Thursday, June 9, 2011

Isu Negara Berkebajikan serlah hipokrasi Umno

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Rasanya tidak ramai orang berakal akan mudah percaya jika dikatakan bahawa Umno sangat serius menjadikan pemerintahan ditunjanginya kini selari dengan tuntutan ajaran Islam. Bukan sahaja sukar mempercayainya, bahkan mungkin ada yang tergelak atau tersenyum sinis.

Sebab itu teramat janggal apabila tiba-tiba para pemimpin parti asobiyah itu kini riuh mempertikaikan kenapa PAS tidak lagi mencanangkan penubuhan Negara Islam. Kononnya apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memilih ‘Membangun Negara Berkebajikan’ sebagai tema ucapan dasarnya minggu lalu, ia menandakan parti itu sudah meninggalkan matlamat menubuhkan Negara Islam yang sekian lama diperjuangkannya.

Kejahilan dan kedangkalan para pemimpin Umno memahami konsep Negara Islam dalam konteks lebih menyeluruh adalah satu hal yang sudah dimaklumi. Namun persoalan yang lebih wajar ditanyakan ialah apakah keprihatinan Umno terhadap halatuju PAS itu bertitik tolak daripada hasratnya yang juga mahukan Negara Islam?

Kalau tidak kerana rekod pemerintahannya yang penuh dengan agenda mungkar dan sering pula menganjurkan perkara bercanggah dengan ajaran agama, sudah tentu tidak wajar bagi mana-mana pihak memperkecilkan komitmen Umno terhadap kedaulatan Islam di negara ini.

Malangnya, apa yang dapat dilihat, didengar dan dialami seluruh warga negara ini tidak membantu sesiapa pun memberikan kredit kepadanya di atas usaha memartabatkan hukum dan peraturan Tuhan.

Hendak dikatakan parti itu tidak berpeluang merealisasikan hasrat itu amat tidak munasabah. Ia telah diberikan kesempatan amat luas.

Lebih separuh abad selaku peneraju pemerintahan negara, tanpa pernah diselang-selikan oleh mana-mana parti lain walau seketika, sebenarnya sudah lebih dari cukup untuk Umno menyempurnakan pelaksanaan agenda Islam, sekiranya ia betul-betul berhasrat sedemikian. Malangnya, hakikat itu tidak berlaku.

Sebab itu meski pun pernah suatu ketika dulu Presiden Umno merangkap Perdana Menteri mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, tidak ada pihak menganggapnya sebagai pendirian yang serius. Sehinggakan para pemimpin parti bukan Islam komponen Barisan Nasional (BN) yang diketahui sangat lantang membantah sebarang usaha memperkenalkan peraturan Islam pun tidak menyanggah walau sepatah.

Akhirnya label ‘Negara Islam Contoh’ untuk negara ini, disertai gelaran ‘parti Islam ketiga terbesar di dunia’ untuk Umno lenyap begitu sahaja.

Entah mengapa orang susah percaya jika hal ehwal menegakkan Islam cuba dikaitkan dengan sikap dan pendirian Umno. Barangkali ia mungkin disebabkan tabiat Umno sendiri yang bukan sahaja tidak mewarnai wajahnya dengan warna Islam, malah kerap bertindak dalam bentuk yang dinilai sebagai tidak mesra terhadap mana-mana pihak yang mahu menegakkan nilai hidup Islam.

Contohnya, selaku parti tunjang kerajaan tentu sekali Umno tidak boleh lari dari dipertanggungjawabkan apabila usaha menyemarakkan dakwah Islam dan operasi pembanterasan maksiat sering berdepan karenah birokrasi yang rumit. Bahkan dalam sebilangan kes, para pemimpin Umno sendiri tampil membantah pihak-pihak di bawah bidang kuasanya yang cuba mempertahankan peraturan Islam yang telah digunapakai sekian lama.

Dalam kes yang lebih menyerlah, Umno muncul sebagai penghalang nombor satu bagi PAS memperkenalkan undang-undang Islam di negeri-negeri diperintah parti lawannya itu. Bukankah para pemimpin parti itu yang secara terbuka memberi amaran keras kepada pemimpin kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu agar tidak meneruskan hasrat melaksanakan hukum Hudud dan Qisas suatu ketika dulu?

Sebab itu rakyat melihat sikap Umno yang kononnya amat prihatin dengan matlamat PAS menubuhkan Negara Islam kini tidak lebih suatu sandiwara politik. Ia mengingatkan kita kepada kes Hudud di Kelantan dan Terengganu dulu.

Sejurus PAS memerintah Terengganu pada akhir 1999, Umno menjadi pendesak utama agar Hudud dilaksanakan. Hampir setiap simpang jalan yang strategik dinaikan pemidang mendesak perkara itu. “Mana hudud?”, “Bila lagi nak laksanakan hudud?”, “Rakyat Terengganu Mahukan Hudud”, baca beberapa pemidang itu.

Tidak cukup dengan itu, dalam ceramah dan program riuh-riuh anjuran Umno, isu kegagalan kerajaan PAS laksanakan Hudud turut dilaungkan.

Anehnya, apabila enakmen Hudud dan Qisas dibentang dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu, empat Adun Umno mengambil pendirian berkecuali. Mereka tidak mengundi, sama ada menyokong atau membantah.

Sepatutnya dengan keghairahan melebih-lebih penjuak Umno di luar sana, kesemua empat Adun itu menjadi orang paling awal mengangkat tangan menyokong enakmen tersebut.

Hipokrasi Umno dalam menuntut pelaksanaan Hudud oleh PAS lebih terserlah apabila  enakmen itu diluluskan dan kemudiannya diwartakan. Ada kenyataan pemimpin Umno mempertikai kewajaran melaksanakannya.

Ertinya, suara mereka mendesak PAS melaksanakan hukum itu sebelum itu rupa-rupanya hanya persendaan. Ia tidak lebih sekadar mewujudkan tekanan politik kepada PAS atau memberikan gambaran kegagalan pemerintahan parti itu.

Umno membuktikan ia memang tidak pernah berhasrat melihat hukum Islam itu terlaksana. Sebab itu selepas ia kembali berkuasa di Terengganu, eakmen Hudud dan Qisas ‘diperap’ dari pengetahuan umum, seolah-olah ia tidak pernah dibentang, diperbahas dan diluluskan Dun. Sedangkan ia telah diperkenankan Tuanku Sultan, diwartakan sebagai undang-undang sah bagi kerajaan negeri Teengganu dan hanya tunggu dilaksanakan

Itulah bukti hipokrasi Umno dalam menjunjung hukum Tuhan. Kini, episod hampir sama berkumandang lagi. Umno seolah mahu menggambarkan dirinya sebagai pihak yang paling mahukan Negara Islam. Lalu, apabila PAS tidak menyebut kalimah itu dalam muktamarnya kali ini, Umno seolah-olah menjadi pihak “paling dukacita”. Cheh!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1647, 10 Jun 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama. Ia turut dimuatkan ke laman http://www.detikdaily.net/ pada hari sama)

Apabila final Piala FA bukan sekadar sukan


Oleh: Mohd Nasir Awang 

“AMBO rasa Kelantan akan menang, tapi ambo tetap sokong Terengganu. Kita orang Terengganu, mestilah sokong negeri kita,” luah seorang peminat bolasepak dari Besut.

