Sunday, April 1, 2012

Abu Bakar as-Siddiq - gadai keselamatan diri demi Rasulullah

BANYAK episod sepanjang kebersamaan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dengan Rasulullah saw yang menggambarkan betapa hebatnya pengorbanan sahabat yang paling akrab dengan Baginda saw ini. Kisah bagaimana beliau mempertaruhkan keseluruhan hartanya untuk Islam telah dipaparkan dalam edisi sebelum ini. Bagaimana beliau pernah membelanjakan segala yang ada untuk membebaskan sejumlah hamba yang diseksa tuan-tuan mereka lantaran menerima Islam adalah antara contoh.

Dalam riwayat yang masyhur oleh Saidina Umar al-Khattab ra, Abu Bakar juga telah mengisytiharkan tidak ada apa lagi yang tinggal di sisinya untuk dimanfaatkan keluarganya, kecuali Allah Ta’ala dan RasulNya saw. Episod itu menyebabkan Umar ‘mengaku kalah’ dalam cubaannya mengatasi Abu Bakar dalam menyahut seruan dan permintaan Rasulullah saw.

Tidak cukup dengan wang dan segala harta dimilikinya, agenda pengorbanan Abu Bakar turut disempurnakan menerusi nyawa dan batang tubuhnya. Abu Bakar kerap mengenepikan aspek keselamatan diri sendiri demi meninggikan agama Islam, terutama memastikan keselamatan diri Rasulullah saw di saat-saat kritikal.

Kesungguhannya mempertahankan Baginda saw, walau pun dalam keadaan mengetahui betapa kaum musyrikin amat membenci dan berhasrat memudharatkan Baginda, adalah suatu yang amat berisiko. Namun, Abu Bakar tidak pernah menghiraukan sebarang kemungkinan ditimpa kecelakaan atau caci-nista oleh kaum Quraisy, asalkan diri Rasulullah saw tidak diapa-apakan.

Di era dakwah Islam masih secara sembunyi, sahabat pertama yang memberanikan diri membuat seruan secara terbuka mengajak masyarakat Mekah kepada ajaran Rasulullah saw ialah Abu Bakar juga. Walau pun berkali-kali diingatkan Baginda saw agar tidak berbuat demikian kerana dikhuatiri akan menjadi mangsa belasahan dan serangan kaum Quraisy, hal itu semacam tidak menghalang Abu Bakar meneruskan hasratnya.

Diceritakan bagaimana beliau suatu hari mengambi keputusan membawa sebilangan sahabat yang telah memeluk Islam ke Baitullah. Rasulullah saw diriwayatkan ikut serta, tetapi hanya duduk di penjuru Kaabah. Manakala Abu Bakar berdiri memberikan ucapan kepada orangramai, menyeru mereka kepada Allah dan RasulNya.

Keberaniannya itu telah mencabar keegoan kaum musyrikin. Ucapannya yang terus terang mengajak kepada Islam mengundang kemarahan mereka. Abu Bakar dan para sahabat lain lalu dibelasah, sehingga ada yang luka-luka dan tercedera.

Abu Bakar sendiri jatuh pengsan lantaran dipukul teruk. Mujur juga berita kejadian itu segera sampai ke pengetahuan Bani Tamim, kabilah asal keturunan Abu Bakar. Mereka pun bergegas menyelamatkan beliau dan membawanya pulang. Bahkan, di antara anggota Bani Tamim itu sempat memberi amaran kepada kumpulan musyrikin yang bertanggungjawab mencederakan beliau agar bersedia menghadapi pembalasan mereka sekiranya kecederaan Abu Bakar itu meragut nyawanya.

Namun, seperkara amat menarik ialah reaksi spontan Abu Bakar sendiri tatkala sedar dari pengsannya. Apa agaknya kata-kata pertama beliau? Ya, tidak lain yang terlintas di fikirannya melainkan orang paling disayanginya, Rasulullah saw.

“Bagaimana keadaan Rasulullah?”, itulah soalan pertama ditanyakan Abu Bakar.

Kemudian setelah berlalu beberapa masa, dakwah Rasulullah saw di Mekah semakin pesat. Perkembangan itu membukitkan rasa berang para pembesar Quraisy. Mereka lalu semakin berani melakukan ancaman dan penyeksaan terhadap kaum muslimin, terutama khalayak yang berasal daripada kalangan hamba dan orang-orang berstatus bawahan.

Baginda saw lantas memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah. Sebelum itu sudah ada gerombolan umat Islam berhijrah ke Habsyah. Sahabat utama yang masih tinggal di Mekah bersama Baginda hanyalah Abu Bakar dan Ali ra. Berkali-kali Abu Bakar meminta izin Baginda untuk turut berhijrah, menyertai para sahabat dan umat Islam lain. Namun, Baginda saw tidak membenarkannya berbuat demikian.

Kedukaannya akibat halangan itu bagaimana pun segera terubat apabila Rasulullah saw membayangkan akan menjadikannya sebagai teman hijrah nanti. Abu Bakar malah segera membuat perancangan terbaik demi menjamin keselataman Baginda saw sepanjang episod hijrah itu.

Antaranya, beliau menyiapkan dua ekor unta yang sihat dan kuat. Setiap hari diberinya makan rumput terbaik agar unta itu lebih tahan lasak. Tiada lain di fikirannya dalam menekuni perbuatan itu melainkan bagi memastikan binatang yang bakal dikenderai orang paling dikasihinya saw itu berada dalam keadaan paling baik. Hal itu berlarutan sampai empat bulan.

Selepas Jibril menyampaikan perintah Allah agar Rasulullah saw berhijrah, berita itu disampaikan Baginda kepada Abu Bakar. Beliau sangat gembira, terutama apabila Rasulullah saw turut memilihnya sebagai teman.

Aisyah ra menggambarkan kegembiraan Abu Bakar dalam katanya, “sebelum itu aku tidak pernah melihat ayahku (Abu Bakar) menangis seperti hari itu. Dia menangis bahagia kerana Rasulullah saw mengizinkan dia untuk menemani Baginda.”

Perancangan Abu Bakar dalam memastikan perjalanan terbaik buat Baginda saw tidak setakat menyediakan kenderaannya. Beliau juga meninggalkan sejumlah harta kepada anaknya, Asma’ yang antara lain untuk menyiapkan bekalan makanan buat Rasulullah saw.

Asma’ meriwayatkan pesanan ayahnya, “dengan wang dirham ini, belilah roti dan daging kerana Rasulullah saw suka makan daging.”

Di sepanjang perjalanan mendebarkan itu, Abu Bakar memainkan peranan amat signifikan memastikan keselamatan diri Rasulullah saw. Kekhuatirannya terhadap sebarang kemungkinan buruk menimpa Baginda saw amat menguasai dirinya.

