Thursday, July 19, 2012

Apabila Umno iktiraf kepemimpinan tokoh PAS


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui apa faktor utama mendorong para pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu begitu “berlapang dada” memberikan anugerah kepada seorang pemimpin veteran PAS negeri itu minggu lalu. Lebih menjadi tanda tanya ialah apabila parti itu memilih untuk memanfaatkan kehadiran pemimpin nombor satunya untuk menyampaikan sendiri anugerah itu kepada tokoh tersebut.

Itulah persoalan yang timbul ekoran majlis Perdana Menteri bersama warga UiTM di Dungun, Jumaat (13 Julai) lalu. Salah satu aturcara di majlis itu ialah penyampaian Anugerah Tokoh Terbilang kepada bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Abdul Wahab Yunus.

Cerita bergambar mengenainya dilaporkan akhbar-akhbar harian edisi Terengganu pada Sabtu dan Ahad. Mungkin ada “strategi politik” di sebalik tindakan BN memberikan anugerah sebegitu besar kepada tokoh dari parti lawannya itu. Wallahu a’lam.

Apa pun niat sebenar BN, anugerah itu memang suatu yang agak luar biasa dan istimewa untuk seorang tokoh parti lawannya. Sanjungan diterima Abdul Wahab itu turut dipanjangkan media cetak.

Salah satu akhbar itu menamakan beliau sebagai “tokoh pemimpin cemerlang”. Gambar Dato’ Seri Najib Razak sedang memakaikan setanjak/tengkolok ke kepala Abdul Wahab yang berkerusi roda dipaparkan. Bersamanya tertulis: “Najib memakaikan tanjak kepada Abdul Wahab Yunus penerima tokoh pemimpin cemerlang sambil diperhatikan Ahmad Said...”

Sebuah harian lain keesokannya memanfaatkan dua halamannya memuatkan 11 gambar di bawah tajuk “Lawatan PM ke Dungun”. Dua gambar itu bercerita mengenai anugerah diterima Abdul Wahab. Beliau disifatkan sebagai “tokoh masyarakat yang banyak berjasa”.

Baca keterangan salah satu gambar itu, “ANUGERAH... Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sedang memakaikan tengkolok kepada Wahab Yunus sebagai simbolik penganugerahan Tokoh Terbilang oleh Barisan Nasional (BN) Dungun kepada tokoh masyarakat yang banyak berjasa itu.”

Itulah ironisnya. Jika mahu dikatakan tokoh tersebut telah banyak berjasa kepada BN, terutama parti Umno di negeri itu, fakta perjuangan politik dan sosial beliau sama sekali tidak membantu memperkukuhkan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, meneliti sejarah penglibatan aktif tokoh itu akan hanya menyebabkan orang mengiktiraf peranan terbaik dimainkannya sepanjang bersama saf kepimpinan PAS di semua peringkat suatu ketika dulu.

Abdul Wahab yang menyertai PAS pada 9 Ogos 1956 pernah memegang berbagai jawatan, di hampir semua peringkat organisasi parti. Di kawasan Dungun, beliau pernah menjadi Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan (1957-1960), Ketua DPP Dungun (1960-1961), Setiausaha PAS Kawasan Dungun (1960-1975) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun (1979-1983).

Kepimpinannya di peringkat negeri terakam menerusi jawatan Ketua DPP Negeri Terengganu (1965-1969), diikuti jawatan-jawatan Bendahari, Setiausaha dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu (1968-1975), sebelum menjawat Pesuruhjaya PAS Terengganu (1975-1982).

Di peringkat Pusat, Abdul Wahab pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1973-1975), Bendahari Agung PAS (1977-1979) dan AJK PAS Pusat (1979-1983).

Abdul Wahab mula bertanding mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum 1964. Walau pun ia tahun paling malang bagi PAS (selepas kehilangan kerajaan Terengganu pada 1961), nasib Abdul Wahab agak baik. Beliau menang di Dun Ulu Dungun dan menjadi salah seorang di antara hanya tiga Adun PAS di Terengganu pada penggal itu.

Pada 1969, beliau memenangi kerusi Parlimen Dungun. Kerusi itu dipertahankannya pada 1974. Walau pun bertanding atas tiket BN, beliau mewakili kuota untuk PAS. Dengan kemenangan itu juga, beserta jawatannya yang kanan di peringkat PAS Pusat, Abdul Wahab dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan (14 April 1977-17 November 1977).

