Tuesday, July 10, 2001

Bab 7: Doakan Rahmat dan Barakah Allah

“Kini setelah sudah tidak bergelar wakil rakyat, pemimpin Umno molek-molek ada turut mencemar bahunya mengusung rumah untuk rakyat”

N
ampaknya hujan tidak jemu-jemu menyirami bumi negeri Terengganu dalam setahun kebelakangan ini. Ghalibnya, musim hujan ‘Ribut Timur’ akan bermula November, atau paling awal di bulan Oktober, di setiap tahun. Musim itu juga kebiasaannya akan berakhir antara Januari atau Februari berikutnya.

Tapi, dalam setahun kebelakangan ini, ia bermula lebih awal, seawal September dan melarat hingga ke Mac. Manakala di penghujung Mac itu pula, sudah datang musim baru, iaitu ‘Ribut Barat’. Keadaan ini menyebabkan negeri Terengganu sentiasa dibasahi hujan, dan boleh dikatakan tidak ada bulan yang benar-benar ‘kemarau’ mutakhir ini.

Allah Subhanahu wa Ta’ala jua Yang Maha Mengetahui apa hikmat di sebalik putaran musim itu. Seluruh alam buana ini adalah milikNya jua, dan manusia hanya berperanan mentadbir dan memakmurkan dunia sebagaimana yang diarahkan oleh Allah SWT. Kerana, sebagai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Dia turut bertanggungjawab mencipta Islam sebagai ajaran dan panduan hidup manusia. Manakala panduan dan ajaran tersebut dirangkumi pula di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Kerajaan negeri Terengganu kini telah meletakkan dasar utama pemerintahannya untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Ia bukannya agenda politik semata-mata, malah memenuhi tuntutan agama. Firman Allah di dalam al-Quran (maksudnya): Dan apabila telah berkata Tuhanmu kepada para malaikat, sesungguhnya Aku akan jadikan di atas muka bumi itu khalifah (pentadbir).(Surah al-Baqarah ayat 30)

Istilah khalifah itu mengandungi makna yang jauh lebih luas daripada sekadar ‘pentadbir’. Di antara pengertian khalifah yang diberikan oleh beberapa ulama Islam ialah: Menggalang-ganti pengutusan para anbiya’ dalam menegakkan agama dan mentadbirkan dunia dengannya (agama).

Ertinya, bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini, seseorang yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir itu mestilah tahu selok-belok hukum dan peraturan agama. Bahkan, bukan sekadar tahu sahaja, malah dia mestilah bersedia dan berupaya untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan agama itu.

Di antara tugas dan peranan manusia yang mentadbir atau memerintah itu dinyatakan oleh Allah di dalam firmanNya yang bermaksud: Mereka yang Kami menangkan di atas muka bumi, mereka itu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyeru kepada perkara maaruf dan mencegah daripada perkara mungkar. (Surah al-Hajj ayat 41)

Allahyarham Profesor Zulkiflee Muhammad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, sewaktu memberikan wasiat atau ‘Amanat Terakhir’ beliau kepada anggota-anggota kerajaan PAS Negeri Kelantan yang baru dipilih semula dalam Pilihan Raya Umum 1964 lalu, sempat menghuraikan ayat di atas. Antara lain, beliau mengemukakan pengertian yang lebih luas terhadap ungkapan ‘mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat’ yang disebutkan itu.

Beliau menyebutkan: “Dengan ayat-ayat ini dapatlah tuan-tuan membayangkan bahawa orang yang telah ditolong (diberi kemenangan) oleh Allah SWT itu tugasnya telah dinyatakan oleh al-Quran; menjaga kedaulatan agama, menjaga khidmat-khidmat masyarakat, melakukan sesuatu yang baik dan mencegah sesuatu yang jahat.”

Solat adalah tiang agama. Mendirikan solat bererti mendirikan agama atau menjaga kedaulatan agama. Manakala ibadat zakat sememangnya suatu agenda masyarakat yang tersangat penting di dalam Islam.

Semua itu, terutama dalam hal menjaga kedaulatan agama, tidak akan dapat dilaksanakan kecuali dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kerana, setiap diri yang bergelar muslim semestinya memperakui bahawa bumi ini adalah milik dan ciptaan Allah. Maka sudah tentulah Allah SWT sendiri yang lebih mengetahui apakah cara dan aturcara terbaik untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Tidak syak lagi, bekal iman dan taqwa merupakan rukun terpenting dalam memerintah muka bumi ini. Bacalah firman Allah (maksudnya): Dan kalau sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman serta bertaqwa, pasti akan Kami bukakan kepada mereka (pintu kurniaan yang melimpah-limpah) berkatnya dari langit dan bumi. (Surah al-A’araf ayat 96)

Adalah di luar jangkauan akal kita untuk mengatakan secara pasti bahawa hujan yang melimpah-limpah turun sejak dari awal pemerintahan PAS di Terengganu itu adalah sebahagian daripada ‘berkat dari langit’ yang dimaksudkan oleh Allah Ta’ala itu. Tetapi, sebagai hambaNya, kita berkeyakinan bahawa di sebalik setiap kejadian yang ditakdirkan olehNya ke atas hamba-hambaNya ini, terangkum rahmat dan berkat untuk sekalian manusia.

Lebih-lebih lagi, Kerajaan negeri Terengganu kini telah meletakkan dasar utama pemerintahannya ialah mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Asas itulah merupakan tunjang utama di dalam membentuk sebuah masyarakat yang beriman dan bertaqwa, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Ternyata Allah Ta’ala itu amat menepati segala apa yang dijanjikanNya. Janji mencurahkan berkat dan rahmat kepada negeri yang didiami umat beriman dan bertaqwa tidak akan dibiarkanNya hanya tinggal janji. Perkara ini dapat kita perhatikan, sama ada secara tersurat atau tersirat, zahir atau tersembunyi, menerusi beberapa pemerhatian di dalam masyarakat.

Segala-galanya bagaikan bermula apabila rakyat Terengganu menzahirkan kesediaan mereka menerima PAS, dengan segala dasar dan program pemerintahan yang dikemukakannya, untuk mentadbir bumi Darul Iman itu.

Pertama: Hujan Rahmat
Belum pernah negeri Terengganu dilanda banjir seteruk itu. Sekurang-kurangnya tidak pernah dalam masa yang dapat diingat oleh penulis. Di kalangan warga tua Terengganu, mereka bercerita tentang ‘Bah Merah’ yang dikatakan berlaku pada tahun 60-an dulu. Ketika itu, kita masih terlalu kecil untuk mengingati segala yang berlaku.

Semacam suatu kejutan (memang pun ianya kejutan) bagi sebuah kerajaan yang baru dibentuk, apabila tiba-tiba sahaja hujan mencurah-curah dengan lebat sekali. Seelok-elok setahun kerajaan bertukar tangan, Terengganu dilanda bencana banjir yang sangat dahsyat. Sehingga ada yang mentafsirkannya sebagai ujian bagi kerajaan baru. Ujian bagi para pegawai dan kakitangan yang terbabit dengan kerja-kerja bantuan banjir di daerah-daerah. Tiada kurang juga yang menyifatkannya sebagai bala dari Allah sebab ‘menzalimi orang-orang Umno’.

Bagi sesetengah kalangan yang lain pula, limpahan air ke bumi Terengganu merupakan petanda awal dari Allah untuk melimpahkan berkatNya. Kalangan ini berhujah bahawa disebabkan limpahan air yang banyak itulah, maka awal tahun ini menyaksikan limpahan buah-buahan di serata negeri Terengganu.