Abul Qasim al-Baghawi rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu Abi Mulaikah bahawa ketika menuju ke tempat persembunyian, Abu Bakar sesekali berjalan di depan Nabi saw dan sesekali di belakang Baginda, sehingga Nabi saw bertanya kepadanya perihal yang demikian itu. Abu Bakar lantas menjawab, “apabila aku berada di belakangmu, aku khuatir musuh datang dari depanmu. Ketika aku di depanmu, aku khuatir musuh datang dari belakangmu.”

Safi-ur Rahman al-Mubarakpuri mengisahkan episod itu dalam kitabnya ar-Rohiqul Makhtum dengan katanya, “di situ kasut Baginda terkoyak dan menurut setengah riwayat Baginda berjalan terjengket-jengket dengan tujuan agar laluannya tidak meninggalkan sebarang kesan. Abu Bakar ra mendukung Baginda mendaki gunung menuju ke sebuah gua bernama Gua Thur.”

Beberapa periwayatan kisah ini sependapat bahawa setiba di pintu gua tersebut, Abu Bakar meminta Baginda saw duduk di luar dan beliau sendiri masuk terlebih dahulu untuk memastikan segalanya selamat untuk Rasulullah.

Syaikh Mahmud  Al-Mishri lewat Sahabat-Sahabat Rasulullah saw (2010) mencoretkan, “ketika keduanya tiba di pintu gua, Abu Bakar berkata kepada Nabi saw, ‘jangan masuk, biarkan aku masuk terlebih dulu. Jika ada sesuatu, ia akan menimpaku bukan menimpamu’.”

Dikatakan Abu Bakar memeriksa segenap sudut gua, membersihkannya dan menutup lubang-lubang yang ada, termasuk menggunakan cebisan kainnya yang dikoyak.

Nabi saw dipersilakan masuk hanya setelah segalanya dipastikan selamat. Namun, diriwayatkan masih terdapat sebuah lubang yang tidak sempat ditutup menggunakan koyakan kainnya. Lalu Abu Bakar menutupnya menggunakan kakinya. Sedangkan Baginda saw terlena di pangkuannya sejurus memasuki gua tersebut lantaran terlalu letih akibat perjalanan yang jauh itu.

Tatkala itulah kaki Abu Bakar yang menutup lubang itu disengat. Ada riwayat yang mengatakan ia serangga berbisa, ada pula yang menyebut ia ular. Namun, di atas rasa terlalu kasih kepada Rasulullah saw sehingga tidak sanggup mengganggu tidur Baginda yang lena itu, Abu Bakar dikatakan cuba menahan kesakitan akibat gigitan itu.

Ditakdirkan Allah Ta’ala dalam menahan bisa itulah air matanya menitis lalu terjatuh ke pipin Baginda saw. Baginda terjaga dan bertanyakan sebab, lalu diberitahukan Abu Bakar mengenai sengatan berbisa itu.

Banyak riwayat menyebut bahawa Baginda saw meludah ke kaki Abu Bakar. Ada juga yang menyebut Baginda menyapu air ludahnya. Namun, kesemua riwayat sepakat bahawa bisa sengatan itu terus hilang sejurus terkena air ludah Rasulullah saw itu.

Ketelitian Abu Bakar menyusunatur strategi perjalanan hijrah itu turut terserlah menerusi penglibatan beberapa individu lain. Selain anak perempuannya, Asma’, yang ditugaskan membawa bekalan makanan, turut terlibat membekalkan maklumat di malam hari kepada Abu Bakar dan Baginda saw di tempat persembunyian itu ialah Abdullah, anak lelaki Abu Bakar.

Manakala Amir bin Fuhairah pula disuruh menyusul ke gua bersama sekawan kambing peliharaannya. Selain membekalkan susu untuk diminum, jejak kambing-kambing itu juga dapat melenyapkan kesan tapak kaki Abdullah, sama ada ketika menuju ke gua atau meninggalkan tempat persembunyian itu untuk kembali ke kota Mekah.

Perancangan teliti sebegini dibuatnya semata-mata demi memastikan jejak mereka tidak dikesan para pemimpin Quraisy, sekaligus menjamin perjalanan yang selamat buat Baginda saw.

Setelah selamat sampai dan mendirikan pemerintahan Islam di Madinah, peranan Abu Bakar sebagai ‘perisai peribadi’ Baginda saw tidak terhenti. Keberanian beliau melindungi batang tubuh Rasulullah saw paling menyerlah di setiap kali berlaku peperangan.

Abu Bakar dikatakan tidak pernah ketinggalan menyertai setiap peperangan bersama Rasulullah saw. Dalam setiap kesempatan itu, beliau jugalah yang mendampingi Baginda saw dan memastikan tiada sebarang ancaman dapat menghampiri Nabi saw.

Saidina Ali bin Abi Talib ra menceritakan perihal Perang Badar dengan katanya, “orang yang paling berani adalah Abu Bakar... Pada Perang Badar kami membuat markas komando untuk Rasulullah saw. Kami berkata, ‘siapa mahu mengawal Rasulullah saw bagi memastikan tidak ada seorang pun dari kaum musyrikin yang mencelakai Baginda?’ Demi Allah, tiada seorang pun yang tampil selain Abu Bakar dengan pedang terhunus di depan Rasulullah saw, tidak ada yang menghampiri mereka melainkan dia menghadapinya.”

Begitulah peranan dimainkan Abu Bakar pada hampir setiap peperangan. Dalam kekalutan Perang Uhud, terutama tatkala berlaku serang balas oleh tentera musyrikin ekoran kealpaan tentera muslimin, Abu Bakar teguh di sisi Rasulullah saw melindungi Baginda.

Pada Perang Hunain, ketika kaum muslimin (yang pada awalnya berbangga dengan jumlah mereka yang berganda besar berbanding musuh) lari bertempiaran diserang hendap musuh, orang yang tetap teguh d sisi Nabi saw ialah Abu Bakar ra.

Demikianlah sebahagian lagi sifat terpuji dan teladan mulia dipamerkan Abu Bakar as-Siddiq. Bahawa cinta dan pengorbanannya terhadap Rasulullah saw amat sempurna, sehingga sanggup mengorbankan bukan sahaja hartanya, tetapi segala yang dimilikinya, termasuk dirinya sendiri.

Tidak hairanlah dalam sejarah perdampingan beliau dengan Rasulullah saw, kerap tercatat beliau mengulangsebut ikrar setianya, “aku korbankan ayah dan ibuku demi dirimu”. Abu Bakar telah benar-benar membuktikan secara praktikal apa yang diikrarkannya itu.

