Tuesday, July 10, 2001

Bab 8: Allah Masih Sayangkan PAS

“Tidak ada harakah tanpa tanzim, tidak ada tanzim tanpa tarbiyah. Tidak ada pemerintahan Islam tanpa PAS, dan tidak ada PAS tanpa tarbiyah”

T
ernyata kemenangan bergaya PAS di Terengganu dalam pilihan raya umum lalu merupakan suatu cultural shock (kejutan budaya) bagi kebanyakan ahli dan penyokong PAS di negeri itu. Dalam sekelip mata sahaja, sebuah parti yang sejak hampir 40 tahun lalu terkenal sebagai pembangkang, telah bertukar status menjadi sebuah parti yang memerintah.

Parti yang perlu memikirkan soal pembentukan kerajaan, soal penguasaan institusi-institusi masyarakat dan soal mentadbir kampung dan qaryah. Ahli-ahli partinya pula perlu membiasakan diri dengan program-program kerajaan, perlu mengetahui berbagai selok-belok menghadiri majlis dan juga protokol di acara-acara rasmi kerajaan.

Penyesuaian sebegitu bagaimana pun tidak memerlukan masa yang agak lama bagi ahli-ahli PAS untuk melakukannya. Lagi pun, orang PAS bukannya koman sangat! Mereka pun tahu menulis-membaca. Bahkan, di kalangan penjawat awam pun ramai yang jadi aktivis PAS. Tidak kurang juga dari golongan profesional seperti peguam, doktor, jurutera, dan sebagainya. Ada yang berkelulusan pondok, ada yang lepasan universiti dalam dan luar negeri. Yang dari Eropah dan Amerika pun tidak kurang juga di dalam PAS.

Apa yang agak menimbulkan masalah ialah soal ‘pembahagian ghanimah’. Maksud kita ialah bila tiba ke peringkat mengisi jawatan-jawatan lantikan politik. Sedikit kekecohan kelihatan berlaku di sana-sini terutama di dalam menentukan siapakah calon terbaik bagi mengisi jawatan-jawatan seperti Pengerusi, Timbalan dan Setiausaha JSR, Penyelia dan Penyelaras UPI di peringkat DUN-DUN, serta Ahli-Ahli Majlis Daerah.

Ada pun lain-lain jawatan yang lebih tinggi, terutama membabitkan jawatan-jawatan di peringkat negeri tidaklah banyak diperkatakan orang. Kerana, tanggungjawab mengisikan jawatan-jawatan tinggi itu sememangnya di luar jangkauan ahli-ahli PAS di peringkat bawahan untuk memikirkannya.  

Sekali fikir, suasana yang dihadapi oleh orang-orang PAS di awal kemenangan dahulu saling tak ubah seperti peristiwa yang diriwayatkan di dalam sejarah Islam mengenai ‘Perang Hunain’. Seperti yang kita ketahui, perang tersebut berlaku pada tahun 8 Hijrah dan selang tidak lama selepas peristiwa Fathul-Makkah, iaitu penawanan kota Mekah oleh tentera Islam.

Perang Hunain tercatat sebagai salah satu perang yang membariskan kekuatan tentera Islam paling ramai. Jumlah tentera Islam ialah seramai 12,000 orang, iaitu 10,000 tentera Muhajirin dan Ansar yang baru selesai menawan kota Mekah, dicampur 2,000 lagi dari orang-orang Mekah sendiri. Kalangan orang-orang Mekah itu kebanyakannya yang baru mengisytiharkan diri menganut Islam setelah Fathul-Makkah.

Orang-orang Islam telah menanggung suatu ujian yang besar dalam peperangan ini. Tatkala kabilah Hawazin dan Thaqif menyerang tentera Islam, sebahagian besar mereka menjadi kucar-kacir dan bertempiaran mengundur lari. Bilangan mereka yang ramai tidak mendatangkan faedah pada masa itu. Sehingga, seruan dari Rasulullah s.a.w. sendiri supaya mereka bertahan dan berjuang telah tidak diendahkan. Diriwayatkan hanya lebih kurang 100 orang sahaja sahabat Muhajirin dan Ansar serta Ahlul Bait yang setia melingkungi Rasulullah s.a.w.  

Setelah kabilah Hawazin dan Thaqif berjaya dikalahkan oleh tentera Islam, maka banyaklah harta rampasan perang atau ghanimah yang diperolehi. Diriwayatkan, golongan yang paling awal menuntut bahagian daripada ghanimah tersebut ialah golongan dari kota Mekah tadi.

Sehingga dikatakan ada di kalangan mereka itu yang sampai menarik-narik baju Rasulullah s.a.w. sambil meminta-minta diberikan bahagian untuknya. Permintaan mereka dipenuhi dengan baik oleh Rasulullah, sehinggakan Baginda tidak mempunyai cukup bakinya untuk diagihkan kepada kaum Muhajirin dan Ansar.

Tetapi itu tidak menjadi masalah sedikit pun bagi golongan Muhajirin dan Ansar. Mereka adalah golongan yang dicatatkan di dalam sejarah sebagai golongan ‘yang telah dipermuliai mereka oleh Allah Ta’ala dengan Islam’. Mereka juga disifatkan sebagai golongan ‘yang hati mereka telah bersebati dengan keimanan dan Islam sentiasa terjunjung di batu jemala mereka.’

Sebab itu, walau pun hanya sebilangan mereka yang sempat mendapat bahagian yang tidak seberapa daripada pembahagian ghanimah, mereka tidak merungut. Mereka lebih merelakan Rasulullah s.a.w. mengutamakan golongan yang baru menganut Islam, yang masih tidak faham Islam dan masih mengutamakan kebendaan dalam perjuangan mereka.

Begitulah juga lebih-kurangnya suasana yang terpaksa dihadapi oleh aktivis-aktivis PAS di Terengganu di awal pemerintahan dulu. Sebaik sahaja PAS memperolehi kemenangan, terdapat golongan yang cuba menonjolkan diri sebagai ahli dan penyokong PAS. Bahkan, penonjolan mereka macam ‘mi segera’, sangat cepat mengembang dan menonjol, sehinggakan para aktivis asal terpinggir ke belakang.

Sudah tentu mereka itu menonjolkan diri sebagai ahli PAS dengan kepentingan-kepentingan tersendiri. Mereka boleh jadi golongan atas pagar yang selama ini tidak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi secara tradisi mengundi BN. Dalam pilihan raya umum lalu, mereka ini secara bersahaja mengundi PAS. Mereka ini sebenarnya bukan ahli Umno. 

Tidak kurang juga antara mereka itu yang memang menjadi ahli dan penyokong Umno. Tetapi ke-umno-an mereka itu banyak didorong oleh kepentingan kebendaan, seperti menjaga kepentingan perniagaan, dikongkong akibat perjawatan yang dipegang dan sebagainya. Mereka ini tidak ada sifat setia kepada parti mereka.

