Friday, September 30, 2011

Fakta penubuhan PAS bukti Umno tolak Islam


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Esok, 1 Oktober 2011, ribuan pemimpin, ahli dan pendukung PAS dijadualkan berhimpun di Kepala Batas, Pulau Pinang bagi merayakan Sambutan Ulangtahun ke-60 usia perjuangannya.

‘Sepak mula’ aturcara sambutan itu malah berlangsung lebih awal dengan acara Forum Perdana yang dijadual diadakan malam ini (Jumaat). Dengan tajuk “PAS: Pembangkang, Pemerintah dan Penyelamat Ummah”, forum yang menampilkan Ustaz Idris Ahmad sebagai moderator itu turut membariskan empat nama besar dalam perjuangan Islam tanahair.

Mereka adalah Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu; Naib Presiden, YB Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Agenda lebih padat bagaimana pun menanti hadirin esok hari. Seperti biasa, ia bakal dipenuhi sessi ucapan, pembentangan kertas kerja dan perbahasan di sebelah pagi. Serentak itu turut dilangsungkan karnival jualan dan pameran sejarah PAS, selain ikut diselit aturcara persembahan pentas.

Manakala di sebelah malamnya akan diadakan Solat Hajat dan Munajat Perdana, sebelum diakhiri dengan Ucap Perdana membariskan lima pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat mewakili DAP, KeADILan dan PAS sendiri.

Pemilihan Pulau Pinang sebagai tapak sambutan bukan dibuat tanpa perhitungan politik. Ia bukan semata-mata memanfaatkan negeri diperintah Pakatan Rakyat bagi memudahkan urusan sambutan. Ia sebenarnya bersandarkan fakta sejarah penubuhan PAS itu sendiri. Parti Islam itu terbentuk secara rasmi 60 tahun lalu menerusi Persidangan Persatuan Ulama Se-Malaya di Butterworth.

Sepertimana bunyi namanya, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) yang kemudiannya didaftarkan sebagai Pan-Malayan Islamic Party (PMIP), tujuan penubuhan PAS adalah demi memenuhi tuntutan agama. Ia digariskan dengan jelas “.. untuk membentuk suatu tenaga bersama bagi menyelenggarakan  segala tuntutan Islam dan siasah berdasarkan demokrasi”.

Agak janggal bunyinya apabila pertubuhan baru itu memilih bekas Pengerusi Biro Agama Umno, Tuan Guru Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertuanya (Presiden) yang pertama. Walau pun ada penulis sejarah mendakwa kesediaan beliau menerajui PAS ekoran permasalahan peribadinya dengan para pemimpin Umno, fakta sejarah lebih popular mengenai faktor berpalingnya Ahmad Fuad daripada parti Melayu itu ialah perbezaan pendirian mengenai hukum Islam.

Beliau dikatakan sangat kecewa apabila Umno memutuskan untuk mewujudkan Loteri Kebajikan Masyarakat. Selaku orang agama dalam Umno, beliau menegaskan betapa perkara itu tidak terlepas daripada unsur perjudian yang mana hukumnya di sisi Islam adalah jelas haram.

Sebagaimana diduga pandangan beliau diketepikan begitu sahaja oleh Umno dan permainan loteri itu dilaksanakan. Umno tidak pernah menganggapnya sebagai judi.

Mungkin setelah 60 tahun berlalu, ada pengkaji sejarah yang masih mempertikaikan percanggahan fakta tersebut. Sudah tentu khalayak yang kuat menyokong Umno atau amat cenderung hati kepada perjuangan nasionalisme-sekularisme dianuti parti itu akan mempertahankan versi pertama, iaitu Ahmad Fuad menyertai dan memimpin PAS kerana kecewa setelah gagal mendapat tempat dalam pemilihan Umno.

Namun rasanya tidak akan ada mana-mana pakar sejarah yang tergamak memperbodohkan dirinya dengan mendakwa kononnya Ahmad Fuad tidak pernah menjadi ahli dan pemimpin Umno, sepertimana ada profesor kini mendakwa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British dulu-dulu!

Penafian fakta sejarah diterima umum sekian lama itu mungkin bermaksud membasuh imej Umno. Logiknya, jika Ahmad Fuad bukan pemimpin Umno, maka tidka timbul soal beliau menentang judi dianjurkan parti itu dari dalam.

Samalah juga usaha seorang profesor membela maruah Umno yang kian tercemar ekoran kesedaran umum mengenai fakta sebenar sejarah negara. Logiknya, jika benar British tidak pernah menjajah Malaya, sebaliknya hanya menaungi dan membantu Raja-Raja Melayu mengurustadbir negara, maka sudah tentu sesiapa yang menentang British dulu boleh dianggap pemberontak dan pengganas.

Namun perbuatan sedemikian pada hakikatnya satu bentuk jenayah akademik yang hanya mencemar dan menjatuhkan martabat cendikiawan itu sendiri.

Kalangan pencatat sejarah yang condong kepada kepentingan Islam pula akan melihat kesediaan Ahmad Fuad menerajui PAS sebagai natijah percanggahan pendirian Umno dengan hukum Islam diperjuangkan ulama, termasuk ulama di kalangan parti itu sendiri.

Sebetulnya itulah antara pengajaran dan pemerhatian yang sepatutnya dikutip generasi kini, terutama dalam menghayati sejarah penubuhan dan perkembangan PAS sejak enam dekad lalu. Bahawa pendirian Umno dan hukum Islam adalah dua perkara yang kerap tidak sehaluan sejak dulu.

Islam dan al-Quran mengatakan judi itu haram, Umno mendakwa sebaliknya. Selagi mana ia melihat ada ruang dan peluang menjana pendapatan dan memacu ekonomi, apa dipedulikannya hukum agama?

Sebab itu Umno bukan sahaja membolehkan pihak lain mengoperasi aktiviti perjudian menerusi pemberian lesen dan berbagai kemudahan, malah parti itu sendiri turut terlibat secara aktif menganjurkannya. Kes Loteri Kebajikan Masyarakat itu adalah pemula sejarah. Ia dianjurkan kerajaan Umno sendiri.

