Friday, May 20, 2016

Bersahabat dengan Lutfi suatu anugerah


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Saya berkawan dengan ramai orang, tapi tak semua kawan berakhir dengan keakraban. Ada kawan yang pada suatu tahap agak mesra, tetapi berakhir tanpa keserasian. Ada juga yang kemesraan terpaut lebih disebabkan tuntutan tugasan atau urusan hidup. Hubungan luaran sebegitu tentu sekali bersifat sementara dan tidak berkekalan.

Namun agak ramai kawan yang saya kategorikan sebagai “sahabat”. Mereka bukan sekadar “kamceng” atau “kacik” bersama saya dalam menjalani kehidupan seharian, sekurang-kurangnya buat suatu tempoh tertentu dalam hidup saya, tetapi “sahabat” ini banyak berkongsi nilai-nilai kehidupan sepertimana yang ada pada diri saya sendiri.

Tidak keterlaluan, salah seorang kawan yang saya layak nobatkan sebagai “sahabat” ialah Ahmad Lutfi Othman. Hubungan antara kami dijalin bertitik-tolak daripada sebuah kekaguman atas kelebihan peribadinya, diikuti rasa penghormatan yang tebal atas hemah dan akhlaknya.

Mentor penulisan politik

Saya tak pasti bila dan di mana minat saya terhadap bidang penulisan bermula. Saya juga sudah tidak ingat siapa yang mula mengajar dan mendorong saya menceburi dunia penulisan.

Sekadar mengundur beberapa dekad ke belakang, ketika itu sebagai seorang yang agak baru hendak berjinak dengan dunia penulisan, saya gemar meneliti dan meniru gaya bahasa, lenggok hujah dan pendekatan dibuat para penulis yang lebih senior atau profesional. Salah seorang penulis politik tahanair yang saya minati ialah Tuan Haji Ahmad Subky Abdul Latif. 

Saya banyak belajar daripada Pak Subky. Sebermula secara menekuni tulisan beliau di beberapa akhbar politik tanahair, terutama Watan, Tanahair dan Harakah, sehinggalah mengutip pedoman secara lisan daripadanya. Sewaktu bekerja di ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur (1990-91), saya banyak menerima tunjuk ajar beliau, secara tidak langsung, apabila beliau agak kerap bersama kami di bilik operasi.

Walau pun teguran dan tunjuk ajarnya itu tidak diberikannya secara formal, lebih secara santai dan diselitkan gurau jenaka, kami yang amatur ini agak bersungguh mengutip pedoman dan pengajaran daripadanya. Pengalamannya bekerja dan menerajui beberapa akhbar sebelum itu banyak didedahkannya kepada kami sebagai panduan dan pengajaran.

Jika Pak Subky Latif saya angkat sebagai “sifu” saya di dunia penulisan, maka Ahmad Lutfi Othman pula adalah “mentor” saya. Saya istilahkan dia mentor kerana dia banyak memainkan peranan memastikan saya terus aktif menulis dan menulis, selagi mana saya masih mampu berbuat demikian.

Saya banyak belajar daripada Mad (nama panggilan kawan-kawan kepada Ahmad Lutfi), terutama sewaktu bertugas sebumbung dengannya di ibupejabat Harakah, Kuala Lumpur (1990-91). Walau pun tak banyak kesempatan bergaul dengannya ketika itu, kerana beliau lebih banyak menumpukan masa kepada tugasan menjaga dua majalah – al-Muslimah dan Dunia Islam, interaksi yang “minima” di situ pun sudah cukup mendedahkan saya kepada cara gaya penulisannya. Teknik olahbahasanya, gayanya menyorot isu dan pendekatannya bagi menarik pembaca memang ada keunikan tersendiri dan agak mengagumkan saya.

Sebagai wartawan berpengalaman, beliau juga mampu membezakan mana isu utama dan sampingan, mana isi penting dan ulasan sekunder. Hal itu terbukti sangat penting dimiliki seorang penulis yang baik, terutama tatkala saya menjawat Penyunting Rencana Harakah kemudiannya. Tugasan itu kekadang memerlukan saya mengedit dan memendekkan artikel orang, misalnya daripada lima mukasurat menjadi tiga atau dua setengah sahaja (bagi menyesuaikannya dengan ruang). Maka, mengenalpasti mana hujah dan isi penting, mana pula yang sampingan amatlah mustahak.

