Tuesday, August 15, 2000

Sejarah PAS di Terengganu


PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan secara rasminya pada 24 November 1951. Itu secara rasmi. Maka berbeza dengan apa yang lazim difahami, PAS sebenarnya bukanlah lahir dari rahim ataupun tulang rusuk Umno (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Benih perjuangan PAS telah ditanam di negara ini jauh lebih awal daripada itu, seawal tahun 1906, apabila gerakan reformasi yang diilhamkan dari kebangkitan Harakatul Islamiyah mula bergerak ke Timur Tengah, khususnya yang dipelopori oleh Sheikh Muhammad Abduh di Mesir. Pengaruh ini menjalar ke alam Melayu melalui Syed Sheikh al-Hadi, yang menerbitkan jurnal al-Imam (1906-1908) dan akhbar al-Ikhwan (1926-1931).

Gerakan reformasi ini begitu berpengaruh dalam masyarakat Melayu sehingga ia meresapi arena politik. Parti politik Melayu pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (Malaya Nationalist Party – MNP) yang diasaskan pada Oktober 1945, telah menubuhkan sayap atau bahagian Islam dalam struktur organisasinya. Sayap Islam MNP inilah yang bertanggungjawab melahirkan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA), yang darinya wujud pula parti politik Islam pertama di Tanah Melayu, iaitu Hizbul Muslimin.

Umno ditubuhkan sebagai ‘anak emas penjajah’, pada tahun 1946. Mereka melihat keghairahan sokongan yang diberikan masyarakat Islam kepada Hizbul Muslimin dengan penuh cemburu. Atas perkiraan politik itu barangkali penjajah British pun mengharamkan Hizbul Muslimin, pada Jun 1948. Peraturan Darurat diisytiharkan, dan tujuh orang pemimpin utama Hizbul Muslimin ditahan oleh penjajah British. Manakala Umno dan para pemimpinnya dibiarkan terus berpolitik tanpa sebarang persaingan dari mana-mana parti.

Bagaimanapun, semangat dan arus sokongan kental terhadap suara Islam tidak dapat lagi diempang dengan mudah. Dalam hal ini penghargaan perlu dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Mudir Madrasah Ehya As-Shariff, Gunung Semanggol, Perak. Sebagai pemimpin MATA dan juga Hizbul Muslimin yang telah ditahan penjajah British, beliau telah menggarap sebahagian besar “ground work” bagi melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS.

Orang banyak menganggap Ustaz Ahmad Fuad Hassan, Ketua Bahagian Islam Umno, yang memainkan peranan dalam penubuhan PAS. Sebenarnya peranan yang dimainkan oleh Ustaz Ahmad Fuad itu lebih didorong oleh tujuannya untuk menyelamatkan karier politik sahabat karibnya, Dato’ Onn Jaafar. Manakala orang perseorangan yang mula-mula membuat inisiatif, yang kemudiannya membawa ke arah penubuhan PAS di perjumpaan Persatuan Ulama-ulama Se-Malaya yang dianjurkan oleh Umno itu, ialah Ustaz Othman Hamzah. Beliau seorang guru di Madrasah Ehya As-Shariff, dan bekas Ahli Jawatankuasa Agung Hizbul Muslimin yang diharamkan itu.

Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih terserlah apabila sebahagian besar bekas pemimpin utamanya turut aktif menerajui PAS. Nama-nama seperti Ustaz Baharuddin Latif, Haji Khaidir Khatib, Ustaz Yunus Haji Yatimi dan Muhammad Asri Haji Muda adalah antara yang berperanan penting.

Dalam masa dua tahun selepas penubuhannya, PAS mengembangkan sayapnya ke Pantai Timur, cawangan pertamanya di sini ditubuhkan di Pekan Pasir Mas, Kelantan, pada 23 Julai 1953, atas inisiatif Ustaz Amaluddin Darus dan Ahmad Yatim. Seramai 60 orang penduduk pekan tersebut mendaftar menjadi ahli PAS pada hari penubuhannya.

Pergerakan PAS di Terengganu, bagaimanapun, hanya bermula pada tahun 1956, kira-kira setahun selepas Pilihan Raya Umum Pertama (27 Jun 1955). Cawangan pertamanya ditubuhkan di Dungun, pada 6 Julai 1956. Majlis penubuhannya dibuat di Madrasah az-Zainiyah, Sura Gate, Dungun. Seramai 23 orang penggerak utama politik Islam dari seluruh negeri berkumpul membincangkan penubuhan itu. Muhammad Asri Haji Muda hadir sebagai wakil dari Pejabat Agung PAS.

Tuan Guru Haji Zainal Abidin bin Aman dilantik mengetuai cawangan baru itu. Dalam tahun yang sama cawangan di Kuala Terengganu pula ditubuhkan. Ia diikuti dengan Cawangan Kemaman (1957), Cawangan Besut (1958) dan Cawangan Kuala Berang (1958).

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) pula ditubuhkan pada tahun 1957. Pesuruhjayanya yang pertama ialah Haji Muhammad Asri sendiri. Lantikan Asri itu sebenarnya dibuat lebih awal, iaitu sejak 1956, sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan-Terengganu. Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Terengganu selepas beliau ialah Mohd Azzam Hanafiah (1957-59), Haji Mohd Daud Samad (1959-63), Ustaz Haji Omar Shukri Embong (1963-66), Haji Mohd Daud Samad (1966-72), Ustaz Haji Kassim Ahmad (1972-75), Haji Abdul Wahab Yunos (1975-82), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1982-89), Ustaz Haji Harun Taib (1989-97) dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (1997 – sekarang).

Penubuhan sayap parti
Sayap pertama parti PAS yang ditubuhkan di Terengganu ialah Dewan Pemuda PAS Negeri. Ia tertubuh secara rasmi pada 20 Januari 1961, melalui satu mesyuarat para pemuda PAS seluruh negeri Terengganu, yang diadakan di Pejabat BPPNT, Jalan Masjid Abidin, Kuala Terengganu. Ustaz Amaluddin Darus selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ketika itu hadir sebagai wakil dari Pejabat Agung PAS.

Setahun selepas penubuhan DPPNT, Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu (DUPNT) pula ditubuhkan. Pelancaran penubuhannya pada 17 Mei 1962, di Kuala Terengganu, dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS negeri ketika itu, Ustaz Omar Shukri Embong. Haji Abbas Awang telah dilantik sebagai ketuanya yang pertama. DUPNT kemudiannya diterajui oleh Haji Syafie Mohamad, Ustaz Haji Ghazali Haji Ahmad, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Ustaz Haji Awang Nasaruddin Abu Bakar, yang menjawat jawatan itu sehingga sekarang.

Penubuhan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) berlaku agak lewat, iaitu pada tahun 1973. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ketika itu, Ustazah Zubaidah Ali telah hadir menyempurnakan penubuhannya. Hajjah Fatimah Ismail dilantik menjadi ketua DMPNT yang pertama. Beliau menerajuinya selama 16 tahun, iaitu sehingga 1989. Ketua DMPNT seterusnya ialah Hajjah Aishah Awang (1989-91), Hajjah Zaindun Yusoff (1991-97) dan Hajjah Fatimah Ibrahim (1997- sekarang).

