Tuesday, May 1, 2012

Saidina Abu Bakar ra – rendah diri terhadap isyarat kepimpinan

Oleh: MOHD NASIR AWANG

TELAH digambarkan bagaimana berita kewafatan Junjungan Besar Nabi Muhammad saw mencetuskan suasana teramat suram dan hingar-bingar di kalangan kaum muslimin. Seluruh kota Madinah bagaikan bersipongang dengan esak-tangis para sahabat dan pengikut Baginda saw yang amat sukar menerima hakikat pemergian orang yang paling mereka kasihi itu.

Namun, keteguhan hati Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah mengurai kekusutan hari itu. Walau pun sangat sedih dengan ketiadaan Baginda, sahabat Rasulullah paling akrab itu juga muncul orang paling tabah dan paling berfikiran positif menghadapi suasana paling tidak diingini itu.

Isyarat-isyarat agak jelas oleh Baginda mengenai hampirnya kedatangan hari perpisahan itu telah difahami Abu Bakar. Beliau nampaknya telah mempersiapkan hati dan perasaannya untuk menghadapi hari paling menyedihkan itu.

Lantas, dia bingkas menenangkan kaum muslimin sekaligus memperbetulkan sikap segelintir mereka, khususnya Saidina Umar al-Khattab ra, yang sukar menerima hakikat kewafatan Baginda saw. Hal itu telah disinggung dalam edisi-edisi sebelum ini.

Mencari pengganti Baginda saw
Syaikh Mahmud al-Mishri lewat Sahabat-Sahabat Rasulullah saw mencatatkan, “kemudian hampir terjadi fitnah besar antara orang-orang Muhajirin dengan orang-orang Ansar terkait dengan perkara khilafah, sekali pun kita tetap yakin secara bulat bahawa para sahabat Nabi saw tidak mencari kecuali redha Allah dari apa yang mereka lakukan”.

Beliau turut memetik komentar oleh Imam an-Nawawi rahimahullah lewat Syarh Sahih Muslim lin Nawawi yang berkata, “Nabi saw meninggal, sedangkan beliau tidak menunjuk pengganti dengan dalil yang jelas. Ini adalah mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, bahkan para sahabat bersepakat untuk mengangkat Abu Bakar sebagai khalifah dan mendahulukannya kerana keutamaannya.”

“Seandainya ada nas yang menunjuk Abu Bakar atau selain Abu Bakar (sebagai khalifah), nescaya tidak terjadi pertentangan dari orang-orang Ansar dan selain mereka untuk pertama kalinya, dan orang yang membawa nas tersebut nescaya akan menyebutkan apa yang dia bawa, lalu para sahabat rujuk kepadanya. Tetapi kenyataannya mereka berselisih terlebih dahulu kerana memang tidak ada nas yang langsung, kemudian mereka bersepakat untuk memilih Abu Bakar dan itulah kesepakatan mereka.”

Diriwayatkan orang-orang Ansar berkumpul di Saqifah Bani Saidah. Mereka meneriakkan, “dari kami seorang pemimpin dan dari kalian seorang pemimpin”. Maksudnya, sebagai menggantikan Baginda saw, mereka mahu seorang pemimpin diangkat dari kalangan Ansar dan seorang dari Muhajirin. Bahkan, orang-orang Ansar sudah ada calon mereka, iaitu Saad bin Ubadah.

Sebuah hadith dari Abdullah ra, menggambarkan suasana hari tersebut. Ia berbunyi, “ketika Nabi saw wafat, orang-orang Ansar berkata, “dari kami seorang pemimpin dan dari kamu (Muhajirin) seorang pemimpin.” Maka Umar datang kepada mereka, dia berkata, “bukankah kamu mengetahui bahawa Rasulullah saw telah memerintahkan kepada Abu Bakar untuk menjadi imam kaum muslimin dalam solat? Siapa di antara kamu yang jiwanya rela mendahului Abu Bakar? Maka mereka (orang-orang Ansar) menjawab, “kami berlindung kepada Allah kalau kami sampai mendahului Abu Bakar.” [HR an-Nasaie (II/74, 75), Ahmad (I/21) dan al-Hakim (III/67)]

Abu Bakar, Umar saling “tunjuk-menunjuk”
Dalam riwayat lebih panjang, kekecohan dicetuskan golongan Ansar di Saqifah Bani Saidah itu akhirnya memaksa Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah datang kepada mereka. Di situ berlaku pertembungan pendirian antara mereka dengan ketiga-tiga sahabat utama dari kalangan Muhajirin itu.

Lebih menarik lagi, dalam proses mencadangkan pengganti Rasulullah saw itu, berlaku “tunjuk-menunjuk” di antara dua sahabat utama Baginda, iaitu Abu Bakar dan Umar. Diriwayatkan Abu Bakar telah berkata kepada kaum Ansar yang hadir, “kami adalah umara (pemerintah), sedangkan kamu adalah wuzara’ (wazir atau menteri)”.

Maka Hubab bin al-Munzir, mewakili kaum Ansar menjawab, “demi Allah, kami tidak setuju. Dari kamu (Muhajirin) seorang pemimpin dan dari kami juga seorang pemimpin”.

Abu Bakar berkata, “tidak, akan tetapi kami adalah umara, sedangkan kamu adalah wuzara’. Mereka adalah orang-orang Arab yang paling mulia negerinya dengan nenek moyang Arab asli. Silakan anda semua membaiat Umar atau Abu Ubaidah”.

Apa yang diucapkan Abu Bakar itu bukan sahaja sebagai strategi politik menyelesaikan kekusutan yang sedang dialami ketika itu, malah turut menzahirkan jiwa besarnya mendahulukan sahabat lain berbanding dirinya untuk diberikan amanah kepimpinan.

Apatah lagi Umar seringkali disebut Baginda saw secara bergandingan dengan namanya sendiri sebagai orang harapan Rasulullah. Antaranya, sebagaimana dirakam dalam hadith dari Huzaifah ra, di mana Rasulullah saw bersabda: ‘Sesungguhnya aku tidak tahu berapa lama lagi aku berada di antara kamu. Maka teladanilah dua orang sepeninggalanku: Abu Bakar dan Umar.” [HR at-Tirmizi (no. 3663, 3664). At-Tirmizi berkata, ‘ini adalah hadith hasan.]

Umar juga tidak kurang hebatnya menelah apa yang dimaksudkan Abu Bakar itu. Lantas Umar berkata, seakan menyanggah kembali kata-kata sahabatnya itu, “bahkan lebih layak kami membaiatmu (Abu Bakar). Engkau adalah sayyid kami, orang terbaik kami dan orang yang paling dicintai oleh Rasulullah saw”.

