Sunday, January 1, 2012

Ukuran anak cemerlang bukan hanya pada straight-A

Oleh: Mohd Nasir Awang

PERTENGAHAN November lalu, penulis buat kesekian kalinya menerima jemputan untuk menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan 2011daripada pihak sekolah tempat anak-anak sedang belajar. Berdasarkan amalan lazim dalam kalendar tahunan, dapat ditelah bahawa majlis itu diadakan sebagai penutup penggal persekolahan sessi lalu.

Namun bukan semua murid dilibatkan untuk menjayakan program separuh hari itu. Sepertimana nama diberikan kepadanya, majlis itu secara khusus melibatkan hanya murid-murid yang mendapat keputusan terbaik dalam pelbagai kategori penilaian akademik ditentukan pihak sekolah. Dua anak penulis adalah antara lebih 100 murid yang termasuk dalam senarai tersebut.

Selain slot penyampaian anugerah yang merupakan kemuncak majlis itu, seperkara yang turut menarik perhatian hadirin ialah ucapan perasmiannya. Biar pun pengucapnya bukan tokoh dijemput khas, sebaliknya hanya Tuan Guru Besar sekolah tersebut sendiri, butir-butir ucapannya amat memaut tumpuan dan mengusik perasaan para ibu bapa. Beliau antara lain melontarkan takrif kecemerlangan dalam skop pemahaman yang lebih luas.

“Walau pun pada zahirnya majlis anugerah kecemerlangan hari ini adalah untuk merai dan mengiktiraf kejayaan anak-anak kita mencapai tahap cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum sepanjang tahun ini, ia juga sebenarnya secara tersirat merupakan keraian untuk para ibu bapa cemerlang yang hadir pagi ini. Pada saya, anak-anak yang cemerlang adalah hasil asuhdidik ibu bapa yang cemerlang juga. Maka tuan-tuan dan puan-puan yang ada di hadapan saya ini adalah sebenarnya para ibu bapa yang cemerlang”, ujarnya.

Berderau juga darah penulis mendengar penegasan itu. Rasa bangga dan ‘kembang hidung’ pun turut terlintas di benak fikir apabila merasakan pujian itu turut ditujukan kepada diri ini.

Lagi pun, secara logiknya memang dapat kita rasionalkan hujah Tuan Guru Besar itu. Setiap daripada kita khususnya yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak memang tidak sukar mengakui betapa kita sebenarnya telah memainkan peranan signifikan dalam mengasuhdidik anak-anak. Biar pun secara informal, kita sebagai ibu bapa adalah ‘guru pertama’ kepada anak-anak kita sendiri.

Justeru, kita boleh bersetuju dengan tafsiran Tuan Guru Besar tadi, bahawa kecemerlangan seseorang anak itu sebenarnya bertitik-tolak daripada kecemerlangan asuhdidik kedua ibu bapanya. Dalam ertikata lain ibu bapa yang cemerlang telah memulakan pendidikan awal anak-anak mereka di rumah, sekurang-kurangnya buat beberapa tahun sebelum para guru mengambil alih tugas itu di prasekolah dan sekolah.

Mungkin tidak semua antara kita  ada kemampuan atau kesempatan mengajar ABC dan alif-ba-ta kepada anak-anak. Namun tidak sedikit antara kita meluang masa mengajar anak-anak mengaji al-Quran sebelum menghantar mereka berguru secara rasmi dengan pihak lain. Kita juga menunjuk ajar tatacara mengerjakan solat pada peringkat asas di rumah sebelum anak-anak menimba pemahaman dan praktik lebih mantap di luar sana. Guru-guru di sekolah pula menyambung dan memperelokkan lagi proses pendidikan tersebut.

Sementara sebahagian ibu bapa selepas itu terus memainkan peranan terbaik mereka memastikan perkembangan positif pendidikan anak-anak, ada juga yang mengambil sikap seakan berlepas tangan. Tidak sedikit kini ibu bapa yang “menswastakan” sepenuhnya proses pendidikan anak-anak kepada pihak sekolah atau pusat asuhan. Kononnya ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya dan tidak mempunyai masa untuk meneruskan asuhdidik anak-anak.

Lebih-lebih lagi ada ibu bapa beranggapan kononnya hanya pihak sekolah atau guru-guru yang lebih arif dan mahir dalam menentukan aspek atau sukatan pendidikan yang bagaimana yang diperlukan anak-anak apabila memasuki alam persekolahan. Pegangan ini diperkukuhkan lagi dengan persepsi bahawa kecemerlangan anak-anak adalah sepenuhnya bergantung kepada prestasi dan pencapaian akademik mereka.

Di sinilah silapnya penilaian kita. Memang boleh dikatakan semua ibu bapa mengharapkan anak-anak menjadi murid yang cemerlang. Namun setiap kali perkataan cemerlang diungkap, yang segera telintas di fikiran dan gambaran ialah kejayaan anak-anak mencapai tahap terbaik dalam akademik dan kokurikulum.

Sedangkan takrif cemerlang itu sepatutnya jauh lebih luas daripada sekadar pencapaian straight-A, umpamanya. Bagi kita orang Islam, ia sudah semestinya turut meliputi kecemerlangan didikan agama terhadap mereka, yang dizahirkan menerusi kecemerlangan akhlak dan adab mereka.

Amat malang, pencapaian positif anak-anak dalam aspek berkaitan agama, termasuk akhlak dan adab tidak pula dijadikan agenda utama di alam persekolahan mereka. Sebab itu kita tidak pernah dengar diadakan majlis anugerah kecemerlangan khusus untuk pencapaian itu di mana-mana pun. Malah untuk melihat anugerah berkaitan akhlak dan adab diselitkan dalam senarai kategori anugerah di sekolah-sekolah pun agar sukar. Yang digembar-gembur dan memaut keprihatinan masyarakat ialah pencapaian akademik anak-anak mereka.

Bahkan, pengkelasan subjek-subjek akademik itu juga secara jelas meminggirkan subjek agama dan moral. Hakikat ini sudah diamalkan di sekolah sejak sekian lama. Sebab itu dalam ucapan Tuan Guru Besar sekolah tadi, beliau tidak teragak untuk berterus-terang mengenai perkara itu.

Beliau menyentuh soal saringan untuk kenaikan kelas. Menurutnya, pihaknya hanya mengambilkira lima subjek teras sebagai asas penilaian prestasi seseorang murid bagi tujuan pemilihan ke tahap seterusnya. Lima kertas teras itu ialah Bahasa Malaysia Kefahaman, Bahasa Malaysia Penulisan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, iaitu subjek-subjek Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dalam ertikata lain, hanya markah lima kertas tersebut yang dijumlahkan sebagai ukuran pencapaian murid. Justeru, beliau mengingatkan para ibu bapa agar tidak terkejut atau tertanya-tanya sekiranya mengikut congakan mereka markah keseluruhan diperolehi anak-anak berada di kedudukan baik, tetapi tidak dipromosi untuk kenaikan kelas.