Anak muda itu secara jujur menyatakan pendiriannya mengenai kemungkinan keputusan yang bakal berlaku di final Piala FA antara dua negeri Pantai Timur itu, Sabtu (11 Jun ) ini. Pertandingan dijadual diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara.

Walau pun bolasepak kerap dianggap tidak lebih sekadar agenda sukan, bual bicara mengenainya di forum-forum rakyat sebenarnya tidak terbatas setakat itu. Di sana tersirat berbagai unsur lain, sama ada politik, agama, patriotisme dan seumpamanya.

Komen peminat di atas adalah contoh terbaik bagaimana semangat wataniah (perasaan cintakan negeri sendiri) tersemai kukuh di hatinya kendati pun apa hakikat yang berlaku. Secara jujur beliau menilai kekuatan pasukan negerinya (Terengganu) tidak sehebat Kelantan.

Apatah lagi selepas aksi hambar Skuad Penyu yang dimalukan di hadapan penyokong sendiri oleh The Red Warriors, Isnin lalu. Namun di atas rasa cintakan negeri sendiri, sokong tetap sokong.

Pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 6 Jun lalu, Terengganu tewas 3-0 kepada Kelantan. Tidak syak lagi aksi sedemikian di ketika kemuncak perhitungan kekuatan antara kedua pasukan itu berbaki hanya lima hari seolah-olah memberikan gambaran awal pertarungan akhir nanti.

Perkembangan itu secara jelas tambah menghangatkan lagi bual bicara masyarakat mengenai final Piala FA. Forum-forum sembang popular, sama ada di warung dan kedai kopi ketika bersarapan, di pejabat sambil melayan pelanggan, di pasar sambil membeli-belah, di pagar jambatan ketika asyik memancing, bahkan di anjung surau dan masjid sementara menunggu bilal iqamat, seakan ‘dikuasai’ topik bola sejak kebelakangan ini.

Mereka yang obses atau mesra dengan dunia siber pula memanfaatkan laman-laman sosial untuk menyatakan sokongan kepada pasukan masing-masing. Banyak entri berkaitan isu bola dan perlawanan akhir itu menjadi pilihan untuk dipaparkan di ‘wall’ masing-masing.

Agak rancak pertukaran pandangan antara mereka yang kekadang beralih menjadi perbahasan dan ‘pertikaman’ kata apabila masing-masing canggah-menyanggahi demi mempertahankan pasukan yang disokong.

Setiap mereka ada hujah dan sandaran tersendiri. Semakin hampir kepada tarikh final Piala FA, perbahasan dan bual bicara mengenainya semakin rancak dan hangat.

Apa yang pasti bolasepak bukan lagi sekadar isu sukan. Ia sudah memaut bersamanya unsur-unsur lain. Jika pendirian peminat dari Besut tadi dikaitkan dengan semangat wataniah, khalayak politik pula mengambil kesempatan keghairahan peminat bola ini untuk agenda politik mereka.

Menyedari hakikat bahawa bolasepak adalah sukan nombor satu rakyat negara ini, ditambah lagi hakikat betapa sebahagian besar penyokong fanatik setiap pasukan bola adalah kalangan anak muda, maka meraikan minat dan kecenderungan kelompok ini dirasakan boleh memberikan keuntungan politik kepada mana-mana pihak.

Sebab itu dapat dilihat kini bagaimana parti-parti politik seakan berlumba menyertai keghairahan peminat bolasepak menuju malam kemuncak itu. Mendahului persaingan menambat hati peminat bolasepak ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Sebaik negerinya mengesahkan tiket ke final Piala FA pertengahan Mei lalu, Ahmad terus sahaja mengarahkan setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu menyediakan bas bagi membawa penyokong Skuad Penyu.

“Jumlah bas terpulang kepada wakil rakyat berdasarkan peruntukan bantuan am yang masih ada. Kita ingin melihat stadium dipenuhi penyokong Terengganu,” tabloid harian edisi Terengganu, 20 Mei memetik katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal turut memaklumkan akan menyediakan 15 buah bas khusus untuk Dun itu sahaja.

“Sudah pasti ada ganjaran yang akan menanti pemain, namun biarlah ia (Piala FA) berada di tangan kita dahulu,” ujar Ahmad.

Tidak dipastikan apakah pemimpin Kerajaan Kelantan turut menjanjikan sesuatu ganjaran untuk pemain The Red Warriors, atau turut menyediakan bas-bas sewa khas mengangkut ribuan peminat pasukan negeri itu ke ibu negara.

Namun, apa yang pasti persaingan meraikan peminat bola bukan terhenti setakat itu. Kini sasaran parti-parti politik beralih pula kepada khalayak peminat di peringkat tempatan.

Lagi pun jumlah yang mampu diangkut ke Bukit Jalil sudah tentu tidak seramai yang masih tinggal di kampung masing-masing. Lalu Bahagian, Kawasan atau Cabang parti-parti seakan berlumba mengajak anggota masyarakat menyaksikan perlawanan akhir itu dalam persekitaran dianjurkan masing-masing.

Pemidang dan poster memaklumkan lokasi tayangan menerusi skrin besar dapat dilihat di merata ceruk tanahair. Ia turut diiklan menerusi laman sosial di dunia siber.

Penganjurnya pula bukan lagi hanya syarikat gergasi, premis niaga atau pihak berkepentingan dalam perniagaan. Ia turut diambilalih parti-parti politik, khususnya sayap pemuda masing-masing.

Politik telah menguasai suasana demam bola kini. Sebab untuk itu tidak sukar dimengertikan. Keghairahan anak-anak muda sememangnya elok disantuni kerana mereka adalah kelompok sasaran meraih undi pilihan raya. Apatah lagi demam pilihan raya semakin dirasai bahangnya kini.

Suratan atau kebetulan, dua negeri bakal berentap di final Piala FA kali ini bukan sahaja berjiran. Pada nilaian politik, mereka sebenarnya mewakili dua bentuk pemerintahan berbeza diterajui dua parti yang sama sekali berlawanan halatuju – Umno/BN di Terengganu dan PAS di Kelantan.

Justeru, tidak menghairankan apabila persembahan memberangsangkan skuad The Red Warriors dikaitkan dengan keberkatan pemerintahan seorang ulama. Bagi mereka yang berfirasat sedemikian (sudah tentulah orang PAS!), kemenangan pasukan Kelantan ke atas Terengganu adalah ibarat kejayaan PAS menewaskan Umno.

