Monday, October 31, 2011

Khatam: Surat Terbuka untuk Malaysia Book of Records


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Sekalung tahniah buat Malaysia Book of Records (MBoR) di atas komitmennya merakamkan kejayaan dan pencapaian penting yang berlaku di tanahair ini. Tidak syak lagi peranan dimainkan pihak ini memberikan saham sangat baik dalam membina masyarakat berpengetahuan dan bermaklumat.

Sebagai seorang warganegara yang menyanjung tinggi sebarang usaha menganjurkan masyarakat celik maklumat, saya tidak ketinggalan amat mengalu-alukan kewujudan MBoR di tengah-tengah kerancakan kemajuan teknologi maklumat, pembangunan negara dan perkembangan politik.

Dengan adanya institusi yang mengkhususkan tumpuan kepada kerja-kerja merakam dan menyimpan rekod-rekod dicipta dalam negara, terutama membabitkan beberapa tahun kebelakangan ini, diharap akan menjadi nilai tambah dalam usaha menyemarakkan lagi budaya celik maklumat dalam masyarakat kita.

Mengambilkira peranannya sebagai tempat rujuk yang setakat ini dianggap paling berautoriti berhubung catatan rekod-rekod di negara ini, MBoR sudah semestinya memastikan segala yang dicatat dan diiktirafnya menepati piawaian. Segala fakta mestilah tepat dan benar. Manakala dalam hal yang memerlukan kepastian berhubung kriteria yang perlu dipenuhi bagi melayakkan sesuatu dianggap rekod, MBoR juga perlu memastikan kriteria-kriteria itu dipenuhi sebaiknya.

Di atas rasa prihatin terhadap kredibiliti itulah, saya merasa terpanggil untuk melontarkan sedikit perbahasan mengenai kaedah atau ketelitian diambil pihak MBoR dalam memastikan sesuatu yang dianggap rekod itu benar-benar mencukupi syarat kelayakan atau piawaiannya sebelum diberikan pengiktirafan. Apa yang saya utarakan ini boleh dianggap teguran, pandangan atau mungkin juga bantahan.

Kita difahamkan Sabtu, 29 Oktober, MBoR sekali lagi ke Terengganu bagi menyaksikan satu program besar yang sengaja dirancang untuk dicatatkan di dalam rekod tersebut. Kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Terengganu (YIT) sekali lagi menghimpunkan ribuan kanak-kanak sekolah pada majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai. Majlis berkenaan dilangsungkan secara serentak mengikut kawasan Parlimen di tujuh lokasi berbeza di seluruh negeri itu.

Menurut laporan media cetak pada keesokannya, program tersebut telah berjaya memaut penyertaan seramai 20,133 murid, sekali gus melakar sejarah tersendiri. Mereka termasuklah seramai 6,325 murid dari sekolah-sekolah di seluruh Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berkumpul di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Serentak itu, seramai 3,149 murid dari seluruh Parlimen Besut berhimpun di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja. Sejumlah 2,311 rakan sebaya mereka dari Setiu pula berada di Masjid Bandar Permaisuri. Manakala 1,910 murid Hulu Terengganu berkumpul di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.

Di Marang, seramai 2,744 lagi berkumpul di Masjid Sultanah Nur Zahirah. Manakala seramai 2,024 murid berhimpun di Dataran Padang Merdeka, Dungun, diikuti 1,670 lagi di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman.

Dilaporkan majlis itu anjuran bersama YIT, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT). Menepati hasrat penganjurannya, program Sabtu lalu sekali lagi berjaya mendapat pengiktirafan MBoR sebagai majlis khatam al-Quran secara serentak paling besar. Ia malah memecahkan rekod dicatat negeri itu sendiri tahun lalu yang merekod kehadiran seramai 16,929 murid.

Tidak syak lagi pencapaian itu bakal dijadikan modal politik oleh parti pemerintah. Paling tidak ia akan digembar-gemburkan sebagai bukti betapa serius kerajaan negeri mendidik anak-anak sedari usia awal mereka untuk menamatkan pembacaan al-Quran.

Namun, bukan itu hasrat saya mengulas perkara ini. Biar lah orang politik kekal dengan keghairahan meraih mileage politik. Itu sudah tabiat mereka. Lagi pun sedari awal perancangan menganjurkan program ini pun kita sudah dapat menelah bahawa ia sebenarnya lebih didorong hasrat mencipta rekod dan mencari kemasyhuran.

Mana tidaknya jika diambilkira betapa saban tahun perkara dijadikan sasaran utama penganjurannya ialah mempertingkat jumlah murid yang dikumpulkan dalam program serupa dan bukannya aspek-aspek lain yang lebih bermakna atau lebih mencabar.

Sebab itu dapat kita saksikan rekod itu dengan mudah berulangkali dipecahkan oleh pihak sama saban tahun. Ia sudah menjadi agenda yang sedaya mungkin dipastikan berlaku sehingga sudah hilang seri dan gahnya. Rasanya tidak begitu sukar bagi rakyat negara ini yang mengikuti perkembangan perkara itu, khususnya yang berada di Terengganu beberapa tahun kebelakangan ini mengakui hakikat itu.

Malah tidak sukar juga untuk mereka mengimbau kembali bagaimana riuh dan hebohnya apabila buat pertama kalinya majlis sedemikian diadakan pada 2006 lalu. Kejayaan mengumpulkan seramai 937 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun yang belajar di Tadika YIT dalam satu majlis untuk khatam al-Quran secara serentak benar-benar dijadikan bahan meraih mileage politik oleh parti pemerintah.

Ia diberikan laporan meluas oleh media-media arus perdana dan diulangsiar beberapa kali oleh pelbagai saluran propaganda milik kerajaan negeri. Tidak cukup setakat itu, berpuluh papantanda gergasi memaparkan gambar kanak-kanak sedang mengaji al-Quran beserta angka 937 itu dipacakkan di segenap jalan utama di serata negeri.

Rekod itu diperbaharui oleh pihak sama dengan penganjuran majlis serupa pada 2007. Seramai 2,010 kanak-kanak pula dihimpunkan. Kali ini turut melibatkan murid-murid Tadika Kemas dan prasekolah JPNT, selain Tadika YIT. Kejayaan sama diulang-ulang saban tahun dengan peningkatan jumlah murid yang terlibat.

Sementara sebilangan khalayak umum menghulurkan tahniah kepada pihak penganjur, khususnya kerajaan Terengganu di atas kejayaan itu, sebahagian lagi mengikuti perkembangan itu dengan perasaan sedikit gundah dan kesal. Mereka termasuklah sebilangan ibubapa dan guru-guru yang mengajar al-Quran kepada murid-murid terbabit sendiri.

Sebab-musabab kekesalan itu saya kira amat wajar diperhalusi oleh semua pihak, terutama MBoR, kerana ia membabitkan kredibiliti rekod yang didakwa telah dicipta itu. Menurut maklumat yang saya perolehi daripada sebilangan rakan dan kenalan yang terlibat dengan program ini (terutama sebagai ibubapa kepada murid terbabit), tahap pencapaian pembacaan murid-murid tersebut tidak lah sepertimana didakwa.

Menurut mereka, fakta mendakwa kesemua murid yang hadir dan terlibat dengan setiap program itu saban tahun sudah khatam al-Quran amat mengeliru dan layak dipertikaikan. Ada bukti sangat meyakinkan betapa sebahagian besar murid-murid terbabit sebenarnya baru di peringkat awal pembacaan al-Quran. Mereka mungkin telah mengenal huruf dan dapat membaca sendiri tanpa perlukan tunjuk ajar atau bimbingan guru. Tetapi sekadar dapat membaca dan menghafal beberapa surah belum sesuai dianggap sebagai khatam.