Pendirian Umno yang kerap bercanggah dengan Islam sebegitu berterusan hingga ke era kini. Masakan anda sudah lupa bagaimana para pemimpin Umno menjadi pencetus idea dan pencanang utama untuk melesenkan (baca ‘menghalalkan’) pertaruhan sempena pertandingan bolasepak Piala Dunia tahun lalu?

Sebaliknya PAS bukan setakat membantah agenda mengharuskan judi oleh Umno sewaktu penubuhannya dulu, pendirian yang selari dengan tuntutan hukum Islam itu kekal dipegang PAS hingga kini. Anda boleh semak fakta sejarah dan akui keseriusan parti Islam itu menentang sebarang bentuk perjudian melibatkan bidang kuasa kerajaan dan ia menjadi agenda perjuangan PAS sepanjang zaman.

Sebagai bukti paling jelas, PAS serta-merta mengarahkan penutupan premis perjudian di Kelantan dan Terengganu yang diperintahnya secara mutlak. Di atas bidang kuasa terbatas dimilikinya ke atas lesen premis, kerajaan negeri ditadbir PAS telah melakukan sedayanya. Sedangkan lesen pengoperasian adalah di bawah Kementerian Kewangan dikuasai Umno.

Pendirian mengenai judi itu adalah pemerhatian pertama dari fakta penubuhan PAS, sekaligus menyerlahkan perbezaan pendirian antara PAS dan Umno. Al-Quran kata judi haram, PAS menegaskan judi haram, Umno sebaliknya menghalalkannya.

Maka jangan terkejut dan pura-pura hairan jika mutakhir ini kita dapati Umno bermati-matian menegaskan bahawa parti itu tidak pernah dan tidak akan bersedia melaksanakan hukum Islam, termasuk hudud, di dalam pemerintahannya! Ingat, sudah menjadi tradisi sejak berdekad lalu bahawa pendirian Umno dan hukum Islam memang tidak sehaluan.

Kedua, sepertimana disebutkan sepintas lalu di atas, bahawa pandangan mengenai hukum Islam selalunya sukar mendapat tempat di dalam Umno. Jangan dikatakan pandangan itu datang daripada luar suku-sakat parti itu, ia termasuk juga yang disuarakan kalangan pemimpin Umno sendiri.

Kes Ahmad Fuad membantah loteri itu sekali lagi menjadi contoh terbaik. Nampaknya itulah cara ‘terbaik’ Umno melayan ulama dan agamawan di dalam parti itu.

Meneliti perjalanan Umno dalam era kemudian ini pun, hakikat itu tidak jauh bezanya. Mana ada seorang yang dikenali sebagai ilmuan agama kekal lama dalam hierarki kepimpinan Umno? Kalau ada pun yang mampu bertahan agak lama, sejauh manakah suaranya berhubung hukum dan peraturan Islam diendahkan khalayak terbanyak parti itu? Sebaliknya pemimpin berlatar belakang agama itu sendiri hanyut dan tenggelam bersama sikap dan tabiat ‘haru-biru’ yang bersebati dengan parti itu.

Pengajaran ketiga daripada fakta penubuhan PAS di atas ialah bagaimana cetek dan terpesongnya penafsiran Umno terhadap istilah-istilah berkaitan agama. Lihat saja bagaimana ia tergamak melabelkan permainan judi yang jelas haram itu sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat? Agaknya bagi Umno kebajikan itu tidak perlu mengambilkira halal atau haram, ya?

Sedangkan konsep kebajikan (al-Birr) disebutkan al-Quran dan diperjuangkan PAS semestinya tidak lari daripada paksi ‘beriman kepada Allah dan Hari Akhirat’. Ertinya kebajikan dimaksudkan PAS senantiasa mengambilkira pahala-dosa, selari digariskan Islam.

Sebab itu jangan terpedaya dengan dakwaan Umno kononnya Negara Berkebajikan diperjuangkan PAS sudah lama dilaksanakannya. Pemahaman Umno terhadap istilah ‘kebajikan’ itu amat dangkal dan terpesong dari landasan Islam.

Buktinya, ia dengan mudah mendakwa PAS telah meninggalkan matlamat menubuhkan Negara Islam apabila menyatakan hasrat ‘Membangun Negara Berkebajikan’. Kejahilan dan kebebalan Umno menyebabkan ia tidak faham bahawa Negara Berkebajikan itu salah satu wajah atau ciri bagi Negara Islam.

Di atas hakikat sama jangan pelik apabila Umno mencipta istilah ‘Islam Hadhari’ yang bukan sahaja janggal dari segi nahu Arabnya, malah mengelirukan fahaman masyarakat mengenai ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya Umno sendiri pun malu menyebutnya dan kini ‘Islam Hadhari’ dianggap berkubur bersama jatuhnya sang pencetus istilah itu.

Ada pula pemimpin Umno tergamak menyandarkan fahamannya yang cetek mengenai ketetapan agama untuk dijadikan dalih daripada melaksanakan hukum Islam. Kononnya dia faham apa itu maqasid syariah. Bahawa maksud-maksud ketetapan syariat Islam itu mementingkan keadilan dalam mempertahankan kesucian aqidah, harta benda, nyawa dan lain-lain.

Lalu di atas penafsiran ceteknya terhadap maqasid syariah itu, dia sewenangnya menidakkan perlunya ditegakkan hudud dan qisas. Sedangkan sebagai orang beriman kepada Allah, sudah tentu kita dituntut mengakui dan meyakini bahawa tiada undang-undang dan hukum yang lebih adil dan lebih menjamin aqidah, nyawa dan lain-lain itu selain hukum diturunkan Allah Ta’ala sendiri.

Itulah sepintas lalu penelitian terhadap fakta-fakta melingkungi sejarah penubuhan PAS 60 tahun lalu. Di samping berbangga dengan kelangsungan perjuangannya hingga kini, penubuhan parti Islam itu juga selayaknya dianggap bukti betapa tidak mahunya Umno kepada hukum dan peraturan Islam!

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily.net pada 30 September 2011 di ruangan 'FOKUS KHAS' dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily,net pada hari sama di ruangan 'Pendapat')

Umno penghalang utama pelaksanaan hudud





Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada beberapa perbezaan amat ketara antara pendirian PAS dan sikap Umno berhubung pelaksanaan hukum Islam, khususnya hudud, di negara ini sepertimana yang kembali digema-riuhkan sejak lebih seminggu lalu.