“Ini dah jadi macam Tok Guru (Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan) lawan Mat (Ahmad) Said ni”, latah seorang aktivis PAS berasal dari Kuala Berang, Terengganu.

Beliau adalah antara sebilangan anak negeri itu yang meletakkan kecintaan kepada parti mengatasi kesetiaan kepada negeri. Maaf cakap, tidak sedikit di kalangan peminat bola di Terengganu yang berpendirian seperti itu.

Baca pula coretan seorang rakan dari Rusila ini, sejurus sebelum sepak mula perlawanan antara Terengganu dan Kelantan, 6 Jun lalu: “... [S]aya memohon maaf kepada peminat bolasepak Terengganu, kerana dalam perlawanan malam ini atau final Piala FA nanti saya telah tekad menyokong Kelantan.....Bendera hijau putih bro.”

Ya, itulah rahsianya. Bendera hijau-putih. Bagi mereka ini, parti lebih utama daripada negeri sendiri. Sepertimana disebutkan tadi, rakan ini juga menganggap Kelantan mewakili PAS, parti dicintainya. Manakala Terengganu mewakili Umno/BN.

Setelah diasak rakan-rakan menerusi laman sembang itu, yang antara lain mempertikaikan kelunturan semangat kenegeriannya itu, rakan tadi menjelaskan: “Sebabnya, seronok kalau Piala FA juga dibawa balik ke negeri di bawah pimpinan ulama' (Kelantan). Ingat, sejarah telah membuktikan bahawa Terengganu boleh wat (bawa) balik Piala M'sia hanya ketika di zaman ulama' (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) memimpin dan Kelantan juga boleh wat balik Piala Malaysia di zaman ulama' memimpin”.

Ya tak ya juga, bukan? Itulah fakta dan hakikat sejarah yang tidak mungkin dapat dinafikan sesiapa pun. Bahawa buat pertama kali Terengganu berjaya menjulang Piala Malaysia ialah pada 3 November 2001, ketika ulama menjadi Menteri Besar.

Tentu sekali jika kepercayaan terhadap keberkatan pemerintahan Islam itu menjadi asas kepada sejumlah peminat bola di Terengganu beralih arah menyokong Kelantan, ia suatu hakikat yang amat tidak disenangi Umno, termasuk para pemimpin Umno Kelantan sendiri.

Bahawa di sana sudah tersemat kesetiaan kepada parti politik yang mengatasi semangat kesukanan, sesuatu yang sudah tentu tidak berlaku di kalangan peminat bolasepak bermazhab Umno!

Ataukah ada peminat bola (penyokong Umno) di Kelantan bersedia mengalih sokongan kepada Terengganu semata-mata di atas dasar parti? Nayyy... payah la sikit rasanya!

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily.net pada 9 Jun 2011 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net pada hari sama)


Monday, June 6, 2011

Negara Berkebajikan bukan agenda baru PAS

oleh: Mohd Nasir Awang

Nampak sangat masih ramai yang tidak faham konsep Negara Islam. Justeru, tidak pelik mengapa setiap kali kalimah itu disebut, dapat kita dengar dan baca komen dan reaksi negatif serta tidak munasabah dari khalayak umum.

Amat mendukacitakan apabila tanggapan serong terhadap Negara Islam bukan hanya datang daripada orang bukan Islam. Ia bahkan turut terpacul dari mulut orang-orang Islam sendiri.

Oleh kerana pihak paling akrab kepada kalimah itu ialah PAS, maka pihak paling gemar mempertikai dan mempersendakan konsep Negara Islam setiap kali ia dibual bicarakan ialah para pemimpin dan penjuak Umno.

Mereka terlalu angkuh di tampuk kuasa sehingga sanggup menganggap konsep pemerintahan berteraskan agama suci murni itu suatu ancaman kepada hegemoni kuasa Barisan Nasional (BN).

Sentimen politik kepartian yang terlalu menebal di kalangan mereka pula menjadi tembok penghalang untuk mereka sekurang-kurangnya membuka sedikit minda dan memberi ruang untuk penjelasan pihak lain mengenai kewajaran menjadikan hukum dan peraturan Tuhan sebagai dasar pemerintahan.

Mereka terlalu angkuh untuk memahami susur galur perjuangan PAS, jauh sekali untuk diharapkan menghayati bual bicara para pemimpin parti Islam ini sejak sekian lama.

Sebab itu apabila Presiden PAS, Datu’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memilih ungkapan ‘Membangun Negara Berkebajikan’ sebagai tema ucapan dasarnya tahun ini, banyak pihak yang seakan hilang punca lalu mengulasnya secara sembrono dan tidak ketahuan hala.

Mereka seolah-olah baru pertama kali mendengar ungkapan tersebut dari mulut para pemimpin PAS. Justeru ada yang secara boros terus menyimpulkan kononnya PAS telah berubah haluan perjuangan.

PAS dikatakan tidak lagi berhasrat menubuhkan Negara Islam, sebaliknya menukar matlamat perjuangannya kepada sebuah Negara Berkebajikan pula.

“Saya melihat penolakan konsep Negara Islam satu isyarat jelas kepada rakyat bahawa PAS sanggup menggadai prinsip demi meraih kemenangan politik,” ujar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

PAS dikatakan sudah lari dari prinsip perjuangan asal dan dikatakan hilang pedoman. Bahkan ada yang menuduh PAS menjual agama semata-mata kerana mahu mendapatkan pengaruh dan kuasa.

“PAS sudah terpengaruh dengan DAP menyebabkan mereka sanggup menjual agama demi mencapai matlamat untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa, dan kalau soal Negara Kebajikan, BN sudah lama buat,” ulas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ketua Menteri Melaka itu memang terkenal dengan sifat suka ‘cakap lepas’. Sepertimana para pemimpin Umno lain, beliau juga ada tabiat suka membuat kenyataan secara boros, sembrono dan tanpa usul periksa. Sebab itu kekadang ada kenyataannya yang kedengaran lebih dungu daripada pelajar sekolah!

Para pemimpin dan penjuak Umno bukan faham sangat pun apa itu Negara Islam. Mereka malah tidak pun sempat meneliti konsep Negara Berkebajikan dibentangkan Presiden PAS itu, tetapi tetap mahu mengulas berdasarkan kejahilan mereka.

Sebab itu tidak menghairankan sekiranya pemimpin Umno menyifatkan tindakan PAS mengutarakan matlamat ‘Membangun Negara Berkebajikan’ itu sebagai menggugurkan misi perjuangan menubuhkan Negara Islam.

