Tuesday, July 15, 2014

Isu halal: Sensitiviti kita macam senggugut!


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Bagai diduga, hiruk-pikuk bual bicara soal status halal dan bersih satu produk bihun dua bulan lalu kini kembali sepi. Ia langsung tidak diperkatakan orang lagi, tidak sekurang-kurangnya pada forum-forum terbuka, sama ada di media cetak mahu pun laman sosial.

Isu itu sudah senyap sunyi, tidak diungkit lagi, bagaikan sudah ada penyelesaian muktamad terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab itu. Mulut-mulut yang lantang melaungkan kecaman terhadap syarikat pengeluar itu juga bagaikan tertutup rapat, macam keberadaan tikus di dalam guni padi.

Pada kemuncaknya isu itu bagai meletuskan keprihatinan segenap lapisan masyarakat negara ini terhadap kesucian bahan makanan di pasaran. Pembongkaran tahap kebersihan premis terbabit, yang didakwa amat menjijik dan memualkan, amat mengejutkan masyarakat pengguna yang majoritinya Melayu/Islam.

Ia malah mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab si pengeluar, mengambilkira fakta bahawa kilang itu sudah beroperasi lebih separuh abad. Apakah selama itu juga mulut dan perut para pengguna produk itu telah disumbati bahan makanan sejijik dan sekotor itu?

Sekali terfikir, agak bijak juga taktik digunakan pihak-pihak tertentu (jika benar dakwaan sebilangan orang) mematikan isu ini. Kebakaran premis pengeluar bihun terbabit bagai penamat kemarahan masyarakat pengguna.

Kita tidak tahu siapa punya angkara kebakaran itu. Media hanya menyebut “ia dipercayai perbuatan khianat”. Siapa pihak yang khianat itu tidak pula diketahui. Boleh jadi ia angkara pihak yang marah atau tidak berpuas hati dengan pemilik premis.

Mungkin juga ia dilakukan pihak kilang itu sendiri, yang mahu menghapuskan bukti perbuatan durjana mereka? Atau, bagi meredakan kecaman masyarakat terhadapnya? Siapa tahu, bukan?

Apa pun, hanya siasatan terperinci pihak polis yang mampu merungkai persoalan ini. Biarlah pihak berwajib melaksanakan kerja mereka dan mengambil tindakan susulan mengikut lunas undang-undang.

Apa yang pasti, tiada juga laporan media menyusul selepas berita kebakaran itu. Ia bagaikan sengaja dihentikan bagi menamatkan kontroversi sekitar produk makanan itu, yang bukan sahaja terbatas kepada beberapa jenama dari premis sama sahaja. Cerita bihun jijik itu sebenarnya turut menyeret sama segala produk bihun, mi, kuey teow, laksa dan seumpamanya yang dikeluarkan para pengusaha bukan Islam lain di seluruh negara.

Justeru, ada sebab sangat wajar di kalangan para pengusaha itu agar kemarahan masyarakat pengguna Melayu/Islam dihentikan segera. Jika tidak, perniagaan mereka semua akan turut terjejas. Demi menjaga kepentingan perniagaan, ia sesuatu yang perlu dilakukan.

Pendekatan ini bukan teori yang mustahil. Apatah lagi para pengeluar produk makanan, kebanyakan mereka bukan Islam, barangkali sudah kalih dengan sikap pengguna kita. Mereka sudah masak dengan tabiat ‘hangat-hangat tahu ayam’ orang Melayu/Islam.

Apa jua pertikaian berkaitan status halal atau tahap kebersihan sesuatu produk di pasaran tidak pernah bertahan lama. Ia hanya kecoh seketika, terutama apabila ada beberapa persatuan atau perkumpulan yang mencanangkannya. Media juga selalunya akan turut mengobarkan semangat dan kecaknaan masyarakat, konon ia suatu yang mesti diambil perhatian serius.

Namun, selalunya riuh-rendah itu tidak mengambil masa lama untuk pudar. Saya kira, penyumbang utama kepada keadaan ini ialah sikap kita, para pengguna sendiri. Kita suka bersikap “tak kisah” dan mudah percaya dengan taktik dan strategi perniagaan pihak terbabit.

