Monday, August 1, 2011

Perbetulkan konsep sambut Ramadhan, Syawal


Oleh: Mohd Nasir Awang

Akuilah bahawa umat Islam di akhir zaman ini sudah semakin jauh dari ajaran Islam sebenar. Jalan hidup yang mereka ambil semakin menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui, bersesuaian dengan sunnah ditunjukkan Rasulullah s.a.w.

Jangan dikatakan pada selok-belok kehidupan harian yang bersimpang-siur, salah faham mengenai konsep bertepatan dengan kehendak agama itu juga turut berlaku dalam aspek peribadatan.

Salah satu di antara kesilapan itu terpampang agak jelas pada cara umat Islam menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak. Saban tahun dapat kita saksikan bagaimana tahap keghairahan menunggu kehadiran bulan penuh berkat itu sudah semakin tersasar daripada matlamat asal dianjurkan agama.

Umat Islam tidak lagi mengutamakan persiapan diri untuk menyempurnakan tuntutan peribadatan sepanjang Ramadhan. Sebaliknya, fikiran dan tindakan mereka lebih tertumpu kepada persiapan menyambut Hari Raya Idulfitri selepasnya.

Bahkan, jika pun ada keghairahan dan kegembiraan dengan kedatangan Ramadhan, ia bukan kerana mengalu-alukan Ramadhan itu sendiri. Perasaan itu sebenarnya tidak terlepas daripada kaitannya dengan bahang kemeriahan yang sudah terbayang di benak masing-masing tatkala merayakan lebaran.

“Itulah hakikat yang berlaku kepada kita hari ini. Orang fikir hari raya lebih besar daripada bulan puasa. Sehingga tiga-empat bulan sebelum puasa pun dah ada yang buat persiapan mengenai hari raya. Pada saya itu konsep yang salah,” tegas Ustaz Abd Zaman Bakri Mohamad dengan nada kesal.

Pendakwah bebas dari Kampung Apal, Besut, Terengganu ini lantas memetik kata-kata Sheikh Muhammad al-Ghazali, bahawa di antara kesalahan umat Islam dalam menyambut bulan Ramadhan ialah kerana memikirkan soal pendapatan (nafkah) dan soal persediaan untuk para tetamu (hari raya).

“Maknanya, itulah kesilapan yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini. Dia duk fikir berkenaan persiapan hari raya, perbelanjaan hari raya, sedangkan benda yang paling penting sekali ialah fikir soal bulan Ramadhan yang telah dikurniakan oleh Allah dengan qiyamullailnya, dengan zikirnya, baca al-Quran, tarawihnya dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga pengamal perubatan alternatif seterusnya membandingkan tabiat umat Islam kini dengan tindakan dianjurkan agama.

Antaranya beliau memetik kebiasaan di kalangan para ulama terdahulu. Katanya, seawal enam bulan sebelum datangnya bulan Ramadhan, para ulama salaf sudah berdoa supaya Allah s.w.t. kurniakan mereka nikmat bulan tersebut.

“Abu Bakar al-Balkhi mengatakan bahawa bulan Rejab adalah bulan bercucuk tanam. Bulan Syaaban adalah bulan siram tanaman, jirus tanaman dan bulan Ramadhan adalah bulan tuai tanaman,” ulasnya.

Bagi mereka ini, kedatangan Ramadhan dianggap peluang keemasan untuk merebut berbagai kelebihan dijanjikan Allah s.w.t. Banyak hadis Nabi s.a.w. menceritakan kelebihan-kelebihan Ramadhan.

Di antaranya, ditutup pintu neraka sekemas-kemasnya, dibuka pintu-pintu syurga di samping dibelenggu syaitan-syaitan. Bulan Ramadhan juga bulan turunnya al-Quran yang menjadi panduan kita manusia sampai ke akhir zaman.

“Lepas tu pula, bulan Ramadhan juga ada satu malam yang jadi rebutan di kalangan para ulama dan orang-orang soleh iaitulah Lailatul Qadr. Jadi mereka sangat merindui benda-benda (kelebihan-kelebihan) ini, maka mereka tak fikir pun sangat hari raya tu,” Ustaz Abd Zaman melontarkan perbandingan.

Beliau selanjutnya mengemukakan perumpamaan agak menarik mengenai bagaimana sepatutnya umat Islam meraikan kehadiran Ramadhan.

“Sebelum daripada mari bulan Ramadhan ni, kita kena betul-betul bersedia, kena ada rasa suka sepertimana tetamu nak mari rumah kita. Tetamu tu pula bukan tetamu sebarangan orang, kalau kita nak bandingkan ialah seperti Perdana Menteri nak mari ke rumah kita, nak bawa satu hadiah kepada kita.

“Sudah tentulah kita akan buat persiapan yang sebaik mungkin dengan mengecat rumah, dengan repair rumah, renovate semua sekali. Maka begitu lah juga, apabila kita dapat maklumat bulan Ramadhan nak mari, maka kita kena buat persiapan sebaik mungkin, rohani dan jasmani,” ujarnya.

Ulama muda lulusan Universiti al-Azhar, Mesir ini seterusnya menyenaraikan beberapa persiapan yang dimaksudkan. Antaranya ialah memperbanyakkan doa agar Allah s.w.t. mempertemukan kita dengan Ramadhan dan dapat mengharungi ibadat di dalamnya dengan baik.

Menurutnya, Nabi s.a.w. sendiri sering berdoa supaya Baginda sempat dengan bulan Ramadhan dan supaya Allah Ta’ala mengurniakan kepadanya rezeki di bulan tersebut.

Sebelum Ramadhan juga kita hendaklah memperbanyakkan taubat kepada Allah s.w.t. Diharapkan dengan itu apabila Ramadhan tiba, kita menyambutnya dengan jiwa yang bersih dan kuat, lalu kita benar-benar dapat menunaikan hak-hak Ramadhan dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim.

“Sebab kadang-kadang kita diuji juga pada bulan Ramadhan ni, walau pun kita kata syaitan kena belenggu dah, tapi dengan makan contohnya, dengan minum, dengan malas, dengan mengantuk, dengan nak tidur, apa semua sekali, itu adalah gangguan. Jadi taubat sangat penting sebelum daripada masuk bulan Ramadhan supaya Allah terima taubat kita dan Allah beri kepada kita kekuatan,” tegas Ustaz Abd Zaman.

