Tuesday, July 10, 2001

Bab 5: UMNO Terengganu– Nafsu Lebih, Tenaga Kurang!

Stupid! Umno Terengganu stupid! (sekadar meminjam kata-kata Dr. Mahathir!)

T
idak ada perkara yang paling menggusarkan kepimpinan mana-mana parti selain daripada sikap ahli-ahli partinya sendiri yang ‘hilang kepercayaan’ terhadap mereka. Dan fenomena inilah yang sedang dihadapi oleh kepimpinan Umno sekarang ini. Fenomena ini pula berlaku di segenap peringkat organisasi parti itu.

Sejak beberapa tahun lalu, negara menyaksikan penghijrahan beramai-ramai ahli Umno menyertai parti-parti alternatif terutamanya PAS. Turning point yang agak ketara tentunya peristiwa kezaliman kerajaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pun begitu, perlu diingat bahawa trend penghijrahan beramai-ramai ahli Umno ke dalam PAS ini sudah berlaku lama sebelum isu Anwar tercetus. Bukankah Anwar masih rancak turun padang dan berkempen sebagai Timbalan Presiden Umno ketika partinya tersungkur kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil Arau dulu?

Setelah isu Anwar tercetus, kebanjiran ahli-ahli Umno berhijrah keluar dari parti itu sudah semacam gelombang besar yang tidak dapat diempang lagi. Selain menyertai PAS, sebahagian bekas ahli Umno itu bergabung dengan aktivis politik bukan Melayu untuk membentuk Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Manakala sebahagian yang lain terus kekal sebagai ahli Umno, tetapi sering muncul sebagai ‘pembangkang’ di dalam parti mereka sendiri. Ketiga-tiga kelompok ahli Umno ini telah mencorakkan perubahan politik yang sangat besar dalam Pilihan Raya Umum Kesepuluh yang lalu.

Datuk Shahril Abdul Samad adalah salah seorang yang terkenal sebagai pemimpin yang critical-minded di dalam Umno. Ekoran ‘clash of the Titans’ antara Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah untuk merebut jawatan Presiden Umno pada tahun 1987, batang tubuh Umno telah terbelah dua.

Shahril, yang pada waktu itu menjadi Ahli Parlimen BN di Johor Bahru, telah mengosongkan kerusinya itu pada tahun 1988 semata-mata untuk mencabar kekuatan BN. Dalam pilihan raya kecil selepas itu, beliau bertanding atas tiket Bebas menentang calon BN, dan menang pilihan raya tersebut dengan majoriti yang besar.

Datuk Shahril yang sama juga, akhirnya diterima kembali oleh perwakilan Umno untuk menduduki kerusi Majlis Tertinggi parti itu dalam Perhimpunan Agung Pemilihan Umno 2000 lalu. Mungkinkah itu satu lagi isyarat bahawa ahli-ahli Umno juga mahu melihat perubahan dalam pucuk pimpinan tertinggi Umno? Apa yang jelas, beliau kembali ke dalam MT bukan untuk menjadi pengampu Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin Umno.

Sebab itu, apabila calon BN kalah dalam Pilihan Raya Kecil DUN Lunas, Kedah, pada 29 November lalu, Datuk Shahril memberikan komentar yang sangat pedas terhadap kepimpinan BN, terutamanya Dr. Mahathir. “Punca utama yang menyebabkan kekalahan BN di Lunas adalah sikap pemimpin tertingginya, Dr. Mahathir,” tegas Shahril dalam satu temu bual dengan sebuah tabloid beberapa minggu selepas pilihan raya kecil itu berlangsung.

Bahkan, di dalam kenyataannya kepada akhbar internet Malaysiakini.com pada 30 November lalu, Shahril lebih keras lagi menyalahkan Dr. Mahathir. Beliau menyebut kekalahan BN di Lunas itu adalah disebabkan oleh “perwatakan pemimpin kita, Dr. Mahathir,” sambil mengulas tindakan Dr. Mahathir memarahi orang-orang Cina dengan menuduh mereka ekstremis dan tidak tahu berterima kasih, beberapa hari sebelum pilihan raya itu, sebagai perangai “orang tua merajuk”.

Shahril juga turut menyalahkan segolongan pemimpin Umno yang masih bersikap “mengampu bos”, hingga mengakibatkan kekalahan itu. Ini dihubungkannya dengan penggunaan terlalu banyak poster Mahathir di dalam kempen tersebut, dan kurang poster calon BN sendiri. “Dengan menampal poster-poster PM, jelaslah yang Menteri Besar Kedah hendak menunjukkan bahawa yang penting bukannya Umno atau BN menang, tetapi yang penting ialah PM menang”, kata Shahril.

Nada kritikan turut kedengaran di peringkat Pergerakan Pemuda Umno. Naib Ketuanya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir sampai ke peringkat mengisytiharkan perletakan jawatannya sebagai tanda protes terhadap apa yang disifatkannya sebagai ‘kelemahan’ kepimpinan Umno sehingga mengakibatkan kekalahan BN di Lunas.

Aziz mendakwa bahawa Pemuda Umno tidak dapat bergerak bebas kerana ‘tangan dan kaki diikat’. Maksud tersirat dari tindakan Aziz itu dihuraikan oleh salah seorang Exco Pemuda Umno, Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.

“Saya sudah bosan. Kita (Pemuda Umno) membenarkan beliau (Hishamuddin) menang sebagai Ketua Pemuda tanpa dicabar tetapi kini beliau seolah-olah tidak faham dengan situasi di peringkat akar umbi dan tidak faham perjuangan Pemuda,” kata Dr. Shamsul yang mengetuai Biro Antarabangsa Pemuda Umno.

Komentar itu merupakan kritikan secara terbuka terhadap kewibawaan Datuk Hishamuddin Tun Hussein sebagai Ketua Pemuda Umno. Hishamuddin dilihat sebagai ‘asyik menunggu arahan dari atas’. Arahan dari siapa lagi yang dimaksudkan kalau bukan Dr. Mahathir?