Mereka memang tidak faham dan bercakap semata-mata atas serakah dan sentimen politik yang sempit. Lalu ada yang kata PAS berbuat demikian kerana takut hilang sokongan rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

“Abdul Hadi tidak sebut soal Negara Islam kerana takut kepada pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang. Presiden PAS lebih nak jaga hati DAP. Ini satu tragedi dalam sejarah di mana PAS kini tersungkur dan menyembah DAP,” itu pula ulasan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Kesemua kenyataan pemimpin Umno dan polemik Negara Berkebajikan yang sengaja cuba dibentuk media arus perdana talibarut BN adalah berbekalkan fahaman yang cetek terhadap konsep Negara Islam.

Di sana turut terserlah kedangkalan mereka mengenai titih baris perjuangan PAS. Konsep itu sebenarnya sudah bersebati di kalangan pendokong parti ini sejak sekian lama. Ia bukan ungkapan baru dicipta, jauh sekali untuk dikatakan ekoran mahu menyesuaikan diri dengan kehendak rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, khususnyaDAP.

Sesiapa yang benar-benar ikhlas mahu mengesahkan hakikat itu sebenarnya tidak perlu memusatkan sebegitu banyak pengkajian. Cukup sudah sedikit usaha meneliti kembali beberapa Ucapan Dasar Presiden PAS sebelum ini. Di sana sebenarnya sudah terakam sebagai bukti bertulis betapa konsep Negara Berkebajikan sudah pun menjadi bahan bual bicara pemimpin dan pendokong PAS sejak dulu.

Ia dijadikan dua subtopik di dalam ucapan Tuan Guru Abdul Hadi pada 2007 bertemakan “Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan’. Konsep Negara Berkebajikan dilontarkan sebagai penyelesaian kepada peningkatan bebanan hidup rakyat dan kebobrokan pemerintahan yang ada.

Tuan Guru Presiden juga mengungkap kejayaan pemerintahan PAS di Kelantan dan sepenggal di Terengganu sebagai contoh apa yang telah mampu dilakukan parti ini dalam merealisasikan konsep Negara Berkebajikan, “mengikut bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad”.

Perlu diingat bahawa pada tahun itu belum ada gagasan Pakatan Rakyat. PAS belum bersatu secara rasmi atau terikat dengan dua lagi parti, KeADILan dan DAP. Justeru, mana mungkin untuk dikatakan kemunculan konsep ‘Negara Berkebajikan’ adalah kerana meraikan pendirian dua parti rakan itu?

Pembuktian konsep itu secara amali disebut sekali lagi dalam ucapan dasar bertajuk ‘PAS Untuk Semua’ pada 2008.

“Walau pun menerima tekanan yang sedemikian, sehingga kini kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah dapat menunaikan sebahagian besar janji-janji pilihan raya yang bertemakan ‘Negeri Berkebajikan’ seperti pelaksanaan takaful kafalah di Kelantan, pembekalan air percuma di Selangor, penyerahan hak milik tanah di Perak dan cukai tanah di Kedah yang dikurangkan,” baca ucapan itu.

Soalnya, apakah Negara Berkebajikan ini suatu konsep amat berbeza dengan gagasan Negara Islam? Itulah yang menuntut pemahaman yang betul dari kita semua, khususnya mereka yang gemar mempersoalkan apa juga yang dilontarkan PAS.

Sebetulnya, dua konsep ini perkara sama. Mungkin lebih tepat dikatakan bahawa Negara Berkebajikan merupakan salah satu ciri atau sifat kepada Negara Islam. Bukankah ia telah diperjelaskan para pemimpin PAS sebelum ini?

Rasanya ia antara perkara termuat di dalam Memorandum Negara Islam yang pernah dikemukakan parti sedekad lalu. Almarhum Dato’Fadzil Mohd Noor merakamkan perkara ini dalam ucapan dasarnya bertajuk ‘Memantap Iltizam, Menyemarakkan Kebangkitan’ pada 2002.

Beliau memperincikan tujuh perkara yang disifatkannya sebagai teras utama sebuah Negara Islam. Salah satu teras itu ialah Negara Berkebajikan yang jenuh diperkatakan kini.

“Pemerintahan Islam pada sifat penghayatannya menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga apa yang dikatakan dengan pemerintahan Islam adalah ketika lahir di sana sebuah Negara Berkebajikan.

“Pada sudut ‘worldview’ dan falsafahnya, penghayatan pemerintahan Islam itu adalah bertujuan untuk memakmurkan atau mengisti’markan mukabumi ini dengan kebajikan dan makruf serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan terhadap seluruh makhluk di atas mukabumi ini termasuk alam sekitar,” ucapan Almarhum dipetik.

Nah! Bukankah sudah terang lagi bersuluh bahawa apa yang sengaja cuba dipertikaikan sesetengah pihak kini sebenarnya sudah lama diperkatakan PAS?

Ia bukan suatu kompromi atau tindakan mengalah yang boleh disifatkan merugikan perjuangan PAS. Jauh sekali untuk dikatakan PAS telah menggadai prinsip perjuangan, semata-mata kerana tidak menyebutnya sebagai Negara Islam.

Ia sebenarnya suatu kebijaksanaan yang menyerlahkan sifat keanjalan dan kesyumulan Islam yang mampu disesuaikan dengan perkembangan dunia. Konsep Negara Berkebajikan didokong Pakatan Rakyat.

Ia menjadi sebahagian perkara disebut di dalam Buku Jingga yang merupakan dokumen dipersetujui bersama parti-parti pakatan pembangkang, termasuk KeADILan dan DAP. Ertinya, agenda PAS sudah disesuaikan dalam bentuk yang dapat diterima rakan-rakan tanpa ragu dan pertikaian lagi. Bukankah itu suatu keuntungan kepada perjuangan Islam?

“Kita mulakan dengan perlaksanaan Negara Berkebajikan. Ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut Negara Islam, ia sebut Negara Berkebajikan,” kata Tuan Guru Abdul Hadi dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasarnya.

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily.net di kolum 'Pendapat & Analisis' pada 6 Jun 2011 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net untuk kolum 'Penulis Tamu' pada hari sama)

Mampukah dibendung “pesta naik harga”?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Harga barang-barang keperluan asas dijangka naik lagi dalam masa terdekat. Itulah cakap-cakap yang kini semakin menjadi lumrah, terutama di kalangan masyarakat bawahan.

Walau pun desas-desus sebegitu bermula dengan spekulasi atau semata-mata khabar angin, ia selalunya tidak terlalu jauh menyalahi hakikat yang benar-benar berlaku kemudiannya.

Sebab itu rakyat ada sebab sangat munasabah untuk percaya dan mengandaikan bahawa harga barangan keperluan harian mereka akan naik dan naik lagi selepas ini. Apatah lagi baru-baru ini telah berlaku kenaikan beberapa bahan utama seperti gula, petrol RON97 dan gas memasak.

