Wednesday, February 8, 2012

Kajian: PAS lebih dipercayai jaga agama berbanding Umno

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini ke Terengganu membentangkan beberapa dapatan kajian berhubung persepsi pengundi terhadap parti itu, khususnya di negeri itu sendiri. Menurutnya, fakta dan angka diberikannya itu adalah sebagai rumusan kepada kajian lima pihak berasingan dalam tempoh berbeza.

Dua daripada lima pihak dimaksudkan itu ada hubungkait secara langsung dengan PAS. Salah satunya ialah Kelab Anak-Anak Terengganu Penyokong PAS di Perantauan (Perantau), yang mana beliau sendiri turut terlibat. Manakala satu pihak lagi ialah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), salah satu unit ditubuhkan PAS sendiri di setiap negeri.

Kajian telah dibuat di seluruh Terengganu selama tiga tahun, antara 2009 hingga 2011. Kedua-dua pihak ini mensasarkan khalayak pengundi yang telah dikenalpasti sebagai ‘atas pagar’, ‘condong kepada PAS’ dan ‘condong kepada Barisan Nasional (BN)’ sebagai responden. Dalam istilah yang biasa disebut para pendukung parti itu, mereka ini ialah golongan ‘A, C dan E’, yakni yang tidak ada pendirian pasti dalam politik.

Tiga badan lain yang turut dirujuk hasil kajian mereka ialah Merdeka Center, sebuah badan penyelidikan politik dan sosial yang terkemuka dalam negara ini. Badan ini sangat aktif dan senantiasa melakukan kajian demi kajian secara berterusan. Ada pun yang dirujuk untuk tujuan pembentangan ini ialah dalam julat Mac 2008 hingga Disember 2011 sahaja.

Turut dirujuk ialah hasil kajian oleh Muslim Youth Survey 2011. Manakala sebuah badan atau pihak lain sekadar disebutkan sebagai Agensi Bebas. Berbeza dengan dua pihak terdahulu, ketiga-tiga pihak ini memilih responden dari khalayak berbagai status pendirian politik, latar belakang sosial dan sebagainya.

Rumusan daripada hasil kajian kelima-lima pihak ini menampakkan betapa PAS Terengganu sebenarnya ada kekuatan dan peluang untuk dimanfaatkan demi mencipta kejayaan dalam Pilihan Raya Umum nanti. Wujud persepsi amat positif terhadap PAS dalam beberapa aspek tertentu, walau pun kelemahan dan ancaman juga turut ada.

Salah satu persoalan dilontarkan kepada responden umum ialah berhubung apakah yang paling dikehendaki oleh rakyat dari sebuah kerajaan. Urutan butiran yang mendapat undian tertinggi ialah menyediakan peluang pekerjaan, menurunkan harga barang keperluan, memberi wang ehsan, program kerohanian, pembangunan fizikal dan hiburan.

Dua butiran tertinggi itu sebenarnya ancaman buat BN, sekaligus peluang bagi PAS. Walau pun dalam dapatan berasingan turut dinyatakan betapa responden lebih percayakan BN untuk menyediakan peluang kerja berbanding PAS, namun apabila ia masih kekal sebagai harapan tertinggi rakyat terhadap kerajaan, bermakna masalah peluang kerja masih membelenggu mereka. Dalam ertikata lain, ia masih belum berjaya diselesaikan BN.

Begitu juga soal kenaikan harga baranag keperluan yang sejak sekian lama memang menjadi ratib pilu di kalangan masyarakat. Akronim BN sebagai ‘Barang Naik’ masih kekal meniti di bibir rakyat, menandakan betapa rakyat mensinonimkan parti itu dengan kenaikan harga barang keperluan mereka.

Menariknya, apabila soalan sama diajukan kepada responden khusus dari golongan muda, mereka meluahkan harapan berbeza terhadap sebuah kerajaan. Selama ini rupa-rupanya kita dipesongkan fakta, terutama oleh parti pemerintah, kononnya yang paling diperlukan anak-anak muda ialah sukan dan hiburan, selain peluang pekerjaan.

Percaya atau tidak, kajian tadi mendapati program kerohanian sebenarnya yang menjadi pilihan utama mereka, diikuti peluang pekerjaan. Manakala perkara paling tidak popular di kalangan mereka ialah rekreasi dan sukan serta hiburan.

Ertinya, yang paling dikehendaki anak-anak muda kini ialah program keagamaan, khususnya yang memaut mereka dan masyarakat kepada Islam. Jika benar sikap golongan muda ini bagai diperolehi kajian itu, bermakna ia suatu peluang yang mampu ditukar oleh PAS menjadi kekuatan.

Beberapa dapatan lain memberikan kelebihan kepada PAS, berbanding Umno dalam memenuhi kebutuhan rakyat ini, khususnya di kalangan golongan muda. Pertama, ceramah umum masih menjadi kaedah kempen paling popular di kalangan pengundi dengan 57% meminati pendekatan itu berbanding kempen rumah ke rumah atau pengedaran risalah.

Manakala majoriti responden yang memilih ceramah umum sebagai medan maklumat mengenali parti-parti ialah kalangan muda bawah 30 tahun. Hakikat ini sudah tentu lebih menguntungkan PAS, memandangkan yang lebih menguasai pentas ceramah umum ialah parti itu.

Responden turut ditanya mengenai gejala sosial dan kadar jenayah. Sekali lagi apabila diminta membandingkan antara pemerintahan PAS dengan BN, jawaban diberikan responden menunjukkan kekuatan buat PAS.

Majoriti responden mengakui wujud perbezaan ketara antara dua zaman itu. Zaman pemerintahan PAS dikaitkan dengan kemerosotan kadar jenayah dan kes-kes sosial. Sebaliknya, di zaman BN mengambil alih semula kini dikatakan menyaksikan peningkatan.

Persepsi ini sebenarnya peluang lagi bagi PAS. Lebih-lebih lagi apabila majoriti responden juga mengakui betapa jalan penyelesaian terbaik kepada permasalahan sosial dan jenayah yang semakin meningkat di Terengganu kini ialah dengan mengemukakan penyelesaian Islam.