Meski pun kedua-dua parti itu sama-sama dikuasai orang-orang Melayu dan sama-sama pada zahirnya menampakkan komitmen terhadap Islam, cara dan tahap komitmen masing-masing memudahkan khalayak umum menilai perbezaan antara keduanya.

Sememangnya soal komitmen menjadi isu utama yang sering diperbahaskan. Oleh kerana pelaksanaan hukum Islam suatu yang besar dan berat, ia tidak mungkin disempurnakan tanpa komitmen yang tinggi daripada mana-mana pihak yang berhasrat menegakkannya.

Tidak sukar bagi sesiapa pun untuk mengetahui komitmen PAS. Ia tercatat dengan jelas di dalam perlembagaan parti itu dan dapat dirujuk pada bila-bila masa.

PAS secara terbuka mengisyitharkan bahawa dasarnya ialah Islam, bukan kebangsaan Melayu atau demokratik-sekularisme. Manakala hukum tertinggi dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH, (yakni al-Quran), SUNNAH RASUL (hadis), IJMAK ULAMAK dan QIAS. Dalam ertikata lain, hukum dipegang dan diperjuangkan PAS ialah apa-apa yang terkandung di dalam empat sumber rujukan utama itu.

Sehubungan itu, PAS menegaskan tujuan penubuhannya ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Hukum apakah lagi yang menepati kriteria dimaksudkan itu jika bukan hukum Islam yang dinyatakan  menerusi empat sumber tadi?

Sebab itu pantang ada kesempatan, PAS akan menzahirkan kesungguhannya berusaha agar hukum Islam dapat ditegakkan. PAS tidak mengambil masa lama, bahkan tidak sampai pun sepenggal pemerintahannya untuk mengemukakan enakmen jenayah syariah membabitkan hudud, qisas dan takzir, sama ada di Kelantan atau Terengganu yang diperintahnya. Rang undang-undang mengenai hukum itu telah dilulus kedua-dua Dewan Undangan Negeri itu dan diwartakan. Ia hanya menunggu tercabutnya halangan Perlembagaan Persekutuan untuk dikuatkuasakan.

Sementara PAS sedari awal penubuhannya hingga kini tidak jemu menzahirkan kesungguhan melihat hukum dan peraturan Islam (termasuk hudud) dilaksanakan di negara ini, Umno pula menyerlahkan sikap sebaliknya. Akuilah hakikat bahawa parti Melayu itu tidak pernah tidak ada peluang merealisasikan hasrat itu jika ia mahu. Ia diberi mandat memerintah negara dan negeri-negeri sebaik sahaja rakyat mula kenal proses pilihan raya, iaitu bermula 1955.

Malangnya Umno tidak pernah pula menyatakan kesediaan menyempurnakan tuntutan agama itu. Sebab itu hingga kini ia gagal mengemukakan rang undang-undang bersabit hukum itu. Bahkan tempoh kuasa memerintah selama 56 tahun dianggapnya masih belum cukup untuk memperkenal dan memahamkan hukum Islam kepada khalayak umum. Apakah rakyat Malaysia tersangat benak sehingga memerlukan tempoh sebegitu panjang memahami sesuatu hukum?

Sebenarnya bukan itu yang menjadi punca permasalahan. Pokok pangkalnya ialah komitmen Umno itu sendiri. Pendirian negatif para pemimpinnya terhadap hukum Islam bukan perkara tersembunyi lagi.

Sebab itu setiap kali timbuil isu pelaksanaan hukum Islam, termasuk hudud, komen dan reaksi dituturkan para pemimpin Umno sangat sinis dan ngilu. Dalam banyak keadaan mereka cenderung ke arah memperkecilkan usaha menegakkannya. Malah kekadang terlajak sampai menghina hukum Tuhan itu.

Ucapan-ucapan seumpama “hukum Islam tidak sesuai dijalankan di negara ini”, “daripada digunakan batu untuk merejam orang berzina, lebih baik digunakan untuk buat jalan raya”, “melaksanakan hukum Islam di zaman ini adalah ibarat memusing jarum jam ke belakang”, “negara akan huru-hara sekiranya dijalankan hukum Islam”, “jika dilaksanakan hukum potong tangan, nescaya ramailah orang Islam akan kudung dan Islam akan mendapat malu” dan banyak lagi kenyataan tidak bertanggungjawab senada itu adalah bukti-bukti yang menjelaskan sikap Umno terhadap hukum Allah.

Keengganan Umno mengakui keadilan dan kebaikan hukum Islam bukan sahaja terhenti setakat tidak bersedia melaksanakannya, malah ia juga tidak tergamak melihat hukum itu dilaksanakan pihak lain. Hakikat itu jelas tersurat menerusi amaran keras Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih sedekad lalu. Presiden Umno itu membayangkan tindakan tegas sekiranya Kelantan meneruskan hasrat melaksanakan hukum Islam, termasuk hudud.

Sikap Umno yang anti hukum Islam itu diserlahkan lagi oleh salah seorang pemimpinnya yang juga peguam dari Kelantan dengan memfailkan saman mahkamah terhadap kerajaan Kelantan dan Terengganu (ketika itu di bawah PAS) di atas kesungguhan kedua-dua negeri itu merealisasikan pelaksanaan hudud dan qisas.

Sebab itu ramai yang terkejut ‘beruk’ mendengar reaksi awal Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai polemik isu hudud minggu lalu. Kononnya, sepertimana dikatakannya, Umno juga menerima hukum hudud. Cuma ia merasakan masanya belum sesuai untuk hukum itu dilaksakan di negara ini, mengambilkira banyak faktor.

Sepintas lalu ramai yang menyangka reaksi itu menjadi titik tolak penting perubahan sikap Umno terhadap hukum Islam. Barangkali itulah pendirian paling lunak yang pernah dihamburkan pemimpin tertinggi Umno terhadap hudud. Sebelum ini boleh dikatakan tidak ada ruang langsung di kalangan mereka untuk berkompromi terhadap hasrat melaksanakan hukum itu.

