Saturday, June 22, 2002

“Mende apa pulok serik doh?"


Oleh: Mohd Nasir Awang

DI ZAMAN kanak-kanak dulu, kita sempat tinggal seketika di sebuah lorong di Batu Burok, pinggir bandar Kuala Terengganu. Makcik yang tinggal di sebelah rumah kami sering sahaja menggodam anaknya yang agak nakal. Setiap kali dipiap ibunya, budak itu akan meraung, “aduh la mok weh! Tak mboh doh, serik doh!”, sambil menangis sakan.

Raungan itu jelas kedengaran di rumah kami. Kita dan dua adik lelaki yang sebaya budak itu, yang tidak kurang juga nakalnya, kecut perut mendengarnya sambil bimbang kalau-kalau nasib yang sama menimpa kami.

Kita mari teringat kembali nostalgia silam itu apabila awal bulan ini, riuh-rendah seluruh negeri sekumpulan budak-budak ‘meraung’ keserikan. Budak-budak parti pembangkang diberitakan berarak serata negeri dan berhimpun untuk memberitahu masyarakat bahawa mereka ‘Serik Doh Weh’. Raungan mereka itu turut disiarkan oleh media arus perdana.

Mengikut kenyataan ketua mereka, slogan ‘Serik Doh Weh’ membawa maksud ‘sudah serik kepada rakyat Terengganu kerana memilih PAS menjadi kerajaan negeri selama lebih dua tahun’. Dikatakan, ribuan poster dengan slogan itu dicetak bagi dilekatkan di serata negeri agar seluruh rakyat tahu bahawa mereka sudah serik.

Dengan sebilangan perubahan dan pembaharuan positif yang sempat dilakukan Kerajaan Negeri dalam masa hanya lebih dua tahun memerintah, agak sukar juga untuk kita fikirkan apa sebenarnya yang mereka itu serikkan.

Apakah mereka serik kerana sejak Kerajaan Negeri ini bertukar tangan, maka mereka sudah tidak dapat ke pejabat setiap Sabtu? Rajin sangatlah tu konon!

Ataukah kerana disebabkan cuti tambahan itu, maka mereka serik kerana ada lebih banyak masa untuk keluarga dan kerja-kerja peribadi? Ataukah mereka serik kerana terpaksa menadah telinga setiap minggu mendengar tazkirah dan kuliah rasmi, mengingatkan mereka kepada dosa dan pahala?

Takkan lah disebabkan arahan pihak berkuasa tempatan supaya berhenti sekejap dari jual-beli di pasar malam ketika masuk waktu Maghrib, pun mereka serik juga?

Ataukah ada golongan wanita yang serik kerana diberi cuti bersalin 90 hari, sehingga bosan duduk rumah lama-lama jaga anak? Sang suaminya pula serik kerana cuti isteri bersalin elok-elok daripada tiga hari dipanjangkan kepada tujuh hari?

Atau serik kerana hanya wajah wanita bertudung dipaparkan di papan-papan iklan? Hinggakan iklan syampu pun menggunakan khidmat wanita yang ‘bertudung litup sepanjang hari’.

Di tepi-tepi jalan pula bersirik papantanda ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu Akbar’. Takkan lah benda yang mendorong kita untuk mengingati Allah itu pun kita naik serik juga membacanya?

Yang jadi imam dan bilal pula tiba-tiba rasa serik kerana terima elaun bulanan dua kali ganda lebih banyak berbanding jumlah yang diberi kerajaan sebelum ini? Golongan fakir atau miskin pula naik serik kerana bantuan bulanan untuk mereka juga digandakan?

Ataukah ada rakyat yang serik kerana setelah tiga-empat puluh tahun meneroka dan mendiami tanah tanpa hak milik yang sah, sehinggakan sesetengah mereka sudah bercucu-bercicit, tiba-tiba kerajaan pimpinan PAS ini dalam masa dua tahun saja berjaya mengurniakan geran hak milik yang sah kepada mereka?

Adalah sangat bangang kalau ada juga manusia yang serik kerana hal-hal yang disebutkan itu!

Ataukah mereka serik kerana kini sudah tak bebas minum arak macam dulu-dulu? Kedainya terhad, penguatkuasaannya lebih ketat. Atau kerana sekarang susah nak berjudi dan terpaksa ke Kuantan (Pahang) atau Gerik (Perak) untuk melepaskan gian? Takkan benda macam itu pun nak serik juga!

Jadi, apakah kerana tindakan dan perubahan positif serta menguntungkan itu maka rakyat diajak untuk merasa serik dengan kerajaan yang ada? Astaghfirullah al-‘Azim, Kassim Selamat! Kabar ke dok demo nih?

Dari aspek bahasa pula, serik bererti sudah cukup dan tidak mahu buat lagi. Kamus Dewan memperincikan maksudnya sebagai ‘tidak mahu melakukan lagi (kerana sudah menderita atau sudah melihat orang lain yang menderita akibat perbuatan itu), jera, takut’.

Apabila seseorang mengaku sudah serik, ia membawa konotasi bahawa beliau seorang yang penakut dan tidak lasak, tidak babil, tidak tahan uji dan sudah mengaku kalah. Samalah macam budak hingusan bekas jiran kita yang suka meraung itu.

Bukanlah pejuang namanya baru sekali kalah sudah serik! Parti kita sudah masuk pilihan raya sejak negara ini tahu berpilihan raya. Hanya sekali, iaitu dalam Pilihan Raya Umum 1959, parti kita menang di Terengganu.