Lebih memberikan kelebihan kepada PAS ialah apabila sudah ada persepsi di kalangan anggota masyarakat bahawa parti itu lebih Islam atau lebih memperjuangkan Islam berbanding BN, khususnya Umno. Justeru, dalam konteks menjaga kedaulatan dan ketinggian agama, mereka lebih mengharapkan PAS berbanding kerajaan yang ada.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1715, 10 Februari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F22 dengan tajuk sama)

Monday, February 6, 2012

Nik Aziz sahkan kepimpinan Abdul Hadi masih relevan

Oleh: Mat Zain Mat Isa

“Tidak semua manusia di atas bumi ini ada bakat memimpin, tetapi dia (Tuan Guru Abdul Hadi) ada bakat itu. Jadi kerana apa dia nak berhenti? Saya tak setuju... lebih-lebih lagi kepimpinan Islam seperti dia,” kata Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Penegasan itu adalah reaksi beliau terhadap laporan media mengenai kesediaan Presiden PAS itu untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi itu sebagai menjawab pertanyaan wartawan sebuah tabloid harian dalam sesi temubual di Rusila, Jumaat, 27 Januari.

Soalan asal wartawan tersebut berbunyi, “jadi Dato’ Seri akan bertanding semulalah (dalam pilihan raya umum nanti)?”

Pertanyaan itu disambut ketawa kecil oleh Tuan Guru. Beliau menyambung, “saya terpulang kepada parti, sama ada (peringkat) atas atau pun daripada bawah. Dan memang saya terlalu lama jadi wakil rakyat. Saya hitung-hitung, kalau Dun (Ahli Dewan Undangan Negeri), 30 tahun, (sejak) tahun (19)82. (Ahli) Parlimen sudah belas-belas tahun, sudah lama.”

“Dengan sebab itu saya memberi tawaran, sama ada yang pertama saya tak bertanding semua (Dun dan Parlimen), saya boleh bergerak di seluruh negara (menjayakan gerakerja parti). Yang kedua, bertanding satu saja, itu harapan saya,” ujar beliau.

Laporan akhbar berkenaan keesokannya yang memetik kenyataan itu bagaimana pun telah menimbulkan sedikit salah faham, terutama di kalangan ahli dan pendukung PAS sendiri. Gambaran terbentuk sepintas lalu seolah-olah petikan itu sebahagian kenyataan media dibuat khas oleh Presiden PAS itu.

Penulis sendiri menerima beberapa panggilan telefon daripada rakan dan kenalan, terutama dari luar Terengganu, yang menuntut faham keadaan sebenar. Rata-rata mereka beranggapan seolah-olah sudah berlaku sesuatu yang tidak enak di dalam PAS sehingga menyebabkan, kata mereka, “secara tiba-tiba Tuan Guru mengumumkan hasrat mengundurkan diri” itu.

Namun, setelah diperjelaskan bahawa kenyataan itu hanyalah ulasan Tuan Guru sebagai menjawab soalan diajukan wartawan, tanggapan tadi segera tertepis. Apatah lagi apabila ia disusuli kenyataan dan reaksi beberapa pemimpin utama PAS, yang majoritinya memberikan sokongan padu kepada Dato’ Seri Presiden.

“Hasrat itu bukanlah keputusan muktamad. Beliau (Abdul Hadi) bersedia (tidak bertanding), belum tentu kita (PAS Terengganu) juga bersedia (menerima pengundurannya). Kita menghormati beliau, kepimpinan, karisma dan kesemuanya,” Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mengulas.

“Kita memerlukan beliau untuk bersuara di peringkat Parlimen, kerana sudah banyak jasanya dalam PAS dan pengalaman dalam parti yang mungkin sukar dicari pada pemimpin lain,” itu pula reaksi Ketua Penerangan PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tidak sedikit juga bual bicara yang menjurus kepada kesimpulan bahawa khalayak umum pendukung PAS sebenarnya masih belum bersedia untuk meneruskan perjuangan ini tanpa Tuan Guru bersama. Laman-laman sembang di alam siber malah disarati komen berbentuk rayuan dan harapan agar pengunduran beliau tidak menjadi kenyataan.

“Khidmat dan sumbangan ilmu pengetahuan Tuan Guru sangat diperlukan. Kami akan merasa suatu kehilangan yang besar kiranya Tuan Guru mengundur diri pada waktu ini. Lebih-lebih lagi perjuangan PAS di Sarawak masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari Tuan Guru,” baca surat terbuka dari PAS negeri itu, sepertimana disiarkan laman Harakahdaily.

Penulis melihat episod ini secara tidak sengaja telah menyentap sedikit kelenaan pendukung parti ini daripada bercakap soal kepimpinan berwibawa. Apatah lagi dalam keadaan perubahan pucuk kepimpinan PAS Terengganu yang kelihatan dikuasai khalayak bukan berpendidikan agama.

Sedangkan menurut hasil kaji selidik lima badan bebas, rakyat Terengganu (responden) masih meletakkan perkara agama sebagai salah satu keperluan mereka daripada parti pemerintah. Di masa sama majoriti mereka juga mengakui bahawa PAS lebih mampu menjaga agama berbanding Umno.

Mengambilkira hakikat itu, sudah tentu tahap keperluan kepada bimbingan dan tunjuk ajar daripada para ulama, terutama Tuan Guru Abdul Hadi sendiri, masih menggunung di kalangan rakyat Terengganu. Maka, mengundurkan diri bukan pilihan tepat baginya buat masa ini.

“(Saya) minta kepada Allah supaya dia sihat dan terus memimpin (PAS dan rakyat)... saya tak setuju dengan keputusan dia nak berhenti,” tegas Nik Abdul Aziz lagi.

Pengakuan pelbagai pihak terhadap kewibawaan beliau, lebih-lebih lagi penegasan oleh Mursyidul Am PAS itu, membuktikan betapa khidmat dan kepimpinan Tuan Guru Abdul Hadi masih diperlukan. Ia sekaligus menyangkal dakwaan pihak tertentu sebelum ini kononnya kepimpinan beliau sudah tidak relevan dan PAS perlu menukar pemimpin lain sebagai Presidennya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1714, 6 Februari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F22 dengan tajuk sama)

Thursday, February 2, 2012

Umat Islam masih perlukan Tuan Guru Abdul Hadi

Oleh: Mat Zain Mat Isa


Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa apa yang sedang dialami oleh Ustaz Azhar Idrus mutakhir ini bagaikan mengulangi ‘Fenomena Hadi Hadi’ tiga dekad lalu. Kedua-dua fenomena itu mungkin tidak seratus peratus serupa, sehingga ke tahap boleh disebut sebagai ‘saling tak tumpah’. Namun, dua gelombang kesedaran masyarakat dicetuskan dua ulama itu di zaman masing-masing secara umumnya berkongsi banyak persamaan.