Namun keyakinan dan rasa sedap hati rakyat terhadap reaksi Muhyiddin itu tidak kekal lama. Tidak sampai 24 jam selepas itu menyusul kata putus daripada Perdana Menteri merangkap Presiden Umno yang seakan “memperbetulkan” kenyataan Muhyiddin itu. Hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini dan Umno tidak pernah bersedia melaksanakannya. Itulah intipati penegasan Dato’ Seri Najib Razak yang tidak sukar difahami. Ia disiarkan hampir seluruh saluran media.

Walau pun sepintas lalu ada yang menganggap penegasan Najib itu hanya sebagai meredakan kemarahan rakan kongsinya, MCA dan Gerakan yang sangat lantang membantah hudud dan bukan menggambarkan pendirian sebenar Umno mengenai hukum itu, ia bukan lagi persepsi yang mudah diterima.

Track-record Umno dalam menggagalkan usaha PAS mendaulatkan hukum Islam amat ‘cemerlang’. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa parti itulah sebenarnya penghalang utama pelaksanaan hukum Allah di negara ini!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1677, 30 September 2011 di ruangan 'KOLUMNIS, F22' dengan tajuk 'Hudud: Umno penghalang utama')

Monday, September 26, 2011

Tukar bendera: Idris Jusoh dahului Manoharan


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat media-media talibarut Barisan Nasional (BN) berusaha keras mengelirukan minda masyarakat. Mereka sudah jadi alat propaganda pemerintah dan tidak lagi berperanan menyampaikan maklumat benar dan tepat untuk dinilai rakyat.

Laporan kebanyakan media arus perdana amat tidak telus, cenderung memutarbelit fakta dan berat ke arah mewujudkan suasana menguntungkan BN. Apa jua yang diperkata dan diperbuat para pemimpin parti itu diolah sebagai baik dan betul, lalu diwujudkan persepsi positif terhadapnya. Jika pun terdapat kelemahan dan kesilapan yang nyata, ia dengan segera disembunyi atau digelapkan dari bual bicara khalayak umum.

Sebaliknya, sebarang tindakan dan ucapan para pemimpin pembangkang walau pun sebenarnya mengandungi unsur dan hasrat positif disorot secara negatif dan tidak bertanggungjawab. Kesilapan kecil diperbesarkan, perkara yang pendek diperjelakan dan isu yang asalnya tidak seberapa sengaja ditokok-tambah.

Isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai pejuang kemerdekaan, Mat Indera adalah contoh yang diketahui umum. Meski pun sebutan kes saman terhadapnya berhubungkait perkara itu baru dibuat pada Rabu, 21 September, pemimpin PAS itu pada hakikatnya telah pun dianggap bersalah dan ‘dihukum’.

Selain ratusan laporan polis, timbunan caci nista, kutukan dan kecaman, Mat Sabu dan keluarga turut berdepan ugutan dan tindakan yang mengancam keselamatan mereka. Sebelum ini mereka menerima ugutan disimbah asid dan berbagai lagi. Kemudian laman rumah mereka dilontarkan bom petrol.

Jika ada hanya satu pihak yang dianggap paling bertanggungjawab mewujudkan salah faham dan menyemarakkan kebencian melampau terhadap Mat Sabu dan keluarganya, maka pihak paling layak dipersalahkan atas kerja itu ialah media talibarut BN. Ia nampaknya telah berjaya memutarbelit fakta ucapan pemimpin PAS itu, kemudian menyeretnya secara ‘out of cantact’ sehingga mewujudkan suasana tidak selamat buat mereka sekeluarga.

Agaknya memang itu yang menjadi matlamat media-media arus perdana ini. Mereka amat seronok melihat kewujudan suasana tegang dan saling bermusuhan dalam masyarakat. Barangkali ada suatu kepuasan tidak terhingga pada penguasa media-media talibarut itu apabila berjaya mewujudkan kebencian khalayak umum terhadap pembangkang. Boleh jadi pada congak mereka suasana itu sekaligus menaikkan ‘markah’ BN di mata rakyat.

Itulah juga yang kelihatan sedang diusahakan mereka menerusi manipulasi isu ‘tukar bendera’ yang dikaitkan dengan kenyataan seorang pemimpin DAP minggu lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan dalam coretannya menerusi laman facebook, 16 September antara lain meluahkan keengganannya mengibarkan bendera Malaysia “kerana ia lebih mirip dengan Barisan Nasional, bukan Malaysia”. Turut dibayangkannya ialah kemungkinan Pakatan Rakyat tampil dengan bendera baru jika berpeluang memerintah negara.

Catatan itu bagaimana pun mendapat bantahan dan kecaman pelbagai pihak, termasuk daripada para pemimpin Pakatan Rakyat dan partinya sendiri. Tidak sukar dibukti dan diakui bahawa ia hanyalah keterlanjuran peribadi wakil rakyat itu sahaja dan tidak sewajarnya dipalitkan kesilapan itu atas DAP, lebih-lebih lagi parti-parti rakan seperti KeADILan dan PAS.

Apatah lagi Manoharan sendiri mengambil sikap bertanggungjawab. Beliau mengakui kesilapannya, memohon maaf dan memadamkan komen tersebut dari laman facebooknya sebaik perkara itu diperdebatkan.

Justeru, media BN tidak sepatutnya terlalu ghairah ‘menangguk di air keruh’ dan berusaha mengekalkan kekeruhan itu. Ia tidak wajar hilang punca dan terus memainkan sentimen rakyat dengan menggambarkan kononnya pembangkang anti-nasional, tidak patriotik dan berusaha menukar segala identiti negara. Kononnya hanya BN, khususnya Umno yang sayangkan negara.

Apa yang kita perhatikan dalam isu ini, ia sebenarnya tidak lari daripada “garis panduan asas” sepertimana disebutkan di awal tadi. Bahawa asas dipegang media talibarut BN ialah apa juga yang datang daripada pembangkang akan diintai silap dan salahnya untuk diperbesarkan. Sebaliknya, sebarang kesilapan dan keburukan yang nyata di pihak BN akan seberapa daya digelap atau disembunyikan.