Ada pun selepas itu ia tidak pernah berjaya menguasai negeri ini, sehinggalah Allah mengurniakan kemenangan dalam pilihan raya umum lalu.

Tapi, tak pernah pula kita dengar dari ahli parti sama ada yang tua atau muda, yang lelaki atau wanitanya mengeluh ‘serik doh kaloh sokmo’. Orang berjuang mana boleh serik?

Lagi pun, macamana kita nak bercakap tentang “perjuangan yang belum selesai” kalau belum apa-apa sudah riuh sekampung serik doh? Orang mudah serik bukan anak jantan namanya. Barangkali ada munasabahnya orang kata budak-budak pembangkang ini tak cukup sifat kelelakian mereka. Tak dan apa-apa serik doh, you? Cubit kang! Aww!!!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Jun 2002 di kolum tetap ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

Saturday, June 8, 2002

Sekolah jadi medan politik


Oleh: Mohd. Nasir Awang

DI ANTARA fenomena baru yang semakin menjadi kebiasaan bagi pembangkang di Terengganu mutakhir ini ialah kecenderungan menjadikan kawasan sekolah sebagai medan aktiviti politik mereka.

Dewan dan bangunan sekolah di seluruh negeri ini seolah-olah telah bertukar status menjadi ‘Bangunan Gunasama’ antara Kementerian Pendidikan dan pembangkang.

Di waktu persekolahan, ia digunakan oleh guru dan murid sebagai pusat pendidikan. Manakala di luar waktu persekolahan, ia sering pula dimakmurkan sebagai ‘markas politik’.

Tidak cukup sekadar ruang berbumbung itu, habis segenap ceruk termasuk pagar dan padang sekolah turut dimanfaatkan untuk menjayakan agenda politik mereka.

Namakan apa sahaja: Forum Suara Rakyat, Forum Hudud PAS, Majlis Muafakat Wanita dan lain-lain lagi yang dianjurkan atas nama parti mereka, kebanyakannya diadakan di premis pendidikan awam itu.
Setiap kali berlangsungnya aktiviti politik itu, maka habislah seluruh kawasan sekolah itu dipenuhi bendera-bendera ‘keris panjang’ dan juga lambang ‘dacing’.

Sekali pandang, tidak mustahil para pengunjung luar yang pertama kali lalu di kawasan berkenaan akan menyangka kawasan itu adalah markas pilihanraya atau ibu pejabat pembangkang setempat.

Pembahagian hasil rompakan dari khazanah negeri kepada suku-sakat terpilih juga kebanyakannya menggunakan premis sekolah. Selain dipampang pameran warna-warna ‘keris dan dacing’ yang memualkan itu, para penerima juga disumbat dengan celoteh dan leteran politik para pemuka pembangkang.

Suatu hal yang nyata, sebilangan aktiviti yang dinyatakan itu turut membabitkan penglibatan, sama ada secara langsung atau tidak, sebilangan guru dan murid sekolah berkenaan. Maka, secara langsung atau tidak, warga sekolah berkenaan telah menjadi sebahagian daripada tenaga yang menjayakan aktiviti politik pembangkang itu.

Di peringkat nasional, kita seringkali diingatkan oleh para pemimpin negara bahawa sekolah bukannya medan politik. Sudah tentu oleh kerana yang menyuarakan hal itu adalah pemimpin pemerintah, maka ingatan itu lebih ditujukan kepada pihak pembangkang di peringkat nasional.

Gerangan apakah sehingga pihak Kerajaan Pusat terfikir melaksanakan ‘akujanji’ terhadap para penjawat awamnya kalau bukan kerana takutkan pengaruh pembangkang yang semakin meningkat di kalangan para penjawat awam itu?

Maka berbagai aturan dan peraturan diperkenalkan bagi mengawal dan menekan pergerakan dan penglibatan politik para penjawat awam, terutamanya warga pendidik.

Manakala sebarang gejala negatif yang berlaku di sekolah atau pusat pengajian dengan cepat difitnahkan sebagai angkara pembangkang.

Kemunduran akademik dan kebobrokan akhlak pelajar serta keculasan guru-guru dengan mudah dikaitkan dengan penglibatan mereka dalam politik pembangkang.

Adalah amat nyata ‘kebaruaan’ sekelompok manusia ini apabila di peringkat nasional mereka menjadi juara mengatakan bahawa kawasan sekolah dan pusat pendidikan mestilah bebas dari unsur politik, tetapi di peringkat negeri Terengganu ini anak-anak buah mereka itulah juga yang menjuarai agenda mempolitikkan kawasan sekolah.

Saban tahun, hampir semua sekolah menganjurkan seminar keibubapaan. Majlis biasanya ditujukan kepada ibubapa atau penjaga anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan utama (UPSR, PMR, SPM).

Maka, di atas hasrat mendapat penjelasan mengenai prestasi akademik anak-anak, kebanyakan ibu bapa sanggup meninggalkan kerja buat sehari suntuk itu untuk datang ke sekolah.

Bukan lagi menjadi suatu rahsia betapa majlis-majlis berkenaan juga diambil kesempatan oleh parti pembangkang untuk kepentingan politiknya. Pihak sekolah dipertanggungjawabkan memadah ibu bapa. Manakala pihak pembangkang pula mengaturkan orang-orangnya untuk ‘membasuh minda’ ibu bapa.