Inilah satu-satunya tempoh waktu yang boleh ditemui di mana tokoh ini berkhidmat kepada rakyat di bawah sepanduk BN. Selepas PAS diusir keluar dari BN, Abdul Wahab membina semula partinya menentang BN. Bahkan, dalam dua pilihan raya umum selepas itu (1978 dan 1982), beliau menjadi calon PAS di Parlimen Dungun dan Dun Jerangau, tetapi tidak menang.

Selepas berlaku krisis kepimpinan PAS membabitkan bekas Presidennya, Dato’ Mohd Asri Muda, Abdul Wahab menyertai pemimpin itu menubuhkan Hamim. Beliau kemudian dikatakan menubuhkan partinya sendiri yang tidak begitu popular.

Abdul Wahab diketahui terlibat dengan perniagaan. Beliau juga aktif sebagai salah seorang peneraju Persatuan Sejarah Terengganu. Namun, tidak diketahui sepanjang tempoh itu beliau memberikan khidmat kepada masyarakat menerusi mana-mana peringkat organisasi BN.

Justeru, anugerah diberikan BN kepada beliau secara sinikal boleh dianggap sebagai “mengiktiraf” kepemimpinan PAS terhadap masyarakat di daerah atau negeri tersebut. PAS sendiri terlebih awal memberikan pengiktirafan untuk itu. Beliau tersenarai di antara 20 Penerima Anugerah Tokoh Jubli Emas PAS Terengganu, Julai 2006 lalu.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1761, 20 Julai 2012, di ruangan KOLUMNIS, F15 dengan tajuk serupa)

Monday, July 16, 2012

PAS tawan Terengganu tanpa Besut?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

“Terengganu buleh ke PAS balik... tapi 18 kerusi je,” ujar seorang rakan di Besut, dengan nada dan raut muka penuh yakin, minggu lalu.

Maksudnya, Terengganu insya Allah akan dapat ditawan semula oleh PAS dalam pilihan raya umum nanti. Bagaimana pun majoriti kemenangan itu tidak besar, berbeza hanya empat kerusi. PAS dikatakan akan menang 18 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) 14 kerusi.

Rakan itu, yang juga seorang pesara tentera, mendakwa maklumat itu diperolehinya daripada adiknya yang didakwanya sangat rapat dengan “sumber risikan Umno”. Penjelasannya mengenai sumber berita itu menyebabkan penulis yang pada awalnya agak mahu percaya, terus menjadi ragu.

Memang sukar dipercayai Umno akan membocorkan hasil risikannya. Apatah lagi jika maklumat itu sesuatu yang tidak begitu memberangsangkan buat parti itu. Amat tidak logik, bahkan bertentangan dengan ego dan kesombongan para pemimpin Umno yang kita ketahui, untuk mereka membocorkan maklumat berhubung kekalahan yang bakal menimpa parti itu, bukan?

Atau, jika pun betul penyebaran maklumat itu memang dimulai oleh “sumber risikan Umno”, ia mungkin sengaja disebarkan sedemikian rupa dengan strategi tersendiri yang tidak sukar difahami. Mereka mungkin bermaksud mewujudkan suasana selesa dan ‘over-confidence’ di kalangan pendokong Pakatan Rakyat, khususnya PAS. Dengan itu, mereka berharap para pendokong parti itu akan ‘terlena dibuai mimpi’.

Pun begitu, agar sukar juga untuk ditolak mentah-mentah ramalan tadi. Apatah lagi itu bukan kali pertama fakta serupa diperkatakan. Cakap-cakap mengenai kemungkinan PAS akan menang di Terengganu dengan ‘majoriti tipis’ sudah kedengaran di serata negeri sejak kebelakangan ini.

Ia bukan sahaja diperkatakan di kalangan orang PAS, tetapi turut menjadi topik perbualan aktivis dan pendokong parti lawan. Begitu juga khalayak pemerhati dan ‘orang atas pagar’.

Sebelum itu pun penulis sudah dengar dan baca berbagai pihak menyebutkan perkara itu. Walau pun angka-angkanya sedikit berbeza antara mereka, namun ia tidak lari daripada andaian bahawa PAS akan menang ‘tipis’ di Terengganu.