Kedua-dua tok guru itu orang Terengganu. Butir ucapan mereka sarat dengan kalimah atau istilah baku negeri itu. Sebab itu bagi sesetengah khalayak, mendengar lenggok bahasa dan hamburan slanga Terengganu yang pekat oleh Ustaz Azhar bagaikan mengembalikan nostalgia kepada ucapan berani dan berapi seorang ulama muda negeri itu pada 80-an dulu.

Mereka agak berbeza dalam aspek gaya bahasa dan corak penyampaian. Sementara kuliah Ustaz Azhar lebih dihiasi gelak tawa dan usikan santai, butir ucapan Tuan Guru Abdul Hadi pula lebih serius. Namun, lontarannya yang bernas beserta huraiannya yang jelas dan meyakinkan sememangnya menepati suasana perkembangan masyarakat tatkala itu.

Apatah lagi atmosfera politik tiga dekad lalu memang memerlukan ucapan yang berapi-api dan membakar semangat pendengar, terutama bagi mendepani tribulasi parti pemerintah yang agak keras dan kekadang tidak waras.

Majlis-majlis ceramah PAS di zaman itu pula agak sinonim dengan insiden bom asap, sekatan jalan raya, kepungan polis dan sabotaj Umno. Justeru, sekalian pihak yang terlibat menjayakan majlis sebegitu bekerja dalam mood serius dan tegang, sehingga langsung tidak terfikir untuk memberi ruang kepada ucapan berbentuk jenaka atau gelak tawa.

Biar pun berbeza dari sudut pendekatan itu, kemasyhuran Ustaz Azhar dan Tuan Guru Abdul Hadi sama-sama bertitik-tolak daripada majlis ilmu mereka. Dalam ertikata lain, minat dan sanjungan masyarakat terhadap mereka berdua ialah kerana ceramah atau kuliah mereka yang sangat berkesan memaut hati pendengar di zaman masing-masing.

Sebab itu di mana saja mereka berucap akan dihadiri lautan manusia. Para pendengar pula bagaikan tidak puas setakat mengikuti penuh minat siri ceramah atau kuliahitu. Kebanyakan mereka selalunya akan mendapatkan pita rakaman ucapan tokoh ini, sama ada untuk didengar semula berkali-kali atau dengan niat untuk diperdengarkan kepada orang lain pula.

Seperkara turut dikongsi mereka berdua ialah tahap sokongan dan minat yang ditunjukkan golongan muda. Walau pun Tuan Guru Abdul Hadi tidak pernah dinobatkan oleh mana-mana pihak sebagai “Ikon Anak Muda”, sepertimana jolokan diperolehi Ustaz Azhar kini, popularitinya di kalangan khalayak itu sebenarnya agak terserlah.

Buktinya bukan sahaja dapat dilihat berdasarkan jumlah kehadiran anak-anak muda berbagai ragam semasa beliau berceramah (di zaman kemuncak “Fenomena Haji Hadi” dulu), malah kaset rakaman ucapan dan kuliahnya menjadi buruan khalayak itu, termasuk siswa-siswi di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Lenggok bahasa dan gaya penyampaiannya menjadi ikutan para pemidato, sama ada di pentas politik mahu pun di kampus-kampus.

Sekali lagi kedua-dua mereka menempuh jalan berbeza dalam menempa kemasyhuran. Jika 30 tahun lalu ucapan tersebar luas hanya secara audio menerusi rakaman kaset, kini ia boleh dinikmati secara audio-visual menerusi cakera padat.

Begitu juga, sementara populariti Ustaz Azhar kini banyak dibantu penyebaran maklumat di internet, sama ada menerusi tayangan youtube mahu pun bual bicara di laman-laman sosial, Tuan Guru Abdul Hadi pula banyak bergantung hanya kepada bual-bicara mulut ke mulut dalam masyarakat.

Namun, populariti diraihnya bukan sahaja membutirkan kebimbangan parti pemerintah, malah turut mencuit perasaan ingin tahu masyarakat antarabangsa. Beliau menjadi bahan ulasan dan sorotan beberapa media luar negara.

Para wartawan daripada Jerman, Jepun, Amerika Syarikat mahu pun negara-negara umat Islam antara yang pernah menerjah rumahnya untuk mendapatkan komen Tuan Guru berhubung perkembangan politik Malaysia.

Majalah Asiaweek pernah beberapa kali menjadikan beliau sebagai penghias muka depannya, begitu juga majalah Far Eastern Economic Review. Ulasan dan sorotan di dalamnya seakan menobatkan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai pemimpin Islam paling berpengaruh, bahkan dibayangkan sebagai bakal peneraju pemerintahan Malaysia.

Apatah lagi, berbeza dengan Ustaz Azhar yang tidak terlibat dalam hierarki parti, Tuan Guru Abdul Hadi sejak sekian lama memang disarati dengan berbagai amanah kepimpinan. Komitmen dan konsistensinya dalam menyempurnakan setiap aktiviti parti melibatkan dirinya adalah suatu yang amat sukar digalang-ganti.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kesediaannya untuk tidak bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tidak disenangi pelbagai peringkat dalam parti. Mereka bagaikan sepakat bahawa perjuangan Islam ini masih memerlukan khidmat bakti dan suntikan semangat daripada Tuan Guru!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil:1713, 3 Februari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' N5 dengan tajuk sama)

Wednesday, February 1, 2012

Jangan Bersedih! (Laa Tahzan) - Bersama Kesulitan Ada Kemudahan

Oleh: Mohd Nasir Awang

 Karangan: Dr Aidh Al-Qarni
Penerbit: Pustaka At-Tibyan, Solo (edisi bahasa Indonesia).

Tidak dapat dipastikan apakah faktor utama mendorong Dr Aidh Al-Qarni menyusun buku Laa Tahzan. Namun, yang semua orang pasti kini, hasil kerjanya ini telah berjaya mencapai nilai jualan menakjubkan. Ia bukan sahaja menjadi buku terbaik di pasaran (bestseller) dalam edisi asalnya (bahasa Arab), tetapi turut laris dalam edisi-edisi terjemahannya, sama ada dalam bahasa Inggeris, mahu pun bahasa Indonesia.