Buah-buahan, terutamanya durian dan duku, sememangnya memerlukan air yang agak banyak (tapi bukan terlalu banyak), terutama di musim ia berbunga. Hujan yang berterusan alhamdulillah telah membekalkan air semulajadi yang diperlukan pokok-pokok itu untuk menghasilkan buah.

Hasilnya, belum pernah rakyat Terengganu dapat menikmati buah-buahan, terutamanya durian dan duku, semurah dan sebanyak yang dikecapi tahun ini. Sehinggakan di minggu kemuncak lambakan buah-buahan itu, harga sebiji buah durian saiz sederhana tidak sampai satu ringgit (RM1.00). Manakala buah duku Terengganu, yang terkenal lemak dan manis, yang kebiasaannya dijual antara RM2.50 hingga RM4.00 sekilo, terpaksa dijual dengan harga RM5.00 untuk tiga (3) kilo.

Betul, para penanam dan peniaga kurang mendapat keuntungan. Tetapi, rakyat terbanyak telah sama-sama dapat menikmatinya. Kekurangan pendapatan untuk segelintir telah digantikan oleh Allah dengan kenikmatan untuk sebuah masyarakat yang lebih besar.

Hal yang sama diperhatikan turut berlaku terhadap para pengusaha tanaman tembakau. Kita tahu satu-satunya kegunaan tembakau ialah untuk membuat rokok. Memang ia ada kegunaan-kegunaan lain, tetapi tidak setakat yang diketahui oleh para penanam tembakau di Terengganu.

Kerajaan baru pimpinan PAS, sebagaimana rakannya di Kelantan, memandang aktiviti merokok sebagai suatu tabiat yang buruk dan patut dihindarkan. Merokok bukan sahaja dibahaskan sebagai merosakkan masyarakat dari sudut kesihatan. Ia turut dibahaskan oleh para ulama Islam dari perspektif hukum agama dan juga kesan sosial di kalangan anggota masyarakat.

Sekadar memberitahu masyarakat tentang budaya merokok dan hukum merokok menurut Islam, tidak dapat memberikan kesan yang mendalam, terutama di kalangan para pengusaha tanaman tembakau. Bahkan, silap-silap haribulan, rakyat dari kalangan penanam itu akan ‘memberontak’ dan kembali menyusahkan pihak kerajaan.

Musuh utama para penanam tembakau saban tahun ialah hujan yang lebat. Maka, apabila hujan turun mencurah-curah dan menenggelamkan tanaman tembakau dua musim berturut-turut (dua awal tahun), rakyat tidak boleh menyalahkan kerajaan. Rakyat perlu menerimanya sebagai amaran dari Allah agar mereka beralih aktiviti mereka daripada tanaman itu kepada tanaman-tanaman lain yang lebih ‘berfaedah’. Bukankah itu pun rahmat dari Allah juga?

Kedua: Peningkatan Industri Pelancongan
Negeri Terengganu sememangnya terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang terbaik di negara ini. Negeri itu memiliki hampir segala-gala yang diperlukan untuk menggamit para pelancong. Terengganu ada pantai berpasir yang panjang, ada pulau-pulau yang jernih airnya, ada lagun, bukit, tasik, air terjun, lata, hutan lipur, gua-gua, sungai dan lain-lain.

Ada pula beberapa keistimewaan tersendiri yang hanya kedapatan di Terengganu dan tidak kedapatan di negeri-negeri lain. Antaranya ialah ulat sutera (yang hanya ada di Sarawak, selain Terengganu), penyu dan Masjid Terapung (yang kemudiannya ditiru konsepnya oleh Dr. Mahathir untuk Masjid Putrajaya).

Manakala tarikan-tarikan yang lain ialan Taman Bukit Puteri, Muzium Negeri, Memorial Batu Bersurat, industri batik dan anyaman, nasi dagang dan keropok lekor.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mengatasi segala tarikan yang disenaraikan di atas itu ialah ‘Rusila dan Tok Gurunya’. Memang pun kedua-dua itu tidak kedapatan di negeri lain, selain Terengganu. Kekuatan tarikan ‘Rusila dan Tok Gurunya’ itu dikatakan menyamai kekuatan ‘Pulau Melaka dan Tok Gurunya’ bagi negeri Kelantan.

Sebab itu, kebanyakan rombongan pelancong domestik dari luar Terengganu tidak melepaskan peluang berhenti, walau pun hanya untuk seketika, di perkarangan Masjid Rusila, sebelum mereka menjelajah ke lain-lain destinasi pelancongan di Terengganu. Kalau boleh bertemu mata dan/ atau bersalaman dengan Tok Guru, itulah yang terlebih baik dan menjadi kemuncak hasrat sebilangan mereka berkunjung ke Terengganu.

Industri pelancongan di Terengganu adalah salah satu sektor yang mencatatkan peningkatan yang ketara sejak peralihan kerajaan. Data ketibaan pelancong ke Malaysia mudah dicatatkan, kerana negara mempunyai pintu-pintu masuk yang ditempatkan pegawai imigresen. Jumlah pelancong yang keluar-masuk dengan mudah dapat dicatatkan.

Bagaimana pun, pintu seumpama itu tidak kedapatan di sempadan masuk ke negeri Terengganu. Maka, data kedatangan pelancong ke negeri itu diambil melalui pengiraan bilangan penginap-penginap hotel yang dikumpul melalui Kajian Purata Penginapan oleh Tourism Malaysia disamping oleh Kerajaan Negeri Terengganu sendiri.

Bagi enam bulan pertama tahun lalu (Januari hingga Jun 2000), Negeri Terengganu mencatatkan seramai 205,362 orang penginap hotel/chalet, iaitu meningkat sebanyak 12.57% berbanding 182,434 orang bagi tempoh yang sama di tahun sebelumnya (Januari hingga Jun 1999). Perincian Jumlah Penginapan Hotel di Terengganu 2000/1999 adalah seperti jadual di bawah.
Kategori Penginap
Jan-Jun 1999
Jan-Jun 2000
Peratus Peningkatan
Pelancong Domestik
151,138
152,779
+1.09
Pelancong Asing
31,296
52,583
+68.0
Jumlah
182,434
205,362
+12.57

Perlu diingat bahawa jumlah kedatangan pelancong domestik yang dicatatkan itu hanyalah membabitkan mereka yang menginap di mana-mana hotel/chalet di negeri itu sahaja. Sebab itu, jumlah peningkatan yang dicatatkan hanyalah satu peratus sahaja. Ada pun puluhan ribu (atau mungkin ratusan ribu) lagi yang sekadar singgah mengadakan lawatan dan tidak menginap, atau rombongan yang memanfaatkan mana-mana tempat awam seperti masjid, surau atau rumah persendirian sebagai tempat penginapan tidak diambil kira. Maka, amat tidak benarlah ketakutan sesetengah kalangan kononnya kalau Islam memerintah, industri pelancongan akan merudum.

Ketiga: Lubuk Emas Untuk Rakyat
Di dalam manifesto pilihan raya PAS Terengganu tercatat secara jelas janji PAS untuk ‘membuka penyertaan yang lebih luas kepada rakyat tempatan dalam industri pengeluaran emas’. Maka, apabila PAS telah berjaya memerintah, janji tersebut mahu tidak mahu mesti dikotakan. Lembu berpegang pada tali, tetapi kita manusia berpegang pada janji.