Bicara lanjut mengenai insan yang telah meraih penghormatan paling agung dengan mendampingi Rasulullah saw dalam saat-saat eksklusif ini akan disambung pada siri akan datang, insya Allah. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
-          Abdurrahman Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Safi-ur Rahman al-Mubarakpuri, 2011, Cahaya Abadi (Terjemahan ar-Rohiqul Makhtum), Al-Hidayah House of Publishers Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Dr. Khalid Muhammad Khalid, 2006. Sejarah 133 Wira Terbilang di Zaman Rasulullah saw. Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur.

((Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)

Al-Fudhail bin Iyadh – teguh mengikuti Sunnah, mencela pelaku bidaah

Oleh: MOHD NASIR AWANG

“KOSONGKAN hatimu untuk sedih dan takut sampai keduanya dapat bersarang. Apabila sedih dan takut bersarang di hatimu, maka keduanya akan membentengimu dari melakukan maksiat dan menjauhkan dirimu dari api neraka.”

Kata-kata itu adalah antara ratusan nasihat dan peringatan daripada Al-Fudhail bin Iyadh, seorang tabie tabien. Beliau mendapat jolokan “abid al-Haramain” (ahli ibadat di dua Tanah Haram, yakni Mekah dan Madinah) lantaran sangat kuat ibadatnya kepada Allah SWT.

Al-Fudhail hidup sezaman dengan Imam Malik, Sufyan bin Uyainah dan Abdullah bin al-Mubarak, dari generasi mulia, iaitu kelompok tabie tabien besar. Beliau berguru kepada berpuluh ulama lain, antara yang tersohor ialah Sulaiman bin Mihran Al-A’masy, Yahya bin Said al-Ansari, Laits bin Abi Sulaim, Muhammad bin Ishaq, Sufyan ath-Thauri, Ubaidillah bin Umar, Sulaiman at-Taimi, Jaafar bin Muhammad As-Sadiq dan lain-lain.

Manakala antara sebilangan muridnya yang kemudiannya muncul sebagai guru tersohor adalah Sufyan bin Uyainah yang juga rakannya, Ibnul Mubarak (meninggal lebih dahulu daripadanya), Yahya bin Said al-Qaththan, Ibnu Mahdi, Ishaq bin Mansur As-Sauli, Ibnu Wahab Asy-Syafie, Yahya bin Said At-Tamimi, Musaddad dan lain-lain.

Nama penuhnya ialah Abu Ali Al-Fudhail bin Iyadh bin Mas’ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbuie. Beliau dilahirkan di Samarqand dan membesar di Kota Abyurd yang terletak di antara daerah Sarkhas dan Nasa. Dia belajar dan menghafal hadith di Kufah, sebelum menyambung pengajian di Mekah.

Wara’ dan berilmu tinggi
Beberapa ulama seperti Ibnu Saad, Sufyan bin Uyainah, Ibnu Hibban, Al-Ajali dan Adz-Dzahabi dalam periwayatan berasingan saling menyifatkan al-Fudhail sebagai seorang yang disepakati kethiqahan dan kehebatan peribadinya. Beliau dikenali sangat rajin mengerjakan ibadat, pandai dalam fiqh, paling wara’, selain banyak menghafal hadith Nabi saw.

Ibnul Mubarak diriwayatkan pernah berkata, bahawa sesungguhnya Al-Fudhail merupakan bukti kebenaran kekuasaan Allah SWT apabila terserlah hikmah melalui perkataan-perkataannya. Dia disifatkan termasuk di kalangan manusia yang dikurniakan manfaat atas amal-amalnya.

Al-Fudhail sangat fasih dalam menyampaikan ilmunya. Dia juga amat menitikberatkan tahap pemahaman para peserta pengajiannya, lalu sentiasa berusaha memberikan penjelasan terbaik tatkala diajukan tuntut faham.

Perkara ini pernah diterangkan oleh Adz-Dzahabi dengan katanya, “kami telah melihat sosoknya (Al-Fudhail) yang selalu wara’ ketika berada di meja makan, ketika berpakaian dan berinteraksi sesama rakan-rakan. Ketika memberikan ceramah agama dalam pengajian, beliau bagaikan memukau perhatian setiap orang yang mengikutinya. Kadangkala di antara peserta pengajiannya ingin mendapatkan penjelasan lebih terperinci. Lalu Al-Fudhail akan menghentikan penyampaiannya seketika bagi menyantuni dan memperjelaskan permasalahan-permasalahan yang ditimbulkan itu.”

Katanya lagi, “apabila para hadirin menerima apa yang disampaikannya, maka dia akan melanjutkan ceramahnya dengan memperelokkan setiap perkataannya sehingga para hadirin merasa benar-benar puashati dan memperolehi pengajaran daripada kefasihan tuturbicaranya.”

Kewibawaannya dalam memastikan ilmu yang disampaikannya bersandarkan sumber yang sahih menyebabkan para hadirin lebih yakin untuk menerima segala pembicaraannya. Ishak bin Ibrahim Ath-Thabari berkata, “hadith riwayat Al-Fudhail adalah sahih, perkataannya benar dan dia sangat menghormati dan menjaga hadith, sehingga ketika menyampaikan hadith, maka dia terlihat sangat berwibawa. Apabila aku meminta kepadanya suatu hadith, maka jiwanya akan merasa terbeban sekali untuk memberikannya.”

“Dia sebaliknya berkata, “seandainya kamu meminta kepadaku beberapa dinar, maka itu akan lebih mudah bagiku untuk memberikannya daripada kamu meminta kepadaku hadith.” Kemudian aku jawab, “barangkali kamu memberikan kepadaku hadith-hadith yang berisi faedah-faedah yang tidak aku miliki, maka itu lebih membuatku senang daripada kamu memberikan aku beberapa dinar.”

Al-Fudhail lalu berkata kepada Ishak, “sesungguhnya kamu telah terkena fitnah. Ketahuilah, aku bersumpah demi Allah, seandainya kamu mempraktikkan hadith-hadith yang telah kamu dengar dan perolehi, maka itu sudah cukup membuatmu sibuk dari meminta hadith yang belum kamu dengar.”

Cintakan ibadat
Sebagai salah satu bukti kecintaannya yang tinggi terhadap amal ibadat, al-Fudhail diberitakan pernah berkata kepada Ishak bin Ibrahim, “jika kamu tidak mampu menunaikan qiyamullail dan berpuasa di siang hari, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya yang menghalang dan membelenggu kamu (dari melakukan amalan tersebut) ialah dosa dan kesalahan yang telah kamu perbuat.”

Sebab itu Al-Fudhail sendiri sering menunaikan qiyamullail, termasuk secara duduk, selepas penat melakukannya secara berdiri. Kisah kesungguhan beliau memaksa dirinya menekuni ibadat malam banyak dicatatkan. Antaranya, beliau diriwayatkan akan membentangkan tikar untuk menunaikan solat di awal malam buat beberapa jam, sehingga rasa mengantuk menguasai dirinya.