Lalu Umar terus mencapai tangan Abu Bakar dan membaiatnya. Melihatkan tindakan Umar itu, sekalian yang hadir pun turut membaiat Abu Bakar. Demikian difahami dari maksud hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 3667) dari Aisyah ra.

Memahami Isyarat Rasulullah saw
Apa yang dilakukan Umar itu mungkin kelihatan spontan. Namun, jangan dinafikan keilmuan dan kerincian pemerhatian beliau terhadap sebilangan sabda dan ingatan Baginda saw, yang boleh dikaitkan sebagai isyarat terhadap kelebihan Abu Bakar.

Antaranya ialah hadith-hadith berikut:
1. Dari Aisyah ra, ia berkata, “Rasulullah saw bersabda kepadaku ketika Baginda sakit: ‘Panggillah ayahmu dan saudaramu sehingga aku mampu menulis sebuah surat, kerana aku khuatir ada orang yang berharap dan ada orang yang berkata, ‘aku lebih berhak’. Padahal Allah dan orang-orang mukmin menolak selain Abu Bakar.’ [HR al-Bukhari (no. 7217) dan Muslim (no. 2387)]

2. Dari Aisyah ra, ia berkata, ‘Rasulullah saw solat di belakang Abu Bakar dalam keadaan duduk pada saat Baginda sakit, di mana akhirnya Baginda wafat. [HR Ahmad (VI/159). Diriwayatkan juga oleh at-Tirmizi dan dia berkata, ‘hadith sahih’.]

3.  Dari Jubair din Muth’im dari ayahnya ra, ia berkata, “seorang wanita datang kepada Nabi saw, lalu Baginda memintanya (wanita itu) untuk kembali semula kepadanya. Maka wanita itu berkata, “bagaimana jika aku datang kepadamu dan aku tidak mendapatimu (seperti bermaksud Baginda telah tiada)?” Maka Nabi saw bersabda: Jika engkau tidak mendapatiku, datanglah kepada Abu Bakar. [HR Bukhari (no. 7220) & Muslim (no. 2386)]

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata dalam al-Fath, “menjadikan hadith ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa Abu Bakar merupakan khalifah setelah Nabi saw adalah sahih (benar), tetapi hanya sebagai sebuah isyarat sahaja, bukan petunjuk langsung (nyata).”

“Ini juga tidak bertentangan dengan apa yang dinyatakan secara pasti oleh Umar bahawa Nabi saw tidak menunjukkan pengganti, kerana maksud Umar adalah tidak menunjuk pengganti secara langsung. Wallahu a’lam. Al-Kirmani berkata, “hadith ini dijadikan sebagai dalil atas khilafah Abu Bakar.” [Fathul Baari (XIII/345)]

Kelebihan Abu Bakar mengatasi Umar
Bahkan, dalam beberapa kejadian tertentu, Baginda saw secara jelas menzahirkan pilihannya yang mengutamakan Abu Bakar berbanding Umar. Antara hadith yang dapat difahami sebagai memperincikan sikap tersebut ialah:

1. Dari Ibnu Mulaikah rahimahullah, ia berkata, ‘Aku mendengar Aisyah ditanya, ‘siapa orang yang akan diangkat oleh Rasulullah saw sebagai penggantinya seandainya beliau melakukan?’ Dia menjawab, ‘Abu Bakar’. Dia ditanya, ‘lalu siapa setelah Abu Bakar?’ Dia menjawab, ‘Umar’. [HR Muslim (no. 2385)]

2. Dari Abdullah bin Zam’ah ra ia berkata, “ketika sakit Nabi saw semakin parah, aku bersama beberapa orang kaum muslimin berada di sisi Baginda. Bilal mengajak Baginda solat, maka Rasulullah saw bersabda: Perintahkanlah seseorang untuk menjadi imam bagi kamu. Dia berkata, maka Abdullah bin Zam’ah keluar. Ternyata Umar telah bersama kaum muslimin. Pada saat itu Abu Bakar belum hadir, maka aku berkata, “Wahai Umar! Solatlah bersama kaum muslimin”. Umar maju dan bertakbir.”

“Ketika Nabi saw mendengar suara Umar, kerana Umar adalah lelaki yang bersuara lantang, maka Baginda bertanya, ‘di manakah Abu Bakar? Allah dan kaum muslimin tidak menerima hal ini. Allah dan kaum muslimin tidak menerima hal ini.’ Maka seseorang mencari Abu Bakar. Dia datang setelah Umar solat, maka Abu Bakar solat bersama kaum muslimin.” [HR Abu Daud (no. 4660, 4661). Disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud (no. 3895)]

3. Dalam riwayat lain, ketika nabi saw bersabda: ‘Perintahkanlah Abu Bakar agar menjadi imam solat bagi kaum muslimin’, Aisyah berkata, ‘jika Abu Bakar menggantikanmu, maka orang-orang tidak mendengarnya kerana dia akan menangis. Mintalah Umar untuk menjadi imam solat bagi kaum muslimin’.

Aisyah berkata: Aku berkata kepada Hafsah, ‘Katakanlah kepada (pujuklah) Nabi saw, ‘jika Abu Bakar menggantikanmu, maka orang-orang tidak mendengarnya kerana dia akan menangis. Mintalah Umar untuk menjadi imam solat bagi kaum muslimin. Hafsah pun melakukannya. Maka Rasulullah saw bersabda: “Cukup, kamu semua ini benar-benar seperti wanita-wanita di sekeliling Yusuf. Perintahkanlah Abu Bakar agar dia menjadi imam solat orang-orang.” [HR al-Bukhari (no. 679) dan Muslim (no. 418)]

Umar sememangnya menyedari kedudukannya yang sedemikian di sisi Rasulullah saw. Bahawa beliau tidak mungkin dapat menandingi, mahu pun menyamai Abu Bakar, di atas beberapa kelebihan dan kesitimewaan yang memang dianugerahkan Allah SWT kepada sahabatnya itu.

Sebab itu Umar pernah diriwayatkan sebagai bertegas, “aku dibawa ke depan lalu leherku dipenggal lebih aku sukai daripada aku memimpin suatu kaum di antara mereka adalah Abu Bakar.”  Hal ini dicoretkan Ibnu Hisyam lewat As-Sirah an-Nabawiyah, menukilkannya dari Ibnu Abbas ra.

Abu Bakar merendah diri
Namun, kelebihan diisyaratkan Nabi saw itu tidak pernah dianggap sebagai lesen atau pengiktirafan yang mutlak oleh Abu Bakar sendiri. Dalam setiap keadaan beliau hanya bertindak semata-mata sebagai memenuhi arahan diminta Rasulullah. Bukti kesetiaan dan kebanggaan Abu Bakar berdiri di belakang Nabi saw terserlah menerusi dua kes direkodkan pada hari-hari terakhir sebelum kewafatan Baginda saw.