Sebab itu walau pun hasrat menukar bendera ini sebenarnya telah pun berlaku enam tahun lalu, kes itu tidak pula menjadi perbualan dan pertikaian dalam masyarakat. Tidak ada media arus perdana mengulasnya secara negatif.

Pihak bertanggungjawab mengutarakan cadangan itu juga tidak menerima sebarang kritikan, jauh sekali kecaman dan kutukan para penjuak BN. Kenapa? Apa lagi kalau bukan kerana cetusan idea itu datang daripada pemimpin utama parti itu sendiri!

Dato’ Seri Idris Jusoh, ketika itu selaku Menteri Besar Terengganu dipetik sebuah tabloid harian berbahasa Inggeris, 13 Oktober 2006 sebagai bertekad “menambahkan keceriaan” kepada bendera negeri tersebut.

“Saya menerima maklumbalas daripada ramai orang bahawa bendera (negeri Terengganu) ini sangat ringkas dan kusam,” akhbar itu memetik katanya, merujuk kepada bendera hitam-putih yang mula diperkenalkan pada 1953.

Idris yang terkenal dengan imej angkuh dan sering meletakkan buah fikirannya mengatasi pandangan pihak lain bahkan memperlekehkan pihak yang membantah cadangan itu. Beliau malah menganggap pihak berkenaan sebagai “hanya tahu mempertikai apa saja, walau pun di atas perkara yang positif”.

Difahamkan antara pihak yang membantah cadangan itu ialah Persatuan Sejarah Malaysia. Manakala para pemimpin BN, khususnya Umno, yang kononnya sangat patriotik dan sangat mengutamakan identiti yang telah bersebati dengan negara atau negeri, diam membisu seribu bahasa.

Walau pun apa yang dibuat Idris itu hanya membabitkan bendera negeri, bukannya bendera negara, ia tetap membawa implikasi serupa. Jika dibicarakan soal imej dan identiti, serta nilai sentimentalnya, cubaan menukar bendera yang telah diterima pakai sekian lama memang sepatutnya mengundang pertikaian dan bantahan.

Cadangannnya itu gagal direalisasikan, antara lain kerana difahamkan ia mendapat reaksi tidak menyenangkan daripada pihak istana. Idris bagaimana pun tidak pernah mengakui cadangannya itu suatu kesilapan. Beliau juga tidak pernah memohon maaf untuk itu.

Lebih menyerlah lagi, tiada mana-mana media talibarut BN menyiarkan ‘kesilapan’ itu. Jauh sekali untuk memperbesar dan menjela-jelakannya sebagai usaha “mencemar identiti dan menghapuskan warisan” negeri sepertimana tohmahan dan label dihamburkan terhadap Manoharan dan Pakatan Rakyat kini.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1676, 26 September 2011 di ruangan 'kolumnis, F21' dengan tajuk sama)

Friday, September 23, 2011

AS musuh utama keamanan dunia


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Hari ini, Jumaat, 23 September 2011 menjadi tarikh amat bersejarah buat para pencinta keamanan dan kedamaian dunia, khususnya yang selama ini merindui wujudnya sebuah negara berdaulat dinamakan Palestin. Pihak Berkuasa negara itu (PA) dijadualkan mengemukakan permohonan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi diiktiraf sama ada sebagai anggota yang sah kepada badan dunia itu, atau sekurang-kurangnya sebagai negara bukan anggota.

Kejayaan salah satu usaha itu menandakan PBB mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat. Status itu melayakkan Palestin memiliki pelbagai hak sebagai sebuah negara dan mempertahankan kepentingannya mengikut piagam dan peraturan dunia. Antaranya menandatangani perjanjian-perjanjian antarabangsa, termasuk menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Kelebihan itu membolehkan Palestin antara lainnya mendakwa mana-mana pihak (khususnya Israel dan sekutu-sekutunya) di atas jenayah kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat selama berdekad ini.

Dikatakan sehingga kini sudah ada 120 negara mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka. Manakala sebilangan lagi dijangka memberikan sokongan bagi menjayakan permohonan negara itu di Persidangan PBB nanti.

Namun sepertimana dijangka, ia bukanlah usaha yang mudah. Halangan dan usaha menggagalkan hasrat murni itu sememangnya wujud. Bahkan, walau pun majoriti negara dunia merestui usaha Palestin itu, terdapat sebilangan pihak, termasuk yang memiliki kekuasaan dan pengaruh ke atas masyarakat dunia sedang giat memastikan negara bernasib malang itu tidak mencapai hasratnya.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa andaikata ada hanya satu entiti yang dianggap halangan utama tercapainya kehidupan aman damai buat rakyat Palestin, maka entiti paling bertanggungjawab di atas kesengsaraan mereka itu ialah Amerika Syarikat (AS).

Walau pun pada zahirnya penderitaan warga bumi Masjidil Aqsa itu disebabkan sifat kebinatangan rejim haram Israel, peranan AS sebagai pelindung dan pembela segala tindakan negara terkutuk itu tidak syak lagi menjadi pendorong dan pemangkin kebuasan dan keganasannya.

Sejak sekian lama negara yang kononnya bertindak sebagai ‘polis dunia’ dan bertanggungjawab memastikan wujudnya keamanan sejagat itu sebenarnya hanya pencacai yang tunduk kepada hasrat menjaga kepentingan Israel. Sebab itu dalam apa jua keadaan, ia akan mengerah seluruh kekuatan serta memanfaatkan segala kedudukannya untuk mempertahankan rejim haram itu.

Media massa sejak minggu lalu banyak melaporkan keresahan AS terhadap usaha terbaru Palestin ini. Ia bimbang sekiranya negara yang menjadi medan pemuas nafsu Israel itu berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa, ia akan merencat dan menyulitkan agenda ganas dan buas Israel selepas ini.

Pengiktirafan terhadap kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara bakal membawa beberapa implikasi penting, yang sudah tentu memberikan keuntungan kepada negara itu dan di masa sama ‘bencana’ buat Israel.

Pemohonan PA disertakan hasrat mengikut garisan sempadan sebelum Perang Enam Hari 1967. Bermakna, jika diiktiraf dan diterima dengan syarat itu, Israel akan dipaksa keluar dari bumi yang kini dijajah dan dijadikan sebahagian negara haram itu. Dikatakan kini terdapat lebih 500,000 warga Israel menetap di kawasan dipertikaikan itu.

