Monday, February 1, 2010

Pengalaman pilu bahana wang ehsan Terengganu

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bersalahan dengan apa yang difahami sebilangan pihak, pengagihan wang ehsan sebenarnya bukan faktor utama kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 lalu. Meski pun bahana wang ehsan amat dirasai ketika itu, ada beberapa faktor lain yang menyumbang peratusan lebih besar kepada kejatuhan kerajaan Barisan Alternatif (BA) itu.

Pihak yang mengatakan wang ehsan sebagai penyebab utama kekalahan PAS beranggapan parti itu kalah kerana kemerosotan sokongan pengundi. Mereka mendakwa ekoran Program Pembiayaan Wang Ehsan (PPWE) dilancarkan BN menyebabkan rakyat yang pada 1999 lalu mengundi PAS/BA beralih kepada BN pada 2004.

Hakikatnya, meski pun jumlah undi diperolehi kesemua calon PAS dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) merosot, peratusannya terlalu kecil, iaitu sekitar hanya lima peratus. Bagi sebilangan calon yang menang besar pada 1999, jumlah itu masih terlalu jauh untuk menyebabkan kekalahan mereka.

Apa yang berlaku pada 2004 ialah ekoran peningkatan luar biasa pada perolehan undi calon-calon parti lawan. Undi popular BN menokok sekitar 72 peratus. Ia dipercayai datang dari pemilih yang baru mendaftar.

Peratusan penambahan pemilih baru dalam tempoh 1999-2004 di Terengganu sebanyak 15.04 peratus adalah yang kedua tertinggi dalam negara selepas Selangor (15.96%). Peratusan keluar mengundi di Terengganu juga yang tertinggi di seluruh Malaysia.

Pun begitu, faktor berkenaan tidak begitu digema riuhkan orang. Sama ada BN mahu pun BA sebaliknya lebih cenderung memfokuskan faktor utama penentuan politik ketika itu ialah wang ehsan. Gemariuh cerita pengagihannya turut disemarakkan jentera saraf BN. Ke mana pun anda pergi di Terengganu ketika itu, perkataan paling popular dibualkan rakyat bawahan ialah wang ehsan.

Keadaan digambarkan sangat memilukan buat PAS/BA ketika itu apabila sekumpulan demi sekumpulan penyokongnya tewas kepada penangan wang berpuaka itu. Cerita sebegitu diperbesarkan lagi menerusi manipulasi media talibarut BN.

Ia meletakkan PAS/BA secara psikologi dalam keadaan defensif. Sudah lah sebagai kerajaan negeri PAS merasa hak ke atas royalti minyak dicabul, di masa sama pula BN yang “merompak” wang itu tersenyum sinis membahagi-bahagikannya di hadapan mata.

Lebih memilukan ialah apabila kekangan kewangan dihadapi kerajaan negeri tidak memungkinkan PAS mengatasi taburan kebendaan dibuat BN. Namun bagi mendepani serangan wang ehsan itu, tidak sedikit masa dan peruntukan kewangan dihabiskan PAS.

BN telah berjaya dalam strateginya menjadikan rakyat Terengganu begitu obses dengan kalimah “wang ehsan”. Apabila PAS turut terikut menari dengan paluan gendang BN itu, maka fokus kepada beberapa perkara lain yang lebih asas sedikit terjejas.

Antaranya termasuklah soal semakan dan bantahan daftar pemilih tadi. Sehinggakan penambahan pemilih baru dalam jumlah sebegitu banyak seakan tidak disedari PAS, termasuk oleh para petugas yang dikhususkan memantau perkembangannya.

Kini, cerita wang ehsan masih diperkatakan orang. Jika di Terengganu ia sudah bertukar menjadi bahan percakaran antara sesama penjuak dan pemuka BN di kampung-kampung yang berebut mengambil kesempatan mengisi tembolok masing-masing, di Kelantan pula kedatangan wang ehsan baru di peringkat pertikaian awal. Rakyatnya masih belum difahamkan sepenuhnya tentang hakikat sebenar wang tersebut.

Rencana ini ditulis pada tengahari Khamis (28 Januari). Malam nanti dijadualkan satu perhimpunan raksasa membiacarakan soal itu di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu. Boleh jadi di masa rencana ini menemui pembaca, tahap kefahaman rakyat Kelantan mengenai hakikat wang ehsan, khususnyabagi yang menghadiri perhimpunan itu, telah semakin baik.

Apatah lagi dalam banyak keadaan sebelum ini rakyat Kelantan dikatakan sangat bijak dan matang berpolitik. Mereka ada sikap politik yang dikatakan lebih ke hadapan berbanding rakyat negeri lain, termasuk jirannya Terengganu.

Antaranya ialah daya ketahanan mereka yang sukar digugat oleh segala macam umpan dan tipu daya politik BN. Sebab itu pernah ada ungkapan bagi menggambarkan jatidiri mereka yang berbunyi, “beri gula, kacau; beri lembu, heret; beri kain, pakai; beri duit, kilas; bila mengundi, pangkah bulan”.

Ertinya, mereka pada zahirnya akan terima apa bentuk sogokan politik sekali pun daripada BN, tetapi apabila tiba masa mengundi mereka tetap memilih PAS.

Tidak pasti apakah keyakinan itu masih bersebati dalam masyarakat Kelantan hingga kini. Jika jawabannya “ya”, maka rasanya tidak ada apa yang perlu dirisaukan PAS dan pendokong Pakatan Rakyat negeri itu dengan perancangan jahat BN menabur wang ehsan di Kelantan.