Atau mungkin ada yang berdepan risiko terpaksa diturunkan kelas, contohnya daripada kelas ‘A’ ke kelas ‘B’, walau pun jumlah markah kesemua subjeknya melayakkannya kekal di kelas sama.

Walau pun tidak disebut secara terbuka oleh Tuan Guru Besar, hadirin dapat menyimpulkan dari ucapannya itu bahawa subjek agama Islam tidak dijadikan keutamaan oleh sekolah. Dalam perkataan lebih mudah, subjek itu tidak ada nilai akademik. Pencapaian cemerlang dalam subjek itu tidak membantu melonjakkan penilaian prestasi seseorang murid.

Justeru, jika pun anak-anak kita mendapat markah rendah dalam subjek agama, ia tidak menjadi masalah yang merunsingkan pihak sekolah mahu pun ibu bapa. Ia tidak menjejaskan peluang murid-murid untuk naik kelas, selagi mereka cemerlang dalam lima subjek teras itu. Begitu juga dalam menghadapi UPSR.

Lalu sejajar hasrat melihat kecemerlangan anak-anak dalam akademik, seluruh usaha dan kesungguhan ditumpukan ke arah lima subjek tersebut. Sama ada kelas tuisyen yang dianjurkan pihak sekolah sendiri mahu pun pusat tuisyen dioperasikan pihak swasta hanya menumpukan kepada subjek-subjek dimaksudkan. Tidak ada pihak yang berminat menganjurkan kelas tambahan atau tuisyen untuk subjek agama dan seumpamanya.

Anak-anak dibesarkan dalam kepadatan jadual pembelajaran yang secara jelas meminggirkan subjek agama Islam. Hal itu secara tidak langsung menanamkan persepsi dalam pemikiran mereka kononnya untuk memastikan kejayaan masa depan mereka, kecemerlangan dalam ilmu agama tidak perlu dipentingkan.

Keadaan bertambah buruk sekiranya para ibu bapa juga berpendirian serupa. Demi memastikan anak-anak mencapai keputusan akademik yang terbaik, mereka yang berpegang kepada pemahaman sebegini akan hanya memberikan tumpuan kepada subjek-subjek dimaksudkan, sekali gus mengabaikan subjek agama.

Secara tidak langsung kehidupan anak-anak dibiasakan dengan suasana tidak mementingkan ilmu agama. Apabila pengetahuan asas agama tidak diberati sejak usia awal mereka, maka anak-anak cenderung membesar sebagai insan yang longgar pegangan aqidah dan komitmen ibadah mereka.

Apatah lagi sekiranya amalan seharian ibu bapa mereka sendiri turut tidak membantu anak-anak memahami dan menghayati suruhan agama, termasuk antaranya tidak memberati solat lima waktu. Lalu berlakulah apa yang disebutkan pepatah Melayu, ‘bapa borek, anak rintik’ atau ‘ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi’. Logiknya, apabila ibu bapa tidak solat, bagaimana mungkin anak-anak akan terdorong menegakkan rukun Islam itu?

Sebab itu kita dapati ramai ibubapa begitu bersungguh dan berharap agar anak-anak mereka mendapat 5A dalam UPSR, tetapi ibu bapa sama tidak pula sebegitu bersungguh memastikan anak itu menyempurnakan tuntutan LIMA waktu solat fardhu sehari semalam.

Jelas sekali konsep cemerlang itu telah disalahertikan atau disempitkan skopnya. Kita menilai kecemerlangan anak-anak hanya berdasarkan pencapaian akademik mereka, sedangkan di sisi agama ukuran kecemerlangan mereka bukan sekadar pada kemampuan memperolehi straight-A dalam peperiksaan. Mereka mestilah juga cemerlang dalam menjunjung suruhan dan larangan Tuhan.

(Artikel ini disiarkan majalah ERA Muslimah, Edisi 2 (Januari 2012) di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

Menggalas tugas menyemarakkan Sunnah


Assalamu’alaikum warahmatullah,


Salam perkenalan kepada para pembaca diiringi ucapan setinggi syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas kudrat dan iradat-Nya jua maka akhirnya hasrat kami menerbitkan semula majalah Dian dapat direalisasikan. Sepertimana rencam dan pelbagainya halangan dan dugaan yang terpaksa kami hadapi dalam merealisasikannya, maka begitulah juga perasaan menyelubungi kami sepanjang usaha tersebut.

Perasaan kami bercampur-baur antara gembira, berdebar dan gusar. Tidak kurang juga sedih dan terusik. Kami gembira kerana dari sekalian banyak penerbit dan sebegitu ramai aktivis di dunia penulisan, kami bertuah dipilih Allah Ta’ala untuk memuktamadkan hasrat menerbitkan sebuah majalah berorientasikan ilmu Islam ini. Majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah adalah majalah agama yang akan memfokuskan isinya kepada matlamat menyebarluaskan ilmu-ilmu agama mencakupi pelbagai disiplin atau jurusan ilmu.

Tambah menggembirakan kami apabila sebilangan ilmuan Islam menyatakan kesediaan berkongsi ilmu, terutama berkait bidang ilmu masing-masing mengikut pengkhususan pengajian mereka. Maka kami sebagai penyedia medan untuk mereka salurkan ilmu kepada khalayak umum turut merasa bertuah menjadi penyumbang menyemarakkan ilmu Islam dalam masyarakat, insya Allah.

Debaran dan kegusaran bagaimana pun turut terasa, terutama bagi menghadapi pasaran terbuka. Apatah lagi nama Dian membawa bersamanya nostalgia sebuah majalah diages yang agak popular di zaman silam. Sudah tentu sebarang usaha mengembalikan ingatan masyarakat kepada majalah sebegitu bukan mudah buat kami. Keupayaan memenuhi ekspektasi itu adalah cabaran paling besar.

Walau pun Dian – Ihya’As-Sunnah bukan lagi suatu jelmaan semula majalah Dian Diages dalam bentuk dan orientasinya yang asal, kami tetap yakin ia mampu menjadi saham amat bermakna bagi mendedah dan mendidik masyarakat, khususnya umat Islam sendiri ke arah lebih mengenali dan mendalami pelbagai disiplin ilmu Islam.