Resolusi 242 yang menetapkan Israel mesti keluar dari tanah dimaksudkan itu sebenarnya telah pun diluluskan PBB sejak November 1967. Namun disebabkan Palestin dianggap tiada kedaulatan sebagai sebuah negara, maka ia memberi kesempatan dan kemenangan percuma kepada Israel untuk terus memperkotak-katikkan keputusan badan dunia itu.

Kerakusan Israel terhadap Palestin tidak pernah kendur semenjak ia dimulakan pada 14 Mei 1948. Apa dipedulikannya dengan puluhan perjanjian dan piagam diputuskan PBB? Bila masa ia sedia tunduk atau hormat kepada sebarang resolusi dipersetujui khalayak antarabangsa? Timbunan kutukan dan kecaman dari seluruh dunia langsung tidak meninggalkan kesan kepada mereka, apatah lagi untuk membantutkan sebarang hasrat dan usahanya menjarah bumi Palestin.

Dari masa ke semasa akan ada serangan dan tindakan ketenteraan ke atas wilayah Palestin, di atas apa jua alasan dan dorongan. Halangan terhadap tindakan Israel memperluaskan penempatan haram di bumi Palestin juga bagaikan tidak pernah berkesan. Bangsa terkutuk itu hanya buat-buat pekak badak terhadap larangan atau kutukan dunia.

Ia terus juga menyondol bumi Palestin, mendirikan ceracak dan membina penempatan untuk warganya. Malah tidak sedikit juga kejadian di mana tentera Israel bersama warga awamnya hanya datang secara tiba-tiba ke rumah penduduk Palestin, menghalau tuan empunya rumah dengan rakus dan sewenang-wenang menjadikan rumah itu hak milik mereka. Celaka sungguh bangsa Israel ini, bukan?

Dalam setiap insiden keganasan dicetuskan bangsa terkutuk itu, dunia kerap berlengah dan bertangguh mengambil kata putus menghentikannya. Ia memberikan ruang secukupnya buat bangsa ganas itu menyempurnakan pembantaian dan pembunuhan. Pengusiran juga berlaku saban minggu dicelah-celah suara kecaman dan kutukan antarabangsa.

Ketidakupayaan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Liga Arab, serta kelengahan PBB menangani keadaan memberi ruang seluasnya untuk Israel mengganas sepuasnya.

Kerapkali usaha damai dan cadangan gencatan senjatan awal-awal lagi digagalkan AS menggunakan kuasa vetonya. Itulah faktor utama menambah keangkuhan Israel. Ia bagaikan diberi “lesen besar” untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingannya atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.

Bukan itu sahaja, selaku penguasa rangkaian propaganda dunia, kuasa besar itu turut mencorakkan pemikiran dunia bahawa apa yang dibuat Israel itu adalah demi mempertahankan kedaulatan negaranya, serta menghalang aktiviti terrorisme dari rakyat Palestin.

Dunia sentiasa diberikan gambaran negatif tentang perjuangan menuntut pembebasan dan kedamaian Palestin. Sebaliknya, keganasan dan kebuasan Israel dianggap halal dan diberikan gambaran positif.

Persepsi antarabangsa dicorakkan agar cenderung mencari kesalahan Palestin dalam setiap insiden. Umpamanya, banyak pihak lebih suka bertanya kenapa Palestin tidak mengiktiraf Israel, tetapi tidak ramai yang bertanya kenapa Israel tidak mahu keluar dan berhenti mengambil hak rakyat Palestin?

Lebih malang lagi, ada pemimpin negara Islam yang menyeru Palestin agar menghentikan intifadhah bagi memulihkan usaha damai dengan Israel. Dunia seolah-olah masih tidak faham punca sebenar pergolakan. Apa yang diperbesarkan ialah imej pemuda Palestin membaling batu yang disifatkan ‘ganas’, atau kejadian pengeboman berani mati.

Sejarah membuktikan betapa AS selaku kuasa besar tunggal dunia kini dan sering dianggap ‘polis dunia’ tidak boleh diharapkan untuk mencapai keamanan. Nampak sangat ia amat hipokrit dalam tindakannya menangani konflik Palestin-Israel.

Sebab itu ketika seluruh dunia hari ini kelihatan merestui hasrat Palestin muncul sebagai sebuah negara berdaulat, AS berusaha keras menggagalkannya. Siang-siang lagi ia memberi amaran akan menggunakan kuasa vetonya untuk menolak permohonan PA pada Majlis Keselamatan PBB. Ia juga mengancam akan menarik balik dana tahunan AS$600 juta (RM1.8 bilion) kepada PA jika meneruskan hasratnya itu.

Seluruh dunia yang cintakan kedamaian dan keamanan, terutama dunia Arab dan Islam, wajar sepakat dan bersependirian bahawa selama mana dunia tidak bertindak dengan lebih berani, selama itulah kenagkuhan dan kekejaman Israel akan terus meningkat.

Sikap tidak bertanggungjawab AS itu mengiyakan pandangan bahawa usaha menentang Israel dan menamatkan kerakusannya ke atas Palestin tidak akan berhasil sekiranya serentak itu dunia tidak sama-sama bertindak terhadap AS. Negara itu adalah saham utama keganasan Israel dan sama-sama menjadi musuh utama keamanan dunia.

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 23 September 2011 di ruangan 'Global' dengan tajuk sama.)

Thursday, September 22, 2011

Pendukung Umno makhluk tiada pendirian

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Benar sekali apa dikata orang bahawa para pendukung Umno mengamalkan politik ‘pak turut’. Mereka ini tiada pendirian sendiri, hanya tahu mengiya dan mengangguk apa yang disebut para pemimpin mereka. Sebarang pegangan atau pendirian mereka hanya bersifat sementara dan tiada yang kekal.

Arah sokongan dan kecenderungan mereka kepada sesuatu perkara boleh beralih dengan mudah. Ibarat seperdu lalang, mereka dengan mudah melintuk ke arah mana jua ditiup angin.