Orang macam ini tak ubah seperti lalang atau sampah yang terapung di permukaan air. Lalang akan membengkok ke mana jua arah tiupan angin. Sampah pula akan hanyut dan berputar-putar ikut arah aliran arus.

Mereka ini adalah golongan yang tidak berpendirian tetap. Bukan tidak ada pendirian, mereka ada pendirian. Pendirian mereka ialah mengikut mana yang menang, mana yang berkuasa, yang boleh dipengaruhi oleh mereka untuk menjaga dan menjamin kepentingan peribadi mereka.

Orang-orang PAS asal, atau sering diistilahkan sebagai ‘Ahlul Badar’, melihat perkembangan ini dengan perasaan yang sangat sebak dan terharu. Di kalangan mereka sudah ada yang terlintas bahawa diri mereka sudah tidak diendah atau diperlukan lagi oleh parti. Kerana, apa yang dapat mereka nilai berdasarkan ‘kegelojohan’ ahli-ahli baru PAS itu, para pemimpin parti juga seolah-olah merestui perlumbaan mendapatkan kepentingan diri itu.

Sedangkan mereka tidak pernah diajar berkelakuan begitu selama ini. Ada di antara mereka yang menggelarkan diri sebagai “buldozer tayar berantai”, iaitu merujuk kepada jentera berat yang hanya diperlukan ketika mula menarah bukit atau meratakan tanah. Setelah jalan raya siap dibina dan ditarkan, buldozer itu sendiri ‘diharamkan’ memijak jalan raya yang dibuatnya itu.     

Allah Ta’ala telah mendatangkan ujian ini. Sesetengah ahli dan penyokong PAS yang merasakan diri mereka terlalu dipinggirkan akhirnya tiba-tiba bertukar menjadi terlalu demanding. Mereka mula membuat onar, menuntut itu dan ini, membangkitkan soal pengorbanan yang mereka lakukan selama berpuluh-puluh tahun dalam perjuangan, dan berbagai-bagai lagi. “Tunggu dipelawa, orang tak pelawa”, kata mereka.

Penulis melihat perkembangan ini sangat membahayakan masa depan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Tetapi, itu tidak bermakna penulis mahu menyalahkan para aktivis yang demanding itu. Ada rasionalnya juga tuntutan atau pun sungutan sesetengah mereka itu. Sebab paling besar ialah kerana PAS berjaya mewarisi sebuah kerajaan yang ‘kaya’, yang mampu memberi atau menyediakan serba-serbi untuk dinikmati oleh rakyat yang selama ini tertindas oleh sebuah kerajaan yang zalim.

Sedangkan sebilangan mereka yang baru menyertai PAS itu, mereka sudah pun mengecapi kesenangan sewaktu Umno memerintah dahulu. Mereka adalah bekas ahli dan penyokong Umno. Dari sudut itu, bolehlah dikatakan tidak adil sekiranya kerajaan PAS sekarang ini pun turut mengutamakan mereka itu mengatasi orang-orang PAS asal yang tidak pernah mengecapi keadilan selama ini.

Di situlah timbulnya ungkapan ‘Umno perintah, Umno kenyang. PAS perintah pun, Umno juga kenyang’. Yang dimaksudkan ‘Umno juga’ itu ialah orang-orang Umno yang baru menyertai PAS atau menonjolkan diri sebagai ahli PAS hanya selepas kemenangan. Bagi mengimbangi keadaan itu, segolongan aktivis PAS telah dipaksa oleh keadaan untuk menjadi agak demanding.

Ternyata Allah Ta’ala masing sayangkan PAS. Mungkin Allah Ta’ala mahu menjaga kelangsungan perjuangan suci ini. Dia Maha Mengetahui setakat mana keupayaan dan kemampuan orang-orang PAS menghadapi ujian atau mehnah dalam bentuk kesusahan. Ia semacam sudah menjadi nasi makan air minum bagi orang-orang PAS. Di sekat bantuan baja subsidi, di halang daripada berhimpun, dinafikan permit ceramah, dilontar dengan telur tembelang, didiskriminasi dalam pemilikan rumah awam, tanah tapak rumah, tanah pertanian, segala macam tender.

Malah, sudah ada orang-orang PAS yang diperlakukan lebih daripada perlakuan dasar apartheid ke atas bangsa kulit hitam di Afrika Selatan suatu ketika dahulu. Mereka diserang, dipukul, ditembak dan dibunuh. Itulah yang berlaku di Lubuk Merbau pada tahun 1985 dahulu, diikuti dengan Peristiwa Memali pada bulan November tahun yang sama.

Ramai orang mampu menerobosi ujian kesusahan. Tetapi kebiasaannya, manusia begitu mudah tewas dengan ujian kesenangan. Ujian itulah yang telah hampir-hampir merentap kesucian perjuangan Islam yang selama ini didokong oleh PAS.

Sebab itu bagi penulis sendiri, dan mungkin bagi beberapa aktivis PAS yang lain, tragedi rompakan wang royalti petroleum yang dihadapi oleh kerajaan Terengganu, dari satu sudut merupakan peringatan atau amaran daripada Allah SWT. Nasib baik juga kita masih belum melangkah begitu jauh dalam keadaan ‘mabuk’ dibuai kesenangan. Senang kerana kita telah memerintah, duit yang banyak menyenangkan kerajaan negeri mengatur berbagai-bagai rancangan dan pembaharuan untuk kesejahteraan rakyat.

Senang juga, kerana seluruh lapisan masyarakat nampaknya bersama-sama kita. Kita sudah beranggapan bahawa seolah-olah sudah tidak ada pegawai dan kakitangan kerajaan yang masih mahu kepada Umno. Semua mereka sudah sokong PAS. Kita menang pun kerana merekalah!

Kita seolah-olah mahu mempercayai semua orang yang datang kepada kita, yang mendakwa telah menyertai parti kita, tanpa perlu menyelidik maksud dan tujuan kedatangan mereka. Para aktivis parti pula semacam dirasuk keadaan, dan menjadi merajuk, atau terkejar-kejarkan jawatan dan habuan, sehingga terlupa matlamat asal perjuangan.

Alhamdulillah, dengan tercetusnya isu rampasan royalti itu, rakyat bagaikan disentak dari buaian mimpi masing-masing. Dalam masa tidak sampai pun sebulan selepas isu itu meletus bermacam-macam cerita mengenai para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri yang menerjah ke telinga penulis.

Dari setinggi-tinggi pusat pentadbiran negeri di Wisma Darul Iman sehinggalah ke sebawah-bawah di masjid dan JSR di peringkat kampung, cerita kakitangan kerajaan negeri yang bercakap dalam nada ugah begitu banyak kedengaran. Sokongan bulat kepada kerajaan baru yang sejak selepas pilihan raya umum lalu seringkali tidak kering di bibir, telah berubah nada.