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Megat Junid bin Megat Ayob adalah seorang lagi pemimpin kanan Umno yang pernah mengkritik partinya dengan teruk. Bacalah bukunya bertajuk Getek yang telah dilancar jualannya di lubuk parti Umno (PWTC) bersempena Perhimpunan Agung Umno pada 10 Mei 2000 lalu.

Dia menceritakan perihal yang benar-benar berlaku dalam Umno dengan terperinci dan berterus-terang. Antaranya, “Orang pandang Umno meluat. Umno bukan lagi parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan tanahair. Umno akhirnya akan hancur. Kuasanya akan terhakis, sepertimana pilihanraya yang lepas. Jangan salahkan Umno. Umno tetap Umno. Tapi kita ahli-ahli Umno yang patut disalahkan. Kita yang membuat orang ramai benci pada Umno, meluat pada Umno. Umno jadi lemah. Kuasa Umno akan terhakis dan hilang. Akhirnya Umno akan hancur. Kegemilangan Umno selama 43 tahun akan hanya tinggal dalam sejarah.”

Pada 4 Februari lalu, sekumpulan ahli-ahli Umno terdiri daripada bekas pemimpin kanan parti itu, beberapa anggota kabinet, ahli akademik dan profesional telah menganjurkan perhimpunan ‘Tak Melayu Hilang di Dunia’. Ianya diadakan sudah tentu setelah mendapat ‘lampu hijau’ daripada kepimpinan Umno. Bahkan, setelah tidak jadi diadakan di Padang Kelab Sultan Sulaiman, ia diberi tempat eksklusif di Pusat Dagangan Dunia Putra (Ibu Pejabat Umno).

Perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Melayu (BBM) itu patutnya menjadi medan membahaskan permasalahan orang Melayu. Tetapi ia telah bertukar menjadi medan mengkritik kepimpinan Umno dan mengecam pemimpin negara.

Umno dikatakan sebagai punca perpecahan, Umno gagal membela nasib bangsa Melayu dan Dr. Mahathir dianggap lemah dan tidak mendengar kehendak akar umbi. Sedangkan sebahagian besar yang hadir dan kesemua yang berucap itu adalah ahli-ahli Umno.

Kejadian itu menyebabkan BBM yang dipengerusikan oleh Datuk Ibrahim Ali menerima kritikan daripada para pemimpin dan ahli Umno yang lain pula. Akronim BBM telah bertukar daripada maksud asalnya menjadi ‘Berahim Baham Mahathir’.

Laman web rasmi Umno, umno.online, di dalam laporannya keesokan hari menyebut “Perhimpunan BBM semalam tidak lebih sebagai retorik yang tidak membawa apa-apa erti kepada perjuangan orang Melayu”. Kecuali ucapan Tan Sri Awang Had Salleh dan Tun Ghafar Baba, idea pemidato lain menurut umno.online boleh dianggap tidak relevan.

Malah, ia menyebutkan “lebih tepat jika mereka (pemidato BBM) dipanggil wakil Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Ezam Mohd Noor”.

Dari kenyataan itu dapatlah disimpulkan bahawa apa yang diucapkan oleh para pemimpin BBM itu sangatlah pedas dan tajam, sehingga mereka disamakan dengan suara pembangkang!

Pertembungan dalaman Umno paling terakhir ialah tindakan Datuk Fauzi Abdul Rahman yang mengumumkan kesediaannya melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Pahang. Segala-galanya berlaku ekoran ketidakpuasan hatinya terhadap political manouvre yang didakwanya dilakukan oleh para pemimpin Umno Pahang, khususnya Tan Sri Khalil Yaakub.

Bukan setakat membabitkan kerusi ADUNnya, Datuk Fauzi juga telah memfailkan laporan polis terhadap Tan Sri Khalil, terutama mengenai pembabitan bekas MB Pahang itu di dalam salah laku tadbir semasa beliau menjadi ketua kerajaan Pahang dahulu. 

Bagus juga sudah ada di kalangan ahli Umno yang sedar kelemahan diri. Malangnya, kebanyakan yang tersedar itu adalah mereka yang sudah agak terpinggir, sama ada dalam parti mahu pun kerajaan. Suara mereka itu sudah tenggelam-timbul dalam Umno.

Namun, beberapa contoh yang diberikan itu jelas menunjukkan bahawa Umno semakin kehilangan wibawanya untuk terus menerajui negara. Kewibawaannya sebagai tuan politik bangsa Melayu telah dipertikaikan bukan sahaja oleh lawannya, malah oleh ahli dan pendokong Umno itu sendiri.

Malangnya, hakikat itu setakat ini gagal menyedarkan para pemimpin Umno secara keseluruhannya. Mereka semacam tidak pernah mahu menoleh ke belakang menghitung kesilapan yang telah mereka lakukan. Sebab itu Umno masih bernafsu besar untuk terus memerintah dan mendominasi arena politik tanahair.

Bahkan, di sesetengah tempat di mana Umno kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, terutama di Terengganu, orang-orang Umno masih bercakap besar seolah-olah Umnolah yang menang. Seolah-olah Umno masih memerintah negeri itu. Barangkali inilah perangai yang disebut orang ‘nafsu lebih, tenaga kurang’.

Persidangan Yang Ketiga, Penggal Yang Kedua, Dewan Undangan Negeri Terengganu Disember 2000 lalu menjadi salah satu saksi betapa Umno Terengganu sebenarnya masih dalam keadaan nanar. Para pemimpinnya seolah-olah masih tidak sedar bahawa mereka sebenarnya telah kalah, dan tidak lagi memerintah negeri itu.

Disebabkan kenanaran itulah, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Ismail Said telah menulis surat rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Senara Muda Haji Mazlan Hashim, meminta ketua pentadbir kerajaan negeri itu mengarahkan para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri hadir ke suatu majlis taklimat mengenai royalti minyak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Rais Yatim. Majlis berkenaan adalah anjuran Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Perkara ini telah dijelaskan sendiri secara panjang lebar dan profesional oleh Dato’ SUK dalam sidang DUN berkenaan. Menurut beliau, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim Ali, telah mengiyakan tindakannya melarang para pegawai kerajaan negeri menghadiri majlis berkenaan, kerana ia dianjurkan oleh sebuah parti politik.