Walau pun tahu saya sudah ada tugasan khusus di Harakah, Mad tetap tidak melepaskan peluang memanfaatkan saya untuk dua majalah diterajuinya. Saya kerap dimintanya menyumbang artikel dan cerpen untuk Dunia Islam dan al-Muslimah

Khidmat saya di ibupejabat Harakah tidak lama. Namun, jalinan persahabatan dengan rakan-rakan sekerja dalam tempoh tidak sampai dua tahun di situ memberi impak kekal yang sangat bermakna dalam hidup saya hingga kini. Rupa-rupanya bersama saya di situ ketika itu adalah sekumpulan sosok yang kemudiannya muncul sebagai penulis prolifik dan aktivis media alternatif yang disegani. Siapa tidak kenal dengan Zin Mahmud, Tarmizi Mohd Jam, Zulkifli Yahya, Zulkifli Sulong, Abu Bakar Rashid dan Taufek Yahya?

Justeru, biar pun saya sudah berhenti kerja dengan Harakah dan pulang ke kampung halaman di Besut, hubungan kami tak putus. Kawan-kawan tadi akan minta saya menulis sekali-sekala buat Harakah. Orang paling kerap menghubungi saya untuk tujuan itu ialah Mad dan Tarmizi. Mereka akan “paksa” saya menulis, terutama jika ada isu-isu berkaitan yang dirasakan “memerlukan sentuhan" saya. 

Pelopor media alternatif

Sebagai seorang penulis yang bagaikan tak pernah kering idea, orang seperti Ahmad Lutfi selayaknya memiliki penerbitan sendiri. Jika tidak, banyak bahan fikirnya tidak dapat disalurkan keluar, jika semata mengharapkan pihak lain menerbitkannya. 

Beliau justeru mengusahakan penerbitannya sendiri, Penerbitan Pemuda. Saya masih ingat, di era kemuncaknya, pejabatnya di Medan Idaman, Gombak menjadi antara destinasi yang saya “mesti singgah” setiap kali saya naik ke KL.

Kelebihan itu bagaimana pun tidak beliau manfaatkan sepenuhnya untuk mempopularkan dirinya sendiri sahaja. Beliau “menumpangkan” sama kawan-kawan lain dalam bahtera media alternatif dinakhodainya. Beliau banyak meminta saya dan kawan-kawan lain mengisi ruang di beberapa penerbitan diusahakannya, termasuk penerbitan tidak berkala (yang tidak memerlukan permit penerbitan KDN - seperti siri Memo, Haraki, Gerak, Ehsan, Kritik, Kritis, Lunas, Islah, Reformis, Fitri, Alternatif, Adil dan banyak lagi - dan beberapa majalah isu semasa lain seperti Detik, Wasilah dan Tamadun, juga akhbar mingguan Cabaran. Semua penerbitan berkala yang memerlukan izin permit KDN "disewa" daripada pemilik asal.

Kemelut politik negara yang mencetuskan gelombang reformasi di akhir 90an seakan menyediakan peluang sangat besar buat para penulis dan pengulas politik. Salah seorang penggiat yang telah memanfaatkan kesempatan itu dengan sangat baik ialah Ahmad Lutfi. Sejak September 1998 hingga berlangsungnya Pilihan Raya Umum 1999, beliau sempat muncul dengan beberapa buah buku, akhbar tidak berkala (berbentuk tabloid) dan makalah isu bersaiz majalah, misalnya, Pantang Undur: Dari Bukit Damansara ke Penjara, Bagaimana Mahathir Boleh Ditumbangkan?, Suara Rakyat Kuasa Keramat, Misteri Lebam Mata Anwar, Siapa Dibicarakan: Anwar, PM atau Polis Cawangan Khas?.

Beliau turut menerbitkan komik khas berwarna-warni dua siri, Puteri Reformasi. Saya antara penulis yang tidak pernah dilupainya untuk turut menghangatkan bual-bicara politik semasa sepanjang tempoh itu.

Sejurus kemenangan bergaya PAS menawan Terengganu pada 1999, Mad menghubungi saya dan memberi saranan agar saya menyusun buku berkaitan kejayaan cemerlang itu. “Ramai orang berminat nak baca hal Terengganu ni, dan ana rasa enta orang paling layak nak cerita hal tu…”, antara komennya yang membuatkan saya sedikit bangga. Maklumlah pengamat politik yang sangat saya segani itu seolah “mengiktiraf” keistimewaan saya. Dia “singled-out” nama saya sebagai paling layak.

Buku dihasratkannya itu terbit atas tajuk “Masa Untuk Tok Guru Buktikan – PAS Mampu Pimpin Malaysia”, menampilkan gambar Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sebelumnya tersiar di majalah Asiaweek sebagai penghias kulit depannya. Ia diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda pada 2000.