Tidak pasti sejauh mana kami mampu menghadapi cabaran dari sudut penerimaan para pembaca dan masyarakat secara umumnya terhadap majalah ini. Itu juga bakal menjadi kayu ukur sejauh mana organ penyebaran ilmu Islam ini mampu mencuri minat pembaca di celah-celah longgokan pelbagai citarasa bahan bercetak dalam masyarakat kita dewasa ini.

Doakanlah agar usaha kami ini diberkati.

Wassalam.

Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'EDITORIAL' dengan tajuk sama)

Selayang pandang perjuangan Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd


Oleh: Mohd Nasir Awang

Sejarah awal Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd bermula pada tanggal 2 Mac 1957 dengan penubuhan PUSTAKA DIAN oleh Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky bin Hj Yacob atau Dato’ Sri Setia Raja. Syarikat milikan tunggal yang beroperasi di rumah ini bermula dengan modal awal sebanyak RM5,000. Ia terlibat secara langsung dalam penerbitan bahan-bahan bacaan untuk tatapan masyarakat umum.

Pada 11 April 1969, sesuai dengan perkembangan perniagaan pada waktu itu, sebuah syarikat sendirian berhad telah diperbadankan dengan nama SYARIKAT DIAN SDN BHD (Syarikat Dian) untuk mengambil alih seluruh kepentingan Pustaka Dian. Sejak dari itu syarikat ini mula beroperasi di bangunan kilangnya sendiri di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

Dengan hasrat menjadikan Syarikat Dian sebagai sebuah badan percetakan Kerajaan Negeri, maka pada pertengahan tahun 1981 Yayasan Kelantan Darulnaim (YKD) mula menjadi rakan usahasama. Hasilnya, lahirlah sebuah syarikat baru dengan nama DIAN DARULNAIM SDN BHD (DDSB). Motif usahasama tersebut telah mengubah keutamaan aktiviti pengeluaran syarikat kepada aktiviti percetakan, manakala aktiviti penerbitan pula telah menjadi operasi sekunder bagi syarikat.

Pada penghujung tahun 2005, YKD dan Syarikat Dian telah mengambil keputusan melupuskan seluruh kepentingan mereka kepada kakitangan DDSB melalui penubuhan PENERBITAN KONSEP SDN BHD.

Pada penghujung tahun 2010 pula, Badan Pengurusan baru DDSB mula mengorak langkah mengasingkan kedua-dua operasi teras syarikat ini. PENERBITAN DIAN DARULNAIM SDN BHD telah diperbadankan untuk mengambilalih operasi penerbitan, manakala DDSB terus kekal beroperasi sebagai syarikat percetakan.

Sebagai wadah Muslim, Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd diwujudkan di atas kesedaran memajukan ummah dan bukan hanya berorientasikan keuntungan perniagaan semata-mata. Malah dasar penerbitannya adalah digarapkan ke arah menitikberatkan pembangunan nilai-nilai murni insaniyah yang berprinsip serta berteraskan Islam. Ini sekaligus mengenepikan penerbitan-penerbitan yang tidak berprinsip serta mencanggahi dasar-dasar Islamiyah dan ilmiyah.

Matlamat utama penubuhannya ialah untuk menerbitkan al-Quran, terjemahan al-Quran serta bahan-bahan bacaan agama yang berbentuk buku, majalah dan komik. Kami ingin menjadikan syarikat ini sebagai saluran mengembangkan budaya Islamiyah dan ilmiyah selaras dengan aspirasi untuk mewujudkan umat Islam di negara ini yang dapat menggunakan segala usaha dan tenaga mereka ke arah kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

Misi kami adalah untuk menegakkan syarikat yang dapat turut menyumbang kepada pembangunan Islam di samping sebagai wadah rezeki kehidupan keluarga. Dalam mencapai hasrat itu kami berpegang kepada kepercayaan dan keyakinan bahawa kecemerlangan syarikat adalah kecemerlangan kami dan imej baik syarikat adalah imej kami.

Dalam hubungan ini, amalan dan polisi yang diwujudkan mampu mendorong seluruh kakitangan menyumbang bakat, kebolehan dan usaha mereka ke arah peningkatan hasil syarikat di samping menyediakan peluang kerjaya lebih baik dan produktif. Dengan rasa tanggungjawab dan pertanggungjawaban yang tinggi, para pekerja akan bertindak sebagai satu kumpulan yang padu, bahu-membahu, berhemat, menghormati dan prihatin antara satu sama lain untuk merealisasikan objektif syarikat.

PENERBITAN DIAN DARULNAIM SDN BHD sebenarnya telah lama mengukir nama dalam bidang penerbitan dengan mempelopori beberapa penerbitan tabloid, diages dan majalah seperti Mingguan Kota Bharu, Dian Diages, Santajiwa dan Peristiwa. Penerbitan-penerbitan ini pernah menjadi bahan bacaan yang popular suatu ketika dahulu.

Fokus dan produk utama penerbitan kami pada masa ini ialah buku-buku bacaan umum Islam. Setakat ini kami telah menerbitan sebilangan buku, termasuk Indeks al-Quran, beberapa judul dalam Siri Wacana Pemikiran Islam Kontemporari dan lain-lain. Pada masa yang sama, bagi melengkapi operasi kami sebagai sebuah badan penerbitan, kami sedang merintis jalan untuk mempelbagaikan produk syarikat ini. Di antara usaha-usaha yang telah dijalankan ialah penerbitan bahan berkala seperti majalah al-Muslimah.

Sejarah awal penerbitan majalah ini bermula pada tahun 1984. Pada waktu tersebut ia di bawah Jabatan Penerangan PAS Pusat. Bagaimana pun pada tahun 1995 ia telah diambil alih oleh Dewan Muslimat Sdn Bhd dan beroperasi sehingga tahun 2000. Penerbitannya terhenti selama dua tahun apabila berlaku krisis pengurusan yang menyaksikan Dewan Muslimat Sdn Bhd terpaksa ditutup. Pada tahun 2003, DDSB telah mendapat keizinan pemegang permit majalah ini untuk mengambil alih penerbitannya. Maka bermula tahun 2004 Majalah al-Muslimah kembali berada di pasaran.

Walau pun urusan penerbitan majalah ini diserahkan kembali kepada pemegang permitnya pada Disember 2011, legasi penampilannya dalam pasaran insya Allah akan diteruskan dengan kemunculan majalah ERA MUSLIMAH, yang mana permit penerbitannya dimiliki oleh Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd sendiri.

Di samping majalah Era Muslimah, kami juga tidak pernah putus asa berusaha menerbitkan semula Majalah Dian atau Dian Diages yang pernah mendapat tempat di hati pembaca suatu ketika dulu. Alhamdulillah, dengan terbitnya majalah yang sedang anda tatapi ini, ia sekaligus bermakna Allah Ta’ala telah memakbulkan doa dan impian kami itu.