“Dato’, you had done the right thing”, beliau memetik jawapan Tan Sri Halim. Bahkan, apabila Halim mengajukan persoalan ini kepada Perdana Menteri, beliau (PM) juga mengiyakan tindakan SUK Terengganu itu.

Malah PM menambah lagi, “how could Umno Terengganu be so stupid!”. Dan Dr. Mahathir, menurut Dato’ SUK Terengganu, menambah lagi, “they (Umno Terengganu) deserve to lose the last election”.

Stupid! Umno Terengganu stupid! (sekadar meminjam kata-kata Dr.Mahathir). Sebab itu para pemimpin Umno Terengganu sanggup mengeluarkan arahan kepada pegawai kerajaan negeri, walau pun mereka sudah tidak memerintah negeri. Dan perlakuan sebegini tidak terhenti sekadar di peringkat tertinggi pentadbiran. Di peringkat akar umbi, seperti di daerah-daerah dan mukim-mukim, campurtangan berterusan para pemimpin Umno di dalam hal ehwal pentadbiran masih jelas berlaku.

Umpamanya, Umno masih menggunakan ‘goodwill’ hubungan lama para pemimpinnya dengan para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri untuk manfaat politik parti Umno/BN. Pejabat Pertanian, Pejabat Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Agama Daerah, yang banyak terlibat dengan pengagihan berbagai bentuk bantuan kepada anggota masyarakat sering menjadi tumpuan ‘pressure’ para pemimpin Umno.

Kerap berlaku, para pegawai lebih banyak merujuk kepada pemuka-pemuka Umno setempat dalam menentukan senarai penerima-penerima bantuan. Sebabnya, para pegawai berkenaan masih ‘malu mata’, hasil bersaing rapik terlalu lama dengan orang-orang Umno. Itulah yang dikatakan ‘goodwill’.

Ada juga para pemimpin atau orang kuat Umno yang sememangnya menjadi orang kuat di jabatan-jabatan kerajaan negeri. Mereka ini tidak segan silu memanfaatkan kedudukan mereka di pejabat-pejabat tertentu kerajaan negeri untuk kepentingan Umno.

Satu contoh ketara ialah satu iklan yang disiarkan sebuah akhbar harian mengenai ‘Program Kail Dulu, Kini dan Selamanya’ anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Setiu. Iklan berkenaan secara jelas menggunakan talian telefon Pejabat Majlis Daerah Setiu sebagai talian hubungan.

Bahkan, pejabat berkenaan turut dijadikan sebagai ‘urusetia’, tempat para peserta mendapatkan borang penyertaan untuk program berkenaan. Sedangkan PAS sebagai parti yang memerintah pun tak sanggup menyalahgunakan pejabat kerajaan negeri sejauh itu.

Ada juga dipertuturkan bagaimana pihak berkuasa tempatan di sebuah daerah menggunakan sepenuhnya lori, kanopi dan segala peralatannya untuk menyambut kedatangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke daerah berkenaan tahun lalu. Sama ada kejadian itu berlaku disebabkan ketua jabatan berkenaan seorang yang ‘biul’ dan tidak tahu peraturan atau disebabkan mereka ditekan oleh pihak yang lain, itu tidak dapat dipastikan.

Namun, mengambil iktibar daripada beberapa kejadian lain, menyebabkan kita sukar  untuk menolak dakwaan bahawa campurtangan Umno Terengganu dalam kerja-kerja sabotaj seumpama itu amatlah ketara. Kedua-dua kes yang dinyatakan di atas telah diberi perhatian serius oleh pihak pentadbiran negeri.

Isu Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menumpang di balairaya-balairaya milik kerajaan negeri juga merupakan satu lagi bukti betapa Umno Terengganu bernafsu besar tetapi kekurangan tenaga. Bagi sebahagian masyarakat di negara ini, Kemas adalah sinonim dengan Umno.

Bukan suatu rahsia lagi betapa guru-guru Kemas dan sekalian yang terlibat dengan kelas jahitan, masakan dan sebagainya yang dianjurkan oleh jabatan berkenaan rata-rata terdiri daripada wanita atau kaum ibu yang sangat ‘kemas’ berpaut kepada Umno.

Dalam beberapa kes yang berlaku, ditohmahkanlah kononnya pihak Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) setempat telah bertindak mengusir Kemas dari balairaya, sebagai tindakan balas dendam politik. Sedangkan pihak Kemas Negeri memperakui pernah menerima surat arahan daripada JSR-JSR terbabit lama sebelum penggal persekolahan bermula. Pihak JSR telah memaklumkan bahawa ia berhasrat menggunakan balairaya tersebut untuk berbagai aktiviti kemasyarakatan dan juga pendidikan fardhu ain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Wan Abdul Muttalib Embong memberitahu pemberita (3 Januari 2001) bahawa pihak Kemas tidak memperbaharui permohonan menggunakan bangunan milik kerajaan negeri bagi tahun ini.

Menurut beliau lagi, tindakan tidak diambil sebelum ini kerana kerajaan negeri bersetuju membenarkan Kemas beroperasi di bangunan itu untuk tahun lalu. Pihak Kemas juga memperakui bahawa telah menerima surat bertarikh 17 Januari 2000 (tahun lalu) memberi kebenaran “sementara” untuk meneruskan operasi tabika di balairaya-balairaya kerajaan negeri sebelum mendapat premis gantian.

“Untuk membolehkan Kemas terus beroperasi di bangunan itu, Kemas sepatutnya mengemukakan permohonan baru bagi menggunakan bangunan itu tahun ini. Itu adalah prosedur biasa, sebelum menggunakan bangunan perlu mendapatkan kebenaran pemiliknya terlebih dahulu”, kata Wan Abdul Muttalib. Malangnya, prosedur biasa itu, sama ada sengaja atau tidak, telah tidak dilaksanakan oleh pihak Kemas.