Lalu dalam keadaan itu, beliau akan merebahkan badan di atas tikar itu untuk tidur sebentar. Tidak lama kemudian, Al-Fudhail akan bangun kembali untuk menunaikan solat lagi, sehinggalah rasa mengantuknya datang lagi.

Apabila ia sudah tidak tertahan, beliau pun berbaring lagi untuk tidur sebentar. Selepas itu Al-Fudhail bangun kembali untuk menunaikan solat dan begitulah seterusnya sampai datang waktu Subuh. Itulah tabiat ibadat yang menjadi kebiasaannya di setiap malam.

Sentiasa takut dan sedih
Walau pun sudah dikenali sebagai seorang ahli ibadat yang sangat tekun, Al-Fudhail juga diketahui sangat takut amalnya tidak diterima di sisi Allah Ta’ala. Lantaran kebimbangan itu menyebabkan beliau lebih banyak bersedih, terutama tatkala berdepan dengan ayat-ayat al-Quran.

Ishak bin Ibrahim ath-Thabari berkata, “aku belum pernah melihat seseorang yang lebih takut terhadap dirinya dan tidak berharap terhadap sesuatu pada manusia selain Al-Fudhail. Ketika membaca al-Quran, maka dia akan membacanya dengan lambat, syahdu, menyentuh hati, lantang dan jelas seolah-olah sedang berbicara kepada seseorang. Ketika membaca ayat-ayat yang menyebutkan syurga, maka dia akan membacanya berulang-ulang sambil memohon kepadaNya untuk mendapatkannya.”

Menceritakan perihal serupa, Ibrahim bin Al-Asy’ats pula berkata, “apabila Al-Fudhail menyebut nama Allah, sama ada disebutkan kepadanya nama Allah atau mendengar ayat-ayat al-Quran, maka akan terlihat dengan jelas dari wajahnya rasa takut dan sedih. Air matanya kelihatan berlinangan sehingga menimbulkan rasa terharu sesiapa juga yang orang-orang yang melihatnya. Dia selalu bersedih dan selalu menggunakan fikirannya.”

Di ketika yang lain Ibrahim turut menceritakan, “ketika kami sedang mengiringi jenazah ke kubur bersama Al-Fudhail, dia selalu memberikan nasihat dan peringatan kepada kami sambil menangis seolah sedang mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya untuk pergi menuju alam akhirat.”

“Setelah sampai di tanah perkuburan, dia pun duduk seolah-olah duduk di antara orang-orang yang telah meninggal. Dia duduk bersedih dan menangis sehinggalah sekalian pengiring jenazah berdiri untuk pulang. Tatkala berdiri itulah, dia seolah-olah manusia yang baru kembali dari kampung akhirat, lantas mengkhabarkan kepada kami perkara-perkara berkaitan alam akhirat.”

Ibrahim berkata lagi, bahawa beliau pernah mendengar Al-Fudhail melontarkan kebimbangannya, “apakah yang dapat memberikanmu rasa aman apabila kelak amalmu di hadapan Allah tidak ada nilainya? Sedangkan pada waktu itu semua pintu amal untuk mendapatkan ampunanNya telah tertutup. Justeru, bagaimana kamu dapat menjalani hidup di dunia ini dengan hilai tawa? Dapatkah kamu bayangkan keadaanmu di akhirat kelak jika semua amal yang kamu kerjakan di dunia ini ditolak?”

Kebimbangan dan ketakutan sedemikian membuatkan kehidupan al-Fudhail seakan sinonim dengan kesedihan. Abdullah al-Mubarak diriwayatkan pernah menyebut, “jika aku melihat al-Fudhail, maka akan segera muncul rasa sedih dalam diriku. Kesedihan yang aku rasakan itu adalah lain daripada yang lain, sehingga tiba-tiba aku menjadi benci pada diriku sendiri. Jika sudah demikian, maka aku pun tidak kuasa lagi membendung isak tangisku sendiri.”

Setelah ketiadaannya, Ibnul Murabak berkata pula, “apabila Al-Fudhail meninggal, maka bererti hilanglah kesedihan.”

Benci Ahli Bidaah
Sudah menjadi kelaziman di kalangan ulama salaf bahawa kecintaan mereka kepada amal ibadat yang bertepatan dengan Sunnah Nabi saw membuatkan mereka amat membenci perbuatan-perbuatan bidaah.

Lantaran itu Al-Fudhail pernah berkata, “barangsiapa mencintai ahli bidaah, maka Allah SWT akan melebur amalnya sehingga amal tersebut menjadi sia-sia. Bukan setakat itu saja, Allah juga akan mengeluarkan cahaya Islam dari dalam hatinya.”

Di ketika lain, dia menzahirkan pendiriannya yang lebih keras dengan berkata, “apabila kamu sedang berjalan lalu kamu melihat orang ahli bidaah sedang berjalan pada jalan yang sama dengan jalanmu, maka ambillah jalan yang lain.”

Katanya lagi, “amal orang yang melakukan bidaah tidak akan diterima Allah, dan barangsiapa membantu ahli bidaah, maka sesungguhnya ia telah membantu untuk merobohkan Islam.”

Bahkan, beliau memberi jaminan keselamatan di sisi agama bagi mereka yang meninggalkan bidaah. Katanya, “tidak ada yang perlu dikhuatirkan apabila pada diri seseorang telah terkumpul tiga keadaan, iaitu dia bukan ahli bidaah, tidak mengumpat dan mencela ulama salaf, dan tidak bersekutu dengan penguasa.”

Meninggal dunia
Menurut Mujahid bin Musa, Al-Fudhail meninggal pada 186 Hijriyah. Manakala sebilangan ulama lain sepeti Abu Ubaid, Ali bin Al-Madini, Yahya bin Ma’in, Ibnu Numair dan Imam Al-Bukhari, pula berpendapat Al-Fudhail meninggal pada tahun 187 Hijriyah di Mekah. Sebahagian ulama lain menambah fakta bahawa dia meninggal pada awal Muharram, pada usia melebihi 80 tahun. – Mohd Nasir Awang

(Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 2006. 60 Biografi Ulama Salaf. Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur.)

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan ULAMA PEWARIS NABI dengan tajuk sama)

Akhlak mulia tonggak agama Islam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Tidak syak lagi setiap individu muslim perlu melengkap dirinya dengan tingkahlaku dan budi pekerti yang luhur. Demi sesungguhnya hanya dengan segala budi pekerti yang mulia itu seseorang Islam dapat mencapai kesentosaan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Justeru, penulis buku ini mengambil insiatif yang sangat baik menyusun sebilangan ayat suci al-Quran dan hadith Nabawi yang bersangkut-paut dengan perbicaraan akhlak muslim. Beliau turut menyertakan kupasan dan ulasan ringkas yang difikirkannya sesuai mengenai apa yang dialami oleh umat Islam di zaman ini, terutama mengambilkira keruntuhan moral, penyelewengan dan kemerosotan akhlak mereka yang semakin hari semakin tenat.