Walau pun ia bukan lagi suatu jelmaan semula majalah Dian Diages dalam bentuk dan orientasinya yang asal, kami tetap yakin ia mampu menjadi saham amat bermakna bagi mendedah dan mendidik masyarakat, khususnya umat Islam sendiri ke arah lebih mengenali dan mendalami pelbagai disiplin ilmu Islam.

Produk-produk ini insya Allah akan disusuli pula dengan beberapa penerbitan lain, antaranya komik Islam dan majalah politik yang diharapkan bakal memberikan saingan hebat kepada penerbitan kategori sama yang sudah pun berada di pasaran lebih awal.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'SEJARAH DIAN' dengan tajuk sama)

Al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah, kitab pencetus polemik aqidah

Oleh: Mohd Nasir Awang


Sesiapa juga yang meneliti senarai para ulama muktabar di zaman silam pasti akan bertemu nama Imam Abul Hassan Al-Asyaari. Nama beliau terpahat sebagai salah seorang yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah.

Nama sebenarnya ialah Ali bin Ismail bin Abu Bisyr Ishak bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abu Bardah bin Abu Musa al-Asyaari r.a., yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Ada pun Abul Hassan adalah gelaran beliau.

Menurut riwayat paling diterima, beliau dilahirkan di Basrah pada 260H. Seorang yang terkenal dengan sifat zuhud dan warak. Kehidupan beliau sangat sederhana dan jauh sekali dari mengejar kemewahan dunia.

Imam Abul Hassan banyak menulis kitab dalam berbagai bidang ilmu. Jumlah kitab karangannya dikatakan melebihi tiga ratus buah. Kitab-kitab tersebut membuktikan keilmuan beliau. Namun sebahagian besar kitab-kitab itu tidak sampai ke pengetahuan ummah zaman ini. Hanya sebahagian kecil sahaja yang sampai dan dapat dibaca serta dikaji.

Antara kitab-kitabnya yang masyhur dan dijadikan rujukan serta sumber perbahasan ialah Maqalat al-Islamuyyin wa Ikhtilaf al-Musallin, Rusalatuhu Ila at-Tharghi, Istihsan al-Khud fi al-Ilm al-Kalam, al-Luma’ fi ar-Rad ‘ala Ahl az-Zaig wa al-Bida’ dan Al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah.

Al-Ibanah adalah kitab berisi penjelasan aqidah Salaf Ahlul Hadith yang ditulis oleh Imam Abul Hasan Al-Asyaari setelah beliau bertaubat dari pemikiran Muktazilah dan Kullabiyah yang telah beliau anut selama empat puluh tahun. Selepas peristiwa mengejutkan di Masjid Jamek Kota Basrah, saat beliau melepas jubah sambil berkata: “Aku melepaskan seluruh aqidah yang ku yakini dahulu seperti aku melepas jubahku ini”, beliau terus aktif menulis bantahan terhadap pemikiran dan aqidah kaum Muktazilah.

Salah satu di antara karya penting beliau di dalam memutihkan pegangan beliau adalah buku Al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah ini. Kitab ini membuktikan kebenaran taubat Imam Abul Hasan Al-Asyaari dari pemikiran Muktazilah dan bukti bahawa beliau adalah seorang pengikut manhaj salaf sejati. Ia bagaimana pun sempat mengundang polemik apabila ada pihak yang tidak dapat menerima Al-Ibanah sebagai kitab karangan beliau yang terakhir. Bahkan ada yang berpandangan segala pegangan beliau di dalam Al-Ibanah dibuat kerana taqiyah dan tidak mewakili pegangan beliau yang sebenar.

Justeru, sebilangan ulama tampil menjelaskan. Antara mereka, Abul Qasim Abdul Malik bin Isa bin Darbas Asy-Syafie dalam kitabnya Adz-Dzab ‘an Anbil Hasan Al-Asyaari menulis: “Wahai saudara-saudara sekalian! Ketahuilah bahawa Al-Ibanah ‘an Usulud Diyaanah adalah kitab yang ditulis oleh al-Imam Abul Hasan ali bin Ismail Al-Asyaari yang merupakan keyakinan beliau yang terakhir berkat kurnia dan rahmat Allah.”

Walau pun kitab ini agak sederhana dari sudut saiznya, ia merupakan sebuah karya yang amat penting kerana isi kandungannya yang cukup bernilai. Pada masa yang sama ia menjelaskan pegangan terakhir Imam Abul Hassan Al-Asyaari. Di dalamnya banyak dimuatkan ayat-ayat al-Quran bertujuan menjelaskan persoalan aqidah sebagaimana yang dipegangi oleh Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, sekaligus menolak pandangan golongan Muktazilah yang banyak menyelewengkan maksud ayat-ayat al-Quran.

Menerusi kitab ini beliau banyak mengambil pendekatan tafsir yang mantap iaitu mengutamakan kaedah tafsir bil-ma’thur, iaitu kaedah pentafsiran al-Quran berpandukan al-Quran itu sendiri, al-Hadith, athar para sabahat dan tabien, di samping pendekatan tafsir bi ar-raie yang positif.

Memandangkan kitab ini berisikan kepercayaan beliau dalam agama Allah SWT setelah beliau bertaubat dari keyakinan Muktazilah, maka beliau mohon dibebaskan tanggungjawab di depan Allah terhadap semua kitab yang dinisbatkan kepada beliau sebelum itu yang bertentangan dengan yang beliau tulis dalam kitab ini. Dengan tegas beliau menyatakan bahawa kitab ini mengungkapkan kepercayaan beliau dalam agama Allah SWT. Beliau menetapkan bahawa kitab ini berisi keyakinan para sahabat, tabien, imam-imam hadith yang terdahulu dan perkataan Imam Ahmad bin Hanbal radhiallahu ‘anhum ajmain.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'RAK BUKU DIAN' dengan tajuk sama)

Said bin Al-Musayyib: Enggan bermesra dengan penguasa zalim

Oleh: MOHD NASIR AWANG

“AKU tidak pernah ketinggalan takbir pertama dalam solat (bersama imam) selama 50 tahun. Aku juga tidak pernah melihat punggung para jamaah, kerana aku selalu berada di saf terdepan selama 50 tahun itu.”

Demikian pengakuan Said bin Al-Musayyib (Hilyah Al-Auliya 2/162) yang sekaligus menggambarkan keteguhan ibadahnya, terutama di dalam menjaga solat berjamaah. Bahkan di dalam riwayat yang lain, beliau dilaporkan berkata, “selama 30 tahun, setiap kali muazzin melaungkan azan, pasti aku telah berada di dalam masjid”, yakni telah bersiap-sedia untuk menyertai solat berjamaah.