Sebahagian yang tidak sedikit daripada murid terbabit baru sekadar khatam mukaddam atau baru berada pada juz-juz awal pembacaan. Mereka belum pun tamat membaca separuh al-Quran dan terlalu jauh untuk dianggap telah khatam. Sedangkan istilah khatam yang difahami dan diterimapakai dalam tradisi pembelajaran al-Quran ialah kejayaan menamatkan pembacaan kesemua 30 juzuk kitab suci itu.

Ertinya dakwaan mengatakan kesemua murid terbabit dalam majlis itu telah khatam al-Quran adalah sesuatu yang amat dipertikaikan. Sekiranya itu hakikat yang berlaku, bererti rekod yang didakwa telah dicipta itu sebenarnya suatu yang tidak menepati kriteria atau piawaian sebenar dan amat dikesalkan.

Justeru saya mencadangkan agar MBoR mengambil perhatian serius tentang kesahihan dakwaan ini. Untuk itu ada baiknya MBoR turun semula ke Terengganu, bertemu secara peribadi dengan sebilangan ibubapa atau guru-guru terbabit. Dapatkan kepastian mereka tentang tahap pencapaian pembacaan al-Quran murid-murid disenaraikan itu.

Siasatan boleh dilakukan. Saya kira tidak sedikit para ibubapa kepada murid-murid terbabit yang sanggup memberikan keterangan dan pengakuan ikhlas. Mereka lebih tahu tentang tahap pembacaan al-Quran anak masing-masing. Mereka tidak akan teragak mengakui bahawa anak-anak mereka yang disenaraikan sebagai murid yang telah khatam al-Quran itu sebenarnya masih belum layak dikategorikan sedemikian.

Jika terbukti nanti apa yang mereka ragukan di atas sememangnya realiti, maka MBoR berhak memperbetulkan kembali keadaan, termasuk kemungkinan menarik balik pengiktirafan tersebut. Yang bersalah dalam hal ini bukannya MBoR. Ia mungkin bertindak secara terpaksa bagi memenuhi serakah politik parti pemerintah.

Atau mungkin ia tidak dibekalkan pemahaman yang betul mengenai kriteria dan prasyarat kelayakan khatam al-Quran mengikut tradisi ilmu Islam. Mungkin juga kerana mereka meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak penganjur yang diketahui sebagai pihak bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dalam masyarakat.

Ertinya yang jelek, buruk perangai dan wajar dipersalahkan dalam hal ini ialah parti pemerintah yang menaungi ketiga-tiga jabatan penganjur itu. Hanya semata-mata bagi memenuhi agenda politik, rakyat dipaksa terima pembohongan mereka.

Apa yang dipaksakan ke atas MBoR untuk diperakui sebagai catatan rekod itu sebenarnya pembohongan yang amat keji dan sangat dikesalkan. Semata-mata untuk mencipta nama dan meraih kemasyhuran yang disirati agenda mencari mileage politik, pihak penganjur sanggup membohongi rakyat tentang kehebatan pencapaiannya.

Saya kira pihak paling wajar bertindak memperbetulkan kepalsuan ini ialah MBoR. Apatah lagi ia melibatkan pemalsuan fakta yang dicatat dalam rekod negara. Sedangkan fakta itu bakal menjadi sejarah tertulis yang akan dijadikan rujukan generasi puluhan tahun akan datang.

Lebih-lebih lagi perkembangan politik kebelakangan ini mengajar kita betapa aspek sejarah negara juga menjadi isu utama yang tidak sayugia dipandang remeh. Kesedaran mengenai keperluan merakam dan memperakui fakta-fakta alternatif kepada catatan sejarah diterimapakai selama ini sepatutnya mengajar kita betapa kesilapan orang terdahulu dalam merakam sejarah memang berlaku.

Maka amat sayugia kita mengambil pengajaran dari perkembangan itu dan jangan mengulangi kesilapan serupa. Kita perlu memastikan sebarang catatan sejarah yang sedang kita pahat kini dirakamkan dengan fakta yang benar dan maklumat yang tepat.

Catatan hari ini bakal menjadi sejarah di masa akan datang. Ia bakal dirujuk generasi kemudian dan dianggap sebagai suatu catatan yang benar. Sedangkan ketika itu kita yang berusia hampir separuh abad ini besar kemungkinan sudah tidak ada di dunia ini untuk menerangkan perkara sebenar.

Jika itu berlaku, bererti kita telah membenarkan pemalsuan fakta sejarah berlaku di zaman kita. Akhirnya kita ‘mislead’ generasi anak-cucu kita dengan fakta palsu. Kemungkinan itu mesti diperbetulkan sekarang!

(Artikel ini ditulis untuk siaran laman HarakahDAILY 31 Oktober 2011)

Sunday, October 30, 2011

Teguran audit bakal dipersia pemimpin BN

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Selain komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 36 fail siasatan susulan beberapa isu dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 (LKAN ‘10), reaksi lebih bertanggungjawab daripada para pemimpin negara setakat ini belum kedengaran. Sehingga rencana ini ditulis (Khamis), belum ada mana-mana menteri atau timbalannya mengulas mengenai kelemahan dan salah urus kewangan yang didedahkan laporan terbabit.

Media arus perdana yang selalunya menjadi medan menyebarluas dan menjela-jelakan kejayaan pemerintahan Barisan Nasional (BN) juga tidak begitu galak bercakap soal LKAN ‘10. Laporan mengenainya hanya sepintas lalu dan amat hambar. Tiada analisis mahu pun ulasan terperinci dibuat sepertimana lazimnya media terbabit menggemariuhkan sesuatu pencapaian positif BN.

Ia sebaliknya seakan sengaja mengalihkan tumpuan pelaporan kepada berbagai isu lain, termasuk isu Himpun dan ura-ura akta murtad, serta isu tiket perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia yang ‘cekik darah’. Apakah sebabnya tidak sukar difahami. Sebahagian besar pendedahan LKAN ’10 tidak menguntungkan BN, sebaliknya menjadi modal tambahan buat parti lawan. Bukankah segala kepincangan dan kelemahan pengurusan kewangan itu bukti jelas yang boleh dikaitkan dengan kegagalan pemerintahan parti itu?

LKAN ‘10 yang diantara lain mendedahkan tujuh kementerian dan agensi kerajaan berada pada tahap pengurusan kewangan lemah. Tujuh kementerian dan agensi itu ialah Kementerian Kesihatan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Kementerian Pengangkutan; Lembaga Hasil Dalam Negeri; Kastam Diraja Malaysia dan Perbadanan Stadium Nasional.

Berbagai aspek pengurusan kewangan diaudit dan ditegur. Namun yang paling mendapat perhatian umum ialah perbelanjaan meragukan dalam pembelian peralatan dan pengurusan kontrak. Perincian laporan itu mendedahkan betapa wewenangan membelanjakan peruntukan kerajaan masih berulang walau pun tabiat sama sentiasa dibangkitkan dalam setiap laporan audit saban tahun.

Dalam laporan kali ini, Jabatan Audit Negara (JAN) antara lain menyebut kes pembelian 23 ekor kuda oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Kejohanan Kuda Lasak Dunia 2008 dan Pertandingan Ekuestrian Antarabangsa (WEG) 2010 serta Sukan Asia 2010 di China. Kesemua kuda itu dibeli dengan harga RM5.6 juta.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, sepatutnya hanya enam ekor kuda bernilai RM1.98 juta perlu dibeli untuk kegunaan kedua-dua temasya sukan tersebut. Bermakna sudah berlaku lebihan perbelanjaan yang tidak sepatut berjumlah lebih RM3.6 juta.

Lebih meragukan, siasatan juga mendapati hanya lima daripada 23 ekor kuda itu yang melepasi tahap layak bertanding. Justeru, 18 ekor kuda bernilai RM3.94 juta sepatutnya tidak dibeli sedari awal apabila gagal memenuhi syarat ditetapkan Persatuan Antarabangsa Ekuestrian.