Cerita betapa kotor dan jijiknya premis penyediaan produk makanan milik bukan Islam ini bukan cerita baru. Seingat saya, sejak kecil saya sendiri sudah kerap diberitahu secara mulut ke mulut pelbagai cerita berkaitannya. Ada premis buat mi kuning di bandar berdekatan rumah saya, misalnya, dikaitkan dengan penggunaan air yang kotor untuk membasuh mi.

Pernah juga timbul cerita agar-agar hitam atau cincau. Bahawa tahap kebersihan dalam proses penyediaannya amat diragui. Malah ada cerita ada orang tergigit objek dan ketulan yang tidak munasabah di dalamnya. Maka kecoh seketika dalam masyarakat, sehingga ada yang memboikot produk tersebut, kerana tahap kebersihannya yang didakwa menjijikkan.

Isu itu selesai hanya dengan sedikit strategi pengeluar produk itu. Ia mengubah pembungkusannya, menggunakan bekas plastik, seakan produk setempat. Ada juga pengguna yang bertanya di peringkat awal kemunculannya. “Siapa yang buat ni?” Si penjual (Melayu) pula, yang sudah tahu maksud soalan itu bertindak meyakinkan: “Orang Melayu yang buat, tauke je Cina!... Bla! Bla! Bla!”.

Bayangkan, dengan penerangan semudah itu, kebanyakan pengguna Islam/Melayu terus membelinya semula. Tiada lagi keraguan, semata-mata di atas perakuan tanpa bukti “orang Melayu yang buat”.

Kes serupa berlaku ke atas satu jenama pau. Taukenya memang bukan Islam, tetapi sebagai strategi pemasaran produk itu dinamakan dengan nama orang Melayu. Ada cerita mengatakan nama itu diambil daripada seorang pekerjanya, berbangsa Melayu, yang hanya menjadi pemandu.

Pertama, pengguna Melayu/Islam tertipu dengan nama Melayu. Kedua, walau pun setelah didedahkan “penipuan” itu, mereka diyakinkan pula dengan cerita kononnya kesemua pekerja di kilang pau itu orang Melayu/Islam. Seperti biasa, kalimah keramat digunakan ialah “tauke je Cina”.

Sedangkan taukenya itulah yang membuat pesanan bahan-bahan mentah untuk produk tersebut, sama ada tepung adunannya, mahu pun bahan untuk dibuat inti, yang turut melibatkan daging dan ayam. Apakah bahan yang perlu disembelih itu diperolehi daripada pembekal Islam? Tipis harapan, bukan?

Di saat ada pihak cuba meningkatkan keraguan sampai ke tahap ini, selalunya ada pula pihak di kalangan umat Islam sendiri yang tampil “melunakkan” keadaan. Kononnya mereka ini “lebih berilmu”, justeru melontarkan hukum kononnya “kita tidak wajib usul” tentang sesuatu produk yang ada di pasaran. Apatah lagi sekiranya pihak berwajib sudah meluluskan tanda “HALAL” pada paket produk terbabit.

Nah! Begitu mudah kita diyakinkan dengan penerangan sebegitu, bukan? Sebab itu, datanglah apa isu sekali pun – coklat ber-DNA babi, patin diberi makan usus babi, produk hotdog dan nuggets dari ayam tak disembelih, dan berpuluh lagi kontroversi yang pernah timbul, ia tidak lagi menjadi kerisauan buat para pengeluar produk terbabit.

Mereka tahu tahap sensitiviti para pengguna Melayu/Islam. Tidak semua akan terkesan dan mengambil berat soal itu. Di kalangan yang ambil serius itu pula, ia tidak bertahan lama. Ia hangat dan memuncak hanya seketika dan akan kembali senyap sejurus kemudian.

Sikap sebegini tak ubah seperti “serangan” senggugut. Sudahlah datangnya hanya bermusim, ia pula tidak mengganggu semua anak dara. Ada yang ‘sensitif’ dengannya dan ada pula yang tidak terkesan pun oleh kehadirannya!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan majalah Era Muslimah, Bil. 26 (edisi Julai 2014) di ruangan Coretan Ketua Pengarang, dengan tajuk sama)