Februari lalu, dua pengumuman oleh pemimpin kerajaan negeri amat melegakan rakyat, khususnya mereka yang berminat atau bergiat di dalam aktiviti mendulang emas. Tok Guru MB mengumumkan bahawa kawasan mendulang emas Lubuk Mandi akan dibuka semula, dan ia akan dibuka sepenuhnya untuk aktiviti mendulang oleh rakyat.

Lebih kurang pada ketika yang sama juga, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Wan Abdul Muttalib Embong pula mengumumkan bahawa satu lagi kawasan mendulang emas akan dibuka kepada rakyat, iaitu di daerah Dungun.

Menurut sumber kerajaan negeri, kawasan mendulang emas di Lubuk Mandi itu akan dibuka pada Jun ini. Pihak kerajaan kini sudah berada di peringkat akhir kajian persediaan dan garis panduan bekerja untuk para pendulang akan diumumkan bila-bila masa sekarang.

Sedikit potongan hasil akan dikenakan ke atas pendulang-pendulang sebagai sebahagian sumbangan mereka setelah Kerajaan Negeri menyediakan beberapa kemudahan untuk keselesaan mereka. Antara kemudahan yang disebut bakal disediakan ialah jentera pengorek atau penyodok tanah yang akan mengaut tanah bergalian dari perut bumi untuk diayak oleh pendulang.

Ertinya mereka tidak perlu mengorek sendiri lubang-lubang dan memperjudikan nyawa mereka menyelinap lubang di bawah tanah. Turut disediakan ialah surau untuk bersolat dan tandas di kawasan yang dipagari dengan kawalan keselamatan yang munasabah. Apa yang penting, rakyat akan berpeluang menikmati hasil perut bumi Allah mengikut kadar usaha masing-masing.

Keempat: Budaya Menuntut Ilmu
Secara tradisi, asas kekuatan PAS ialah di kawasan penanaman padi dan pusat pengajian pondok. Di situlah sebilangan pemimpin utama PAS dilahirkan dan/atau menerima pendidikan awal mereka. Malah beberapa institusi pondok di seluruh negara terkenal sebagai pangkalan aktiviti PAS di tempat masing-masing. Sehinggakan pernah wujud ungkapan popular: “Di mana ada padi, di situ ada pondok. Di mana ada pondok, di situ ada PAS.”

Mungkin sinonimiti itu sengaja dicipta dan diabadikan di dalam pemikiran masyarakat oleh para pemimpin BN, bagi menggambarkan PAS tidak lebih sebuah parti marhaen, parti pesawah padi dan pak lebai kampungan. Tetapi, dari satu sudut lain, pada ungkapan itu sebenarnya terpahat unsur kekuatan utama PAS – kecintaan pendokongnya terhadap majlis pengajian ilmu Islam. Majlis pengajian di pondok-pondok dan pusat-pusat tarbiyah PAS saban minggu sebenarnya menjadi medan saluran komunikasi dan interaksi paling berkesan antara pemimpin dan pengikut PAS.

Di Terengganu sendiri, hampir setiap kawasan parlimen mempunyai pusat tarbiyah PAS yang menjadi tumpuan saban minggu. Kuliah mingguan, yang kebiasaannya diadakan setiap pagi Jumaat, menghimpunkan ratusan, malah ribuan, ahli-ahli PAS dari seluruh kawasan masing-masing sekurang-kurangnya buat sekali dalam seminggu.

Apabila PAS telah bergelar pemerintah, kecintaan terhadap majlis ilmu yang sudah sekian lama terbudaya dan bertradisi di kalangan ahli-ahli PAS itu merebak pula kepada masyarakat umum. Tindakan kerajaan negeri menubuhkan Unit Pembangunan Insan (UPI) telah mempercepatkan lagi proses membudayakan majlis ilmu ke dalam masyarakat terbanyak.

Sebilangan mereka, terutamanya para pegawai dan kakitangan kerajaan yang selama ini agak ‘culas’ mengikuti mana-mana kuliah atau ceramah agama kini sudah tidak dapat mengelakkan diri lagi. Ya lah! Mungkin di peringkat awal mereka itu hadir dengan separuh hati. Mereka rasa terpaksa hadir sebab itu program kerajaan. Tetapi keberkatan majlis ilmu itu lambat-bangat melembut dan menjinakkan hati yang pada awalnya agak keras dengan majlis-majlis sebegitu.

Kini, aktiviti mendidik masyarakat dan membudayakan ilmu dalam masyarakat sudah tidak tertumpu di pusat-pusat PAS sahaja. Ia juga sudah tidak melibatkan kalangan ahli-ahli PAS sahaja. Ia sudah menjadi aktiviti masyarakat umum, yang ikut disertai oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman atau kecenderungan politik.

Sudah tentu, jurang perbezaan antara orang yang menimba ilmu dengan orang yang tidak menghiraukan soal menambah ilmu adalah ibarat langit dengan bumi. Kesannya amat jelas dirasakan. Rakyat yang menimba ilmu semakin terbuka minda, dan dapat membezakan antara nas al-Quran dan Hadis berbanding nas suratkhabar dan TV.

Rakyat menjadi semakin dekat dengan agama dan sudah dapat melihat kesyumulan Islam, tahu bahawa Islam itu sangat luas dan merangkumi segenap aspek kehidupan. Mereka sedar kini betapa sesatnya mereka dulu, kerana memisahkan agama dengan politik. Itulah rahmat dan berkat yang diperolehi rakyat Terengganu, hasil bernaung di bawah sebuah pemerintahan yang meletakkan agama mengatasi segala yang lain.

Kelima: Pembangkang Lebih Bertanggungjawab   
Belum pernah berlaku dalam sejarah kehidupan di Terengganu, sebuah parti pembangkang begitu cakna terhadap permasalahan rakyat, sebagaimana yang sedang berlaku sekarang. Sebelum ini, Terengganu bukan tidak ada parti pembangkang. Ada, dan parti itu ialah PAS. Tetapi, sejauh mana sangat PAS mampu cakna terhadap keperluan kebendaan rakyat? Kerana, semua orang tahu PAS adalah parti miskin, parti yang hidup semata-mata atas pengorbanan ahli dan pendokongnya sahaja.

Tetapi, apabila tiba giliran Umno jadi pembangkang di Terengganu, rakyat negeri itu telah dilanda suatu fenomena kehidupan yang baru. Rakyat seolah-olah mendapat nikmat daripada ‘dua kerajaan’. Semuanya gara-gara kenanaran Umno yang masih tidak sedar dia sudah kalah.

Umno terlalu lama jadi kerajaan, lebih 38 tahun. Maka dia rasa tidak tanggung nak jadi pembangkang dan nak terus berperanan sebagai sebuah kerajaan. Para pemimpin Umno kini jadi terlebih cakna terhadap rakyat, terutama dalam hal-hal membabitkan huluran bantuan kebendaan.

Tiba-tiba saja Umno Terengganu menjadi tersangat peka dengan permasalahan rakyat. Dengar saja ada rumah terbakar, atau rosak dilanda banjir, atau dipupuk angin, rombongan Pemuda dan Wanita Umno yang dahulu akan sampai. Belum sempat Pejabat Daerah, Pejabat Kebajikan Daerah atau pejabat-pejabat lain di bawah kerajaan negeri sampai, orang-orang Umno sudah selesai menghulurkan bantuan mereka.