Perangkaan sebenar jumlah balairaya di seluruh negeri, dan jumlah yang masih digunakan oleh Kemas sehingga Disember 2000 yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri jelas menunjukkan bahawa Kemas sebagai sebuah institusi Umno juga tidak terlepas dari sifat ‘bernafsu lebih, tenaga kurang’.

Jadual dibawah dengan jelas menunjukkan perbezaan ketara penggunaan premis kerajaan untuk aktiviti masing-masing antara Kemas, Tabika Perpaduan (kelolaan Jabatan Perpaduan Negara) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI- kelolaan PAS).

Ertinya, sehingga Disember 2000, terdapat 355 buah balairaya milik kerajaan di seluruh negeri yang digunakan oleh Kemas dengan selesa tanpa sebarang gangguan. Kemurahan hati pihak kerajaan negeri membenarkan Kemas terus beroperasi di lebih 300 balairaya sementara mendapat tempat gantian itu, sepatutnya dihargai.

Sebaliknya, sikap pihak Kemas dengan pertolongan media massa membesar-besarkan isu di satu-dua buah balairaya yang berlaku perselisihan faham itu jelas menggambarkan tabiat Kemas yang tidak tahu berterima kasih.

Daerah
Jumlah Balairaya
Jumlah Digunakan oleh Kemas
Jumlah Digunakan oleh Jabatan Perpaduan
Jumlah Digunakan oleh PASTI (2001)
K. Terengganu
210
139
3
-
Hulu Terengganu
96
48
-
1
Besut
78
51
-
1
Marang
72
48
-
-
Setiu
70
15
2
3
Kemaman
63
34
3
4
Dungun
47
20
1
7
Jumlah
636
355
9
16

Langkah kerajaan negeri membenarkan Kemas untuk terus menggunapakai lebih 300 balairaya di seluruh negeri sepatutnya menjadi bukti bahawa PAS tahu menilai kepentingan pendidikan terhadap anak-anak. Tambahan pula, di masa yang sama institusi pra-sekolah anjuran PAS, iaitu PASTI tidak digalakkan memanfaatkan kemudahan balairaya milik kerajaan negeri.

Terdapat 206 buah PASTI di seluruh negeri Terengganu, dan hanya 16 yang beroperasi di balairaya-balairaya milik kerajaan negeri. Sebahagian besar mereka hanya menumpang operasi di surau/balaisaf persendirian atau bangunan-bangunan yang sangat dhaif. Tidak kurang juga yang menggunakan bangsal keropok atau bangsal pukat yang terpaksa diubahsuai dengan belanja ahli-ahli qaryah masing-masing.

Itulah sifat orang PAS! Mereka tidak bertema’a untuk menggunakan ‘peluang’ kuasa yang ada. Jika sungguh PAS mengamalkan sikap balas dendam dan diskriminasi politik, sudah tentu PASTI milik PAS diberikan keutamaan menggunapakai balairaya-balairaya milik kerajaan negeri itu.

Itu belum lagi disebut mengenai balairaya-balairaya yang sewenang-wenangnya dimilik-peribadikan oleh beberapa bekas ketua kampung. Sehingga kini masih banyak balairaya yang dibina dengan peruntukan kerajaan negeri (dan di atas kertasnya adalah hak milik kerajaan negeri) gagal dimanfaatkan oleh rakyat yang bukan kelompok ahli dan penyokong Umno.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri mengenai bilangan balairaya yang masih tidak dapat digunakan oleh JSR sehingga akhir tahun 2000 lalu ialah sebanyak 171 buah. Pecahan mereka mengikut daerah-daerah ialah Kuala Terengganu (50 buah), Hulu Terengganu (1), Besut (27), Marang (8), Setiu (44), Kemaman (27), dan Dungun (14).

Di dalam banyak hal, apabila Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) di kampung berkenaan ingin menggunakannya untuk bermesyuarat, berbagai karenah birokrasi terpaksa didahului. Ada ketua kampung, selaku Pengerusi JSR, yang terpaksa merendah diri ‘meminta kebenaran’ dari pemegang kunci balairaya berkenaan, “pinjam balairaya sekejap!” Seolah-olah Umno lebih berkuasa daripada Pengerusi JSR setempat!

Kisah bagaimana beberapa Pengerusi Jawatankuasa Masjid di Terengganu yang enggan menyerahkan pentadbiran masjid di qaryah masing-masing kepada jawatankuasa baru juga sealiran dengan sikap para pemimpin atasan Umno.

Habis segala tiang seri, tangga batu, kolah baru dan kipas siling diungkit usul sebagai hasil usaha gigih mereka (para pemimpin kampungan Umno) membinanya. Seolah-olah sebuah masjid yang lengkap dengan segala peralatan itu di bina di atas tanah tok sedara mereka, menggunakan duit saku mak-bapak mereka!

Sebab itu, mereka merasakan mereka berkuasa penuh di atas masjid kampung mereka. Mereka boleh mempersetankan apa jua arahan kerajaan atau Pejabat Agama Daerah. Mereka boleh pilih imam dan bilal mereka sendiri, walau pun peraturan yang selama ini mereka junjung jelas mengatakan itu tidak boleh. Mereka boleh bertindak berani, ‘walk out’ dan tidak mendirikan solat Jumaat, semata-mata kerana tidak berkenan dengan khatib atau imam yang bertugas (daripada PAS).

Tragedi rampasan atau lebih kerap disebut oleh para pemimpin kerajaan Terengganu sebagai ‘rompakan di siang hari’ ke atas terimaan hasil petroleum merupakan kemuncak nafsu besar Umno Terengganu untuk terus menganggap diri mereka sebagai pemerintah negeri. Ekoran ‘wang ehsan’ yang didakwanya telah diterima dari pihak Petronas, para pemimpin Umno di segenap ceruk negeri mula bercakap besar. Mereka mula menjaja projek, menggerakkan kerja-kerja kebajikan dan mewujudkan ‘kerajaan kedua’ di negeri Terengganu.

Sungguh, mereka itu muka tak malu! Para pemimpin Umno Terengganu masih tidak malu mendakwa mewakili rakyat, walau pun sudah kalah! Sebab itu mereka menyibuk mahu mengurus wang royalti petroleum, kononnya bagi pihak rakyat.