Bukan ke arah membantu kecemerlangan anak masing-masing dalam peperiksaan yang bakal dihadapi tetapi ke arah membenci Kerajaan Negeri dan membulatkan sokongan kepada Kerajaan Pusat.  Tak barua namanya tu?

Beberapa pesta atau program hiburan yang sengaja ditaja bagi mencabar agenda pemerintahan negeri juga turut memanfaatkan padang sekolah.

Acara-acara seperti tinju Siam (Muoy) dan Dikir ‘Karut’, yang selalunya gagal mendapat kebenaran menggunakan premis awam milik Kerajaan Negeri seringkali beralih tempat ke premis milik Kerajaan Pusat itu.

Kuasa autonomi yang mereka miliki di kawasan berkenaan menyukarkan pihak Kerajaan Negeri menguatkuasakan peraturan yang kita kehendaki berkaitan pesta atau program seumpama itu.

‘Pesta Baling Kerusi dan Bertukar-Tukar Buah Tangan’ oleh ahli-ahli parti pembangkang juga turut diadakan di sekolah. Itulah apa yang dilaporkan berlaku dalam mesyuarat agung satu cawangan pembangkang di negeri ini beberapa bulan lalu, sehingga memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan amaran.

Ia bukan sahaja mencemarkan arena politik negara, malah meninggalkan kesan negatif di dalam jiwa anak-anak. Mereka tentunya pelik bagaimana medan mereka menimba ilmu dan asuhan telah bertukar menjadi gelanggang maki hamun dan sumpah seranah orang-orang politik yang berjiwa kotor itu.

Ya Allah! Selamatkan negeri ku ini dari kekuasaan manusia-manusia barua itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 48, 8 Jun 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Wednesday, May 22, 2002

Yang Indah Itu Bahasa


Oleh: Mohd Nasir Awang

DI KALANGAN orang-orang tua suku kaum Jawa, terdapat satu anekdot yang agak masyhur tentang silap faham penggunaan bahasa. Ceritanya mengenai dua orang yang terserempak sewaktu melalui denai di tengah-tengah hutan. Seorang daripada mereka bertanya yang seorang lagi: “Macan manak?”

Tiba-tiba yang ditanya itu tergamam, menjadi pucat ketakutan dan terus cabut lari. Sang penanya itu diceritakan dari suku kaum Banjar. Ungkapan ‘macam manak?’ dalam dialek Banjar bererti “macam mana?”, iaitu ungkapan lain bagi bertanya khabar.

Manakala yang ditanya itu adalah seorang berketurunan Jawa. Di dalam dialek Jawa, kalimah ‘macan manak’ itu pula membawa maksud ‘harimau beranak’.

Sememangnya harimau yang beranak kecil diketahui sangat ganas dan suka menyerang sesiapa juga yang melintasi kawasannya. Sebab itulah hamba Allah tadi menjadi ketakutan dan terus cabut. Dia menyangka orang Banjar itu memberitahunya bahawa di situ ada ‘harimau beranak’.

Cerita yang ringkas dan agak melucukan ini memberikan gambaran jelas bahawa perbezaan maksud sesuatu perkataan mengikut fahaman bangsa atau suku kaum masing-masing kekadang membawa implikasi negatif. Lebih-lebih lagi bagi masyarakat majmuk yang dianggotai pelbagai suku kaum dan bertutur berbagai-bagai dialek atau loghat pula.

Di kalangan pelajar universiti juga pernah terjadi silap faham yang serupa. Suatu hari dua siswa berjanji untuk ke suatu tempat bersama-sama. Tiba masanya, siswa yang berasal dari Terengganu itu pun datang menjemput rakannya. Rakan serumah rakannya itu yang berasal dari Kedah menjawab, “Pi lah! Dia pesan, satni dia pi”.

Siswa dari Terengganu itu pun terus memandu pergi, seraya merungut, “janji nak gi sama-sama, dia dah cabut awal pulak”. Tiba di tempat yang dituju itu, dia terus mencari rakannya tadi. Kerana, dalam fahamannya kawannya itu sudah pergi lebih dahulu daripadanya.

“Satni” dalam loghat Terengganu bermaksud ‘sekejap tadi’. Sedangkan dalam loghat Kedah ia adalah sebaliknya, iaitu bermaksud ‘sekejap lagi’.

Hanya selepas rakannya itu tiba sejurus kemudian, barulah dia tahu ‘satni’ Kedah berlawanan maksud dengan ‘satni’ Terengganu.

Sengaja kita bangkitkan soal perbezaan maksud sesuatu perkataan ini sebagai berkongsi ingatan dengan pembaca. Ia tentunya ada hubungkait dengan polemik penggunaan perkataan ‘barua’ yang nampaknya sudah sampai ke peringkat diblown out of all proportion (dibesar-besarkan melebihi hadnya) kini.

Segala-galanya bermula daripada tindakan sebuah rangkaian tv yang sengaja mempolitikkan ucapan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), beberapa bulan lalu.

Ucapan beliau itu jelas merujuk kepada sikap cakap tak serupa bikin seorang pemimpin tertentu. Kerana sememangnya selama ini kita fahami betapa para pemimpin negara selalu mencanangkan agar tidak dibenarkan bercakap mengenai politik di dalam masjid. Malangnya, pemimpin berkenaan secara jelas memperalatkan mimbar masjid untuk berkempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung ketika itu.

