Sunday, July 1, 2012

Khalifah terpaut kejujuran anak penjual susu


Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab ra memang dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas dan teliti dalam melaksanakan pemerintahannya. Bagi memastikan rakyatnya menjalani kehidupan bertepatan dengan hukum dan ajaran Islam, beliau sendiri turut melibatkan diri dalam banyak urusan kehidupan mereka.

Kisah-kisah bagaimana Umar ra berada di berbagai tempat meninjau keadaan masyarakat, sama ada siang mahu pun malam, amat banyak diceritakan. Sebilangannya malah menjadi kisah teladan yang kerap dipetik para pendakwah Islam, sama ada menerusi tulisan mahu pun ucapan mereka.

Di antara kisah yang secara jelas menggambarkan keprihatinan Umar ra terhadap kebajikan rakyatnya serta ketaatan mereka kepada ajaran Islam ialah dalam aspek penguatkuasaan peraturan jual-beli yang ketat dan bebas daripada sebarang penipuan serta penindasan. Umar ra misalnya sangat keras menentang amalan monopoli dalam perniagaan. Beliau juga amat tidak senang dengan sebarang bentuk manipulasi, penindasan atau penipuan.

Bagi memastikan hukum dan peraturan jual-beli menurut Islam benar-benar dihayati dan digunapakai dalam masyarakat, Umar ra kerap turun sendiri ke pasar-pasar sekitar Madinah. Beliau malah melantik beberapa pegawainya untuk mengawasi keadaan di sana. Antara mereka yang pernah ditugaskan memantau perniagaan di pasar-pasar ialah As-Saib ibnu Yazid dan Abdullah ibn Utbah ibn Mas’ud (As-Sallaabee, 2010).

Diriwayatkan suatu hari, sewaktu sedang meronda sebuah kawasan perniagaan, tidak semena-mena Umar ra terlihat seorang peniaga sedang mencampurkan susu yang hendak dijualnya dengan air. Perbuatan itu dipercayai bagi membanyakkan jumlah ‘susu’ yang boleh dijualnya, dengan hasrat mendapatkan keuntungan yang lebih.

Umar ra sangat terganggu dengan penipuan yang disaksikannya sendiri itu. Beliau yang terkenal sangat tegas dan keras dalam tindakannya lantas mendapatkan peniaga terbabit. Tanpa banyak bersoal-jawab, Umar terus sahaja mendapatkan bekas berisi susu itu lantas mencurahkan kesemuanya ke tanah.

Terkejut dengan tindakan itu, si peniaga itu cuba menghalang, tetapi tidak meneruskan hasratnya apabila menyedari bahawa orang yang sedang memusnahkan susunya itu tidak lain daripada Amirul Mukminin sendiri. Bukan itu sahaja, peniaga yang tidak jujur itu dikenakan hukuman sepadan. Umar ra lantas mengarahkan pegawainya mengumumkan peraturan mengharamkan perbuatan mencampurkan susu yang hendak dijual dengan air.

Ditakdirkan Allah Ta’ala, peraturan itulah juga yang menjadi punca memaut hatinya menjadikan seorang perempuan sebagai menantunya. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid bin Aslam, daripada ayahnya, daripada datuknya, Aslam ra, ia berkata, “ketika itu aku bersama Umar bin al-Khattab meronda sekeliling kota Madinah di malam hari. Menjelang tengah malam, lantaran terlalu kepenatan, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika. Umar bersandar ke dinding sebuah bangunan. Tiba-tiba dia terdengar di sebalik dinding itu suara seorang ibu berbicara kepada anak perempuannya, “wahai puteriku, campurkan susu ini dengan air.”

Ahhh!!! Ungkapan itu memang suatu yang amat membangkitkan rasa tidak senang di hati Umar ra. Apatah lagi beliau sudah pun mengeluarkan arahan agar perbuatan menipu dalam perniagaan itu dihentikan. Rupanya kesungguhan beliau dan pemerintahannya memperbetulkan amalan buruk dalam masyarakat masih belum benar-benar dihayati.