Para pemimpin Umno yang selama puluhan tahun lalu tidak pernah sinsing seluar meredah sungai atau bendang menjenguk rakyat, setelah PAS memerintah Terengganu kini fenomena itu dapat dilihat. Bekas wakil rakyat, yang semasa berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat dahulu tidak pernah mengangkat walau sebatang kayu untuk membina rumah rakyat, kini setelah sudah tidak bergelar wakil rakyat, dia molek-molek ada turut mencemar bahunya mengusung rumah untuk rakyat.

Itu dah kira molek bedo’oh la! Satu lagi rahmat Allah, secara tak langsung rakyat Terengganu kini berpeluang mendapat dua saluran bantuan. Satu dari saluran kerajaan negeri dan satu lagi dari Umno. Hakikat ini pasti tidak akan dikecapi kalau PAS jadi pambangkang, sebab PAS parti miskin.

Sebagai pembangkang, PAS tak akan mampu buat apa yang Umno boleh buat sebagai pembangkang. Maka, bagi memastikan Umno terus jadi bertanggungjawab, cakna terhadap rakyat, dan rakyat pula mendapat bantuan dari dua saluran, maka rakyat perlu mengekalkan Umno sebagai pembangkang di Terengganu.

(Artikel ini adalah Bab 7 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

Bab 8: Allah Masih Sayangkan PAS

“Tidak ada harakah tanpa tanzim, tidak ada tanzim tanpa tarbiyah. Tidak ada pemerintahan Islam tanpa PAS, dan tidak ada PAS tanpa tarbiyah”

T
ernyata kemenangan bergaya PAS di Terengganu dalam pilihan raya umum lalu merupakan suatu cultural shock (kejutan budaya) bagi kebanyakan ahli dan penyokong PAS di negeri itu. Dalam sekelip mata sahaja, sebuah parti yang sejak hampir 40 tahun lalu terkenal sebagai pembangkang, telah bertukar status menjadi sebuah parti yang memerintah.

Parti yang perlu memikirkan soal pembentukan kerajaan, soal penguasaan institusi-institusi masyarakat dan soal mentadbir kampung dan qaryah. Ahli-ahli partinya pula perlu membiasakan diri dengan program-program kerajaan, perlu mengetahui berbagai selok-belok menghadiri majlis dan juga protokol di acara-acara rasmi kerajaan.

Penyesuaian sebegitu bagaimana pun tidak memerlukan masa yang agak lama bagi ahli-ahli PAS untuk melakukannya. Lagi pun, orang PAS bukannya koman sangat! Mereka pun tahu menulis-membaca. Bahkan, di kalangan penjawat awam pun ramai yang jadi aktivis PAS. Tidak kurang juga dari golongan profesional seperti peguam, doktor, jurutera, dan sebagainya. Ada yang berkelulusan pondok, ada yang lepasan universiti dalam dan luar negeri. Yang dari Eropah dan Amerika pun tidak kurang juga di dalam PAS.

Apa yang agak menimbulkan masalah ialah soal ‘pembahagian ghanimah’. Maksud kita ialah bila tiba ke peringkat mengisi jawatan-jawatan lantikan politik. Sedikit kekecohan kelihatan berlaku di sana-sini terutama di dalam menentukan siapakah calon terbaik bagi mengisi jawatan-jawatan seperti Pengerusi, Timbalan dan Setiausaha JSR, Penyelia dan Penyelaras UPI di peringkat DUN-DUN, serta Ahli-Ahli Majlis Daerah.

Ada pun lain-lain jawatan yang lebih tinggi, terutama membabitkan jawatan-jawatan di peringkat negeri tidaklah banyak diperkatakan orang. Kerana, tanggungjawab mengisikan jawatan-jawatan tinggi itu sememangnya di luar jangkauan ahli-ahli PAS di peringkat bawahan untuk memikirkannya.  

Sekali fikir, suasana yang dihadapi oleh orang-orang PAS di awal kemenangan dahulu saling tak ubah seperti peristiwa yang diriwayatkan di dalam sejarah Islam mengenai ‘Perang Hunain’. Seperti yang kita ketahui, perang tersebut berlaku pada tahun 8 Hijrah dan selang tidak lama selepas peristiwa Fathul-Makkah, iaitu penawanan kota Mekah oleh tentera Islam.

Perang Hunain tercatat sebagai salah satu perang yang membariskan kekuatan tentera Islam paling ramai. Jumlah tentera Islam ialah seramai 12,000 orang, iaitu 10,000 tentera Muhajirin dan Ansar yang baru selesai menawan kota Mekah, dicampur 2,000 lagi dari orang-orang Mekah sendiri. Kalangan orang-orang Mekah itu kebanyakannya yang baru mengisytiharkan diri menganut Islam setelah Fathul-Makkah.

Orang-orang Islam telah menanggung suatu ujian yang besar dalam peperangan ini. Tatkala kabilah Hawazin dan Thaqif menyerang tentera Islam, sebahagian besar mereka menjadi kucar-kacir dan bertempiaran mengundur lari. Bilangan mereka yang ramai tidak mendatangkan faedah pada masa itu. Sehingga, seruan dari Rasulullah s.a.w. sendiri supaya mereka bertahan dan berjuang telah tidak diendahkan. Diriwayatkan hanya lebih kurang 100 orang sahaja sahabat Muhajirin dan Ansar serta Ahlul Bait yang setia melingkungi Rasulullah s.a.w.  

Setelah kabilah Hawazin dan Thaqif berjaya dikalahkan oleh tentera Islam, maka banyaklah harta rampasan perang atau ghanimah yang diperolehi. Diriwayatkan, golongan yang paling awal menuntut bahagian daripada ghanimah tersebut ialah golongan dari kota Mekah tadi.

Sehingga dikatakan ada di kalangan mereka itu yang sampai menarik-narik baju Rasulullah s.a.w. sambil meminta-minta diberikan bahagian untuknya. Permintaan mereka dipenuhi dengan baik oleh Rasulullah, sehinggakan Baginda tidak mempunyai cukup bakinya untuk diagihkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar.

Tetapi itu tidak menjadi masalah sedikit pun bagi golongan Muhajirin dan Ansar. Mereka adalah golongan yang dicatatkan di dalam sejarah sebagai golongan ‘yang telah dipermuliai mereka oleh Allah Ta’ala dengan Islam’. Mereka juga disifatkan sebagai golongan ‘yang hati mereka telah bersebati dengan keimanan dan Islam sentiasa terjunjung di batu jemala mereka.’

Sebab itu, walau pun hanya sebilangan mereka yang sempat mendapat bahagian yang tidak seberapa daripada pembahagian ghanimah, mereka tidak merungut. Mereka lebih merelakan Rasulullah s.a.w. mengutamakan golongan yang baru menganut Islam, yang masih tidak faham Islam dan masih mengutamakan kebendaan dalam perjuangan mereka.

Begitulah juga lebih-kurangnya suasana yang terpaksa dihadapi oleh aktivis-aktivis PAS di Terengganu di awal pemerintahan dulu. Sebaik sahaja PAS memperolehi kemenangan, terdapat golongan yang cuba menonjolkan diri sebagai ahli dan penyokong PAS. Bahkan, penonjolan mereka macam ‘mi segera’, sangat cepat mengembang dan menonjol, sehinggakan para aktivis asal terpinggir ke belakang.

Sudah tentu mereka itu menonjolkan diri sebagai ahli PAS dengan kepentingan-kepentingan tersendiri. Mereka boleh jadi golongan atas pagar yang selama ini tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi secara tradisi mengundi BN. Dalam pilihan raya umum lalu, mereka ini secara bersahaja mengundi PAS. Mereka ini sebenarnya bukan ahli Umno. 