Segala kebobrokan itu perlu ditangani. Bagi seorang muslim, ubat atau penyelesaiannya sudah tentu dengan kembali meneliti sifat-sifat akhlak mulia sebagaimana yang dihayati dan dianjurkan sendiri oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Rasulullah saw telah membuktikan dengan pameran akhlak terpuji itu, Baginda berjaya menyelamatkan alam dari kesesatan dan gelap-gelita kepada petunjuk yang membawa kebahagiaan.

Bahkan, Baginda sendiri pernah menjelaskan betapa antara tujuan utama perutusannya sebagai Rasul ialah untuk melengkapkan budi pekerti yang mulia. Begitu juga, menurut penulis, bahawa keutamaan ajaran agama Islam sendiri mendahulukan agenda pembentukan jiwa kemanusiaan mengatasi segala yang lain. Baginya, iman yang teguh itu memerlukan budi pekerti yang teguh dan kemerosotan akhlak puncanya ialah kelemahan iman.

Kata penulis lagi, segala pengajaran dan prinsip agama yang ditanam ke dalam jiwa manusia hingga sebati akan “menimbulkan di dalamnya suatu tenaga yang mengawal segala penyelewengan tabiat manusia, sambil memegang teraju dan membetulkan haluannya”.

Bagi memudahkan pembicaraan dan pemahaman mengenai sifat-sifat akhlak Baginda saw, penulis mengasingkan seluruh perbincangan kepada lebih 20 subtopik. Setiap topik dikhususkan pembicaraan mengenai hanya satu sifat atau segandingan sifat-sifat akhlak mulia. Sorotan turut dibuat terhadap setiap sifat itu dari perspektif atau konteks yang berbeza.

Manakala di dalam mengulas sifat positif itu, turut dibawa kupasan mengenai kecelaan sifat-sifat negatif atau yang berlawanan dengannya, yang disarankan agar seseorang muslim menjauhinya. Contohnya, di dalam membicarakan soal keutamaan memupuk persaudaraan, dilontarkan juga kupasan mengenai peri buruknya sifat tamak dan mementingkan diri sendiri. - Editor

INFO BUKU:
Tajuk: AKHLAK MUSLIM
Pengarang: Muhammad al-Ghazali
Penterjemah: Ismail Mohd Hassan
Penerbit: Yayasan Islam Terengganu (Cetakan Kedua, 1998)

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)

Friday, March 30, 2012

Hadiah nesan simbol keprihatinan mahasiswa


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Agak tersinggung nampaknya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan tindakan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menghantar batu nesan ke kementeriannya minggu lalu. Seraya menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak matang dan hanya bertujuan mencari publisiti murahan, beliau menegaskan pihaknya tidak terkesan dan tidak akan turut bertindak sedemikian.

“Pemberian batu nesan kepada KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) itu sebenarnya tidak memberi sebarang kesan kepada pihak kementerian...saya terima baik perkara itu kerana beranggapan mereka (pelajar) masih belum matang. Mungkin memang betul mereka tidak matang, namun saya tidak boleh meletakkan diri saya dalam keadaan tidak matang seperti mereka juga,” ujarnya.

Kenyataan itu adalah sebagai reaksi beliau terhadap tindakan sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan bangunan KPT di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada beliau menuntut diadakan segera pilihan raya kampus. Difahamkan tempoh penggal majlis perwakilan mahasiswa (MPP) di beberapa IPT telah pun berakhir sejak Februari lalu.

Penyerahan memorandum itu bagaimana pun turut disertakan dengan seketul batu nesan, yang dianggap sebagai tanda berkuburnya demokrasi mahasiswa. Difahamkan Setiausaha Politik menteri berkenaan menerima memorandum itu, tetapi enggan menerima batu nesan tersebut.

Sepertimana lazimnya di setiap kali berlaku bantahan atau demonstrasi yang kerap diikuti dengan penyerahan memorandum atau tuntutan oleh para pelajar, menteri cenderung memberikan reaksi awal agak serong. Kerap digambarkan kononnya tindakan mahasiswa dalam bentuk sedemikian sebagai tidak kena dan menyalahi aturan. Mereka disifatkan sebagai gopoh, tidak matang, bahkan kekadang dikaitkan sebagai menjadi alat pihak-pihak lain, khususnya parti politik pembangkang.

Serentak itu digambarkan juga betapa telus dan terbukanya pihak kementerian dalam mendengar sebarang suara bantahan atau luahan para pelajar. Seolah-olah pihaknya telah menyediakan saluran bersesuaian yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pelajar bagi meluahkan tidak puashati mereka. Lalu kumpulan pelajar berkenaan ditempelak kerana tidak memilih mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan pihaknya.

Soalnya, apakah ini kes pertama membabitkan bantahan dan penyerahan memorandum oleh mahasiswa tempatan kepada kementerian itu? Apakah selama ini tidak pernah ada kumpulan pelajar menyuarakan sesuatu berhubung proses pilihan raya kampus-kampus? Dan paling penting, apakah kementerian sangat berpuashati dengan langkah penyelesaian dikemukakan pihaknya dan meyakini bahawa para pelajar juga berpuashati dengan langkah itu?

Itulah beberapa persoalan yang sepatutnya diperhalusi oleh pihak kerajaan, khususnya KPT dalam menangani kes ini. Kerana, sepertimana sedia dimaklumi, selagi mana perjalanan pilihan raya kampus dilihat tidak telus dan mencurigakan, selagi itulah kes-kes seumpama yang berlaku minggu lalu itu akan terus berulang.

Bukan kita tidak tahu bagaimana perjalanan proses pilihan raya kampus selama ini seolah-olah dipandang remeh dan mudah. Banyak cerita kita dengar bagaimana proses perjalanannya terdedah kepada ketidaktelusan dan tindak-laku yang amat dipertikaikan, terutama membabitkan campurtangan dan tekanan pihak pentadbiran. Bahkan, peranan MPM yang dipilih oleh mahasiswa pula seakan hanya menjadi pak turut kepada kehendak pihak pentadbiran.

Itulah antara perkembangan yang disifatkan sebagai faktor kelesuan mahasiswa dalam soal kepimpinan. Mereka diletakkan dalam zon selesa agar tidak perlu memperjuangkan apa yang diperlukan, kerana segalanya mudah diperolehi, asal saja mereka berdampingan dengan pihak ‘berkuasa’. Jumlah mereka yang mendapat keputusan akademik cemerlang mungkin semakin meningkat. Namun, di dalam konteks kepimpinan, mahasiswa dilihat sangat lemah dan tidak berketrampilan.