Menjadi kelaziman pihak berwajib untuk memuntahkan rasional kononnya kenaikan itu tidak akan memberi kesan kepada harga barangan lain. Dibawakan berbagai hujah dan fakta bagi mengukuhkan andaian bahawa kenaikan bahan bakar dan pemanis itu pada kadar sangat minimal dan tidak sepatutnya menyebabkan berlakunya “pesta naik harga” terutama pada makanan dan minuman.

Kajian simulasi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi dijadikan bukti. Pegawai tertinggi kementerian mengatakan penyelarasan harga tiga barangan tadi menunjukkan kenaikan hanya antara 0.1 sen hingga tiga senberbanding harga semasa bagi makanan dan minuman seperti teh tarik, roti canai, karipap, mi goreng dan lain-lain seumpamanya.

“Jadi, tidak logik jika ada pengusaha makanan dan minuman menaikkan harga,” media memetik kata pegawai kementerian berkenaan.

Itu adalah antara hujah biasa yang diberikan, bertujuan meyakinkan rakyat. Namun, apakah keadaan yang benar-benar berlaku menepati apa yang ditegaskan kerajaan itu?

Berdasarkan laporan media dan pemerhatian dalam masyarakat, tidak sukar kita akui bahawa kenaikan harga barang, terutama makanan dan minuman tetap berlaku. Janji dan keyakinan yang cuba dipertahankan kerajaan setakat ini hanya ibarat janji kosong yang tidak dapat dikuatkuasakan.

Di manakah silapnya sehingga “pesta naik harga” yang sepatutnya tidak berlaku itu tetap berlangsung? Dan para pengusaha makanan dan minuman seakan tidak ada sekelumit kegusaran berdepan undang-undang dan peraturan kerajaan?

Akuilah bahawa punca utama ialah kerana tahap penguatkuasaan sesuatu ketetapan oleh kerajaan amat lemah. Para menteri, timbalan menteri dan pegawai kementerian bertanggungjawab mengawal dan memantau perkara ini seolah-olah hanya tahu menutur dan melontarkan keyakinan di peringkat masing-masing. Tetapi apabila tiba di tahap menguatkuasakannya, ia selalunya menemui kegagalan.

Akhirnya, mahu tidak mahu akan menyusul kenyataan dalam nada ‘berlembut’ dari pihak kerajaan untuk merasionalkan tuntutan pengusaha menaikkan harga. Kononnya ia tidak dapat dielakkan.

Itulah skrip dan lakonlayar yang sering berulang. Bermula dengan ura-ura kenaikan harga bahan keperluan utama, diikuti pengumuman oleh kerajaan mengesahkan perkara itu. Kemudian ada hujah-hujah merasional kenaikannya beserta jaminan ia tidak akan memberi kesan kepada harga barangan lain.

Bahkan ia disifatkan kenaikan amat minimal dan tidak membebankan pengguna terbanyak. Namun, akhirnya kenaikan harga barangan lain tidak dapat dielakkan juga.

Sebab itu apabila harga gula dan petrol sekali lagi dinaikkan bulan lalu, diikuti kenaikan tarif elektrik minggu lalu, rakyat ada sebab sangat munasabah untuk mengandaikan harga berbagai barangan lain juga bakal naik dalam masa terdekat.

Berdasarkan pengalaman lalu, hujah berbagai pihak mewajarkan tindakan kerajaan itu sepatutnya sudah tidak dilayan. Apa-apa alasan mendakwa ia tidak memberi kesan kepada pengguna berpendatan rendah sebenarnya merendahkan martabat pemikiran rakyat.

Secara logik pun semua orang dapat mencongak bahawa setiap kenaikan harga barangan asas akan tetap memberi kesan kepada produk dihasilkan menggunakan barangan tersebut. Memang bagi pengguna biasa, kenaikan harga gula dan petrol pada nilai minimal. Tetapi bagi pengusaha dan pengilang yang menggunakannya dalam kadar pukal, kenaikan itu amat dirasakan.

Kos pengeluaran barangan oleh pengusaha dan pengilang akan meningkat. Sudah menjadi tabiat bahawa tidak semua mereka bersedia menyerap kenaikan kos operasi itu. Kebanyakan mereka hanya tahu mengaut untung. Jauh sekali untuk memikirkan soal kebajikan pengguna. Maka besar kemungkinan mereka akan memindahkan beban kenaikan kos itu kepada rakyat selaku pengguna.

Logik sama kini menghantui rakyat selepas kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik. Biar pun seperti biasa kerajaan mengiringi pengumuman itu dengan jaminan tidak membebankan rakyat, terutama khalayak berpendapatan rendah, kesan tidak langsung dari kitaran penggunaan tenaga oleh pengusaha dan pengilang adalah hakikat yang sudah dijangkakan rakyat.

Justeru, biar pun kerajaan mahu rakyat percaya bahawa tarif baru elektrik kini tidak akan membebankan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang, kesan kenaikan harga barangan lain tetap tidak dapat dielakkan.

Apabila para pengusaha makanan dan minuman di dalam masyarakat menerima barangan asas perniagaan mereka pada harga lebih tinggi, maka rakyat sebagai pengguna pula perlu bersedia untuk sekali lagi berdepan “pesta naik harga”.

(Artikel ini dihantar untuk siaran tabloid Harakah Bil 1646, 6 Jun 2011. Disebabkan kekurangan ruangan ekoran lambakan bahan sempena Muktamar Tahunan PAS ke-57, artikel ini tidak disiarkan).

Thursday, June 2, 2011

Ingati prinsip asas perjuangan Parti Islam

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Banyak sebab menjadikan Muktamar Tahunan PAS ke-57 pada Jumaat hingga Ahad ini ditunggu-tunggu pelbagai pihak.

Selaku acara tahunan yang menghimpunkan kelompok terpilih dalam saf kepimpinan parti dari serata negara, muktamar PAS sejak sekian lama menjadi medan pertemuan sosial sebilangan aktivis. Kesempatan sama-sama hadir menjayakan agenda parti itu sering dimanfaatkan berbagai kumpulan berkepentingan untuk mengadakan ‘reunion’ masing-masing.

Pemilihan lokasi muktamar kali ini juga dikatakan menyentuh hati banyak pihak. Inilah kali pertama perhimpunan tahunan terpenting ini kembali ke Taman Melewar selepas ia dilangsungkan di serata negara, termasuk di Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

Bagi sebilangan besar aktivis PAS, Taman Melewar adalah sinonim dengan Markas Tarbiyah PAS Pusat yang menyimpan lautan nostalgia perjuangan sejak lebih dua dekad lalu. Walau pun sudah berubah wajah dan melalui proses penjenamaan semula, premis itu tetap menggamit kenangan silam.