Ketekunannya dalam ibadat turut diperakui mereka yang sezaman dengannya. Antaranya, sepertimana diterangkan Abdul Muin bin Idris yang meriwayatkan daripada ayahnya, dengan katanya, “selama 50 tahun Said bin Al-Musayyib melakukan solat Subuh dengan wuduk solat Isyak.”

Dari Ashim bin Al-Abbas Al-Asadi, dia berkata, “Said bin Al-Musayyib sering berzikir dan merasa takut kepada Allah. Aku juga mendengar dia banyak membaca ayat-ayat al-Quran di atas kenderaannya, dia sering membaca dengan suara nyaring “Bismillahirrahmanirrahim” dan tidak suka banyak tertawa.”

Nama penuhnya ialah Said bin Al-Musayyib bin Hazn bin Abi Wahb Ibnu Amr bin A’id bin Imran bin Makhzum Al-Qurasy Al-Makhzumi Al-Madani. Beliau dipanggil dengan nama Abu Muhammad.

Terdapat berbagai riwayat mengenai tarikh kelahirannya. Ada pendapat mengatakan Said bin Al-Musayyib dilahirkan setelah pemerintahan Umar bin Al-Khattab r.a. berjalan selama dua tahun. Ada yang menyebut tarikh itu setelah empat tahun pemerintahan Umar. Manakala ada juga yang mendakwa beliau lahir dua tahun sebelum Umar menjadi khalifah.

Ini bermakna beliau tidak sempat hidup di zaman Rasulullah s.a.w. dan tergolong di kalangan tabien, bukannya para sahabat.

Bagaimana pun beliau sempat berguru dengan sebilangan sahabat Nabi s.a.w. yang terbilang. Antara mereka yang disenaraikan sebagai guru kepada Said bin Al-Musayyib ialah Saidina Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Saad bin Abi Waqqas, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Ibnu Amr bin Al-Ash, ayahnya Al-Musayyib, Abu Dzar Al-Ghifari, Abu Darda, Hasan bin Tsabit, Zaid bin Tsabit, Abu Qatadah, Abu Musa Al-Asyaari, Abu Said, Abu Hurairah, Sayyidah Aishah, Asma binti Umais, Ummu Sulaim, Fatimah binti Qais dan Khaulah binti Hukaim.

Said juga mendengar hadith-hadith daripada para sahabat Umar bin al-Khattab r.a. dan sahabat Uthman bin Affan r.a. Dia pernah disebut sebagai orang yang paling tahu tentang apa yang pernah diputuskan oleh Umar dan Uthman dalam pengadilan.

Beliau diiktiraf sebagai seorang pembesar di kalangan tabien, terutama disebabkan keilmuannya yang tinggi berhubung hukum-hakam Islam. Wawasan fiqhnya yang paling luas di kalangan generasi tersebut menjadikannya tempat rujukan dan tumpuan menimba ilmu di zamannya.

Berhubung hakikat itu, Ali bin Al-Madini pernah berkata, “aku belum bertemu para tabien yang lebih luas wawasan ilmunya dari Said bin Al-Musayyib. Bagiku, dia adalah tabien yang paling terhormat dan mulia.”

Abu Hatim pula berkata, “tidak ada orang yang lebih mulia di kalangan tabien dari Said bin Al-Musayyib. Dia adalah orang yang paling sahih meriwayatkan hadith-hadith yang berasal dari Abu Hurairah r.a.”

Abu Talib pernah bertanyakan Imam Ahmad bin Hambal, “apakah riwayat Said dari Umar bin Al-Khattab dapat dijadikan hujah. Imam Ahmad menjawab, “dia (Said) adalah hujah bagi kita, dia pernah melihat Umar r.a. dan banyak mendengar hadith darinya. Kalaulah riwayat Said dari Umar r.a. tidak diterima, siapa lagi yang dapat diterima?”

Di sebalik ketinggian ilmunya dan kemuliaan darjatnya di kalangan masyarakat, Said bin Al-Musayyib bagaimana pun terkenal sebagai seorang yang lemah lembut dan mengutamakan rasa persaudaraan dalam pergaulannya. Beliau juga amat bersederhana dalam hidup dan sering berpada dengan apa yang ada.

Mengenai keadaan itu Ashim bin Al-Abbas Al-Asadi pernah berkata, “aku pernah melihatnya (Said) berjalan tanpa alas kaki, mencukur misainya dan berjabat tangan dengan setiap orang yang dijumpainya.”

Dalam riwayat lain dari Imran bin Abdullah, dia berkata Said mempunyai hak ke atas harta yang ada di Baitul Mal sebanyak lebih 30 ribu dinar. Dia dijemput mengambilnya, tetapi menolaknya dan mengatakan dia tidak memerlukan harta itu.

Di sebalik sifatnya yang sebegitu, Said bin Al-Musayyib bagaimana pun turut terkenal sebagai seorang ilmuan yang sangat tegas mempertahankan prinsip dan pendiriannya. Beliau tidak mudah tunduk terhadap apa-apa permintaan yang dirasakannya tidak perlu, walau pun ia datang daripada sang penguasa. Beberapa kes dicatatkan di dalam kisah hidupnya menjelaskan hakikat itu.

Sekali peristiwa, Khalifah Abdul Malik bin Marwan datang ke Madinah dan mengutus pengawalnya untuk menjemput Said bin Al-Musayyib bertemunya. Jemputan itu bagaimana pun tidak dipedulikan Said. Sebaliknya, beliau menegaskan, “Amirul Mukminin tidak mempunyai apa pun urusan denganku dan aku pun tidak mempunyai sebarang urusan dengannya. Kalau benar dia berhajat menemui aku, pastinya itu salah alamat.”

Jawaban sama diberikan Said walau selepas pegawal berkenaan datang buat kali kedua. Kes serupa berulang lagi di zaman Al-Walid bin Abdul Malik menjadi khalifah. Ketika beliau datang ke Madinah, beliau melihat orang ramai sedang mengerumuni Said bin Al-Musayyib di dalam sebuah masjid.

Setelah diberitahu bahawa orang itu ialah Said bin Al-Musayyib yang masyhur itu, Al-Walid mengutuskan pengawalnya untuk memanggil Said mengadapnya. Said bagaimana pun menolak permintaan itu seraya berkata, “mungkin engkau salah menyebut namaku atau mungkin dia (Al-Walid) mengutus engkau kepada orang lain, bukannya aku.”

Jawaban itu disampaikan kepada khalifah dan mengundang rasa marahnya. Al-Walid lantas berhasrat datang sendiri mendapatkan Said.