Ia menjadi buku politik kedua saya, selepas buku pertama “Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah”, sebuah biografi ringkas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Negeri Kelantan pada 1991.

Ketika menerajui kembali Harakah (setelah berada di luar buat beberapa ketika), Ahmad Lutfi tidak mengambil masa lama untuk menghubungi saya. Beliau minta saya kembali menyumbang rencana untuk lidah rasmi parti itu, “kalau boleh secara tetap”. Walau pun tidak dijanjikan kolum tetap, tetapi ruang dan peluang untuk artikel saya dimuatkan di lembaran Harakah seakan “dijaminnya”.

Bagi seorang penulis macam saya, tawaran itu bagaikan “pucuk dicita, ulam mendatang”. Bukan sangat soal wang atau honorariumnya, tetapi wujud kepuasan hati setiap kali melihat rencana kita disiarkan, dengan imaginasi bahawa sekian ramai pembaca Harakah menatap dan meneliti tulisan kita.

Saya jarang mengecewakannya. Asal dia minta, akan saya usahakan menulis. Kekadang, apabila ada isu yang memerlukan artikel yang pelbagai, beliau meminta saya menulis lebih dari satu artikel, menyorot dari perspektif berbeza. Bahkan, jika perlu, gunakan “by-line” (nama pena) berbeza. Itu pun selalunya saya kotakan.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Ada kalanya mendung tanpa diduga. Berlaku juga kekadang kesilapan teknikal, besar kemungkinan di pihak anak-anak buahnya, sehingga menyebabkan artikel saya dilepas pandang. Ia tidak disiarkan. Ada ketika lain, artikelnya keluar, tetapi banyak sangat dipotong, boleh jadi bagi disesuaikan dengan ruang yang terbatas.

Dalam kes-kes sebegitu, saya selalunya mengambil sikap “break for a while”, yakni tidak meneruskan jadual penghantaran artikel… seakan protes. Selalunya juga, berselang beberapa keluaran Harakah, Mad akan menghubungi saya. Ayat yang biasa dia gunakan, “lama tak nampak tulisan ente dalam Harakah?”

Saya selalunya memberikan alasan agak sibuk dengan kerja harian atau urusan hidup. Tapi Mad sangat bijak, dan dia tidak “membeli” alasan saya itu. Beliau malah akan periksa semula kot-kot ada kesilapan berlaku di pihak anak-anak buahnya sehingga menyebabkan saya mengambil sikap “break” itu.

Beliau akan kembali menghubungi saya. Perbualan kami selalunya berakhir dengan gesaan kuat daripadanya agar saya kembali menulis, “jangan REHAT lama sangat!” Maksudnya, dia tidak mahu saya ambil masa yang panjang berehat menulis untuknya. Bukankah itu sikap yang selayaknya dinobatkan sebagai “mentor”?

“Hantu” keropok basah

Ditakdirkan Allah Ta’ala, saya kembali “menghuni” Jalan Pahang Barat bermula 2011, sebagai editor di Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd. Pejabat saya di Pekeliling Business Centre hanya sepelaung daripada pejabat editorial Harakah. Maka saya bagaikan dipersatukan kembali dengan kawan-kawan yang kembali berkhidmat di akhbar itu, terutamanya Mad, Tarmizi dan Taufek.

Saya bagaimana pun sangat kerap berulang-alik ke Terengganu. Menjadi kebiasaan pula, saya akan bawakan keropok untuk kawan-kawan. Boleh dikatakan setiap kali Mad tahu saya akan balik ke Terengganu, beliau akan pesan supaya bawakan keropok lekor untuknya bila datang semula ke KL. Istilah yang digunakannya ialah “keropok basah”. Mungkin sebagai membezakannya dengan keropok keping atau keropok kering.

Beliau sangat minat dengan keropok lekor Terengganu, boleh dikatakan tahap “hantu”. Sehinggakan saya naik bimbang untuk terlalu kerap membekalkannya dengan keropok basah itu, mengambilkira keadaan kesihatannya. Maklumlah keropok diperbuat daripada pelbagai bahan, seperti sagu, kanji, gula, garam, monosodium glutamate dan ikan yang belum tentu tahap kesegarannya. Kita tahu bahan-bahan itu tidak begitu sesuai untuk orang berpenyakit, terutama kencing manis, jantung, buah pinggang dan seumpamanya.

Pernah juga saya musykilkan hal itu kepada Mad. Beliau hanya menjawab,"nak ikutkan kena pantang… takdak benda la ana boleh makan..”. Di ketika lain, beliau ada juga menjawab, “pantang sikit-sikit sudah laa…”. Seronoknya, setiap kali menjawab itu beliau akan susuli dengan gelak sehingga menggegarkan tubuhnya.