Akibatnya kuda yang selebihnya itu terpaksa diagihkan kepada lima pihak lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dua universiti tempatan.

Sepertimana di tahun-tahun sebelumnya, LKAN ‘10 juga mendedahkan beberapa kes perbelanjaan terlampau dan tidak masuk akal. Antara contoh disebutkan ialah bagaimana sebuah syarikat yang mendapat tender dengan Mara membekalkan ketuhar kepada Giatmara dengan harga RM1,200 seunit, sedangkan harga pasaran unit tersebut hanya RM419.

Transaksi pembelian beberapa peralatan oleh Jabatan Taman Laut bahkan jauh lebih tidak munasabah. Antara peralatan yang dibeli melebihi harga pasaran termasuk komputer riba dengan harga RM11,845 berbanding hanya RM3,428 harga pasaran. Bermakna harga belian itu hampir 245 peratus lebih mahal.

Lebih teruk lagi, pembelian TV LCD dengan harga RM16,100 berbanding harga pasaran hanya RM2,182. Entah berapa ratus peratus lebihan perbelanjaan itu?

Dua jenis alat pandang jauh dibeli jabatan berkenaan juga membabitkan wewenangan serupa. Marine Binocular dengan harga pasaran RM1,940 dan Bushnell Binocular dengan harga asal RM2,827 dibeli dengan harga RM56,350 tiap-tiap satu. Lebihan perbelanjaan itu melebihi 2,000 peratus.

Begitu juga dengan harga kontrak alat ‘Colour Marine Radar (X-Band)' bernilai RM47,725, iaitu 478 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran hanya RM8,255.

Banyak lagi contoh pembelian peralatan yang sedemikian boros dan tidak munasabah dikemukakan dalam LKAN ’10. Itu belum lagi disentuh soal kegagalan mengikuti peraturan pengurusan kewangan atau projek dilaksanakan yang gagal mencapai objektif. Antaranya, JAN mendapati 188 jabatan, pejabat Persekutuan peringkat negeri dan daerah yang masih melakukan kesilapan dan gagal mematuhi prosedur utama yang diaudit. 

Begitu juga dengan kes-kes peralatan digunakan tidak menepati tahap piawaian keselamatan, termasuk kenderaan tentera yang terlebih tempoh dan bumbung beberapa stadium utama yang kebocoran. Manakala 37 projek bernilai RM28.37 untuk Program Pembasmian Kemiskinan di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah antara contoh yang gagal mencapai objektifnya.

Masalah utama dalam keseluruhan isu dibual bicarakan ekoran pendedahan LKAN ‘10 ialah betapa segala kelemahan pengurusan kewangan itu adalah tabiat yang sudah berulangkali didedah dan ditegur JAN. Sikap jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mengambil endah teguran-teguran serupa sebelum ini menjadikan kerja pengauditan itu seolah-olah suatu yang sia-sia. Lebih mengecewakan, pihak JAN memang tidak mempunyai apa-apa peruntukan undang-undang untuk bertindak terhadap pihak yang ditegur atau didapati menyalahi prosedur diaudit.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1686, 31 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)

Thursday, October 27, 2011

Menggarap iktibar positif dari Himpun


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada beberapa pemerhatian yang dapat disimpulkan ekoran berlangsungnya Himpunan Sejuta Umat Islam: Selamatkan Akidah Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu. Sama ada ia dianggap berjaya mencapai hasrat penganjurannya atau tidak, biar lah masing-masing pihak menilainya.

Namun mengambilkira agenda sebegitu penting diketengahkannya, ditambah publisiti meluas diraihnya, perhimpunan itu sepatutnya meninggalkan kesan dan pengiktibaran kepada khalayak umum, khususnya umat Islam negara ini.

Paling tidak Himpun membuktikan betapa bukan mustahil untuk rakyat negara ini mengadakan perhimpunan berskala besar secara aman tanpa sebarang kekacauan. Suasana menyelesakan pada Sabtu lalu bagai dapat dijangkakan. Himpun berlangsung dengan penuh tertib tanpa sebarang insiden menjejaskan kelancaran agendanya.

Faktor utama tercapainya suasana itu ialah apabila semua pihak bersepakatan mahu melihat ia berlangsung dalam keadaan sedemikian. Sama ada pihak penganjur dan para hadirin yang dikerah menjayakannya mahu pun anggota pasukan keselamatan yang diarah bertugas di sekitar lokasi, semua mereka tiada niat melakukan provokasi atau perancangan memburukkan keadaan.

Media cetak mahu pun elektronik selaku medan membina persepsi umum pula tidak berperanan menggembar-gemburkan andaian negatif terhadap kemungkinan buruk ekoran perhimpunan itu. Ia tidak dilabelkan sebagai perhimpunan haram, tidak dianggap bakal menggugat keselamatan negara atau mencetuskan ketegangan, walau pun isu yang menjadi mauduknya agak sensitif.

Kecenderungan itu tidak sukar difahami. Semuanya bertitik-tolak daripada pendirian positif diisyaratkan para pemimpin Umno selaku peneraju pemerintahan negara. Barangkali mereka menilai ada imej politik yang mampu diraih menerusi Himpun.

Apa pun, hakikat yang berlaku Sabtu lalu sebetulnya mengajar kita bahawa asal saja semua pihak, terutama pihak berkuasa memberikan kerjasama sewajarnya, insya Allah apa jua perhimpunan akan dapat dilangsung dengan baik. Itulah iktibar pertama.

Pengajaran kedua, bahawa setiap perjuangan yang benar-benar bermaksud menjulang agenda Islam di negara ini secara tidak langsung akan memberikan nilai tambah kepada perjuangan PAS.

Lihat saja kepada 10 Deklarasi Himpun yang diumumkan di akhir perhimpunan itu. Biar pun Himpun dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan telah diisytiharkan sebagai bebas daripada pengaruh dan campurtangan mana-mana organisasi politik, deklarasi itu sangat menepati agenda perjuangan rakyat terutama dalam mempertahankan kesucian dan kedaulatan Islam.

Ia tidak ada kena-mengena dengan PAS, tetapi sebahagian besar deklarasi itu seakan menyuarakan apa yang selama ini diutarakan parti Islam itu. Ia malah secara terbuka “menegur” kelemahan pentadbiran negara yang dianggap punca berlakunya gejala ganggu-gugat kesucian agama. Enam daripada 10 deklarasi itu secara khusus ditujukan kepada kerajaan, manakala selebihnya juga menuntut sikap bertanggungjawab dari parti pemerintah.

Iktibar ketiga, sesuatu perjuangan besar dan penting tidak dapat tidak memerlukan sokongan dan dokongan politik. Kehadiran tidak memuaskan dalam menjayakan Himpun membuktikan bahawa tanpa dokongan politik, amat sukar menggerakkan massa dan menghimpunkan mereka dalam jumlah yang besar.

Biar pun dianggap berjaya, Himpun pada Sabtu lalu gagal memaut kehadiran seperti dijangkakan. Ada tabloid harian menganggarkan jumlah hadirin hanya lebih 8,000 orang. Sebuah mingguan pula menyebut jumlah lebih tinggi, iaitu hampir 10,000 orang. Berapa pun jumlah sebenar, yang pasti ia terlalu jauh dari 100,000 yang diharapkan.

Hakikat itu tidak sepatutnya berlaku, terutama memandangkan agenda difokuskan hari itu amat penting buat umat Islam. Apatah lagi didakwa kononnya Himpun mendapat sokongan lebih 1,000 NGO Islam. Apakah jumlah kehadiran itu menunjukkan setiap NGO terbabit hanya menghantar secara purata tidak sampai 10 orang wakil?

Ternyata dalam keupayaan menagih sokongan massa, tiada pemimpin yang mampu menghimpun atau mengerah sokongan sebesar pemimpin politik. Perlu diakui pengaruh dimiliki pemimpin politik jauh lebih dominan berbanding mana-mana pemimpin NGO.