Jelas sekali mereka itu tidak tahu menghormati demokrasi, dan setelah hampir dua tahun berlalu, mereka masih belum bersedia menerima kekalahan secara demokratik. Barangkali inilah yang disebut orang sebagai ‘nafsu lebih, tenaga kurang’.

(Artikel ini adalah Bab 5 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

Bab 6: Isu Amanat - UMNO Menjolok Sarang Tebuan

“Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

I
su risalah yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai ‘Amanat Haji Hadi’ telah dianggap selesai pada suatu ketika apabila Majlis Agama Islam Kebangsaan memutuskan tiada apa-apa kesalahan dari segi agama kepada petikan ucapan Menteri Besar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong, Manir pada awal 80-an lalu. Tok Guru sendiri selaku pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan ucapan berkenaan telah berkali-kali mempertahankan kebenaran ucapannya.

Malah, beliau pernah dicabar oleh Tan Sri Wan Mokhtar (ketika itu MB Terengganu) dalam salah satu sidang DUN lebih sedekad lalu untuk memberikan penjelasan. Tok Guru telah mempertahankan ucapannya itu dan menjelaskan ia dibuat berdasarkan kepada kandungan Kitab Mastika Hadith Rasulullah s.a.w. Jilid 1, yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Tajuk yang dikupas itu ialah mengenai bab ‘Wajib Menjaga dan Memelihara Jangan Rosaknya Iman dan Islam’. Ia bukannya soal kafir-mengkafir, sebagaimana yang disalahtafsirkan oleh sesetengah golongan.

Kitab berkenaan telah mula dicetak pada tahun 1973, dan telah diulang cetak sebanyak tujuh kali. Cetakan terakhir yang terdapat di pasaran ialah yang dibuat pada tahun 2000 lalu. Kitab jawi itu mencatatkan bahawa ia telah diusahakan bersama oleh tiga ulama terkemuka, iaitu Sahibul Fadilah Dato’ Haji Mohamad Nor bin Haji Ibrahim, Al-Fadhil Tuan Haji Ismail bin Haji Yusof dan Sheikh Abdullah bin Mohamed Basmeh.

Bagi sesiapa yang benar-benar mementingkan kesahihan bukti pertelingkahan isu ‘Amanat’ ini, kita sarankan supaya mendapatkan kitab tersebut dan mencari ruang menelitinya sendiri. Di sana akan jelaslah bahawa terdapat berbagai contoh yang dikemukakan, yang disifatkan oleh pengarang kitab itu sebagai boleh membatalkan keimanan dan keislaman seseorang.

Kebetulan pula, ucapan-ucapan dalam nada serupa sering disebut oleh para pemimpin yang berpengaruh dalam negara ini dan ia pula diikuti oleh imam-imam di kampung-kampung.

“Akibatnya, orang PAS merasa segan untuk bersembahyang di belakang imam-imam berkenaan di beberapa buah masjid di negeri Terengganu. Ucapan-ucapan sedemikianlah sebenarnya yang menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat umat Islam”, kata Tok Guru.

Sebab itu, beliau dengan tegas mengatakan di dalam ceramahnya pada tahun 1982 itu: “Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Krtistian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”

Jahatnya Umno, ialah apabila memutarbelitkan ucapan selama sejam bagi melahirkan hanya tiga perenggan ‘Amanat’. Bayangkan betapa luas dan pelbagainya hujah dan pandangan yang Tok Guru perkatakan selama sejam ucapan beliau itu.

Masakan boleh diambil sekerat dan dipadankan sebegitu rupa bagi menunjukkan seolah-olah Tok Guru secara jelas cuba mengkafirkan Umno? Sebab itu apabila Tok Guru mengatakan, “percayalah saudara, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad, dan kerana kita berjuang dengan puak-puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam”, perkataan ‘puak-puak ini’ di dalam ucapannya itu tidak boleh semudah-mudah ditafsirkan sebagai Umno. 

Adalah tidak adil, semata-mata kerana di perenggan awalnya Tok Guru ada menyebut Umno, maka perenggan berikutnya (yang entah berapa perenggan lagi tidak dirakamkan di tengah-tengah keduanya itu) bererti Tok Guru juga merujuk kepada Umno.

“Saudara-saudara sekalian, percayalah! Kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno, kita menentang Barisan Nasional, bukan kerana nama Barisan Nasional. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka.”

Malangnya, Umno semacam tidak bersedia menerima penjelasan-penjelasan di atas. Barangkali, Umno ada guilty conscious kerana sifat-sifat dan perbuatan yang dinyatakan itu kebetulan ada pada Umno.

Malah, para pemimpinnya terus-terusan membangkitkan isu ‘Amanat’ ini, dan secara jelas pula meletakkan bahawa ia telah menyimpang daripada akidah Islam. Suara-suara menuntut Tok Guru diambil tindakan undang-undang menyebabkan orang-orang PAS merasa sangat terganggu maruah dan imej mereka.

Sejenis serangga bernama tebuan sememangnya bersifat menyengat mangsanya. Tetapi, dalam keadaan biasa dan tidak diganggu, tebuan tidak akan menyengat tak ketahuan punca. Dia akan hanya menyerang dan menyengat mangsanya bila ketenangan dan keselesaannya diganggu-gugat.

PAS pun lebih-kurang macam tu lah juga. Bukan kerja orang-orang PAS untuk sengaja nak cari kesalahan dan kesilapan orang lain. Melainkan orang itu adalah pemimpin negara atau negeri, yang sememangnya menjadi kewajipan setiap diri sebagai rakyat memperbetulkan apa jua kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Tetapi, dalam keadaan diserang bertalu-talu pemimpin dalam isu ‘Amanat’ ini, orang PAS tidak wajar lagi berdiam diri.