Namun yang menjadikan muktamar kali ini lebih ditunggu-tunggu ialah beberapa agenda penting yang bakal berlangsung di dalamnya. Seperti biasa Ucapan Dasar Presiden PAS adalah antara yang menjadi fokus.

Ia bukan sekadar agenda biasa untuk memenuhi satu slot perhimpunan, tetapi bakal dijadikan landasan dan dasar gerakerja parti, sekurang-kurangnya buat setahun mendatang. Sebab itu ucapan itu dijadikan bahan perbahasan perwakilan dari seluruh negara.

Apatah lagi, di saat pelbagai pihak membicarakan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-13 bakal berlangsung dalam masa terdekat, ucapan dasar kali ini diharap menyediakan lontaran halatuju dan aturcara parti ke arah menghadapi proses demokrasi itu.

Sudah tentu agenda yang lebih menarik perhatian kali ini ialah pemilihan saf kepimpinan baru PAS Pusat sesi 2011/13. Setiap kali berlangsungnya pemilihan mana-mana parti, ia sering dikaitkan dengan soal halatuju parti seterusnya.

Berbagai teori dan andaian seringkali membauri proses pemilihan, terutama yang dikaitkan dengan fikrah dan wibawa kepimpinan tokoh-tokoh bertanding. Kemajuan teknologi maklumat kini memudahkan masing-masing meluahkan segala pandangan pro dan kontra membabitkan man-mana pemimpin terlibat.

Apa pun yang berlaku, kita mengharapkan PAS dapat menghasilkan saf kepimpinan terbaik. Bukan sahaja untuk ahli dan pendokong PAS, tetapi masyarakat awam negara ini.

Dalam keadaan negara semakin tenat dan kehidupan rakyat tambah terhimpit angkara kedurjanaan pemerintahan Umno-Barisan Nasional (BN), alternatif terbaik untuk meneraju negara sudah tentu lah PAS bersama Pakatan Rakyat.

Sekali lagi, ia bukan hanya menjadi harapan orang-orang PAS, tetapi sesiapa juga dari kalangan rakyat negara ini yang mengenali parti Islam itu. Selaku satu-satunya parti yang berjuang berlandaskan prinsip ajaran suci, kita melihat hanya PAS yang mampu memulihkan kebobrokan sosial, kepincangan ekonomi dan kemungkaran politik negara.

Mengapa PAS layak diyakini untuk menyempurnakan hasrat itu sekiranya diberi peluang mentadbir negara? Sudah tentu ia bertaut pada keyakinan semua pihak terhadap kekuatan dan kewibawaan Islam itu sendiri.

Isyarat paling jelas ialah apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, secara terbuka menobatkan khalifah Islam Umar Abdul Aziz sebagai idolanya dalam memerintah Pulau Pinang. Jika seorang bukan Islam meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap kewibawaan pemerintahan cara Islam, apakah munasabah khalayak muslim selaku warga majoriti meraguinya pula?

Dalam keadaan kita mengharapkan segala permasalahan melanda negara diselesaikan menurut kacamata Islam, maka tentu sekali pihak paling layak memenuhi hasrat itu ialah parti yang paling hampir dengan ajaran Islam. Maaf cakap, sudah tentu pilihan terbaik untuk itu di kalangan komponen Pakatan Rakyat bukannya DAP atau KeADILan.

Justeru, mahu atau tidak, biar pun ia sukar diterima parti-parti rakan, PAS mesti menerajui perubahan politik negara. Satu-satunya parti yang menobatkan Islam sebagai dasarnya ialah PAS.

Seruan PAS ialah Allahu Akbar. Tujuan utama kewujudannya ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Pernyataan paling awal dalam Perlembagaan PAS itu merupakan rakaman cita-cita setiap ahli parti terhadap masa depan parti dan negara. Bahawa suatu masa nanti akan wujud pemerintahan berlandaskan hukum dan nilai hidup Islam. Sebarang hasrat yang menyalahi dasar itu adalah pengkhianatan terhadap maksud asal penubuhan PAS itu sendiri.

Itulah sebenarnya cabaran terbesar PAS. Ia perlu menangani keghairahan semua pihak, termasuk sebilangan ahli dan pendokongnya sendiri menakluki Putrajaya, bahawa agenda perjuangan PAS adalah Islam. Tanpa pegangan kepada perjuangan suci itu, barangkali PAS tidak mampu berada di tahap kini.

Justeru, tidak ada gunanya kita mengimpikan keruntuhan pemerintahan Umno-BN yang zalim, mungkar dan engkar terhadap hukum dan peraturan Allah, tetapi di masa sama kita bersedia mewujudkan sebuah pemerintahan lain yang juga tidak bersedia mendaulatkan hukum diredhai Allah.

Kepada para perwakilan diucapkan 'Selamat Bermuktamar'. Pilihlah saf kepimpinan yang berpegang teguh kepada prinsip asas ini!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1645, 3 Jun 2011 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Wednesday, June 1, 2011

Serasi kehidupan orang Melayu sejak kanak-kanak


Oleh: Mohd Nasir Awang

Usia Chew Lee Ping belum pun mencecah 18 tahun ketika dia ditakdirkan bertemu dengan Mansor Abdullah, 26. Mereka bersua hanya secara kebetulan, ketika Lee Ping meraikan kawan-kawannya di sebuah warung di Segamat, Johor.

Biar pun dilahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga Cina beragama Buddha, anak kesembilan daripada 10 beradik ini tidak kekok berinteraksi dengan masyarakat Melayu. Sejak kecil keluarganya terdedah kepada budaya dan cara hidup orang Melayu.

Bahkan bagi Lee Ping sendiri, sebahagian besar teman rapatnya di Sekolah Canossion Convent adalah anak-anak Melayu. Seperti remaja lain, beliau juga sering mengikuti mereka keluar minum sambil bersembang-sembang.

Dalam salah satu kunjungan biasa itulah beliau terserempak dengan Mansor. Pemuda berasal dari Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu itu ketika itu bertugas sebagai Merinyu Kawalan Mutu Kayu di pejabat Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Segamat.

Di luar dugaan kedua-dua mereka, pertemuan biasa itu rupa-rupa menjadi titik tolak penting dalam hidup mereka.

“Saya memang sudah biasa dengan orang Melayu. Tapi dia ni (Mansor) lain dari yang lain. Pertama kali tengok dia masa tu pun, saya dah rasa lain,” seraya tersenyum, Lee Ping mengimbau detik amat bermakna itu.

Tanpa selindung beliau yang kini bergelar Puan Nor Hazlina Chew Abdullah, mengakui terus jatuh hati kepada Mansor sebaik melihatnya. Baginya, itu sememangnya cinta pandang pertama.

Masakan sebegitu mudah perasaan cinta itu berputik? Apakah benar kata orang, ‘cinta itu buta’ sehinggakan mereka langsung mengenepikan hakikat perbezaan kaum dan agama?