Kemenangan pertama
Susur galur perjuangan PAS di Terengganu menyaksikan berbagai-bagai suasana suka-duka yang dipenuhi kegagalan dan juga kejayaan. Penyertaan pertamanya dalam Pilihan Raya Umum 1959 benar-benar memeranjatkan kawan dan lawan. PAS berjaya memenangi 13 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan empat daripada enam kerusi Dewan Rakyat, iaitu di Besut, Kuala Trengganu Utara, Trengganu Tengah dan Dungun.

“Kita menang terlalu cepat”, kata Professor Zulkiflee Muhammad sebagai mengulas kemenangan PAS di Terengganu ini. Manakala kerajaan Perikatan pula semacam tergamam oleh kejutan yang tidak disangka-sangka. Pada 20 Jun 1959, kerajaan PAS Terengganu secara rasminya ditubuhkan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Setiu, Mohd Daud Samad, dilantik sebagai Menteri Besar.

Kerajaan PAS Terengganu bagaimanapun tidak dianugerahkan usia yang panjang. Punca utama keruntuhan kerajaan itu ialah percakaran sesama sendiri. Ustaz Amaluddin Darus pernah mencatatkan suasana ketika itu:
“Saya merasa ketakutan dengan kemenangan ini. Kerana di Terengganu saya telah melihat percakaran sama sendiri setelah menang 13 dari 24 kerusi Dewan Negeri. Percakaran itu akan melumpuhkan perpaduan dan keutuhan kerajaan yang akan ditubuhkan di sana. Saya baru beberapa jam meninggalkan Kuala Trengganu. Tanda-tanda kehancuran kerajaan PAS di Trengganu yang bakal ditubuhkan bermula dari apa yang saya saksikan tadi.”

Kelemahan kepimpinan PAS negeri yang tidak mempunyai sebarang pengalaman mentadbir negeri turut menyumbang kepada keruntuhan tersebut. Sementelahan pula strategi politik wang yang dilaksanakan oleh parti Perikatan telah berjaya memperdaya beberapa orang ADUN PAS. Ada di antara mereka yang bertindak keluar PAS untuk menyertai Umno, sehingga berlakunya undi tidak percaya terhadap Kerajaan Negeri, melalui sidang DUN Terengganu pada 30 Oktober 1961, dan seterusnya menamatkan hayat kerajaan PAS di negeri itu.

Sejak dari saat itu PAS menjadi parti pembangkang utama di Terengganu. Ia hanya kembali buat seketika berkongsi menerajui Kerajaan Negeri melalui pakatan PAS-Perikatan. Kerajaan campuran itu berlangsung antara 1972 hingga 1974. Beberapa ADUN PAS diberi tempat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

Dalam Pilihan Raya Umum 1974 PAS seolah-olah tidak wujud apabila semua penyertaannya dilakukan atas tiket Barisan Nasional (BN). Beberapa calon PAS diberi peluang menang mudah di sebilangan kerusi DUN dan juga Parlimen. Beberapa orang ADUN PAS turut dilantik menjadi Ahli MMK, di samping beberapa orang Ahli Dewan Rakyatnya menganggotai Kabinet Persekutuan. Namun perkongsian antara PAS dan Umno itu juga tidak lama. Ia berakhir setelah krisis kepimpinan Kelantan memuncak pada tahun 1977.

Masa berlalu begitu pantas. PAS yang pernah bangkit, telah pernah tersembam. Ia bangkit kembali, dan tersungkur lagi. Bagaimanapun, ia tidak serik dan tidak patah semangat. Ia mampu bangkit semula dan terbukti kini ia telah bangkit semula.

Para pemimpinnya di semua peringkat juga telah silih-berganti datang dan pergi. Nama-nama yang tersenarai sebagai pemimpin utama di peringkat negeri Terengganu itu sebahagian besarnya tidak lagi bersama kita sekarang. Antara mereka ada yang telah dijemput pulang oleh Allah Ta’ala, dan ada juga yang telah bersara dari arena politik aktif akibat keuzuran yang menghambat usia. Tidak kurang juga yang ‘tercicir’ dari jalan perjuangan akibat berbagai-bagai silauan keduniaan.

Pun begitu, segala nikmat yang dikecapi oleh generasi PAS sekarang hasil kemenangan 29 November 1999 lalu, adalah merupakan sambungan mata rantai perjuangan yang telah dirintis oleh mereka itu. Siapalah kita sekarang tanpa adanya mereka dahulu yang telah berjuang dengan serba kepayahan dan penuh keikhlasan. Entah kenal atau tidak kita dengan PAS, kalaulah tidak kerana adanya para pemimpin terdahulu itu! Kita hanya bernasib baik kerana Allah Ta’ala mentakdirkan kemenangan berlaku di zaman kita.

Justeru, jangan merasa terlalu bangga atau besar hati dengan kemenangan ini. Lebih buruk lagi, jika ada di kalangan ahli-ahli PAS yang baru ‘setahun-jagung’ menyertai perjuangan ini, lalu merasakan bahawa kemenangan PAS di Terengganu ini adalah hasil penyertaan dan kerja kuat mereka. Dakwaan sebegitu tidak ada guna langsung dalam kita menjana pengisian kemenangan ini.


(Artikel ini adalah Bab 15 dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

Wasiat Zulkiflee Muhammad Untuk Wakil Rakyat PAS


Muqoddimah
Amanat yang disampaikan oleh Professor Zulkiflee Muhammad pada pagi 6 Mei1964 adalah satu wasiat yang sangat penting, yang ditinggalkan olehnya sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang baru memenangi pilihan raya pada tahun 1964. Amanat ini berfaedah untuk diperhatikan oleh semua orang yang telah, sedang dan akan ikut berjuang di jalan Allah menerusi Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Terlalu sedikit orang PAS yang mengetahui amanat ini. Berbelas-belas tahun ia tersembunyi dari pengetahuan ramai. Bagaimanapun, semenjak tercetusnya krisis hebat yang menimpa PAS di Kelantan setelah terhantuk dengan percakaran Datuk Asri Muda-Datuk Muhammad Nasir, barulah orang mula memperkatakan kembali mengenai amanat Prof Zulkiflee Muhammad ini.

Orang-orang PAS di Kelantan waktu itu, khasnya yang terpecah oleh percakaran Asri-Muhammad Nasir, memang ada antara mereka yang mengetahui, sama ada secara langsung atau tidak langsung, perkara-perkara yang pernah diamanatkan oleh Prof Zulkiflee Muhammad ini. Malah antara mereka ada yang mendengarnya sendiri ketika ia diucapkan oleh Prof Zulkiflee. Sebab itu ada yang beranggapan faktor utama berlakunya krisis kepimpinan PAS di Kelantan ialah apabila wasiat yang paling berharga ini telah tidak diendahkan oleh sesiapapun dalam amalan mereka.