Namun ada pihak berkata, keadaan sudah banyak berubah kini. Kata mereka, petanda bahawa rakyat Kelantan juga sudah mula kalah dengan taburan kebendaan agak terserlah di Manek Urai tahun lalu. Hakikat itu semacam diakui beberapa pemimpin PAS yang menganalisis keputusan pilihan raya kecil.

Jika Manek Urai dianggap kejayaan BN memanipulasi kekuatan kewangannya, maka tidak mustahil dengan tercetusnya isu wang ehsan kini BN akan memanfaatkan modus operandi PPWE Terengganu di Kelantan pula. Harap-harap ia tidak akan mengulangi pengalaman pilu negeri penyu itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1510, 1 Februari 2010 di ruangan 'kolumnis' F21 dengan tajuk sama)

Sunday, January 31, 2010

Kikislah kepercayaan hanya BN mampu memerintah

Oleh: Mohd Nasir Awang

Harus diakui betapa amat sukar melihat Barisan Nasional (BN), khususnya Umno berubah, terutama dalam sikap dan layanannya terhadap parti-parti lawan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kes pertikaian pemberian wang ihsan kepada Kelantan yang sedang hangat diperkatakan kini adalah contoh terkini berhubung tabiat buruk BN itu.

Keengganan BN mengiktiraf hak negeri Kelantan mendapatkan royalti ke atas penghasilan petroleum di luar pantai negeri itu sudah dimaklumi. Sementara pertikaian undang-undang dan perlembagaan berhubung letak duduk perkara itu tertakluk kepada kebijaksanaan setiap pihak menafsir dan menghuraikannya, di sana turut terserlah manipulasi kuasa dan strategi jahat BN terhadap parti lawannya.

Apatah lagi sejak negeri itu mula diperintah PAS hampir dua dekad lalu BN yang memerintah kerajaan Pusat sering membelakangi sikap demokratik dan semangat federalisme dalam berurusan dengan Kelantan. Tempoh itu dipenuhi segala macam penafian pelbagai peruntukan kewangan dan sabotaj politik BN terhadap negeri tersebut, termasuk penyaluran minyak Kelantan ke Kedah melalui wilayah Pattani.

Apa yang dilakukan BN itu mengesahkan kata-kata orang bahawa mengharapkan parti itu meninggalkan tendang terajang politik cara lampau adalah lebih payah daripada menunggu kucing bertanduk atau menyaksikan gajah masuk ke lubang jarum.

Biar pun betapa lantang suara menuntut BN berganjak dari sikap primitif itu, kelantangan itu gagal berakhir dengan pencapaian sepatutnya. Tiada perubahan signifikan yang dapat dibuat terhadap cara dan kaedah politik diamalkan BN, sejak dulu hingga kini.

Parti itu terbukti masih selesa dengan politik cara lampau, terutama cara mereka berfikir. Di antara fahaman yang dipegang kuat BN dan diterapkan sedapat mungkin ke dalam minda rakyat ialah kepercayaan kononnya hanya BN yang mampu memerintah negara dengan baik.

Hanya BN didakwa boleh menganjurkan pembangunan dan kemajuan. Hanya parti itu yang berupaya menjamin keselamatan negara dan masa depan rakyatnya.

BN seolah-olah tidak pernah diberitahu bahawa ada pendapat mengatakan pegangan yang memutlakkan keupayaan kepada hanya satu-satu pihak sebegitu sudah boleh dikategorikan sebagai khurafat. Sedangkan secara logiknya pun sebagai umat Islam kita dapat merasionalkan betapa karut dan sesatnya sesuatu pegangan yang memutlakkan kuasa berbuat sesuatu ke atas makhluk.

Kendati pun penilaian itu masih terdedah kepada perbahasan dan pertikaian lebih terperinci, kedegilan BN mempertahankannya dilihat tidak konsisten dengan perkembangan zaman dan anjakan minda rakyat. Mendendangkan lagu lama dengan lirik serupa sambil mengharapkan rakyat terus menyokong BN adalah taktik ketinggalan zaman.

Begitu juga, memaksa rakyat menerima pegangan kononnya hanya BN yang mampu membuat kebaikan untuk negara seolah-olah memperkecilkan kecerdikan rakyat membuat penilaian. Sepatutnya dengan beberapa episod kekalahan demi kekalahan dialami BN dalam siri pilihan raya kebelakangan ini sudah cukup untuk menyedarkannya tentang tahap rakyat berfikir.

Ia sebenarnya isyarat jelas dari rakyat yang menolak hegemoni kuasa BN disamping menampakkan bahawa minda rakyat sudah banyak beranjak. Lebih-lebih lagi generasi muda di negara ini semakin terdedah kepada nilai-nilai sejagat seperti memperjuangkan hak asasi manusia dan menuntut institusi kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab.

Malangnya, setakat ini BN tidak menampakkan ia mengambil pengajaran berguna dari isyarat diberikan rakyat itu. Ia kekal dengan kaedah berfikir cara kuno dan bertindak cara primitif. Ia terus menindas dan menafikan hak asasi parti lawan. Ia juga masih selesa memaksa rakyat menerima hanya BN mampu membuat itu dan ini.

Sebab itu rakyat dapat mendengar hujah sama dijadikan sandaran utama mewajarkan tindakan BN menolak hak kerajaan Kelantan menguruskan wang hasil minyaknya. Selain aspek perundangan dan perlembagaan, BN turut mengaitkan tindakannya meneruskan pemberian wang ihsan dengan pertikaian atas keupayaan kerajaan negeri mengurustadbir kewangannya.