Justeru, apa jua agenda perjuangan jika mahu ia dihayati khalayak terbanyak masyarakat tidak dapat tidak perlu disalurkan menerusi parti-parti politik. Meminggirkan peranan parti politik dalam menjana penerimaan umum terhadap sesuatu agenda, terutama agenda agama, adalah suatu kesilapan yang mengurangkan kekuatan pendokongnya.

Barangkali di situlah tersematnya hikmat sangat besar mengapa para ulama kita sering menegaskan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Secara tidak langsung juga, iktibar itu seakan mengulangi suara PAS sekian lama yang lantang memerangi fahaman ‘politik suku, agama suku’ dianuti parti lawannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1685, 28 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk "Iktibar positif dari Himpun'.)

Sunday, October 23, 2011

Isu bahasa lambang hipokrasi Umno


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Banyak sangat kenyataan dan gesaan dibuat para pemimpin Umno yang tidak konsisten dengan keputusan dan dasar diterimapakai kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajuinya sendiri. Percanggahan pendirian itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah kerap menyumbang kepada gagalnya dicapai apa-apa gesaan dimaksudkan.

Contoh terbaru ialah bagaimana para pemimpin Umno kelihatan sangat bersetuju agar satu akta bagi membendung gejala kemurtadan umat Islam digubal dan dilaksanakan. Mereka nampaknya tidak mahu dinilai sebagai gagal menghayati mood semasa khalayak umum umat Islam, apabila seluruh negara bercakap merasionalkan wujudnya undang-undang berkenaan.

Lalu tak semena-mena para pemimpin Umno menyatakan sokongan dan pandangan positif terhadap cadangan itu. Media-media arus perdana pro-BN juga memaparkan pendirian para pemimpin parti itu yang sealiran dengan kecenderungan massa.

Sikap itu agak janggal apabila sejak sekian lama Umno diketahui paling lantang membantah pelaksanaan hukum Islam, terutama hudud yang dicadangkan oleh PAS. Pendirian itu malah terus dipegang hingga kini. Kenyataan Presiden Umno baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa ia tidak pernah berhasrat melaksanakan undang-undang itu dan tidak juga bersedia memberi laluan mudah kepada pihak lain (baca ‘PAS’) mendaulatkannya.

Sedangkan umum mengetahui bahawa salah satu cabang utama hukum hudud ialah berkaitan murtad. Hanya di sisi hukum Islam kesalahan murtad dianggap sebagai jenayah. Justeru, sepatutnya jika mereka benar-benar bersetuju diwujudkan undang-undang menangani gejala murtad itu, mereka sepatutnya menjadi antara pihak yang sangat menyokong hudud dikuatkuasakan.

Begitu juga dalam hal menangani gejala sosial dan keruntuhan akhlak masyarakat, khususnya muda-mudi. Ada ketikanya, terutama apabila berucap di majlis bertemakan penyelesaian masalah sosial, para pemimpin Umno sangat lantang mengutuk kebobrokan moral remaja kini. Berbagai kes sosial, termasuk salahlaku seksual, jenayah dan moral dinukilkan. Mereka kelihatan sangat prihatin dan amat bimbang dengan kecenderungan negatif dalam masyarakat.

Cadangan dan pandangan positif bagaimana menanganinya juga disuarakan. Malah ada ketikanya para pemimpin Umno kelihatan jauh lebih alim dan lebih mengambil berat soal penyelesaian menurut ajaran agama berbanding para agamawan atau pemimpin PAS. Lebih-lebih lagi jika khalayak yang ada di depan mereka ketika itu kebanyakannya yang cenderung kepada kehidupan beragama.

Sedangkan di masa sama kerajaan ditunjangi Umnolah juara menganjurkan cara hidup yang menyimpang dari lunas-lunas ajaran Islam. Kerajaan sama bertanggungjawab mempromosi berbagai bentuk pesta hiburan, yang bukan sahaja melalaikan masyarakat daripada mengingati Tuhan malah mendorong mereka terjerumus ke arah berbagai permasalahan sosial. Bahkan pernah ada pemimpin parti itu menentang secara terbuka teguran mufti dan agamawan mengenai beberapa program hiburan yang dilulus tayang di kaca tv.

Jangan lupa kerajaan BN dipimpin Umno juga pernah menolak mentah-mentah garis panduan hiburan yang telah siap disusun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) beberapa tahun lalu. Penat lelah dan ketekunan para pegawai jabatan itu bertungkus-lumus menyiapkan tata peraturan berkenaan, kononnya atas andaian bahawa kerajaan dipimpin Umno akan merai dan menerimapakai cadangan mereka, akhirnya menjadi sia-sia dan langsung tidak dihargai.

Kini para pemimpin Umno sedang bercakap mengenai keagungan dan kehebatan bahasa Melayu. Sehinggakan jika dinilai daripada cakap-cakap mereka kini, seolah-olah negara kita sedang bergerak dalam kadar konsisten ke arah melaksanakan segala urusan rasmi kerajaan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Namun jangan salahkan rakyat jika bersikap amat skeptikal terhadap kenyataan para pemimpin Umno itu. Oleh kerana isu memartabatkan bahasa Melayu ini bukan isu baru dan rekod parti Melayu itu dalam memperjuangkan penggunaan bahasa ini bukan lah suatu yang membanggakannya, rakyat ada sebab untuk meragui keseriusan Umno.

Cakap para pemimpin Umno sering dianggap ‘tidak serupa bikin’. Sikap dan pendirian Umno kerapkali tidak konsisten dengan dasar dan peraturan diterimapakai kerajaan diterajui parti itu sendiri. Seketika ia muncul seolah-olah seperti juara memperjuangkan bahasa, tetapi di ketika lain ia juga menggubal dasar yang memperkeleh dan menjatuhkan marbata bahasa itu.

Sebab itu gesaan pemimpin Umno agar bahasa Melayu dimartabatkan dianggap tidak lebih sekadar memenuhi mood semasa. Faham-faham saja lah, ia hanya keghairahan sementara dan sekadar meraikan kehadiran Bulan Bahasa.

Nasib menimpa bahasa Melayu sebenarnya lambang hipokrasi Umno dalam menjulang warisan bangsanya sendiri.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1684, 24 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)

Saturday, October 22, 2011

Agenda Islamik sukarkan BN rampas Kelantan


Oleh: Mohd. Nasir Awang

“Berdasarkan perkembangan terkini, Umno memang serius untuk merampas Kelantan daripada PAS. Sejak 1990, PAS menang di Kelantan dan telah melalui ujian empat kali pilihan raya umum (PRU) iaitu 1995, 1999, 2004 dan 2008. Kesemuanya menyaksikan tindakan ‘kalut’ Umno ingin merampas Kelantan.”

Petikan itu adalah pemula bicara Wan Nik Wan Yussof lewat artikelnya ‘Umno agresif serang Kelantan’ yang termuat di tabloid Harakah, edisi Jumaat, 21 Oktober. Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS negeri.

Menerusi tulisan itu beliau membekalkan fakta tindakan Umno termasuk menggunakan berbagai taktik kotor sepanjang dua dekad parti itu berusaha menawan semula negeri tersebut. Contoh-contoh terkini seumpama taburan wang ehsan dan pembatalan projek lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu memperkuatkan hakikat kebobrokan Umno yang menguasai kerajaan Pusat.

Sememangnya tekad Umno merampas pemerintahan negeri itu daripada PAS amat tinggi. Apatah lagi ia nyaris-nyaris merealisasikan hasrat itu lewat PRU 2004. Kelebihan tiga kerusi dimiliki PAS bertukar menjadi hanya satu kerusi selepas kekalahannya di Pengkalan Pasir seketika kemudian. Perbezaan hanya satu kerusi, bahkan salah satu kerusi dimenangi PAS itu hanya dengan dua undi, menyebabkan kegilaan Umno mengambil alih Kelantan semakin mencanak.