Perangai bercakap tidak serupa bikin, autar atau suka temberang dalam bahasa Kelantan disebut juga sebagai ‘bual’ (sabdu pada ‘b’) atau ada juga yang menyebutnya ‘barua’. Perkataan ‘barua’ di situ sudah tentu tidak sebagaimana yang digunapakai di negeri-negeri lain, yang membawa maksud ‘orang suruhan untuk melakukan kerja jahat’.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Mengenali sesuatu bangsa adalah melalui bahasa yang digunakan mereka. Sepatutnya para ahli bahasa di negara ini memperakui hakikat perbezaan makna kalimah-kalimah tertentu yang digunapakai dalam masyarakat pelbagai suku kaum bangsa Melayu di negara ini.

Satu contoh yang sangat wajar dinyatakan di sini ialah penggunaan perkataan ‘pantat’ (dengan sebutan ‘patak’) di kalangan masyarakat Kelantan dan Terengganu. Ia adalah perkataan biasa yang disebut oleh semua orang, sama ada yang berpelajaran atau tidak, yang jahil atau alim, di pasar atau dalam masjid.

Di rumah ada perumpamaan ‘hitam macam pantat kuali’. Di pasar, orang memilih kain batik berdasarkan corak pada ‘pantat kain’. Bagi golongan nelayan pula, ada model motorbot yang dipanggil ‘pantat potong’, selain sekoci, payang dan lain-lain.

Manakala ‘pantat sotong’ pula ialah bahagian bawah haiwan itu yang terkenal dengan telurnya yang sangat enak dimakan.

Kalau diikutkan fahaman masyarakat ‘sebelah luar’ iaitu di negeri-negeri Pantai Barat, maka semua orang di Kelantan dan Terengganu ini suka mencarut. Kerana, perkataan ‘pantat’ itu bagi mereka adalah alat kelamin wanita yang kita eja dengan lima huruf bermula ‘b’ berakhir dengan ‘t’ itu. Sebaliknya pula perkataan ‘b...t’ itu bagi mereka di sana tidak pula satu carutan yang keji, malah boleh disebut molek-molek ada!

Sengaja kita bawakan contoh sebegini bagi memberikan gambaran bahawa sesuatu dakwaan kononnya seseorang menggunakan bahasa yang kasar, jijik atau mencarut hendaklah diadili menurut realiti bahasa ibunda sang penutur atau konteks setempat.

Oleh itu, apabila seorang Tok Guru berbahasa Kelantan bercakap di Kelantan di hadapan orang Kelantan, sudah tentu menggunakan kalimah yang dibangsakan kepada rakyat Kelantan. Justeru, kalimah ‘barua’ yang diucapkan itu semestinya difahami berdasarkan apa yang difahami masyarakat Kelantan dan bukannya diputarbelitkan secara out of context.

Orang selalu menyebut, ‘Yang Indah itu Bahasa’. Keindahan itulah antara hikmah Allah Ta’ala menciptakan manusia ini bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Dak gitu neh?

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Mei 2002 di kolum tetap ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