Syeikh Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri lewat Cahaya Abadi (terjemahan Ar-Rohiqul Makhtum) mencatatkan dua hari sebelum kewafatannya, “Nabi saw berasa segar kembali dan boleh mengerjakan solat. Lantas Baginda saw bangun bersandar kepada dua orang jemaah untuk solat Zohor. Melihat Baginda sihat, Abu Bakar yang hendak memulakan solat menarik diri daripada menjadi imam. Tetapi Baginda memberi isyarat supaya Abu Bakar berdiri di situ sambil berkata, “dudukkan aku di sisinya.”

Mereka meletaknya duduk di sebelah kiri Abu Bakar. Baginda menjadi imam sementara Abu Bakar mengikutnya tetapi meninggikan suaranya setiap kali Nabi saw menyebut ‘Allahu Akbar’, dengan demikian jemaah dapat mendengar dengan jelas.” Hadith ini dipetiknya dari Sahih al-Bukhari, 2/637.

Ertinya, Abu Bakar tidak menunjukkan keinginan diri untuk berada di hadapan selagi mana beliau merasakan ada orang lebih layak – bahkan paling layak – mengetuai kaum muslimin dalam solat. Sikap rendah diri dan menyedari tahap kedudukannya itu diulangi keesokannya, sepertimana direkodkan di dalam hadith diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Katanya, “ketika para jemaah hendak bersolat Subuh pagi Isnin (hari terakhir hayat Baginda saw) itu, yang akan diimami Abu Bakar, mereka terperanjat melihat Baginda menyingkap tabir di bilik Aisyah, untuk melihat mereka berbaris betul untuk bersolat seraya tersenyum gembira. Melihat Baginda, Abu Bakar berundur ke belakang menyertai barisan para makmum untuk memberi laluan kepada Baginda mengimamkan solat, kerana memikirkan Baginda menyertai mereka. Para jemaah bergembira malah hampir terpesona melihatnya. Bagaimana pun, Baginda memberi isyarat supaya mereka meneruskan solat dan Baginda masuk semula ke bilik lalu melabuhkan tirai.” [Sahih Muslim, 2/246]

Dua kejadian diutarakan itu sudah cukup membuktikan sifat rendah diri dan sedar diri Abu Bakar tentang tarafnya berbanding Baginda saw. Beliau tidak akan sekali-kali mendahului Nabi saw selagi mana Baginda masih mampu berada di hadapan. Beliau adalah pengikut paling setia kepada Rasulullah saw. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-          Abdul Hadi Awang, 2010. Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa ar-Rasyidin. PTS Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Abdurrahman Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Safi-ur Rahman al-Mubarakpuri, 2011, Cahaya Abadi (Terjemahan ar-Rohiqul Makhtum), Al-Hidayah House of Publishers Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Dr. Khalid Muhammad Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.

 (Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)


Hadith palsu punca kesesatan umat

Oleh: Mohd Nasir Awang

Kerap disebut orang, terutama oleh para ilmuan Islam dan khalayak yang dekat hati dan hidup mereka kepada Allah SWT, bahawa kejayaan dan kecemerlangan mana-mana kelompok umat Islam bergantung pada sejauh mana mereka berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Semakin jauh dia dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi, maka pada prinsipnya semakin dekatlah mereka dengan kesesatan dan kegagalan.

Rahsia kejayaan para sahabat dan tabien diiktiraf sebagai generasi paling cemerlang di kalangan umat Islam adalah kerana pegangan mereka yang kuat kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi tanpa mereka merubahnya, menambahnya atau menyelewengkannya daripada maksudnya yang sebenar.

Justeru, formula terbaik bagi umat Islam pada hari ini dalam berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk keruntuhan moral dan akhlak serta dipandang hina dan lemah oleh musuh-musuh Islam ialah kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

Alhamdulillah kesedaran di kalangan umat Islam global untuk kembali menghayati dan mengatur hidup bersandarkan dua sumber ajaran tertinggi itu senantiasa bersemarak sejak sekian lama, bahkan semakin terserlah mutakhir ini. Bagaimana pun, ia tidak terlepas daripada unsur-unsur yang mampu memesongkan matlamat suci itu.

Di antara cabaran atau pemesongan paling bahaya ialah wujudnya fitnah dan gerakan pemalsuan hadith, yakni mendakwa sesuatu rangkap kata itu sebagai sabda Rasulullah saw, sedangkan sebenarnya ia bukan dari Baginda saw. Kajian dibuat para ulama Islam dan para pengkaji hadith menunjukkan banyak hadith palsu mula direka selepas berlakunya pergolakan pada akhir zaman Khulafa ar-Rasyidin.

Walau pun para ulama sejak zaman itu telah bangkit menentang fitnah itu, namun penyebaran hadith-hadith palsu terus juga berlaku, sama ada angkara musuh-musuh Islam yang menyamar sebagai orang Islam, mahu pun oleh orang-orang Islam yang jahil atau orang-orang yang mempunyai kepentingan peribadi.

Sehingga kini hadith-hadith maudhu’ dan yang sebangsa dengannya masih tersebar meluas di kalangan masyarakat Islam serata dunia. Bahkan, rangkap-rangkap sebegini banyak dijadikan sandaran dalam urusan-urusan ibadat dan pegangan hidup umat Islam, tidak terkecuali di negara kita sendiri. Sedangkan menjadi satu kesalahan besar menyebar dan mengamalkan hadith-hadith maudhu’ dalam apa jua urusan hidup, bahkan kesesatan umat Islam berpunca dari sini.

Menyedari natijah buruk ini, maka Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris menyusun buku Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ . Ia menyenaraikan hadith-hadith yang disebut maudhu’ serta hadith-hadith matruk dan mungkar. Hadith-hadith ini dipilih dari buku-buku yang ditulis oleh para muhaddithin dan pengkritik.

Buku Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ didatangkan dalam dua jilid. Mengandungi masing-masing 1002 dan 1676 hadith yang disifatkan oleh penuli sebagai “haram digunakan untuk semua tujuan dan haram diriwayatkan atau disebarkan tanpa menyebutkan kecacatannya atau rutbahnya.”

Mudah-mudahan usaha ini dapat membantu membasmi penggunaan hadith yang tidak dibolehkan dalam masyarakat kita, seterusnya membantu umat Islam mengelakkan diri dari tersesat. - Editor
INFO:
Tajuk: Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’
Penyusun: Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris
Penerbit: Al-Hidayah Publishers, Jalan Ipoh Kecil, Kuala Lumpur.
Tahun diterbitkan: Jilid I – 2006 (Cetakan keempat); Jilid II – 2009 (Cetakan ketiga)

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 5 (Mei 2012) di kolum RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)

Sunday, April 1, 2012

Menyantuni kesilapan, mempertingkat persembahan


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim. Segala pujian tertentu hanya buat Allah Azza wa Jalla, yang dengan kudrat dan iradatNya jua majalah kami berupaya memasuki Edisi ke-4. Walau pun sedari edisi pertama kami menerima lebih banyak reaksi dan maklumbalas positif daripada para penatap dan pengamat, berbanding yang negatif, ia bukan alasan untuk kami berpuas hati dan berpada dengan apa yang ada.