Melihatkan hal itu, orang ramai yang masih ada di dalam masjid terus mendapatkan khalifah dan berkata, “wahai Amirul Mukminin, dia (Said) adalah ulama fiqh di Madinah, pembesar kaum Quraisy dan juga teman kepada ayahmu (Khalifah Abdul Malik). Tidak ada seorang pun dari para khalifah yang mampu membuatnya memenuhi panggilan mereka.”

Mereka mengatakan begitu berulangkali sehingga akhirnya Al-Walid berlalu dari situ. Sikap dan pendirian serupa turut terpamer ketika pelantikan dua putera kepada Abdul malik sebagai putera mahkota. Abdul Malik mengarah seluruh rakyat berbaiat dan menyatakan ketaatan serta kesetiaan kepada mereka.

Said bin al-Musayyib bagaimana pun menolak untuk berbuat demikian dengan katanya, “aku akan melihat dulu (sikap dan perlakuan mereka berdua).”
                                                                                                                
Disebabkan keengganannya itu, Said diriwayatkan disebat 60 kali oleh sang penguasa, diarak ke sekeliling kampung dalam keadaan bercawat dan dipenjarakan. Namun cubaan yang ditimpakan ke atasnya itu sedikit pun tidak melunturkan pendirian tegasnya yang tidak bersedia tunduk kepada keangkuhan sang penguasa.

Difahamkan keengganan Said bin Al-Musayyib memenuhi permintaan khalifah-khalifah itu ialah ekoran kebenciannya melihat kezaliman yang mereka lakukan di dalam pemerintahan. Hal itu dapat difahami apabila beliau turut diriwayatkan begitu mudah menerima permintaan serupa dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan sifat adil dan zuhud itu.

Ketelitiannya di dalam memilih orang untuk didekati atau dijadikan teman dalam pergaulan seharusnya dinilai sebagai iktibar amat bermakna. Di atas sebab yang sama, biar pun pada adatnya dunia amat menyanjungi kalangan penguasa disebabkan kedudukan tinggi dan mulia mereka di dalam masyarakat, Said bin Al-Musayyib tidak berkongsi pendirian yang sama.

Selain menolak permintaan Khalifah Abdul Malik dan puteranya untuk bertemu dan berbual bicara, Said bin Al-Musayyib juga sebenarnya pernah menolak pinangan sang penguasa itu terhadap puterinya untuk dijadikan isteri puteranya, Al-Walid. Selepas beberapa percubaan dengan berbagai cara tetap gagal memujuk Said, Abdul Malik akhirnya bertindak keras. Said disebat seratus kali di musim dingin dan disiram dengan air sejuk ke tubuhnya sebagai penyeksaan di atas keengganannya menjadi besan sang penguasa itu.

Namun itu sedikit pun tidak menggoyahkan pendiriannya. Sebaliknya, Said bin Al-Musayyib tegas dengan prinsipnya memilih lelaki terbaik untuk puterinya. Dia lalu menjodohkan salah seorang anak buahnya bernama Katsir bin Abdul Muttalib bin Abi Wadaah dengan puterinya itu, walau pun dengan maskahwin hanya dua atau tiga dirham.

Baginya, bermenantukan seorang yang lurus kehidupannya, walau pun tidak berharta adalah jauh lebih mendamaikan hati berbanding bermenantukan seorang yang terkenal dan hartawan tetapi diselubungi sifat angkuh dan zalim. Pendirian beliau ini dapat difahami dari salah satu mutiara katanya, “jangan lah kamu banyak berkawan dengan orang-orang zalim, kecuali dalam hati kamu mesti mengengkari apa yang mereka lakukan, agar amal dan perbuatan kamu yang baik tidak menjadi luntur kerananya.”

[Artikel ini diolah semula secara bebas daripada satu bab di dalam buku 60 Biografi Ulama Salaf karangan Syaikh Ahmad Farid, Pustaka Al-Kautsar, 2009]

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'ULAMA PEWARIS NABI' dengan tajuk sama)

Mereka lah generasi manusia terbaik


Oleh: Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Tidak syak lagi manusia terbaik yang sewajarnya dijadikan teladan dan contoh ikutan ialah tidak lain daripada Nabi Muhammad saw. Sama ada jika dirujuk kepada nas-nas al-Quran, hadith mahu pun catatan dan syarahan para ulama sejak dulu hingga sekarang, kesemuanya mengiktiraf Rasulullah saw sebagai insan paling istimewa dan paling mulia di sisi Allah SWT.

Dalam banyak keadaan kehadiran Baginda disebut secara berangkai dengan Allah Ta’ala. Di dalam ikrar syahadah umpamanya, selain menyaksikan bahawa ‘tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah’, disyariatkan juga kepada umat Islam untuk turut menyambung bahawa ‘Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’. Sekira-kira tidak dianggap lengkap ikrar syahadah tanpa disebut kedua-duanya. Bahkan ungkapan itu juga dikenali sebagai ‘dua kalimah syahadah’.

Kita juga diajar betapa Baginda saw tidak akan memperkatakan sesuatu berdasarkan keinginannya sendiri, melainkan ia wahyu dari Tuhan. Sebab itu pembuktian kecintaan terhadap Allah Ta’ala adalah dengan mengasihi Rasul-Nya saw. Bahkan, barangsiapa yang mentaati Rasulullah bererti dia mentaati Allah Taala.

Begitu juga dalam memastikan hidup manusia, khususnya umat Islam, tidak terpesong dari landasan diredhai Allah, maka kita diingatkan agar sentiasa berpegang kepada dua perkara yang ditinggalkan oleh Baginda saw. Dua perkara itu ialah kitabullah yang mengandungi firman Tuhan dan Sunnah Nabi Muhammad saw.

Kepentingan Sunnah Sahabat
Namun, tidak dianggap lengkap mendalami dan menghayati Sunnah Nabi tanpa disertakan sama penghayatan terhadap khalayak yang pernah hidup bersama Baginda. Sebab itu, selain berpegang dengan Sunnah Nabi, umat Islam juga diwajibkan berpegang dengan sunnah para sahabat ridwanullahu Taala anhum.

Dari Imran bin Husain ra, ia berkata, “Rasulullah saw bersabda: Sebaik-baik umatku adalah generasiku, kemudian yang setelahnya, kemudian yang setelahnya – Imran berkata, “aku tidak tahu apakah Nabi saw menyebutkan dua atau tiga generasi setelah generasi beliau” – kemudian setelah kamu akan datang suatu kaum yang bersaksi padahal tidak diminta untuk bersaksi, berkhianat dan tidak mempunyai amanat, bernazar namun tidak memenuhinya, dan kegemukan terlihat pada mereka.” (Riwayat Bukhari no. 3650 dan Muslim no. 2535).