Keghairahan itu mendorong ia sampai ke peringkat sanggup melakukan siri ‘penderaan’ (meminjam istilah Wan Nik) terhadap rakyat Kelantan, kononnya agar mereka serik berkerajaankan PAS dan beralih arah memberi sokongan kepada Umno pula.

Usah dihitung kenyataan dan siaran yang memperlekeh perjalanan pemerintahan negeri. Gema-riuh kemiskinan rakyat Kelantan, kehidupan mereka yang didakwa sempit dan melarat beserta kegagalan kerajaan negeri menyediakan peluang kerja menjadi ratib yang bagaikan ‘nasi makan air minum’ buat segenap lapisan pendukung Umno.

Manakala persepsi dan andaian kononnya hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu membawa kemajuan dan pembangunan sekali gus membahagiakan kehidupan rakyat negeri itu turut menjadi bahan propaganda berterusan sejak dulu hingga kini.

Tidak cukup dengan segenap peringkat Umno di Kelantan, para pemimpin parti itu dari negeri-negeri lain ikut menokok-tambah cerita-cerita memburukkan negeri itu. Manakala para pemimpin Umno Pusat juga pantang ada kesempatan pasti dimanfaatkan semaksima mungkin untuk melontarkan serangan terhadap kerajaan dipimpin PAS itu.

Itulah gambaran betapa agresifnya Umno. Sebab itu agak pelik dan menghairankan apabila ditengah-tengah kegilaan itu ada menteri yang berkunjung ke Kelantan beberapa hari lalu menuturkan kenyataan yang boleh difahami sebagai memuji sesuatu mengenai kehidupan rakyat Kelantan. Apatah lagi perkara dipuji, bahkan cuba ditiru itu, ada hubungkait dengan agenda disemarakkan kerajaan PAS negeri.

Sebuah harian pada Selasa (18 Oktober) lalu memetik kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berhasrat memperluaskan pengunaan tulisan jawi yang diamalkan di Kelantan ke negeri-negeri lain.

“Kementerian juga ingin melihat supaya penggunaan jawi seperti yang lumrah digunakan di Kelantan dapat digunakan di negeri-negeri lain dengan skrip dalam tulisan itu dijadikan tarikan,” akhbar itu memetik katanya.

Biar pun hasratnya yang khusus hanyalah bagi menjadikan tulisan jawi sebagai medium untuk mencatatkan kisah berkaitan budaya dan penceritaan secara lisan, hakikat penggunaan jawi dalam masyarakat Kelantan yang disebutnya itu mencakupi pelbagai sektor hidup yang jauh lebih luas.

Bahkan tidak sukar diakui betapa Kelantan di bawah PAS menjadi negeri paling ke depan dalam usaha mengetengahkan pengguna tulisan yang menjadi warisan bangsa itu dalam urusan seharian, termasuk urusan-urusan rasmi kerajaan.

Sebermula pemerintahan PAS pada 1990, difahamkan minit mesyuarat Exco negeri itu telah diubah daripada menggunakan tulisan rumi kepada jawi. Apakah ada negeri-negeri lain, terutama yang diterajui Umno yang turut mengambil langkah serupa?

Selain itu papan tanda jalan juga disertakan tulisan jawi bersama-sama tulisan rumi. Langkah itu disusuli peraturan mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda premis perniagaan, papan iklan dan kain pemidang.

Bermula pertengahan 2009 lalu pula, Kelantan mara setapak lagi dalam memartabatkan tulisan jawi. Semua urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu diarah menggunakan tulisan jawi. Ia termasuklah penyediaan minit mesyuarat kesemua PBT.

Tidak syak lagi keprihatinan luar biasa kerajaan negeri di bawah PAS terhadap penggunaan tulisan jawi menjadi pendorong utama menyemarakkan lagi penggunaannya secara lebih meluas dalam masyarakat.

Hakikat letak duduk tulisan jawi yang bersebati dengan masyarakat Kelantan itulah yang barangkali menyentuh hati Rais sehingga mendorong beliau mencadangkan agar kelaziman itu diperluaskan pula ke negeri-negeri lain.

Diakui atau tidak, cadangan menteri itu sebenarnya suatu pengiktirafan terhadap kelebihan dimiliki Kelantan di bawah PAS berbanding negeri-negeri lain, khususnya yang dikuasai Umno sejak berdekad. Justeru, bagaimana mungkin khalayak pencinta warisan budaya bangsa, khususnya yang tegar memperjuangkan penggunaan tulisan jawi secara serius akan memberikan kepercayaan kepada Umno untuk menggantikan PAS?

Apatah lagi keprihatinan PAS itu turut dikaitkan dengan agenda mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya. Semua tahu tulisan jawi adalah variasi dan derivasi tulisan Arab yang juga tulisan kitab suci al-Quran.

Ia juga dikira bersebati dengan tradisi ilmu Islam, terutama apabila ratusan kitab lama yang masih digunakan secara meluas di pusat-pusat pengajian Islam ditulis menggunakan tulisan itu. Dari perspektif itu, usaha PAS memartabatkan jawi adalah sealiran dengan hasrat menyemarakkan ilmu Islam dalam masyarakat.

Justeru, apakah wajar ada penganjur pengajian Islam dan pencinta ilmu agama tidak menyokong langkah kerajaan PAS Kelantan dalam hal ini? Bagaimana mungkin pula mereka akan memilih Umno untuk mengambil alih pemerintahan?

Kebetulan pula beberapa hari lalu berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan. Di dalamnya banyak diserlahkan keprihatinan dan keseriusan kerajaan negeri mendaulatkan Islam dalam kehidupan rakyatnya.

Antara perkara agak menarik diperkatakan dan turut mendapat perhatian media arus perdana ialah arahan terbaru kerajaan negeri mengenai kemakmuran surau di pusat-pusat beli-belah. Dewan dimaklumkan bahawa kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah mengeluarkan arahan kepada semua pusat beli-belah dan pasar raya supaya menyediakan imam untuk mengetuai solat di surau premis masing-masing.

Arahan itu sekali gus menggambarkan keseriusan PAS memastikan rakyat melaksanakan ibadat, khususnya solat dalam keadaan paling baik, yakni secara berjamaah. Di mana komitmen para pemimpin PAS dalam hal ini tidak wajar dipertikaikan lagi. Sebagai pemimpin Islam yang bercakap mahu menegakkan Islam, mereka bukan setakat mendirikan Islam dalam diri mereka sahaja, tetapi turut menjadi pendorong orang dipimpinnya menjadi hamba yang taat kepada suruhan agama.

Ia menepati firman Allah di dalam surah al-Hajj ayat 41, yang secara jelas memperincikan sifat pemimpin Islam iaitu apabila mereka diberikan kekuasaan oleh Allah di atas mukabumi, mereka akan mengutamakan urusan mendirikan solat. Kepatuhan itu sekaligus menjadi contoh buat rakyat mengikuti mereka pula.

Ertinya, pemimpin Islam perlu sentiasa ke hadapan di dalam mengajak dan menggalakkan rakyat untuk sama-sama menghayati perintah Allah, terutama dalam menyempurnakan solat. Itulah yang terbukti diusahakan kerajaan PAS.

Malangnya, hari ini para pemimpin Umno lebih ghairah mengajak rakyat ke pesta hiburan dan majlis suka-ria. Bahkan ada pula pemimpin yang sanggup mengiklankan ke seluruh alam maya mengajak rakyat untuk meluangkan masa bersama-samanya menonton siaran langsung perlawanan bolasepak melibatkan pasukan luar negara yang diminatinya. Astaghfirullah al-Azim!