Utamakan keraian

Mad tidak lokek untuk belanja kawan-kawan makan-minum. Suatu tabiat atau sikap yang saya sangat suka ada pada kawan baik saya, sebab saya juga jenis yang macam itu. Pantang diajak minum atau makan, asal berbetulan dengan jadual kerja, akan saya raikan.

Mad memiliki sifat serupa, malah mungkin jauh lebih baik dari saya dalam bab itu. Dia bukan sahaja kerap ajak saya makan/minum di mana-mana restoran atau warung sekitar pejabat kami, malah banyak kali juga dia bekalkan saya dan staf saya dengan beberapa bungkus nasi. Ada ketikanya - terutama semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 - nasi Arab kambing dan ayam, nasi minyak, nasi lemak dan lain-lain.

Hatta dalam keadaan kesihatannya tak berapa baik pun, beliau rela menggagahkan diri keluar dar rumahnya di Ampang, datang ke Jalan Pahang meraikan kehadiran saya. Beliau seakan tidak mahu melepaskan peluang bertemu, bertanya khabar secara berdepan, seraya bersembang berbagai topik sambil menikmati kudapan.

Kesungguhannya meraikan saya menyebabkan setiap kehadiran saya ke KL tidak “sunyi”. Saya akan berasa tempoh berada di ibukota terisi, selain dengan memenuhi tugasan di pejabat sendiri, dengan bual-bicara yang sangat bermanfaat bersama Mad, terutama berkaitan perkembangan politik semasa tanahair. Bagi saya, menerima maklumat politik daripada orang seperti beliau adalah ibarat menceduk dari sumber alternatif paling dipercayai.

Penutup

Saya hanya mencatatkan perihal keperibadian Ahmad Lutfi berdasarkan pengalaman personal bersama beliau. Ini hanya secebis. Masih banyak yang layak saya coretkan. Ada pun bagaimana beliau ditanggapi umum atau dikenali pihak lain, itu terpulang kepada masing-masing pihak menjustifikasikannya.

Tidak keterlaluan untuk saya simpulkan bahawa memiliki seorang sahabat seperti Ahmad Lutfi Othman adalah suatu rahmat dan anugerah yang tidak ternilai. Semoga sahabat ku ini terus dihujani rahmat dan berkat dari sisi Allah, dunia dan akhirat!

Kampung Air Tawar, Besut.
30 November 2015.

(Artikel khas ini mengisi Bab Tujuh Belas, buku tribut buat Ahmad Lutfi Othman, berjudul "Lorong Sunyi Media Bebas, terbitan Penerbitan Pemuda, Ampang, Mei 2016)

Sunday, August 9, 2015

Sepurnama tanpa Mek...



9 OGOS 2015: Hari ini genap sebulan Bondaku Hajah Semek bte Ahmad berpindah ke Alam Baqa'. Demi Allah... tidak banyak perubahan pada diri ambo, terutama kala bicara soal hati dan perasaan... ambo tetap masih merasai kehangatan kehadirannya di sisi. Senyum-tawanya ketika gumbira, leter-bebelnya kala berkhilaf, aduh-erangnya bila sakit, segalanya masih tergambar di mata...

Bukan sekadar merintih dan meratap, tetapi sebenarnya ambo amat sukar memaafkan diri sendiri lantaran terasa belum cukup sempurna khidmat terakhir kepada Mek... Tiap kali teringatkannya, ambo akan "berKALU" kepada diri sendiri:
- "kalu lah aku layan Mek begini-begini...", 
-"kalu lah aku picit Mek sokmo tiap malam..." 
-"kalu lah...", "kalu lah..." 

Semuanya boleh dibuat masa tu kalau ambo nak buat, kan?

Paling ambo kesalkan, dan kerap menghantui fikiran ambo hingga kini ialah KEBODOHAN diri sehingga lama tak menjenguk Mek ketika dia masih di rumahnya. Ada la sekitar Rejab lalu, ambo ditakdirkan agak sibuk menguruskan kerja harian, terutama perniagaan yang baru nak menapak.

Sehinggakan pernah lebih dua minggu ambo tak singgah menjenguk Mek. Walhal jalan depan rumah Mek adalah laluan utama ambo keluar-masuk saban hari. Namun, ANAK TAK BERTANGGUNGJAWAB INI tergamak hanya lalu dan berpaling ke arah rumah Mek, tapi tak tergerak hati nak singgah menyapanya.