Pernah suatu ketika seorang aktivis Perantau (sebuah perkumpulan anak-anak Terengganu penyokong PAS di perantauan) melontarkan perangkaan sama. Katanya, “PAS sudah pasti menang 17 kerusi, tinggal nak tambah beberapa (kerusi) lagi, nak bagi secure sikit”.

Seorang rakan dari Kuala Terengganu, yang memang penulis tahu ada hubungan agak rapat dengan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPN), juga pernah menyebutkan harapan serupa. “Insya Allah kita akan perintah balik. Tipis pun tak apa, janji memerintah”, katanya, agak optimis.

Alasan dan sandaran kepada keyakinan itu agak pelbagai. Sepertimana yang penulis sebutkan dalam coretan lalu, antara pemangkin utama kejatuhan BN/Umno ialah kebangkitan anak muda bersama PAS. Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan kelompok ini amat bermakna buat parti Islam itu.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sangat bijak meraikan semangat dan sentimen anak-anak muda ini. Dalam ucapan beliau sewaktu merasmikan Himpunan Hijau peringkat negeri itu di Marang dua minggu lalu, Tuan Guru sempat secara khusus mengusik jiwa membara ribuan pemuda yang tekun menghayati amanatnya pagi itu.

Dalam menafsirkan persiapan menghadapi musuh, beliau mengibaratkan “kuda tunggangan” dalam ayat Allah itu menyamai “motosikal-motosikal” di zaman ini. Apa lagi, bagai diduga penafsiran itu terus disahut dengan laungan takbir.

Anak-anak muda yang ada di situ merasakan maksud ayat itu semacam ditujukan kepada mereka. Mereka merasakan kehadiran mereka dihargai, keterlibatan mereka amat diperlukan. Lebih penting lagi, sumbangan mereka diyakini bakal membuahkan hasil yang baik untuk parti dan agama.

Inilah kecenderungan yang merata di seluruh negeri. Kebangkitan anak-anak muda bersama PAS sudah bergelombang dan tidak upaya lagi diempang oleh BN/Umno, walau pun dengan berbagai pujukan dan tipuan.

“Besut macam mana Zain... boleh menang dak?”, tanya Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, sewaktu berkunjung ke rumah penulis.

Ahh... mahu saja penulis jawab seperti jawaban diberikan oleh Rasulullah saw kepada Jibril as: “Tidaklah yang ditanya itu lebih tahu daripada yang bertanya”.

Ya, Dr. Syed Azman adalah Adun Batu Burok. Tentu banyak maklumat politik dan pilihan raya peringkat negeri berada dalam koceknya. Beliau juga Timbalan Setiausaha Agung PAS, yang sudah tentu terdedah dengan berbagai maklumat perkembangan politik seluruh negara.

Namun, pertanyaan itu juga rupa-rupanya menjadi persoalan banyak pihak. Saudara Shuhaimi Embong, seorang aktivis Perantau di ibukota, pernah melontarkan, “apakah Besut akan kekal sebagai ‘Pintu Tawan Terengganu’? Ataukah gelaran itu akan diambilalih oleh Kemaman pula?”

Maksudnya, dulu gelombang kemenangan dikatakan datang dari arah Kelantan. Maka dulu dikatakan untuk memenangi Terengganu, PAS perlu menang banyak kerusi di Besut. Namun, apakah hakikat sama masih relevan dengan percaturan kini yang melihat gelombang kemenangan datang dari arah Pantai Barat pula?

Secebis maklumat dari rakan di Besut tadi mungkin menjawab pertanyaan itu. Katanya, “dalam 18 kerusi (yang didakwanya dimenangi PAS) itu pun... sa habuk takdak di Besut!”

Alamak... nampak gayanya, kawan-kawan di Besut kena kerja lebih kuat lagi lah!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1760, 16 Julai 2012 di ruangan KOLUMNIS F21 dengan tajuk sama)

Thursday, July 5, 2012

Jangan perkecil harapan tawan Terengganu


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Cakap-cakap politik dewasa ini lebih cenderung meramalkan akan berlakunya pertukaran pemerintahan. Bahawa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa, bakal menyaksikan kerajaan Pusat beralih tangan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR). Ikut dilanda perubahan sealiran ialah sebahagian besar negeri-negeri yang kini masih di bawah BN.