Tidak kurang juga antara mereka itu yang memang menjadi ahli dan penyokong Umno. Tetapi ke-umno-an mereka itu banyak didorong oleh kepentingan kebendaan, seperti menjaga kepentingan perniagaan, dikongkong akibat perjawatan yang dipegang dan sebagainya. Mereka ini tidak ada sifat setia kepada parti mereka.

Orang macam ini tak ubah seperti lalang atau sampah yang terapung di permukaan air. Lalang akan membengkok ke mana jua arah tiupan angin. Sampah pula akan hanyut dan berputar-putar ikut arah aliran arus.

Mereka ini adalah golongan yang tidak berpendirian tetap. Bukan tidak ada pendirian, mereka ada pendirian. Pendirian mereka ialah mengikut mana yang menang, mana yang berkuasa, yang boleh dipengaruhi oleh mereka untuk menjaga dan menjamin kepentingan peribadi mereka.

Orang-orang PAS asal, atau sering diistilahkan sebagai ‘Ahlul Badar’, melihat perkembangan ini dengan perasaan yang sangat sebak dan terharu. Di kalangan mereka sudah ada yang terlintas bahawa diri mereka sudah tidak diendah atau diperlukan lagi oleh parti. Kerana, apa yang dapat mereka nilai berdasarkan ‘kegelojohan’ ahli-ahli baru PAS itu, para pemimpin parti juga seolah-olah merestui perlumbaan mendapatkan kepentingan diri itu.

Sedangkan mereka tidak pernah diajar berkelakuan begitu selama ini. Ada di antara mereka yang menggelarkan diri sebagai “buldozer tayar berantai”, iaitu merujuk kepada jentera berat yang hanya diperlukan ketika mula menarah bukit atau meratakan tanah. Setelah jalan raya siap dibina dan ditarkan, buldozer itu sendiri ‘diharamkan’ memijak jalan raya yang dibuatnya itu.     

Allah Ta’ala telah mendatangkan ujian ini. Sesetengah ahli dan penyokong PAS yang merasakan diri mereka terlalu dipinggirkan akhirnya tiba-tiba bertukar menjadi terlalu demanding. Mereka mula membuat onar, menuntut itu dan ini, membangkitkan soal pengorbanan yang mereka lakukan selama berpuluh-puluh tahun dalam perjuangan, dan berbagai-bagai lagi. “Tunggu dipelawa, orang tak pelawa”, kata mereka.

Penulis melihat perkembangan ini sangat membahayakan masa depan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Tetapi, itu tidak bermakna penulis mahu menyalahkan para aktivis yang demanding itu. Ada rasionalnya juga tuntutan atau pun sungutan sesetengah mereka itu. Sebab paling besar ialah kerana PAS berjaya mewarisi sebuah kerajaan yang ‘kaya’, yang mampu memberi atau menyediakan serba-serbi untuk dinikmati oleh rakyat yang selama ini tertindas oleh sebuah kerajaan yang zalim.

Sedangkan sebilangan mereka yang baru menyertai PAS itu, mereka sudah pun mengecapi kesenangan sewaktu Umno memerintah dahulu. Mereka adalah bekas ahli dan penyokong Umno. Dari sudut itu, bolehlah dikatakan tidak adil sekiranya kerajaan PAS sekarang ini pun turut mengutamakan mereka itu mengatasi orang-orang PAS asal yang tidak pernah mengecapi keadilan selama ini.

Di situlah timbulnya ungkapan ‘Umno perintah, Umno kenyang. PAS perintah pun, Umno juga kenyang’. Yang dimaksudkan ‘Umno juga’ itu ialah orang-orang Umno yang baru menyertai PAS atau menonjolkan diri sebagai ahli PAS hanya selepas kemenangan. Bagi mengimbangi keadaan itu, segolongan aktivis PAS telah dipaksa oleh keadaan untuk menjadi agak demanding.

Ternyata Allah Ta’ala masing sayangkan PAS. Mungkin Allah Ta’ala mahu menjaga kelangsungan perjuangan suci ini. Dia Maha Mengetahui setakat mana keupayaan dan kemampuan orang-orang PAS menghadapi ujian atau mehnah dalam bentuk kesusahan. Ia semacam sudah menjadi nasi makan air minum bagi orang-orang PAS. Di sekat bantuan baja subsidi, di halang daripada berhimpun, dinafikan permit ceramah, dilontar dengan telur tembelang, didiskriminasi dalam pemilikan rumah awam, tanah tapak rumah, tanah pertanian, segala macam tender.

Malah, sudah ada orang-orang PAS yang diperlakukan lebih daripada perlakuan dasar apartheid ke atas bangsa kulit hitam di Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Mereka diserang, dipukul, ditembak dan dibunuh. Itulah yang berlaku di Lubuk Merbau pada tahun 1985 dahulu, diikuti dengan Peristiwa Memali pada bulan November tahun yang sama.

Ramai orang mampu menerobosi ujian kesusahan. Tetapi kebiasaannya, manusia begitu mudah tewas dengan ujian kesenangan. Ujian itulah yang telah hampir-hampir merentap kesucian perjuangan Islam yang selama ini didokong oleh PAS.

Sebab itu bagi penulis sendiri, dan mungkin bagi beberapa aktivis PAS yang lain, tragedi rompakan wang royalti petroleum yang dihadapi oleh kerajaan Terengganu, dari satu sudut merupakan peringatan atau amaran daripada Allah SWT. Nasib baik juga kita masih belum melangkah begitu jauh dalam keadaan ‘mabuk’ dibuai kesenangan. Senang kerana kita telah memerintah, duit yang banyak menyenangkan kerajaan negeri mengatur berbagai-bagai rancangan dan pembaharuan untuk kesejahteraan rakyat.

Senang juga, kerana seluruh lapisan masyarakat nampaknya bersama-sama kita. Kita sudah beranggapan bahawa seolah-olah sudah tidak ada pegawai dan kakitangan kerajaan yang masih mahu kepada Umno. Semua mereka sudah sokong PAS. Kita menang pun kerana merekalah!

Kita seolah-olah mahu mempercayai semua orang yang datang kepada kita, yang mendakwa telah menyertai parti kita, tanpa perlu menyelidik maksud dan tujuan kedatangan mereka. Para aktivis parti pula semacam dirasuk keadaan, dan menjadi merajuk, atau terkejar-kejarkan jawatan dan habuan, sehingga terlupa matlamat asal perjuangan.

Alhamdulillah, dengan tercetusnya isu rampasan royalti itu, rakyat bagaikan disentak dari buaian mimpi masing-masing. Dalam masa tidak sampai pun sebulan selepas isu itu meletus bermacam-macam cerita mengenai para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang menerjah ke telinga penulis.

Dari setinggi-tinggi pusat pentadbiran negeri di Wisma Darul Iman sehinggalah ke sebawah-bawah di masjid dan JSR di peringkat kampung, cerita kakitangan kerajaan negeri yang bercakap dalam nada ugah begitu banyak kedengaran. Sokongan bulat kepada kerajaan baru yang sejak selepas pilihan raya umum lalu seringkali tidak kering di bibir, telah berubah nada.

Sedarlah kita di pihak PAS bahawa sokongan mereka selama ini adalah kerana kita ada kekuatan kebendaan. Apabila kita sudah hilang kekuatan itu, mereka mula menzahirkan diri mereka yang sebenarnya.