Buku ini dianggap seolah-olah membentangkan kaedah penyelesaian kepada beraneka permasalahan meruntun jiwa mengikut pendekatan dan cita rasa tersendiri penulisnya. Tidak syak lagi, meneliti bait-bait penghujahannya, ia sebenarnya disusun menepati kehendak Ilahi dan selari dengan jalan ditunjuk Nabi saw.

Selain gaya bahasanya yang memikat dan perumpamaan-perumpamaan yang realistik dengan kehidupan, buku ini turut dipenuhi berbagai kisah menarik dan pengalaman yang menjadi pengajaran.

Ia turut memuatkan sejumlah riwayat dari para sahabat yang soleh dan para tabien, selain pandangan para ulama yang berkaitan tajuk dibicarakan. Ia juga memaparkan ratusan bait syair dari para pujangga besar. Tidak ketinggalan diselitkan ialah pandangan dan nasihat dari para pakar perubatan dan ilmuan.

Menariknya, Dr Aidh Al-Qarni memilih kaedah tersendiri yang pelbagai dalam menampilkan hujah dan ulasannya. Buku ini merupakan kombinasi berbagai bahan ilmiah secara yang diadun dan disusun dalam bentuk sangat unik dan sistematik.

Tidak syak lagi Laa Tahzan merupaka hasil penelitian yang sangat cermat oleh penulis sendiri terhadap pergolakan jiwa manusia, khususnya tatkala mereka dirundung duka dan kesedihan. Sebab itu keseluruhan pembicaraannya memfokuskan kepada kaedah menangani perasaan gelisah, hati yang cemas dan resah, jiwa yang putus asa atau mengalami tekanan emosi yang berat dan berbagai situasi seumpamanya.

Edisi terjemahannya dalam bahasa Indonesia didatangkan dalam dua jilid, yang tiap-tiap satunya menyajikan pembaca dengan pecahan beratus tajuk kecil. Setiap satu subtajuk itu pula membicarakan permasalahan yang khusus. Senarai panjang tajuk-tajuk kecil itu dengan sendirinya menggambarkan ketelitian dan kehalusan bicara penulis berhubung sesuatu perasaan secara spesifik.

Antara subtopik itu ialah ‘Yang lalu, biarlah berlalu’, ‘Kita masih lebih beruntung dari Orang Lain’, ‘Jangan Bersedih, Jangan Putus Asa dari Rahmat Allah’, ‘Jangan Bersedih: Jadilah Diri Sendiri!’, ‘Jangan Stress: Depresi Adalah Jalan menuju Sengsara’, ‘Jangan Sedih Kerana Sikap Orang terhadap Kita, Lihatlah Perbuatan Mereka terhadap Rabbnya’ dan beratus lagi seumpamanya.

Tidak rugi anda memiliki naskhahnya, malah tidak akan sia-sia jika anda membacanya! – MOHD NASIR AWANG.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)

Al-Hasan al-Basri – sering menangis takutkan dosa

Oleh: MOHD NASIR AWANG 

DI ANTARA faktor yang membuahkan keberkatan hidup bagi seseorang ialah apabila dia benar-benar beramal dengan ilmunya, serta mendahulukan dirinya dalam berbuat sesuatu yang disampaikannya kepada orang lain.

Itulah antara sifat terpuji yang dimiliki oleh para sahabat Nabi saw, para tabien, tabie tabien dan khalayak yang mengikuti jejak hidup mereka hingga ke hari kiamat. Salah seorang yang dikenalpasti benar-benar beramal dengan segala kata-katanya ialah Al-Hasan Al-Basri.

Khalid bin Shafwan, yang tinggal berjiran dengan Al-Hasan, pernah mengakui ketulusan peribadinya itu dengan katanya, “aku adalah tetangganya (Al-Hasan) yang dekat, orang-orang yang menghadiri pengajiannya sangat ramai. Antara perkataan dan perbuatannya tidak ada bezanya dan dia selalu mengamalkan apa yang dinasihatkannya. Jika dia memerintahkan kepada masyarakat untuk melakukan kegiatan amal, maka dia adalah orang yang pertama melakukannya. Jika dia melarang mereka tentang sesuatu, pasti dia adalah orang yang pertama meninggalkannya. Aku melihat dia orang yang tidak banyak bergantung kepada orang lain, walau pun ramai orang yang memerlukan dirinya.”

Nama penuhnya ialah Abu Said Al-Hasan bin Abi Al-Hasan Yasar al-Basri. Menurut riwayat yang masyhur, beliau dilahirkan dua tahun sebelum Khalifah Umar bin al-Khattab ra dibunuh. Ertinya, beliau bukan di kalangan sahabat Rasulullah saw, bahkan tidak sempat dengan zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra.

Bagaimana pun, Al-Hasan diriwayatkan sempat berguru dengan beberapa sahabat. Antara yang terbilang ialah Saidina Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Saidatina Aisyah, Ar-Rabi’ bin Zaid, Ubay bin Kaab, Saad bin Ubadah, Abu Hurairah dan ramai lagi. Bahkan, sebilangan sahabat Nabi saw sempat menjadi sahabat Al-Hasan.

Di antara sahabat-sahabatnya yang masyhur termasuklah al-Mughirah bin Syu’bah, Abdurrahman bin Samurah, An- Nu’man bin Basyir, Anas bin Malik, Abu Hurairah, Ibnu Abbas dan beberapa yang lain.

Keilmuan dan Ketrampilannya
Ketinggian ilmunya menjadi sanjungan khalayak ilmuan, bukan sahaja di kalangan generasi selepasnya, bahkan di kalangan yang sezamannya. Bahkan, dari beberap sudut, Al-Hasan disifatkan menyerupai para sahabat Rasulullah saw.

Itulah apa yang pernah diungkapkan oleh Abu Burdah. Katanya, “aku belum pernah melihat seorang pun yang menyerupai para sahabat Rasulullah saw kecuali dia (Al-Hasan).”

Humaid bin Hilal pula berkata, “Abu Qatadah pernah berkata kepada kami, “patuhilah (ikutilah ajaran) orang tua ini (Al-Hasan), kerana aku belum pernah melihat seorang pun yang menyerupai pendapat Umar bin al-Khattab kecuali dia.”