Turut menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w. sebagai persiapan menyambut Ramadhan ialah memperbanyakkan puasa sunat. Pernah ditanya kepada Aisyah r.a. berkenaan amalan Nabi s.a.w. dalam bulan Syaaban. Maka Aisyah r.a. menceritakan bahawa bulan Syaaban adalah antara bulan yang Nabi s.a.w. banyak berpuasa.

“Ulama mengatakan bahawa kenapa s.a.w. Nabi banyak berpuasa dalam bulan Syabaan? Ia diumpamakan sepertimana kita kata kalau orang nak main bola, warming-up la, pemanas badan. Sama juga sepertimana sembahyang lima waktu, kita ada sembahyang qabliyyah, sembahyang tu sebagai warming-up untuk sembahyang fardhu,” ujarnya berkias.

Seterusnya, bekalan penting dalam menghadapi bulan Ramadhan ialah ilmu. Katanya, ramai orang Islam hari ini berpuasa tanpa ilmu. Sebab itu Nabi s.a.w. mendedahkan betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi yang mereka dapat daripada puasa mereka itu hanyalah lapar dan dahaga sahaja. Puncanya kerana mereka berpuasa sekadar ikut-ikutan, bukan berdasarkan kepada ilmu.

“Banyak ilmu berkaitan puasa. Selain perkara-perkara membatalkan puasa, yang makruh, yang mengurangkan pahala, ada juga fadhilat puasa. Sebagai contoh, berbuka awal, bersahur lewat. Begitu juga tadarus al-Quran, afdhalnya di bulan puasa ialah tadarus, sebab Nabi s.a.w. sendiri tiap-tiap malam tadarus al-Quran dengan Jibril a.s. Semua ini perlukan ilmu,” hurai Ustaz Abd Zaman lagi.

Menurutnya, disebabkan kekurangan ilmu juga berlakunya salah konsep menyambut hari raya di kalangan umat Islam kini. Mereka seakan tidak faham bahawa hari raya dalam Islam adalah arahan daripada Allah s.w.t. Malangnya, orang Islam hari ini menyambut hari raya bukan lagi berasaskan kepada tuntutan agama, tetapi lebih terikut-ikutkan budaya agama lain yang dipenuhi pesta dan hiburan.

“Sedangkan kita sepatutnya sambut hari raya dengan bertakbir, tanda syukur kepada Allah, bertahmid, bertasbih kepada Allah sebagai tanda kegembiraan. Di samping kita makan minum serba sedikit apa yang ada, kita menunjukkan perhiasan kita sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t., kita dilarang berlebih-lebihan, apatah lagi berhibur sehingga terlampau. Bukan kita kata hiburan itu tak boleh, tetapi hiburan yang ada pada hari ini terlalu jauh daripada kehendak agama,” katanya.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar kembali kepada konsep sambutan yang sebenar berasaskan agama. Umat Islam, katanya, mesti kembali semula kepada al-Quran, membuka semula hadis Nabi s.a.w. dan mengkaji bagaimana menyambut hari raya mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan menepati apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t..

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 234, Ogos 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

Sunday, July 31, 2011

OTB (4+1) optimisme PAS tawan Terengganu



Oleh: Mat Zain Mat Isa

Mungkin ada pihak yang menganggap hasrat PAS Kawasan Besut menawan kesemua kerusi di kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti agak ambitious. Namun, seperti yang kerap disebut orang, tidak ada yang mustahil di dalam politik.

Ertinya, biar pun sepintas lalu cita-cita PAS menyapu bersih kelima-lima kerusi di daerah kubu kuat Umno itu mungkin bunyinya terlalu optimistik, ia tidak pula wajar ditolak mentah-mentah atau dianggap sebagai angan-angan semata.

Sebab itu barangkali hampir kesemua pemimpin yang berucap pada majlis Pelancaran Operasi Tawan Besut (OTB 4+1), 27 Julai lalu mengulangi harapan sama. Biar pun dalam ungkapan berbeza, mereka meluahkan satu cita-cita bersama, iaitu Besut mesti dimenangi PAS sekiranya mahu mengambilalih pemerintahan negeri Terengganu menerusi PRU-13 akan datang.

“Kita amat berharap PAS Besut akan mengulangi catatan sejarah 1999 (Pilihan Raya Umum ke-10), di mana kita sapu bersih kelima-lima kerusi di kawasan ini,” ujar Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau yang berucap mewakili PAS negeri malah mengiringi hasratnya itu dengan gambaran amat optimistik mengenai perkembangan politik terkini. Katanya, kebanjiran orang ramai di setiap program anjuran PAS di serata negeri mutakhir ini seakan mengisyaratkan bahawa gelombang kebangkitan rakyat menolak Umno/Barisan Nasional (BN) sudah semakin terzahir.

Menurutnya, siri kezaliman dan tindakan rakus parti pemerintah itu terhadap perjuangan rakyat memburukkan lagi imej dan reputasi Umno/BN. Parti itu kini semakin tenggelam di timbusi kecaman, kutukan dan penolakan pelbagai pihak apabila ia mempamerkan sikap yang semakin tidak adil dan tidak demokratik dalam mendepani tuntutan rakyat.

“Apa yang dilakukan kerajaan Umno/BN terhadap para pendukung (Himpunan) Bersih (2.0) baru-baru amat biadab dan tidak demokratik. Ia juga membuatkan kita merasa malu kepada dunia. Dunia mentertawakan Malaysia sekarang. Mana ada negara di dunia ini tangkap rakyatnya sendiri hanya kerana pakai baju warna kuning?”, soal Haji Mohamad Sabu penuh sinis.

Dalam ucapan ringkasnya melancarkan OTB (4+1) petang itu, Timbalan Presiden PAS itu menyebut betapa media-media antarabangsa baru-baru ini banyak memapar dan mempersoalkan beberapa tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan kerajaan BN, khususnya anggota polis terhadap para peserta himpunan tersebut, 9 Julai lalu.

Namun, beliau tidak mengheret perbincangan jauh daripada tema utama majlis petang itu. Mohamad sebaliknya melontarkan persoalan kepada hadirin, sejauh manakah berbagai peristiwa yang berlaku di serata negara dan berbagai salah laku oleh pemimpin negara yang dilaporkan media menjadi perhatian masyarakat setempat.