Sedarlah kita di pihak PAS bahawa sokongan mereka selama ini adalah kerana kita ada kekuatan kebendaan. Apabila kita sudah hilang kekuatan itu, mereka mula menzahirkan diri mereka yang sebenarnya.

Para aktivis PAS yang agak demanding tadi juga kembali merasa serba-salah apabila menyedari ‘tuntutan’ peribadi mereka turut menyulitkan kerajaan negeri dalam keadaan yang ada sekarang. Itulah lebihnya orang-orang PAS! Mereka cepat sedar kesilapan mereka, dan secepat itu juga mereka mampu mengkesampingkan kepentingan diri, demi perjuangan. Ternyata asas tarbiyah yang ditanam oleh para pemimpin PAS selama ini tidak sia-sia.

“Tidak ada harakah tanpa tanzim, dan tidak ada tanzim tanpa tarbiyah”

Tak tahulah sejauh mana pemahaman penulis ke atas ungkapan di atas menepati maksud sebenar pengungkap asalnya. Tetapi, dari segi praktikalnya bagi dipadankan dengan suasana pemerintahan PAS di Terengganu ini, maka penulis rasa ungkapan di atas wajar di rephrase menjadi “tidak ada pemerintahan Islam tanpa PAS, dan tidak ada PAS tanpa tarbiyah”.

Di antara unsur utama dalam proses pentarbiyahan ialah mehnah atau tribulasi. Dalam bahasa Melayu ada yang menterjemahkannya sebagai ujian, cubaan, dugaan dan seumpamanya. Demi Allah, sejak tercetusnya isu royalti di Terengganu, rakyat yang mempunyai pendirian hidup bukan menjadi semakin tidak yakin dengan kerajaan PAS Terengganu. Sebaliknya, rakyat dari segenap lapisan semakin bangkit menyatakan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap kerjaan Terengganu kini.

Bermula dengan perarakan aman di pinggir bandar Kuala Terengganu pada 13 September, rakyat Terengganu seolah-olah tidak menoleh ke belakang dalam menyatakan kebersamaan mereka dengan kepimpinan PAS untuk mengharungi isu ‘pencabulan tidak bermoral’ itu oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada hari itu, kesemua anggota Dewan Harian Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat bersama-sama DPP Terengganu dan lebih 300 ahlinya dari seluruh negeri berhimpun hampir dua jam melawan terik mentari di pintu masuk Wisma Darul Iman. Mereka bertekad menyatakan sokongan kepada rakyat dan kerajaan Terengganu dalam isu royalti.

Di sebelah malamnya pula diadakan ceramah perdana atas isu yang sama, juga di bandar Kuala Terengganu. Puluhan ribu manusia hadir, dan ribuan juga sumbangan derma yang berjaya dipungut.

Dua hari selepas itu, puluhan ribu lagi rakyat Terengganu terpacak di tengah-tengah padang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Mereka bersolat hajat bersama-sama para pemimpin kesayangan mereka tanpa menghiraukan hujan yang mencurah-curah turun.

Malam berikutnya, jumlah yang lebih ramai berduyun-duyun pula memenuhi Taman Rekreasi Kuala Ibai dalam ceramah perdana sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2000. Amat mengejutkan, sumbangan derma yang dipungut malam itu mencecah angka RM9,000.

Banyak pihak mengatakan bahawa sejak PAS mencapai kemenangan di Terengganu, belum pernah sambutan sebegitu hebat diberikan kepada ceramah-ceramah perdana yang dianjurkan. Manakala jumlah pungutan derma pula jarang sekali melebihi RM3,000. Tetapi, sejak tercetusnya isu royalti petroleum itu, rakyat kembali berduyun-duyun bagaikan anai-anai keluar dari pasu. Semangat berkorban untuk perjuangan kembali meningkat.

Itulah silapnya Umno. Silapnya para pemimpin Umno, silapnya Dr. Mahathir, Datuk Abdullah Badawi, Datuk Idris Jusoh dan lain-lain pemimpin Umno Terengganu. Mereka terlupa bahawa orang-orang PAS adalah ibarat besi waja. Semakin dibakar dan diketuk, ia akan menjadi semakin tajam. Dan ketajaman itu sudah tentu bakal kembali menikam Umno dan Barisan Nasional juga!

(Artikel ini adalah Bab 8 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

Bab 9: Epilog - Mampukah Tok Guru Pertahan Terengganu?

Asiaweek 16 Jun 2000 memberi publisiti besar tentang kemungkinan Tok Guru Haji Hadi mampu memimpin Malaysia, Dr. Mahathir semakin marah dan naik geram.

B
unyinya agak pesimistik, bukan? ‘Mampukah Tok Guru Pertahan Terengganu?’, seolah-olah mempersoalkan kembali kewibawaan dan keupayaan seorang ulama terbilang itu mengekalkan pemerintahan partinya yang tahan uji itu di negeri Terengganu.

Penulis pernah mengajukan soalan yang sama kepada rakan-rakan dari berbagai latar belakang hidup. Jawapan-jawapan yang diterima juga agak pelbagai. Seorang rakan yang berjawatan agak tinggi di dalam perkhidmatan awam secara tegas mengatakan soal mampu atau tidak adalah bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya, ia bergantung kepada prestasi wakil-wakil rakyat di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Kerana, bagi beliau dan juga sebilangan pegawai kerajaan sepertinya, baik atau tidak prestasi sesebuah kerajaan adalah dinilai sebahagian besarnya melalui prestasi wakil-wakil rakyatnya.

Tak tahu nak dikatakan, apakah ianya suatu yang membanggakan atau sebaliknya apabila daripada seramai 28 pemimpin PAS yang menjadi anggota dan penyokong kerajaan itu, hanya dua tokoh utama sahaja yang boleh diklasifikasikan sebagai ‘bebas’ daripada sebarang kritikan pedas atau komen negatif. Sudah tentu mereka ialah Tok Guru Menteri Besar sendiri dan Ahli Exco Kanannya, Haji Mustafa Ali. Ada pun lain-lain pemimpin dan wakil rakyat, tidak banyak pun sedikit, ada-ada saja rungutan yang disuarakan.

Ya lah! Mereka pun manusia biasa. Mana ada manusia yang tidak membuat silap. Bukankah Rasulullah s.a.w. sendiri pun telah berpesan bahawa setiap manusia itu tidak terlepas daripada dua sifat, iaitu silap dan lupa. Tetapi, sifat apologetik sahaja tidak memadai untuk mengelak daripada nilaian negatif rakyat jelata.

Apa yang lebih penting ialah rakyat mahu melihat wakil-wakil rakyat sekurang-kurangnya memperakui kelemahan dan kesilapan, kemudian berusaha merubah atau memperbaikinya. Para wakil rakyat sudah sepatutnya tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut mereka lakukan sebagai wakil rakyat PAS. Rakyat memilih PAS dan mengenepikan janji-janji Barisan Nasional tidak kerana lain, semata-mata kerana PAS berjanji kepada mereka mahu melaksanakan Islam dan memerintah dengan adil.