Umar semakin memasang telinganya ke arah suara tersebut. Alhamdulillah, jawaban anak wanita itu bagaikan mengubati kekecewaannya sejurus tadi. Anak perempuannya menjawab, “wahai ibuku, apakah engkau belum mengetahui ketetapan dasar terbaru yang dikeluarkan oleh Amirul Mukminin?”

Ibunya bertanya, “wahai puteriku, apa ketetapannya?”

Kata anak perempuannya, “Amirul Mukminin telah memerintahkan seorang pegawainya  mengumumkan agar jangan sesiapa mencampur susu untuk jualan dengan air.”

Ketegasan sang anak itu ternyata amat menyenangkan hati Umar ra yang mendengar perbualan mereka.

Si ibu itu bagaimanapun terus mengherdik anaknya. “Sudahlah! Campurkan susu itu dengan air. Bukankah kita kini berada di tempat yang tidak dapat dilihat oleh Umar dan pegawainya itu”, si ibu cuba meyakinkan sang anak, sekira-kira bermaksud tidak ada apa yang perlu dibimbangkan, kerana mereka tidak mungkin tertangkap dan dihukum oleh Umar atau pegawainya di atas pelanggaran peraturan itu.

Umar semakin tertunggu-tunggu apa pula reaksi sang anak. Dan apa yang dituturkan anak perempuan itu memang amat memuaskan hatinya. Kata sang anak kepada ibunya, “wahai ibu, demi Allah, tidak patut bagiku mentaati Umar di hadapannya dan mendurhakainya di belakangnya.”

Subhanallah! Perasaan Umar bagai tersentap oleh jawaban sang anak itu. Hatinya segera terpaut oleh kejujuran dan kemurnian akhlak anak perempuan itu. Beliau terdorong mengenali lebih lanjut mengenai mereka berdua, khususnya sang anak itu.

Lalu dia berkata kepada Aslam, “tandai pintu rumah ini dan ingat-ingat tempat ini.” Mereka berdua kemudiannya melanjutkan rondaan ke tempat lain.

Keesokan pagi Umar berkata kepada Aslam, “kamu pergilah ke tempat malam tadi. Dapatkan maklumat siapakah wanita tuan empunya suara yang kita dengar itu dan siapa pula yang menjadi lawan bicaranya. Pastikan juga apakah kedua-dua mereka bersuami atau tidak.”

Aslam lantas mengunjungi semula tempat tersebut. Rumah dimaksudkan itu tidak sukar ditemui, memandangkan beliau telah mengamati sebaiknya tempat tersebut, sebagaimana diarahkan Umar ra.

Kunjungan singkat itu berhasil menemukannya dengan maklumat diperlukan Umar. Ternyata wanita itu seorang gadis yang belum bersuami. Manakala lawan bicaranya adalah ibunya yang juga tidak bersuami. Lalu Aslam pulang menyampaikan hal itu kepada Umar.

Khalifah Umar sangat gembira mendengar penerangan Aslam itu. Beliau merasakan sudah menemui seorang calon isteri yang mukminah dan diyakini berupaya melahirkan zuriat yang berakhlak terpuji. Namun, sudah tentu mengambilkira usianya yang sudah lanjut, calon itu bukanlah untuk dirinya sendiri.

Lalu Umar memanggil anak-anak lelakinya. Beliau bertanya kepada mereka, “siapakah di antara kamu yang berhasrat untuk berkahwin? Sesungguhnya ayahanda ada seorang calon isteri yang amat sesuai dinikahi. Demi Allah, seandainya ayahmu ini masih berhasrat kepada wanita, nescaya tidak seorang pun dari kamu mendahului ayahanda untuk menikahi perempuan ini.”

Dua anak lelaki Umar, iaitu Abdullah dan Abdurrahman bagaimana pun masing-masing tidak menerima tawaran ayahanda mereka, memandang kedua-dua mereka sudah pun beristeri.

Lalu berkata pula Ashim, “Ayahanda, aku belum mempunyai isteri. Nikahkanlah aku dengannya.” Umar sangat gembira mendengar kesediaan anaknya itu. Beliau lalu menguruskan rombongan meminang anak perempuan penjual susu itu.

