiri.

Namun, usaha itu bukan suatu yang mudah. Ia memakan masa untuk kembali direalisasikan.

Dalam pada itu, sejak 2001, salah seorang anak kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Nik Omar diberi kepercayaan oleh YIK sebagai Pengetua MADA. Di bawah teraju anak kedua Tok Guru ini juga, status MADA sebagai ‘Madrasah’ ditukar kepada Maahad, pada 2004.

Hanya pada Mei 2008, persetujuan diperolehi daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz (ketika itu sudah berjawat Menteri Besar Kelantan) agar MADA dikembalikan pengurusannya kepada Keluarga Nikmatillah. Kata putus diambil bahawa MADA akan diurus sendiri bermula 2009.

Sudah tentu mandat menguruskan MADA diserahkan kepada Ustaz Nik Omar, selaku penyandang jawata Pengetua di situ. Pemegang ijazah Sarjana Syariah (Pendidikan Dalam Islam) dari Universiti Yarmouk, Jordan ini ternyata mempunyai komitmen dan keazaman sangat tinggi untuk melihat MADA maju lebih jauh di masa mendatang.

Kekangan kewangan
Usaha itu bagaimana pun sedikti terbantut. Sebab utama ialah kekangan kewangan dihadapi MADA. Sumber kewangan utama ialah menerusi kutipan yuran daripada para pelajar yang berjumlah tidak sampai 300 orang. Itu pun, jika dikutip kesemuanya, hanya mampu menampung 80 peratus perbelanjaan keseluruhan. Apatah lagi, kebiasaannya akan ada antara 20 hingga 25 peratus pelajar yang tidak mampu menjelaskan yuran masing-masing.

Akibatnya, saban bulan belanjawan MADA mengalami defisit. Jumlah defisit itu mencecah RM20 ribu.

Bagi menyelesaikan masalah itu, pihak MADA merancang pelbagai usaha. Antaranya, membuka kedai koperasi sekolah (Laa Tansa). Turut dibuat ialah kempen infaq dari kalangan anggota masyarakat.

Derma siapkan bangunan
Satu rayuan khusus daripada pihak pengurusan MADA ialah sumbangan derma bagi menyiapkan dua blok bangunan tambahan bernilai hampir RM1.5 juta. Sumbangan boleh dibuat di atas nama: Maahad Darul Anuar, akaun Bank Islam – 03018010044630.

Mudah-mudahan segala sumbangan anda akan menjadi amal jariah untuk generasi akan datang.

INFO RINGKAS:
Nama institusi: Maahad Darul Anuar (MADA)
Lokasi: Kampung Pulau Melaka, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Visi: Kecemerlangan akademik, keunggukan akhlak dan kecapaian martabat.
Komitmen: Melahirkan generasi berilmu, beriman dan bertaqwa.

(Artikel ini disiarkan di ruangan MEDAN ILMU, majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 12, Mac 2013)