Arahan memastikan surau pusat beli-belah dimakmurkan dengan solat jamaah itu juga bagai menempelak beberapa negeri diperintah Umno. Manakan tidak apabila kerap dilaporkan media bagaimana ada negeri yang hingga kini gagal menyelesaikan masalah kekurangan imam dan bilal di seluruh negeri.

Jangan dikatakan untuk memastikan surau persendirian di premis perniagaan sebegitu disediakan imam bertugas, kegagalan dihadapi negeri-negeri diperintah Umno malah melibatkan masjid-masjid mukim dan masjid daerah. Apa yang berlaku di Terengganu adalah contoh yang amat ketara.

Kebanyakan masjid di negeri itu memang tidak cukup imam dan bilal. Bahkan ada masjid yang terpaksa menggunakan “khidmat” tv untuk melaungkan azan tatkala masuk waktu solat. Itulah yang dilaporkan berlaku di salah sebuah masjid jamek di Kemaman, awal tahun ini.

Beberapa perkara disebutkan di atas hanyalah contoh siri agenda Islamik yang dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan. Sama ada dalam isu tulisan jawi mahu pun arahan memakmurkan surau, hakikat bersebati di sebalik isu-isu tersebut sebenarnya menyerlahkan perbezaan amat ketara antara halatuju dan keprihatinan pemerintahan PAS berhubung hal ehwal Islam berbanding Umno.

Sepertimana ditekankan Wan Nik lewat tulisannya tadi, pemerintahan PAS selama 21 tahun di Kelantan boleh dianggap bukti bernyawa bahawa parti itu “adalah satu-satunya parti Islam yang memperjuangkan dasar politik dan pentadbiran Islam serta luhur di atas landasan perjuangan Rasulullah s.a.w.”

Justeru, jika pun Umno Kelantan tampil dengan Gelombang Merah yang ikut disertai taburan wang ehsan dan berbagai umpan kebendaan lain, semuanya itu insya Allah menjadi kecil dan tidak mampu menandingi nikmat berpayung  di bawah pemerintahan Islam di terajui PAS. Selagi rakyat Kelantan berpegang kepada dasar dan fahaman sedemikian, maka pada adat katanya payah lah sikit Umno nak merampas semula negeri itu daripada PAS!

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 22 Oktober 2011 di ruangan 'Pendapat dan Analisis' dengan tajuk sama)

Thursday, October 20, 2011

HKR-PGU, manifesto kembalikan aura 1999 di Terengganu


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sekalung tahniah beserta doa buat PAS Terengganu kerana sekali lagi menzahirkan tekadnya mengambil alih teraju pemerintahan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN). Kesungguhannya melengkapkan siri Himpunan Kebangkitan Rakyat - PAS Ganti Umno (HKR-PGU) sebagai usaha terbesar menggempur massa wajar dipuji. Ia bukan kerja mudah, bukan juga menelan belanja yang murah.

Besar harapan tiga siri himpunan itu mencapai hasrat mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menolak BN, seterusnya membuahkan kemenangan manis buat PAS lewat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Jumaat dan Sabtu lalu berlangsungnya HKR-PGU siri terakhir di Pantai Pandak, Kuala Terengganu. Program yang berlangsung selama satu hari dua malam itu dianggap medan kedua terbesar menghimpunkan para pendukung dari seluruh negeri selepas Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri yang saban tahun diadakan.

Himpunan minggu lalu adalah siri dikhususkan sebagai program gempur bagi zon tengah, melibatkan empat kawasan iaitu Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, selain Kuala Terengganu sendiri. Difahamkan siri pertama di Kemaman pada 15 Januari 2011 adalah untuk zon selatan (Kawasan Kemaman dan Dungun). Manakala siri kedua di Besut pada 18 dan 19 Mac lalu untuk zon utara (Besut dan Setiu).

Sejauh mana kejayaan melengkapkan tiga siri HKR-PGU itu benar-benar menyerlahkan kebangkitan rakyat biar lah masing-masing menilainya. Namun paling tidak ia menjadi medan terbaik buat PAS Terengganu ‘memanaskan badan’ para petugas dan pendukungnya menghadapi PRU-13 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Lebih membanggakan, parti yang pernah dua kali menguasai Terengganu itu juga mendahului sebilangan negeri lain dalam mengemukakan agenda pemerintahan yang bakal ditegakkannya. Serentak dengan berlangsungnya HKR-PGU siri ke-3 itu, PAS negeri turut melancarkan manifestonya bertemakan "Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan". Ia disempurnakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Antara perkara awal yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah negeri itu termasuklah mengembalikan peraturan menghapuskan cukai pintu rumah kediaman dan menyelesaikan isu tanah rakyat yang dirampas oleh BN. Ia juga berjanji memperuntukkan cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan wanita yang kematian suami.

Turut diumumkan ialah usaha PAS menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun, selain program merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas untuk rakyat miskin.

Tidak syak lagi pemilihan lima perkara atau isu itu amat menyentuh asas permasalahan dihadapi rakyat Terengganu. Ia merupakan isu setempat yang mampu memberi ‘nilai tambah’ kepada pelbagai isu nasional, terutama jika dibicarakan soal peningkatan kos sara hidup dan kezaliman pemerintahan BN.

Contohnya, janji menghapuskan cukai pintu rumah kediaman bukan lagi cakap kosong. PAS telah membuktikan kesungguhannya apabila sebaik mengambilalih pemerintahan daripada BN pada 1999, kerajaannya telah membatalkan kutipan cukai berkenaan.

Bahkan penghapusan itu turut melibatkan tunggakan cukai terbabit untuk tahun-tahun sebelum itu. PAS telah membuktikan kesungguhannya mengurangkan beban hidup rakyat, walau pun sebagai akibat penghapusan itu kerajaan negeri terpaksa mengorbankan sumber hasil berjumlah RM12 juta setahun. Pelepasan membayarnya pada hakikatnya merupakan bonus tahunan daripada kerajaan negeri kepada setiap rakyat terbabit.

Di antara pencapaian kerajaan PAS Terengganu paling menonjol juga ialah kejayaannya menyelesaikan pemilikan tanah rakyat. Untuk dua tahun terakhir pemerintahannya, PAS berjaya memproses lebih 50 ribu lot tanah setahun bagi dilupuskan kepada rakyat.

Kejayaan itu amat memalukan BN kerana selama 38 tahun ia memerintah Terengganu sebelum itu perkara tersebut gagal diselesaikannya. Bagi menutup keaiban itu BN membatalkan semua anugerah tanah diluluskan PAS. Maka berlakulah siri rampasan tanah rakyat secara besar-besaran di seluruh Terengganu.

Tekad PAS untuk menyelesaikan isu tersebut adalah isyarat jelas betapa parti itu serius mengembalikan hak rakyat yang telah dizalimi BN.

Ada pun janji memberi cuti sebulan bergaji untuk kakitangan wanita yang kematian suami adalah suatu pembaharuan yang bakal membuat BN sekali lagi tersentak. Sebelum ini BN telah ‘dimalukan’ oleh agenda pembelaan PAS Terengganu kepada kaum wanita apabila kerajaannya dulu memperkenalkan cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan wanita yang disertakan cuti tujuh hari kepada suami.

Walau pun sewaktu mula diperkenalkan, BN mencemuhnya dan menganggapnya merugikan sektor perkhidmatan, tanggapan itu berubah kemudiannya. Pelbagai pihak ketiga, terutama pertubuhan wanita dan kesatuan sekerja, turut menuntut kerajaan Pusat mengaplikasi peraturan sama. Ia kemudiannya ikut disuarakan kementerian berkaitan wanita. Mahu tidak mahu BN akhirnya terpaksa akui ia langkah ke depan PAS membela kaum wanita.