Dia juga diakui sangat kuat daya ingatan tentang ilmu dipelajarinya. Diriwayatkan sekali peristiwa Anas bin Malik ditanya orang mengenai suatu permasalahan. Dia (Anas) lantas berkata, “seeloknya kamu bertanyalah kepada Al-Hasan. Sesungguhnya kami telah mendengar (pengajian ilmu) dan dia juga mendengarnya bersama kami, akan tetapi dia masih tetap hafal sedangkan kami sudah lupa.”

Dalam riwayat lain, Anas bin Malik dipetik sebagai berkata, “bertanyalah kepada Al-Hasan, kerana dia orang yang kuat hafalannya, sedang kami terkadang lupa.”

Penguasaan ilmunya yang luas dalam pelbagai bidang juga meletakkannya di tahap mengatasi sebilangan tabien lain. Berkata Az-Zabi, “dia (Al-Hasan) adalah seorang yang banyak kebaikannya (kepada umat) dan baik pula tabiatnya. Dia adalah pelopor di bidang hadith, balaghah, al-Quran dan tafsirnya serta cabang-cabang ilmu yang lain. Dia juga imam bagi para mujtahid, banyak membaca, pandai memberikan nasihat dan peringatan, mampu menahan amarah dan ahli ibadah, zuhud dan jujur serta berkeberanian.”

Dari Muhammad bin Saad pula, dia berkata, “Al-Hasan adalah orang yang suka melakukan solat berjamaah, banyak ilmu pengetahuan, terhormat, ahli fiqh, dapat dipercayai, pandai berdebat, ahli ibadah, berperawakan sempurna, fasih berbicara dan tampan mempesona.”

Al-Asy’ats turut memuji kealiman Al-Hasan dengan katanya, “aku belum pernah bertemu dengan seseorang (alim) setelah Al-Hasan, kecuali kecil dalam pandanganku (dari segi ilmu pengetahuannya).”

Justeru, tidak hairanlah apabila Ayyub melontarkan perbezaan ketara antara butir ucapan Al-Hasan berbanding generasi kemudian. Katanya, “apabila Al-Hasan mengucapkan suatu perkataan, ia seumpama butiran mutiara. Sebaliknya, perkataan yang keluar dari kaum sesudahnya ibarat muntahan orang sakit.”

Disebabkan ketinggian ilmunya Al-Hasan dijadikan tempat rujuk sebagai pemutus letak duduk sesuatu amalan yang dipertikaikan. Contohnya, berhubung membacakan ayat-ayat al-Quran untuk jenazah.

Diriwayatkan Hajjaj bin Arthah pernah bertanya kepada Atha’ tentang amalan itu. Atha’ berkata, “aku belum pernah diajari dan belum pernah mendengar bahawa Baginda saw pernah membacakan al-Quran kepada jenazah.”

Lalu Hajjaj menjawab, “sesungguhnya Al-Hasan pernah berkata, “Baginda saw membacakannya”.”  Mendengarkan penjelasan itu, Atha terus menyambung, “kamu hendaklah mengambil pendapat itu, kerana dialah (Al-Hasan) imam yang besar dan berhak untuk diikuti.”

Mengkhususkan Pengajiannya
Sebagaimana telah diakui oleh jirannya, Khalid bin Shafwan, Al-Hasan membuka kelas pengajian sendiri di rumahnya. Beliau bagaimana pun mengkhususkan pengajian itu untuk membahas ilmu berkisar ibadah, kezuhudan dan ilmu-ilmu kebatinan sufi. Sehinggakan jika pun ada di antara para jemaah yang hadir menanyakan kepadanya tentang sesuatu di luar daripada tema tersebut, Al-Hasan akan menutupnya dengan berkata, “kita membuat kelompok ini bersama dengan saudara-saudara kita di sini hanya untuk saling mengingatkan.”

Berbeza halnya dengan pengajiannya di masjid. Di situ Al-Hasan banyak membicarakan tentang hadith, fiqh, ilmu-ilmu al-Quran, bahasa dan beberapa cabang ilmu lainnya. Bahkan, sekiranya ada hadirin bertanyakan tentang tema sufi dan yang lain, pasti dia mahu menjawabnya.

Zuhud dan Takutkan Allah
Abu Nu’aim pernah menyifatkan Al-Hasan sebagai seorang “ahli fiqh yang zuhud, tekun beribadah dan dermawan, sangat menjauhi gemerlapan dunia dengan segala keindahannya serta menjauhi syahwat dan menghalaunya jauh-jauh hingga tidak kembali.”

Bahkan Al-Hasan sendiri diriwayatkan pernah berkata, “seorang mukmin (sejati) adalah yang mengetahui apa yang difirmankan Allah dengan sebenar-benarnya, yang berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan selalu takut kepadaNya. Jika dia menyedekahkan hartanya walau pun seberat gunung, dia akan tetap merahsiakannya, dia tidak mampu merasa sebagai orang yang baik dan soleh kecuali hanya akan menambah kejauhannya dengan Allah, dan dia akan berkata (kepada dirinya sendiri), “aku tidak mungkin selamat dari seksa Allah”.”

Menghindari Harta
Dari Hisyam bin Hisan, dia berkata, “aku pernah mendengar Al-Hasan berkata atas nama Allah, “tidak ada seorang pun yang mengagungkan harta kecuali Allah akan memperhinakannya”.”

Hazm bin Abi Hazm pula berkata, beliau pernah mendengar Al-Hasan berkata, “berhati-hatilah dari dua teman; dinar dan dirham. Kedua-duanya tidak akan memberikan manfaat apa pun kepadamu hingga kamu meninggalkannya.”

Bersedih dan Takutkan Dosa
Abu Nu’aim pernah memuji sifat mulia dimiliki Al-Hasan. Katanya, “di antara para tabien itu ada yang menjadikan takut dan rasa sedih sebagai teman, berkawan dengan kesusahan dan kehidupan yang sukar serta tidur yang sedikit. Dialah Abu Said Al-Hasan bin Abi Al-Hasan.”

Komen serupa turut disuarakan Ibrahim bin Isa Al-Yasykari. Katanya, “aku belum pernah melihat seorang pun yang lebih lama (mampu merasakan) sedih daripada Al-Hasan, aku melihatnya sebagai orang yang menjadi perbualan umum kerana musibah yang menimpanya.”

Bahkan kesedihan Al-Hasan bukan semata-mata kerana kesusahan hidupnya. Beliau malah sering menitiskan air mata tatkala membaca al-Quran, sehingga diriwayatkan air matanya membasahi janggutnya.