Kami tidak malu mengakui betapa majalah kami ini masih diselubungi berbagai kelemahan dan kekurangan, terutama dalam aspek persembahan dan pengedarannya. Bahkan, sebagai manusia kami sendiri tidak sunyi dari melakukan kesilapan, yang mungkin mencacatkan penampilan majalah ini.

Justeru, menjadi komitmen kami untuk bersikap terbuka menerima segala teguran dan mengakui andai kedapatan sebarang kesilapan. Mudah-mudahan dengan bersikap positif terhadap segala reaksi itu Allah Ta’ala akan lebih memudahkan kami menemui jalan menuju ke arah mencapai yang terbaik.

Di atas komitmen sama, kami akan terus mengorak langkah ke depan mempertingkatkan  mutu persembahan majalah ini. Antaranya dengan memperkenalkan lebih banyak ruangan, yang bukan sahaja bertujuan meringankan pembacaan anda, tetapi juga menyantuni citarasa sebilangan pembaca di luar sana.

Contohnya, kami telah memperkenalkan kolum ‘Suara Siswa’ pada edisi lepas, yang antara lainnya sebagai menyahut hasrat golongan terbabit yang memerlukan medan bersesuaian untuk mereka suarakan idealisme mereka.

Pada edisi ini pula, kami menampilkan kolum ‘Membelek Arkib’. Ia bukan sekadar bertujuan mengimbau nostalgia terhadap persembahan menarik majalah ini di beberapa dekad dahulu, malah membuka pengetahuan kita betapa sebilangan artikel dipaparkan ketika itu, terutama hasil tulisan pengarangnya, Almarhum Dato’ Yusoff Zaky Yaakub amat tinggi nilai ilmunya. Buah fikirannya amat tajam, bahkan terserlah betapa daya fikirnya jauh ke depan berbanding zamannya. Justeru, amat rugi andainya khazanah sebegitu bernilai dipendam begitu sahaja di rak buku kami.

Insya Allah bermula edisi akan datang kami bercadang memperkenalkan satu lagi kolum tambahan. Kami berhasrat membuka ruang lebih khusus untuk para pembaca budiman mengemukakan reaksi atau pandangan ringkas berhubung apa saja isu, lebih-lebih lagi berkaitan majalah kami ini.

Kami belum memutuskan nama kolumnya. Namun ia tidak lari daripada konsep ruangan forum atau surat pembaca yang biasa termuat di kebanyakan media cetak. Kami mempelawa para pembaca mengambil bahagian menjayakan ruangan ini. Untuk itu hantarkan luah fikir anda ke alamat e-mel: majalahdian@gmail.com untuk kami nilai dan seterusnya menyiarkan mana yang bersesuaian.

Mudah-mudahan penglibatan lebih luas daripada para pembaca akan menambahkan seri kepada organ penyebaran ilmu-ilmu Islam ini. Di atas kesudian anda itu, kami dahului dengan ucapan jazakumullahu khairan kathira. Wassalam.

Akhukum fil Islam,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)

Ibu orang paling bangga dengan hijrah ini – Catriona Ross

Cerita & Foto: MOHD NASIR AWANG

“APABILA kita melihat seseorang melakukan sesuatu yang negatif, kita berdoalah supaya Allah SWT membantu orang-orang seperti ini (kembali kepada kebaikan), dan insya Allah doa-doakan juga supaya saya akan terus istiqomah dengan jalan ini, supaya saya akan terus bersemangat dalam meninggikan kebaikan dan doalah supaya (penghijrahan) saya ini kekal ke hujung nyawa.”

Demikian segugus bicara yang terlontar daripada pembesar suara Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu, menjelang tengahari, 28 Februari lalu. Pengucapnya bukan seorang ilmuan Islam tersohor yang mahir berkuliah, bukan ustazah yang petah meluahkan motivasi dan bukan juga seorang pemidato handal yang gemar beretorik.

Luahan penuh keikhlasan itu sebaliknya datang dari seorang pencinta Islam yang mengaku sedang giat berusaha memperbetulkan perjalanan hidupnya menepati apa yang dikehendaki agama suci ini. Keseriusannya dalam mencapai hasrat itu jelas tergambar dalam setiap butir bicaranya.

Beliau adalah Puan Catriona Bahrin Ross, personaliti yang tidak asing lagi dalam dunia seni lakonan tanahair. Menyebut nama itu sahaja pun sudah ramai yang tergambarkan seorang wanita kacukan berwajah manis berkulit putih, yang suatu ketika dulu kerap mengisi babak-babak menarik dalam filem atau drama di kaca tv. Kini keayuannya tambah menyerlah apabila tampil berhijab.

Tutur bicara penuh pengharapan di atas itu adalah reaksi beliau terhadap satu soalan hadirin di majlis forum hari itu yang melontarkan kebimbangan beliau akan kembali kepada gaya hidup sebelum ini setelah ‘berhijrah’ buat seketika. Pengaju soalan itu mengambil contoh kes-kes sedemikian yang telah berlaku terhadap beberapa artis sebelum ini.

Biar pun amat berharap kes sebegitu tidak menimpa dirinya, Puan Catriona tidak pula menzahirkan sikap terlalu yakin ia tidak akan berlaku. Sebaliknya, beliau yang lebih selesa dipanggil “Cat” memilih untuk menyandarkan harapan positif kepada Allah SWT, di samping berusaha dan berdoa agar Dia mengekalkannya di atas jalan yang lurus ini.

Dalam sesi bual bicara eksklusif dengan majalah Dian selepas majlis itu, Cat sekali lagi mengulas pengharapannya. Katanya, “saya mengharapkan pembaca (majalah Dian) dan peminat (saya) tidak bias... tidak bias kepada seseorang (artis) yang berhijrah dan jangan salahertikan (mentafsirkan) penghijrahan itu mengikut perasaan masing-masing”.

Menurutnya, berbagai telahan didengarinya ekoran penghijrahannya. Ada yang mengatakan perubahan penampilannya kini kerana mahu “masuk politik”, ada juga yang mengaitkannya dengan sebab perkahwinannya. Malah, tidak kurang juga yang menuduhnya “nak bagi lagi glamour”, lalu dibuatnya “suatu benda yang sangat baru ini (berhijab)”.