Orang dari saf perjuangan Islam perlu mengetahui sumbangan Prof Zulkiflee Muhammad kepada perjuangan Islam di negara ini. Bahkan setiap angkatan pejuang Islam perlu meneliti amanat beliau ini dengan cermat sekali. Bagi yang lama, untuk koreksi diri, manakala bagi yang baru sebagai panduan dalam berlari. Prof Zulkiflee yang begitu arif dengan keadaan politik sepanjang tahun-tahun 1959-64, telah mengambil kesempatan berbicara dengan ahli-ahli Yang Berhormat PAS yang menang dalam Pilihan Raya Umum 1964. Perbicaraan beliau dengan segala keikhlasan dan kesungguhan itu rupanya adalah pesanan terakhir dari beliau, beberapa jam sebelum meninggalkan dunia yang fana ini.

Atas hasrat menghidupkan kembali wasiat yang sangat bermakna itu, kita siarkan semula sebahagian daripada amanat itu, seperti berikut:

Teks Amanat Terakhir (sedutan)
Saudara Pengerusi, Pesuruhjaya, Saudara-saudara.
Di waktu Saidina Abu Bakar dijadikan khalifah Rasulullah s.a.w., beliau telah berkata: “Wahai manusia, telah dijadikan aku ketua, khalifah bagi kamu. Tetapi aku tidaklah orang yang paling baik daripada kamu.”

Beginilah kita pada hari ini. Kita telah dipilih oleh rakyat, itu tidak bermakna bahawa kita yang paling baik sekali di antara rakyat-rakyat itu. Tetapi ini adalah satu nikmat yang diberikan oleh Tuhan kepada kita yang mesti kita pikul dan kita tunaikan kewajiban-kewajibannya.

Tuan-tuan yang mulia,
Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada tuan-tuan atas kejayaan tuan-tuan mendapat kepercayaan rakyat, dan nikmat kepercayaan itu yang akan membolehkan tuan-tuan berkhidmat pula kepada rakyat di dalam lingkungan ertikata melaksanakan hukum Allah SWT, dan menjunjung kedaulatan bangsa kita yang menjadi bumiputera negeri ini.

Tuan-tuan yang mulia,
Kalau kita lihat kepada al-Quran, maka dia berkata mereka yang menolong Allah itu ialah “Mereka yang apabila Kami menangkan mereka di bumi Allah, maka didirikan mereka akan sembahyang (akan agama Allah) dan diberi mereka akan zakat (akan khidmat-khidmat masyarakat) dan menyuruh mereka dengan kebajikan, dan mencegah mereka akan kejahatan”.

Dengan ayat-ayat ini dapatlah tuan-tuan membayangkan bahawa orang yang telah ditolong oleh Allah SWT itu tugasnya telah dinyatakan oleh al-Quran – menjaga kedaulatan agama, menjaga khidmat-khidmat masyarakat, melakukan sesuatu yang baik dan mencegah sesuatu yang jahat. Tidak payah kita belajar jauh, tidak payah kita mengkaji masalah-masalah yang dalam, cukupilah bahawa empat peranan yang diberikan oleh Tuhan kepada kita, untuk kita amalkan sebagai orang yang telah mendapat nikmat kepercayaan rakyat sebagai wakil rakyat ini.

Tuan-tuan yang mulia,
Khalifah-khalifah Islam yang dahulu dari kita telah menjalankan tugas-tugas negara dengan serba payah dan dengan keikhlasan yang patut kita ketahui. Kalaupun terluput kita pada lima tahun yang dahulu pada orang yang telah lama, dan kalau telah terluput dari mengenalinya dahulu-dahulu bagi ahli yang baru, maka saya pandang satu kesalahan yang besar sekiranya kita yang menjadi wakil rakyat PAS ini masih tidak mahu mendekatkan diri kepada semangat-semangat pentadbiran Islam, semangat-semangat negara Islam, semangat-semangat wilayah Islam yang telah diberikan kepada kita.

Maka saya minta tuan-tuan menerima cabaran Tuhan, iaitu jangan dijalankan sesuatu kerja sekiranya kita tidak tahu apa yang hendak kita jalankan. Jadikanlah suatu kewajiban tuan-tuan mulai dari hari ini, mengkaji pengajaran Islam supaya dapat tuan-tuan memikul kewajiban tuan-tuan sebagai orang yang tahu apa yang diajarkan oleh Islam. Jangan ada seorang pun yang takbur, yang merasakan dirinya sudah pandai, bahawa dirinya sudah tahu apa pengajaran Islam, bahawa dirinya sudah tidak perlu diajar oleh sesiapa kerana dia sudah menjadi wakil rakyat. Dia perlu mendekatkan dirinya dengan al-Quran, dengan buku-buku Islam, dengan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w, dengan sejarah-sejarah Islam, supaya kita sentiasa ingat kepada Tuhan.

Percayalah saudara-saudara, bahawa saudara-saudara dan saya akan gagal dalam kerja ini kalau kita tidak mahu memperdampingkan diri kita kepada Islam. Berapa orang daripada saudara yang telah menjadi Ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat semenjak lima tahun yang lalu, sudah membaca buku Islam, kerana dia mengatakan bahawa dia ini penganjur Islam? Berapa orang? Cuba kita fikirkan saudara-saudara. Seorang yang telah diamanahkan untuk membelah dan mengubat orang sakit, tetapi tidak pernah membuka buku berkenaan dengan kesakitan manusia.

Kita diamanahkan untuk menjalankan pentadbiran negara Islam, sudahkah kita tahu apakah pentadbiran negara Islam itu? Janganlah kita degil saudara-saudara. Marilah kita dekatkan diri kita kepada pengajaran Islam. Rapatlah diri saudara-saudara kepada al-Quran yang diturunkan oleh Tuhan, dan rapatlah diri saudara-saudara kepada hadis-hadis yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.  

Jangan ada orang yang sombong, aku sudah tahu. Jangan ada orang yang mengatakan aku sudah luput. Kalau dia sudah luput daripada mempelajari Islam berhentilah dia dari menjadi ketua-ketua orang Islam ini. Duduklah dia di rumahnya supaya jangan dia dituduh orang memakai warna-warna Islam tetapi tidak ada mempunyai isi Islam.

Saudara-saudara yang mulia,
Selain daripada itu perlu kita kenali diri kita pada hari ini, bahawa kita ini telah dipilih oleh rakyat. Rakyat yang sayang kepada kita, rakyat yang sanggup mengenepikan janji-janji Kerajaan Perikatan hendak mencurah nikmat-nikmat besar kepada negeri mereka, kerana kita memberitahu mereka bahawa kita ini hendak menjalankan hukum-hukum Tuhan. Bahawa kita ini hendak menyelamatkan hidup mereka di dunia dan di akhirat. Marilah kita hormati rakyat, dan sentiasalah kita meletakkan kewajipan diri kita memanjangkan khidmat-khidmat yang telah kita lakukan demi kepentingan rakyat.