“Orang Besut tahu tak cerita-cerita ni ? (Saya rasa) tak tahu kot? Orang kita tak ambil kisah (cerita penyelewengan dan salahlaku pemimpin negara). Sebab itu Umno mampu bertahan, dia mendapat sokongan masih kuat terutama di kawasan-kawasan luar bandar macam Besut ni!,” terjahnya.

Memang ada benarnya apa yang dikatakan Mohamad itu. Besut terkategori sebagai kawasan luar bandar dan penduduknya juga masih ramai yang buta maklumat. Atau majoriti mereka terlalu ‘beriman’ dengan akhbar arus perdana dan media elektronik, sehingga melihat apa juga dilakukan Umno/BN sebagai betul dan membawa kebaikan.

Sebab itu apabila PAS Besut dengan begitu optimis mengutarakan hasrat menyapu bersih kesemua kerusi di kawasan itu, ia tidak dilihat suatu cita-cita yang mudah. Logiknya, berbekalkan kekalahan di kelima-lima kerusi, adalah agak tidak munasabah bagi PAS mengimpikan keadaan sebaliknya dalam masa terdekat.

Apatah lagi jika dinilai secara terperinci pada keputusan pilihan raya lalu. Kelima-lima calon PAS, di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun), tewas dengan majoriti undi agak besar. Kekalahan terkecil ialah di Dun Hulu Besut, dengan majoriti 2,453 undi, diikuti Dun Kuala Besut (2,631 undi).

Di dua lagi Dun, iaitu Jertih dan Kota Putera, calon-calon PAS kecundang dengan majoriti lebih besar, iaitu masing-masing 3,046 dan 3,332 undi. Manakala di kerusi Parlimen, majoriti kekalahan calon PAS ialah 10,590 undi.

Angka-angka tersebut meletakkan kesemua kerusi di Besut di kedudukan teratas dalam senarai kekalahan terburuk PAS di seluruh Terengganu. Justeru, apakah sandaran para pemimpin dan pendukung parti itu di daerah paling utara itu untuk sekali lagi merealisasikan impian menjadikan Besut sebagai “pintu tawan Terengganu” dalam pilihan raya nanti?

Sekali lagi rakan-rakan di sana berpegang kepada keyakinan bahawa tidak ada yang mustahil dalam politik. Jika dikatakan kedudukan tanpa sebarang kerusi tidak memungkinkan kemenangan memihak PAS, suasana sama sebenarnya telah dihadapi parti itu sebelum PRU 1999 lalu. Namun, semua tahu ia berjaya mencipta kejutan besar apabila menang di kesemua kerusi di kawasan itu.

Suatu hakikat politik yang sukar ditolak juga, setakat ini dalam kedua-dua kejayaan PAS menawan Terengganu (1959 dan 1999), ia turut dibantu kemenangan sapu bersih kesemua kerusi di Besut. 

Justeru, tidak ada salahnya meletakkan sasaran dan harapan di tahap agak tinggi. Mudah-mudahan hasrat menggunung ini mendorong usaha berlipatganda mencapainya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1662, 1 Ogos 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Thursday, July 21, 2011

Dr Lo’ Lo’ cipta sejarah hasil Bersih 2007

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Para pendukung perjuangan Islam, khususnya ahli dan penyokong PAS kehilangan sebutir lagi permata berharga apabila berpulangnya ke rahmatullah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Dato’ Mohd Ghazali.

Ahli Jawatakuasa PAS Pusat itu disahkan meninggal dunia pada Ahad, 17 Julai di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang akibat penyakit barah paru-paru yang dikesan sejak dua tahun lalu.

Beliau meninggalkan suami, Prof. Madya Dr Aminuddin Abd Hamid dan empat anak. Sekalung takziah buat seluruh anggota keluarga Allahyarham.

Tidak syak lagi pemergiannya banyak meninggalkan pengiktibaran. Kegigihan dan komitmen tinggi beliau dalam menjulang cita-cita mendaulatkan Islam wajar dicontohi semua pihak. Ia sepatunya menyemarakkan lagi semangat dan iltizam para pencinta demokrasi, terutama di kalangan muslimat PAS, untuk mengambil teladan daripada susur galur perjuangannya.

Bekas aktivis Dewan Muslimat PAS Pusat itu tidak naik mendadak di dalam hierarki kepimpinan parti. Bahkan, buat jangkamasa agak panjang, beliau mengekalkan kedudukan low profile serta tidak menzahirkan penglibatan terbuka.

Kehadirannya pada era 90-an seakan tidak disedari atau tidak begitu dipedulikan. Beliau sekadar mengisi kolum tetapnya dalam al-Muslimah, majalah wanita Islam yang suatu ketika dulu pernah diurusterbit oleh Dewan Muslimat Sdn Bhd.

Hanya kira-kira sedekad lalu Allahyarham mengejutkan arus perdana politik PAS apabila muncul satu-satunya calon muslimat yang berjaya memenangi pemilihan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sejak itu beliau kekal berada di saf hadapan parti. Di atas faktor kesihatan beliau tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PAS Pusat, Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, anak bekas mufti Perak, Dato’ Mohd Ghazali Abdullah ini diamanahkan menggalas tanggungjawab mencabar Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bukit Gantang. Barangkali faktor beliau anak kelahiran Kuala Kangsar, turut menjadi perkiraan pucuk pimpinan PAS.

Nasib bagaimana pun tidak menyebelahi Allahyarham. Beliau tewas kepada calon Gerakan, Dato’ Tan Lian Hoe dengan majoriti lebih 8,000 undi.
Namun kegagalan itu tidak pernah mematahkan semangatnya. Pada 2008, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi membuat ‘kejutan’. Beliau mencipta sejarah buat PAS apabila pertama kali parti itu berjaya memenangi kerusi di Wilayah Persekutuan.

Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aziz Jamaluddin Md Tahir di Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 1,972 undi. Beliau memungut 17,857 undi berbanding Aziz Jamaluddin yang mengutip 15,885 undi.