Pinangan itu diterima dengan hati terbuka dan mereka pun bernikah. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kemudiannya dikurniakan seorang anak perempuan yang akhirnya menjadi ibu yang melahirkan Umar bin Abdul Aziz, khalifah yang sangat terkenal dengan kewarakan dan kezuhudannya.

Terbukti firasat Umar ra amat tepat, bahawa akhlak mukminah dan keperibadian baik seorang ibu menjadi saham penting menghasilkan zuriat mukmin yang baik pula. Justeru, pemilihan calon isteri bukan suatu perkara yang wajar diambil mudah. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
1.      Dr Ali Muhammad Muhammad As-Sallaabee, 2010; The Biography of Umar Ibn Al-Khattaab ra. Maktaba Dar-us-Salam, Riyadh.
2.      Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010; Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
3.       Tuan Guru Haji Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari al-Makky, 2002. Khalifah Zuhur Umar bin Abdul Aziz. Maahad Htahfiz Darul Quran Wal Qira’at Berhad, Repek, Pasir Mas, Kelantan.

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 7 (Julai 2012) di bawah kolum SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)

Cabaran hebat meneruskan keputusan, dasar Rasulullah saw


Oleh: MOHD NASIR AWANG


SUASANA masyarakat Arab, khususnya di Madinah, sama sekali berbeza selepas ketiadaan Nabi Muhammad saw di sisi. Buat beberapa ketika, keadaan kaum muslimin sendiri seakan-akan sangat tidak teratur, seolah-olah sedang berada di jurang perpecahan yang dahsyat.

Dalam siri terdahulu telah disinggung sepintas lalu ketegangan yang tercetus di kalangan para sahabat ternama, ekoran wujudnya perbezaan pendirian mengenai siapa paling layak diangkat menggalang-ganti Baginda saw.

Ada kumpulan tertentu menuntut pembahagian kuasa pemerintahan. Tuntutan paling lantang datang daripada golongan Ansar. Mereka mahu diwujudkan dua jawatan khalifah, satu untuk mereka, dan satu untuk golongan Muhajirin. Mereka malah sudah menamakan Saad bin Ubadah sebagai calon khalifah kaum Ansar.

Di pihak Muhajirin pula, meski pun mereka tidak selantang golongan Ansar, terdengar juga suara-suara agar jawatan khalifah tidak diberikan kepada Saidina Abu Bakar. Di antara yang pada permulaannya menunjukkan penentangan terhadap pelantikan Abu Bakar ialah Saidina Abbas, Zubair bin Awwam, Talhah bin Ubaidillah dan Abu Sufyan bin Harb (Awang, 2010).

Diriwayatkan Abu Sufyan malah pergi lebih jauh, hinggakan sempat menyuarakan protesnya kepada Saidina Ali dan Abbas ra. Katanya, “wahai Ali Abdul Manaf, mengapa Abu Bakar yang menjadi pemimpin? Di mana dua orang yang selalu membela orang lemah? Di mana dua orang yang selalu bersama rakyat bawahan: Ali dan Abbas?”

Ali dan Abbas tidak menjawab, sehingga beberapa ketika kemudian Abu Sufyan mengulangi provokasi sama. Lantas Ali menjawab dengan nada marah, “apakah engkau masih menjadi musuh Islam dan orang Islam? Sikapmu itu sama sekali tidak akan membawa maslahat atau mudharat bagi Islam dan umatnya. Kami melihat bahawa Abu Bakar memang layak untuk itu.” (Asy-Syarqawi, 2011)

Khalayak yang longgar pegangan kepada Islam, atau yang selama ini mungkin tertarik kepada Islam disebabkan pengaruh dan kebaikan batang tubuh Baginda saw, tidak sedikit yang terurai ikatan akidah mereka. Ada yang menganggap sudah tidak ada Islam selepas tiadanya Nabi saw.

Ammar bin Yasir ra dalam satu riwayat menggambarkan keadaan masyarakat di Madinah sejurus kewafatan Baginda saw seperti berikut, “para sahabat ra seperti domba-domba tanpa pengembala. Madinah al-Munawarah menjadi lebih sempit daripada cincin” (Al-Mishri, 2010).