Para aktivis PAS yang agak demanding tadi juga kembali merasa serba-salah apabila menyedari ‘tuntutan’ peribadi mereka turut menyulitkan kerajaan negeri dalam keadaan yang ada sekarang. Itulah lebihnya orang-orang PAS! Mereka cepat sedar kesilapan mereka, dan secepat itu juga mereka mampu mengkesampingkan kepentingan diri, demi perjuangan. Ternyata asas tarbiyah yang ditanam oleh para pemimpin PAS selama ini tidak sia-sia.

“Tidak ada harakah tanpa tanzim, dan tidak ada tanzim tanpa tarbiyah”

Tak tahulah sejauh mana pemahaman penulis ke atas ungkapan di atas menepati maksud sebenar pengungkap asalnya. Tetapi, dari segi praktikalnya bagi dipadankan dengan suasana pemerintahan PAS di Terengganu ini, maka penulis rasa ungkapan di atas wajar di rephrase menjadi “tidak ada pemerintahan Islam tanpa PAS, dan tidak ada PAS tanpa tarbiyah”.

Di antara unsur utama dalam proses pentarbiyahan ialah mehnah atau tribulasi. Dalam bahasa Melayu ada yang menterjemahkannya sebagai ujian, cubaan, dugaan dan seumpamanya. Demi Allah, sejak tercetusnya isu royalti di Terengganu, rakyat yang mempunyai pendirian hidup bukan menjadi semakin tidak yakin dengan kerajaan PAS Terengganu. Sebaliknya, rakyat dari segenap lapisan semakin bangkit menyatakan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap kerjaan Terengganu kini.

Bermula dengan perarakan aman di pinggir bandar Kuala Terengganu pada 13 September, rakyat Terengganu seolah-olah tidak menoleh ke belakang dalam menyatakan kebersamaan mereka dengan kepimpinan PAS untuk mengharungi isu ‘pencabulan tidak bermoral’ itu oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada hari itu, kesemua anggota Dewan Harian Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat bersama-sama DPP Terengganu dan lebih 300 ahlinya dari seluruh negeri berhimpun hampir dua jam melawan terik mentari di pintu masuk Wisma Darul Iman. Mereka bertekad menyatakan sokongan kepada rakyat dan kerajaan Terengganu dalam isu royalti.

Di sebelah malamnya pula diadakan ceramah perdana atas isu yang sama, juga di bandar Kuala Terengganu. Puluhan ribu manusia hadir, dan ribuan juga sumbangan derma yang berjaya dipungut.

Dua hari selepas itu, puluhan ribu lagi rakyat Terengganu terpacak di tengah-tengah padang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Mereka bersolat hajat bersama-sama para pemimpin kesayangan mereka tanpa menghiraukan hujan yang mencurah-curah turun.

Malam berikutnya, jumlah yang lebih ramai berduyun-duyun pula memenuhi Taman Rekreasi Kuala Ibai dalam ceramah perdana sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2000. Amat mengejutkan, sumbangan derma yang dipungut malam itu mencecah angka RM9,000.

Banyak pihak mengatakan bahawa sejak PAS mencapai kemenangan di Terengganu, belum pernah sambutan sebegitu hebat diberikan kepada ceramah-ceramah perdana yang dianjurkan. Manakala jumlah pungutan derma pula jarang sekali melebihi RM3,000. Tetapi, sejak tercetusnya isu royalti petroleum itu, rakyat kembali berduyun-duyun bagaikan anai-anai keluar dari pasu. Semangat berkorban untuk perjuangan kembali meningkat.

Itulah silapnya Umno. Silapnya para pemimpin Umno, silapnya Dr. Mahathir, Datuk Abdullah Badawi, Datuk Idris Jusoh dan lain-lain pemimpin Umno Terengganu. Mereka terlupa bahawa orang-orang PAS adalah ibarat besi waja. Semakin dibakar dan diketuk, ia akan menjadi semakin tajam. Dan ketajaman itu sudah tentu bakal kembali menikam Umno dan Barisan Nasional juga!

(Artikel ini adalah Bab 8 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

Bab 9: Epilog - Mampukah Tok Guru Pertahan Terengganu?

Asiaweek 16 Jun 2000 memberi publisiti besar tentang kemungkinan Tok Guru Haji Hadi mampu memimpin Malaysia, Dr. Mahathir semakin marah dan naik geram.

B
unyinya agak pesimistik, bukan? ‘Mampukah Tok Guru Pertahan Terengganu?’, seolah-olah mempersoalkan kembali kewibawaan dan keupayaan seorang ulama terbilang itu mengekalkan pemerintahan partinya yang tahan uji itu di negeri Terengganu.

Penulis pernah mengajukan soalan yang sama kepada rakan-rakan dari berbagai latar belakang hidup. Jawapan-jawapan yang diterima juga agak pelbagai. Seorang rakan yang berjawatan agak tinggi di dalam perkhidmatan awam secara tegas mengatakan soal mampu atau tidak adalah bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya, ia bergantung kepada prestasi wakil-wakil rakyat di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Kerana, bagi beliau dan juga sebilangan pegawai kerajaan sepertinya, baik atau tidak prestasi sesebuah kerajaan adalah dinilai sebahagian besarnya melalui prestasi wakil-wakil rakyatnya.

Tak tahu nak dikatakan, apakah ianya suatu yang membanggakan atau sebaliknya apabila daripada seramai 28 pemimpin PAS yang menjadi anggota dan penyokong kerajaan itu, hanya dua tokoh utama sahaja yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘bebas’ daripada sebarang kritikan pedas atau komen negatif. Sudah tentu mereka ialah Tok Guru Menteri Besar sendiri dan Ahli Exco Kanannya, Haji Mustafa Ali. Ada pun lain-lain pemimpin dan wakil rakyat, tidak banyak pun sedikit, ada-ada saja rungutan yang disuarakan.

Ya lah! Mereka pun manusia biasa. Mana ada manusia yang tidak membuat silap. Bukankah Rasulullah s.a.w. sendiri pun telah berpesan bahawa setiap manusia itu tidak terlepas daripada dua sifat, iaitu silap dan lupa. Tetapi, sifat apologetik sahaja tidak memadai untuk mengelak daripada nilaian negatif rakyat jelata.

Apa yang lebih penting ialah rakyat mahu melihat wakil-wakil rakyat sekurang-kurangnya memperakui kelemahan dan kesilapan, kemudian berusaha merubah atau memperbaikinya. Para wakil rakyat sudah sepatutnya tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut mereka lakukan sebagai wakil rakyat PAS. Rakyat memilih PAS dan mengenepikan janji-janji Barisan Nasional tidak kerana lain, semata-mata kerana PAS berjanji kepada mereka mahu melaksanakan Islam dan memerintah dengan adil.

Memang, dalam masa tidak sampai dua tahun pemerintahan di Terengganu, PAS boleh dikatakan telah berjaya membuktikan banyak perkara. Ia telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri secara adil dan demokratik terhadap semua pihak.

Kesungguhan PAS di dalam menegakkan syariat Islam juga turut terserlah dengan beberapa langkah drastik membabitkan pelaksanaan syariah seperti pengharaman judi, penyusunan semula penggunaan arak, dan pengawalan rapi lesen-lesen premis hiburan dan pertunjukan yang berpotensi mendorong pengunjung terjerumus ke kancah maksiat. Itu telah kita sebutkan. 