Selalunya tak pernah berlaku macam tu. Paling lama pun dua-tiga hari saja - kalau pun tak setiap hari - ambo akan bercokoh depan Mek, melempar senyum, menghulur tangan, memicit tubuhnya, atau menghantar kudapan dan bekalan dapur serba-sedikit untuknya.

Kealpaan ambo itu rupanya sangat tidak menyenangkan Mek. Sehinggakan Mek tertanya-tanya ke mana ambo... "Baba tak dak dumoh ko?", anak-anak balik bercerita, Mek menanyakan perihal ambo. 

"Baba tak sihat ko? Lama tak tengok Baba...", anak yang lain pulak balik memberitahu beberapa hari kemudian.

"Ko Baba gi Kuala Lumpur pulak? Lambat lagi ko balik?", Mama pula menyampaikan keprihatian Mek terhadap anaknya ini... Malangnya, hati ini ditakdirkan gagal menyahut persoalan-persoalan di fikiran Mek ketika itu...

Ya ALLAH, apa ke nama BANGANGNYA hamba-Mu ini... sibuk sangat la tuh, hinggakan nak singgah menyapa bonda sendiri sejam sehari pun tak ada celahnya? CHEH...Apa jenis anak la ambo nih!!!

Berkali-kali juga Mama ulangi harapan supaya ambo singgah jenguk Mek "semetar pun takpa dah... lama dah Mek duk tanya Baba tuh. Royak dah pun dia tak faham jugak..."

Ya, Mek memang ada masalah pendengaran yang sangat teruk... sehinggakan sukar baginya memahami apa juga yang diberitahu orang kepadanya, walau pun diulang berkali-kali..

Akhirnya ambo hadir juga... dan bayangkanlah, sebaik melihat kelibat ambo di pintu biliknya Mek terus menangis, mendepa kedua tangannya mahu memeluk ambo... Apa lagi, ambo juga berkongsi airmata dengan Mek petang tu...

Mama dan anak-anak yang melihat naik heran... apa pasal Mek begitu sedih memeluk Baba petang tu? Sambil menangis, sambil Mek membebel entah apa (tak ada seorang pun yang faham butir katanya...). Tapi ambo sendiri tafsirkan Mek meluahkan kesedihannya kerana "TERLALU LAMA" anaknya ini tak jenguk dia... :'( :'( :'(

Ya ALLAH Ya Arhamar Rohimin Ya Ghofur Ya Rahim.... ampunkanlah "KETAKGUNAAN" hamba-Mu ini... Harap-harap ambo tidak dibalasi Allah dengan karenah serupa oleh anak-anak tatkala ambo di usia tua nanti...

Kira-kira sebulan selepas itu, Mek angkut keperluan hariannya ke rumah ambo.. bukan setakat bantal dan selimut, tetapi juga beras, susu, milo dan biskut sebagai bekalan.  

"Nak duk ssini... nak duk lama", kata dia.

Memang Mek betul-betul duduk lama di rumah ambo. Belum pernah selama itu sebelum-sebelum ini... selalunya dia hanya akan bermalam di rumah kami dua-tiga malam. Paling lama pun sekadar seminggu lebih-lebih... tapi kali ini menjangkau sebulan genap.

Rupa-rupanya dia memang pilih untuk menghembuskan nafas terakhirnya di rumah ambo...

"Syukurlah... Mek pilih nak duduk dengan Baba.. sekurang-kurangnya beri peluang lebih mudah kepada Baba berbakti untuk dia, boleh tengok dia tiap hari, dia pun boleh dengar suara Baba tiap hari... Mama pun boleh tumpang beri khidmat pada Mek", ayat Mama menenangkan Baba setiap kali mengingati Mek..

Mek... pemergian mu masihku tangisi... kehilanganmu amat ku rasai... senyum-tawamu amat ku rindui... pusaramu ku sirami.. dengan doa dan imbauan kenangan di hati.

MEK... ampunkanlah anak mu ini andai tidak sempat menyempurnakan segala hajat, hasrat dan harapan mu. Moga roh mu damai dan tenang di sana... bersama khalayak solehin dan muttaqin.

Allahummaghfirlaha warhamha wa 'aafiha wa'fu 'anha. Allahummaj'al qabraha rawdhatan min riyaadhil jannah.

Moga roh Mek tenang di sisi-Nya!

MEKKK!!! OGHE RINDU... :'( :'( :'( :'( :

Thursday, July 9, 2015

PERJALANAN TERAKHIR MEK...