Memang, dalam masa tidak sampai dua tahun pemerintahan di Terengganu, PAS boleh dikatakan telah berjaya membuktikan banyak perkara. Ia telah membuktikan keupayaannya mentadbir negeri secara adil dan demokratik terhadap semua pihak.

Kesungguhan PAS di dalam menegakkan syariat Islam juga turut terserlah dengan beberapa langkah drastik membabitkan pelaksanaan syariah seperti pengharaman judi, penyusunan semula penggunaan arak, dan pengawalan rapi lesen-lesen premis hiburan dan pertunjukan yang berpotensi mendorong pengunjung terjerumus ke kancah maksiat. Itu telah kita sebutkan. 

Bahkan, dalam beberapa perkara, terutama membabitkan perubahan-perubahan dalam masyarakat, PAS di Terengganu nyata lebih terkehadapan daripada lain-lain kerajaan negeri pimpinan BN dan juga kerajaan Pusat sendiri. Dan kita tahu itulah yang merunsing dan merimaskan Umno, terutama Presidennya Dr. Mahathir Mohamad.

Pantang besar bagi Dr. Mahathir kalau ada pihak mendakwa ada orang lain mampu memimpin Malaysia selain dirinya. Buktinya sudah ada. Lihatlah apa jadi dengan Tengku Razaleigh? Hanya kurang 40 undi lebih sahaja lagi untuk menduduki kerusi PM, tetapi kini sudah amat jarang kedengaran suaranya dalam politik negara.

Ada juga cerita yang mengatakan di antara sebab utama pertubuhan dakwah Al-Arqam diharamkan ialah kerana pemimpin agungnya, Abuya Asha’ari, pernah bercakap soal memerintah Malaysia. Dikatakan Asha’ari terlalu yakin dapat menawan pentadbiran negara ini, walau pun tanpa menyertai pilihan raya. Itulah sebabnya Dr. Mahathir merasa tercabar dan bertindak ke atas pertubuhan berkenaan.

Kes yang sama juga berlaku ke atas Anwar. Di zaman kemuncaknya, hampir tidak ada pihak yang berani mengatakan bahawa Anwar tidak layak menggantikan Dr. Mahathir. Secara jujur, sama ada kawan mahu pun lawan, semuanya memperakui kewibawaan dan ketrampilan Anwar sebagai bakal PM. Malah, ada yang meletakkan harapan Anwar akan menjadi PM yang jauh lebih baik daripada Dr. Mahathir. Itulah yang menyebabkan ‘orang tua’ tu naik bengang, dan jadilah apa yang telah terjadi itu.

Jadi bila Asiaweek 16 Jun 2000, majalah mingguan yang berpangkalan di Hong Kong dan disebarkan di seluruh dunia, telah memberikan publisiti besar tentang kemungkinan Tok Guru MB Terengganu itu mampu memimpin Malaysia, Dr. Mahathir semakin naik geram.

Asiaweek edisi berkenaan telah memilih Tok Guru sebagai hiasan muka depannya dengan tajuk ‘Will he one day lead Malaysia?’, dengan keterangan gambarnya ‘Abdul Hadi Awang of Parti Islam SeMalaysia’. Gambar yang sama juga telah dipilih oleh Penerbitan Pemuda untuk menghiasi kulit depan buku penulis bertajuk Masa Untuk Tok Guru Buktikan: PAS Mampu Pimpin Malaysia.

Sekali lagi disebutkan bahawa, dalam masa lapan belas bulan memerintah Terengganu, PAS jelas telah memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk membuktikan banyak perkara. Sehinggakan dapat disimpulkan bahawa PAS telah membuktikan ia mampu memimpin Malaysia, jika diberikan peluang berbuat demikian. PAS telah buat apa yang selama 38 tahun pemerintahan Umno di Terengganu dulu tidak buat.

Dalam keadaan yang ada sekarang ini, prestasi baik itu amat perlu dikekalkan. Kerajaan Terengganu didokong oleh PAS. Rakyat terbanyak sama ada di Terengganu atau di seluruh negara akan melihat kelemahan pentadbiran kerajaan Terengganu sebagai kelemahan dan ketidak-cekapan PAS. Imej PAS banyak bergantung kepada imej yang ditonjolkan oleh kepimpinan kerajaan Terengganu kini. Sebab itu, perancangan kerajaan itu mestilah melambangkan kemampuan dan keupayaan PAS di dalam menerajui sebuah pemerintahan.

Sudah sampai masanya PAS bukan sekadar bercakap atau terus menabur janji untuk melaksanakan itu dan ini. Masa yang ada bukan lagi untuk mendendangkan lagu pilu nasib diri apabila harta dirompak orang.

Tampillah ke tengah masyarakat dan kemukakanlah perancangan alternatif untuk mempertingkatkan pendapatan negeri, di samping pada masa yang sama kita terus mengharapkan keputusan mahkamah akan memihak kepada kerajaan dan rakyat Terengganu. Kerana, dalam keadaan yang ada kini, jawapan kepada soalan ‘Mampukah Tok Guru Pertahan Terengganu?’ itu amat banyak bergantung kepada mampu atau tidak PAS mentadbir Terengganu tanpa wang royalti.

Sama-samalah kita doakan agar pemimpin dan rakyat Terengganu Darul Iman terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk mengharungi saat-saat getir ini. Amin! Ya Rabbal ‘Alamin!

(Artikel ini adalah Bab 9 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001)

Lampiran 3: Apa Yang Wakil Rakyat PAS Tidak Patut Buat?

01)  Sukar ditemui oleh rakyat. Telefon ke rumahnya, orang di rumah kata dia ke pejabat. Telefon ke pejabat, orang pejabat kata dia tak ada, mungkin di rumah. Telefon handset, tak berjawab, tidak aktif atau sebagainya.

02)  Menghadkan masa untuk urusan rasmi, sehingga tidak mahu rakyat mengganggu masa rehatnya di rumah: “Ini kena pergi ke pejabatlah, sekarang ni bukan masa pejabat” dan sebagainya, apabila rakyat datang ke rumah.

03)  Jarang mengunjungi tempat-tempat awam seperti pasar, kedai kopi, atau berjemaah di surau dan masjid. Sedangkan sewaktu berkempen dahulu, sesibuk mana sekali pun, boleh dikatakan tidak ada ceruk di dalam kawasan pilihan rayanya yang tidak dikunjungi.

04)  Mempamerkan sifat ‘tahi hidung masin’. Antaranya selalu memberikan alasan tidak membawa duit, terlupa membawa beg duit dan seumpamanya apabila diminta membelanjakan air minum di kedai.