Dalam usaha meredakan kemarahan rakyat Kelantan di atas pengkhianatan BN merampas hak mereka itu, BN tampil dengan nada memujuk. Kata mereka,  BN bukan merampas hak rakyat Kelantan, tetapi hanya menidakkan hak PAS untuk mengurus wang milik rakyat itu. Kata mereka lagi, BN hanya mengambil alih tugas kerajaan negeri mengurusnya bagi memastikan ia benar-benar dibelanjakan untuk manfaat rakyat Kelantan.

“Kami lebih pandai, jauh lebih pandai (dari BN). Kami tak ada rasuah, stadium dan masjid tidak pernah runtuh. Yang menyebabkan runtuh itu kerana tidak pandai,” tempelak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepertimana dipetik akhbar pada Selasa (26 Januari) lalu.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Dr Awang Adek Hussin mengenai perkara itu sebelumnya. Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu, Kerajaan Pusat tidak memberi wang royalti kepada kerajaan negeri kerana bimbang cara pengurusan kerajaan PAS itu.

Lalu bagi menguruskannya satu jawatankuasa pengagihan wang ihsan akan ditubuhkan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Bagi menampakkan keterbukaan BN, Dr Awang Adek turut mencadangkan kerajaan negeri menghantar wakilnya di dalam jawatankuasa tersebut.

Satu soalan mudah yang banyak diajukan rakyat ialah, apakah kerajaan Pusat akan membuat keputusan serupa sekiranya Kelantan di bawah BN? Bagi saya soalan itu sebenarnya bukan bertujuan mengetahui jawabannya, kerana ia telah pun dimaklumi umum. Ia bahkan lebih kepada satu sindiran mengenai sikap BN yang tidak demokratik dan primitif itu.

Hakikatnya, rakyat sudah kenal hati budi BN. Parti itu tidak boleh terus memperbodohkan rakyat kononnya hanya ia mampu memerintah negara.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0185, 31 Januari 2010 dengan tajuk "Unsur khurafat di sebalik wang ihsan Kelantan")

Friday, January 29, 2010

Tiada maaf atas rampasan royalti Kelantan

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bersandarkan hujah dan pendirian yang tidak sukar dirasionalkan, kerajaan negeri Kelantan menolak tawaran menyertai jawatankuasa pengagihan wang ihsan. Menteri Besarnya, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad (24 Januari) menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan menerima sebarang rundingan mengenai pemberian wang ihsan oleh kerajaan Pusat sebagai ganti royalti petroleum yang dituntut kerajaannya.

Malah katanya, beliau tidak akan memenuhi sebarang jemputan atau membenarkan mana-mana wakil daripada kerajaan negeri menduduki jawatankuasa berkenaan.

“Kalau dijemput semata-mata untuk menerima wang ihsan, saya tidak akan pergi dan (tidak akan) benarkan, seratus peratus kerajaan Kelantan akan tolak,” akhbar pada Isnin memetik katanya.

Nik Aziz dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Dr Awang Adek Hussin mengenai perkara itu sehari sebelumnya. Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu, satu jawatankuasa pengagihan wang ihsan akan ditubuhkan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan. Ia bertujuan mengenalpasti kaedah terbaik menyalurkan wang tersebut kepada negeri itu.

Bagi menampakkan keterbukaan dan supaya Barisan Nasional (BN) dianggap telus dan serius membincangkan persoalan pembangunan rakyat Kelantan, maka Dr Awang Adek bercadang melantik wakil kerajaan negeri di dalam jawatankuasa tersebut. Secara luarannya alasan disebutkan ialah agar kerajaan negeri turut terlibat memberi pandangan dan pendapat berhubung penyaluran wang tersebut.

Namun maksud politik yang tersirat di sebalik keterbukaan itu tidak wajar diketepikan. Paling tidak pun nantinya, ditakdirkan berlaku apa-apa di kemudian hari, maka lebih mudahlah bagi BN untuk berkata bahawa semua keputusan yang dibuat jawatankuasa berkenaan adalah keputusan bersama antara BN dan PAS.

BN akan mengeksploitasi kehadiran wakil kerajaan negeri. Ia akan mendakwa kerajaan Kelantan telah diberi ruang menyatakan pendirian atau membuat cadangan mereka mengenai pengagihan wang ihsan itu. Makanya, sebarang kesilapan atau kelemahan atas perkara itu nantinya tidak wajar dipersalahkan seratus peratus atas BN sahaja.

Bahkan pendekatan “terbuka” BN itu lebih bermaksud mengalihkan perbincangan isu sebenar yang menjadi fokus pertikaian. Isu pokok ialah apakah rakyat Kelantan berhak ke atas wang ihsan sahaja atau royalti sepenuhnya?

Pendirian kerajaan negeri dalam pertikaian ini adalah jelas. Mereka mendakwa berhak diberikan royalti, bukannya wang ihsan. Apa yang dibuat BN malah dianggap suatu perampasan terhadap hak negeri.

“Saya tidak akan terima wang ihsan dan saya akan beritahu pada rakyat semua, (Kerajaan) Pusat telah merampas, mencuri, menyamun harta (royalti) Kelantan,” kata Dato’ Nik Aziz lagi.

Oleh kerana BN mempertahankan pendirian menolak pemberian royalti, maka segala hujahnya dirasionalkan ke arah pengagihan wang ihsan. BN sangat gigih membina persepsi umum bahawa keputusan pemberian wang ihsan itu sebagai bukti kecaknaannya terhadap Kelantan.

Malah ada pemimpin BN yang agak gusar melihat kemarahan rakyat terhadap penafian itu tampil memutar belit kenyataan. Kata mereka, BN bukan bertindak terhadap rakyat Kelantan, tetapi hanya menidakkan hak PAS untuk mengurus wang milik rakyat itu. Hujah itu disertakan pula dengan berbagai pertikaian atas keupayaan kerajaan negeri mengurustadbir kewangannya.