(Kembalinya ke rahmatullah Bonda tercinta, Hajjah Semek bte Ahmad (14.10.1934-09.07.2015)

22 RAMADHAN 1436/9 Jul. '15: Kesyukuran ambo kerana dapat menyantuni Mek-Ayah sebagai tuan rumah ibadat puasa mereka tahun ini terencat lagi. Rupa-rupanya Allah Taala mentakdirkan pilihan yang Mek buat untuk bersama kami di Baitu WarDah sejak sebelum Ramadhan membawa petanda "persinggahan" terakhir buatnya...

Awal pagi ini, kami dikejutkan dengan pemergiannya ke alam baqa', dalam keadaan yang tidak disangkakan.. masih boleh bangun dan bergerak sendiri ke bilik air, boleh berkomunikasi dengan baik, tanpa sebarang keuzuran yang "berat".

Mek memang dah lama sakit, tapi hanya sakit berkaitan urat dan sendi ... lenguh-lumpuh, "serban" tangan dan kaki, kekadang kejang jari-jemari. Tak ada pula penyakit berkaitan jantung, pernafasan, tekanan darah dan lain-lain yang dianggap berisiko tinggi.

Cuma sejak dua hari lepas Mek mengadu tak ada selera makan dan muntah-muntah. Kelmarin (Selasa) Mek masih berpuasa, tapi sepanjang hari dia banyak berbaring atas katil. Selalunya dia bangun menyantuni karenah cucu dan cicit, malah keluar ambil angin di anjung rumah.

Sewaktu berbuka, Mek makan hanya dua-tiga suap dan terus baring. Selalunya selera dia agak kuat, sepinggan nasi memang licin, walau pun hanya berlaukkan ikan selar goreng dan sayur air (itu je lauk yang dia boleh makan pun... kerana dia sangat menjaga pantang berkaitan kesihatannya).

"Bakpo Mek tak makan?", tanya Mama. 


"Pahit mulut", jawab Mek ringkas, seraya menggeleng kepala.

Usai tarawih, kira-kira 10 malam, ambo kejutkan Mek untuk solat Isyak. "Mek nak makan?", ambo tanya. Dia geleng.

"Oghe wat susu neh? Nak minum susu?", tanya ambo lagi. Kekadang bercakap dengan Mek memang kena ulang-ulang, malah kena kuatkan suara, separuh bertempik walau pun menghadapnya, sebab pendengarannya sangat kurang baik.

Mek mengangguk. Alhamdulillah secawan susu suam yang ambo kucar licin diminumnya. Ambo tawarkan kueh atau biskut, dia geleng. Ambo urut-urut belakang dan bahunya, dia sendawa…. Erpp! Erppp!!

"Lenguh ni, sakit habis... serban! Tak leh tidur semalam", dia mengadu sambil mengeram-ngeram, semacam seronok dipicit dan diurut. Dia akhirnya tertidur dalam usapan ambo.

Keesokannya (Rabu) dia muntah-muntah lagi... ambo minta Kekanda Kelthom Awang (yang bertugas di Hospital Besut) bawakan ubat vitamin, supaya selera makan Mek pulih. Mek tak teruskan puasanya dan makan ubat, tapi masih tak mahu makanan lain.

Waktu berbuka Mama Saodah Ajil buatkannya bubur nasi dengan sambal ikan. Alhamdulillah licin sepinggan. Tapi malam itu dia muntah-muntah lagi.

Ambo dan Mama berpakat nak hantar Mek jumpa doktor pagi nanti. Sekurang-kurangnya boleh ikhtiar masukkan air bagi memberi tenaga kepadanya, walau pun tahu dia memang "liat" untuk dibawa ke hospital.

Menjelang tengah malam, Mek meminta anakanda Haris bawakannya kueh roti jala, yang disuruhnya belikan petang tadi. Memang sejak pertama kali ambo belikan juadah itu dua minggu lalu, Mek selalu minta dibelikan. Agaknya roti jala kuah serawa (santan bermanisan) tu kena dengan seleranya. Tak sangka pula itulah makanan terakhir disuapnya….

Waktu bersahur Mama hidangkan bubur lagi untuk Mek. Dia tak usik. "Nak makan kekgi (sikit lagi)", kata dia.

Pagi tadi, seperti biasa Mama ke sekolah, ambo pula ke pasar. Cuma oleh kerana Mek masih tidur, ambo tak hulur tangan dan menciumnya seperti lazimnya. Sebelum keluar rumah, ambo berpesan kepada anak-anak, bila Mek bangun, hidangkan makanannya dan uruskan bawa dia ke hospital.