Bahkan, dalam beberapa perkara, terutama membabitkan perubahan-perubahan dalam masyarakat, PAS di Terengganu nyata lebih terkehadapan daripada lain-lain kerajaan negeri pimpinan BN dan juga kerajaan Pusat sendiri. Dan kita tahu itulah yang merunsing dan merimaskan Umno, terutama Presidennya Dr. Mahathir Mohamad.

Pantang besar bagi Dr. Mahathir kalau ada pihak mendakwa ada orang lain mampu memimpin Malaysia selain dirinya. Buktinya sudah ada. Lihatlah apa jadi dengan Tengku Razaleigh? Hanya kurang 40 undi lebih sahaja lagi untuk menduduki kerusi PM, tetapi kini sudah amat jarang kedengaran suaranya dalam politik negara.

Ada juga cerita yang mengatakan di antara sebab utama pertubuhan dakwah Al-Arqam diharamkan ialah kerana pemimpin agungnya, Abuya Asha’ari, pernah bercakap soal memerintah Malaysia. Dikatakan Asha’ari terlalu yakin dapat menawan pentadbiran negara ini, walau pun tanpa menyertai pilihan raya. Itulah sebabnya Dr. Mahathir merasa tercabar dan bertindak ke atas pertubuhan berkenaan.

Kes yang sama juga berlaku ke atas Anwar. Di zaman kemuncaknya, hampir tidak ada pihak yang berani mengatakan bahawa Anwar tidak layak menggantikan Dr. Mahathir. Secara jujur, sama ada kawan mahu pun lawan, semuanya memperakui kewibawaan dan ketrampilan Anwar sebagai bakal PM. Malah, ada yang meletakkan harapan Anwar akan menjadi PM yang jauh lebih baik daripada Dr. Mahathir. Itulah yang menyebabkan ‘orang tua’ tu naik bengang, dan jadilah apa yang telah terjadi itu.

Jadi bila Asiaweek 16 Jun 2000, majalah mingguan yang berpangkalan di Hong Kong dan disebarkan di seluruh dunia, telah memberikan publisiti besar tentang kemungkinan Tok Guru MB Terengganu itu mampu memimpin Malaysia, Dr. Mahathir semakin naik geram.

Asiaweek edisi berkenaan telah memilih Tok Guru sebagai hiasan muka depannya dengan tajuk ‘Will he one day lead Malaysia?’, dengan keterangan gambarnya ‘Abdul Hadi Awang of Parti Islam SeMalaysia’. Gambar yang sama juga telah dipilih oleh Penerbitan Pemuda untuk menghiasi kulit depan buku penulis bertajuk Masa Untuk Tok Guru Buktikan: PAS Mampu Pimpin Malaysia.

Sekali lagi disebutkan bahawa, dalam masa lapan belas bulan memerintah Terengganu, PAS jelas telah memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk membuktikan banyak perkara. Sehinggakan dapat disimpulkan bahawa PAS telah membuktikan ia mampu memimpin Malaysia, jika diberikan peluang berbuat demikian. PAS telah buat apa yang selama 38 tahun pemerintahan Umno di Terengganu dulu tidak buat.

Dalam keadaan yang ada sekarang ini, prestasi baik itu amat perlu dikekalkan. Kerajaan Terengganu didokong oleh PAS. Rakyat terbanyak sama ada di Terengganu atau di seluruh negara akan melihat kelemahan pentadbiran kerajaan Terengganu sebagai kelemahan dan ketidak-cekapan PAS. Imej PAS banyak bergantung kepada imej yang ditonjolkan oleh kepimpinan kerajaan Terengganu kini. Sebab itu, perancangan kerajaan itu mestilah melambangkan kemampuan dan keupayaan PAS di dalam menerajui sebuah pemerintahan.

Sudah sampai masanya PAS bukan sekadar bercakap atau terus menabur janji untuk melaksanakan itu dan ini. Masa yang ada bukan lagi untuk mendendangkan lagu pilu nasib diri apabila harta dirompak orang.

Tampillah ke tengah masyarakat dan kemukakanlah perancangan alternatif untuk mempertingkatkan pendapatan negeri, di samping pada masa yang sama kita terus mengharapkan keputusan mahkamah akan memihak kepada kerajaan dan rakyat Terengganu. Kerana, dalam keadaan yang ada kini, jawapan kepada soalan ‘Mampukah Tok Guru Pertahan Terengganu?’ itu amat banyak bergantung kepada mampu atau tidak PAS mentadbir Terengganu tanpa wang royalti.

Sama-samalah kita doakan agar pemimpin dan rakyat Terengganu Darul Iman terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk mengharungi saat-saat getir ini. Amin! Ya Rabbal ‘Alamin!

(Artikel ini adalah Bab 9 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

Lampiran 3: Apa Yang Wakil Rakyat PAS Tidak Patut Buat?

01)  Sukar ditemui oleh rakyat. Telefon ke rumahnya, orang di rumah kata dia ke pejabat. Telefon ke pejabat, orang pejabat kata dia tak ada, mungkin di rumah. Telefon handset, tak berjawab, tidak aktif atau sebagainya.

02)  Menghadkan masa untuk urusan rasmi, sehingga tidak mahu rakyat mengganggu masa rehatnya di rumah: “Ini kena pergi ke pejabatlah, sekarang ni bukan masa pejabat” dan sebagainya, apabila rakyat datang ke rumah.

03)  Jarang mengunjungi tempat-tempat awam seperti pasar, kedai kopi, atau berjemaah di surau dan masjid. Sedangkan sewaktu berkempen dahulu, sesibuk mana sekali pun, boleh dikatakan tidak ada ceruk di dalam kawasan pilihan rayanya yang tidak dikunjungi.

04)  Mempamerkan sifat ‘tahi hidung masin’. Antaranya selalu memberikan alasan tidak membawa duit, terlupa membawa beg duit dan seumpamanya apabila diminta membelanjakan air minum di kedai.

05)  Menunggu di dalam kereta dengan tingkap tertutup dan aircond terpasang, sambil membiarkan anak atau isteri sahaja yang turun membeli di kedai atau pasar. Sedangkan, banyak mata yang memandang tingkah-lakunya, dan mata-mata yang memandang itulah yang banyak dihulur tangan dan disapa beserta senyuman sewaktu berkempen pilihan raya dahulu. Apa salahnya turun menyapa atau bersalam-salaman?

06)  Tidak begitu mengambil berat soal aktiviti dan gerakerja parti. Mesyuarat parti pun sama banyak antara hadir dengan tidak hadir. Alasan yang sering diberikan ialah sibuk dengan urusan wakil rakyat.

07)  Gagal meraikan pandangan dan saranan kepimpinan parti setempat dalam banyak hal berkaitan masyarakat. Lebih cenderung mengikut pandangan sendiri, atau merujuk pandangan pihak-pihak yang tidak mempunyai tanggungjawab di dalam parti.

08)  Suka melindungi individu-individu yang bermasalah dengan masyarakat dan parti, khususnya dari kalangan pegawai kerajaan atau penjawat awam. Contohnya, “dia tu orang ana!”, apabila diceritakan kepadanya tentang perlakuan buruk atau kerja sabotaj yang dilakukan oleh pegawai berkenaan.

09)  Suka minta kertas kerja setiap kali kumpulan rakyat datang meminta sumbangan derma. Pasukan bola, kumpulan silat, dikir barat atau kumpulan sosial yang lain mana tahu nak buat kertas kerja?