Semua cakap-cakap sumbang itu bagaimana pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus istiqomah di atas jalan dipilihnya kini. Apatah lagi sepanjang terlibat dalam dunia seni sebelum ini pun, beliau yakin tidak melakukan sesuatu yang bukan-bukan.
Pegang pesan ibu
Mungkin penampilannya ketika itu tidak menepati kehendak hukum agama, tetapi perjalanan hidupnya tidak pula terlalu jauh tersasar dari adat budaya bangsa. Beliau yang sangat mengagumi ibunya sempat mengimbau kembali pesanan orang paling disayanginya itu tatkala beliau mula-mula berjinak dengan dunia lakonan dulu.

Masih segar dalam ingatannya bagaimana ibunya, Puan Siti Zawiah Abdul Rahman memberikan syarat sangat ketat untuknya memasuki dunia hiburan. Dalam loghat Kelantan, Cat mengulangi kata-kata ibunya, “kalu lah ada sekali tubik dalam suratkobar, ada apa-apa kontroversi dengan budak jatae, ada apa-apa hal buat malu ke keluarga, jangan kelik kampung. Nih! (sambil mengangkat jari).. dia tunjuk kepada saya... Nih! Bukan anak aku...”

Disebabkan selalu berpegang kepada pesanan itulah, kata Cat, sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, alhamdulillah beliau tidak dilanda sebarang gossip yang buruk.

Cat dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, pada 2 September 1980 sebagai Catriona Noorhayati Ross binti Bahrin Ross. Ibunya adalah anak watan ibu negeri Serambi Mekah itu, manakala ayahnya berasal dari Scotland. Mereka ditakdirkan bertemu ketika Siti Zawiah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di United Kingdom.

Cerita keupayaan ibunya menarik minat Brian Ross (nama asal bapanya) yang tidak pernah kenal Islam untuk masuk Islam, seterusnya membimbing beliau menghayati ajaran agama, adalah suatu yang amat dikagumi Cat. Hingga kini beliau menganggap apa yang dicapai ibunya itu bukan suatu yang mudah dan wajar diberikan pujian.

“Ibu ni orang yang strick tentang agama. Masa tu lah dia jumpa somebody yang tidak Islam dan boleh (buat dia) jadi muallaf. Jadi daripada dulu lagi pun, daripada kecik lagi saya rasa ibu ni memang somebody strong, sebab dia wanita tapi dia membimbing seorang lelaki dalam agama kan? Lelaki yang tidak pernah kenal Islam masa tu...”

So, daripada kecik lagi saya memang tahu (kisah itu) dan respect pada ibu ni, sebab saya rasa kerja dakwah ibu berlaku daripada usia dia yang awal itu, sebab dia kahwin dulu umur 23”, cerita Cat, membanggai peranan ibunya.

Di bawah asuhdidik dan belaian kasih insan mulia lagi berprinsip itulah Cat dibesarkan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab I, Kota Bharu. Kemudian berpindah ke Sekolah Sri Inai Junior, sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur, kerana mengikuti tuntutan kerja ayahnya sebagai jurutera.

Selepas itu mereka kembali ke Kota Bharu. Cat menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Naim Lil Banat, sebelum mengakhiri pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra.

“Lepas (sekolah menengah) tu saya belajar di Universiti Putra (Malaysia), dalam bidang mass comm, komunikasi massa. Saya masuk universiti tahun 98, sampai tahun 2002”, Cat memperincikan perjalanan akademiknya.

Menceburi dunia seni
Seusai pengajiannya, beliau terus tertarik mencuba nasib di dunia penyiaran. Kebetulan ketika itu sebuah syarikat penyiaran terkenal, Astro sedang mencari calon pengacara untuk satu rancangan terbitannya, Wayang Kita. Iklannya disiarkan di kaca tv.

“Saya tengok iklan tu dekat tv, lepas tu saya kata mungkin boleh cuba lah. Jadi saya hantar gambar dengan profil. Lepas tu Astro panggil... alhamdulillah dapat jadi pengacara tu. Kontrak untuk satu tahun,” Cat mengimbau detik amat bermakna baginya itu.

Pengalaman pertama yang memperkenalkannya kepada dunia seni itu membuka peluang untuknya pergi lebih jauh. Walau pun beliau menolak tawaran menyambung kontrak mengacara program tersebut setahun kemudian, penampilannya sepanjang mengendalikan program Astro itu rupa-rupanya telah menambat perhatian seorang direktor tersohor, Rashid Sibir.

“Lepas (tamat kontrak pengacara) tu saya kata saya nak cuba buat benda lain la pulak. Niat sebenarnya saya nak cari office work lah, hak nine to five... tapi lepas tu saya dapat panggilan telefon daripada seorang direktor ni, dia kata dia nak try lah ajak saya berlakon dalam projek dia. Jadi saya kata boleh juga, pasal saya pun baru habis (kontrak) pengacara,” sambung Cat lagi.

Percubaan pertamanya di pentas lakonan pada 2003 itu benar-benar mendorongnya pergi lebih jauh. Sebaik tamat projek dengan Rashid Sibir, katanya, beliau menerima panggilan daripada seorang direktor lain pula.

“Masa tu (drama pertama) saya dapat watak pembantu, saya rasa mungkin orang tak perasan sangat kot... drama hak dengan dia tu drama berepisod bertajuk “Salina”. Tapi selepas saya buat dua projek dengan dia, saya dapat peluang untuk buat satu drama berepisod di mana saya adalah pelakon utama. Hak tu mungkin orang ingat, drama “Sephia”.

“Saya pegang watak utama, jadi hak ni memang orang ingat lah, sebab saya ingat lagi saya keluar ke mana-mana, semua orang akan panggil, “Sephia! Sephia! Sephia!”, cerita Cat diiringi tawa manja.

Sejak itu beliau semakin mendapat tawaran berlakon. Daripada drama beliau beralih pula ke dunia perfileman. Lakonan pertamanya ialah menerusi filem “Mistik”, bersama dengan Rita Rudaini, Lisdawati dan lain-lain. Kemudian, filem “Cermin”, bersama dengan Natasya Hutson, diikuti filem “Kabil Kushri, Kabil Igam”, bersama dengan Yusri KRU, Erra Fazira, Ziana Zain dan lain-lain.

Ditimpa kemalangan
Di kemuncak hidupnya sebagai pelakon itulah Cat ditimpa kecelakaan jalanraya. Namun, takdir Allah Ta’ala ke atasnya pada 2007 itu sebenarnya membawa bersama satu titik pusing amat bermakna dalam hidupnya. Peristiwa itulah kemudiannya mendorong perubahan, seterusnya penghijrahan beliau.