Saya perlu memberitahu kepada saudara-saudara bahawa satu daripada syarat kejayaan bagi sesuatu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa-apa, mungkin tidak kuat, tetapi kalau keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini akan dapat kita laksanakan. Tetapi tidak ada gunanya kita cerdik, cergas, pandai dan kuat sekiranya kita tidak ikhlas kepada apa yang kita hendak perjuangkan.

Saudara yang mulia,
Rukun kedua dari kejayaan kita sebagai anggota yang mendokong kerajaan ialah perpaduan kita yang kukuh. Perpaduan inilah yang penting. Kita tahu kita mempunyai musuh. Kita tahu bahawa musuh itu hendak menghancurkan kita. Maka perpaduan dan kekukuhan perpaduan ini mesti saudara wujudkan.

Cubalah mengutamakan kepentingan perjuangan Islam, dan mengenepikan apa saja. Memang di dalam apa yang kita akan jalankan ini seribu satu macam akan berlaku, seribu satu daya akan berlaku. Semuanya untuk menodai keutuhan kita, untuk menodai perpaduan kita yang kukuh. Tetapi saya berharap supaya semuanya ini dapat kita hadapi dengan baik.

Saudara-saudara yang mulia,
Satu perkara yang perlu saya sampaikan pada hari ini ialah bahawa saudara-saudara yang menang ini bukan @#$%^&+X, bukan *^&%$#@, bukan *&@%$#. Yang menang ialah calon Persatuan Islam SeTanah Melayu (PAS). Marilah kita kukuhkan diri kita dan kita fahamkan bahawa kita ini orang parti. Boleh jadi ada di antara saudara-saudara yang merasa dia orang besar, kalau dia bertanding seorang pun dia menang. Tetapi renunglah saudara-saudara, berapa calon-calon Perikatan yang sudah kalah dengan kebesaran-kebesaran mereka kalau rakyat tidak mengundi mereka. Orang yang mempunyai degree, orang yang menjadi lawyer, orang yang kuat, habis kalah belaka.

Marilah kita pandang bahawa kita terhutang kepada PAS, yang bukannya persatuan saya, bahkan persatuan saudara-saudara sendiri. Kita bersama mempunyai persatuan ini. Sebab kita wujudkan persatuan ini ialah kerana cita-cita Islam. Marilah kita jadikan diri kita ini semuanya orang-orang yang bertugas dari PAS.

Jadi saudara-saudara sebagai Ahli Dewan Negeri janganlah saudara-saudara ketepikan PAS negeri ini. Sentiasalah dipandang bahawa saudara adalah petugas dari PAS. Dan saluran PAS itu ada di negeri ini untuk memandu dan bekerjasama dengan saudara-saudara sekalian. Dan ini jauh dari bermakna bahawa PAS ini ingin menekan fikiran Ahli-ahli Dewan Negeri. Tetapi satu kerjasama yang sungguh di antara kedua pihak perlu dijalankan menurut saluran-saluran yang telah kita aturkan.

Saudara-saudara,
Oleh kerana kerajaan PAS dalam masa lima tahun yang akan datang ini akan lebih maju, lebih kuat dan lebih cepat dalam kerjanya, saya berharap kepada saudara-saudara tolonglah lipat, tolonglah lipatkan kerja-kerja lain, hadapilah tugas kita ini. Rasulullah s.a.w. pernah berkata: “Kalau kamu membuat amal dunia hendaklah dipandang bahawa kamu akan hidup seribu tahun yang akan datang, dan kalau kamu membuat amal akhirat maka pandanglah itu amal yang akhir bagi kamu.”

Ini juga kita serupa. Di dalam membuat rancangan, mari kita buat rancangan yang akan kekal seribu tahun. Tetapi di dalam melaksanakan rancangan, mari kita lakukan seolah-olah hanya lima tahun saja lagi peluang kita untuk melakukan. Ini perlu kita jadikan motto kita di dalam kerajaan. Maka saya tidak mahu lagi ada orang yang akan berkata: “Saya tidak sanggup buat kerja ini. Saya mahu jadi jawatankuasa saja. Bila mesyuarat panggillah saya, akan saya menjadi hakim boleh atau tidak boleh.”

Kita tidak mahu orang menjadi jawatankuasa pada masa ini. Kita mahu petugas-petugas yang akan bekerja. Jangan kita, saya di sana jawatankuasa, di sini jawatankuasa, kerja kita samalah seperti majistret. Orang membawa kertas berbeban-beban, bertimbun-timbun di depan kita, akan kita bacalah penyata-penyata, mengangguk atau menggeleng terpulanglah pada kita. Kalau nasib baik kita angguk, kadang-kadang nasib tidak baik kita geleng.

Ini tidak ada gunanya saudara-saudara. Kita mahu orang yang akan berkata kepada Menteri Besarnya: “Apa kerja yang boleh saya jalankan?” Ini yang kita mahu. Jangan orang yang berkata, “Jawatankuasa kosong? Saya mahu menjadi jawatankuasa!” Ini kita tidak mahu. Kita tidak kurang tukang angguk, kita tidak kurang tukang geleng. Tetapi kita kurang orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah apa yang sudah dinodai.

Saudara-saudara yang mulia,
Saya yakin bahawa beberapa perubahan besar akan dapat kita lakukan di negeri ini. Tetapi di mana perubahan itu mula, saudara-saudara? Mulanya saat ini. Di mana mulanya? Di dalam hati saudara-saudara sekalian. Kalau dia tidak berubah di dalam hati saudara-saudara sekalian, tidak akan berubah. Kita akan berjalan sedikit demi sedikit. Ubahlah cara kita berfikir. Ubahlah hati kita. Pandanglah bahawa kita ini adalah orang yang memasuki medan yang lebih sengit, perjuangan yang lebih hebat, yang perlu kepada tenaga yang lebih banyak.

Yang perlunya, saudara-saudara adalah orang pilihan baru yang dipilih, dan buktikanlah bahawa saudara mendapat pilihan ini dengan mengubah hati saudara yang mahu kerja yang lebih banyak, tenaga yang lebih kuat untuk membolehkan cita-cita Islam, cita-cita Melayu berjalan dalam negeri kita yang kita kasihi ini.

Saudara-saudara yang mulia,
Perhubungan kita dengan Kerajaan Pusat akan bercorak dua. Sama ada Kerajaan Pusat akan baik dengan kita atau dia akan jahat dengan kita. Marilah kita sedia untuk menghadapi kedua-duanya ini. Saya belum tahu apakah yang hendak kita buat, sebab gendangnya belum benar-benar berbunyi. Janganlah kita melompat sebelum rentak gendang itu kita ketahui ke mana hendak dilagukannya. Tetapi perlu saudara-saudara, kita fahami, sebab kita ini sudah tua dalam politik, bahawa Kerajaan Pusat akan menekan kita walaupun dia mengatakan dia tidak akan menekan kita.