Dari Hisyam bin Al-Hasan, dia berkata, “sesungguhnya dia adalah seorang mukmin yang selalu sedih pada waktu pagi dan petang hari, dia mudah merasa sedih kerana Allah.”

Tabiat itu tidak sukar difahami, memandangkan Al-Hasan sangat takut terjerumus kepada dosa, walau pun dia seorang yang dikenali alim terbilang. Untuk itu beliau pernah menegaskan, “sesungguhnya seorang mukmin akan bersedih pada waktu pagi dan petang hari, dan tidak ada yang selain itu, kerana seorang mukmin itu berada di antara dua ketakutan (kekhuatiran); antara dosa yang telah lalu; dia tidak tahu apa yang akan dilakukan Allah terhadap dosa-dosa itu dengan umur yang masih tersisa dan dia juga tidak tahu apa yang akan menimpanya nanti.”

Di ketika lain dia berkata, “wahai anak Adam, menjauhi kesalahan dan dosa itu lebih mudah bagi kamu daripada bertaubat. Kerana tidak ada yang menjamin bahawa ketika kamu banyak berdosa, pintu taubat tidak akan ditutup.”

Meninggal
Az-Zahabi berkata, “dia (Al-Hasan) meninggal dunia pada awal Rejab tahun 110 Hijriyah. Terlalu ramai anggota masyarakat datang menziarahi jenazahnya dan melakukan solat jenazah seusai solat Jumaat di Basrah. Menurut anaknya, Abdullah bin Al-Hasan, “ayah meninggal pada usia 88 tahun.” MOHD NASIR AWANG

Rujukan: 60 Biografi Ulama Salaf oleh Syaikh Ahmad Farid, hlmn. 114-125. Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2009.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan ULAMA PEWARIS NABI dengan tajuk sama)

Abu Bakar as-Siddiq - manusia termulia selepas para anbiya’

Oleh: MOHD NASIR AWANG

RASULULLAH saw pernah bersabda: “Tidak seorang pun yang mempunyai jasa baik kepada kami melainkan kami telah membalasnya, kecuali Abu Bakar. Sesungguhnya dia mempunyai jasa mulia, Allah yang akan membalasnya di hari kiamat. Aku tidak mengambil manfaat dari harta seseorang seperti aku mengambil manfaat dari harta Abu Bakar. Seandainya aku boleh mengangkat seorang kekasih nescaya aku menjadikan Abu Bakar sebagai kekasih.”

Hadith ini dianggap perisytiharan secara terbuka oleh Nabi Muhammad saw mengenai ketinggian darjat dan martabat Saidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Bahkan, kedudukannya sebagai insan paling mulia dan dihormati selepas Rasulullah saw turut diakui oleh sekalian para sahabat ra ajmain.

Pada dirinya tersemat pelbagai keistimewaan dan keunggulan yang tidak dimiliki mana-mana individu lain. Dialah sahabat terbaik dan insan paling rapat dengan Muhammad saw. Mereka berdua malah telah menjadi teman karib sejak sebelum Baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul.

Abu Bakar mengetahui kejujuran, amanah, kebaikan tabiat dan kemuliaan akhlak Nabi. Dia tahu Baginda tidak akan bercakap dusta. Sebab itu, setiap kali Rasulullah menyampaikan sesuatu, yang walau pun dipertikaikan pihak lain, hati Abu Bakar pasti akan berkata “aku belum pernah mengetahui engkau berdusta”.

Dialah orang yang tidak pernah teragak-agak membenarkan Nabi pada saat orang mendustakan Baginda. Keyakinan yang tinggi dan tidak berbelah bahagi itu melayakkannya mendapat gelaran ‘As-Siddiq’.

Dia menjadi penolong setia Nabi di saat orang ramai membenci Baginda. Dia mengisytiharkan keimanan di kala masyarakat engkar dan kufur. Bahkan, dialah pemilik tangan pertama yang dihulurkan kepada Rasulullah untuk mengikrarkan syahadah dan berikat setia.

Hatinya bersih, jiwanya pengasih dan tingkahnya pemalu, walau pun tegas. Dia juga dijaga oleh Allah Ta’ala sehingga bersih dari noda-noda jahiliyyah. Bayangkan betapa hebat takdir Ilahi untuknya apabila dia tidak pernah sujud kepada berhala di sepanjang hidupnya, walau pun sekali.

Abu Bakar juga tidak pernah meminum arak, walau seteguk. Sedangkan di zaman itu arak menjadi minuman biasa yang dipuja masyarakat jahiliyyah. Pendekata, dia adalah teladan terbaik dalam segala sudut.

Ibnu Ishak rahimahullah berkata, “Abu Bakar adalah seorang lelaki yang disukai dan dicintai oleh kaumnya. Dia adalah orang Quraisy yang paling tahu tentang nasib Quraisy, orang Quraisy yang paling mengenal Quraisy dan paling mengenal kebaikan dan keburukan yang ada pada Quraisy. Para bangsawan Quraisy menyukainya kerana ilmu dan perniagaannya serta kepandaiannya dalam bergaul.”

Nama sebenarnya ialah Abdullah bin Uthman bin Amar bin Kaab bin Saad bin Taim bin Murrah bin Kaab bin Luay al-Qurasyi at-Taimi. Beliau lebih dikenali sebagai Abu Bakar as-Siddiq bin Abi Quhafah. Beliau dilahirkan di Mina. Nasabnya bertemu dengan nasab Nabi saw pada Murrah bin Kaab.

Selain keperibadiannya yang luhur dan agung, Abu Bakar turut dianugerahkan Allah dengan daya pemikiran yang di luar jangkauan sahabat-sahabat yang lain. Dia berkeupayaan menelah atau membaca sesuatu secara lebih jauh daripada apa yang difahami orang lain.

Beberapa kes atau kejadian di zamannya mengesahkan keistimewaan pada dirinya itu. Antara contohnya ialah kejadian turunnya ayat al-Quran yang mengiktiraf kesempurnaan Islam sebagai dinullah.

Di tahun ke 10 Hijrah, Nabi saw menunaikan ibadah haji. Ketika berada di Arafah Baginda menerima wahyu: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu...” (Al-Maaidah 5:3)

Sekalian para sahabat amat gembira mendengar ayat itu dibacakan oleh Rasulullah. Mereka menganggap ia suatu pengiktirafan yang sangat berharga dari Allah Ta’ala terhadap agama yang mereka perjuangkan. Mereka amat berpuas hati dan merasakan betapa jerih-pahit dan segala penghinaan yang mereka terima daripada musuh-musuh Islam sepanjang mempertahankan akidah mereka sebelum itu bagaikan terbayar.