Tak lama ambo di pasar, anakanda Farah Zahra' Nasir menelefon maklumkan Mek dah tak sedarkan diri, selepas tarikan nafas panjang yang "pelik"... ambo bergegas pulang, hanya untuk mendapati sekujur tubuh yang sudah kaku... tiada lagi helaan nafas di hidung, tiada lagi denyut nadi di tangan.

“Mek! Mekkk!!!”, ambo separuh berteriak, seraya menggoncang-goncang tubuhnya. Tiada sebarang reaksi lagi…. Matanya terpejam rapat, mulut terkunci, bagaikan sedang tidur dalam lena yang panjang….

Dengan dada berombak, ambo gagahkan diri membisikkan kalimah toyyibah ke telinga Mek... tapi hanya dua kali yang terkeluar. Kali ketiga, suara ambo sudah tak mampu menyempurnakannya....

Kaki dan tangan Mek mula menyejuk dan memucat... tahulah ambo bahawa insan yang telah mengandungkan ambo sembilan bulan itu sudah tiada... (cry emoticon cry emoticon cry emoticon)

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un.

Mek... maafkanlah atas ketidaksempurnaan belaian dan jagaan anakmu ini. Mek... halalkanlah susumu untukku, redhakanlah perjalanan hidup anakmu.... ampunkanlah andai tidak sempat menyempurnakan apa-apa hajat, hasrat mahu pun harapan Mek!

Moga roh Mek ditempatkan Allah di kalangan para solehah dan muttaqin yang mendapat rahmah dan maghfirah-Nya.

Allahummaghfirlaha warhamha wa 'aafiha wa'fu 'anha wa akrim nuzulaha wawassi' madkhalaha wanaqqiha minal khotoya kama yunaqqoth thaubal abyadhu minaddanas... Allahummaj'al qabraha rawdhatan min riyaadhil jannah...

MEK TUNGGU DI SANA... WA PUN AKAN MENYUSUL JUGA NANTI.... (cry emoticon cry emoticon cry emoticon)

Tuesday, November 11, 2014

“Aku nak usap kepala anak yatim!”


Oleh: MOHD NASIR AWANG

ANDAIKATA saya dipaksa membuat pilihan DI ANTARA menyentuh kepala seekor anak anjing yang dijaga dengan sempurna dan baru dimandikan dengan shampu serta disembur pula dengan segala macam wangian, ATAU mendukung seorang anak yatim yang keadaannya tidak terurus, comot dan berbau, maka saya lebih rela melakukan pilihan kedua.

Tidak dinafikan naluri seorang manusia yang normal sukakan yang cantik, bersih, wangi dan terurus. Namun itu tidak bermakna kita wajar menidakkan tuntutan terhadap sesama makhluk bernama manusia, semata-mata kerana keadaan lahiriahnya yang tidak menyenangkan.

Bagi saya, seekor anjing tetap kekal sebagai binatang biar pun ia disantuni sebaiknya, hatta dikenakan pakaian yang cantik sekali pun. Begitu pula seorang anak, akan kekal sebagai seorang manusia walau pun fizikalnya tidak sempurna, tidak terurus atau tidak berpakaian sekali pun.

Jika dapat dibandingkan, perbezaan di antara hakikat kedua-dua makhluk ini pada hubungannya dengan manusia adalah ibarat kita membandingkan daging dan tulang pada manfaat masing-masing. Sepertimana yang kerap disebut orang, “sebusuk-busuk daging, dibasuh orang, dimakan jua. Sewangi-wangi tulang, akhirnya dibuang jua.”

Maka begitulah juga, seekor anjing tetap seekor binatang dan seorang anak yatim tetap seorang manusia, biar apa pun keadaan fizikal masing-masing. Justeru, bersandarkan naluri kemanusiaan, saya akan memilih untuk menyantuni manusia berbanding binatang (jika dipaksa memilih hanya satu di antara dua itu).

Kedua, saya turut membelek hujah dan tuntutan agama Islam terhadap kedua-dua makhluk ini. Terdapat perbezaan amat luas di antara hukum sengaja menyentuh anjing berbanding hukum menyentuh atau membelai anak yatim. Walau pun ada sebilangan anggota masyarakat kita dewasa ini yang lebih seronok mencari “pengecualian” di dalam hukum Islam dan lebih suka melakukan sesuatu yang “dibolehkan”, perlu mereka ingat bahawa hukum melakukan perkara sedemikian selalunya datang dengan syarat-syarat yang agak ketat dan perlu diperhalusi.

 Saya sempat bertanya kepada beberapa asatizah berhubung hukum sengaja menyentuh anjing. Kesemua mereka memberikan pandangan sealiran, yakni berdosa jika sengaja menyentuhnya. Hujah mereka berdasarkan hakikat bahawa anjing adalah seekor binatang yang najis.