Wednesday, May 8, 2002

Guru Berkualiti Aspirasi Negara

Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG penyair cilik dari Seberang Takir, Abdul Alim Zakaria di dalam salah satu puisinya yang masyhur menyifatkan guru sebagai ‘penyuluh hidup’ yang menerangi alam ini. Selain itu, beliau menyebutkan lagi:
Wahai guruku kau ibarat sebatang lilin, menerangi alam kegelapan. Kau sanggup membakar dirimu wahai guruku. Kau insan yang mulia mendidik dan membimbing daku. Kaulah insan yang ku sanjungi”.
Ilmu adalah penyuluh kehidupan. Manakala peranan penting guru sebagai penyampai ilmu kepada masyarakat sudah tidak dipertikaikan lagi. Didikan secara formal oleh seorang guru terhadap muridnya adalah complementary (pelengkap) kepada didikan tidak formal yang dibekalkan kedua ibu bapa.
Sebab itu di dalam banyak hal, guru adalah ibarat ibu bapa kepada murid.
Betapa besarnya peranan guru dalam mendidik anak bangsa sering diperkatakan terutama di waktu menyambut Hari Guru saban tahun. Bahkan, terdapat beberapa tahun yang mana tema sambutan yang dipilih itu khusus membicarakan peranan guru.
Antaranya ‘Guru Pembentuk Generasi Akan Datang’ bagi Hari Guru 1978, ‘Guru Pengasas Budaya Membaca’ (1988), ‘Guru Pembina Budaya Ilmu’ (1989), ‘Guru Bestari Sekolah Bestari’ (1997), ‘Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama’ (1998), dan ‘Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang’ (1999).
Tema tahun ini sekali lagi memberikan penekanan khusus kepada peranan guru, iaitu ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’. Sudah tentu apabila disebutkan ‘kualiti’, maka yang dimaksudkan ialah nilai-nilai atau penampilan positif seperti dedikasi dan komited dalam kerja, kreatif dan inovatif dalam kaedah mendidik, mesra dan accountable (bertanggungjawab dan telus) dalam sikap, serta cakna dan prihatin kepada kecenderungan masyarakat.
Sebagai pembekal ilmu, guru sememangnya bertanggungjawab menentukan corak kehidupan seseorang. Kerana, ilmu dan didikan yang dicurahkan oleh seseorang guru menjadi ‘penyuluh hidup’ yang mampu membebaskan seseorang daripada kegelapan hidup tanpa ilmu.
Bahkan, mereka yang sepanjang hari bergaul murid itu sama ada disedari atau tidak sentiasa dijadikan role model oleh murid.
Sepertimana yang pernah disebutkan oleh Imam Malik rahimahullah, seorang kanak-kanak itu belajar dari kehidupan di sekelilingnya. Kalau dia hidup dengan kritikan, dia belajar untuk mengutuk. Kalau dia hidup dalam kekerasan dan kekacauan, dia belajar untuk bergaduh.
Kalau seseorang kanak-kanak itu hidup dengan tolak ansur, dia belajar menjadi penyabar. Kalau dia hidup dengan galakan dan dorongan, dia belajar untuk yakin pada diri. Kalau dia hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghormati. Kalau dia hidup dalam kesamarataan, dia belajar untuk berlaku adil.
Sebab itulah tutur kata dan perbuatan seorang guru amat berkesan di mata dan di hati seorang murid. Amat penting bagi seorang guru untuk mempamer dan menyemai nilai-nilai positif kepada murid-murid. Kerana, kalau murid dibiasakan dengan herdikan dan leteran, dia akan belajar untuk memaki dan menseranah.
Untuk itu, sang guru hendaklah sedaya mungkin mengelak daripada membiasakan diri dengan tindakan negatif. Kerana, bak kata pepatah orang tua, kalau guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari.
Maksudnya, seorang murid itu akan mudah mencontohi kelakuan dan perbuatan gurunya, terutama dalam hal-hal yang tidak elok.
Sesetengah guru memandang enteng peribahasa ini. Lalu di kalangan mereka ada yang mengajarkan kepada murid mereka falsafah yang mereka cipta sendiri, iaitu ‘buat apa yang saya suruh, jangan buat apa yang saya buat’.
Sebenarnya falsafah tersebut tidak boleh dijadikan prinsip dalam mendidik murid-murid.  Sebaliknya, ia jelas menggambarkan sikap tidak accountable sang guru dengan ilmu yang diajarkannya.
Cakap tidak serupa bikin, bikin tidak serupa cakap. Sudah tentu bukan ‘kualiti’ seumpama itu yang diharapkan oleh masyarakat daripada guru-guru.
Sebagai warganegara, guru juga bertanggungjawab terhadap masyarakat termasuk dalam menentukan corak pemerintahan. Telah terbukti sejak beberapa ketika lalu bahawa golongan pendidik ini merupakan kelompok masyarkat yang sangat sensitif dan responsif terhadap perubahan iklim politik tanahair.
Berkat ‘kualiti’ yang ada pada guru-guru negara ini, mereka berupaya menilai dan membezakan yang hak dan batil, adil dan zalim. Parti mana yang ada ‘kualiti sebenar’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, dan mana yang sebaliknya.
Mana parti yang dipenuhi kaki rompak, rasuah dan songlap, dan mana yang didokong oleh orang-orang ‘berjurus’. Alhamdulillah berbekal ‘kualiti’ itu mereka telah memberikan aspirasi baru kepada perubahan dan pembaharuan politik, khususnya di bumi Darul Iman yang bertuah ini.
Sambutan Hari Guru ditetapkan pada setiap 16 Mei. Namun setakat ini ia belum diiktiraf sebagai cuti umum. Pun begitu, pihak sekolah diberi kelonggaran menyambutnya secara sederhana di peringkat masing-masing, tetapi tidak melibatkan cuti.
Justeru, diharapkan tidak terlalu awal untuk kita ucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik, khususnya bagi yang membaca catatan ini. Hayati dan halusi tema ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 46, 8 Mei 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Monday, April 22, 2002

Baru sedar Yahudi ganas?