Jadi, apakah keselamatan kita? Apakah jaminan bahawa kita akan berjalan terus? Satu saja! Perpaduan! Perpaduan, lain tak ada. Perpaduan kita ini saja yang boleh menjamin kita hidup lama dalam Kerajaan Negeri ini. Kalau kita pecah, maka akan hancur kita semua.

Marilah kita, saudara-saudara, memikul beban ini dengan rasa perpaduan yang kuat. Bukan perpaduan di antara saudara sahaja, tetapi perpaduan di antara saudara-saudara dengan Perhubungan, dengan rakyat, dengan saya, dengan Jawatankuasa Agung, dengan semuanya. Kita berpadu sehingga tidak ada kelak yang boleh datang keburukan-keburukan yang akan menghancurkan kehidupan kita.

Kita tidak dapat menghadapi Kerajaan Perikatan ini dengan kepandaian kita. Kita tidak dapat menghadapi kerajaan ini dengan kekerasan kita. Tetapi kita hanya akan dapat menghadapi keadaan ini dengan tekad bersebulat suara mengatakan: “Kalau aku cuba berpecah dari rakanku, aku akan dimakan oleh Perikatan dan rakanku juga akan dimakan Perikatan, dan cita-cita Islam yang aku hebohkan akan dihancurkan di dalam negeri ini”. Ini perlu kita fahami dan ini perlu menjadi motto kita dalam hidup kita ini.

Saudara-saudara yang mulia,
Kita boleh memulakan kerajaan PAS negeri ini dengan kucar-kacir, dan kita akhirkan dengan kehancuran, kalau kita mahu. Dan kita boleh memulakan Kerajaan Negeri ini dengan berbaik-baik dan dengan perpaduan yang kukuh, dan kita akhirkan kerajaan ini dengan kejayaan. Saya berharap supaya masalah ini tidak menjadi masalah pertikaian di antara saudara-saudara sekalian, supaya masalah ini tidak menjadi masalah pertarungan kepentingan di antara saudara-saudara sekalian.

Yang perlu kita pandang ialah bahawa kita mesti mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat, yang dapat bukan nak menghadapi orang-orang yang ada di dalam kita ini supaya bercakar di antara satu sama lain, tetapi untuk menghadapi Kerajaan Perikatan yang sentiasa mengintai peluang untuk menghancurkan kita di dalam negeri kita ini. Jadi, saudara-saudara, di waktu musuh mengebom kita berdentum-dentum dari langit, maka janganlah kita asyik memikirkan, “Dia tersepak kaki saya, saya mesti sepak tulang kering dia.” Ini tidak ada gunanya, dan ini akan mengakibatkan keruntuhan kita belaka.

Saudara-saudara yang mulia,
Hadapilah masalah di depan saudara-saudara pada masa yang akan datang dengan kesungguhan. Berjuang dengan kesungguhan. Bekerja dengan kesungguhan. Bertugas dengan kesungguhan. Berfikir dengan kesungguhan. Jangan jadikan kerja kita walau apa sekalipun, kerja asal kerja sahaja. “Apa boleh buat, oleh kerana saya sudah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri, saya pergi mesyuarat. Apa boleh buat, oleh kerana saya jadi Ahli Dewan Negeri, saya tolong sikit.”

Itu tidak sungguh namanya! Yang sungguh: “Ini peluang yang saya cari! Dan saya dapat sekarang ini. Saya akan gunakan seratus peratus demi kepentingan agama saya, bangsa saya, dan tanahair saya.”

Ini dia dulu waktu kita belum jadi tuan besar, kita duduk di luar, di kedai-kedai kopi, kita kata: “Eh, alangkah banyaknya kesalahan orang ini. Mahu dibetulkan begini-begini!”. Sekarang kita telah diletakkan oleh rakyat di tempat itu, mari kita gunakan peluang ini dengan kesungguhan.

Kesungguhan, keikhlasan dan perpaduan akan menjayakan kita.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

(Artikel ini adalah Bab 16 dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

Saturday, April 15, 2000

Umno Perlukan Tongkat Ali!


Oleh: Mohd Nasir Awang

Di dalam mengulas kekalahan Umno yang memalukan di Terengganu dalam pilihan raya umum lepas, seorang bekas timbalan menteri dengan nada kecewa telah ‘membuka pekung di dada’ partinya sendiri.  Beliau menulis: “Umno Terengganu menghadapi 29 November 1999 seperti seorang pahlawan yang sedang sakit dikerah berperang. Malangnya dia tidak sedar ramai askarnya membuat ragam. Bila berperang, mereka tidak sekadar menembak musuh tetapi sanggup menembak rakan-rakan sendiri.”

Itulah rupa Umno, dulu, kini dan selamanya...!! Dan fenomena yang dibangkitkan bukan sahaja berlaku di Terengganu, malah berdarah-daging dalam batang tubuh Umno di mana jua Umno berada. Bagus juga sudah ada di antara ahlinya yang sedar kelemahan diri. 

Malangnya, kebanyakan yang tersedar itu adalah mereka yang sudah agak terpinggir, sama ada dalam parti mahu pun kerajaan. Suara mereka itu sudah tenggelam-timbul dalam parti.  Kebanyakan mereka pula adalah golongan pertengahan. Pemimpin atasan setakat ini gagal menampakkan kesedaran itu. Khalayak bawahan Umno juga masih berada di takuk lama.  Mereka semacam tidak pernah mahu menoleh ke belakang menghitung kesilapan yang telah mereka lakukan.

Sebab itu Umno masih bernafsu besar untuk terus memerintah dan mendominasi arena politik tanahair. Bahkan, di sesetengah tempat di mana Umno kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, terutama di Terengganu, orang-orang Umno masih bercakap besar seolah-olah Umnolah yang menang. Seolah-olah Umno masih memerintah negeri itu. Barangkali inilah perangai yang disebut orang ‘nafsu lebih, tenaga kurang’.

Pilihan raya umum lalu jelas membuktikan bahawa ‘tenaga zahir dan batin’ Umno sudah berada di tahap yang sangat memalukan. Umno terlalu cuai dalam melunaskan tanggungjawabnya memberi ‘nafkah’ kepada bangsanya. Sebab itulah tidak hairan mengapa lebih 70 peratus daripada kasih sayang yang selama ini dicurahkan oleh bangsanya terhadap parti itu secara jelas terhakis lewat pilihan raya umum lalu.

Calon-calon Umno ditolak mentah-mentah di 32 kerusi Parlimen dan lebih 100 kerusi DUN di seluruh negara. Undi Melayu beralih kepada calon-calon PAS dan Keadilan yang juga sebangsa dan seagama dengan mereka. Umno disapu hampir licin di dua negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Beberapa Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan seorang Menteri Besar yang menjadi calon Umno juga turut tersembam. 

Beberapa jagoan agama dalam Umno yang menjadi ‘jurubicara’ parti mereka setiap kali berhadapan dengan isu Islam, turut dimalukan oleh rakyat. Dato’ Paduka Menteri tersungkur di Sik, Dato’ Seri Amar DiRaja Menteri Besar kecundang di Cukai, Dato’ Dr. Ketua Penerangan Umno berputih mata di Besut dan Dato’ bekas Pengarah Pusat Islam tewas di Melor.