Sudah tentu salah sebuah negeri yang dimaksudkan ialah Terengganu. Sejak ia dirampas semula BN pada 2004, pelbagai usaha dan tekad diatur PAS untuk kembali berkuasa di negeri penyu itu belum membuahkan hasil. Sebaliknya, strategi Gelombang Biru dilancarkan BN, diikuti Lautan Biru dengan segala macam slogan dan pendekatannya terbukti menambahkan kekebalan dan cengkaman buat parti pemerintah itu.

Sebab itu biar pun seluruh negara dilanda tsunami politik pada 2008, sehinggakan BN terlepas empat lagi negeri selain Kelantan, Terengganu yang dicanang dan diidamkan PAS kekal dikuasai BN. Justeru, ramai pemerhati politik mula melontarkan nilaian sinis dan pesimis terhadap keupayaan PAS negeri itu mengatasi kekuatan parti lawan di masa-masa mendatang.

Penulis melihat sebahagian analisa dan nilaian yang pernah dilontarkan lewat media cetak dan media baru berhubung persepsi itu agak objektif dan berasas. Namun, tidak kurang juga yang sembrono dan keterlaluan, termasuk yang diutarakan oleh kalangan penulis dan penganalisis yang kononnya pro-PR sendiri.

Bahkan, mengambilkira percaturan politik di kalangan sesama parti rakan PR dan dalaman PAS sendiri pun, menyebabkan kita tidak boleh menolak sepenuhnya ada unsur-unsur kurang rasional dan tidak adil terhadap kepimpinan PAS Terengganu di kalangan para penulis dimaksudkan.

“Jangan perkecil kemampuan kami. Terengganu juga tidak mahu terkecuali daripada gelombang kebangkitan rakyat kini. Insya Allah kita akan menyertai rakan-rakan di negeri-negeri lain, memberi saham menjayakan misi ‘Hijau ke Putrajaya’ ini,” ulas Pengarah Jabatan Penerangan PAS negeri itu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Ya, sebagai salah sebuah negeri yang diistilahkan sebagai Malay-belt dan menjadi antara gelanggang utama kemaraan PAS, peranan Terengganu dalam menjayakan misi menawan Putrajaya tidak sepatutnya diambil mudah, terutama oleh para pemimpin PAS sendiri. Apatah lagi jika mereka ingin bercakap soal PAS Ganti Umno dalam ertikata PAS menggantikan parti korup itu sebagai tulang belakang atau peneraju pemerintahan baru.

“Entahlah... ana tak nampak kesungguhan PAS Terengganu mengorak langkah ke arah itu”, kata seorang aktivis media yang juga aktivis PAS di ibukota. Beliau mendakwa itulah persepsi umum di kalangan mereka yang bergaul dengannya.

“Pemimpin (PAS) Terengganu tidur! Daftar Pemilih tak ambil cara, lepas tu bising lah ramai pengundi hantu... Masa boleh bantah, pasal apa tak buat bantahan, macam kami di Kelantan buat?,” sergah pula seorang pemimpin agak kanan dari negeri tetangga itu.

Adoi, agak berdesing juga telinga penulis selaku anak Terengganu mendengar pemimpin negeri sendiri diperlekehkan sedemikian rupa. Namun, andaikata hakikat didakwakan itu memang berlaku, apakan daya untuk kita pertahankan. Jika benar ia suatu kelemahan yang wujud, maka langkah terbaik ialah segera memperbetulkannya.

“Mood rakyat memang sangat, sangat jelas bersama Pakatan Rakyat. BN dah tak mampu pertahan kuasa. PRU nanti tumbang BN, PR akan perintah Malaysia. Terengganu? Agak malang, mungkin kita terpaksa ke Putrajaya tanpa Terengganu,” komen seorang ahli akademik yang menyifatkan dirinya penganalisis politik, tetapi mungkin sekadar berdasarkan pengamatan dari bilik hawa dingin di kampusnya.

Itu cakap-cakap yang penulis kutip sepanjang beberapa bulan lalu. Demi Allah, mengikut pengamatan penulis sendiri, keadaan di Terengganu sudah banyak berubah kini. Perubahan itu pula sangat drastik dan menakjubkan.

Sehinggakan sudah ada yang mula bercakap dengan nada lebih yakin bahawa Terengganu akan kembali ke pangkuan PAS, disertakan berbagai faktor dan hujahan masing-masing. Senarai faktor pendorong itu agak panjang untuk dimuatkan kesemuanya. Barangkali untuk kali ini cukup disebutkan bahawa salah satu faktor itu ialah gelombang penolakan terhadap BN, khususnya Umno yang berlaku di serata negara.