Selain dianggap kejutan politik dan penciptaan sejarah, kemenangan itu juga sekali gus mengoyak-rabakkan keegoan dan hegemoni kuasa BN, khususnya di kerusi berkenaan. Ia memadamkan keyakinan BN mengekalkan cengkamannya di kubu tradisi itu, terutama bermodalkan majoriti pada 2004 berjumlah hampir 12,000 undi.

Bahawa BN tidak mampu ditewaskan di kawasan majoriti Melayu, khususnya di Pantai Barat bukan lagi hakikat politik yang boleh diterima. Tiada lagi kawasan selamat buat parti pemerintah itu, termasuk di ibu negara.

Apatah lagi daripada sebelas kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN mampu mempertahankan hanya satu kerusi, iaitu di Setiawangsa. Itu pun dengan kemerosotan lebih separuh undi majoriti.

Kemenangan Dr Lo’ Lo’ bersama calon-calon Pakatan Rakyat lain menggambarkan kecenderungan bahawa warga kosmopolitan Kuala Lumpur telah sepakat menolak kebobrokan pemerintahan BN. Pembuktian itu pula berlaku selepas parti-parti pembangkang teruk diganyang dan dibelasah menerusi seluruh saluran media dikuasai BN, terutama ekoran berlangsungnya Himpunan Bersih pertama pada November 2007.

Apa yang tidak dikata dan dilontarkan oleh agen-agen propaganda parti pemerintah itu terhadap parti lawan? Keadaannya tidak jauh berbeza dengan apa yang baru dan sedang dialami pihak-pihak terlibat dengan penganjuran Bersih 2.0 baru-baru ini.

Empat tahun lalu, parti-parti pembangkang digambarkan cuba membawa negara ke kancah huru-hara dan kacau-bilau. PAS secara spesifik dituduh pemecah belah perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam. Lebih teruk lagi, ia dilabelkan sebagai menggadai maruah agama dan sanggup menjadi alat kepada pihak/parti lain.

Bukankah tuduhan dan label serupa yang kini bersipongang di media arus perdana talibarut BN?

Empat tahun lalu juga, para cerdik pandai, agamawan dan ahli akademi disintuk limau agar tampil merasionalkan segala cerita buruk BN terhadap Himpunan Bersih. Ada pihak yang kononnya membuat kajian ilmiah, mendakwa parti pembangkang akan menerima akibat paling buruk dalam pilihan raya selepas itu.

Kata mereka, warga ibukota semakin muak dan bertekad menolak pembangkang. Himpunan Bersih 2007 dikatakan telah menyusah dan merugikan rakyat. Ia menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kewibawaan pembangkang mengekalkan keamanan negara.

Malah ada juga dakwaan kononnya anak-anak muda semakin menolak parti-parti itu, terutamanya PAS.

Hanya sejurus selepas kerancakan serangan dan tohmahan sedemikiannya munculnya pilihan raya umum. Pakatan Rakyat hampir menyapu bersih kerusi di Kuala Lumpur.

Kemenangan itu, termasuk oleh Dr Lo’ Lo’ adalah bukti nyata bahawa Himpunan Bersih 2007 telah membuakkan lagi semangat menolak BN di kalangan warga kota.

Itulah hakikat yang memang diakui BN, walau pun kini ia berusaha sedaya mungkin menggambarkan seolah-olah keadaan yang berlaku adalah sebaliknya.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1659, 22 Julai 2011 di ruangan 'fokus', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, July 17, 2011

Umno silap besar ‘menjolok sarang tebuan’


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno tersilap besar sekiranya menyangka dengan apa yang telah diperlakukannya terhadap pihak penganjur dan pendokong Himpunan Bersih 2.0 akan memberi keuntungan politik kepadanya.

Lebih tersilap lagi andainya mereka berharap dengan tekanan, momokan dan cereka buruk yang mereka lontarkan terhadap semua pihak terlibat menjayakan himpunan itu akan menghakis sokongan rakyat terhadap perjuangan menegakkan keadilan dan membedah demokrasi negara.

Apa yang terhasil ekoran manipulasi jahat BN, termasuk tindakan ganas dan rakus anggota keselamatan dalam menggagalkan himpunan aman itu, terbukti bukan suatu yang menyelesakan parti pemerintah itu. Sebaliknya, ia bertukar menjadi pembakar semangat dan pencetus gelombang kebangkitan lebih membugar di kalangan pendokong parti-parti pembangkang.

Sebagai salah satu negeri yang sentiasa menjadi sasaran kemenangan PAS, Terengganu kali ini tidak terlepas daripada badaian gelombang kebangkitan itu. Isu Himpunan Bersih 2.0 paling tidak telah menjadi penguji tahap komitmen para pendokong parti itu yang selama ini dianggap lesu, tidak bermaya dan ‘putus semangat’.

Alhamdulillah, mereka telah menunjukkan tahap sensitiviti agak tinggi, terutama dalam memberikan reaksi spontan terhadap apa-apa tindakan politik oleh parti lawan. Ia terbukti apabila hanya dengan sedikit kerahan menerusi khidmat pesanan ringkas (sms), mereka sanggup meninggalkan rutin harian dan bergegas membentuk lautan manusia di lokasi diarahkan kepimpinan parti.

Itulah yang berlaku suatu petang dua minggu lalu. Ura-ura Pemuda Umno Terengganu akan mengadakan perhimpunan haram di depan pejabat Badan Perhubungan PAS negeri bagaikan mengusik kesabaran penyokong PAS.

Dikatakan dalam masa hanya tidak sampai sejam dikerah menerusi sms, ratusan anak muda PAS terutama dari sekitar Kuala Terengganu telah memenuhi pekarangan pejabat itu. Mereka cukup bersedia menerima kunjungan khalayak sebaya mereka dari parti lawan yang kononnya mahu membantah sokongan Pemuda PAS Terengganu terhadap Himpunan Bersih 2.0.

Mujur juga Pemuda Umno membatalkan hasratnya itu. Kelibat mereka tidak kelihatan hingga ke petang. Barangkali para perisik telah memaklumkan kepada mereka bahawa Pemuda PAS telah membentuk lautan manusia menyambut ketibaan mereka.

Sebetulnya sudah agak lama rakyat Terengganu tidak menyaksikan jumlah besar manusia, khususnya khalayak politik, berkumpul di satu-satu lokasi secara mengejut sebegitu. Ada pun perhimpunan melibatkan kerahan atau program besar dirancang dalam masa agak panjang bukan lah perkara pelik dan tidak disifatkan suatu yang mengejutkan.