Oleh: Mohd. Nasir Awang

DALAM kehangatan masyarakat dunia membantah kekejaman Israel di bumi Palestin mutakhir ini, seorang pesara perkhidmatan pendidikan di daerah Besut memilih caranya sendiri untuk meluahkan rasa hatinya. Beliau memanfaatkan belakang kenderaan perdagangannya sebagai medan luahan perasaannya sambil berurusan dengan para pelanggannya di serata daerah itu.
Dengan hanya berbekalkan sekeping kadbod, beliau mencatatkan protesnya dengan jelas: “Apasal tak jemput Ariel Sharon jadi hos HMI? Dulu ajak main kriket! Baru tahu perangai Yahudi! Jangan sangsi ayat Al-Quran!”
Plakad yang dilekatkan di cermin belakang kenderaan ‘cikgu’ itu secara jelas merujuk kepada sikap kerajaan negara ini yang selama ini dilihat sangat berlembut terhadap rejim haram Israel.
Walau pun pada dasarnya kerajaan Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram itu, namun di masa yang sama ia juga tidak memperlihatkan kesungguhan menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.
Sebab itu, mengikut jawapan seorang anggota kabinet di Dewan Rakyat beberapa tahun lalu, negara ini ada membuat hubungan dagang dengan Israel.
Bahkan, sekumpulan pelajar negara berkenaan secara diam-diam pernah ‘menyusup’ ke negara ini, dikatakan atas jemputan orang ternama negara ini.
Sikap ‘talam dua muka’ para pemimpin negara dalam konflik Israel-Palestin amat jelas apabila pasukan kriket negara haram itu turut dibenarkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan yang diadakan di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Sekumpulan pemuda Islam yang mengadakan demonstrasi membantah kehadiran pasukan negara haram itu bukan sahaja disirami air berkimia, malah diangkut ke balai polis, dikurung, disoal siasat dan dihadapkan ke mahkamah.
Mereka itulah yang disifatkan oleh seorang menteri pada waktu itu sebagai ‘orang-orang yang bodoh’.
Empat orang di kalangan mereka didapati bersalah kerana menentang kehadiran pasukan kriket Israel ke negara ini. Tiga antara mereka memilih untuk dipenjarakan.
Yahudi adalah suatu bangsa yang berperangai dan berjiwa kebinatangan. Pada mereka kezaliman dan keganasan adalah satu-satunya cara untuk mendapat kuasa dan pengaruh. Keganasan pemikiran dan hati mereka melebihi keganasan haiwan liar di rimba.
Sejarah keangkuahan Israel yang membawa mereka menjadi liar dan ganas adalah berasaskan ajaran yang diselewengkan oleh ketua-ketua agama mereka dengan mengubah, membuang dan menokok tambah ajaran agama mengikut apa-apa yang sesuai dengan selera mereka sendiri.  Ajaran ini mengajar mereka supaya berpegang kepada tiga falsafah utama:
Pertama: Mereka hendaklah berpegang bahawa Yahudi adalah satu bangsa pilihan Allah. Roh orang-orang Israel adalah satu juzuk dari Allah sementara roh-roh yang lainnya adalah roh-roh syaitan atau roh binatang.
Kedua: Mereka hendaklah beranggapan bahawa dunia ini keseluruhannya adalah milik Israel dan sesiapa yang menghalangi mereka dari menguasai dunia adalah dianggap sama dengan memerangi tuhan.
Ketiga: Titik mula bagi langkah-langkah mereka menguasai dunia ialah Palestin.
Dengan itu Palestin merupakan tempat yang menjadi kewajiban untuk menegakkan kerajaan Yahudi, kerana ia adalah bumi terpilih yang tidak berhak kepada sesiapa pun di dunia ini selain dari orang-orang Yahudi.
Falsafah ketiga inilah yang menghasilkan faham Zionisme, iaitu fahaman bermatlamat mewajibkan bumi Palestin menjadi ‘as Jewish as England is English’. Prinsip dan falsafah ini menjadikan mereka ganas dan kejam kerana pada mereka dunia ini milik mereka dan orang-orang yang bukan keturunan Israel dianggap setaraf dengan syaitan dan binatang.
Sesiapa yang cuba menentang mereka dikira sebagai menentang Tuhan. Dengan itu mereka ‘halal’ bertindak balas dengan apa cara sekalipun.
Seorang pemikir Islam kontemporari berbangsa Palestin, Almarhum Profesor Ismail Raji al-Faruqi di dalam tulisannya ‘Not Judaism, But Zionism’ mengulas panjang tentang fahaman melampau bangsa Zionis ini.
Beliau akhirnya menyimpulkan bahawa kekejaman dan kezaliman Zionis adalah sangat melampau dan keterlaluan, sehingga tiada langsung cara lain untuk menghadapi mereka melainkan dengan peperangan dan penghapusan mereka dari muka bumi ini.
Amaran Allah di dalam Al-Quran tentang sifat kejam dan hina bangsa Israel terbukti benar dengan tindakan-tindakan mereka menghalau dan membunuh orang-orang Palestin.
Semenjak 14 Mei 1948 hinggalah ke hari ini umat Palestin diburu seperti binatang.
Rumah-rumah perkampungan dan khemah-khemah pelarian Palestin dimusnahkan dengan ganas sehingga mengorbankan puluhan ribu jiwa termasuklah wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
Apa yang mendukacitakan kita ialah sikap para pemimpin negara Islam yang mengambil masa terlalu lama (lebih 50 tahun) untuk mengiyakan amaran Allah itu.
Mereka seolah-olah baru sedar bahawa Yahudi-Israel itu satu bangsa ganas, hina dan tidak boleh dibawa berunding.
Setelah mereka puas mengajak Yahudi bermain kriket, mengadakan hubungan dagang, menjemput pelajarnya melawat negara, membelasah dan memenjara pemuda yang membantah kehadiran Yahudi itu, kini baru mereka sedar.
Apakah selama ini mereka sangsi dengan amaran Allah?
Ada benarnya mesej yang disampaikan ‘cikgu’ tadi melalui plakadnya itu!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 45, 22 April 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Monday, April 8, 2002