Hal ini jelas dapat dilihat menerusi tahap penglibatan mahasiswa yang sangat mendukacitakan di dalam persatuan dan aktiviti kebajikan. Mereka lebih selesa dengan sindrom 3K iaitu kuliah, kafe dan kolej. Apa yang dipentingkan hanyalah pencapaian akademik dan aktiviti sosial. Persekitaran kampus seolah membentuk mereka menjadi individualistik dan hanya mementingkan diri sendiri.

Sikap tidak mengambil berat soal kepimpinan dan perkembangan masyarakat adalah suatu yang merugikan. Mahasiswa tidak seharusnya dikecilkan peranan mereka, sebaliknya mereka perlu dibiasakan dengan memikul tanggungjawab penting.

Sebab itu sebelum ini sudah ada desakan dan tuntutan agar kelemahan proses pilihan raya kampus dan peranan MPM diperbetulkan. Kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdulllah, dalam hal ini amat disenangi mahasiswa. Beliau mengesyorkan agar mahasiswa diberikan hak menguruskan sendiri pilihan raya kampus. Sebagai bekas aktivis kampus, beliau ternyata mampu menyelami hasrat mahasiswa.

Bagi khalayak yang benar-benar menghayati signifikan pilihan raya kampus, ia dianggap proses mematangkan mahasiswa dengan kefahaman awal mengenai politik. Pilihan raya kampus adalah medan latihan kepimpinan untuk mereka.

Justeru, biar pun mereka hanya bertanding dan berkempen di kalangan sesama mereka, peranan proses pemilihan itu dilihat sangat penting terutama dalam membentuk generasi pelapis kepimpinan negara suatu hari kelak.

Tempoh pengajian di universiti ialah ruang untuk mahasiswa mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia sebenar. Maka, tindakan mahasiswa menuntut diwujudkan persekitaran kondusif ke arah itu, walau pun membabitkan penyerahan batu nesan kepada KPt, sepatutnya dinilai sebagai bertitik-tolak daripada pemikiran yang matang dan jauh ke depan.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada tulisan yang dihantar untuk siaran Harakah CETAK 30 Mac 2012)

Friday, March 23, 2012

Calon ‘payung terjun’, Ahmad salahkan siapa?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tidak menemui hujah lebih baik untuk menjustifikasikan kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi dalam pilihan raya umum lalu, selain mengambil jalan mudah meletakkan kesalahan ke atas pemimpin sebelumnya. Kononnya disebabkan kegagalan pemimpin terbabit membuat penentuan lebih awal mengenai calon menyebabkan parti itu kehilangan empat kerusi kepada PAS.

Sehubungan itu, katanya, BN negeri cuba mengelak daripada mengemukakan calon yang disifatkan sebagai ‘payung terjun’ pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti agar kekalahan serupa tidak berulang kali kedua.

“Saya sudah tunjuk kepada Perdana Menteri sebab kita kalah pada PRU-12 kerana calon luar yang tidak terlibat dalam pergerakan parti di peringkat bahagian. Seminggu sebelum pilihan raya baru cuba untuk memperkenalkan diri mereka, ia sukar,” media minggu lalu memetik katanya.

Walau pun tidak menamakan empat kerusi terbabit, dapat difahami bahawa yang beliau maksudkan ialah Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, Sura, Ladang dan Bukit Payung yang terlepas ke tangan PAS pada 2008.

Pada pilihan raya lalu PAS memenangi lapan kerusi. Selain Dun-Dun disebutkan itu, empat lagi merupakan kerusi yang telah dimenangi PAS pada 2004. Keempat-empat kerusi tersebut, iaitu Batu Buruk, Rhu Rendang, Wakaf Mempelam dan Manir, malah sejak sekian lama menjadi milik PAS dan dianggap kubu parti itu yang gagal ditawan BN.

Tidak pasti apakah perincian kelemahan dalam pemilihan calon BN yang disebutkan Ahmad itu dimaksudkan kepada keempat-empat Dun terbabit, atau hanya sebahagian daripadanya. Namun, jika diteliti senarai calon-calon yang kalah di situ, tidak semuanya boleh diistilah sebagai calon ‘payung terjun’.

Sebilangan mereka malah turut aktif bersama Umno bahagian buat beberapa ketika sebelum tibanya musim pilihan raya. Ertinya, sebab disebutkan Ahmad itu bukanlah satu-satunya faktor penentu kekalahan mereka.

Lagi pun, di kalangan calon yang gagal menawan empat lagi kerusi tradisi PAS itu pun, bukan kesemua mereka juga calon ‘payung terjun’. Malah ada yang telah mencubanya berkali-kali, dan tidak timbul soal mereka muka yang baru cuba memperkenalkan diri di saat pilihan raya.

Begitu juga, ada calon yang memang muka baru, tetapi boleh memberi kemenangan kepada BN. Contohnya, ada calon BN yang tidak lazim berada di dalam kawasan, tidak terlibat secara aktif dengan Umno bahagian sebelumnya, tetapi Dun berkenaan tetap dimenangi BN.

Ertinya, faktor kemenangan BN bukan semata-mata bergantung kepada calonnya. Apatah lagi BN terkenal sebagai parti yang mampu “mengubat” sebarang kelemahan dan kesilapan dengan “santau” yang sangat efektif. BN ada “ubat penyembuh” yang sangat mujarab yang mampu memesongkan pendirian rakyat dalam amsa yang singkat.

Sebab itu apabila Ahmad memilih untuk menyalahkan kaedah pemilihan calon sebagai faktor kekalahan BN empat tahun lalu, beliau dianggap sengaja mengkambinghitamkan bekas penyandang Pengerusi BN Negeri sebelumnya. Taktik atau tabiat itu tidak sukar ditelah, memandang itulah juga contoh dibuat pemimpin lebih tinggi daripadanya.

Presiden Umno selaku Pengerusi BN dalam jelajahnya ke negeri-negeri turut menuturkan permainan politik serupa. Dalam ucapannya, terutama di negeri-negeri diperintah pembangkang, Dato Seri Najib Razak kerap memohon maaf kepada rakyat. Antaranya, beliau mengaitkan sebab BN ditolak rakyat negeri-negeri terbabit ialah kerana parti itu dinilai melakukan kesilapan atau gagal menyelesaikan kelemahan tertentu.

Sama ada diucapkan secara terbuka atau diselami secara tersiratnya, mesej jelas daripada permohonan maaf Najib itu secara tidak langsung merupakan dakwaan kononnya kekalahan BN itu adalah kesilapan pemimpin sebelumnya.

Maka begitulah juga dalam kes Ahmad di Terengganu. Beliau seakan menyatakan bahawa pemimpin BN negeri sebelumnya, yang juga seteru utamanya di dalam parti, telah melakukan kesilapan besar sehingga terlepas empat Dun ke tangan PAS. Ertinya, bara permusuhan dalaman Umno masih belum terpadam.