“Entah lah... masa tu tak terfikir pula perbezaan tu suatu yang besar. Kawan-kawan saya pun ramai yang Melayu cari boyfriend Cina, Cina cari boyfriend Melayu.”

“Lagi pun ayah saya, mak, abang-abang dan kakak-kakak saya, semua berkawan baik dengan Melayu. Kami bercakap Melayu, makan makanan orang Melayu. Orang kata, orang Cina tak suka makan pedas, keluarga saya selalu masak pedas-pedas,” ulas Nor Hazlina, separuh ketawa.

Menurutnya, keserasian keluarganya dengan cara hidup masyarakat Melayu memudahkannya menjiwai kehidupan kaum itu sejak kecil. Malah beliau sendiri lebih seronok berada di kalangan kawan-kawan Melayu berbanding rakan sekaumnya.

“Macam dah takdir tau, masa sekolah dulu pun, saya suka sangat masuk kelas jawi (pelajaran agama Islam). Walau pun diberi pilihan, nak masuk kelas Mandarin, jawi dan lain-lain, saya lebih suka masuk kelas jawi,” cerita Nor Hazlina.

“Sehinggakan pernah juga saya terfikir, ‘kalau lah aku betul-betul jadi orang Islam suatu hari nanti’. Alhamdulillah, ia betul-betul menjadi realiti. Saya syukur sangat (kerana memeluk Islam), saya anggap ini memang (kerana) Allah pilih saya,” ujarnya penuh ceria.

Tidak syak lagi perjalanannya menuju hidayah dan syahadah banyak didorong oleh pergaulan luasnya dengan masyarakat Melayu. Namun, kehadiran Mansor dalam hidupnya bagaikan pemangkin yang memacu jejaknya kepada agama suci ini.

“Sebenarnya saya yang lebih bersungguh ajak suami (Mansor) kahwin. Dia pun terkejut, ‘awak ni serius ke? Betul ke awak sanggup nak masuk Islam?’, dia tanya saya,” cerita Nor Hazlina sambil ketawa.

Bagi membuktikan beliau benar-benar serius dengan hubungan mereka, Nor Hazlina membawa Mansor menemui ibubapanya. Beliau sendiri menerangkan kepada mereka hasrat mengambil Mansor sebagai suami.

“Alhamdulillah, ayah, mak agak terbuka. Dia tak marah. Cuma ayah cakap juga (selepas Mansor pulang), ‘kamu tak ingat ke orang Melayu bunuh Cina dulu?’ (merujuk Peristiwa 13 Mei 1969). Itu aja lah. Kakak-kakak ada juga bising-bising,” sambungnya.

Selepas mendapat ‘restu’ keluarga, Lee Ping mengikut Mansor balik ke Terengganu pada 1980. Pada usia baru mencecah 19 tahun dia melafazkan syahadah. Mereka seterusnya diijabkabulkan, turut disaksi dan diraikan ayah, emak dan adik-beradik Lee Ping yang berduyun ke Terengganu dari Segamat.

“Saya rasa saya dah temui orang yang betul (Mansor). Saya yakin Tuhan dah beri saya jalan hidup yang tepat. My fisrt intention (hasrat pertama saya), lepas kahwin nak belajar Islam betul-betul,” kata Nor Hazlina.

Suaminya benar-benar membantunya mencapai hasrat itu. Menurutnya, seorang makcik dibawa suaminya ke rumah untuk mengajarnya sembahyang. Seorang ustazah kemudiannya turut diupah mengajarnya membaca al-Quran.

Keluarga mentuanya pula amat mengalu-alukan kehadirannya. Kata Nor Hazlina, beliau disambut dengan penuh kasih-sayang. Ibarat kata pepatah ‘bagai menatang minyak yang penuh’.

“Tapi itu belum mencukupi. Ilmu Islam ni tersangat luas. Setakat belajar sembahyang, dapat buat amal, tidak cukup. Kena belajar lebih lagi, baru lah aqidah kita mantap,” ujarnya.

Di atas keazaman itu, kini dalam usia 50 tahun, beliau belum berhenti mendalami ilmu Islam, terutama menerusi bimbingan Ustaz Abdul Halim Lim Abdullah di Kompleks Darul Hidayah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), di Kuala Terengganu.

Di rumahnya di Gong Badak, Kuala Terengganu, Nor Hazlina adalah ibu kepada empat anak, dua putera dan dua puteri. Anak sulungnya, Nor Ashikin berusia 30 tahun, diikuti Nor Shahidah (27), Mohamad Firdaus (26) dan Mohamad Azahari (23).

Beliau turut menasihati mana-mana Saudara Kita yang baru memeluk Islam agar segera memberati usaha mendalami ilmu agama. Katanya, pengalaman dilaluinya banyak mengajar bahawa hanya dengan memiliki ilmu dan kefahaman yang mantap tentang Islam sahaja seseorang Saudara Kita tidak akan terpesong daripada jalan aqidah.

“Sangat penting bagi kita sentiasa bersabar dan bersyukur, tak kira susah atau senang,” katanya, mengakhiri temubual kami.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 232, Jun 2011 di ruangan 'hidayah' dengan tajuk "Perkahwinan dekatkan lagi Hazlina dengan Islam")

Rumahtangga ‘cacat’ tanpa kemuliaan agama


Oleh: Mohd Nasir Awang

Rasanya tiada wanita yang berhasrat mendirikan rumahtangga, terutama yang waras dan merdeka, yang tidak menginginkan sebuah mahligai hidup yang rukun dan bahagia. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusaha mencapai kemuliaan dalam hidup dunia dan akhirat, soal pembentukan keluarga sejahtera dan diredhai Allah Ta’ala tidak syak lagi menjadi keutamaan dalam hidup.

Hasrat itu bagaimana pun tidak mungkin dapat disempurnakan tanpa titik berat sewajarnya sama ada oleh bakal suami atau isteri. Seberat mana Islam menekankan peri pentingnya seseorang lelaki meneliti calon isterinya, begitu lah juga mustahaknya seorang wanita menghalusi ciri-ciri lelaki terbaik untuk dijadikan pasangan hidupnya.

“Bakal suami hendaklah orang yang ada asas agama, itu yang utama”, tegas Ustaz Haji Adam Mat Said, memulakan bicaranya.

Beliau yang juga Mudir Pusat Tarbiyah Nurul Iman (PTNI), di Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, mengatakan demikian sebagai reaksi pertanyaan penulis mengenai ciri-ciri seorang lelaki yang sepatutnya menjadi idaman muslimah.

Menghurai lebih lanjut, Haji Adam berkata yang dimaksudkan asas agama itu bukan setakat memiliki ilmu, tetapi mestilah disertakan kefahaman agama.

“Sebab kadang-kadang ada orang, ilmu tu ada, tetapi faham agama tu tak ada,” ulasnya.