05)  Menunggu di dalam kereta dengan tingkap tertutup dan aircond terpasang, sambil membiarkan anak atau isteri sahaja yang turun membeli di kedai atau pasar. Sedangkan, banyak mata yang memandang tingkah-lakunya, dan mata-mata yang memandang itulah yang banyak dihulur tangan dan disapa beserta senyuman sewaktu berkempen pilihan raya dahulu. Apa salahnya turun menyapa atau bersalam-salaman?

06)  Tidak begitu mengambil berat soal aktiviti dan gerakerja parti. Mesyuarat parti pun sama banyak antara hadir dengan tidak hadir. Alasan yang sering diberikan ialah sibuk dengan urusan wakil rakyat.

07)  Gagal meraikan pandangan dan saranan kepimpinan parti setempat dalam banyak hal berkaitan masyarakat. Lebih cenderung mengikut pandangan sendiri, atau merujuk pandangan pihak-pihak yang tidak mempunyai tanggungjawab di dalam parti.

08)  Suka melindungi individu-individu yang bermasalah dengan masyarakat dan parti, khususnya dari kalangan pegawai kerajaan atau penjawat awam. Contohnya, “dia tu orang ana!”, apabila diceritakan kepadanya tentang perlakuan buruk atau kerja sabotaj yang dilakukan oleh pegawai berkenaan.

09)  Suka minta kertas kerja setiap kali kumpulan rakyat datang meminta sumbangan derma. Pasukan bola, kumpulan silat, dikir barat atau kumpulan sosial yang lain mana tahu nak buat kertas kerja?

10)  “Apa ni Encik-encik! Ini Yang Berhormatlah, tak kenal ke?”, mengherdik orang awam yang kebetulan memang tidak kenal dirinya sebagai wakil rakyat, lalu mengalu-alukan beliau sebagai orang biasa.

11)  Menunjukkan perubahan mendadak dalam gaya hidup. Contohnya, menukar kenderaan, membuat atau membaiki rumah, mengenakan pakaian yang berjenama – mengikis sifat zuhud dan tawadhu’.

12)  Sering membawa keluarga bersama-sama apabila melawat kawasan atau menyelesaikan urusan rakyat, sehingga menimbulkan perasaan kurang senang dan ‘tidak lawas’ di kalangan rakyat untuk mengadukan hal atau membincang sesuatu yang agak sulit.

13)  Suka ‘bergemolok’ atau berinteraksi dengan kontraktor-kontraktor, tauke-tauke atau korporat yang dikenali umum sebagai ‘kaki projek’.

14)  Terlalu campurtangan dalam urusan pejabat kerajaan, sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan para pegawai di jabatan-jabatan kerajaan.

15)  Menjual nama kononnya beliau mempunyai hubungan peribadi yang baik dan rapat dengan mana-mana pemimpin tertinggi kerajaan seperti MB, Exco atau pegawai atasan (sebagai memancing laluan mendapatkan sesuatu projek, tender atau kelulusan permohonan).

16)  Gemar berjanji kepada rakyat, termasuk di dalam perkara yang sukar ditunaikan atau yang masih belum jelas kemunasabahannya.

17)  Membela atau melayani ‘bapak-bapak Umno’ di kampung-kampung melebihi had sepatutnya atau melebihi tahap layanan yang diberikan kepada orang-orang PAS yang bertungkus-lumus memenangkan beliau dalam pilihan raya lalu.

18)  Melaksanakan agenda masyarakat secara ‘lone ranger’ tanpa melibatkan organisasi parti setempat, seperti menghulurkan bantuan kepada fakir-miskin sendirian tanpa memanfaatkan cawangan atau JSR setempat.

19)  Sengaja mencari atau mencipta musuh di dalam parti termasuk mereka-reka cerita kononnya ada pihak dalaman yang cuba menjatuhkan atau menggugat kedudukannya. Tujuannya ialah untuk menagih simpati masyarakat atau menanam sifat benci masyarakat terhadap orang-orang yang dianggap saingan politiknya.

20)  Terlalu berkira di dalam mengeluarkan perbelanjaan.

21)  Terlalu jarang turun padang melawat kawasan dan bertemu mata dengan rakyat cum pengundi.

22)  Memilih untuk tinggal di luar kawasan yang diwakilinya.

23)  Menghabiskan banyak masa di luar kawasan untuk berbagai-bagai program atau urusan sehingga menyukarkan rakyat menemuinya.

24)  Tidak mengambil berat soal undangan rakyat, seperti kenduri, tahlil dan sebagainya.

25)  Tidak begitu ghairah menziarahi rakyat yang sakit, yang memerlukan sumbangan kebajikan atau yang meninggal dunia, walau pun perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya.

26)  Bercakap bohong.

27)  Menggunakan kuasa bagi memenuhkan jawatan-jawatan lantikan politik dengan kroni-kroni atau orang-orang kepercayaannya, sehingga sanggup membelakangkan aktivis parti atau nama-nama yang dicadangkan oleh parti.

28)  Tidak berlaku adil dan ‘berat sebelah’ di dalam menyelesaikan pertelingkahan atau pertindihan kepentingan yang berlaku di kalangan rakyat.

29)  Sering melakukan kunjungan terpilih, sama ada masjid dan surau tertentu sahaja setiap kali datang ke sesuatu kampung, atau ke rumah-rumah orang tertentu sahaja diulang-ulanginya. Seolah-olah masjid/surau lain atau rumah orang-orang lain itu bukan rakyatnya, atau hanya orang itu sahaja yang bekerja untuknya dalam pilihan raya lalu.

30)  Menjadikan jawatan wakil rakyat sebagai ‘harta pesaka’ yang menjadi hak miliknya selagi mana dia wujud atau berminat dicalonkan semula. Dan sebarang pandangan parti atau pihak lain untuk menggantikannya dengan orang lain sebagai calon dianggap seolah-olah cuba menimbulkan kekacauan dan menjatuhkan imej beliau.

31)  Memberi kepercayaan untuk mengendalikan sesuatu urusan bagi pihak dirinya kepada seseorang yang dipertikaikan imej dan kewibawaannya. Sama ada disebabkan taraf pendidikan, kebolehan hubungan personal atau track-record peribadi yang tidak menyenangkan dalam masyarakat.

32)  Tidak ada seni dalam berbahasa. Termasuklah meggunakan bahasa ‘blunt’ yang boleh menyakitkan telinga dan menyinggung perasaan rakyat, terutama di dalam menjawab sesuatu aduan/permintaan rakyat.

33)  Memanfaatkan peruntukan pembangunan dan kebajikan untuk kepentingan peribadi atau kroni, sehingga mengenepikan kepentingan yang lebih ‘dharuri’.

34)  Sering membesar-besarkan khidmat atau perbelanjaan yang telah dibuat (termasuk mendakwa telah mengeluarkan duit poket sendiri begian-begian banyak untuk sesuatu kerja pembangunan dalam kawasan).