Sementara para sahabat tersenyum puas dan amat lega dengan turunnya ayat tersebut, lain pula reaksi ditunjukkan Abu Bakar. Beliau menilai maksud ayat itu dari sudut yang sama sekali berbeza berbanding sahabat-sahabat yang lain.

Apatah lagi sebelum peristiwa itu, di ketika mengerjakan haji itu juga, Baginda telah pun bersabda: “Ambillah manasik haji kamu dariku, mungkin setelah tahun ini aku tidak bertemu kamu lagi.”

Abu Bakar sudah dapat mencium suatu isyarat tidak menyenangkan daripada sabda Baginda itu dan firman Allah tadi. Kecurigaannya tambah menggunung apabila di dalam khutbah selepas itu, Baginda menyebut pula: “Sesungguhnya Allah meminta seorang hamba untuk memilih antara dunia dengan apa yang ada di sisiNya, lalu hamba tersebut memilih apa yang ada di sisi Allah”.

Abu Said al-Khudri meriwayatkan, “tatkala mendengar penjelasan Rasulullah saw itu, Abu Bakar menangis, dan kami kehairanan dengan tangisannya semata-mata kerana Nabi saw menyampaikan tentang seorang hamba yang diminta untuk memilih. Rupa-rupanya yang diminta untuk memilih itu ialah Rasulullah saw sendiri, dan orang yang paling mengerti maksud tersirat itu di antara kami ialah Abu Bakar”.

Begitulah tingginya firasat dan tajamnya telahan Abu Bakar. Baginya semua itu tanda-tanda bahawa tugas Rasulullah saw sudah sampai ke penghujung. Beliau telah menunaikan amanah dan menyempurnakan misi kenabiannya.

Apabila agama yang diserukannya telah disempurnakan Allah dan nikmat-nikmatNya telah dicukupkan untuk umat Islam, maka apakah lagi tugas yang perlu disempurnakan oleh Baginda? Seorang yang berpandangan jauh seperti Abu Bakar mampu menelah bahawa itu bererti tanggungjawab Nabi Muhammad saw sudah selesai. Ia sekaligus menandakan Baginda bakal dijemput pulang oleh Yang Maha Pencipta dalam masa terdekat itu.

Kejadian kedua ialah apabila Rasulullah saw wafat. Kebetulan ketika itu Abu Bakar tiada di sisi Baginda kerana berada di as-Sunh, sebuah tempat di pinggiran Madinah. Lalu dalam keadaan terkejut dan amat sedih, Umar al-Khattab bangkit memberikan ucapan kepada hadirin.

Beliau berkata, “demi Allah Rasulullah saw tidak wafat. Demi Allah tidak ada sesuatu yang bersemayam dalam jiwaku selain itu. Allah pasti akan membangkitkan beliau.”

Umar malah dikatakan mengugut akan membunuh sesiapa yang berani mengatakan Rasulullah saw sudah wafat.

Aisyah ra meriwayatkan: “Kemudian datanglah Abu Bakar. Dia membuka kain kafan Rasulullah saw dan mencium Baginda. Abu Bakar berkata, ‘ayahku sebagai tebusan untukmu, betapa mulianya dirimu dalam keadaan hidup dan mati. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, Allah tidak akan pernah menimpakan dua kematian kepadamu selama-lamanya’.”

Lalu Abu Bakar keluar mendapatkan orang ramai seraya berkata: “Wahai orang yang bersumpah (dimaksudkannya kepada Umar), tunggu sebentar.” Lalu Umar dan sahabat-sahabat lain memberi perhatian kepada Abu Bakar.

Ketika itulah Abu Bakar menyampaikan ucapannya yang masyhur: “Ketahuilah barangsiapa menyembah Muhammad, maka Muhammad telah wafat. Tetapi barangsiapa menyembah Allah, maka Allah Maha Hidup, tidak mati. Allah telah berfirman: “Sesungguhnya kamu pasti mati dan sesungguhnya mereka juga pasti mati.” (az-Zumar 39:30).

Dia menyambung dengan membacakan firman Allah: “Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (A-li Imran 3:144)

Ucapan Abu Bakar itu dianggap mengesahkan kewafatan Nabi saw. Diriwayatkan tatkala mendengar pengumuman beliau itu, orangramai yang hadir menangis tersengguk-sengguk.

Umar yang tadinya sangat tegas dan keras bagaikan tersentak mendengar Abu Bakar membacakan ayat-ayat tersebut. Kakinya tiba-tiba kaku dan tidak berupaya menahan tubuhnya daripada terjelupuk ke tanah. Umar seakan baru sedar isyarat dari Allah Ta’ala menerusi ayat tersebut, sedangkan sebelum ini dia sudah pernah mendengarnya dibaca orang, bahkan dia sendiri pernah membacanya.

Ibnu Abbas menggambarkan suasana ketika itu dalam katanya, “demi Allah, seolah-olah manusia belum mengetahui bahawa Allah telah menurunkan ayat ini hingga Abu Bakar membacakannya, lalu manusia semuanya menerimanya. Tiada seorang pun manusia yang aku dengar membacanya kecuali dia.”  

Demikianlah sebahagian sifat terpuji dan kelebihan istimewa dimiliki insan paling mulia selepas para anbiya’ dan mursalin ini. Dalam siri akan datang insya Allah akan disambung bicara lanjut mengenai peribadi agung ini. – Mohd Nasir Awang

Rujukan: Sahabat-Sahabat Rasulullah saw (bab Abu Bakar as-Siddiq) karangan Syaikh Mahmud al-Mishri, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, 2010.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)

Keberanian Thawus ranapkan keegoan khalifah


Oleh: Mohd Nasir Awang

Khalifah Hisyam bin Abdul Malik adalah salah seorang ketua kerajaan Islam di zaman pemerintahan Bani Umayyah. Suatu ketika Hisyam berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Tatkala sampai ke situ, perkara pertama dimintanya ialah: “Bawalah kepadaku seorang sahabat Nabi (saw), kalau masih ada, aku hendak berjumpa dengan dia.”