“Asal-asal boleh jadi rasa macam nak cari sesuatu selepas accident tu sebabnya doktor kata saya mungkin tak boleh berjalan balik, kemudian dia kata mungkin susah untuk mengandung. Tapi dalam masa 9 bulan (selepas kemalangan), saya boleh berjalan balik dengan sempurna, lepas tu (tahun 2009) saya berkahwin dan kemudian saya mengandung.”

“Jadi bila saya boleh jalan balik dan boleh mengandung, saya rasa itu (tanda) Allah tengah berkomunikasi dengan saya, sebab saya tahu Allah ni dia bagi benda-benda ke kita ni, untuk dia komunikasi dengan kita lah, dia nak royak gapa-gapa. Kalau dia beri musibah, untuk saya muhasabah (diri). Kalau diberi anugerah tu, untuk saya syukuri lah,” jelas Cat, yang ketika ditemubual sedang mengandungkan anak keduanya pada usia lebih empat bulan.

Daripada detik itulah beliau mula mencari sesuatu untuk lebih mengenali Allah SWT. Walau pun masih lagi dalam “keadaan sama”, Cat mula berminat ke majlis-majlis ilmu.

“Tapi saya gi dalam keadaan secret-secret lah, saya malu lah masa tu nak royak ko member nak gi masjid, nak gi surau ko, whatever, dak?”, cerita Cat sambil ketawa kecil.

Ditakdirkan Allah Ta’ala dalam pencariannya itu beliau singgah di satu masjid di sekitar Ampang, dekat ibu negara. Cat menganggap episod petang itu semata-mata ketentuan Allah buatnya, sehingga beliau “tiba-tiba saja rasa nak berhenti”. Di situlah beliau mendengar cerita oleh seorang ustaz yang sedang memberikan kuliah Maghrib, yang mula membuatnya rasa perlu lebih dekat dengan agama.

“Cerita tu buat saya sebak... cerita pertama yang saya dengar itu (ialah) janji manusia di alam roh. Di mana Allah tanya kita, “alastu birabbikum”, kan? Bukankah Aku Tuhan kamu? Lepas tu kita semua jawab, “qaalu: Bala, syahidna”. Benar ya Allah, kami bersaksi Engkau Tuhan kami. Lepas tu Allah redha, baru lah Allah hantar (roh kita) ke alam rahim dan alam dunia, kan?”

“Jadi cerita tu buat saya sebak, sebab saya tak tahu pun sebelum tu saya ni pernah bersumpah dengan Allah. Bagi saya dulu, kita lahir sebab Allah kata kita akan lahir, dan kemudian kita di dunia sebagai khalifah. Setakat itu saja yang saya faham,” Cat mengimbau perasaannya ketika itu.

Cerita itu benar-benar mengusik perasaannya. Beliau lantas semakin serius mendekatkan diri kepada agama, termasuk mendaftar menyertai satu kursus motivasi diri berbayar. Di situ beliau diperdengarkan pula dengan cerita Rasulullah saw yang sedang nazak. Dalam keadaan sangat kritikal itu, Baginda saw masih sempat mengungkapkan rasa kasihnya kepada umatnya.

“Dia sebut, “ummati, ummati!” Jadi masa tu saya rasa sebak sangat, sebab saya cuba untuk nak faham macamana seorang manusia yang perginya 1400 tahun dulu, boleh rasa kasih sayang yang sangat dalam kepada umatnya, sedangkan dia tak pernah jumpa dengan kita, dia tak kenal pun kita, saya tak kenal dia.”

So, itu antara turning point lah... masa tu, saya tiba-tiba rasa macam nak sangat kenal Rasulullah, sebab saya rasa dia ni baik sangat, tinggi sangat kasih-sayang dia ni. Saya rasa dia ni sempurna sangat. Sebelum ni kita dengar (kisah Rasulullah), tapi kita tak faham dan kita tak dalami, tapi hari tu saya tiba-tiba rasa macam saya kenal sangat dia,” cerita Cat lagi, dalam nada serius.

Cerita-cerita sebegitu benar-benar memberi kesan kepada ‘kekosongan’ jiwanya, seterusnya menjadi pemangkin kepadanya untuk berhijrah. Akhirnya, pada tanggal 16 Julai 2010, beliau nekad memulakan penampilan baru dengan mengenakan hijab. Alhamdulillah, keputusannya itu diterima dengan senang hati oleh suami, Encik Shaharuddin Mokhtaruddin.

Namun, tidak semua pihak dapat menerima perubahan dirinya itu. Kata Cat, ada juga sebilangan rakan artis yang sebelum itu agak rapat dengannya tiba-tiba “tak berapa nak saing” dengannya.

Pun begitu, Cat tetap bersyukur kerana diberikan Allah Ta’ala beberapa kawan yang sealiran dan sama-sama mendukung penghijrahan ini. Antara yang paling rapat dengannya kini ialah Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Irma Hasmie.

Beliau turut menyebutkan nama beberapa artis lain, yang diakuinya turut sama dilanda gelombang hijrah. Mereka ini malah memilih untuk menyertai kumpulan usrah tersendiri yang, selain untuk menambah ilmu agama, juga berperanan mengikat mereka dengan komitmen terhadap perubahan yang telah mereka ambil.

“Saya rasa orang yang berhijrah ni, kalau masuk usrah and stick with the team, insya Allah tak ada lah ‘hantunya’,” ujar Cat, seraya menangkis sebarang kemungkinan terpengaruh oleh individu-individu yang cuba mengheret rakan artis yang telah berhijrah itu kembali ke kehidupan sebelumnya.

Seperkara menarik, ibu kepada Sephia Rania Ross-Iddin berusia 2 tahun ini, bertegas bahawa beliau tidak pernah bersara daripada dunia lakonan. Beliau sebaliknya percaya dan berpegang kepada apa yang diajar oleh naqib usrahnya bahawa dakwah Islam boleh dibuat dalam berbagai cara, termasuk menerusi hiburan. Asal saja jelas matlamatnya dan tidak melanggar hukum agama.

“Saya pegang pada (prinsip) itu, dan saya juga diajar oleh Ustaz Fawwaz Fadzil Noor (naqib usrah), dia kata Wali Songo kita dulu ada seorang mengembangkan Islam di Tanah Jawa melalui hiburan, wayang kulit. Dia tidak memaparkan babak-babak, watak-watak Tuhan Hindu... Hanuman, Ganesha dan sebagainya, tapi dia cerita pasal Rasul, pasal Nabi, pasal Tuhan, pasal Islam. Jadi saya pegang, kalau Sunan Kalijaga buat lagu tu, insya Allah kalau saya buat (lakonan) tu saya harap tidak salah,” ujar Cat.