Di kalangan yang menang pun, majoriti yang mereka perolehi nyata menjunam turun. Datuk Paduka Zaleha Ismail tinggal hanya 803 undi daripada 30,000 undi majoriti di Gombak.  Dato’ Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden Umno, menang ‘nyawa-nyawa ikan’ dengan hanya 241 undi di Pekan. Manakala Dato’ Seri Presiden Umno susut popularitinya kira-kira 10,000 undi di Kubang Pasu.

Namun, segala yang berlaku itu nampaknya masih belum cukup untuk membangkitkan Umno dari buaian mimpinya. Khalayak bawahan Umno masih senang menjadi tukang ampu kepada para pemimpin mereka. Apa yang mereka pentingkan ialah habuan untuk mereka. ‘Ada habuan baru ada kerja’. Perangai mereka tak ubah ibarat pahat dengan penukul, sekali diketuk sekali bergerak. Kalau yang mengetuk itu pemimpin mereka, maka alat yang digunakan untuk mengetuk itu besar kemungkinan ialah ‘fulus’.

Politik sogok masih bertradisi dalam Umno, dan semakin menampakkan gejalanya tatkala hampir Perhimpunan Agung Pemilihan parti itu Mei 2000. Sebab itu para pemimpin Umno tak jemu-jemu mengingatkan ahli-ahlinya agar menolak pemimpin yang membeli undi.

Agak sukar mencari ahli-ahli Umno yang masih ikhlas dengan perjuangannya. Mereka aktif dan merebut jawatan lebih didorong oleh kepentingan peribadi. Jiwa perjuangan mereka sudah berongga dan hampir reput. Perjuangan mereka untuk membela agama, bangsa dan negara semakin jelas menjadi suatu pembohongan.

Agama Islam semakin terancam apabila semakin ramai penganutnya yang murtad, meminum arak, tidak mengamalkan suruhan, membunuh, membuang bayi, bohsia, dan macam-macam lagi.

Umno sebagai tulang belakang kerajaan nyata gagal melakukan sesuatu bagi memperbetulkan keadaan ini. Lebih teruk lagi, usaha PAS melaksanakan syariat Islam di Kelantan (sebagai alternatif yang dijamin Allah terhadap peraturan manusia) dihalang sebegitu rupa oleh Umno.

Nasib bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangan Umno tidak juga terbela, sebagaimana yang diwar-warkan. Kekenyangan yang dinikmati segelintir elitis Melayu belum boleh ditafsirkan sebagai pembelaan terhadap nasib bangsa.

Masih terlalu ramai anak bangsa yang hidup melarat, bahkan di bawah paras kemiskinan. Hak-hak Istimewa Melayu dalam pendidikan semakin terhakis, manakala Tanah Rezab Melayu pula menguncup dipicit oleh pembangunan.

Sudah bergelen-gelen airmata rakyat tumpah akibat kezaliman Umno. Di Kerpan, airmata itu menjadi kolam tempat udang harimau berenang. Di Sungai Nipah, airmata itu berbaur dengan air hujan yang dipancut oleh pasukan ‘Topi Merah’. Di Ampang Tambahan, airmata rakyat ditemani air embun dingin di waktu malam.

Manakala yang paling memalukan bangsa Melayu dan agama Islam ialah di Memali. Di mana airmata umat Islam disirami darah dan nyawa mereka yang tidak berdosa. Bukan mudah untuk rakyat melupakan segala kedurjanaan Umno itu.

Maka di mana lagi kekuatan Umno yang tinggal? Pada pemimpin yang bernafas dengan ‘nyawa ikan’, ahli-ahli yang bagaikan ‘pahat dengan penukul’ atau pada rakyat jelata yang masih dibayangi kezaliman-kezaliman itu?

Di sinilah perlunya Umno mencari azimat atau suatu keajaiban, sekiranya ia mahu terus berkhayal dengan nafsu besarnya. Umno memerlukan ubat seumpama ‘Tongkat Ali’ bagi memulihkan semula tenaganya yang sudah lusuh dan lemah itu. Ia bebas untuk memilih Eureko atau pun Viagra sebagai ganti. Tetapi kalau ia mahu dilihat masih beridentitikan Melayu, maka ramuan tradisi Melayu Tongkat Alilah yang sepatutnya dicari.

Dimanakah adanya ‘Tongkat Ali’ yang dicari-cari Umno itu? Umno tidak akan berjaya menemuinya selagi hati-hati yang ada dalam Umno itu takut untuk memperakui kelemahan yang dialami mereka kini.

Pesan orang tua-tua, azimat sesuatu ubat itu lebih mudah ditemui sekiranya si pesakit itu sendiri percaya ramuan ubat itu berkeupayaan mengubati sakit yang sedang dideritainya.  Begitulah adanya!

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Memo Editor Tarmizi Mohd Jam" diterbitkan sekitar April 2000).

Umno 2000 Sudah Terjual?


Oleh: Anuwa Jamalullail

ABAD ke-21 tidak menjanjikan perjalanan yang mudah bagi Umno dalam mengharungi lautan politik tanahair. Kedua-dua unsur kekuatan dalaman dan luaran Umno amat ketara perbezaannya antara dulu dan sekarang, sekali pun beberapa aspek kekuatan itu masih dapat dilihat diamalkan. Penggunaan sistem pemilihan secara demokrasi, sebagai contoh, adalah antara kaedah yang masih diterima pakai.

Sejak pemilihan Umno tahun 1946, penggunaan sistem demokrasi dalam Umno dihormati dengan baik sekali. Pemilihan pucuk pimpinan parti dibuat dengan proses demokrasi yang mementingkan prosedur dan pengundian dengan satu undi bagi setiap wakil bahagian Umno yang menghadiri mesyuarat agung Umno peringkat kebangsaan.

Persetujuan atau sokongan kepada calon dibuat dengan cara terbuka. Kempen dan lobi-melobi kalau pun ada dijalankan, ianya tidak pula sehingga menjejaskan proses pemilihan itu.  Sewaktu memilih Presiden Umno yang pertama, sebagai contoh, setiap wakil persatuan-persatuan negeri yang menghadiri mesyuarat penubuhan Umno di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 itu dengan sebulat suara dan dengan undi terbuka, telah mengangkat tangan memilih Dato’ Onn sebagai Yang DiPertua (Presiden) Umno yang pertama.

Soal merebut jawatan tidak timbul walau pun pada masa itu terdapat ramai pemimpin politik negeri-negeri dan parti Melayu yang terkenal. Antaranya Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Za’ba dan lain-lain lagi.

Namun, sifat merendah diri dan tidak menonjolkan keegoan menjadi batas perasaan malu mereka. Malah perpaduan Melayu amat dipentingkan dalam saat genting menentang Malayan Union.