Musuh-musuh Islam, terutama dua kuasa besar iaitu Rom dan Parsi, menganggap ketiadaan Baginda saw suatu ‘kemenangan moral yang besar’ buat mereka. Sekian lama mereka menunggu saat umat Islam menampakkan kelemahan dan kekacauan. Bagi mereka inilah peluang keemasan untuk mereka mempertingkat ancaman terhadap kaum muslimin, sekaligus memadamkan perkembangan Islam.

Namun, tanggapan negatif dan hasrat menghancurkan Islam itu tidak menjadi kenyataan. Kebijaksanaan dan ketegasan Abu Bakar dalam menyusunatur pentadbiran telah mengembalikan imej dan kredibiliti Islam serta pemerintahannya di mata masyarakat umum.

Dalam masa yang singkat beberapa tindakan dan keputusan tegasnya kembali memberikan kesan negatif terhadap pihak yang cuba menggugat kekuatan Islam. Musuh-musuh Islam secara khususnya tidak sempat berlamaan dengan rasa lega dan ‘kemenangan moral’ yang mereka kecapi ekoran kewafatan Baginda saw.

Di antara langkah awal dilakukan Abu Bakar ialah membuat pengukuhan dalaman. Beliau mengadakan pertemuan dengan Ahlil Bait (keluarga Rasulullah saw). Mereka membangkitkan jawatan khalifah dalam menggantikan Baginda saw dan harta pusaka sebagai hak keluarga. Abu Bakar menjelaskan ini bukan soal merebut jawatan, tetapi ia amanah bagi memimpin umat. Pertemuan berakhir dengan para pemimpin Ahlil Bait, iaitu Ali dan Abbas serta yang lain membaiah Abu Bakar sebagai khalifah.

Abu Bakar seterusnya menyusunatur anggota pemerintahannya melibatkan para sahabat utama, termasuk nama-nama yang sebelum itu disebutkan sebagai tidak bersetuju dengan pelantikan beliau. Mereka dilantik menjadi ahli mesyuarat, para menteri, para hakim, panglima tentera dan ketua-ketua daerah (Awang, 2010).

Hasilnya, wujudlah sebuah pemerintahan yang dianggotai para pendokong yang mengenepikan sentimen keluarga, puak, atau bangsa dan meletakkan perpaduan Islam mengatasi segala kepentingan yang lain. Harapan dan jangkaan musuh bahawa umat Islam akan berpecah dan bermusuhan sesama sendiri selepas kewafatan Baginda saw ternyata meleset.

Bagaimana pun, terdapat beberapa kes membabitkan keputusan yang telah dibuat Rasulullah saw, yang kemudiannya menjadi pertikaian di kalangan para sahabat. Ketegasan Abu Bakar untuk tidak memalingkan diri daripada meneruskan keputusan dan dasar tersebut menjadi antara cabaran paling hebat terhadap tugas kekhalifahannya.

1)      Tentera Usamah
Semasa hayatnya, Rasululah saw pernah memimpin tentera Islam berdepan Rom Timur di Tabuk dan mencapai kemenangan. Kemaraan tentera Islam menyebabkan Rom berundur, lalu memberi ruang kepada tentera Islam menguasai beberapa puak Arab yang selama ini dikuasai Rom.

Sejurus sebelum kewafatannya, Baginda saw telah mengarahkan tentera dipimpin Usamah bin Zaid berangkat memerangi Rom, khususnya bagi memberi pengajaran kepada kabilah Qudha’ah yang memberikan kesetiaan kepada Rom dalam memerangi kaum muslimin. Pasukan tentera Islam telah berada di luar Madinah ketika berita kewafatan Baginda tiba.

Lalu sebahagian mereka berpandangan lebih baik mereka berpatah balik. Bahkan, ada yang diriwayatkan memang berbuat demikian dan pulang ke Madinah meratapi kewafatan Baginda saw. Sebahagian besar bagaimana pun kekal berkhemah di luar Madinah dan menunggu keputusan selanjutnya daripada khalifah.

Apabila gejala murtad dan kekacauan golongan munafik semakin menjadi-jadi dalam kalangan kaum muslimin, para sahabat dan Usamah sendiri bersetuju mengubah misi ketenteraan daripada menghadapi tentera Rom kepada menghadapi golongan pengacau ini.