Dalam kiasan lebih totok, orang Umno sering dibahasakan sebagai gerabak keretapi. Setiap mereka akan berderet ke hulu dengan taat, tanpa membantah, membuntuti dengan rapat lokomotif atau enjin keretapi yang menyeret mereka.

Kumpulan gerabak sama tidak berdepan sebarang masalah untuk menyanggah arah pergerakannya sebentar kemudian, sebaik sahaja kepala keretapi beralih arah ke hulu pula.

Tidak keterluan jika dikatakan bahawa sikap dan pendirian sedemikian lah yang sedang dipamerkan segenap lapisan pendukung Umno. Reaksi dan sambutan baik berhubung keputusan Perdana Menteri memansuh dan mengkaji semula beberapa akta yang disifatkan membelenggu hak dan kebebasan rakyat selama ini amat bertentangan dengan tindakan dan kenyataan mereka sebelum ini.

Dalam perutusan khasnya sempena Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi kaca tv pada malam 15 September dan dipaparkan semua media cetak keesokannya, Dato’ Seri Najib Razak antara lain mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Turut diumumkannya ialah pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain kajian semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933 (AKT) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP). Manakala kajian semula terhadap Seksyen 27 Akta Polis 1967 akan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun.

Dimaklumi umum bahawa kesemua akta disebutkan itu bersifat menindas dan disarati unsur-unsur pencabulan terhadap prinsip keadilan. Pun begitu, di antara kesemua itu, yang paling banyak menjadi fokus bual bicara dan mengundang paling banyak bantahan di dalam masyarakat ialah ISA.

Suara menuntutnya dimansuhkan sudah berkumandang sejak lebih separuh abad lalu, hampir sama panjang dengan usia akta itu sendiri. Walau pun pada asalnya ISA bermaksud mendepani perbuatan subversif dan keganasan terancang, khususnya gerakan komunis dulu, ia juga pada masa sama digunakan Barisan Nasional (BN) untuk menindas parti-parti lawan. Senarai pemimpin PAS dan tokoh pembangkang yang pernah meringkuk di bawah akta zalim itu agak panjang.

Sejak dulu, ketika ia dibantah parti-parti pembangkang dan aktivis sosial, para penjuak Umno menjadi manusia paling tidak simpatetik. Mereka sengaja buat-buat tidak faham bahawa penahanan tanpa bicara adalah pencabulan hak asasi kemanusiaan yang bercanggah dengan jaminan agama Islam, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antarabangsa.

Sebagai khalayak yang paling selamat daripada kemungkinan terkena tindakan di bawah ISA, para pendukung Umno hanya buat-buat pekak badak terhadap laungan rakyat membantah akta itu. Mereka mendakwa tidak nampak sebarang cacat cela atau keburukannya.

Bahkan, ada pemimpin pengampu BN yang pernah meringkuk di Kem Tahanan Kemunting gara-gara pertembungan sesama dalaman Umno suatu ketika dulu tergamak membuat kenyataan terbuka menyatakan rasa syukurnya kerana ditahan. Dengan hujah loyar buruk dia cuba memberitahu dunia bahawa kurungan tanpa bicara di bawah ISA telah menjadikannya orang baik.

Tidak mengejutkan, apabila tersebar berita pemansuhan akta zalim itu, pemimpin sama memberikan komen sangat positif terhadap tindakan Najib itu. Dia menyambut baik pemansuhan ISA, seraya menyifatkan sudah sampai masanya akta yang dikatakannya tidak relevan itu dihapuskan. Pulak dah!

Sikap lidah bercabang pemimpin itu adalah cerminan sikap serupa khalayak umum pendukung Umno. Pada ketika pucuk pimpinan parti berpendirian mempertahankan sesuatu perkara, kesemua pendukung Umno akan mengulangi ratib sama..

Namun, menjadi kelaziman pula di kalangan mereka untuk serta-merta beralih nada dan pendirian sebaik pucuk pimpinan mengubah keputusan atau pendirian dalam sesuatu perkara itu.

Beberapa kes yang berlaku sedikit kebelakangan ini dapat menggambarkan sikap dimaksudkan itu. Sebagai contoh kes seorang pemuda Cina, Namewee atau Wee Meng Chee mencipta klip video Negarakuku yang secara jelas bermaksud menghina lagu Negaraku.

Penjuak Umno bagaikan hilang akal membantah dan mengecam Namewee. Tetapi apabila pemimpin tertinggi BN tidak bersedia mengambil tindakan terhadapnya, serta-merta pejuang Melayu yang hampir tergeliat urat tekak itu pun diam membisu. Semangat berapi mempertahankan lagu Negaraku itu tidak ubah umpama ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Keadaan serupa berlaku dalam beberapa isu lain, termasuk isu penghapusan tol, penurunan harga barang dan seumpamanya. Pendirian para penjuak Umno tidak pernah ‘boleh dipegang buku’. Ia boleh berubah dalam sekelip mata mengikut arah perubahan pendirian pemimpin.

Mereka sanggup menjilat muntah sendiri, mereka ibarat lalang yang berubah arah sekali ditiup angin, mereka umpama gerabak keretapi yang setia menjadi pak turut yang taat ke mana jua arah ditujui si kepala.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1675, 23 September 2011 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama).

Sunday, September 18, 2011

Larangan pelajar berpolitik hanya babitkan pembangkang

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Bukan lagi suatu yang mengejutkan apabila Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said dilaporkan memberi amaran kepada para penuntut di luar negara tajaan Kerajaan Negerinya agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti politik.

Kenyataannya minggu lalu itu bukan lah sesuatu yang pertama kali dibuatnya. Ia juga bukan lontaran yang asing bagi para pemimpin Umno, terutama apabila berucap pada majlis dihadiri para penuntut terbabit.

Walau pun pada zahirnya amaran Ahmad itu seakan memperlihatkan keprihatinan dan rasa tanggungjawab beliau selaku ketua kerajaan untuk menjamin para pelajar dari negerinya tidak terganggu pembelajaran atau terjejas tumpuan terhadap pelajaran, ia sebenarnya lebih berhasrat menjaga kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam ertikata lain, ia bukan bermaksud menghalang penglibatan secara total mana-mana penuntut di dalam apa jua aktiviti bercorak politik atau dianjurkan mana-mana pertubuhan politik. Amaran itu sebenarnya disertakan syarat yang memang mudah difahami, iaitu akan ada pengecualian terhadap penegasan itu sekiranya mereka terlibat dengan politik yang menguntungkan Umno/BN.