Perbuatan Umno sengaja mengungkitkan kembali isu yang telah hampir terpadam dalam masyarakat itu adalah ibarat menjolok sarang tebuan. Kerana, ekoran tindakan itu, satu demi satu ucapan, amanat dan ‘fatwa’ para pemimpin Umno, terutama yang membabitkan hukum-hakam Islam, terpaksa dikemukakan semula untuk tatapan dan nilaian umum. Nilailah sendiri beberapa petikan yang diperturunkan di bawah ini. Kemudian tanyalah hati anda, siapakah yang sebenarnya sesat dan menyimpang dari ajaran Islam?

Pertama: Menolak Hukum Hudud
“Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada media massa pada 14 Julai 1992.

“Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Papar, Sabah pada 2 Mei 1992.

“Saya tak tahu siapakah di antara ahli-ahli PAS yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan? Barangkali Nik Aziz (Tuan Guru Menteri Besar Kelantan) akan melakukannya. Jika benar, kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu (dilaksanakan) nanti.”
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada Ketua-ketua Bahagian Umno di Johor pada 30 April 1992.

“Daripada kajian yang telah dibuat amatlah jelas bahawa undang-undang PAS Kelantan adalah tidak menepati sepenuhnya undang-undang, semangat dan sifat-sifat yang ada pada agama Islam. Ia tidak mengasaskan sepenuhnya kepada maqasid syariah. Undang-undang PAS bukan sahaja tidak boleh diterima, tetapi setakat ini hendaklah ditolak.

“Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apapun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam? Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?

“Hukum rejam kepada penzina adalah primitif.”
-          Ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Bahasa Arab Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

“Saya memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad kepada para wartawan selepas satu mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada tahun 1994.

“Hendak jaga kepentingan orang Islam ini bukan dengan cara maki orang. Tetapi menjaga umat Islam dengan mengukuh kepentingan Islam supaya mereka lebih bijak, lebih kaya, lebih pandai. Tetapi orang pandai ini hendak Islam potong tangan orang. Kita nak tengok semua orang Islam kudung. Di Sudan, mereka potong tangan di sebelah kanan, kaki sebelah kiri. Kita sudah hilang satu tenaga. Islam bukan suruh laksana begitu. Islam ada timbang rasa, tapi kita hendak buat hukum Islam secara buta-tuli.”
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Turut hadir Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam. 

“Negara akan menjadi huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan.”
-          Kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada media massa pada 20 April 1993.

“Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud. Bahkan, ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.”
-          Kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada wartawan pada 20 April 1992.

Kedua: Merendah-rendahkan martabat Islam
“Kita sedar bahawa terdapat juga di negara-negara Islam lain penggunaan perkataan Islam pada parti-parti politik. Tetapi di kesemua negara ini, perpecahan yang ketara berlaku di kalangan orang Islam.... Atas nama persaudaraan Islam, keganasan terhadap orang Islam dilakukan sehingga tidak ada keamanan sama-sekali. Dengan itu, hampir semua negara Islam ini menjadi lemah, mundur dan mudah diperalatkan oleh musuh-musuh Islam. Namun, masih lagi tidak ada kesedaran bahawa orang yang berselindung di belakang perkataan Islam adalah salah satu daripada punca kelemahan umat Islam.”
-          Ucapan Dr. Mahathir di Perhimpunan Agung Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 18 November 1994.

Ketiga: Mempertikaikan kesahihan hadith Nabi s.a.w.
“Koleksi hadis dan sunnah (oleh Imam Bukhari dan Muslim) ini diterima sebagai asli oleh sebahagian besar umat Islam dalam mazhab Ahli Sunnah. Golongan Syiah pula mempunyai hadis dan sunnah yang mereka sahkan sendiri. Kerana imam dan ulama bukannya nabi, tetapi hanya manusia biasa, mereka juga boleh terdedah kepada kesilapan. Hadis dan sunnah yang mereka tolak mungkin sahih dan apa yang mereka terima mungkin tidak asli. Sudah pasti ramai yang masih memetik hadis-hadis yang tidak disahkan.”
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamed di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom pada?

“Kita tidak diberitahu bahawa Bukhari dan Muslim dan beberapa lagi manusia biasa yang terpelajar, tidak terima semua yang dikatakan hadis. Setelah mengkaji dengan teliti 600,000, Bukhari hanya menerima 7,000. Muslim pula mengkaji 300,000 hadis dan hanya menerima 4,000. Ada hadis yang diterima oleh Bukhari, tetapi tidak disahkan oleh Muslim, murid kepada Bukhari. Tetapi yang tidak diterima oleh Muslim, pihaknya menjelaskan bahawa mungkin ada yang sahih. Tetapi tentulah banyak daripada baki 296,000 yang tidak ditolak adalah tidak sahih dan mungkin ada hadis yang diterima sebagai sahih, tetapi mungkin tidak sahih. Jika kita tidak lupa bahawa Bukhari, Muslim, Tarmizi dan tokoh-tokoh Islam lain yang mengkaji hadis 200 tahun selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia biasa dengan segala kelemahan manusia, dan mereka bukan Nabi, tentulah kita tidak harus memecah-belahkan umat Islam daripada Ahli Sunnah hanya kerana tafsiran dan dakwaan kesahihan atau tidaknya hadis-hadis yang dikaji oleh pengkaji hadis ini.
-          Ucapan Perasmian Timbalan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 5 Julai 1979.

Keempat: Membina tanggapan negatif terhadap ulama
“Malangnya, wujud satu kecenderungan di kalangan umat Islam untuk menganggap pengisytiharan ulama sebagai sesuatu yang tidak mungkin salah. Ramai orang yang mengaku tahu mengenai Islam dan mendakwa diri mereka sebagai ulama. Sebahagian daripada mereka jelas penipu dan orang yang mempunyai kepentingan termasuk, pastinya, ahli-ahli politik dengan cita-cita peribadi yang terlalu duniawi. Jika semua orang ini dianggap pewaris nabi serta mempunyai kelayakan dan tidak mungkin berbuat silap dalam penafsiran mereka mengenai Islam, mudahlah untuk melihat kekeliruan dan ketidakfahaman terhadap pengajaran Islam.”
-          Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Pengajian Islam, Universiti Oxford, United Kingdom pada?