Cerita-cerita palsu mengenai kegagalan PAS mengurus negeri ditokok-tambah bagi menguatkan hujah mengapa wang itu tidak patut diserahkan kepada kerajaan negeri. Kata mereka, BN hanya mengambil alih tugas kerajaan negeri mengurusnya bagi memastikan ia benar-benar dibelanjakan untuk manfaat rakyat Kelantan.

Di sinilah terserlah hujah loyar buruk BN. Dunia tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sebagai pengundi, rakyat Kelantan telah membuat pilihan siapa yang mereka mahu sebagai pemimpin. Sebuah kerajaan negeri yang sah telah terbentuk hasil pilihan rakyat secara demokratik.

Dalam beberapa pilihan raya sejak 1990, mereka memilih PAS sebagai peneraju kerajaan. Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan rakyat itu. BN pula tidak sepatutnya buat muka tak malu dan masih menganggap ia layak mengurus sesuatu yang menjadi milik rakyat, sedangkan ia telah ditolak rakyat Kelantan sejak dua dekad lalu.

Rakyat telah kenal hati budi BN. Rakyat tersangat maklum dengan rekod penyelewengan dan salah guna kuasa mereka. Rakyat sudah tidak nampak kewajaran menyerahkan pengurusan wang milik negeri kepada mereka itu.

Tindakan BN mempertahankan penyaluran wang ihsan sebagai ganti royalti petroleum adalah satu perampasan hak rakyat Kelantan. Dato’ Nik Aziz malah turut menganggapnya sebagai perbuatan mencuri dan menyamun.

Maka jika pun BN ikhlas mempelawa Kelantan menghantar wakil ke dalam jawatankuasa wang ihsan itu, ia tidak mampu membersihkan kedurjanaan dibuatnya. Ia sekadar ibarat sekumpulan penyamun yang baru selesai merompak rumah anda kemudian mengajak anda untuk ikut serta bersama mereka berbincang secara terbuka tentang bagaimana mahu diagihkan hasil rompakan itu. Demi Alllah, sandiwara itu amat menghinakan dan tidak wajar dimaafkan!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1509, 29 Januari 2010 di ruangan EDITORIAL, N4 dengan tajuk sama)

Monday, January 25, 2010

Krisis Makkal Sakti ributkan lagi rumah tangga BN

oleh: Mat Zain Mat Isa

Di antara pihak yang memberikan reaksi agak negatif terhadap kemunculan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) tahun lalu ialah Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dalam ulasan ringkasnya ketika ditanya wartawan mengenai pelancaran penubuhan parti baru bagi kaum India itu, beliau antara lain membayangkan bahawa parti itu bakal mendatangkan masalah kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau dipercayai merujuk kepada sambutan “luar biasa” para pemimpin tertinggi BN terhadap kemunculan MMSP. Selain pelancaran penubuhannya disempurnakan sendiri Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, parti baru itu pula mengisytiharkan sokongan penuh terhadap BN.

Perisytiharan itu berlaku menjelang pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Negeri Sembilan, 11 Oktober lalu. Restu dan layanan istimewa diberikan BN terhadap MMSP dilihat salah satu usaha terdesak parti pemerintah itu memenangi hati kaum India, tidak terkecuali yang mengundi di Bagan Pinang. Ia diharapkan mampu menghakis sokongan kaum itu terhadap pembangkang, sepertimana telah mereka pamerkan lewat pilihan raya umum lalu.

Moral di sebalik langkah terdesak itu, BN akan mengaplikasi apa juga taktik dan strategi demi menyelamatkan hayat politiknya. Bukan suatu kebiasaan bagi pemimpin tertinggi BN untuk meraikan kemunculan parti baru dalam bentuk sedemikian istimewa. Apatah lagi selama berdekad sebelum ini perjuangan kaum India diwakili hampir mutlak oleh MIC.

Ada pun parti-parti lain yang cuba menonjolkan perjuangan kaum itu juga berhadapan masalah masing-masing. PPP yang juga dikuasai pemimpin India hingga kini masih dilanda krisis kepimpinan yang parah.

IPF pula suatu ketika pernah menampakkan sengatnya. Kini ia tidak begitu disebut orang, terutama setelah parti itu juga dilanda krisis perebutan kepimpinan selepas kematian presidennya, M.G. Pandithan.

Sebab itu kehadiran MMSP dilihat satu harapan baru buat BN memaut kembali sokongan kaum India. Ia bagaimana pun menjadi tamparan hebat dan penghinaan terbuka terhadap MIC.

Pucuk pimpinan BN seakan menghukum MIC yang gagal mewakili dan membela kepentingan kaum India. Ia sekaligus menjadi cabaran kepada MIC untuk bangkit semula menawan hati kaumnya.

Tindakan BN mengiktiraf kelahiran MMSP bagaimana pun dilihat amat sesuai dengan latar belakang gabungan parti pemerintah itu. Suatu hakikat yang tidak dapat ditolak ialah BN diwujudkan melalui gabungan sebilangan parti utama yang hidup berasaskan perjuangan kaum masing-masing.

Bahkan nama-nama parti itu sendiri menerangkan kaum yang setiap mereka wakili. Umno dengan perjuangan ketuanan Melayu, MCA dengan kepentingan Cina dan MIC dengan pembelaan kaum India. Parti-parti di Sabah dan Sarawak juga kebanyakannya begitu.

Hakikat itulah barangkali yang mewajarkan BN, khususnya Umno memikirkan perlunya digilap satu parti baru bagi kaum India. Apatah lagi setelah MIC ditolak rakyat, manakala PPP dan IPF pula berdepan krisis dalaman yang serius. Maka kemunculan MMSP bagaikan “pucuk dicita, ulam mendatang” buat BN.