Ada pun agenda khas untuk rakyat miskin juga diingati rakyat sebagai antara kejayaan terbaik pemerintahan PAS. Program mengurangkan kadar kemiskinan amat mengesankan. Bahkan BN sendiri hingga kini mengekalkan Tabung Darul Iman diwujudkan kerajaan PAS. Justeru, apabila PAS menyatakan hasrat mewujudkan program untuk golongan itu, tiada siapa yang akan mempersoalkan komitmen dan keupayaannya.

Kelima-lima butiran manifesto itu sebenarnya banyak mengembalikan ingatan manis rakyat Terengganu kepada pemerintahan PAS dulu. Ia diharap dapat membantu menyemarakkan gelombang kebangkitan mereka menolak BN nanti. Apatah lagi melihatkan sambutan membanggakan di setiap siri HKR-PGU yang diadakan, aura 1999 semakin dirasai di negeri Penyu itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1683, 21 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk "Kembalikan aura 1999".)

Tuesday, October 18, 2011

PAS Terengganu tekad ‘bayar’ kezaliman Umno

Oleh: Mohd. Nasir Awang

Tentu ada sebab sangat munasabah mengapa daripada sebegitu banyak perkara atau isu yang boleh digarap, PAS Terengganu memilih untuk mengetengahkan isu tanah sebagai salah satu agenda diutamakannya jika diberi peluang kembali memerintah negeri itu lewat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Umum mengetahui ia bukan isu baru. Namun seperkara yang pasti, isu tanah mempunyai nilai sentimental sangat tinggi buat warga Terengganu. Sebut saja soal hakmilik tanah, ia akan segera mengingatkan mereka kepada berbagai perkara yang bersebati dengan isu ini.

Pertama, isu tanah sepanjang masa akan dikaitkan dengan kehebatan kerajaan PAS berbanding kerajaan terdahulu yang digantinya. Walau pun hayat pemerintahannya sangat singkat, parti itu telah membuktikan kecekapan dan keazaman tingginya menyelesaikan permasalahan rakyat. PAS berjaya menyelesaikan permasalahan yang gagal diselesaikan Barisan Nasional (BN) sejak puluhan tahun.

Kedua, isu tanah juga turut menyimpan ingatan rakyat Terengganu terhadap kerakusan dan kezaliman BN. Isu pembahagian tanah seakan sinonim dengan tragedi perampasannya oleh kerajaan diterajui Umno.

Semua rakyat yang prihatin dan celik mata hati akan segera terbayang bagaimana para pemimpin parti Melayu itu bertindak seakan manusia tidak waras apabila tanpa kasihan belas dan pertimbangan kemanusiaan sanggup merampas tanah dan merobohkan rumah-rumah rakyat yang baru didirikan.

Puncanya hanya satu – Umno tidak sanggup menanggung malu berterusan apabila rakyat bercakap soal kejayaan PAS mengagih dan menyelesaikan hakmilik tanah yang gagal dibuat kerajaan BN sebelumnya.

Memang di atara kejayaan pentadbiran kerajaan PAS Terengganu paling menonjol ialah soal menyelesaikan pemilikan tanah rakyat. Kerajana PAS melakukan reformasi pentadbiran tanah dengan menyusun semula sistem pelupusannya.

Antaranya mengurangkan karenah birokrasi dalam proses permohonan dan kelulusan. PAS juga menurunkan lebih banyak kuasa membuat keputusan ke peringkat pentadbiran tanah daerah. Sebelum itu segala keputusan berkenaan hanya dibuat di peringkat negeri.

Permohonan tanah rakyat yang ditutup secara rasmi oleh BN sebelumnya sejak 1975 dibuka semula sebaik PAS memerintah. Manakala kadar premium tanah diturunkan daripada 20% kepada 10% harga pasaran tanah. Malah bagi golongan miskin kadar itu diturunkan lagi kepada hanya 5%.

Kaedah pelupusan yang cepat dan singkat juga dikenalpasti. Antaranya menggunakan khidmat juruukur tanah berlesen (JTB), apabila juruukur tetap di pejabat-pejabat tanah terbukti gagal menepati tahap penyelesaian diperlukan.

Hasilnya puluhan ribu rakyat negeri itu, termasuk ribuan ahli dan penyokong Umno yang selama berpuluh tahun menunggu peluang memiliki tanah telah diberikan hakmilik masing-masing. Kejayaaan itulah yang amat memalukan Umno, kerana selama 38 tahun ia memerintah Terengganu sebelum itu (1961-1999) perkara tersebut gagal diselesaikannya.

Tanah adalah harta tetap yang amat bernilai dan nilainya sentiasa meningkat masa ke masa. Ia lebih bernilai berbanding pemberian subsidi lembu-kambing beserta bangsalnya. Ia bukan setanding nilai sebuah bot enjin sangkut, tong fiber, pukat atau lain-lain perkakasan nelayan. Bahkan ia jauh lebih bernilai berbanding huluran RM300 atau RM500 wang ehsan saban tahun untuk kalangan terpilih.

Anugerah sangat bermakna itu bagaimana pun menjadi tidak menentu gara-gara tindakan balas dendam kerajaan BN yang kembali berkuasa sejak 2004. Semua proses permohonan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang telah diluluskan dibekukan.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu di dalam surat rasminya kepada semua pentadbir tanah daerah bertarikh 7 April 2004 memperincikan arahan tersebut. Semua permohonan RTB yang telah diluluskan tidak boleh dikeluarkan Jadual 5A (surat tawaran membuat bayaran hakmilik tanah).

Semua permohonan RTB yang telah dikeluarkan Jadual 5A pula tidak boleh diterima bayarannya. Manakala semua permohonan yang telah dijelaskan bayarannya juga tidak boleh dikeluarkan hakmilik.

Di masa sama, segala kerja oleh JTB seperti siasatan, kerja-kerja pengukuran, penyediaan layout/pelan, jabatan teknikal, tunjuk lot, penyediaan pelan hakmilik dan lain-lain kerja yang berkaitan turut dibekukan.

Hasilnya berlakulah tragedi perampasan tanah secara besar-besaran melibatkan ribuan lot tanah yang telah pun dianugerahkan kepada rakyat. Ia bukan sahaja melibatkan pengambilan semula lot-lot tanah kosong, tetapi turut membabitkan perobohan rumah-rumah rakyat, yang sebahagiannya masih dalam pembinaan, manakala sebilangan lagi telah pun siap dan diduduki.

Kekejaman Umno ketika itu amat sukar dibayangkan. Agak munasabah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dalam salah satu sessi perbahasan di sidang Dun Terengganu ketika itu menyifatkan kerajaan Umno lebih teruk dan lebih jahat daripada Yahudi Israel. Katanya, Israel hanya merampas tanah dan meroboh rumah orang Palestin yang berlainan agama dan bangsa, tetapi kerajaan Umno tergamak membuat perkara sama terhadap rakyat yang sebangsa dan seagama mereka.

Kegilaan Umno bahkan sampai ke peringkat gagal bertolak ansur dalam soal berkaitan agama apabila turut memangsakan sebuah masjid yang telah pun digunakan di Kemaman. Bagi menjustifikasi tindakan biadab itu ia melontarkan berbagai dakwaan dan fitnah, termasuk mengaitkan rumah Allah itu sebagai markas sekumpulan manusia yang merancang untuk mengadakan huru-hara dan mengancam keselamatan negara.

Fitnah itu terbukti satu alasan diada-adakan kerana sampai hari ini tiada seorang pun di antara penduduk terbabit diseret ke muka pengadilan di atas dakwaan itu. Kesemua tindakan rakus dan zalim itu tersimpan dalam memori rakyat Terengganu. Diharap garapan semula isu ini membantu menyegarkan ingatan itu, seterusnya mendorong mereka membuat pilihan sebaiknya dalam pilihan raya nanti.

Sebab itu suatu pilihan amat tepat dan bermakna apabila PAS Terengganu meletakkan perkara menyelesaikan isu rampasan tanah oleh BN sebagai salah satu di antara lima perkara paling diutamakan dalam manifesto pilihan rayanya kali ini.