“Kemungkinan kesalahan (ajaran Islam) berlaku menjadi lebih apabila orang bukan Arab tetapi faham bahasa Arab cuba menyampaikan ajaran Quran dan Hadis dalam bahasa bukan Arab. Kefahaman dan tafsirannya mungkin salah di samping penterjemahannya juga salah.... Justeru itu, janganlah sesiapa mendakwa bahawa ajarannya lebih tepat kerana ia faham bahasa Arab. Ianya juga mungkin salah sama seperti orang Arab yang menulis dalam bahasa lain. Orang yang mempelajari agama Islam yang tidak memahami bahasa Arab tidak semestinya selalu salah berbanding dengan orang yang memahami bahasa Arab. Semua pihak terdedah kepada kesalahan kefahaman atau tafsiran atau penterjemahan oleh diri sendiri atau oleh ulama.”
-          Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

“Hukum hudud adalah berkenaan dengan jenayah. Ulama yang alim dalam ajaran Islam dan hukum-hakam Islam tidak semestinya pakar dalam bidang jenayah. Keadaan dan jenayah di zaman Nabi tidak sama di zaman ini. Demikian masyarakat di Madinah, bahkan masyarakat di negara-negara Islam semasa hukum hudud dilaksanakan sepenuhnya amat berbeza dengan masyarakat di Malaysia di waktu ini.”
-           Ucapan Dr. Mahathir di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan pada 3 Mac 1994.

“Mufti adalah jawatan yang diwujudkan oleh pemerintahan negara-negara Islam selepas Nabi wafat untuk membuat keputusan berkenaan dengan soal-soal agama. Jawatan mufti diperlukan kerana keghairahan mereka yang mendakwa diri sebagai ulama untuk membuat fatwa dan tafsiran sendirian yang kerap bertentangan antara satu dengan lain yang mengelirukan umat Islam.”

“Saya ingin tegaskan bahawa perpecahan di kalangan umat Islam kepada berbagai-bagai mazhab dan kumpulan-kumpulan dengan berbagai-bagai amalan dan fahaman agama, sedangkan agama Islam hanya satu sahaja, adalah disebabkan oleh tafsiran dan ajaran oleh orang yang mengkhususkan dalam bidang agama dan faham bahasa Arab. Pengetahuan agama dan bahasa Arab tidak menjamin bahawa tafsiran dan ajaran mereka tepat, benar dan tidak berbeza. Sebenarnya kerana kepentingan tertentu ada di kalangan mereka yang kerap menyalahtafsirkan ajaran Islam.”
-          Ucapan Dasar Presiden Umno di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 5 September 1997.

“Tetapi ajaran yang kerap disampaikan kepada umat Islam tertumpu semata-mata kepada kebahagiaan di akhirat. Jika ada sesiapa yang bercakap dan berusaha untuk kebahagiaan di dunia, maka ada sahaja orang yang mendakwa diri mereka ulama yang akan hukum orang itu bersalah dan tidak Islam. Bagi mereka Ad-Deen bermakna cara bersedia untuk menghadapi kematian semata-mata.

“Ajaran ulama inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata membuat persediaan untuk akhirat. Dan untuk ini berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok-tambah untuk memenuhi masa hidup mereka. Dan jika ada sesiapa yang tidak mengikut ibadat tambahan ini, mereka dianggap sebagai kurang Islam atau tidak Islam.
“Kerana takut dituduh tidak Islam, ramai orang Islam yang membisu atau ikut mengamal ibadat-ibadat yang dicipta ini sehingga tidak ada masa lagi untuk mengejar kejayaan di dunia atau menjalankan dengan sempurna tugas biasa yang diamanahkan kepada mereka.”

“Tetapi yang lebih bersalah ialah mereka yang menafsir dan membawa ajaran yang dikatakan Islam yang menyebabkan umat Islam menjadi semakin lama semakin lemah, mundur, jahil dan mudah diperalat dan dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Mereka yang mengajar bahawa bagi umat Islam hidup di dunia hanyalah untuk persediaan bagi akhirat adalah orang yang bersalah besar. Umat Islam dan agama Islam tidak akan dihina jika tidak kerana ajaran ini.”
-          Ucapan Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 8 November 1991.

Kelima: Menjanjikan syurga adalah rasuah
“Menjanjikan syurga jika parti disokong juga merupakan satu jenis rasuah. Ia lebih murah dan mudah dibuat bagi mereka yang tidak takutkan Tuhan, tetapi lebih berkesan di kalangan orang yang kuat pegangan kepada agama. Dengan ini, bukan sahaja mereka kotor, agama juga turut dikotorkan.”
-          Ucapan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Khas Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 Jun 1994.

Keenam: Riba harus kerana darurat
“Keadaan yang dihadapi oleh masyarakat Islam sekarang ini adalah cemas dan merupakan darurat. Pengambilan faedah (riba) adalah untuk maslahat umat Islam, kerana sekiranya faedah itu tidak diterima oleh orang Islam, wangnya mengeluarkan faedah kepada bank atau institusi lain. Jika bank itu bukan kepunyaan orang Islam, maka keuntungan dan faedah yang didapati itu akan pergi kepada orang bukan Islam. Sebenarnya banyak bank Zionis mendapat untung dari menyimpan wang orang Islam dan keuntungan ini sebahagiannya tentulah digunakan untuk kepentingan Israel.”
-          Kenyataan Presiden Umno, Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1987.

Ketujuh: Janggut bukan sunnah?
“Kalau kita hendak simpan janggut, simpanlah. Saya kata bukan tak boleh simpan. Saya tak simpanlah, tapi jangan kata saya kurang Islam sebab tak simpan janggut. Siapa tahu janggut Nabi macam mana? Siapa pernah tengok? Ada gambar ke? Kita tidak tahu. Ada pula kata janggut mesti sampai ke pusat. Apakah kita hendak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut ikut Sunnah Nabi? Kita tak tahu! Kita tahulah dia ada janggut tapi tak tahu janggut dia macam mana. Zaman itu nak cukur mudah? Bukan ada gillette. Zaman Nabi ada gillette? Tak ada! Pisau cukur pun tak ada masa tu. Masalah hendak cukur. Kemudian dia pi jalan sana-sini naik unta bukan dapat air banyak, kawasan padang pasir.”
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.