Memang ada perbahasan para ulama berhubung tahap kenajisan anjing, termasuk mengambilkira jika persentuhan itu berlaku dalam keadaan kering. Namun, kata para asatizah, perbahasan mengenai hukum najis atau tidak itu lebih banyak bertitik-tolak daripada keadaan “tersentuh” dan bukannya perbuatan “sengaja menyentuh”.

Justeru mereka tetap beranggapan menyentuh anjing dengan sengaja mengundang dosa. Apatah lagi jika dipakai pandangan bahawa perbuatan itu berpotensi mengundang kekeliruan hukum di dalam masyarakat. Malah ada yang menganggap perbuatan itu seakan mempersenda sensitiviti umat Islam.

Soal uruf atau kebiasaan masyarakat perlu diambilkira. Perbuatan menyentuh atau membelai anjing bukan budaya atau uruf dalam masyarakat kita. Ia suatu perlakuan yang asing dan dipandang jelik, justeru tidak wajar dijadikan kebiasaan. Ia akan hanya menambahkan kekeliruan kepada hukum di sisi agama.

Pokok pangkalnya, perbuatan sengaja menyentuh seekor anjing lebih banyak cenderung kepada hukum yang tidak menyenangkan. Paling ringan pun ia mungkin sekadar “dibolehkan, dengan syaratnya....”. Jauh sekali untuk dikatakan bahawa ia adalah suatu yang dituntut oleh agama dan beroleh pahala akan sesiapa yang melakukannya.

Ada pun hukum menyentuh, membelai dan menyantuni anak yatim adalah sebaliknya. Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadith Rasulullah saw yang menyentuh keutamaan menjaga hak dan kebajikan anak-anak yatim.

Pada beberapa tempat di dalam al-Quran disebutkan perbuatan tidak menghiraukan kebajikan anak-anak yatim sebagai salah dan keji. Firman Allah dalam surah Al-Maa’un 107:1-2: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim...”

Dan lagi (Adh-Dhuha 93:9): “Oleh itu, ada pun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.”

Perhatikan pula beberapa hadith Rasulullah saw di bawah, yang secara jelas memperihalkan kelebihan menyantuni anak yatim:

Sabda Baginda saw:
Ada seorang laki-laki yang datang kepada Nabi saw mengeluhkan kekerasan hatinya. Nabi saw bertanya: Sukakah kamu jika hatimu menjadi lunak dan keperluanmu terpenuhi? Kasihilah anak yatim, usaplah mukanya, dan berilah makan dari makananmu, nescaya hatimu menjadi lunak dan keperluanmu akan terpenuhi.” (Diriwayatkan oleh Abu Darda’ ra HR: Thabrani, Targhib, Al-Albaniy: 254)

Sabdanya lagi:
Demi yang mengutus aku dengan hak, Allah tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya...”. (HR At-Thabrani)

Dalam hadith yang lain, disebutkannya:
Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang terdapat di dalamnya anak yatim yang diperlakukan (diasuh) dengan baik, dan seburuk-buruk rumah kaum muslimin ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim tapi anak itu diperlakukan dengan buruk.” (HR Ibnu Majah)

Disebutkan juga jaminan syurga sebagai ganjaran memberi makan anak yatim:
Barang siapa yang mengikut-sertakan seorang anak yatim di antara dua orang tua yang muslim, dalam makan dan minumnya, sehingga mencukupinya maka ia pasti masuk syurga.” (HR Abu Ya’la dan Thabrani, Sahih At-Targhib, Al-Albani)

Hadith berikut malah sepatutnya menjadi dorongan kepada kita semua untuk berlumba menjenguk dan mengusap anak-anak yatim:

Barangsiapa meletakkan tangannya (mengusap) di atas kepala anak yatim dengan penuh kasih sayang, maka Allah akan menuliskan kebaikan pada setiap lembar rambut yang disentuh tangannya. (HR Ahmad, Ath-Thabrani, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Aufa)

Nah! Jelas sekali saranan agama kita agar umatnya menjaga kebajikan anak yatim. Ia sudah lebih dari cukup jika kita mahu mencari dalil dan sandaran untuk mengadakan kempen menyantuni mereka. Maka apa kata selepas ini kita adakan program sebegitu, misalnya dengan tema “Aku nak usap kepala anak yatim!”. Okay, bukan?

(Artikel ini disiarkan di kolum 'Coretan Ketua Pengarang", majalah Era Muslimah bil. 29 (terbitan November 2014) dengan tajuk sama)