Sama ada PAS mahu pun Umno, selaku dua pemain utama di pentas politik Terengganu, kedua-dua parti itu memang mengaturcarakan perhimpunan besar dalam kalendar tahunan masing-masing. Saban tahun memang ada program melibatkan kehadiran ribuan penyokong di sesuatu tempat membincangkan berbagai perkara berkaitan perjalanan parti, perkembangan politik semasa dan berbagai isu.

Yang berbeza hanyalah nama mereka. Sementara PAS selesa menggunapakai istilah Arab iaitu ijtimak, Umno pula bangga dengan perkataan konvensyen, sesuai dengan akronim namanya yang memang diaspirasi penjajah Inggeris itu.

Namun, suatu perhimpunan melibatkan kerahan segera atau tergempar sudah lama tidak berlaku di Terengganu. Rasanya kali terakhir himpunan sedemikian, yang berlaku sebagai reaksi spontan terhadap sesuatu isu atau perkembangan mengejutkan ialah pada malam 21 Mac 2004.

Hari itu berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-11. Belum pun sempat keputusan penuh diumumkan, kekalahan PAS sudah dapat dicium. Menjelang Maghrib, sudah tersebar berita ke serata negeri dan negara bahawa PAS bakal kehilangan kerajaan negeri Terengganu.

Maka menjelang waktu Isyak ribuan ahli dan penyokong PAS dari seluruh negeri telah berhimpunan di pekarangan Masjid Rusila, Marang. Jumlah mereka meningkat berkali ganda sejam-dua selepas itu.

Menjelang jam 11 malam, hampir tidak ada sudut tidak dipenuhi manusia. Sebahagian mereka memenuhi jalan raya, malah melimpah ke pantai di seberang jalan. Tanpa tujuan yang jelas dan tanpa diketahui siapa bertanggungjawab membuat kerahan, mereka dengan sendirinya terpanggil untuk hadir.

Barangkali dorongan utama buat mereka ke situ ialah demi menzahirkan kebersamaan mereka dengan para pemimpin kesayangan. Di saat hati mereka sendiri luluh dan terkedu, berkongsi perasaan sedih dengan rakan-rakan seperjuangan dari serata negeri sekurang-kurangnya diharap mampu mengubati kedukaan ketika itu.

Perhimpunan tergempar sebegitu bagaimana pun tidak berlaku selepas itu. Ia hanya muncul semula ekoran kesilapan BN/Umno yang terlalu meuar-uarkan tindakan keras dan rakus terhadap mana-mana pihak yang mempromosi Himpunan Bersih 2.0.

Bagai disebutkan, pendirian BN yang keras dan tidak demokratik itu telah menukar suhu politik negara. Tidak keterlaluan jika ia diibaratkan ‘menjolok sarang tebuan’. Elok-elok binatang penyengat itu duduk diam dalam sarang atau sekadar terbang buat hal sendiri sekitar tempat tinggalnya itu, tiba-tiba ada orang mengusik kedamaiannya.

Rakyat ternyata tidak dapat menerima kebongkakan BN menidakkan hak dan kebebasan rakyat berhimpun dan meluahkan pendirian. Lebih menzahirkan kezalimannya ialah apabila BN sanggup merampas baju T Bersih, kemudian memfitnah pihak penganjur dengan berbagai cereka buruk.

Kemuncak tindakan yang amat mengusik kesabaran pendokong PAS ialah apabila beberapa pemimpin utama parti ditahan pada hari kejadian. Kenyataan tegas dari pejabat Agung PAS agar pihak polis segera membebaskan mereka, terutama Presiden parti, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menerjah hati ahli-ahli PAS hingga ke peringkat bawahan bagaikan halilintar membelah bumi.

Mereka bukan setakat bersedia, malah ada yang telah pun memulakan perjalanan untuk membentuk lautan manusia di depan ibu pejabat polis dimaksudkan. Ada yang menuju ke Bukit Aman, Kuala Lumpur. Tidak kurang juga yang bergegas ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Terengganu di pusat bandaraya Kuala Terengganu.

Mujur juga berita pembebasan Tuan Guru Presiden cepat diterima. Himpunan dimaksudkan tidak sempat berlaku.

Bagaimana pun, semangat kebangkitan yang telah dicetuskan tindakan rakus BN itu kini sudah semakin sukar dipadam. Di luar dugaan, kepulangan Tuan Guru Presiden ke Terengganu Isnin lalu disambut lautan manusia. Malam itu hampir tidak ada ruang kosong di segenap sudut Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Sudah lama beliau tidak diberikan sambutan sehebat itu ke mana-mana Tuan Guru pergi. Ekoran kebajingan BN melayani Himpunan Bersih 2.0, kehebatan itu tiba-tiba muncul semula.

Itulah yang kita maksudkan bahawa BN/Umno telah tersilap besar!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1658, 18 Julai 2011 di ruangan 'Kolumnis', N5 dengan tajuk serupa)

Thursday, July 14, 2011

Kerugian: Rakyat patut salahkan BN

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Banyak pihak menganggap Himpunan Bersih 2.0 telah menempa kejayaan dalam konteks tersendiri. Biar pun ia tidak berlangsung sepertimana diharapkan pihak penganjur dan jutaan rakyat yang mendokongnya, impak dan implikasinya sudah cukup besar dan signifikan terhadap sosio-politik negara.

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Sabtu lalu sepatutnya menghimpunkan tidak kurang 300,000 pencinta demokrasi dari seluruh pelusuk tanahair. Ia bagaimana pun tidak dapat direalisasikan.

Dikatakan hanya tidak sampai sepuluh peratus jumlah itu yang sempat berkumpul di beberapa lokasi sekitar ibukota. Manakala 90 peratus lagi terhalang daripada memasuki pusat bandaraya. Kewujudan berpuluh sekatan jalan raya oleh pasukan polis membantutkan hasrat mereka menyertai rakan-rakan yang telah berada di lokasi himpunan lebih awal.