Tidak sepertimana kebiasaan bagi pembesar-pembesar negara, pada kesempatan berada di perhimpunan yang dihadiri manusia dari segenap pelusuk benua itu, Hisyam tidak meminta untuk berjumpa dengan saudagar-saudagar atau pun jutawan ternama dan orang-orang yang mempunyai kekayaan duniawi. Sebaliknya, beliau memilih untuk bertemu para alim-ulama.

Maka diberitahulah kepadanya bahawa sahabat Nabi saw sudah tidak ada lagi, kesemua mereka sudah wafat. Lalu Hisyam mengarahkan mereka menjemput mana-mana tabien (generasi selepas sahabat Nabi saw). Lalu mereka pun menjemput seorang tabien bernama Thawus bin Kaisan al-Yamani. Beliau merupakan seorang alim yang sangat taat dan tegas dalam mengamalkan suruhan dan larangan agama, berbekalkan ilmunya yang sangat tinggi.

Sebagai menghormati Amirul Mukminin yang datang hanya sekali-sekala ke Mekah, Thawus memenuhi undangan tersebut. Bagaimana pun, tanpa disangka oleh sesiapa yang hadir, peribadi agung itu rupa-rupanya mengambil kesempatan di atas peluang terhidang di hadapannya untuk mengajarkan khalifah mengenai adab pergaulan sebenar menurut Islam.

Untuk itu, apabila Thawus masuk ke majlis sembah mengadap Hisyam, beliau terus membuka kasut seraya memberi salam dengan ucapan, “assalamualaika ya Hisyam”. Perbuatannya itu menyebabkan semua hadirin, termasuk Hisyam sendiri, terkejut dan kehairanan.

Membuka kasut dalam majlis-majlis besar seperti itu (majlis ketua negara) adalah satu penghinaan dalam pandangan mereka. Begitu juga apabila sekadar menyebut nama pembesar, tanpa mengiringi sebutan itu dengan gelaran-gelaran bersesuaian. Tetapi itulah yang dibuat oleh Thawus dan diperhatikan oleh Hisyam dengan perasaan amat terganggu.

Kemudian, Thawus terus duduk berdekatan khalifah seraya bertanya, “apa khabar Hisyam?” Pertanyaan itu benar-benar mengusik kesabaran sang khalifah. Kemarahannya memuncak sehingga menyebabkan beliau berhasrat mengeluarkan pedangnya untuk membunuh Thawus.

Melihatkan keadaan itu, para pembesar di sekelilingnya segera mengingatkan Hisyam bahawa mereka sedang berada di Haramillah wa Haramirrasul (Tanah Haram Mekah). Perbuatan berbunuhan sememangnya diharamkan di kawasan suci lagi mulia itu.

Bagaikan tidak dapat membendung perasaan tidak selesanya, Hisyam lantas bertanyakan Thawus mengenai perlakuannya itu.  “Ya Thawus, apakah yang menyebabkan kamu berkelakuan sebegini?”

Thawus bertanya balas: “Apa yang aku buat?”

Pertanyaan itu membuatkan hati Hisyam bertambah hangat. Baginya, Thawus sengaja mempersenda-senda dan memalukannya. Lebih-lebih lagi perkara itu berlaku di hadapan khalayak pembesar dan tetamu negara.

Bagaimana pun teringatkan beliau sedang berada di Tanah Haram, Hisyam memendamkan perasaan marahnya. Beliau sebaliknya menjelaskan satu-persatu kebukuan hatinya terhadap perlakuan Thawus.

“Tadi kamu masuk ke majlis dengan membuka kasut, kamu memberi salam kepada aku tanpa menyebut Amirul Mukminin, kamu sebut Hisyam sahaja. Kemudian kamu terus duduk depan aku tanpa terlebih dahulu meminta izin, dan kamu bertanya aku, ‘apa khabar Hisyam?’, sekali lagi tanpa menyebut gelaranku (Amirul Mukminin)”, Hisyam menghuraikan.

Thawus hanya tersenyum mendengar luahan sang khalifah itu. Beliau lantas menjelaskan: “Ada pun aku buka kasut di hadapan majlis engkau kerana aku juga membuka kasut di hadapan Tuhanku sekurang-kurangnya lima kali sehari (untuk solat) dan Dia tidak menghukum aku. Mengapa pula di hadapan engkau tidak boleh?”

Jawaban itu bagaikan memaku perhatian Hisyam. Melihatkan keadaan itu, Thawus meneruskan syarahannya. “Ada pun aku memberi salam tanpa menyebut Amirul Mukminin, kerana aku tahu bukan semua orang suka kepada pemerintahan engkau. Jadi aku tidak mahu berdusta di hadapan engkau,” ujarnya berterus-terang.

“Mengapa aku tidak sebut gelaran engkau? Sebab Allah SWT memanggil para nabi dan auliya’-Nya dengan nama-nama mereka, bukan dengan gelaran. Dipanggilnya “Ya Daud”, “Ya Yahya”, “Ya Isa”. Begitulah Allah Ta’ala memanggil nabi-nabi-Nya yang lain dengan nama-nama mereka. Sebaliknya Allah Ta’ala memanggil musuh-musuh-Nya dengan gelaran-gelaran mereka, sepertimana dalam kes Abu Lahab. Jadi, apakah engkau ini musuh Allah, sehingga aku perlu panggil dengan gelaran engkau?”

Penjelasan itu makin menyesakkan dada Hisyam. Lalu Thawus menyambung lagi, “sebab aku terus duduk di hadapan engkau tanpa meminta izin ialah kerana Saidina Ali pernah berkata, ‘kalau kamu hendak melihat ahli neraka, kamu lihatlah seorang yang duduk sedangkan dia meminta orang lain berdiri mengiringinya’. Dialah ahli neraka. Sebab itu aku datang terus duduk, aku tidak mahu berdiri kerana aku mahu menyelamatkan engkau”.

Hisyam amat terpukul dengan huraian itu. Beliau yang tadinya marah bertukar menjadi hiba dan insaf akan kejahilannya berhubung ajaran agama. Hatinya yang keras serta-merta menjadi lembut, lantas tanpa silu beliau berkata kepada Thawus: “Nasihatkanlah aku lagi”. - Editor

Rujukan: Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor, Aqidah dan Perjuangan, hlmn. 70-73. Pustaka Sinaran, Kuala Terengganu, 1992.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 2 (Februari 2012) di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)