Empat lagi perkara awal yang akan dilaksanakan PAS jika diberi amanah memerintah negeri itu termasuklah mengembalikan peraturan menghapuskan cukai pintu rumah kediaman dan memperuntukkan cuti 30 hari bergaji bagi kakitangan kerajaan wanita yang kematian suami.

Turut diumumkan ialah usaha PAS menyediakan 17,000 peluang kerja dalam tempoh tiga tahun, selain program merakyatkan ekonomi dan menyediakan skim khas untuk rakyat miskin.

Bertemakan "Terengganu Maju, Islam Berdaulat, Negeri Berkebajikan", dokumen yang menjelaskan perancangan dan halatuju pemerintahan PAS itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Presiden parti, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada aturcara penutup program Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Pantai Pandak, Kuala Terengganu, malam Sabtu lalu.

Penonjolan kelima-lima perkara tersebut dianggap kena pada masa dan sesuai dengan perkembangan politik mutakhir ini yang menyaksikan tahap pemikiran massa yang semakin terbuka dan rasional. Menyebutkan perkara-perkara berkenaan akan mudah mengingatkan sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan politik kepada beberapa hakikat yang beraku di Terengganu, terutama sejak 1999 lalu.

Dari perspektif itu, manifesto diumumkan Sabtu lalu boleh dianggap penegasan bertulis yang menggambarkan tekad PAS Terengganu untuk mengajak rakyat negeri itu sama-sama ‘membayar’ kembali segala kezaliman Umno serta pembohongan dan kegagalan pemerintahan BN sejak tujuh tahun lalu.

Semoga lontaran itu mampu mengusik jiwa rakyat dan membantu mereka membuat pilihan sebaiknya dalam pilihan raya nanti, sejajar hasrat Tuan Guru Presiden dalam ucapannya yang antara lain menyebut, sebuah kerajaan yang diberi amanah memerintah perlu menunaikan tiga tanggungjawab utama iaitu menjadi kerajaan yang memperhambakan diri pada Tuhan, memberi makan kepada rakyat sehingga rakyat tidak lapar dan menjaga keselamatan dalam negara.

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 18 Oktober 2011 di ruangan 'PENDAPAT DAN ANALISIS'.)

Sunday, October 16, 2011

Murtad: Ingat pesan Saidina Umar


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Perbincangan mengenai gejala kemurtadan umat Islam di negara ini tidak pernah berkesudahan. Walau pun aktiviti memesongkan kepercayaan penganut Islam telah dikesan berlaku sejak sekian lama dan siri perbahasan mengenainya diadakan berulangkali, ia bagaikan tidak pernah menemui jalan penyesaian muktamad.

Isu itu sekadar menjadi pemanas meja rundingan dan diskusi. Di masa sama ia menjadi bahan menghangatkan sajian media sekali gus melariskan jualan akhbar-akhbar buat beberapa ketika. Ia timbul dan memuncak seketika, sebelum tenggelam tanpa disertakan langkah atau keputusan konkrit mengelakkan gejala itu berterusan.

Baru-baru ini isu murtad dijulang kembali. Ia terlonjak ekoran pemeriksaan dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke sebuah premis di Petaling Jaya, 3 Ogos lalu. Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama Kristian dikatakan menyewa premis berkenaan untuk majlis makan malam.

Anehnya, penganjur turut menjemput sebilangan umat Islam ke majlis yang diadakan pada bulan Ramadhan itu. Siasata JAIS mendapati kehadiran mereka bukan semata-mata di atas tujuan menjamu selera, tetapi disirati agenda pihak penganjur yang didakwa cuba memesongkan akidah umat Islam.

Perkara itu disahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi titah Baginda yang dibuat Isnin (10 Oktober) lalu. Selaku Ketua Agama Islam negeri, Baginda melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha pihak terbabit yang cuba melemahkan kepercayaan penganut Islam.

“Beta amat berharap selepas daripada ini, apa-apa kegiatan dan aktiviti yang sedang berjalan atau yang akan berjalan bagi tujuan mengembangkan ajaran agama lain kepada penganut Agama Islam dalam Negeri Selangor ini hendaklah dihentikan segera dan tiada kegiatan dan aktiviti yang serupa dijalankan di masa hadapan” titah Baginda.

Biar pun ada yang merasa sedikit tidak puas hati tatkala Baginda memutuskan tiada pendakwaan dilakukan terhadap pihak yang menceroboh kesucian akidah umat Islam dalam kes itu, pendirian itu tidak sepatutnya dianggap suatu kompromi.

Sebaliknya, ia isyarat dan amaran amat tegas kepada mana-mana pihak bahawa Sultan dan Raja Melayu tidak akan mudah bertolak-ansur apabila akidah dan kepercayaan umat Islam diganggu-gugat.

Ekoran kenyataan tegas itu pelbagai pihak tampul dengan reaksi positif. Kesemua mereka tanpa mengira fahaman politik dan status sosial bersetuju supaya gejala murtad dibendung habis-habisan. Ada yang menyeru agar sebarang usaha membanteras aktiviti memurtadkan umat Islam tidak dipertikaikan. Ada pula yang menyarankan agar digubal suatu akta yang menyediakan hukuman keras terhadap mereka yang didapati bersalah cuba memesongkan akidah umat Islam.

Apatah lagi ketegasan Sultan Selangor itu dilihat seiringan dengan apa yang diluahkan Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah, tepat tiga minggu sebelum itu. Dalam titah ucapannya di Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh Malaysia di Kuala Lumpur, 26 September lalu, Dr Raja Nazrin Shah turut menyentuh gejala merosakkan akidah ummah itu.

 “Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan – satu nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah”, titah Baginda.

Ketegasan pihak istana selaku Ketua Agama negeri-negeri telah disuarakan. Reaksi positif dari khayalak agamawan dan pemimpin masyarakat juga sudah didengari. Namun, sejauh manakah kita akan menemui jalan terbaik menghentikan penularan gejala murtad ini? Ataukah ia sekali lagi akan mengulangi episod-episod lepas yang menyaksikan isu ini tenggelam begitu sahaja dan bakal kembali timbul dengan kes menggemparkan suatu hari nanti?

Dalam hal ini, umat Islam seharusnya ingat pesanan Saidina Umar ibn al-Khattab r.a. dengan katanya ‘kita adalah kaum yang telah diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam. Andaikata kita cuba mencari kemuliaan dengan yang selain daripada Islam, nescaya kita akan dihina oleh Allah”.

Maksudnya, dalam apa pun keadaan umat Islam sepatutnya tidak melupakan ajaran agama mereka sebgaai penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi. Sehubungan itu dalam keghairahan mencari kaedah atau jalan terbaik menyelesaikan gejala kemurtadan ini, sudah sewajarnya kita kembali kepada apa yang diajarkan Islam.

Dalam hal ini semua pihak tanpa mengira fahaman politik mahu pun agama dan keturunan wajar memperakui hakikat bahawa hanya hukum Islam yang secara jelas menyenaraikan perbuatan murtad sebagai kesalahan jenayah.

Justeru, mana-mana pihak yang sangat menentang usaha memurtadkan umat Islam tetapi tercelupar mulut sebelum ini untuk mempertikaikan cadangan pelaksanaan hudud oleh PAS wajib segera bertaubat, menyesali keterlanjuran mereka dan tampil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha mendaulatkan hukum Islam itu.

Mudaha-mudahan dengan tertegaknya hukum Islam itu akidah dan kepercayaan umat islam tidak lagi dicerobohi pihak lain, sekaligus menjamin kemuliaan Islam menepati ingatan Saidina Umar r.a. itu.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1682, 17 Oktober 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk 'Murtad: Ingat pesan Umar al-Khattab')