Akibat halangan disengajakan itu, suasana deretan kenderaan berbatu-batu panjang dikatakan berlaku di segenap pintu masuk ke Kuala Lumpur. Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan menutup hampir 60 jalan utama yang menyirati pusat bandaraya.

Seluruh kawasan sekitar lokasi dijadualkan berlaku perhimpunan itu didakwa kaku dan beku. Banyak premis perniagaan ditutup. Aliran trafik, termasuk kenderaan awam juga lengang.

Seperti diduga, suasana itu dimanipulasi secukupnya oleh BN dan segenap agen propagandanya. Para peniaga, pengusaha hotel, premis makanan, pengangkutan awam dan berbagai pihak lain di kawasan terbabit dikatakan mengalami kerugian teruk.

Bagaikan diapi-apikan pihak tertentu, mereka ini tampil dengan taksiran kerugian yang diandaikan sendiri. Jumlahnya tidak ada yang kurang daripada puluhan ribu RM. Bahkan ada pihak tertentu mendakwa angka kerugian pihaknya mencapai jutaan RM. Lalu ada tukang congak mendakwa jumlah seluruh kerugian itu ditaksirkan melebihi RM100 juta.

Dengan mudah pula pihak penganjur Bersih 2.0 dipersalahkan. Kononnya akibat kedegilan mereka meneruskan hasrat mengadakan perhimpunan di pusat bandaraya menyebabkan berbagai pihak tidak dapat meneruskan aktiviti ekonomi masing-masing.

Di sinilah sepatutnya rakyat diajak berfikir dan menilai dengan mata hati, bukannya berdasarkan emosi atau sentimen kepartian melulu. Rakyat juga sepatutnya diajar menerima sesuatu keadaan secara positif dan mengelakkan sedari awal mengandaikan keburukannya sahaja.

Namun itulah yang jelas dilakukan BN. Bermula daripada para pemimpin tertingginya hinggalah kepada pemimpin bawahan, kesemua mereka hanya ghairah melontarkan andaian negatif. Hampir tidak ada yang bersikap rasional dan sekurang-kurangnya mewajarkan desakan rakyat itu.

Media talibarut BN pula menyemarak dan mengapikan lagi perasaan benci dan gambaran negatif rakyat terhadap Bersih. Warga awam turut ditakutkan dengan segala macam andaian dan kemungkinan buruk yang bakal terhasil.

BN bertanggungjawab menjaja kononnya Himpunan Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram. Ia melabelkannya ganas, pencetus huru-hara, bakal merosakkan negara dan menjahanamkan ketenteraman awam.

Itulah khianatnya BN. Ia dibayangi ketakutan melihat penerimaan rakyat terhadap tuntutan diperjuangkan Bersih 2.0. Ia sudah dapat mencium implikasi politik yang tidak menguntungkannya. Gambaran kesan negatif diterima BN hasil Himpunan Bersih yang pertama pada 2007 menambahkan lagi kegusaran itu.

Ketika itu apa yang tidak dikatakan BN terhadap pihak penganjurnya. Segala gambaran buruk dilontarkan, bermacam label dan imej negatif dikaitkan kepada pembangkang. Namun, walau pun dikatakan warga ibukota sangat marah dan makin menolak pembangkang, keputusan Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan sebaliknya. BN hanya bertahan di satu kerusi di Kuala Lumpur dan kerajaannya di Selangor turut tumbang.

Sebab itu jika dikatakan Bersih 2.0 bakal memberikan implikasi politik negatif terhadap Pakatan Rakyat, ianya semata-mata saraf BN. Parti pemerintah itu sebenarnya sudah menjangkakan impak politik lebih teruk sekiranya Bersih 2.0 dibenarkan dilangsungkan semahunya.

Lalu bagi menggagalkan usaha itu, ia digambarkan sebagai sesuatu yang boleh menggugat keselamatan negara, mengancam kesejahteraan rakyat dan merugikan aktiviti ekonomi. Sedangkan segala-galanya hanya bergantung kepada bagaimana sebuah kerajaan menanganinya secara wajar.

Bayangkan saja sekiranya kebanjiran ratusan ribu individu dari segenap pelusuk tanahair ke ibukota itu ditangani secara positif. Kita percaya ia sebenarnya bukan sahaja boleh berlangsung secara aman dan tenang,malah mampu menjana aktiviti ekonomi sangat rancak dan menguntungkan.

Jika mahu, kerajaan boleh mengerahkan ribuan anggota polis dan tentera untuk memastikan himpunan itu berjalan dengan baik dan teratur. Daripada melonggokkan kumpulan demi kumpulan anggota polis di sekatan-sekatan jalan raya, mengapa tidak ditugaskan mereka mengawal lalulintas dan menyurai lalulintas di lokasi yang dijangkakan akan mengalami kesesakan?

Bukankah pasukan polis kita ada kepakaran dan pengalaman menyuraikan trafik di bandaraya besar? Bahkan, jika mahu, pihak perancang bandaraya boleh diminta nasihat teknikal, sepertimana yang lazim dilakukan bagi memastikan kelancaran perjalanan sesuatu perhimpunan besar anjuran kerajaan di pusat bandaraya.

Jika itu dilakukan, sudah tentu Kuala Lumpur dibanjiri pengunjung Sabtu lalu. Mereka ini akan berbelanja, tidak banyak pun, sedikit. Premis-premis perniagaan boleh beroperasi seperti biasa. Mereka tidak akan rugi.

Ambil saja contoh beberapa premis yang dilaporkan meneruskan operasi tanpa mempedulikan gembar-gembur suasana menakutkan yang digemariuhkan media talibarut BN. Dikatakan premis-premis itu tidak menang tangan melayani para pengunjung. Mereka malah kehabisan sajian untuk dinikmati pelanggan.

Ertinya, jika ditangani secara positif, inilah sebenarnya peluang bagi bermacam sektor ekonomi di Kuala Lumpur meraih keuntungan besar.

Justeru, sekiranya benar bagai didakwa beberapa pihak bahawa mereka kerugian besar akibat Himpunan Bersih 2.0 minggu lalu, maka mereka tidak sepatutnya terlalu mudah menyalahkan pihak penganjur himpunan itu.

Salahkanlah kepada sekatan jalan raya dan penutupan berpuluh jalan menuju ke ibukota. Itulah punca utama Kuala Lumpur tiada pengunjung.