Apa yang berlaku kepada Umno tahun 2000, jangan dikatakan mahu dilaksanakan proses pengundian secara terbuka (mengangkat tangan), malah pencalonan terbuka juga agak sukar untuk dilaksanakan. Bahkan, siang-siang lagi pihak Majlis Tertinggi Umno terpaksa mengeluarkan arahan berbentuk ‘cadangan’ agar dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Kerana, jika dibuka peluang untuk pencalonan secara bebas, nescaya akan berlakulah perebutan yang hebat setiap kali pemilihan pucuk pimpinan Umno diadakan. Akan berlaku juga label-melabel yang hebat akan siapa yang cadang siapa dan siapa yang sokong siapa. Dan pengecaman itu akan terseret pula kepada perkara-perkara yang lain selepas pemilihan itu, termasuklah diskriminasi politik dan ‘balas dendam’ sesama ahli-ahli Umno.

Ertinya, walau pun sistem pemilihan secara demokrasi dilihat masih diamalkan, tetapi ia sebenarnya telah disaduri unsur-unsur autokrasi dan diskriminasi yang sangat hebat. Para ahli sudah tidak berupaya memilih dengan hati ikhlas dan fikiran terbuka. Sebaliknya, pemilihan yang dibuat lebih banyak didorong kepentingan-kepentingan tertentu atau pun pertimbangan-pertimbangan yang bermacam-macam.

Pada umumnya, asas pemilihan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat awal berlaku di atas dasar yang baik iaitu memilih mereka yang boleh bekerja, mempunyai idea/wawasan dan tentunya karisme/ketrampilan yang meyakinkan dan matang. Sikap pihak memihak atau pun mementingkan dasar kenegerian atau kumpulan tidak berlaku dengan jelas, walau pun mungkin ada.

Ini kerana mereka yang dipilih itu tidak semestinya datang daripada sesebuah negeri tertentu, atau pun dibentuk dalam kumpulan tertentu. Begitu juga dengan sikap mengutamakan golongan berada atau yang mampu memberi pertolongan kebendaan, tidak juga dilihat berlaku dengan jelas.

Kemasukan tenaga profesional dan korporat bersama-sama perjuangan mengisi cita-cita politik peribadi masing-masing bagaimana pun telah mengubah corak pergerakan politik dalaman Umno. Setiap pemilihan yang diadakan di setiap peringkat memperlihatkan pertandingan sengit dalam Umno.

Kestabilan parti dan nilai-nilai lama tidak lagi menjadi penting dalam diri ahli-ahli Umno. Akhirnya, kekuatan dalaman Umno sudah tidak dapat dijadikan cagaran utama bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti itu.

Ada pun kekuatan luaran Umno sebenarnya bergantung kepada sejauh mana orang-orang Melayu masih menaruh kepercayaan, keyakinan dan sokongan kepada parti itu. Apakah Umno tahun 2000 masih memperjuangkan (dan dilihat memperjuangkan) kepentingan bangsa, agama dan negara sebagaimana yang dijadikan motto perjuangan Umno sejak dulu? Apakah rakyat benar-benar terbela dengan perjuangan Umno, atau hanya segelintir pemimpin yang sebenarnya kekenyangan hasil perjuangan itu?

Umno sebenarnya telah gagal memahami hati sanubari orang Melayu yang masih tebal mengamalkan sistem nilai yang halus yang berlandaskan ajaran agama. Beberapa pemerhatian di bawah boleh diperbincangkan bagi menjelaskan maksud tersebut.

Pertama: Perpaduan
Antara unsur utama dalam sistem nilai orang-orang Melayu ialah bersatu atau berpadu.  Orang Melayu pada asasnya sangat bencikan perbalahan atau perpecahan, lebih-lebih lagi jika ianya berlaku di antara sesama Melayu-Islam.

Sejarah politik Umno dengan jelas mencatatkan bahawa yang diletakkan sebagai ‘musuh utama politik’ Umno sejak dahulu hingga sekarang ialah PAS, sebuah parti yang dianggotai sepenuhnya oleh orang-orang Islam. Walau pun Umno melabelkan PAS sebagai punca perpecahan, penjelasan yang diberikan oleh para pemimpin Umno kepada masyarakat amat tidak meyakinkan.

Setiap kali isu agama dibangkitkan, rata-rata pemimpin Umno sekadar mampu menuding jari ke arah PAS, kononnya parti itu memutarbelitkan ayat Allah dan ajaran Islam. Contoh yang spesifik bagaimana pun tidak pernah dikemukakan. Kalau pun ada yang diberikan, contoh tersebut terlalu tidak masuk akal dan jelas menggambarkan ianya suatu fitnah yang sengaja diada-adakan.

Umno perlu ingat orang Melayu masih kuat berpegang kepada sistem nilai agama mereka.  Dan sesuatu yang dikaitkan dengan agama tidak akan dapat dipisahkan dari ayat al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. Manakala tempat rujukan mereka ialah para ustaz dan alim-ulama, yang sudah tentu berpusat kegiatan mereka di rumah-rumah Allah (masjid dan surau). 

Malangnya, secara lahiriah sahaja pun, para pemimpin Umno sudah kalah kepada PAS dalam ilmu agama dan dalam mendampingi rumah ibadat. Dan masyarakat dapat melihat kecenderungan ini dengan jelas di mana-mana jua.

Jadi, kalau sekadar menyalahkan PAS, sedangkan Umno sendiri tidak berkeupayaan atau  tidak mempunyai kemahiran dalam bidang agama, masyarakat tidak dapat menerima keikhlasan Umno memperjuangkan agama.  ‘Harapkan Umno buat, Umno tidak buat. Bila PAS buat, Umno marahkan PAS’. Siapa sebenarnya yang menjadi punca perpecahan?

Soalan itu lebih mudah dijawab oleh orang-orang Melayu apabila dibuat perbandingan antara pemilihan pucuk pimpinan yang berlaku dalam Umno dengan smooth transition dalam kepimpinan PAS di semua peringkat. Umno yang sering melaungkan perpaduan sesama Melayu, Umno itulah juga yang sering bertelagah sesama sendiri setiap kali datang pemilihan di mana-mana peringkat.

Proses pemilihan bertukar serta-merta menjadi proses perebutan.  Bahkan, batang tubuh Umno pernah terserkah dua buat beberapa kali akibat ‘politik pasca pemilihan’. Ia pernah berlaku tahun 1987 dan juga tahun 1993 lalu.

Jadi, walau pun Umno mencanangkan perpaduan dan di masa yang sama menuduh PAS menaja perpecahan, rakyat yang waras akan tetap dapat menilai mana intan dan mana kaca.  Mana yang sering menyeru kepada perpaduan tetapi sering bertelagah dan mana yang sering dituduh berpecah tetapi secara amalinya memperlihatkan perpaduan yang jitu?

Kedua: Musuh Bersama
Berbeza dengan Umno di zaman awal dahulu, Umno tahun 2000 tidak mempunyai musuh utama yang mampu mengancam keselamatan bangsa Melayu atau agama Islam. Umno di era penjajahan memperlihatkan perjuangan yang suci dan sudah sewajarnya mendapat simpati atau sokongan daripada segenap lapisan masyarakat. Musuh bersama bagi setiap rakyat ialah penjajah.