35)  Mengamalkan politik adu domba di antara anggota masyarakat. Sebagai wakil rakyat, mereka menjadi tempat orang ramai mengadu. Antara aduan tentulah membabitkan perkara-perkara yang menyentuh pihak lain dalam masyarakat. Wakil rakyat jangan pula menjadi ‘pengancum’ atau batu api yang mendedahkan kepada pihak yang kena adu tentang aduan dan tohmahan yang dikemukakan oleh pihak yang mengadu. Akhirnya, tuduh-menuduh dan bermasam muka menular dalam masyarakat yang natijahnya ialah perpecahan.

36)  Menggunakan kedudukannya sebagai orang yang disegani masyarakat untuk membina klik/puak di dalam parti, untuk membina kekuatan  dan imej peribadi tanpa mengira untung-rugi terhadap parti.

37)  Suka mengkambing-hitamkan orang atau pihak lain, terutama di dalam melepaskan diri apabila berhadapan dengan sesuatu kes/permasalahan masyarakat yang tidak berjaya diselesaikannya. Termasuklah cuba menonjolkan kesilapan orang lain dan menyembunyikan kesilapan sendiri.

38)  Kurang menjaga protokol, teurtama sewaktu menghadiri majlis-majlis rasmi. Sama ada mengenakan pakaian yang tidak kena dengan majlis, bercakap/berucap ‘lari dari  tajuk’ atau sering tertidur sewaktu majlis berlangsung.

39)  Hilang sifat lapang dada atau fikiran terbuka, terutama di dalam menerima secara positif sebarang kritikan atau teguran yang dibuat oleh rakan atau rakyat terhadap perlakuan dan prestasinya sebagai wakil rakyat.

40)  Lebih rela melihat imej parti dan kerajaan terus tercemar daripada memperakui kewujudan perilaku-perilaku buruk yang disenaraikan di atas. Apatah lagi untuk melihat dirinya memperbetulkan kesilapan/kelemahan yang telah dilakukan.

(Artikel ini adalah Lampiran 3 dari buku ketiga tulisan Mohd Nasir Awang berjudul: Terengganu Lepasi Pantang – Kuasa Yang Menjerat?, diterbitkan oleh Rangkaian Minda Publishing, Batu Caves, Selangor, pada 2001. Walau pun hanya sebagai lampiran, ia mendapat reaksi paling positif dari para pembaca, mungkin kerana kritikannya yang menepati realiti yang berlaku ketika itu.)

Sunday, July 8, 2001

Sikap konfrontasi bermusuhan tidak Islamik

Oleh: Mohd. Nasir Awang

MENJADI  tabiat semulajadi setiap manusia yang bertamadun untuk mengharapkan sebuah kehidupan yang aman dan damai. Manakala di kalangan manusia yang berpegang kepada ajaran agama pula, mereka turut meminta agar negeri yang mereka diami sentiasa dilimpahi rahmat dan berkat yang berterusan daripada Allah s.w.t.

Negeri Terengganu, alhamdulillah, setakat ini masih berada di dalam keadaan aman dan damai.  Manakala rakyatnya yang berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam keadaan harmoni dan muhibah.

Tepat sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Mizan sewaktu merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 April lalu, di mana Baginda telah melafazkan kesyukuran dan kegembiraan kerana “suasana pada masa kini di Negeri Terengganu Darul Iman tetap aman dan damai.  Tidak ada peristiwa-peristiwa besar yang berlaku yang mengeruhkan suasana kehidupan harmoni semua kaum di negeri ini”.

Titah ucapan Baginda itu telah dirafak sembahkan dengan sokongan dari setiap wakil rakyat penyokong kerajaan.

Kita juga percaya, sekalian rakyat jelata negeri ini turut berkongsi pandangan dengan  wakil-wakil rakyat mereka itu. Kerana, manusia secara fitrahnya amat cintakan keamanan dan kedamaian.

Namun, di tengah-tengah kesungguhan Sultan mendoakan kesejahteraan rakyat Baginda dan sekalian pacal yang hina ini juga turut mengharapkan perkara yang sama, rupa-rupanya di sana terdapat juga sekelompok rakyat negeri ini yang terus menghidupkan sentimen konfrontasi dengan Kerajaan Negeri yang ada ini.

Mereka itu malah bercita-cita menjadikan negeri ini sebagai ‘medan peperangan’. Tidak cukup setakat mengumpul kekuatan di dalam negeri ini sahaja, mereka juga secara terbuka mengundang ‘kuasa luar’ untuk turut serta ‘memerangi’ kerajaan ini.

Sebuah akhbar harian pada akhir bulan lalu melaporkan bahawa seorang pemimpin kanan parti pembangkang negeri ini secara terbuka menjemput para pemimpin tertinggi partinya untuk datang ‘berperang’ di negeri ini.

Katanya (sebagaimana yang dilaporkan), “Kami nak menjemput semua Naib Presiden datang ke Terengganu dan kita tidak ada masalah untuk aturkan pertemuan atau pun ceramah.  Mulai hari ini, kita jadikan negeri Terengganu sebagai medan peperangan”.

Pemimpin yang bergelar ‘Datuk’ itu juga dilaporkan turut mengajak ahli-ahli partinya, “mari kita berperang dengan PAS di Terengganu dalam usaha kita menyelamatkan negeri Kedah, dalam kita mahu menyelamatkan Selangor dan Pahang tidak jatuh ke tangan PAS”.

Masya Allah, Datuk! Apa sudah jadi ni? Demi menyelamatkan negeri-negeri lain, relakah kita lihat negeri sendiri jadi ‘padang jarak padang tekukur’? Itu dah kira macam kata orang tua-tua dulu, dalam usaha menyelamatkan kera di hutan, maka susu yang ada rela diberikan kepada kera.  Sedangkan anak di rumah rela dibiarkan mati kelaparan, Masya Allah!  

Sekali fikir, terasa seolah-olah kita sedang menyaksikan babak drama ketika Peringgi nak masuk ke Melaka dahulu. Waktu Peringgi mula-mula datang hampir 600 tahun dahulu, ada seorang pembesar negeri yang bergelar Datuk Mandaliar. Beliau dikatakan sangat iri hati terhadap beberapa pembesar lain yang rapat dengan Baginda Sultan.

Demi menjaga ego dan kepentingan peribadinya, tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat dan negeri Melaka, Datuk Mandaliar telah memainkan peranan penting mengundang ‘kuasa luar’ Peringgi untuk menyerang Melaka.

Akibat dari tindakan pengkhianat bangsa itu, sebuah kerajaan Melayu akhirnya jatuh ke tangan penjajah. Keamanan negeri telah ternoda dan kesejahteraan rakyat hanya tinggal kenangan.