Kelapan: Gambaran negatif orang berkopiah
“Pakai kopiah belum tentu lagi Islam. Pergilah ke Sumatera tengok orang pakai kopiah lilit kain tebal-tebal, tapi masuk gereja. Di Pulau Bali, pakai kopiah bukan ada kena-mengena denga agama.”

“Bukan saya kata tidak boleh tudung kepala. Tetapi apa guna tudung kepala tetapi perkosa anak. Misalnya suami perkosa anak. Masuk dalam mahkamah pakai ketayap putih, isteri pula pakai tudung kepala. Tapi buat kerja apa?”
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.

“Bukan semua orang yang pakai kopiah putih baik-baik belaka. Yang pakai kopiah hitam macam inipun (wakil di Perhimpuna Agung Umno) ini kadang-kadang baik juga.... Ada sebuah parti lain, kalau kita pergi tengok mesyuaratnya, nampak putih sahaja. Bukan setakat putih, wanita duduk di sebelah, tidak boleh campur (dengan lelaki seperti dalam Umno) kerana tidak dibenarkan oleh parti itu... Tetapi bila kita dengar syarahan-syarahannya, tidak ada lain selain dari mengata orang, bahawa orang itu tidak Islam, orang itu kafir. Adakah mereka (yang berkopiah putih) itu lebih Islam daripada yang pakai kopiah hitam ini? Jelas sekali kopiah putihkah, serbankah, tudungkah tidak menentukan paras keislaman kita.”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Kesembilan: Pertikai hukum menutup aurat wanita
“Yalah kita kena tutup auratlah. Tapi definisinya pun yang mana satu? Ada setengah kata kena tutup semua muka baru betul. Jadi adakah yang tak tutup muka kurang Islam? Kalau tutup pun setakat mana yang kita tutup? Dan kalau kita tidak tutup, adakah kita tidak Islam?
-          Ucapan Presiden Umno (PM), Dr. Mahathir Mohamad dalam mesyuarat tertutup dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri. Ia turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Umno (TPM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pusat Islam.

“Tujuan menutup aurat (wanita) ialah kerana di zaman nabi, Arab jahiliyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat. Tetapi di zaman ini di Malaysia kita amat keras berkenaan dengan menutup aurat. Hukuman keras disediakan terhadap mereka yang melanggar larangan ini. Bahawa orang yang menutup aurat ini membuang bayi, mendera dan membunuh anak, merogol dan melakukan berbagai-bagai jenayah seks tidak kita kaitkan dengan tujuan menutup aurat.”

“Dan jangan kita lupa orang yang menutup kepala juga melakukan jenayah seks tidak kurang daripada yang tidak menutup kepala. Sebabnya ialah kerana kita mengutamakan menutup kepala dan bukan pencegahan jenayah. Asalkan kita menutup kepala, sempurnalah amalan kita.”
-          Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 5 September 1997.

“Setengah daripada kita hendak pakai tudung dan setengah tidak pakai tudung. Kita tidak boleh ukur sama ada orang yang pakai tudung lebih Islamnya daripada yang tidak memakai tudung, kerana yang pakai tudung pun....”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Kesepuluh: Pertikai Hukum Syahid
“Saidina Hamzah yang gugur syahid di Uhud tidak dimandikan kerana tidak ada air, kerana terkorban di tengah-tengah padang pasir.”
-          Ucapan Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Ketil, Kedah pada tahun 1986 selepas tragedi Memali.

Kesebelas: Ruang maksiat sebagai menguji keimanan
“Kalau kita tutup langsung semua peluang untuk membuat jenayah dan maksiat, kita tidak boleh kata orang-orang dalam masyarakat itu sudah baik dan sudah menerima segala nilai-nilai Islam. Mereka cuma tidak dapat melakukan perkara yang tidak baik kerana tidak terdedah kepadanya. Sebaliknya, kalau seseorang itu sudah menerima dan menerap nilai-nilai Islam, di mana juga ia berada, tidak akan membuat sesuatu yang dilarang oleh agama Islam.”

“Sebab itu kadang-kadang kita berpendapat bahawa adalah lebih baik kalau kita menguji sedikit diri kita. Sepertimana di dalam negara kita ini, ada arak tetapi kita tidak minum, ada babi tetapi kita tidak makan. Begitu juga kalau ada judi, kita tidak berjudi. Kalau kita cuma tidak berjudi kerana (undang-undang), belum tentu kita berpegang kepada nilai itu. Tetapi jika kita nampak judi ada di sini dan kita tidak membuatnya, kita tahu sama ada kuat atau tidak kuat iman kita.”

“Kita tidak mahu menjadi manusia yang tidak terdedah sama sekali kepada maksiat, kepada peluang untuk berjenayah dan sebagainya. Kita perlu didedah, tetapi kukuhkanlah iman kita supaya kalaupun kita terdedah, kita boleh tahan.”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Keduabelas: Tidak sembahyang pun baik juga
“Ada wakil (Perhimpunan Agung Umno) yang bercerita tentang seorang wanita yang bersembahyang tidak berhenti-henti, tetapi mulutnya bercakap macam-macam sehingga batal habis sembahyangnya itu. Jadi kita tidak boleh mengatakan orang yang sembahyang itu adalah lebih Islam daripada orang yang tidak sembahyang. Orang yang tidak sembahyang mungkin tidak mengumpat, tidak mengatakan macam-macam terhadap orang lain lagi. Mereka ini juga orang baik.”
-          Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 November 1989.

Dalam konteks politik tanahair, lebih-lebih lagi di Terengganu, tindakan Umno memperbesar-besar dan menghidupkan kembali isu ‘Amanat’ sebenarnya tidak memberikan apa-apa keuntungan politik baginya. Malah, seperti yang dikatakan tadi, ia mengundang tindak balas daripada pihak PAS yang nyata amat sukar bagi Umno menepisnya kembali. Bukankah itulah yang terserlah melalui petikan-petikan ucapan para pemimpin Umno di atas?

(Artikel ini adalah Bab 6 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)