Bagi MMSP pula, perjuangannya adalah kesinambungan suara bantahan terbuka sekumpulan penganut Hindu yang membentuk sebuah pertubuhan menjelang pilihan raya umum lalu. Pertubuhan itu kemudiannya diharamkan kerajaan dan sebilangan bekas pemimpinnya terlibat menubuhkan MMSP.

Perjuangannya difahami berasaskan kepentingan kaum dan agama tertentu. Walau pun sewaktu awal kemunculannya kumpulan ini lebih dilihat bersama perjuangan parti-parti pembangkang, ia barangkali gagal menemui keserasian bersama mereka.

Apatah lagi secara jujur Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), DAP mahu pun PAS berikrar menolak fahaman perkauman sempit dan sepakat berjuang menegakkan prinsip keadilan bagi semua kaum. Hakikat itu bahkan terserlah menerusi kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti itu yang dianggotai semua kaum.

Justeru tidak hairan sekiranya MMSP merasakan Pakatan Rakyat bukan platform sesuai baginya meneruskan perjuangan. Ia lalu memilih BN. Malangnya, belum pun sempat MMSP memberikan kesan signifikan dalam memaut kembali kesetiaan kaumnya terhadap BN, parti yang baru melewati usia tiga bulan itu pula dilanda ribut.

Dalam diam rupa-rupanya ia sudah pun menyimpan pergolakan dalaman amat serius. Akhbar Isnin (18 Januari) lalu melaporkan sekumpulan 14 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu bermesyuarat dan sebulat suara memutuskan untuk memecat presidennya, R.S. Thanenthiran.

Menerusi tindakan agak dramatik, kumpulan itu mengadakan satu inkuiri yang turut memperhalusi lima tuduhan yang secara umum mendakwa Thanenthiran telah mencemarkan nama baik parti.

CC MMSP dianggotai 27 ahli. Sokongan 14 anggota itu memberikan majoriti mudah kepada keputusan inkuiri itu.

Difahamkan kesemua mereka yang terlibat mengadakan inkuiri itu telah diberikan surat tunjuk sebab untuk diambil tindakan oleh parti. Dipercayai inkuiri itu adalah tindakan balas mereka menyelamatkan kedudukan.

Drama pecat-memecat itu seakan serupa dengan apa yang berlaku di dalam PPP. Ia turut berlaku dalam MIC dulu sehingga melahirkan IPF. Kini MMSP pula dilanda sindrom serupa.

Ada benarnya pandangan jauh Dato’ Nik Aziz itu, bahawa MMSP bakal mendatangkan masalah kepada BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1508, 25 Januari 2010 di ruangan 'kolumnis' F22 dengan tajuk sama)

Sunday, January 24, 2010

Sanngupkah BN tinggalkan politik cara lampau?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin memang ada sebab yang sangat wajar untuk menaruh kebimbangan tentang masa depan Umno dan Barisan Nasional (BN). Sebagai pemimpin yang mewarisi teraju setelah partinya mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarahnya, sudah tentu tanggungjawab memulihkan kembali kekuatan dan kewibawaan BN/Umno turut sama digalasnya.

Di atas kesedaran dan hasrat itu, maka dalam banyak ucapan dan kenyataannya Muhyiddin kerap mendesak dilakukan perubahan dalam partinya. Malah kelantangannya menyuarakan hal itu menarik perhatian umum seusainya pilihan raya umum lalu. Beliau antara pemimpin paling berani menuntut agar Tun Abdulllah Ahmad Badawi mengundur diri dari parti mahu pun kerajaan.

Sehinggakan pernah pada suatu ketika Muhyiddin menjadi bahan kecaman dan kritikan kalangan pendokong Umno sendiri. Beliau dianggap gopoh dan terlalu mendesak apabila menuntut perubahan pucuk pimpinan partinya dilakukan segera. Sedangkan ketika itu Abdullah sudah pun mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin bagaimana pun berpandangan sebarang penanggguhan atau kelengahan atas peralihan itu akan merencatkan usaha memulihkan segera kekuatan Umno/BN. Beliau agak bertuah apabila perubahan dituntutnya itu berlaku lebih awal daripada dirancangkan.

Lebih bermakna lagi, penyerahan jawatan parti dan kerajaan oleh Abdullah kepada Najib turut sama melonjakkan Muhyiddin satu anak tangga dalam hierarki kepimpinan partinya.

Namun suara menuntut perubahan itu tidak dihentikannya setakat itu. Selaku orang nombor dua dalam parti dan kerajaan, kini Muhyiddin memanfaatkan kedudukannya menjadi pendesak utama perubahan. Beliau malah melangkah lebih jauh apabila turut mengisyaratkan kepada parti-parti komponen BN lain agar turut berubah bersama Umno.

Ahad (17 Januari) lalu, tuntutan serupa sekali lagi disuarakannya. Beliau mengingatkan partinya agar sentiasa peka terhadap perubahan semasa dan tuntutan-tuntutan baru rakyat. Baginya hanya dengan kepekaan itu membolehkan Umno/BN kekal relevan dan terus mendapat sokongan rakyat.

“Umno dan BN kena berkembang seiring dengan minda rakyat Malaysia. Kita tidak boleh terikut cara lampau kerana walau pun ia tidak semestinya salah, mungkin rakyat kini tidak dapat terima,” akhbar memetik katanya.