Umar Ibnu al-Khattab ra menemui Abu Bakar dan menyampaikan hasrat mereka: “Wahai khalifah, orang Arab sudah murtad. Mereka berpaling tadah menjadi kafir seperti yang kamu sudah tahu. Kamu pula mahu meneruskan tugas tentera Usamah (menentang Rom). Di dalam bala tentera itu pula ada para pahlawan dan pemimpin orang ramai. Sekiranya kamu menahan bala tentera itu daripada meneruskan tugasnya ke Rom, sudah tentu ia menjadi kekuatan bagi menghadapi bangsa Arab yang murtad itu.”

Apa yang disuarakan Umar memang menepati gambaran dilema dihadapi kaum muslimin ketika itu. Namun, Abu Bakar memberikan jawaban yang amat tegas: “Demi Allah, sekiranya binatang buas yang mengheret kakiku ini, pasti aku tidak akan merungkaikan bendera (tentera Islam) yang telah diikat oleh Rasulullah saw.”

Setelah gagal memujuk khalifah mengubah misi ketenteraan itu, terdengar pula desakan supaya Usamah ditukar. Sekali lagi ia datang daripada kaum Ansar. Kononnya Usamah terlalu muda, dan tentera Islam perlukan ketua yang lebih tua dan berpengalaman.

Umar ra sekali lagi menyebelahi mereka dan menjadi penyampai tuntutan itu. Abu Bakar menjadi lebih marah dan bangkit menarik janggut Umar seraya berkata, “Rasulullah yang melantiknya. Mengapa kamu meminta aku memecatnya?” Umar berundur mengalah dan memberitahu kepada umum ketegasan khalifah.

Meski pun tercabar hebat, ketegasan Abu Bakar mempertahankan keputusan Baginda saw itu memberi implikasi politik yang penting bagi pemerintahannya yang baru dibentuk. Ia amat menggerunkan musuh daripada golongan munafik dan murtad. Musuh-musuh Islam termasuk kuasa besar juga terpegun dan bertambah gerun.

Ia menunjukkan Islam tidak berkurangan kekuatannya walau pun dengan ketiadaan Baginda saw. Bahawa kekuatan iman para sahabat menjadi benteng paling kebal untuk Islam. Bahawa Islam bukan agenda peribadi Muhammad saw semata, tetapi merupakan dokongan dan anutan para pengikutnya tanpa sebarang pengurangan.

Tindakan cepat meneruskan tugas tentera Usamah adalah perang saraf yang benar-benar dirasai semua musuh Islam, sekaligus menunjukkan keteguhan Abu Bakar mematuhi perintah Allah dan menjunjung apa juga yang telah dimulakan oleh Rasulullah saw (Awang 2010).

2)      Golongan Murtad
Imam Az-Zahabi rahimahullah berkata, “ketika berita kewafatan Nabi saw tersebar, banyak kabilah Arab yang murtad dari Islam dan menolak membayar zakat”. Tidak ada daerah di Jazirah Arab kecuali di sana terjadi kemurtadan dari sebahagian penduduknya, sehingga khalifah Abu Bakar terpaksa mengirim para gabenor kepada mereka untuk memimpin kaum muslimin di daerah-daerah terbabit.

Manakala pasukan tentera dihantar untuk memerangi golongan murtad di kalangan mereka. Namun, keputusan itu sekali lagi dipertikai Umar dan beberapa sahabat lain. Umar antara lain mempersoalkan, “mana mungkin kamu (Abu Bakar) memerangi mereka, sedangkan Rasulullah saw telah bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan la ilaha illallah. Siapa yang mengucapkan la ilaha illallah, maka dia telah melindungi dirinya dan hartanya dariku, kecuali dengan haknya, sementara hisabnya atas Allah”.

Abu Bakar agak kecewa dengan bantahan Umar itu. Sekali lagi beliau memberikan penafsiran dan pemahaman lebih tepat mengenai sabda Baginda saw itu. Katanya, “aku berharap engkau (Umar) menolongku, tetapi rupa-rupanya engkau melemahkanku. Apakah engkau ini orang yang bengis di masa jahiliyah tetapi penakut dalam Islam? Wahyu telah terputus, agama telah sempurna. Apakah ia akan dikurangi sementara aku masih hidup? Bukankah Rasulullah saw telah bersabda, ‘kecuali dengan haknya’, dan di antara haknya itu adalah mendirikan solat dan mengeluarkan zakat? Demi Allah! Seandainya orang-orang tidak bersamaku kesemuanya, nescaya aku akan memerangi mereka sendirian”.