Ia mungkin tidak berasal atau berpusat kepada kebencian rakyat Terengganu terhadap Umno negeri itu sendiri. Tetapi mengambilkira teknologi maklumat yang membantu menjadikan rakyat celik informasi dan lebih celik politik, menyebabkan mana-mana kawasan yang ada akses kepada media baru akan menghasilkan masyarakat yang semakin sedar politik.

Kecenderungan itu sebenarnya telah pun terserlah menerusi keputusan PRU lalu. Rata-rata kerusi dimenangi PAS di Terengganu adalah di kawasan bandar dan sekitar bandar. Dalam ertikata lain, pengundinya adalah kalangan yang terdedah kepada maklumat alternatif.

Sepertimana tergambar pada peringkat nasional, di Terengganu juga faktor penglibatan anak-anak muda dalam kebangkitan ini amat menakjubkan. Itulah yang sekali lagi mereka serlah lewat Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri di Marang, Sabtu, 30 Jun.

Ustaz Wan Sukairi meluahkan simpul hatinya, “bahana PGU 4.0 (Himpunan Hijau Terengganu) amat terasa ya akhi... anak-anak muda amat bersemangat merealisasikan 4-0 (tawan keempat-empat kerusi Dun di setiap Parlimen)”.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1757, 6 Julai 2012, di ruangan KOLUMNIS, F22 dengan tajuk "Usah perkecil harapan tawan Terengganu")

Sunday, July 1, 2012

Mengoptimakan manfaat kehadiran Ramadhan


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Ramadhan al-Mubarak bakal menjelma lagi. Sepertimana namanya, bulan ini memang diberkati Allah dan Dia memenuhinya dengan berbagai keberkatan. Di antara gambaran luaran paling menyerlahkan keberkatan itu ialah betapa bersemarak dan makmurnya Ramadhan dengan segala kelainannya berbanding bulan-bulan lain.

Keghairahan dan ketekunan umat Islam menyempurnakan bermacam amal ibadat bagaikan mencapai tahap puncak di bulan mulia ini. Walhal semua tahu betapa amal ibadat untuk taqarrub ilallah merupakan satu tuntutan kepada kita di sepanjang kehidupan, tanpa dikhususkan pada bulan-bulan tertentu.

Pun begitu, kita turut diajar bahawa setiap amal ibadat itu ada tingkatan ganjaran berbeza mengikut masa dan tempat ia dilaksanakan. Solat di rumah umpamanya, tidak sama darjah ganjaran berbanding solat di masjid. Begitulah juga apabila solat sama dilaksanakan di Masjidil Haram Mekah, ganjarannya tidak sama. Lebih tidak sama lagi sekiranya ia dilakukan di bulan Ramadhan.

Begitulah tingkatan ganjaran berbeza yang kita fahami, bagi setiap amal ibadat. Walau pun ia suatu tuntutan sepanjang hayat, dan setiap kali melaksanakannya kita diberi jaminan ganjaran, “keuntungannya” menjadi lebih berganda apabila datangnya musim-musim utama seperti Ramadhan. Ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang telah dijamin Allah dan Rasul-Nya bagi setiap amal pada bulan penuh berkat ini.

Sebab itu Islam menggalakkan umatnya mempertingkatkan amal ibadat di sepanjang Ramadhan. Ia datang hanya sekali setahun. Peluang ini tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa kita mengambil segala daya usaha mengoptimakan manfaat kehadirannya.

Selain menyempurnakan amalan puasa yang wajib, perbanyakkanlah amalan-amalan sunat, terutama yang kerap disenaraikan para ulama bersandarkan apa yang pernah dicontohkan oleh Baginda saw terlebih dahulu. Antaranya seperti beriktikaf di masjid, memberi makan orang berbuka, bersolat tarawih, bersedekah, membaca al-Quran, menunaikan umrah, mentadarus al-Quran, qiyamullail, berzikir dan beristighfar, memohon syurga serta menjauhi neraka.

Maka ucapkanlah selamat datang kepada Ramadhan al-Mubarak. Semoga kehadirannya benar-benar memberi keberkatan kepada kita semua. Wassalam.

Al-faqir illallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 7 (Julai 2012) di bawah kolum EDITORIAL dengan tajuk sama)