Tidak syak lagi kefahaman yang betul mengenai ajaran agama merupakan faktor terpenting memastikan wujudnya kerukunan rumahtangga. Ciri itu malah paling dituntut dimiliki oleh suami atau bapa. Selaku ketua keluarga, di tangannya halatuju rumahtangga, sama ada menuju keredhaan Allah Ta’ala atau sebaliknya.

“Sebab itu, si suami atau bapa juga hendaklah orang yang sentiasa berusaha nak “comelkan” keluarga. Dalam satu kitab (disebutkan) antara ciri-ciri lelaki yang soleh atau bapa yang bertanggungjawab ialah (yang) sentiasa nak tengok diri dia atau keluarga dia meningkat sokmo (sentiasa),” hurai Haji Adam.

Menurutnya lagi, seorang bapa juga mestilah berkemampuan untuk memperkenalkan kepada anaknya, siapa Allah Ta’ala.

“Itu satu kewajiban yang asas, wajib bagi bapa memperkenalkan Allah Ta’ala kepada anak-anak dia. Dialah lelaki yang boleh memahamkan anak-anak dia apa itu hak Allah, hak Rasul, hak diri, hak ibubapa, semua sekali,” katanya.

Seorang bapa yang baik juga, sambungnya, ialah yang boleh menolong anak-anaknya melepaskan tuntutan fardhu ain. Dia juga lelaki yang berkemampuan untuk menuntuni anaknya, yakni bertindak sebagai murabbi, memimpin anaknya menuju Allah Ta’ala.

“Bahkan, bukan setakat pimpin, dia juga lelaki yang mampu untuk menjinakkan hati anak-anak. Kalau kita pimpin sahaja, tak boleh jinakkan hati, tak jadi juga. Itu sifat-sifat yang ada pada murabbi,” ulas Haji Adam lagi.

Beliau turut mengakui usaha seberat itu tidak akan menghasilkan natijah diharapkan sekiranya sang suami atau bapa gagal mempamerkan sifat kasih sayang dalam dakwah atau seruannya kepada anak-anak atau isteri

Sebagai contoh, seorang bapa memarahi anak-anak lalu menghukum mereka dengan nafsu, tanpa disulami dengan kasih sayang, maka hukuman yang dikenakan itu tidak akan menyedarkan anak-anak. Sebaliknya, katanya, Allah Ta’ala akan jauhkan hati anak-anak daripada sang bapa.

“Sebab itu antara ciri lelaki yang baik ialah yang sentiasa doakan kepada orang yang dia seru, sama ada anak atau isteri, doa kebaikan dan sentiasa menolong anak-anak atau isteri untuk mencapai maksud yang baik dalam hidup,” sambungnya.

Beliau menghuraikan agak panjang mengenai kaedah menghukum anak-anak menurut Islam. Tegasnya, merotan bukan jalan terbaik untuk mendidik anak-anak. Bahkan, katanya, Nabi s.a.w. sendiri mengesyorkan hukum merotan itu hanya dalam masalah meninggal sembahyang.

“Hak kena rotan tu, kalau tinggal sembahyang, bagi anak yang umur 10 tahun. Itu je yang Nabi s.a.w. ajar, lain daripada tu Nabi tak ajar kita untuk merotan anak. Bagaimana pun, kadang-kadang tu kita boleh nak rotan (anak) dengan syarat, pertama tidak dalam keadaan kita marah tadi,” hurai Haji Adam.

Syarat kedua, katanya, merotan dengan harapan kepada Allah ia memberi peringatan kepada si anak.

Yang ketiga, merotan dengan tidak menghasilkan kesan fizikal kepada anak. Manakala syarat yang keempat, katanya, jangan merotan di bahagian atas daripada pinggang, tetapi tidak salah jika dirotan pada tangan.

“Yang kelima, rotan yang tidak mengaibkan dia (anak). Jangan rotan depan orang lain. Sebab kalau dia aib, akibatnya dia sendiri akan lawan kita,” beliau mengingatkan.

Ada pun dalam konteks hubungan dengan isteri, Haji Adam menegaskan, hukuman fizikal seumpama merotan amat tidak disyorkan. Bahkan, dalam keadaan yang amat memerlukan sang suami menghukum isteri pun, ia perlu dilakukan secara sangat bertertib, jauh sekali dalam bentuk menyakitkan.

Sebagai kesimpulannya, beliau menekankan bahawa seorang lelaki idaman itu sewajarnya dinilai berdasarkan kemampuannya menyempurnakan nafkah yang zahir mahu pun batin. Di samping itu, soal kufu turut menjadi perkiraan dalam membentuk rumahtangga bahagia.

“Lelaki itu hendaklah yang kufu dengan yang perempuan, setaraf. Sebab tu kalau si ayah menikahkan anak dia dengan cara paksa, tiba-tiba isteri jumpa suami, dia tengok tak setaraf, dia boleh batalkan nikah dia, dengan sebab tidak sekufu, selagi mana tidak (belum) setubuh,” ulasnya.

Menurutnya, nilaian sekufu itu mungkin dari segi mental, di mana si isteri cerdik, tetapi lelaki tersangat bodoh atau memiliki akal yang lemah. Ia juga mungkin atas perkiraan kedudukan atau taraf yang terlalu jauh bezanya. Contohnya, nisbah keturunan, di mana lelaki berketurunan jahat, sedangkan si isteri dari keturunan orang mulia.

“Mereka boleh nikah, tapi kalau yang perempuan tu tak redha, ayah dia paksa juga kahwin, maka dia (isteri) berhak untuk putuskan perkahwinan dia. Dan sekufu ni boleh memisahkan perkahwinan bila isteri tak redha,” katanya.

Tidak syak lagi penghayatan terhadap kesemua perbahasan di atas, terutama ciri atau keperibadian lelaki yang layak digelar murabbi kepada isteri dan anak-anak seperti disenaraikan tadi tidak akan dapat disempurnakan tanpa ilmu dan kefahaman yang betul mengenai agama.

Sebab itu, sepertimana Islam menekankan peri pentingnya bagi seorang lelaki mengutamakan wanita beragama sebagai calon isteri, mengatasi kemuliaan-kemuliaan lain, seperti rupa paras, kedudukan keturunan dan harta, tuntutan serupa turut terpakai terhadap wanita dalam memilih bakal suami.

“Lelaki (bakal suami) pun begitu juga. Yang pertama, kita pilih yang ada kemuliaan agama. (Sebab) kalau orang ni tak ada kemuliaan agama, walau pun yang lain (harta, rupa atau kedudukan) ada, dia akan mencacatkan rumahtangga kita. Nak agama juga dan nak bakal suami kita seorang yang mampu bertanggungjawab. Kita boleh tengok dulu (sebelum kahwin) lagi,” ujar Haji Adam.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 232, Jun 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)