Sikap tegas Abu Bakar dalam menjunjung dasar yang telah diumumkan Rasulullah saw akhirnya menyedarkan Umar. Beliau lantas berkata, “selanjutnya aku melihat Allah telah melapangkan dada Abu Bakar untuk memerangi mereka (golongan murtad dan enggan membayar zakat). Maka aku yakin bahawa ia (keputusan Abu Bakar itu) adalah kebenaran”.

Pasukan Islam akhirnya berjaya menundukkan orang-orang murtad di setiap pertempuran. Kemenangan-kemenangan dan penaklukan demi penaklukan itu tambah memperkuatkan Islam, sekaligus menggerunkan musuh-musuh Allah.

3)      Harta Pusaka Rasulullah (kes Fatimah)
Anakanda kesayangan Rasulullah saw, Fatimah Az-Zahra memang teramat sedih dengan kewafatan ayahandanya saw. Dia amat terasa kehilangan Baginda, sehingga menyebabkan hidupnya tak keruan. Waktu sehariannya banyak dihabiskan untuk tidur di atas katil, menanti saat menyusul Rasulullah saw, seperti yang pernah dibisikkan oleh ayahandanya ketika sedang sakit tenat (Asy-Syarqawi, 2011).

Suatu ketika tatkala kehidupan keluarganya teramat sempit (diriwayatkan kehidupan keluarga anakanda Rasulullah saw ini tidak pernah mewah), Fatimah terfikir untuk meminta sedikit harta bagi melegakan penderitaan mereka. Beliau lalu mengirim utusan menemui Abu Bakar untuk meminta warisan pusaka peninggalan ayahandanya saw.

Rasulullah saw mempunyai tanah di daerah Fadik dan Khaibar hasil daripada fai Allah kepadanya serta daripada bahagian ghanimah Rasul. Rasulullah saw biasanya mengambil hasil tanaman dari tanah tersebut untuk memberi nafkah yang kiranya cukup untuk Baginda dan keluarga.

Sementara bakinya digabungkan dengan harta Allah. Sebagai menampung sumber kewangan untuk keluarganya, Fatimah meminta kepada Abu Bakar agar suaminya pula yang mengurus tanah tersebut. Baginya, Ali lebih berhak untuk itu.

Namun, Abu Bakar mengambil pendirian bertentangan. Beliau membacakan sabda Rasulullah saw yang pernah didengari, “kami ialah para nabi yang tidak mewariskan apa pun. Apa yang kami tinggalkan sebagai sedekah”.

Berdasarkan pemahamannya terhadap hadith tersebut, Abu Bakar bertegas, “demi Allah, aku tidak akan mengubah sedekah Rasulullah saw seperti ketika Rasulullah saw masih hidup. Sungguh aku akan mengerjakannnya (tanah itu) sepertimana yang pernah dikerjakan oleh Rasulullah saw.”

Dalam hal ini, Umar juga sependapat dengan Abu Bakar. Pendirian kedua-dua mereka bagaimana pun amat mengecewakan Fatimah, sehingga beliau mengambil sikap tidak ingin lagi berbicara dengan mereka berdua. Kehidupannya yang terjejas teruk ekoran kewafatan Rasulullah saw menjadi semakin tidak teratur.

Diriyawatkan sikap membisu Fatimah itu amat mengguris perasaan Abu Bakar. Dia ‘tersepit’ di antara meraikan keperluan orang paling disayangi Rasulullah saw itu dengan ketegasan meneruskan dasar atau keputusan yang telah dibuat Baginda saw sendiri.

Dia merasakan Fatimah marah kepadanya. Justeru, dengan linangan air mata beliau merintih kepada orang ramai, “kamu dapat tidur dengan nyenyak, bahagia dengan keluarga, sedangkan kamu membiarkan aku dalam keadaan begini. Aku tidak perlukan baiat kamu (sebagai khalifah)”.