Beliau sangat yakin memang ada ruang untuk berdakwah melalui seni. Sebagai buktinya, beliau menyebutkan pernah melaksanakan dua projek dengan Puan Hajah Sheila Rusli, direktor yang disifatkannya sudah berhijrah dan suka kepada cerita yang ada mesej keislaman dan ketuhanan.

Cerita terakhir Cat dengannya ialah drama bertajuk “Kasih Aliya”, yang ditayangkan di bulan Ramadhan lalu. Cat tampil dengan imej bertudung dan berpakaian sopan. Bahkan, drama itu sendiri memaparkan mesej keislaman yang jelas.

“Saya rasa benda (drama keislaman) tu memang boleh membantu (dakwah), sebab dalam masa sebulan setengah cerita “Kasih Aliya” ditayangkan, emel saya penuh setiap hari. Ada masa saya tak boleh nak balas, dan saya baca komen tu, kat facebook ada gambar masing-masing, jadi saya tengok this girl tidak menutup aurat tapi kata teringin nak jadi gitu juga sebab tengok saya. Kemudian yang menutup aurat, dia kata, dia harap saya akan terus maju dengan imej saya ini. So, saya rasa benda tu memang beri kesan sebenarnya dekat penonton,” ujar Cat optimis.

Berbekalkan keyakinan itulah, jika ditentukan Allah rezekinya masih di dunia lakonan, beliau bertekad untuk menumpukan kerjaya lakonannya kepada watak-watak seperti itu. Tambah membuatkannya merasa puas dan bangga dengan pegangan hidupnya kini ialah keyakinan hatinya bahawa jalan dipilihnya ini sangat menyenangkan orang yang paling banyak memberikan inspirasi untuknya berubah.

“Ibuku, Siti Zawiah Abdul Rahman, dia lah orang yang doakan saya daripada saya kecil sampai sekarang. Dan, I think sekarang ni she’s the proudest person. Macam dia tahu saya ke sini ke sana untuk forum, dia tiba-tiba sms kat saya, “masya Allah, anak ibu ni...” Begitulah,” ujar Cat dengan wajah ceria, seraya mengakhiri temubual kami.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan KEMBARA IMAN dengan tajuk sama)

Heraclius membenarkan ciri kenabian Muhammad saw


Heraclius ialah Raja Empayar Rom Timur yang memerintah antara tahun 610-630M. Suatu ketika beliau mengirim surat kepada Abu Sufyan bin Harb, salah seorang pemimpin Quraisy Mekah yang terkenal. Heraclius menyuruhnya datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy.

Di antara perkara utama yang mendorongnya berbuat demikian ialah kerana ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Nabi Muhammad saw. Ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang dalam perjanjian damai dengan umat Islam dan Baginda saw, yakni menerusi Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai pada tahun 6 Hijrah.

Abu Sufyan beserta rombongannya lalu datang menghadap Heraclius di Ilia (nama lama bagi Baitulmaqdis atau Jerusalem). Mereka terus masuk ke dalam majlisnya, yang telah pun dihadiri oleh para pembesar Rom.

Heraclius memanggil jurubahasanya, kemudian bertanya kepada rombongan Quraisy: Siapa di antara kamu yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan lelaki yang mengaku dirinya nabi itu?

Yang beliau maksudkan ialah Nabi Muhammad saw.

Abu Sufyan lalu menjawab: Saya! Saya keluarga terdekat dengannya.

Heraclius lalu mengarahkan jurubahasanya menyuruh Abu Sufyan tampil lebih dekat kepadanya. Manakala ahli rombongan lain diminta duduk di belakang Abu Sufyan.

Kemudian Heraclius berkata kepada jurubahasanya: Katakan kepada mereka bahawa saya akan bertanya kepada orang ini (Abu Sufyan). Jika dia berdusta, suruhlah mereka mengatakan bahawa dia dusta.

Ketika itu terlintas di fikiran Abu Sufyan, “demi Allah, jika tidak kerana aku takut akan mendapat malu kerana aku dikatakan berdusta oleh para pengikutku sendiri, nescaya aku sangat ingin berdusta.”

Pertanyaan Heraclius yang pertama ialah mengenai keturunan Nabi saw. Abu Sufyan menjelaskan bahawa Baginda saw dari keturunan bangsawan Mekah. Kemudian berlakulah soal-jawab yang panjang antara dua pemimpin itu, yang keseluruhannya bersangkut-paut keperibadian Rasulullah saw.

Heraclius: Pernahkah sesiapa di kalangan kamu sebelum ini menyeru manusia dengan apa yang diserukan olehnya?
Abu Sufyan: Tidak pernah.

Heraclius: Apakah ada di antara nenek-moyangnya yang menjadi raja?
Abu Sufyan: Tidak ada!

Heraclius: Apakah para pengikutnya dari kalangan orang-orang mulia atau orang-orang biasa?
Abu Sufyan: Mereka hanya terdiri dari orang-orang biasa.

Heraclius: Apakah pengikutnya semakin bertambah atau berkurang?
Abu Sufyan: Bahkan semakin bertambah.

Heraclius: Apakah ada di antara mereka yang meninggalkan agama, kerana benci kepada agama yang dipeluknya itu?
Abu Sufyan: Tidak!

Heraclius: Apakah sebelum dia menyeru dengan ucapan yang diucapkannya sekarang kamu pernah menaruh curiga kepadanya bahawa dia akan berdusta?
Abu Sufyan: Tidak!

Heraclius: Pernahkah dia melanggar janji?
Abu Sufyan: Tidak, dan sekarang kami sedang dalam perjanjian damai dengan dia. Kami tidak tahu apa yang akan diperbuatnya dengan perjanjian itu.

Heraclius: Pernahkah kamu berperang dengannya?
Abu Sufyan: Pernah.

Heraclius: Bagaimana kesudahannya peperangan itu?
Abu Sufyan: Ada ketika kami kalah dan ada juga ketika kami menang.

Kemudian Heraclius bertanya pula tentang apa yang diserukan Nabi saw kepada kaumnya. Abu Sufyan menjelaskan bahawa Baginda saw menyuruh mereka menyembah Allah semata-mata dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Baginda meminta mereka meninggalkan apa yang diajarkan nenek-moyang mereka (penyembahan berhala). Sebaliknya mereka disuruh mengerjakan solat, berlaku jujur, sopan dan mempereratkan persaudaraan.

Mendengarkan penjelasan itu Heraclius lantas meminta jurubahasanya menyampaikan pandangan balasnya kepada Abu Sufyan, satu-persatu mengenai jawaban-jawaban diberikan pemimpin Quraisy itu tadi.

Katanya, “saya tanyakan kepadamu tentang keturunannya (Muhammad), kamu jawab dia dari keturunan bangsawan. Begitulah Rasul-Rasul Allah yang terdahulu, mereka diutus dari kalangan bangsawan kaum masing-masing.”