Muhyiddin turut mengakui keadaan kini amat berbeza dengan era beberapa dekad lalu. Sebagai contoh, katanya, generasi muda di negara ini semakin terdedah kepada nilai-nilai sejagat seperti memperjuangkan hak asasi manusia dan menuntut institusi kerajaan yang lebih telus dan bertanggungjawab. Hal ini berbeza dengan generasi terdahulu yang lebih sayang dan hormatkan Umno kerana masih terikat dengan nostalgia kemerdekaan negara.

Kita mengucapkan syabas kepada Umno, khususnya Muhyiddin kerana telah semakin berpijak di bumi nyata. Minda mereka nampaknya semakin dapat menerima apa yang selama ini disuarakan pihak lain, terutamanya parti-parti lawan BN.

Maksud saya, soal taktik lapuk BN memperkotak-katikkan minda rakyat telah sekian lama tidak disenangi pembangkang. Sudah menjadi tabiat BN memanfaatkan kekuatan kewangan dan kelebihan sebagai kerajaan untuk memanipulasi apa juga bentuk sumbangan dan bantuan yang dihulurkannya untuk memancing sokongan rakyat.

Hakikat sebegitu paling ketara tatkala berlangsungnya mana-mana pilihan raya, sama ada umum atau pun kecil. Umpan projek segera, janji pembangunan, huluran bantuan dan keprihatinan yang “melebih-lebih” seakan sinonim dengan aktiviti jentera pilihan raya BN.

Walau pun BN merasakan kaedah itu penting untuk memastikan sokongan rakyat dan kemenangannya, tidak semua ketika ia berakhir seperti diharapkan. Ada ketikanya BN tetap ditolak rakyat walau pun ia mencurah dan membanjirkan kawasan pilihan raya dengan pelbagai limpahan kebaikan.

Maka semakin banyak pihak menyimpulkan bahawa rakyat sudah semakin cerdik dan dapat menilai apakah BN benar-benar ikhlas membantu mereka atau sekadar memancing undi mereka. Minda rakyat malah turut digilap agar melihat taktik kempen cara lapuk BN itu sebenarnya satu bentuk penghinaan terhadap tahap minda rakyat. Seolah-olah BN masih menganggap rakyat terlalu dangkal politik dan mudah dibeli dengan umpan kebendaan.

Mesej itu sudah acapkali diantar rakyat kepada BN. Namun kedunguan dan kedegilan para pemimpinnya bagaikan menyumbati telinga mereka daripada menerima hakikat bahawa minda rakyat telah beranjak.

Sebab itu kita dapat melihat BN hingga kini masih dibelenggu minda lapuk yang tidak mampu menerima perbezaan sikap dan pendirian. Rakyat, terutama penjawat awam dan penerima sesuatu bantuan kerajaan kerap dipaksaan taatsetia kepada BN.

Kebebasan dan hak individu untuk memilih kecenderungan politik masing-masing masih tersekat. BN kekal mengongkong minda rakyat dengan menapis maklumat dan membataskan peluang pihak lain menyampaikan pandangan kepada rakyat.

Amalan diskriminasi dan pilih kasih, sama ada di atas perbezaan kaum, agama mahu pun kecenderungan politik adalah satu lagi warisan politik cara lampau. Ia masih kekal diamalkan segenap peringkat organisasi parti dan kerajaan BN.

Kes yang mendapat ulasan meluas media dua minggu lalu berkenaan isu penafian peruntukan pembangunan oleh kerajaan kepada Ahli Parlimen pembangkang satu lagi contoh sikap primitif BN. Begitu juga soal sekatan kewangan dan sabotaj pembangunan oleh kerajaan Pusat terhadap negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat.

Pendekata masih terlalu banyak sudut dan aspek yang perlu diubah BN sekiranya Muhyiddin ikhlas melihat perubahan minda dalam partinya. Soalnya, mampukah BN meninggalkan cara politik lampau itu? Jika tidak, maka Muhyiddin memang ada sebab wajar untuk bimbangkan masa depan partinya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 184, 24 Januari 2010, dengan tajuk sama)

Monday, January 18, 2010

Isu peruntukan, pandirnya hujah Ketua Penerangan Umno

oleh: Mat Zain Mat Isa

Kes penafian peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen dari parti-parti pembangkang bukan lah isu baru. Tindakan diskriminasi didorong sentimen balas dendam politik itu adalah lumrah dialami wakil-wakil rakyat pembangkang sejak sekian lama.

Ia sudah diterima sebagai perilaku semulajadi yang menggambarkan pertimbangan bejat Barisan Nasional (BN) selaku pemerintah negara. Keghairahan para pemimpinnya mempertahankan tindakan tidak demokratik itu dengan segala macam putar belit dan hujah bodoh sebenarnya menyerlahkan lagi kependekan akal politik mereka.

Di mana cerdiknya BN sekiranya setelah berdekad berpegang kepada amalan berat sebelah itu, tiba-tiba rakyat semakin menolak parti bedebah itu? Niat jahat BN menafikan peruntukan pembangunan kepada wakil pembangkang ialah agar mereka gagal menyempurnakan kebutuhan rakyat di kawasan mereka.

Mengikut perkiraan akal singkat para pemimpin BN, keadaan itu akan menyebabkan rakyat merasa serik memilih pembangkang dan kembali mengundi BN.

Di masa sama, BN memanfaatkan kelebihan kuasanya membina imejnya di hati rakyat. Peruntukan yang sepatutnya diterima wakil pembangkang itu sebaliknya disalurkan menerusi mekanisme partinya. BN tidak kesah jika pun dikata orang menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk mengangkat nama partinya.

Pengalaman Ahli-Ahli Parlimen pembangkang di Terengganu ketika negeri itu diperintah PAS antara 1999-2004 mengesahkan hakikat itu. Ketika itu peruntukan pembangunan oleh kerajaan Pusat kepada setiap Ahli Parlimen adalah RM500,000.