Namun, apa pun pergolakan sesama mereka, biarkanlah ia berterusan begitu. PAS pula secara positif sepatutnya mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Ahmad itu. Pertama, ia mengisyaratkan keazaman sangat kuat di pihak BN untuk mengambil kembali kerusi-kerusi tersebut. Dalam memastikan hasratnya tercapai, kita sedia maklum BN sanggup melakukan apa saja cara. Justeru, jangan mengambil mudah komitmen BN dalam hal ini.

Kedua, jika BN yang ada segala macam ubat dan ramuan memaut rakyat pun masih menganggap pemilihan calon di saat akhir atau ‘payung terjun’ adalah suatu yang tidak patut berlaku, maka lebih-lebih lagilah dengan PAS. Calonnya mesti diperkenalkan jauh lebih awal. Mereka sudah sepatutnya ‘dibisikkan’ agar turun membiasakan diri dengan masyarakat di kawasan bakal mereka tandingi.

(Artikel ini ditulis untuk siaran Harakah CETAK 23 Mac 2012)

Sunday, March 18, 2012

Kalah bicara mahkamah calar kredibiliti Umno

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Cerita betapa sewenang-wenangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno di Terengganu bertindak menamatkan perkhidmatan sejumlah penjawat awam yang dinilai sebagai penyokong parti lawan bukanlah berita baru. Ia sudah dianggap lumrah sejak sekian lama dan boleh dikatakan turut berlaku secara menyeluruh di setiap negeri diperintah parti itu, termasuk Terengganu, walau pun dalam jumlah kes yang tidak besar.

Tindakan yang jelas bermotifkan politik itu bagaimana pun mencetuskan kegemparan umum apabila ia berlaku dalam skala agak besar sejurus berlakunya peralihan kuasa pemerintahan negeri Terengganu pada 2004 lalu. Sebilangan pegawai tadbir negeri yang dinilai condong atau menyokong PAS adalah antara yang menerima kesan paling awal.

Mereka ini sama ada diberikan pilihan untuk meletakkan jawatan secara terhormat dan menerima bayaran pampasan, atau diwujudkan alasan munasabah sehingga mereka layak ditamatkan perkhidmatan dengan kerajaan negeri. Bahkan, ada juga yang walau pun dikekalkan dalam perkhidmatan, tetapi terpaksa melalui proses ‘sejuk beku’.

Turut menerima nasib serupa, walau pun dengan status perjawatan berbeza, ialah beberapa pengarah agensi atau pengerusi anak-anak syarikat kerajaan negeri. Ada yang diberikan notis penamatan kontrak perkhidmatan mereka dan ada yang terus sahaja tidak dibenarkan memasuki pejabat sebaik kerajaan negeri bertukar tangan. Malah ada juga yang dihalau keluar secara tidak beradab oleh para pemimpin Umno ketika masih meneruskan tugas di pejabat.

Menambahkan kegemparan atas tindakan rakus Umno itu ialah apabila mereka yang terlibat dengan pemberhentian khidmat itu ialah golongan yang banyak berinteraksi dengan masyarakat awam. Antara perjawatan yang sama ada dirombak atau ditamatkan serta-merta ialah ahli majlis pihak berkuasa tempatan, Jawatankuasa Masjid Mukim, Jawatankuasa Syura Rakyat, mubaligh-mubalighah, para asatizah dalam Unit Pembangunan Insan (UPI) dan sebilangan imam/bilal masjid mukim.

Para pemimpin dan penyokong Umno mungkin berhujah bahawa kesemua mereka ini, yang jumlahnya ratusan orang, adalah penjawat lantikan politik. Justeru, mereka tiada sebarang ikatan kukuh atau jaminan undang-undang dengan perjawatan kerajaan negeri.

Namun, seperkara yang tidak sepatutnya diambil mudah ialah betapa mereka ini jugalah sebenarnya kumpulan penggerak utama agenda pembangunan masyarakat, terutama dalam bab pembinaan insan. Kehilangan mereka akibat penamatan khidmat dalam keadaan serta-merta sememangnya menghasilkan ‘kejutan’ kepada masyarakat.

Masyarakat bagaimana pun seakan menerima segala yang berlaku itu sebagai takdir politik. Bahkan, di kalangan mereka yang terlibat dengan pemecatan dan penamatan khidmat itu sendiri pun hampir tiada yang terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri pimpinan Umno. Isu itu akhirnya pudar dan semakin dilupakan masyarakat, termasuk di Terengganu.

Bagaimana pun, dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, 5 Mac lalu, yang memihak kepada seorang Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas, yang dipecat kerajaan Umno pada 2007, isu kerakusan tindakan kerajaan BN itu kembali menjadi bahan perbualan hangat. Malah, di kalangan para pendukung PAS dan pembangkang sendiri ada yang agak terkejut. Kata mereka, “oh, rupanya ada di kalangan pegawai yang dipecat memfailkan saman terhadap kerajaan Umno”.

Setelah lebih empat tahun berjuang menuntut haknya melalui proses mahkamah, akhirnya Wan Mohd Faizul, 37, yang dipecat oleh kerajaan BN pada 2007, mendapat pembelaan mahkamah. Hakim Mahkamah, Dato’ Mohd Yazid Mustafa memutuskan pemecatan Pegawai Tadbir Negeri N41 itu oleh Menteri Besar ketika itu, Dato’ Seri Idris Jusoh dianggap ‘salah’ (wrongfull dismissal).

Ketika membaca keputusan tersebut, Mohd Yazid memerintahkan agar plaintif diambil semula sebagai Pegawai Tadbir Negeri Gred N41 daripada tarikh penghakimannya dan pengesahan plaintif dalam jawatan tersebut tertakluk kepada Perintah Am.

Tanpa perlu menghurai dan memperincikan fakta kes tersebut, keputusan diumumkan itu sahaja pun sudah lebih dari cukup untuk dijadikan bukti betapa kerajaan dipimpin Umno itu sebenarnya bertindak tanpa merujuk kepada peruntukan undang-undang. Ia secara jelas mencalar kredibiliti Umno sebagai sebuah parti pemerintah, yang sepatutnya well-versed mengenai undang-undang.

Di satu sudut lain, ia menjadi faktor tambahan bagi rakyat untuk lebih membenci dan menolak Umno. Apatah lagi keputusan mahkamah itu berlaku dalam suasana seluruh negara sedang dilanda demam pilihan raya. Bahkan, Terengganu sendiri sebagai salah satu kubu kuat PAS, dilihat sangat berpotensi untuk sekali lagi mengalami perubahan teraju kepimpinannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1726, 19 Mac 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

Thursday, March 15, 2012

Semangat ‘padi-pondok-PAS’ masih relevan di Terengganu

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Selain faktor ketidakadilan politik dan ekonomi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), di antara faktor lain yang turut mendorong perubahan sikap rakyat Terengganu kini ialah kesedaran hidup beragama yang semakin meningkat di dalam masyarakat. Betapa dasar dan perjalanan pemerintahan diterajui Umno gagal memenuhi kedahagaan rakyat terhadap tuntutan perubahan ini menyebabkan rakyat semakin “jinak” kepada PAS.