Tiga kes agak besar disebutkan di atas hanyalah contoh mengenai bagaimana hebatnya cabaran dan dilema terpaksa dihadapi Abu Bakar dalam memastikan kesinambungan risalah, ajaran, keputusan dan dasar yang telah diambil Rasulullah saw terlaksana. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Abdul Hadi Awang, 2010. Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa ar-Rasyidin. PTS Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Abdurrahman Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-          Dr. Khalid Muhammad Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah Edisi 7 (Julai 2012) di bawah kolum KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)

Huraian dalil sahih sebagai sendi hukum

Oleh: Mohd Nasir Awang

Kitab ini merupakan syarah kepada al-Umdatul-Ahkam, sebuah kitab ditulis Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Majid. Kitab tersohor itu memuatkan himpunan hadith-hadith Nabi saw yang sahih yang dipilih dan disaring dari dua kitab yang agung, iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Syeikh Abdul Ghani memilih hadith-hadith dari dua kitab ini dan menyusunnya berdasarkan kaedah penyusunan bab-bab yang biasa dibuat para fuqaha dalam kitab-kitab furu’, bermula dengan kitab taharah (bersuci), kitab solat, jenazah, zakat, puasa dan seterusnya, sehingga diakhiri kitab memerdekakan hamba. Penyusunan sedemikian dipercayai membantu memudahkan orang yang berhasrat menghafal dan mendalaminya.

Terdapat 420 hadith menyentuh kesemua bab dimaksudkan, yang mengambil berbagai masalah dari dalil-dalilnya yang sahih, yang merupakan dasar dan sendi utama hukum Islam.

Ada pun usaha dibuat Syeikh Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam melalui kitab syarah ini pula ialah menghuraikan hadith-hadith pilihan tersebut. Setiap hadith itu tidak didatangkan sekadar matan dan terjemahan maksudnya sahaja. Ia bahkan diikuti penghuraian secara agak terperinci.

Ia disampaikan dengan bahasa yang mudah, senang difahami dan dihadam secara menyeluruh, sehingga masalah-masalahnya tidak bercelaru, yang hanya cenderung mendatangkan kebingungan dan kesulitan para pembaca memahaminya.

Bagi maksud itu, pengarang syarah ini memperincikan perbahasan setiap hadith menerusi beberapa pecahan huraian. Antaranya, menerusi penjelasan lafaz setiap perkataan atau kalimah.

Beliau turut memperturunkan makna hadith secara global, mencari penyesuaian dengan zahir lafaz dan menjelaskan apa yang terkandung di balik lafaz-lafaznya, yang berupa hikmah dan ketetapan hukum. Selain itu beliau turut menyelami makna tersirat dalam susunan kalimat dan kata-katanya, agar faedah hadith menjadi lebih sempurna dan pembahasannya lebih lengkap.

Dalam keadaan terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama berhubung intipati hadith dibicarakan, pengarang mengemukakan hanya pendapat-pendapat yang kuat di antara mereka, dengan menyertakan dalil dan sumber pengambilan hujah mereka, tanpa mempedulikan perbezaan pendapat yang lemah dan yang tidak dilandaskan kepada dalil-dalil yang kuat. Hal demikian agar pembaca tidak terseret ke pemikiran yang bersimpang-siur tanpa ada manfaatnya.

Pengarang kemudian turut menyenaraikan kesimpulan, hukum dan faedah dari setiap hadith, dalam bentuk ceraian numerikal yang mudah difahami dan diingati. - Editor

INFO BUKU:
Judul: SYARAH HADITS PILIHAN BUKHARI MUSLIM
Judul Asli: Taisirul Allam Syarh Umdatul Ahkam
Penulis: Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam
Penerbit Edisi Asal: Maktabah As-Sawady Lit-Tauzi’, Jeddah, cet. Vii, 1412/1992
Penterjemah: Kathur Suhardi
Penerbit Edisi Terjemahan: Darul Falah, Jakarta, Indonesia.
Tahun: 1429/2008M, Cetakan Ketujuh (Cetakan Pertama, 1423/2002M).

 (Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya As-Sunnah, Edisi 7 (Julai 2012) di bawah kolum RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)