Difahamkan ia sepatutnya disalurkan melalui pejabat-pejabat daerah. Malangnya, oleh kerana kerajaan negeri itu tidak di bawah BN, segala peruntukan itu tidak disalurkan.

Bukan itu sahaja, beberapa projek pembangunan infrastruktur yang telah pun termasuk di dalam rangka perancangan awal BN untuk dilaksanakan turut ditarik balik peruntukannya setelah pertukaran kerajaan negeri.

Begitulah busuknya hati BN. Namun, di sebalik segala perancangan dan tindakan tidak bermoral itu, apakah BN berjaya menjahanamkan pembangkang? Jika kejayaan itu didakwa telah dicapainya, masakan jumlah kerusi parlimen dimenangi BN sebegitu merudum dalam pilihan raya lalu?

Malangnya keberanian rakyat bangkit menolak amalan politik balas dendam BN itu sehingga kini masih gagal dipelajari parti itu. Ia masih berpaut kepada sikap bacul itu dan terus menafikan peruntukan kepada wakil pembangkang.

Isu itu tenggelam timbul masa ke masa dan kembali mendapat perhatian umum minggu lalu. Ia ekoran tindakan agak luar biasa oleh Ahli Parlimen DAP kawasan Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun mengadakan konsert terbuka bagi mengumpul dana membiayai aktiviti di kawasannya.

Media memetik kenyataan wakil rakyat itu yang mendakwa penganjuran konsert itu berjaya mengumpul dana berjumlah RM200,000 bagi tujuan tersebut. Ekoran itu, beberapa pihak terutama rakan-rakan sejawatnya dari Pakatan Rakyat (PR) menyambut baik inisiatif dibuat Jeff Ooi itu.

“Tindakan Jeff Ooi mengadakan konsert sebagai sesuatu yang amat baik dan bijak, kerana kami ahli parlimen PR tidak dapat sesen pun peruntukan untuk setiap parlimen,” ulas Ahli Parlimen Balik Pulau dari Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Yusmadi Yusof.

Katanya, memandangkan peruntukan pembangunan yang sepatutnya diperolehi setiap Ahli Parlimen tidak pernah diterima Ahli Parlimen PR, mereka wajar memikirkan cara yang kreatif untuk mengumpul dana.

Ahli Parlimen Kuala Krai daripada PAS, Dr Mohd Hatta Ramli pula mendakwa peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada setiap ahli parlimen itu disalurkan BN menerusi Ketua Umno Bahagian.

Meski pun apa yang disebut mereka itu menepati hakikat sebenar yang telah sekian lama dimaklumi, pendedahan itu masih tidak disenangi BN. Ia segera mendapat reaksi Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.

Media yang memetik kenyataannya mendakwa beliau menyifatkan dakwaan kononnya kerajaan Pusat tidak menyalurkan sebarang peruntukan kepada wakil PR sebagai tidak berasas. Ahmad juga menganggap Ahli Parlimen pembangkang tidak realistik dan tidak faham bahawa pentadbiran negara di bawah BN.

“Seharusnya mereka perlu ingat, mereka adalah pembangkang. Jadi mengapa kerajaan di bawah pentadbiran BN perlu bantu mereka?”, ujarnya.

Sesiapa pun yang celik politik dan mengikuti perkembangannya tidak akan sukar menilai betapa dangkalnya hujah timbalan menteri itu. Pertama, catatan sejarah diskriminasi BN dengan sendirinya menjadikan dakwaan tadi berasas.

Kedua, BN sebenarnya yang bersikap tidak realistik apabila masih berpegang kepada amalan pilih kasih dan gagal menerima pilihan rakyat. Menafikan peruntukan kepada wakil pembangkang adalah seumpama menolak wakil yang rakyat pilih secara sah.

Namun ada hujah lebih pandir daripada itu. Ahmad seterusnya mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen PR bising apabila tidak mendapat peruntukan BN, sedangkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di negeri dikuasai PR juga tidak mendapat peruntukan kerajaan negeri.

Dalam ertikata lain, pemimpin Umno itu bermaksud bukan wakil rakyat pembangkang sahaja yang tidak dapat peruntukan. Bukankah itu menyerupai hujah Pak Pandir?

Katanya, “bukan Mak Andeh saja yang kematian anak. Anak orang lain pun mati juga.”

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1506, 18 Januari 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, January 17, 2010

BN silap cara hargai kegigihan penjawat awam

Oleh: Mohd Nasir Awang

Agak sukar dimengertikan apakah kebijakan yang tersemat di fikiran para pemimpin negara di sebalik segala tindakan mereka yang semakin membebankan kehidupan rakyat kebelakangan ini. Meski pun ada mereka kemukakan hujah ekonomi dan rasional kebertanggungjawaban rakyat untuk sama-sama memikul peranan membangunkan negara, wajar juga diakui sebilangan keputusan dibuat kerajaan mutakhir ini amat bercanggah dengan slogan ‘rakyat didahulukan’ yang mereka sendiri laungkan.

Disedari atau tidak, antara golongan paling terkesan oleh perubahan ‘layanan’ kerajaan ialah khalayak penjawat awam. Mereka yang saban tahun ditradisikan dengan berbagai insentif kewangan dan kelebihan sebagai kakitangan kerajaan kini berhadapan keadaan sebaliknya. Satu demi satu perkara yang selama ini mereka nikmati sebagai keistimewaan untuk penjawat awam kini semakin terhakis oleh himpitan perbelanjaan kerajaan.