Menghina Ajaran Agama Sendiri

Oleh: Mohd Nasir Awang
SEORANG wartawan veteran sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini turut muncul di kaca televisyen memberikan komentar beliau mengenai polemik Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)-Penulis yang sedang hangat diperkatakan dewasa ini.
Seperti yang dijangkakan kemunculan beliau itu tiada beza sedikitpun dengan beberapa tokoh masyarakat lain yang turut ditemubual.
Kesemuanya menjurus kepada mengutuk tindakan PUM dan membela kebebasan para penulis yang dimaksudkan itu untuk menyuarakan pendapat.
Namun, mengambilkira latarbelakang beliau yang agak lama di bidang kewartawanan, komentar beliau yang tidak teliti dan out of context itu nyata mengecewakan para penonton khususnya rakan wartawan yang pernah mengenali beliau.
 Pada 4 Februari lalu, PUM telah menyerahkan satu Memorandum memohon perkenan Majlis  Raja-Raja Melayu bagi menghadap untuk perbincangan tindakan ke atas penulis-penulis dan media yang menghina Islam dan memperkecilkan Rasulullah s.a.w. serta ulama’.
Memorandum setebal lapan mukasurat itu turut menamakan beberapa penulis Islam beserta petikan tulisan-tulisan mereka yang disiarkan beberapa akhbar arus perdana.
Turut sama menandatangani memorandum tersebut ialah sembilan lagi NGO Islam negara ini.
Sepertimana yang pernah diutarakan seorang mufti, perbahasan mengenai isu ini secara jelas telah menyimpang daripada maksud asal memorandum tersebut. Semacam ada suatu kesepakatan di kalangan para pengamal media untuk mengalihkan fokus isu tersebut.
Perbicaraan bukan lagi ke atas sekumpulan penulis yang dianggap menghina Islam itu.  Sebaliknya, PUM pula yang menjadi bahan kecaman dan balunan segenap saluran media.
Dalam ertikata yang lain, masyarakat sebagai ‘juri awam’ telah cuba dibentuk minda mereka agar menghukum PUM selaku pengadu atau pendakwa.
Manakala para penulis tersebut sebagai orang kena adu atau tertuduh dibela dan diberikan imej positif.
Agak kartun juga bunyinya. Kerana, episod seumpama ini selalunya hanya dapat kita tonton melalui filem-filem Bollywood. Memanglah tema kebanyakan filem Hindi adalah korupsi, putarbelit, kezaliman dan kuasa kebendaan.
Soal orang yang mengadu akhirnya mendapat hukuman, dan orang yang dituduh terlepas adalah paparan biasa dalam filem-filem mereka.
Tetapi kehidupan kita di ‘Negara Islam Malaysia’ ini bukan fiksyen atau lakonan filem. Ia adalah realiti. Kalau episod filem Hindi itu dirasakan agak kartun, maka tidak kurang kartunlah juga rakyat Malaysia hari ini!
Sebab itu, kita masih ingat bagaimana di akhir dekad 80-an dulu, tragedi yang hampir sama dengan apa yang menimpa PUM kini telah berlaku di dalam sistem kehakiman negara.
Bacalah May Day For Justice tulisan Tun Mohd. Salleh Abas. Di sana diperincikan satu-persatu kronologi pemecatan beliau sebagai Yang Arif Ketua HakimNegara. Punca utama adalah aduan beliau kepada ketua negara tentang perlakuan seorang perdana menteri yang terlalu banyak campurtangan dalam urusan kehakiman negara.
Akibatnya, beliau yang mengadu hilang kedudukannya sebagai peneraju badan kehakiman.  Manakala sang perdana menteri yang kena adu itu terus juga menerajui negara.
Episod serupa turut menimpa penguatkuasaan syariah sedekad kemudian. Kita tentu masih ingat bagaimana sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menahan tiga wanita Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik telah mendapat kecaman berbagai pihak, sedangkan mereka hanya melaksanakan tugas menurut peruntukan undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan mereka.
Lebih malang lagi, apabila Dato’ Mufti Selangor bersuara menyokong tindakan para pegawai tersebut, beliau turut dikecam pelbagai pihak termasuk para pembesar negara.
Bahkan, beliau telah ditamatkan kontrak perkhidmatannya sebagai mufti. Sekali lagi, orang yang mengadu dihukum dan orang kena adu dibela. Kan kartun bunyinya tu?
Apa yang jelas, dunia hari ini semacam bersepakat melayan Islam secara yang sangat tidak adil.  Kebebasan hanya dicanangkan untuk melawan sesuatu hukum atau peraturan Islam.
Sebaliknya, kebebasan bagi umat Islam untuk mengamalkan Islam atau menguatkuasakan peraturan Islam tidak pula dianggap sebagai suatu yang perlu diberikan ruang.
Dalam hal ini, apakah para penulis itu saja yang ada kebebasan untuk menulis apa sahaja yang mereka mahu? Apakah PUM, sebagai sebuah badan Islam tidak mempunyai hak dan kebebasannya untuk mengemukakan pandangan mereka tentang apa yang betul dan salah mengenai Islam?
Dan lebih utama lagi, apakah semata-mata di atas nama kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat, maka Islam layak dan boleh dihina termasuk oleh para penganutnya sendiri?
Islam adalah hak semua penganutnya. Menjadi hak setiap peribadi yang bernama Islam untuk melaksanakan ajaran Islam dan mempertahankan kesuciannya. Maka kebebasan menyuarakan pendapat mengenai Islam mestilah ada batasnya.
Jangan sampai kebebasan itu disalahgunakan untuk menceroboh dan menghina kebebasan umat Islam lain. Sepertimana yang lazim disebutkan oleh orang-orang Barat, your freedom ends where my nose begins.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT),  Bil: 44, 8 April 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Friday, March 22, 2002

Hijratur Rasul Manifestasi ‘Akujanji’