Sabdanya lagi saw: “Bintang-bintang adalah penjaga bagi langit, jika bintang lenyap maka akan datang kepada langit apa yang dijanjikan. Aku adalah penjaga bagi para sahabatku. Jika aku pergi (wafat) maka akan datang kepada para sahabatku apa yang dijanjikan kepada mereka. Sahabat-sahabatku adalah penjaga bagi umatku. Jika sahabat-sahabatku telah pergi (wafat) maka akan datang kepada umatku apa yang dijanjikan kepada mereka.” (Riwayat Muslim no. 2531 dan Ahmad (IV/398-399)).

Penegasan Rasulullah saw dalam hadith-hadith di atas merupakan pengiktirafan Baginda terhadap para sahabatnya, para tabien dan tabie tabien sebagai kelompok terbaik yang harus dicontohi oleh sesiapa sahaja yang datang selepas mereka, terutama sekali dari aspek aqidah, ibadah, akhlak dan lain-lain.

Dalam hal ini Abdullah ibn Mas’ud pernah menyebut, “barangsiapa ingin meneladani maka hendaklah dia meneladani orang yang sudah wafat, kerana orang yang masih hidup tidak dijamin terhindar dari fitnah. Mereka itulah para sahabat Muhammad saw, umat ini yang paling mulia hatinya, paling mendalam ilmunya dan paling sedikit memaksa diri. Allah Taala telah memilih mereka untuk menjadi sahabat-sahabat Nabi-Nya saw dan menegakkan agama-Nya. Maka kenalilah kelebihan mereka dan ikutilah jejak langkah mereka kerana mereka telah berada di atas landasan yang betul.” (Jami‘e Bayan al-‘Ilm, jilid 2 m.s. 97)

Para sahabat adalah jenis teristimewa dari manusia. Mereka adalah pundak dalam ketaqwaan dan kebersihan hati, pelopor dalam ketulusan dan keikhlasan, obor dalam ilmu dan amal, serta cahaya dalam dakwah dan pergerakan.

Seorang yang berakal, yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat tidak akan memendam keraguan sedikit pun bahawa para sahabat Nabi saw adalah generasi terbaik setelah para Nabi dan Rasul. Segala yang mereka terima adalah secara terus daripada Rasulullah saw. Ibaratnya mereka menimba air dari mata air kehidupan dalam keadaan bersih, jernih dan segar dari sumbernya yang asli.

Menyelami Kualiti Hidup Sahabat
Seruan supaya berpegang dengan sunnah para sahabat tidak bermakna mereka tidak melakukan kesalahan dan kesilapan. Namun umat secara keseluruhannya terpelihara daripada melakukan kesalahan dan tidak akan bersatu atas kesesatan sebagaimana jaminan Rasulullah saw, “sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengumpulkan umatku atas kesesatan.”

Ertinya kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan tidak berkekalan. Apatah lagi sunnah para sahabat yang wajib diamalkan itu bersyarat, iaitu selagi mana tidak bertentangan dengan Sunnah Nabi saw. Rahsia kejayaan dan kecemerlangan para sahabat dan tabien adalah kerana pegangan mereka yang kuat kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi tanpa mereka merubah, menambah atau menyelewengkannya daripada maksud yang sebenar.

Para sahabat adalah pembawa Islam dan penjaganya selepas Rasulullah saw. Allah Taala memilih dan menunjuk mereka untuk menyertai Nabi saw dan menyebarkan risalah Islam sepeninggalan Baginda. Mereka menyaksikan turunnya wahyu dan mengamalkan isinya dengan penuh ketaatan.

Mereka mendapat tempat di sisi Allah sehinggakan sifat dan keperibadian mereka disebut secara langsung di dalam banyak ayat Al-Quran. Antaranya, menerusi surah Al-Ahzab 33:23; An-Nur 24:37; At-Taubah 9:100; Al-Fath 48:29; Al-Hasyr 59:8-9 dan A-li Imran 3:172-174.

Allah Taala juga memberikan pengiktirafan paling istimewa yang dicita-citakan setiap mukmin, tetapi hanya mereka yang terpilih mendapatnya, iaitu “Allah Taala redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah”. Anugerah ini tiada bandingan dengan sebarang pingat atau kebesaran di kalangan manusia. Ia merupakan sijil kemuliaan yang paling berharga, khususnya bagi menghadapi kehidupan kekal abadi di alam akhirat.

Di kalangan para sahabat terserlah kualiti hidup yang sukar ditandingi. Hati, jasad, darah dan harta mereka hanya untuk Allah. Cita-cita hidup mereka bukan mengisi perut, bukan memakai sutera dan bukan mengejar kenikmatan. Mereka menjaga syariat dari hawa nafsu orang-orang yang menyimpang dan melindungi agama dari serangan para konspirator.

Sebilangan mereka adalah pemimpin atau kalangan bangsawan kaum masing-masing. Mereka menerima ajaran dan agama Nabi Muhammad saw sekaligus rela melepaskan kemuliaan dan kemegahan yang ada pada mereka dan bersedia menghadapi kehidupan yang penuh gejolak, kesulitan dan penderitaan.

Sebilangan lagi sahabat dari khalayak bawahan dan rakyat marhaen yang membuat pilihan dianggap pelik. Mereka sanggup bernaung di bawah panji-panji dakwah Rasulullah saw, padahal mereka tahu Baginda tidak mempunyai harta mahu pun senjata serta tidak terlepas daripada kacau-ganggu dan ancaman musuh-musuh jahiliyyah yang terkenal amat ganas dan kejam dalam tindakan mereka.

Sebilangan lagi adalah dari kaum yang sudah berada pada kedudukan selesa dan mampu mengelakkan pertembungan dengan kaum musyrik Mekah, tetapi memilih untuk berjanji setia mempertahankan Rasulullah saw, sekaligus mengundang kemarahan puak Quraisy.

Kepercayaan dan keyakinan para sahabat kepada janji Baginda amat tinggi. Biar pun mereka hidup dalam suasana terpaksa membaca al-Quran secara sembunyi dan berahsia,  mereka yakin akan datang suatu ketika bilamana ayat-ayat suci itu akan dilaungkan secara terbuka di seluruh penjuru alam. Mereka yakin panji-panji yang mereka julang itu akan menguasai kekayaan dan kekuasaan sebahagian dunia, walau pun di zaman mereka Islam menjadi buruan seluruh kuasa besar dan masyarakat umum.