Kita tidak perlu mengundur terlalu jauh ke belakang untuk meneliti perkara ini. Kedatangan Idulfitri lalu boleh dijadikan titik mula perbincangan. Secara tradisi sambutan hari raya umat Islam itu diiringi dengan hilai tawa rakyat, terutama penjawat awam.

Jika pun tidak saban tahun, di kebanyakan ketika ketibaan hari lebaran itu dilimpahi pemberian bonus raya oleh kerajaan. Ia membuatkan golongan pemakan gaji ini tersenyum hingga ke pipi. Malah kesempatan itu juga sering dimanipulasi para penjuak Barisan Nasional (BN) untuk menguar-uar dan mengulang sebut kebaikan dan kemurahan hati kerajaan.

Malangnya, suasana amat berbeza menjelang Idulfitri lalu. Tiada lagi bonus dari kerajaan untuk kesemua penjawat awam. Yang diberikan hanyalah bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kepada kakitangan kumpulan sokongan sahaja. Ada pun penjawat awam kategori lain hanya terkulat-kulat, ibarat menantikan buah yang tidak gugur.

Lalu mereka menaruh harapan pula sesuatu yang lebih bermakna bakal diumumkan kerajaan lewat belanjawan negara 2010. Para penjuak BN di segenap lapisan masyarakat juga tidak berputus asa meyakinkan kenalan masing-masing bahawa kerajaan tidak akan mensesiakan khidmat bakti penjawat awam.

Malang lagi, setelah antara mereka ada yang sanggup mengunci pandangan dan pendengaran ke arah kaca tv yang menyiarkan secara langsung pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, kalimah “bonus tahunan” yang sangat dinanti-nantikan mereka tidak juga kedengaran.

Kerajaan hanya mengumumkan bayaran khas RM500 kepada penjawat awam gred 41 hingga 54 yang dijadualkan bayarannya Disember lalu. Sebelum itu bayaran serupa diumumkan hanya untuk kumpulan sokongan.

Tiada ganjaran kewangan lebih besar untuk penjawat awam. Bonus sebulan, apatah lagi dua bulan gaji, sepertimana pernah mereka terima sudah menjadi nostalgia. Keistimewaan itu yang selama ini menceriakan kehadiran tahun baru mereka tidak lagi diutamakan kerajaan.

Belum pun kemurungan akibat ketiadaan bonus tahunan itu menyusut, para penjawat awam dipaksa berhadapan karenah lain pula. Rasanya tiada ketua keluarga yang tidak terbeban tatkala bermulanya sesi baru persekolahan. Kelengkapan untuk anak-anak ke sekolah adalah suatu yang wajib disediakan, sama ada berduit atau tidak.

Duit RM500 diberikan kerajaan terlalu jauh dari mengusai keperluan itu. Untuk membeli sehelai selendang isteri pemimpin negara pun belum tentu cukup, inikan pula untuk kelengkapan persekolahan lima-enam anak?

Sementara beban menyediakan keperluan itu dirasai semua rakyat, sebilangan peraturan diamalkan pihak sekolah pula menjadi beban tambahan khusus untuk penjawat awam. Berbagai bentuk bantuan disediakan sekolah untuk murid dan pelajar yang mensyaratkan nilai pendapatan tertentu oleh ibu bapa mereka secara tidak langsung mewujudkan ruang “pilih kasih” terhadap penjawat awam.

Bagi mereka yang berpendapatan melebihi jumlah tertentu, anak-anak mereka tidak layak menerima bantuan tersebut. Jika sebelum ini isu berkenaan timbul berkaitan bantuan buku teks, rancangan makanan tambahan (RMT), skim baucer tuisyen dan berbagai lagi, kini isu paling hangat diperkatakan ialah mengenai yuran makan pelajar yang tinggal di asrama.

Pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung perkara itu yang diedarkan tahun lalu menyebutkan bahawa ibu bapa atau penjaga berpendapatan RM5,000 ke atas perlu membayar yuran makan RM3 sehari berbanding keluarga berpendapatan RM4,999 ke bawah yang dikekalkan bayarannya RM1 sehari seperti sebelum ini.

Sepintas lalu ada pihak menganggap wajar diambil kira jumlah pendapatan penjaga sebelum melayakkan pelajar menerima bantuan. Bagaimana pun menilai keupayaan kewangan penjaga semata-mata berdasarkan jumlah gaji bulanan bukan lah kaedah adil menentukan tahap bebanan ditanggung mereka.

Beban kewangan sebenar keluarga terbabit harus diperhalusi. Misalnya, sebuah keluarga dengan pendapatan ibu bapa berjumlah RM6,000 tetapi memiliki tanggungan tujuh anak sedang menuntut belum tentu lebih kukuh kewangannya berbanding yang berpendapatan RM4,000 dengan hanya tiga anak bersekolah.

Isu lebih utama di sini ialah bagaimana kerajaan menghargai kegigihan penjawat awam. Apakah semata-mata kerana jumlah pendapatan ibu bapa melebihi tahap tertentu, maka anak-anak mereka tidak wajar diberikan bantuan tertentu?

Diura-urakan juga warga pendidik yang berusaha menambah pendapatan dengan menjadi pengawas peperiksaan awam dan penanda kertas peperiksaan tidak lagi dibenarkan membuat tuntutan perjalanan. Mereka hanya dibayar elaun tugasan sahaja.

Ura-ura kerajaan mahu menghapuskan elaun kos sara hidup penjawat awam (Cola) juga kedengaran, konon bagi menjimatkan perbelanjaan negara.

Dengan segala perkembangan yang semakin membebankan penjawat awam itu, tidak salah jika mereka bertanya apakah itu cara terbaik BN membalas khidmat bakti mereka kepada negara?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 183, 17 Januari 2010 dengan tajuk sama)