Perkembangan ini bagai mengesahkan ungkapan yang sejak dulu menjadi pegangan penggiat dan penganalisis politik, iaitu “di mana ada padi dan pondok, di situ ada PAS”. Maksudnya, PAS akan kuat dan bertapak kukuh di kawasan yang ada bendang padi dan pusat pengajian Islam.

Walau pun ungkapan itu pada asalnya dilontarkan sebagai suatu momokan oleh para pemimpin dan pendukung parti lawan, khususnya Umno, ia sebenarnya suatu hakikat yang sukar ditepis. Bahkan, ikatan kuat antara ‘padi-pondok-PAS’ itulah akhirnya yang menyesakkan nafas dan benar-benar memberikan masalah besar buat parti sekular itu.

Umno pada asalnya sengaja mempopularkan ungkapan tersebut bagi menggambarkan PAS sebagai tidak lebih daripada sebuah parti kampungan, parti masyarakat bendang dan tok lebai. Sedangkan, sebagai perbandingan, Umno dipelopori dan didukungi khalayak elit dan masyarakat bandar.

Namun, momokan itu kembali menjadi ‘senjata makan tuan’ buat Umno apabila PAS bijak memanipulasi sentimen yang cuba dipersendakan parti lawannya itu. Bahkan, PAS menyahut momokan Umno itu secara positif dengan mempopularkan satu lagi ungkapan iaitu, “lagi hulu, lagi kuat PAS”.

Hasilnya, PAS berjaya membina kekuatan di kawasan-kawasan dimaksudkan, seterusnya menjadikan ia pangkalan-pangkalan untuk menapak gagah mengembangkan pengaruh ke kawasan-kawasan sekitar. Bukti klasik ialah bagaimana ketika PAS berada dalam keadaan paling merosot di Terengganu, iaitu selepas kerajaannya digulingkan pada 1961, ia masih mampu mengekalkan pengaruh dan penguasaannya di beberapa tempat, khususnya di kawasan ‘hulu’.

Disebabkan terlalu ‘sakit’ akibat direntap dari tampuk kuasa, maka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1964, PAS hanya mampu bertahan di tiga kerusi di seluruh negeri itu. Bagai dibicarakan, selain kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Besut Tengah (sekarang dinamakan Dun Jerteh – kawasan bandar), dua lagi kerusi adalah sumbangan dari kawasan ‘hulu’, iaitu Ulu Besut dan Ulu Dungun.

Ertinya, biar pun diejek sebagai parti orang ‘hulu’, berbekalkan penguasaan di kerusi-kerusi inilah PAS berupaya menyambung nafas, seterusnya mengorak pencapaian amat cemerlang dalam pilihan raya seterusnya. PAS berjaya merampas 11 daripada 24 kerusi dalam PRU 1969 sekaligus membenam keegoan Umno. Undi popular diperolehinya di seluruh Terengganu pula jauh mengatasi peratus dipungut Perikatan.

Dari penelitian berbeza, ungkapan ‘padi-pondok-PAS’ tadi sebenarnya menyimpan makna lebih luas. ‘Padi’ di situ tidak terbatas hanya kepada pesawah. Ia lebih bermaksud menggambarkan jayadiri penduduk setempat di sudut ekonomi. Bahawa pekerjaan mereka tidak sepenuhnya bergantung harap kepada kerajaan.

Hal itu membentuk jiwa yang berfikiran dan berpendirian bebas, terutama dalam menentukan pendirian politik. Bukankah itulah latarbelakang pergantungan ekonomi majoriti rakyat di beberapa negeri pangkalan kekuatan PAS?

Maka dalam konteks sekarang, dengan perkembangan jatidiri rakyat yang semakin positif, tahap kebergantungan mereka kepada kerajaan juga semakin menipis, termasuk di kalangan para penjawat awam sendiri. Ertinya, dari segi semangat dan keberanian menyatakan sikap politik, rakyat kini sudah tidak lagi terkongkong oleh mitos ‘penjawat awam mesti sokong kerajaan’.

Dengan pengertian itu, boleh kita katakan bahawa semangat dari perkataan ‘padi’ tadi tidak lagi terbatas pengertiannya hanya kepada kelompok rakyat yang bekerja sendiri atau swasta. Ia telah menjadi dukungan anggota masyarakat secara menyeluruh.

Begitu juga dengan pengertian ‘pondok’ itu. Walau pun secara tradisi ia bermaksud pusat pengajian berinstitusi yang mengkhususkan pengajian kepada ilmu-ilmu tertentu mengikut silabus kitab-kitab pilihan para gurunya, konsep ‘pondok’ itu sudah semakin berkembang. Ia tidak lagi terbatas kepada ruang lingkup pendidikan berinstitusi, tetapi dijelmakan dalam bentuk kuliah dan ceramah agama walau di mana pun ia diadakan.

Sememangnya di Terengganu sendiri dari pembuktian sejarahnya, PAS mempunyai kelebihan berbanding Umno di mana-mana kawasan yang masyhur dengan kegiatan pengajian agama. Apatah lagi pusat aktiviti dan perancangan kegiatan PAS adalah sinonim dengan pusat tarbiyah atau madrasah pengajian Islam. Manakala para pelopor kepimpinannya pula kebanyakan mereka adalah juga peneraju pusat-pusat pengajian.

Bahkan, suatu hakikat yang terbukti kini, kesemua lapan kerusi dimiliki PAS adalah dari kawasan yang ada pusat pengajian Islam atau markas tarbiyah yang terisi dengan kuliah-kuliah berjadual.

Kini, kebanyakan masjid utama di daerah-daerah terisi dengan majlis-majlis ilmu. Suratan atau kebetulan, sebilangan ustaz atau pengkuliah yang masyhur dan diminati masyarakat setempat pula adalah mereka yang tidak cenderung mendukung aspirasi perjuangan Umno.

Hal itu memang disedari parti itu, tetapi amat sukar diatasi, memandangkan Umno memang tidak mampu mengetengahkan tokoh agama yang berupaya memenuhi citarasa rakyat. Sedangkan arus kesedaran rakyat yang semakin dahagakan ilmu-ilmu Islam tidak lagi dapat diempang. Itulah hakikat yang sedang menyesakkan nafas Umno Terengganu!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1725, 16 Mac 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk 'Jelmaan baru semangat 3P')