Ketiadaan musuh bersama itu menyebabkan Umno hilang ‘sebab’ untuk menyeru masyarakat terus kekal berpayung di bawah naungan perjuangannya. Tambahan pula, dengan menjadi tulang belakang pemerintahan negara, Umno sudah tidak boleh menyalahkan pihak lain di atas segala kecacatan atau keburukan yang melanda bangsa dan agamanya sendiri. Umnolah yang patut dipersalahkan jika maruah bangsa tergadai dan nilai agama ternoda.

Ketiga: Kesedaran Agama
Umno tahun 2000 sebenarnya dilihat melawan arus kesedaran agama di kalangan masyarakat.  Tidak perlu diperbahaskan soal yang jauh-jauh. Cukup sahaja dengan perubahan yang ditunjukkan secara lahiriah di kalangan para perwakilan dan ahli-ahli wanita Umno itu sendiri. Kesedaran perwakilan mahukan perubahan ke arah penghayatan Islam dipamerkan secara lahiriah melalui pemakaian tudung kepala di kalangan pemimpin dan ahi-ahli wanita Umno.

Isu tudung kepala sebenarnya bukan suatu yang kecil. Ia ibarat api dalam sekam bagi Umno, jika Umno menganggapnya sebagai suatu ancaman kepada identiti parti itu. Kesedaran di kalangan para perwakilan wanita dan juga pemerhati di kalangan ahli-ahli wanita Umno untuk bertudung amat ketara sejak sedekad lalu. Umno sepatutnya menerima perubahan ke arah menghayati tuntutan agama itu dengan lapang dada dan penuh kebijaksanaan.

Malangnya, disebabkan dasar asal Umno bukannya untuk benar-benar memperjuangkan agama agar dihayati oleh masyarakat, maka cakap-cakap sumbing beberapa pemimpin utama Umno menzahirkan sikap dan pendirian sebenar Umno terhadap tuntutan agama. Dr. Mahathir pernah dalam ucapannya di salah satu Perhimpunan Agung Umno beberapa tahun lalu secara sinis menghina perempuan yang bertudung.

Sedangkan sewaktu ucapan itu dilafazkan, ribuan yang ada di hadapannya termasuk isteri timbalannya ketika itu adalah bertudung kepala. Bahkan, puluhan ribu lagi penyokong beliau yang sedang mengikuti ucapannya itu melalui kaca TV di seluruh negara, juga adalah wanita bertudung.

Tahun ini pula, Datuk Seri Rafidah Aziz yang baru dipilih mengetuai semula Pergerakan Wanita Umno, secara tegas menjelaskan bahawa cadangannya mensyaratkan perwakilan wanita bertudung bukanlah atas alasan agama, tetapi sekadar memenuhi peraturan pakaian rasmi mesyuarat.

Dalam ertikata yang lain, ‘bertudung hanya sebagai pakaian seragam rasmi’, bukan di atas rasa tanggungjawab melaksanakan tuntutan agama. Sedangkan, sebahagian besar anggota Exco Wanitanya adalah bertudung atas kesedaran tuntutan agama.

Jika Umno mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya dalam Islam, maka Umno perlu lakukan apa saja yang patut, yang wajar dan dimahukan oleh masyarakat Melayu Islam dalam segenap aspek keagamaan. Paling tidak, para pemimpin Umno perlu lebih cermat dalam ucapan-ucapan mereka yang menyentuh soal hukum-hakam dan peraturan agama. Orang Melayu-Islam sangat sensitif apabila soal hukum agama mereka ditafsir sewenang-wenang menurut hujah akal semata-mata.

Keempat: Penyakit Moral
Antara ciri utama dalam sistem nilai orang Melayu ialah soal moral. Penyakit moral utama dalam Umno ialah rasuah. Sungguh pun tidak dapat dibuktikan melalui mahkamah, atau dengan kata yang lebih tepat “telah dibuktikan tidak bersalah melalui proses undang-undang”, soal moral sebenarnya melangkaui batasan undang-undang atau peraturan.

Apakah Umno mengira suatu perkara yang mudah baginya untuk mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap beberapa pemimpinnya yang “dilihat terlibat” dengan rasuah? Rakyat sering mempersoalkan Tun Daim dengan empayar perniagaannya. Rafidah dengan saham menantunya, Mat Taib dengan beg duitnya, Saidin Tamby dengan cek sejutanya dan beberapa Exco Kerajaan Negeri dengan berbagai-bagai kes mereka.

Manakala soal politik wang dalam Umno sudah menjadi suatu tradisi yang diakui oleh segenap lapisan dalam Umno dan juga dalam masyarakat.

Begitu juga dalam soal adab sopan seseorang pemimpin. Pemimpin Umno, khususnya Dr. Mahathir boleh mengemukakan berbagai-bagai cerita mengapa seseorang pemimpinnya bertindak ‘ala-gangster’ pada sesuatu kejadian. Bahkan, Mahathir sampai menunjukkan pembelaan yang di luar rasional dalam kes mempertahankan tindakan Datuk Seri Adnan Yaakob, MB Pahang menunjukkan isyarat lucah kepada para penyokong Barisan Alternatif (BA) di hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Sanggang, Mac lalu. ‘Kununnya’ Adnan terlebih dahulu diprovok oleh para penyokong BA. Tapi, tidakkah Adnan yang sama pernah mempunyai rekod menyerang penyokong PAS beberapa bulan sebelum itu?

Bagaimana pula penjelasan Mahathir dengan isu Tan Sri Sanusi Junid, bekas MB Kedah memukul dan menendang dua kakitangan lapangan terbang yang terlewat membawakan kerusi roda untuk ibu saudaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, 5 Mei lalu?

Tindakan Datuk Wira Mohd Ali Rustam, MB Melaka yang agak keras terhadap dua buah bank dan beberapa agensi yang didakwa terbabit melindungi ahli dan penyokong parti pembangkang di negeri itu juga tidak terlepas dari penilaian masyarakat. Ia benar-benar menggambarkan nilai moral yang sangat rendah di kalangan para pemimpin Umno. Sikap yang dipenuhi oleh perasaan balas dendam dan penuh emosi, sehingga menyebabkan ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Dengan kelunturan unsur-unsur kekuatan dalaman dan luaran Umno itu, terlalu banyak yang boleh dipersoalkan atas relevansi perjuangan Umno tahun 2000 ini. Apakah perjuangan untuk memartabatkan bangsa, mendaulatkan negara dan menjaga kesucian agama masih relevan dengan suasana yang ada dalam Umno kini? Jangan-jangan ianya sudah habis ‘terjual’ oleh perjuangan politik dan kebendaan untuk kepentingan peribadi-peribadi yang menguasai Umno kini!

(Artikel ini disiarkan makalah isu "Memo Bersama Editor Tarmizi Mohd Jam" diterbitkan sekitar April 2000 dengan tajuk sama).