Salahkan juga BN yang menjadi punca tindakan bodoh dan merugikan itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1657, 15 Julai 2011 di ruangan 'kolumnis' F21 dengan tajuk sama)

Friday, July 8, 2011

Prinsip keadilan: Hujah BN tak rasional

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Di antara hujah paling lumrah dihamburkan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan perjuangan rakyat menuntut proses pilihan raya yang lebih bersih dan adil ialah kononnya sistem yang digunapakai sekarang sudah pun sempurna. Ia dikatakan antara yang terbaik di dunia dan tidak memiliki kecacatan besar atau kelemahan agak ketara sehingga memerlukan suatu perubahan segera dan signifikan.

Barisan Nasional (BN) selaku penguasa yang bertanggungjawab menentukan aturan dan peraturan diterimapakai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyempurnakan proses demokrasi itu sememangnya menjuarai laungan mempertahankan status quo itu.

Berbagai pihak lain, termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO - yang tidak sukar dibuktikan mempunyai hubungkait rapat dengan BN) tampil menyemarakkan sentimen kebencian umum terhadap kelompok rakyat yang cuba memperbetulkan perjalanan pilihan raya negara ini.

Semacam ada kesepakatan dalam hujah mereka mempertikai kewajaran suara-suara menuntut pembersihan sistem pilihan raya. Bermula daripada pemimpin tertinggi hingga kepada pencacai BN di peringkat akar umbi, mereka ini mendakwa tidak ada apa lagi yang sayugia dibersihkan, sama ada dalam SPR itu sendiri selaku badan pengurus pilihan raya mahu pun proses pilihan raya itu sendiri.

“Keadilan (pilihan raya) yang macam mana lagi yang mereka mahu? Dah lebih 20 tahun PAS perintah Kelantan, menang melalui pilihan raya. Kalau pilihan raya tak adil, tak kan PAS boleh terus perintah (Kelantan), menang pula di Kedah, DAP di Pulau Pinang, PKR (KeADILan) di Selangor?”, kata seorang penjuak Umno.

Kita percaya ungkapan sedemikian sudah menjadi klise di kalangan pendokong BN dan khalayak yang tidak bersetuju dengan tuntutan rakyat tadi.

Bahkan itulah sanggahan paling lumrah kita dengar diucapkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, para menteri, bekas Perdana Menteri dan sekalian para pemimpin BN. Ia turut dipanjangkan para pemimpin pertubuhan pendokong BN dan para penjuak parti itu di kampung-kampung.

Ertinya, bagi mereka ini hanya kerana pembangkang berupaya memperolehi kemenangan di sebilangan kerusi atau menguasai beberapa negeri, maka ia sudah cukup membuktikan bahawa sistem digunapakai SPR itu adil. Kononnya ia tidak semestinya hanya memihak kepada BN. Justeru, kata mereka, kenapa sibuk-sibuk mahu meminda sistem itu?

Itulah rasional yang bagi kita agak tidak rasional. Apakah sesuatu keadaan, proses atau perbicaraan itu hanya layak dianggap tidak adil hanya sekiranya ia memihak secara mutlak kepada sesuatu pihak? Contohnya, apakah rakyat hanya berhak mengatakan sistem pilihan raya negara belum cukup adil sekiranya semua kerusi dipertandingkan itu dimenangi secara mutlak hanya oleh BN?

Justeru, jika hanya berlaku satu kes tidak memihak pemerintah (contohnya, hanya satu kerusi dimenangi pembangkang) apakah itu sudah boleh dijadikan bukti bahawa perjalanan proses pemilihan itu tersangat adil dan tidak wajar dipertikaikan?

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa sememangnya begitulah kecenderungan para pemimpin BN membentuk minda para pendokongnya. Suatu ketika dulu rasional sama disuarakan seorang Presiden Umno apabila mahkamah memutuskan parti itu sebagai pertubuhan haram.

Pemimpin tua menyandarkan kes itu sebagai bukti betapa sistem kehakiman negara ini cukup adil. Lihatlah, katanya, bagaimana sebuah parti pemerintah pun tidak terlepas dari menerima hukuman diharamkan oleh mahkamah. Ertinya disebabkan satu kes yang tidak memihak kepada parti pemerintah (Umno), maka sistem itu dijustifikasikan sudah adil.

Justeru apa–apa suara mempertikaikan keadilan sistem kehakiman negara atau memperjuangkan sistem lebih telus dan berintegriti secara mudah digambarkan sebagai sengaja memburukkan parti pemerintah atau cubaan memporak-perandakan negara.

Para pemimpin Umno peringkat akar umbi juga berpegang kepada hujah serupa. Setiap kali kedengaran aduan salahlaku atau diskriminasi politik oleh penguasa kampung, mereka akan menjawab “macam mana kata kami tak adil, sedangkan penyokong pembangkang juga dapat bantuan kami”.

Selalunya itulah pembuktian mereka. Biar pun jumlah penyokong pembangkang yang menerima bantuan itu hanya tiga daripada keseluruhan 250 penduduk misalnya, itu pun sudah diperbesarkan sebagai hujah kononnya mereka sudah tersangat adil.

Begitu juga dalam menafikan tuntutan akses pembangkang terhadap ruang lebih adil di media arus perdana, terutama yang dimiliki kerajaan. Seringkali mereka beranggapan keadilan itu sudah pun wujud hanya dengan peluang sekali-sekala yang diperolehi para pemimpin pembangkang mengisi ruang media terbabit. Kononnya itulah bukti media dikuasai BN juga memberi ruang secukupnya kepada pembangkang.

Malah ada pula yang melontarkan hujah dangkal betapa para pemimpin BN sebaliknya tidak diberikan ruang seperti itu oleh media-media dikuasai pembangkang, sama ada media cetak atau media baru.

Sehingga kini itulah rasional yang dipegang segenap lapisan pendokong BN. Bahawa hanya disebabkan khalayak pembangkang diberi peluang atau mendapat secebis manfaat daripada apa-apa sistem digunapakai kerajaan, maka mereka tidak lagi layak mempertikaikan keadilan sistem dimaksudkan. Dangkalnya hujah mereka, bukan?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1655, 8 Julai 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Friday, July 1, 2011

BN utamakan mini zoo berbanding keperluan rakyat

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sudah hampir pasti kerajaan Terengganu akan sekali lagi berbelanja besar bagi memuaskan nafsu dan selera para pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri. Hanya bersandarkan kepada alasan melaksanakan agenda pembangunan, wang rakyat halal dibelanjakan semahunya.