Oleh: Mohd. Nasir Awang
MENJADI suatu hikmat yang besar mengapa Allah Ta’ala meletakkan ikrar dua kalimah syahadah itu sebagai syarat pertama dan utama (first and foremost) keIslaman seseorang.
Di dalam ikrar tersebut tersurat dan tersirat segala ketaatan dan pengabdian sepenuhnya seseorang Muslim terhadap segala perintah dan larangan Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w..
Ikrar berkenaan sekaligus menjadi suatu ‘akujanji’ seorang hamba untuk tunduk dan patuh kepada penciptanya. Ia juga merupakan pengisytiharan menerimapakai kod etika dan perilaku (code of ethics and conduct) bagi seorang Muslim.
Kerana, memperakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. bererti bersedia menjadikan Baginda sebagai uswatun hasanah (teladan terbaik) dalam segenap aspek kehidupan. Maka sudah tentu segala apa yang disabda dan dipraktikkan oleh Baginda s.a.w. menjadi satu set kod etika dan perilaku yang terbaik buat panduan kehidupan manusia.
Generasi pertama umat Islam telah diuji ketaatan dan keimanan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya selama 13 tahun dengan berbagai ujian dan penyeksaan di Makkah.
Mereka telah membuktikan keteguhan aqidah masing-masing, walau pun terpaksa menanggung sengsara penyiksaan pemuka Quraisy sehingga ke peringkat mengorbankan nyawa sebilangan mereka.
Para sahabat yang mendapat keredhaan Allah itu tidak menukar iman mereka dengan dunia dan segala isinya. Sebab itu apabila Allah Ta’ala memerintahkan mereka supaya meninggalkan tanahair, keluarga dan harta benda yang mereka sayangi dan berhijrah ke Madinah, mereka tetap melaksanakan perintah Allah.
Sehinggakan ada di kalangan para sahabat yang demam dan meracau-racau lantaran terlalu rindukan tanahair yang ditinggalkan itu.
Seorang sahabat, Suhaib Ar-Rumi yang sempat membawa hartanya bersama, dikepung oleh kafir Quraisy di pertengahan jalan. Suhaib r.a. akhirnya menawarkan segala hartanya sebagai bayaran melepaskannya untuk terus berhijrah. Baginya, Allah Ta’ala dan Rasul-Nya adalah terlebih utama mengatasi segala hartanya.
Golongan muhajirin itu telah membuktikan bahawa aqidah yang ada di dalam diri mereka itu jauh lebih mahal daripada nyawa, harta benda dan segala nikmat yang lain. Siapa yang tidak cintakan tanahair? Siapa yang tidak sayangkan harta benda dan keluarga? Tapi, apalah ertinya hidup senang dengan kemewahan harta, keamanan tanahair atau kebahagiaan keluarga, kalau di masa yang sama aqidah, ibadah dan syariat tidak selamat dan tidak bebas diamalkan.
Melalui peristiwa hijratur Rasul, Allah Ta’ala telah mengiktiraf golongan Muhajirin dan Ansar sebagai umat Islam sebenar yang telah membuktikan keimanan mereka menghadapi ujian Allah s.w.t.
Kerana, iman itu tidak cukup sekadar mengikrarkan ‘akujanji’ keimanan, bahkan mestilah dibuktikan secara praktik, termasuk tabah menanggung segala cabaran demi mempertahankan keimanan itu.
Di pihak golongan Ansar pula, mereka dengan penuh rela telah menyerahkan tanahair Madinah untuk dijadikan tapak mendirikan negara Islam yang mendaulatkan syariat Allah.
Mereka telah menunaikan ikrar ‘akujanji’ mereka terhadap Baginda s.a.w. sebagaimana diterangkan di dalam hadith bermaksud: “Berjanjilah kepadaku untuk mendengar dan mentaati sama ada dalam keadaan rajin atau malas, menolong Islam dengan membelanjakan harta kamu sama ada kamu senang atau pun susah dan kamu berjanji akan melakukan tugas menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar, berjanji akan berdiri tegak berjuang di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela, berjanji akan mempertahankan aku (Rasulullah) apabila aku datang kepada kamu sepertimana kamu mempertahankan keluarga dan harta benda kamu. Maka kamu akan beroleh balasan syurga”.
Hijrah dalam ertikata berpindah tempat tinggal sepertimana yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. dan para sahabat itu telah pun tamat dengan Pembukaan Makkah.
Bagaimana pun, Baginda s.a.w. ada bersabda, maksudnya: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah daripada mendekatinya”.
Ertinya, hijrah dalam maknanya yang lebih luas termasuklah juga meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan berpegang dengan apa yang diperintah-Nya.
Berhijrah meninggalkan amalan dan perangai yang buruk kepada amalan dan perangai yang baik adalah hijrah yang berpanjangan sehingga hari kiamat. Perangai meminum arak, bermain judi, melakukan kezaliman, memakan riba’ dan sebagainya adalah amalan buruk.
Sama ada disedari atau tidak, melakukan perkara-perkara tersebut sebenarnya telah meletakkan seseorang itu dalam keadaan ‘melanggar akujanji’ yang dibuatnya di hadapan Tuhan suatu ketika dahulu.
Sebuah kerajaan yang menyeru rakyatnya memperingati peristiwa Hijratur Rasul sudah tentu meletakkan aspek berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan ini dalam agenda pemerintahannya.
Alhamdulillah, kita telah mengharamkan riba’ dalam pengurusan kewangan kerajaan, mengharamkan judi dan mengawal penggunaan arak. Kerana itulah yang bertepatan dengan ‘akujanji’ kita terhadap Rabbul Jalil.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 43, 22 Mac 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)