Sejarah adalah pengajaran bagi generasi kemudian dan ia juga mampu berulang. Tetapi bagi kita yang berupaya mengulangi sejarah, tentu sekali tidak rasional untuk kita memilih sejarah yang pahit dan hitam untuk diulangi.

Mengundang ‘kuasa luar’ untuk memporak-perandakan negeri sendiri adalah salah satu episod hitam dalam sejarah negara yang sepatutnya diambil pengajaran.

Terus-terang kita katakan bahawa perkara ini berlaku, punca utamanya ialah apabila parti yang telah menerajui negeri ini selama 38 tahun, tiba-tiba kalah dengan begitu teruk. Sehingga kini,  lagak para pemimpinnya menggambarkan mereka masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka sudah tidak memerintah lagi.

Betul, “kekalahan memang cukup memedihkan sehingga menitiskan air mata dan menyayukan perasaan”. Tetapi adakah kepedihan dan kesayuan perasaan itu boleh dijadikan lesen untuk memperjudikan keamanan negeri dan kesejahteraan sekalian rakyatnya?

Kita menasihatkan pihak yang berhasrat menjadikan ‘Negeri Cantik Berbudaya Menarik’ ini sebagai ‘medan peperangan’ agar memikirkan semula ketersasulannya itu. Kerana, jika dijual terlalu murah, lambat-bangat akan ada orang yang membelinya.

Lagi pun Rasulullah s.a.w. pernah berpesan, “Jangan kamu bercita-cita mencari musuh. Tetapi apabila kamu berhadapan dengannya, maka jangan sekali-kali kamu berundur”.

Jangan sampai kita mempertaruhkan keamanan negeri dan kesejahteraan rakyat demi memenuhi ego politik yang sempit!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 27, 8 Julai 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Friday, June 22, 2001

Sambut Maulud tapi pertikai Sunnah Rasulullah


Oleh: Mohd. Nasir Awang

SUDAH diperakui sejarah bahawa di antara manusia paling gembira di hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ialah bapa saudara Baginda yang bernama Abu Lahab. Di atas sifatnya sebagai seorang bangsawan Kota Mekah, Abu Lahab dikatakan telah menyembelih berpuluh-puluh ekor unta sebagai jamuan kesyukuran di atas kelahiran anak saudaranya itu. Seluruh Kota Mekah turut berkenduri meraikan peristiwa penting itu.

Sejarah turut merakamkan bahawa Abu Lahab yang sama juga kemudiannya menjadi orang yang paling lantang memerangi risalah Islam yang dibawa Baginda s.a.w. Sehinggakan nama Abu Lahab diabadikan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran.

Bukan kerana jasanya mengadakan majlis sambutan hari lahir Nabi, tetapi kerana keceluparan mulutnya. Ia telah mencelakakan Rasulullah s.a.w., lalu ia dicelakakan oleh Allah s.w.t. Setiap kali seseorang Islam membaca Surah Al-Masad, setiap itulah kita turut mengutuk Abu Lahab, dulu, kini dan selamanya.

Celaan Abu Lahab itu telah membuka ruang penentangan lebih dahsyat daripada masyarakat Makkah. Daripada seorang yang disepakati sebagai ‘berjurus’ dan berpekerti mulia sehingga mendapat gelaran Al-Amin, Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya dituduh dengan berbagai-bagai label.

Antara mereka ada yang berkata, “Wahai Muhammad, kamulah yang menimbulkan berbagai-bagai masalah. Kamulah yang membawa perpecahan dalam masyarakat, kamulah yang menghina tuhan-tuhan kami. Kamulah yang mencaci nenek moyang kami dan kamulah yang mengkufurkan orang-orang terdahulu daripada kami”.

Bagi umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. adalah uswatun hasanah, atau role model yang tidak ada tolok bandingnya. Justeru, apa jua yang berlaku di dalam sirah hidup Baginda merupakan sumber panduan dan peraturan hidup. Di dalam sirahlah orang Islam mencari inspirasi bagi mencontohi Rasulullah.

Sebab itu, kalaulah orang seagung dan semulia Baginda pun masih ada manusia yang sanggup mentomahkannya sebagai memecahbelah, menghina ajaran nenek moyang dan melakukan perbuatan yang mengkafirkan orang lain, apalah peliknya tohmahan yang sama dilemparkan kepada golongan yang cuba mengikuti Baginda di akhir zaman ini?

Bukankah itu tanda walau pun Abu Lahab sudah tidak ada, legacy-nya sebagai penentang Rasulullah tetap wujud juga? Sebab itu kita perhatikan terlalu ramai umat Islam dewasa ini  yang, pada suatu masa, kelihatan paling hadapan di dalam menyambut Maulidur Rasul setiap kali datangnya Rabi’ulAwwal. Tetapi di ketika yang lain pula, mereka jugalah yang terlalu banyak mempertikaikan ajaran dan sunnah Baginda s.a.w.

Sebagai contoh, ada seorang pemimpin negara yang pernah secara terbuka mencampakkan keraguan terhadap kesahihan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh beberapa imam muktabar seperti Imam Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan lain-lain.

Katanya, kerana imam dan ulama’ bukannya nabi, tetapi hanya manusia biasa, mereka juga boleh terdedah kepada kesilapan. Hadith dan sunnah yang mereka tolak mungkin sahih dan apa yang mereka terima mungkin tidak asli. Sudah pasti ramai yang masih memetik hadis-hadis yang tidak disahkan.

Sewaktu isu syahid sedang hebat diperbahaskan ekoran tindakan barbaric pihak kerajaan membunuh beramai-ramai rakyat yang tidak berdosa di Memali, Kedah, 15 tahun lalu, seorang pemimpin negara turut mempertikaikan hukum syahid di dalam Islam. Beliau malah mengatakan, Saidina Hamzah yang gugur di Uhud tidak  dimandikan kerana tidak ada air (bukan kerana syahid), kerana terkorban di tengah-tengah padang pasir.

Sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda, penghulu bagi orang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan (hingga akhirnya). Apakah pemimpin itu yang benar atau  sabda Rasulullah s.a.w. yang kita hendak pakai?

Tidak cukup  setakat itu, hinggakan sunnah Baginda menyimpan janggut turut dipersoalkan.  Seorang pemimpin negara pernah bertanya, “Siapa tahu  janggut nabi macamana? Siapa pernah tengok? Ada gambar ke? Kita tidak tahu. Ada pula kata janggut mesti sampai ke pusat. Apakah kita hendak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut ikut sunnah nabi? Kita tak tau! Kita taulah dia ada janggut tapi tak tau janggut dia macamana. Zaman itu nak cukur mudah? Bukan ada gilette. Zaman Nabi ada gilette? Tak ada! Pisau cukur pun tak ada masa tu”.