“Saya tanyakan, adakah sesiapa di antara kamu yang pernah menyeru manusia sebagaimana diserukannya sekarang? Jawabmu, tidak. Sekiranya ada seseorang yang pernah menyerukannya sebelum dia, nescaya aku akan menganggap dia (Muhammad) sekadar meniru-niru apa yang pernah diucapkan seseorang sebelumnya itu.”

“Saya tanyakan, apakah ada di antara nenek-moyangnya yang pernah menjadi raja? Kamu menjawab, tidak ada. Sekiranya ada di antara nenek-moyangnya yang menjadi raja, nescaya aku berkata dia hendak menuntut kembali takhta milik nenek-moyangnya.”

“Saya tanyakan, adakah kamu menaruh curiga kemungkinan dia berdusta, sebelum dia memulakan seruan dibuatnya sekarang? Jawabmu, tidak! Saya yakin, dia tidak akan berdusta terhadap manusia apalagi kepada Allah.”

“Saya tanyakan, apakah para pengikutnya dari kalangan orang-orang mulia atau orang-orang biasa? Kamu menjawab, orang-orang biasa. Memang, golongan sebegitu jugalah yang menjadi pengikut para rasul sebelum ini.”

“Saya tanyakan, apakah pengikutnya makin bertambah atau semakin kurang? Jawabmu, mereka semakin bertambah. Begitulah keadaan iman yang semakin bertambah hingga sempurna.”

“Saya tanyakan, apakah apa di antara mereka yang meninggalkan Islam kerana benci kepada agama yang mereka anuti itu? Jawabmu, tidak. Begitulah keadaan iman apabila ia telah menyerap ke dalam darah-daging sampai ke jantung hati.”

“Saya tanyakan, adakah dia pernah melanggar janji? Kamu jawab, tidak. Begitulah sifat sekalian para rasul terdahulu, mereka tidak mengkhianati janji.”

“Saya tanyakan, apakah yang diserukannya kepada kamu sekalian? Jawabmu, ia menyuruh kamu menyembah Allah semata-mata dan melarang mempersekutukanNya. Di larangnya pula kamu menyembah sembahan nenek-moyangmu, sebaliknya disuruhnya mendirikan solat, berlaku jujur dan sopan.”

“Andaikata benar semua yang kamu sebutkan itu, nescaya dia (Muhammad) akan memerintah sampai ke tempat aku berpijak di kedua telapak kakiku ini. Sesungguhnya aku telah tahu dia akan lahir, tetapi aku tidak menyangka bahawa dia akan lahir di antara kamu sekalian. Sekiranya aku yakin akan dapat bertemu dengannya, walau pun dengan susah payah aku akan berusaha menemuinya. Kalau aku telah berada berdekatannya, aku akan cuci kedua telapak kakinya.”

Kemudian Heraclius meminta surat Rasulullah saw yang sebelum itu telah dihantarkan kepadanya, lalu membacanya. Isi surat itu berbunyi:

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad, Hamba Allah dan RasulNya. Kepada Heraclius, Kaisar Rumawi. Kesejahteraan kiranya untuk orang yang mengikut petunjuk.

Kemudian, sesungguhnya saya mengajak anda memenuhi panggilan Islam. Islamlah, pasti anda selamat! Dan Allah akan memberi pahala kepada anda dua kali ganda. Tetapi jika anda enggan, nescaya anda akan memikul dosa seluruh rakyat.

Hai Ahli Kitab! Marilah kita bersatu dalam satu kalimah (pegangan) yang sama antara kita, iaitu supaya kita tidak menyembah kecuali hanya kepada Allah, dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu apa pun. Dan janganlah sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain daripada Allah. Apabila anda enggan menuruti ajaran ini, akuilah bahawa kami ini Muslim!

Seusai Heraclius membaca surat itu dan menyampaikan ucapannya, balai penghadapan itu bertukar menjadi riuh-rendah. Para pembesar dan hadirin bagaikan tidak dapat mengawal diri lantaran merasa terancam oleh mesej kenabian Baginda saw.

Lantas rombongan Quraisy Mekah itu pun diminta keluar. Tatkala berada di luar, Abu Sufyan berkata kepada anggota rombongannya, “sungguh telah menjadi masalah besar urusan ‘Anak Abu Kabsyah’, sehinggakan raja bangsa kulit kuning itu pun takut kepadanya. Aku yakin, Muhammad pasti menang.”

Lantaran menyaksikan hal itu juga Allah memasukkan Islam ke dalam hati Abu Sufyan.

‘Anak Abu Kabsyah’ ialah nama ejekan yang dipanggilkan orang kafir Mekah kepada Nabi Muhammad, kerana di waktu kecilnya Baginda dipelihara oleh Halimah as-Saadiah, yang suaminya bernama Abu Kabsyah.

Demikianlah secebis kisah yang dipadankan daripada cerita asal dari riwayat Ibnu Abbas ra sepertimana diceritakan kepadanya oleh Abu Sufyan bin Harb.

Dalam riwayat sama, Heraclius kemudian dicatatkan mengirim surat kepada seorang sahabatnya di Rom (yang ilmunya setaraf dengan Heraclius), menceritakan tentang kelahiran Nabi Muhammad saw. Dalam surat balas diterimanya, sahabatnya itu menyetujui pendapat Heraclius bahawa Muhammad telah lahir dan memperakui beliau seorang Nabi.

Bagaikan amat terganggu dengan perkembangan itu Heraclius kemudian menjemput para pembesar Rom ke tempatnya di Hims. Setelah semuanya hadir dalam majlisnya, Heraclius memerintahkan supaya mengunci setiap pintu.

Kemudian dia berkata, “wahai bangsa Rom! Mahukah anda semua beroleh kemenangan dan kemajuan yang gilang-gemilang, sedangkan kerajaan tetap utuh di tangan kita? Kalau mahu, akuilah Muhammad itu sebagai Nabi!”

Mendengarkan ucapan itu, suasana bertukar menjadi hiruk-pikuk. Diriwayatkan hadirin bertempiaran lari bagaikan keldau liar, sedangkan semua pintu telah terkunci.

Melihatkan keadaan itu, Heraclius menjadi putus harapan yang mereka akan beriman kepada Nabi Muhammad saw. Lalu diperintahkannya supaya mereka kembali bertenang seraya berkata, “sesungguhnya saya mengucapkan perkataan saya tadi hanyalah sekadar menguji keteguhan hati anda semua. Kini saya telah melihat keteguhan itu.”

Ucapan itu membuatkan hadirin kembali menghormati Heraclius. Mereka lantas sujud di hadapannya. Demikianlah akhir kisah Heraclius. – Mohd Nasir Awang

(Rujukan: Sahih Bukhari, Jilid I, hadith no. 5)

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)