Dalam perkembangan terbaru, kerajaan negeri itu merancang menaik taraf Mini Zoo Kemaman dalam masa terdekat. Walau pun para pemimpin BN negeri sedia maklum perbelanjaan tidak sepatutnya diutamakan untuk itu di saat bebanan hidup rakyat semakin bertimpa kini, tidak nampak sebarang petanda mereka akan meraikan keadaan itu.

Pembinaan mini zoo itu telah pun menjadi bahan pertikaian rakyat Terengganu sedari awal. Harga pembelian beberapa binatang dipelihara di situ, terutama dari luar negara dianggap tidak munasabah.

Antara yang paling diperkatakan rakyat ialah bagaimana rupa seekor angsa yang berharga lebih RM3,000, lebih mahal daripada seekor lembu Carolaiss dewasa yang jika disembelih boleh menjamu lebih seribu hadirin.

Selain itu, perbelanjaan besar terutama untuk menyelenggarakannya dianggap tidak sepadan dengan manfaat atau pulangan diperolehi negeri.

Itulah yang sebenarnya menjadi fokus pertikaian rakyat. Malang sekali keluhan dan ‘pandangan kedua’ itu, yang sebenarnya bermaksud agar BN menilai semula keutamaan perbelanjaan wang kerajaan seakan jatuh ke ‘telinga badak’.

Sebaliknya, jika komitmen Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said diambilkira, kos kerja menaik taraf dihasratkannya itu dijangka tidak akan hanya melibatkan angka yang kecil. Ia malah mungkin menjadi berkali ganda lebih besar berbanding kos asal pembinaan mini zoo yang ada sekarang.

Media pada Ahad, 26 Jun, memetik kenyataan Ahmad yang bercita-cita menjadikan taman haiwan di daerahnya itu sebagai zoo terbesar di negara ini. Cita-cita besar itu secara tidak langsung sudah membayangkan justifikasi kepada peruntukan besar yang bakal dikeluarkannya.

Katanya, pelbagai perancangan dirangka pihaknya sebagai tarikan baru ke Mini Zoo Kemaman. Antara yang disebutnya ialah mewujudkan ‘African Safari’ di dalam taman itu.

“Saya juga dihubungi pihak Zoo Melaka dan mereka mahu memberi tujuh ekor singa untuk dipelihara di sini. Pihak zoo juga sedang giat membina sangkar ular tedung sepanjang kira-kira lapan meter,” ujarnya dengan ghairah.

Kerja menaik taraf mini zoo itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. Namun, sepertimana lazim berlaku terhadap kebanyakan projek BN, besar kemungkinan tempoh itu akan dilanjutkan semahunya. Bukan itu sahaja, kos pelaksanaannya juga diandaikan bakal meningkat menerusi pelbagai variation orders.

Bagi rakyat yang semakin terhimpit oleh kenaikan kos sara hidup, sama ada zoo itu ada atau tidak, bukan sesuatu yang diharapkan mereka. Bahkan jika ia langsung tidak dibina pun, rakyat tidak akan menyesal, menyalahkan BN atau menganggapnya sebagai kegagalan pemerintahan parti itu.

Sebetulnya banyak perkara lain lebih wajar diutamakan jika benar BN berhasrat menyenangkan hidup rakyat Terengganu. Contohnya, masalah kecetekan muara sungai akibat timbunan pasir yang berlaku di seluruh negeri.

Sebagai negeri yang ramai penduduknya bergantung kepada laut sebagai medan mencari rezeki, keselesaan laluan bot adalah keperluan asasi para nelayan. Bagaimana pun hampir semua muka kuala di negeri itu berdepan masalah mendapan pasir sehingga menyukarkan bot-bot keluar-masuk.

Setakat ini hanya muara Sungai Dungun mendapat komitmen pihak berkuasa untuk dilakukan kerja pendalaman. Itu pun baru kedengaran minggu lalu setelah bertahun-tahun lebih 1,000 nelayan di situ terpaksa melalui berbagai kesukaran mendaratkan hasil tangkapan atau keluar mencari rezeki. Ia juga bukan dari peruntukan kerajaan negeri, tetapi sepenuhnya di atas bantuan ehsan Kerajaan Pusat.

Ada pun masalah sama dialami para nelayan di tempat lain belum diberitakan mendapat perhatian BN. Pernah tersiar sebelum ini kisah bagaimana 300 nelayan di Sungai Merchang, Marang terpaksa melupakan hasrat ke laut kerana muara sungai itu tertutup oleh timbunan pasir.

Masalah sama yang mencengkam 600 nelayan dari beberapa kampung di sekitar Permaisuri, Setiu yang menggunakan Sungai Kuala Baru juga pernah dilaporkan media.

Rakyat Terengganu di beberapa daerah juga berdepan masalah bekalan air sangat kritikal. Kes-kes di daerah Marang adalah paling menyedihkan. Ada penduduk terpaksa menumpang mandi di masjid, ada yang berjaga seawal jam 3 pagi untuk menadah air hampir setiap hari.

Dalam kes agak terlampau, kebakaran di kantin sebuah sekolah di daerah itu terpaksa dipadamkan menggunakan kuah kari dan sup yang disediakan untuk hidangan tengahari berkenaan kerana bekalan air tidak ada.

Masalah yang membelenggu hidup rakyat di daerah itu dikatakan berlarutan sejak tujuh tahun lalu. Tarikh itu jika diteliti ia merujuk kepada tahun 2004, iaitu tahun Terengganu kembali diperintah BN.

Ertinya, sejak mengambilalih semula negeri daripada PAS, masalah air masih gagal diselesaikan BN. Apakah ia berdepan masalah peruntukan kewangan?

Jika begitu, rakyat berharap BN batalkanlah hasrat mengadakan projek-projek kurang bermanfaat, termasuk menaik taraf Mini Zoo Kemaman itu, dan utamakanlah menyelesaikan keperluan rakyat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1653, 1 Julai 2011 di ruangan 'kolumnis, F22' dengan tajuk sama)