Kesimpulan
Keseluruhan sahabat tidak terlepas kisah hidup mereka daripada peranan sejarah yang berlaku di zaman Rasulullah saw. Banyak atau sedikit, besar atau kecil peranan itu, bergantung kepada sejauh mana keakraban atau kebersamaan mereka dengan Baginda. Namun suatu yang pasti mereka adalah generasi yang terpilih dan terbaik.

Kejahilan sebahagian umat Islam tentang kedudukan para sahabat Nabi menyebabkan keadaan menjadi kabur dalam banyak perkara berkaitan agama Islam, sedangkan mengikut petunjuk mereka juga menjadi sebahagian daripada perintah agama Islam kepada umatnya.

Sunnah para sahabat juga termasuk di bawah sunnah yang perlu diikuti dan dicontohi kerana para sahabat merupakan golongan yang dipuji dan diredai oleh Allah SWT dan mereka sama sekali tidak merubah atau menambah apa yang diajar dan diamalkan oleh Nabi saw.

Justeru, mengetahui keadaan, akhlak dan kehidupan mereka benar-benar dapat menerangi jalan di depan orang mukmin yang ingin hidup dengan meneladani Nabi Muhammad saw.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'KENALI SAHABAT RASULULLAH' dengan tajuk sama)

Terengganu pernah makmur di bawah kerajaan Islam


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) akan membuka lembaran Tahun Baru 2012 dengan satu lagi perhimpunan berskala besar. Ia dijadual diadakan pada 6-7 Januari nanti Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Sepanjang tahun ini PAS Terengganu telah berjaya menganjurkan tidak kurang tiga program seumpamanya, menerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno (HKR-PGU). Setiap siri itu dijayakan puluhan ribu pendukung PAS dan penyokong Pakatan Rakyat dari seluruh negeri. Secara terancang, ketiga-tiga himpunan itu pula diadakan mengikut zon-zon bermula di Kemaman untuk zon selatan, diikuti Besut  (zon utara) dan Kuala Terengganu (zon tengah).

Berbeza dengan HKR-PGU sebagai program yang dicipta dengan hasrat menyemarakkan kebangkitan rakyat menolak Barisan Nasional (BN), apa yang dirancang untuk diadakan hujung minggu nanti lebih kepada memperingati sejarah manis negeri Terengganu. Ia bersempena genapnya 100 tahun Undang-Undang Islam dijadikan Undang-Undang Tubuh Bagi Negeri Terengganu. ‘Itqan ul-Muluk bi Ta’dil is-Suluk yang telah diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1911 dianggap Perlembagaan Islam Negeri Terengganu.

“Sultan Zainal Abidin mempunyai suatu ketokohan yang hebat, (sebagai) seorang Sultan dan seorang ahli politik. Itqanul Muluk bi Ta’dilis Suluk ini berlaku di zaman Sultan Zanal Abidin (III), menunjukkan kepintaran beliau apabila beliau mewujudkan satu perlembagaan negeri yang digubal oleh ulama-ulama dan pembesar,” Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mengulas signifikan sambutan dianjurkan BPPNT ini.

Sejarah telah membuktikan bahawa bumi Terengganu telah menjadi tapak awal kedatangan dan kedaulatan Islam di Tanah Melayu. Terengganu pernah ‘Membangun Menurut Islam’ dan rakyatnya hidup makmur di bawah naungan kerajaan Islam, khususnya di zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).

Bahkan, penghayatan cara hidup menurut Islam serta pemakaian undang-undang dan peraturan Islam dalam masyarakat negeri itu dikesan telah berlaku jauh lebih awal. Penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang membuktikan bahawa hukum dan peraturan Islam telah lama berdaulat dan menjadi paksi tamadun di Terengganu. Batu seberat 450 paun itu dipercayai dipahat di zaman pemerintahan Raja Mandalikar yang beragama Islam.

“Sudah tentu (secara logiknya) kedatangan Islam di Terengganu mendahului Batu Bersurat, kerana tidak munasabah terus masuk Islam, boleh buat Batu Bersurat,” ulas Tuan Guru Presiden lagi.

Inskripsi itu antara lain menyebut: “Tuhan menduduki Tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada. Jumaat di bulan Rejab di tahun saratan disasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua”. Sejarawan menafsirkan tarikh tersebut ialah Rejab tahun 702H, bersamaan 22 Februari 1303M.

Kedaulatan undang-undang Islam di negara ini, khususnya di Terengganu bagaimana pun dikesan muka terhakis ekoran campurtangan Inggeris. Bangsa penjajah itu mula melaksanakan agenda jahatnya di Terengganu melalui pakatan Anglo-Siam sehingga termeterainya Perjanjian Bangkok pada 9 Julai 1909.

Rentetan dari itu Terengganu dipaksa membuat perjanjian dengan Inggeris pada tahun 1919 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II, yang akhirnya dipaksa menerima kehadiran J.L.Humprey sebagai Residen Inggeris pertama.

Walau pun pada zahirnya Inggeris menampakkan seolah-olah tidak campurtangan dalam banyak urusan agama Islam penduduk setempat, ia sebenarnya perlahan-lahan menggugat dan menggigit kedudukan undang-undang Islam dan pelaksanaannya. Secara halus Inggeris kemudiannya berjaya mencorakkan sistem perundangan negeri mengikut acuan sistem sekular sepenuhnya.
                                                                                       
Keadaan yang sama berlaku ke atas negeri-negeri Tanah Melayu lain. Maka apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan pemerintahan diserahkan kepada orang Melayu-Islam sendiri, ramai beranggapan itulah peluang terbaik mengembalikan kedaulatan perundangan Islam di tanahair ini. Bukankah kemerdekaan itu bererti kebebasan menentukan pemerintahan mengikut kemahuan kita?

Malangnya, setelah lebih setengah abad berlalu, harapan itu hanya sesia belaka. Jangankan diharap pemerintahan BN diterajui Umno mengembalikan kedaulatan undang-undang Islam, beberapa institusi Islam sedia ada pula dihakisnya. Antaranya, cuti Jumaat dipinda kepada Ahad, tulisan jawi dikuburkan dan sekolah agama dipinggirkan daripada arus perdana pendidikan. Manakala hukum Islam dijadikan bahan momokan.

Dalam pemerintahan singkatnya di Terengganu, PAS telah kembali meletakkan al-Quran, al-Hadith, Ijma dan Qias sebagai sumber rujukan hukum tertingginya. Ia langkah paling tepat mengembalikan Perlembagaan Islam Negeri Terengganu, termasuk yang tercatat di dalam Itqanul-Muluk bi Ta’dilis-Suluk. Justeru, sememangnya PAS layak merayakan sambutan ulangtahun memperingati sejarah manis itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1704, 2 Januari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)