Kita bimbang, sekiranya logik itu yang diterima pakai, maka akan tiba suatu ketika seluruh ajaran Islam akan diabai terus. Tidak mustahil, sepuluh tahun akan datang, ada pula orang yang mempersoalkan hadith Nabi s.a.w. ‘sembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang’. Kerana, kalau mengikut logik di atas, ada pula persoalan baru berbunyi, “siapa tahu nabi sembahyang macamana? Siapa pernah tengok? Ada gambar ke? Kita tidak tahu”.  

Maka konklusinya, kita tidak payah sembahyang! Logik bukan?

Jika itu yang berlaku, maka antara manusia yang paling gembira ialah Abu Lahab. Kerana, walau pun dia telah lama ditelan bumi, namun legasinya tetap diteruskan oleh umat  manusia hingga akhir zaman. Kita mohon dijauhkan Allah s.w.t. daripada takdir seumpama itu, lebih-lebih lagi di saat kita masih mengingati Maulidur Rasul s.a.w.


Friday, June 8, 2001

‘Orang beriman’ tidak jaga kebersihan

Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG ahli keluarga, yang menjadi pegawai tadbir di sebuah pejabat pihak berkuasa tempatan, suatu hari merungut soal tabiat orang ramai membuang sampah merata-rata.
Katanya kepada kita: “Tak boleh ke educate sikit orang tempat demo tu, minta jangan buang sampah di luar tong? Payah lori kita nak angkut, makan masa!”
Selang tidak berapa hari selepas itu, dalam Buletin Utama di kaca TV, seorang wartawan terkenal tanahair juga tampil melaporkan masalah sampah. Siapa tidak kenal dengan Karam Singh Walia, seorang wartawan yang berani dan dedikasi dalam mendedahkan kes-kes pencemaran alam sekitar.
Berdasarkan namanya, kita boleh katakan bahawa beliau bukannya seorang yang beragama Islam. Tetapi, di dalam laporannya pada malam itu, Karam Singh telah membuat kesimpulan yang sangat menarik.
Beliau mengakhiri laporannya di Kota Bharu itu dengan berkata lebih kurang begini: “Tanggungjawab menjaga kebersihan kini bukan terletak kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sahaja. Ia merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap anggota masyarakat, lebih-lebih lagi bagi orang-orang yang beriman.”
Nah! Apakah ‘orang-orang yang beriman’ tidak terusik hati mendengar teguran tersebut diungkapkan oleh seorang bukan Islam?
Hakikat kebersihan yang tidak terjaga atau tabiat membuang sampah merata-rata ini sememangnya amat memalukan. Lebih-lebih lagi, sebagai seorang yang beriman, kita diajar oleh Islam tentang perkara itu. Bukankah Rasulullah s.a.w. ada bersabda, “kebersihan itu sebahagian daripada iman?”
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur yang datang bersama keluarga untuk bercuti di Pulau Redang juga turut menyentuh soal kebersihan di Terengganu.
Sekembalinya ke KL beliau manulis kepada sebuah akhbar tempatan menceritakan pengalaman manis selama bercuti menikmati keindahan panorama semulajadi di bumi bertuah ini.
Di samping itu, beliau juga turut mencatatkan beberapa perkara yang mencacatkan keindahan percutiannya itu. Antaranya ialah tentang kebersihan di Pasar Kedai Payang sebagai tempat kunjungan para pelancong membeli-belah.
Beliau juga menulis tentang perjalanannya dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Merang (jeti ke Pulau Redang) melalui beberapa buah kampung. Beliau menggambarkan, ‘rumah-rumah usang dengan suasana sekitarnya yang bersepah-sepah amat menyakitkan mata memandang’. Komentarnya itu ditatap oleh pembaca seluruh Negara.
Kita bukan mahu menbicarakan soal ‘rumah-rumah usang’ itu di sini. Kerana, mungkin bagi orang luar Terengganu, ianya amat menyakitkan mata. Tetapi, bagi kita anak negeri ini, ‘rumah-rumah usang’ itu sebenarnya adalah lambang ‘pembelaan’ yang rakyat perolehi daripada kerajaan yang selama 38 tahun memerintah negeri yang kaya ini.
Lagi pun, bukan semua destinasi pelancongan utama dunia dihiasi rumah-rumah banglo atau chalet dan kotej yang indah-indah. Pulau Bali, Hawaii dan penempatan orang-orang asli yang sering dikunjungi pelancong sudah tentu bukan semuanya dipenuhi rumah-rumah yang indah.
Tetapi, soal ‘suasana sekitarnya yang bersepah-sepah’ adalah suatu hal yang lain. Betul, rumah kita adalah usang dan kelam. Apa nak buat, itu sahaja yang kita mampu bina. Tetapi, membiarkan sampah dan kotoran bersepah dan menyemakkan kawasan sekitar sebenarnya tambah mengusang dan mengkelamkan lagi kampung kita.
Seorang wakil rakyat, di awal-awal kemenangannya dahulu, sering membangkitkan soal kebersihan di dalam beberapa siri ucapannya di kampung-kampung. Beliau menegur sikap masyarakat yang tidak ambil berat soal kebersihan tandas awam termasuk di masjid dan surau.
Sehinggakan di beberapa tempat yang beliau kunjungi, ‘aroma’ tandas itu kadang-kadang menusuk hidung para jemaah yang bersolat. Begitu juga dengan tabiat masyarakat yang membuat reban ayam-itik atau lembu-kambing di bawah rumah. Malangnya, teguran beliau itu telah mengundang kontroversi, dan dianggap soal remeh-temeh.
Kita pernah sebutkan bahawa usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah.  Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan sesuatu kebiasaan yang sudah menjadi tabiat.    Sebarang usaha mengubahnya menuntut langkah yang cermat dan tabah, kerana ia berkemungkinan mengundang kontroversi dalam masyarakat. Kerana, kerja yang paling payah ialah bagi mengubah persepsi yang dianggap ‘kebiasaan’ untuk menjadikannya bertepatan dengan tuntutan agama.
Mungkin, bagi pihak berkuasa tempatan, pelbagai pendekatan telah dilakukan untuk menangani masalah kebersihan ini. Sebab itu pegawai tadbirnya meminta kita educate masyarakat pula.  Kerana bagi beliau, dan bagi kita juga, masalah kebersihan ini banyak mempunyai kaitan dengan sikap dan tabiat penduduk setempat.
Adakalanya tindakan tegas termasuk mengenakan denda yang berat bagi kesalahan membuang sampah merata-rata dapat membantu mendisiplinkan masyarakat. Mungkin juga kempen secara besar-besaran dengan kerjasama semua pihak, perlu diadakan dari masa kesemasa bagi menimbulkan kesedaran sivik dan kebersihan di kalangan masyarakat.
Harap-harapnya kita tidak akan tunggu Karam Singh datang membuat laporan di tempat kita, barulah kita bersegera nak bertindak!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 25, 8 Jun 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)