10)  “Apa ni Encik-encik! Ini Yang Berhormatlah, tak kenal ke?”, mengherdik orang awam yang kebetulan memang tidak kenal dirinya sebagai wakil rakyat, lalu mengalu-alukan beliau sebagai orang biasa.

11)  Menunjukkan perubahan mendadak dalam gaya hidup. Contohnya, menukar kenderaan, membuat atau membaiki rumah, mengenakan pakaian yang berjenama – mengikis sifat zuhud dan tawadhu’.

12)  Sering membawa keluarga bersama-sama apabila melawat kawasan atau menyelesaikan urusan rakyat, sehingga menimbulkan perasaan kurang senang dan ‘tidak lawas’ di kalangan rakyat untuk mengadukan hal atau membincang sesuatu yang agak sulit.

13)  Suka ‘bergemolok’ atau berinteraksi dengan kontraktor-kontraktor, tauke-tauke atau korporat yang dikenali umum sebagai ‘kaki projek’.

14)  Terlalu campurtangan dalam urusan pejabat kerajaan, sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan para pegawai di jabatan-jabatan kerajaan.

15)  Menjual nama kononnya beliau mempunyai hubungan peribadi yang baik dan rapat dengan mana-mana pemimpin tertinggi kerajaan seperti MB, Exco atau pegawai atasan (sebagai memancing laluan mendapatkan sesuatu projek, tender atau kelulusan permohonan).

16)  Gemar berjanji kepada rakyat, termasuk di dalam perkara yang sukar ditunaikan atau yang masih belum jelas kemunasabahannya.

17)  Membela atau melayani ‘bapak-bapak Umno’ di kampung-kampung melebihi had sepatutnya atau melebihi tahap layanan yang diberikan kepada orang-orang PAS yang bertungkus-lumus memenangkan beliau dalam pilihan raya lalu.

18)  Melaksanakan agenda masyarakat secara ‘lone ranger’ tanpa melibatkan organisasi parti setempat, seperti menghulurkan bantuan kepada fakir-miskin sendirian tanpa memanfaatkan cawangan atau JSR setempat.

19)  Sengaja mencari atau mencipta musuh di dalam parti termasuk mereka-reka cerita kononnya ada pihak dalaman yang cuba menjatuhkan atau menggugat kedudukannya. Tujuannya ialah untuk menagih simpati masyarakat atau menanam sifat benci masyarakat terhadap orang-orang yang dianggap saingan politiknya.

20)  Terlalu berkira di dalam mengeluarkan perbelanjaan.

21)  Terlalu jarang turun padang melawat kawasan dan bertemu mata dengan rakyat cum pengundi.

22)  Memilih untuk tinggal di luar kawasan yang diwakilinya.

23)  Menghabiskan banyak masa di luar kawasan untuk berbagai-bagai program atau urusan sehingga menyukarkan rakyat menemuinya.

24)  Tidak mengambil berat soal undangan rakyat, seperti kenduri, tahlil dan sebagainya.

25)  Tidak begitu ghairah menziarahi rakyat yang sakit, yang memerlukan sumbangan kebajikan atau yang meninggal dunia, walau pun perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya.

26)  Bercakap bohong.

27)  Menggunakan kuasa bagi memenuhkan jawatan-jawatan lantikan politik dengan kroni-kroni atau orang-orang kepercayaannya, sehingga sanggup membelakangkan aktivis parti atau nama-nama yang dicadangkan oleh parti.

28)  Tidak berlaku adil dan ‘berat sebelah’ di dalam menyelesaikan pertelingkahan atau pertindihan kepentingan yang berlaku di kalangan rakyat.

29)  Sering melakukan kunjungan terpilih, sama ada masjid dan surau tertentu sahaja setiap kali datang ke sesuatu kampung, atau ke rumah-rumah orang tertentu sahaja diulang-ulanginya. Seolah-olah masjid/surau lain atau rumah orang-orang lain itu bukan rakyatnya, atau hanya orang itu sahaja yang bekerja untuknya dalam pilihan raya lalu.

30)  Menjadikan jawatan wakil rakyat sebagai ‘harta pesaka’ yang menjadi hak miliknya selagi mana dia wujud atau berminat dicalonkan semula. Dan sebarang pandangan parti atau pihak lain untuk menggantikannya dengan orang lain sebagai calon dianggap seolah-olah cuba menimbulkan kekacauan dan menjatuhkan imej beliau.

31)  Memberi kepercayaan untuk mengendalikan sesuatu urusan bagi pihak dirinya kepada seseorang yang dipertikaikan imej dan kewibawaannya. Sama ada disebabkan taraf pendidikan, kebolehan hubungan personal atau track-record peribadi yang tidak menyenangkan dalam masyarakat.

32)  Tidak ada seni dalam berbahasa. Termasuklah meggunakan bahasa ‘blunt’ yang boleh menyakitkan telinga dan menyinggung perasaan rakyat, terutama di dalam menjawab sesuatu aduan/permintaan rakyat.

33)  Memanfaatkan peruntukan pembangunan dan kebajikan untuk kepentingan peribadi atau kroni, sehingga mengenepikan kepentingan yang lebih ‘dharuri’.

34)  Sering membesar-besarkan khidmat atau perbelanjaan yang telah dibuat (termasuk mendakwa telah mengeluarkan duit poket sendiri begian-begian banyak untuk sesuatu kerja pembangunan dalam kawasan).

35)  Mengamalkan politik adu domba di antara anggota masyarakat. Sebagai wakil rakyat, mereka menjadi tempat orang ramai mengadu. Antara aduan tentulah membabitkan perkara-perkara yang menyentuh pihak lain dalam masyarakat. Wakil rakyat jangan pula menjadi ‘pengancum’ atau batu api yang mendedahkan kepada pihak yang kena adu tentang aduan dan tohmahan yang dikemukakan oleh pihak yang mengadu. Akhirnya, tuduh-menuduh dan bermasam muka menular dalam masyarakat yang natijahnya ialah perpecahan.

36)  Menggunakan kedudukannya sebagai orang yang disegani masyarakat untuk membina klik/puak di dalam parti, untuk membina kekuatan  dan imej peribadi tanpa mengira untung-rugi terhadap parti.

37)  Suka mengkambing-hitamkan orang atau pihak lain, terutama di dalam melepaskan diri apabila berhadapan dengan sesuatu kes/permasalahan masyarakat yang tidak berjaya diselesaikannya. Termasuklah cuba menonjolkan kesilapan orang lain dan menyembunyikan kesilapan sendiri.

38)  Kurang menjaga protokol, teurtama sewaktu menghadiri majlis-majlis rasmi. Sama ada mengenakan pakaian yang tidak kena dengan majlis, bercakap/berucap ‘lari dari  tajuk’ atau sering tertidur sewaktu majlis berlangsung.

39)  Hilang sifat lapang dada atau fikiran terbuka, terutama di dalam menerima secara positif sebarang kritikan atau teguran yang dibuat oleh rakan atau rakyat terhadap perlakuan dan prestasinya sebagai wakil rakyat.

40)  Lebih rela melihat imej parti dan kerajaan terus tercemar daripada memperakui kewujudan perilaku-perilaku buruk yang disenaraikan di atas. Apatah lagi untuk melihat dirinya memperbetulkan kesilapan/kelemahan yang telah dilakukan.

(Artikel ini adalah Lampiran 3 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001. Walau pun hanya sebagai lampiran, ia mendapat reaksi paling positif dari para pembaca, mungkin kerana kritikannya yang menepati realiti yang berlaku ketika itu.)