Bukankah itu sikap hipokrit dan pendirian berat sebelah yang senantiasa menjadi amalan parti itu? Sama lah juga dengan kes pertikaian fakta sejarah sebagaimana yang masih digema-riuhkan segenap saluran media dan alat propaganda pemerintah sejak hampir tiga minggu lalu.

Timbalan Presiden PAS dikecam dan dihina. PAS sendiri diseret dan dilabelkan dengan bermacam tanggapan. Di masa sama Umno/BN pula digambarkan sebagai pihak paling sayangkan negara, menghargai jasa para pejuang kemerdekaan dan amat prihatin terhadap nasib waris anggota-anggota pasukan keselamatan yang terkorban mempertahankan negara.

Pemimpin PAS didakwa cuba mengubah sejarah, terutama berkaitan perjuangan kemerdekaan. Lalu sebilangan pemimpin dan penjuak Umno seakan sanggup bermati-matian mempertahankan fakta sejarah yang selama ini telah termaktub dan diterima sebagai benar.

Kenapa mereka begitu bersungguh mempertahankannya, walau pun diakui beberapa tokoh dan ilmuan bahawa terdapat kecacatan dan keciciran fakta dalam sejarah negara? Faktor utamanya ialah kerana sejarah yang diketahui ditulis oleh para pengkaji dan penulis Barat atau mereka yang terdidik dengan indoktrinasi pemikiran Barat itu telah memberikan imej dan pengiktirafan paling baik untuk Umno.

Ia seolah-olah menggambarkan hanya para pemimpin Umno pejuang sebenar kemerdekaan negara dan hanya parti itu paling layak diberi penghargaan di atas kejayaan memperolehi kebebasan daripada belenggu penjajahan.

Selaku ‘anak emas’ penjajah Brisith, parti Melayu yang tidak memakai nama Melayu itu menikmati pelbagai keistimewaan sepanjang era penjajahan. Para pemimpinnya berjuang dalam senang dan diberi layanan sebaik termampu oleh penjajah.

Sedangkan di masa sama, sebilangan individu pejuang kemerdekaan lain bukan sahaja ditekan, diburu, ditahan dan diseksa, malah pertubuhan yang mereka anggotai juga diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh Brisith.

Secara logik pun manusia yang waras sudah dapat menilai, sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena mengapa Brisith mempamerkan perbezaan sikap dan pendirian yang begitu ketara terhadap Umno berbanding kumpulan-kumpulan pejuang Melayu lain.

Barangkali ada persefahaman ‘give and take’ sangat baik antara para pemimpin Umno dan pegawai Brisith sehinggakan penjajah itu sedia menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Umno tanpa pertembungan bersenjata. Jangan dikatakan titisan darah, sehelai bulu roma pemimpin Umno pun tidak gugur dalam menentang penjajah itu.

Rakyat tidak pernah didedahkan dengan apa-apa syarat dikenakan British kepada Umno sebagai kemestian yang perlu dipatuhi sekiranya mahu Tanah Melayu dimerdekakan. Apakah munasabah British hanya angkut kain-baju dan melangkah keluar meninggalkan rumah dengan mempersilakan Umno mengambilalih tempatnya?

Semudah itukah suatu bangsa yang rakus dan tamak mengabaikan kepentingannya di tanah jajahannya? Siapa tahu mungkin antara syarat itu ialah agar Umno memastikan tiada syarikat British yang sedang beroperasi mengaut dan memunggah apa-apa hasil-mahsul Tanah Melayu ketika itu tidak diganggu operasi mereka buat tempoh tertentu yang agak panjang.

Atau, mungkin kerana Brisith yakin para pemimpin ‘anak emas’nya yang bakal mengambil alih teraju pemerintahan negara ini sudah dipastikan bukan sahaja bakal meneruskan dasar dan peraturan dikehendakinya, tetapi juga budaya dan cara gaya pemerintahan diajarnya. Mereka bukan setakat mengagungkan cara berpakaian dan bertutur ala-Barat, malah mungkin juga minuman rasmi sewaktu di bawah pemerintahan British turut disyaratkan mesti dikekalkan, sekurang-kurangnya buat beberapa tempoh tertentu.

Itulah kemungkinan yang nampaknya tidak sukar dibuktikan menerusi apa yang telah dilalui negara dalam tempoh tertentu selepas kemerdekaan. Sejarah penyerahan secara bisik-bisik antara Umno dan British itulah yang tidak begitu didedahkan kepada rakyat. Apa-apa yang ditulis dan diajarkan kepada anak bangsa hanyalah sisi positif dan muluk sahaja.

Barangkali Umno tersangat bimbang sekiranya fakta sejarah sebenar terbongkar dan diterima rakyat. Sebab itu sikapnya terhadap sebarang usaha mengkaji dan menulis semula sejarah negara agak keras. Umno takut kebaculannya yang tunduk kepada syarat menguntungkan penjajah ditelanjangi.

Ketakutan sedemikian lah juga sebenarnya membelenggu para pemimpin Umno, termasuk Ahmad yang begitu beriya-iya melarang para penuntut melibatkan diri dalam aktiviti politik. Bahkan beliau memberi amaran keras akan menamatkan tajaan mana-mana pelajar terlibat dengan aktiviti politik yang memudaratkan.

Tidak sukar difahami amaran itu hanyalah agar mereka tidak terlibat dengan pembangkang, sekaligus mengancam kepentingan Umno-BN. Buktinya, tidak pernah pula dilarang para penuntut bergiat aktif dan menghidupkan kelab-kelab Umno di luar negara. Tidak pula dipertikaikan tumpuan masa dan perbelanjaan mereka untuk politik yang mungkin menjejaskan pembelajaran.

Kumpulan aktivis Umno ini jangan dikatakan berkemungkinan ditamatkan tajaan pelajaran mereka, sebaliknya saban tahun wakil mereka dibiayai untuk menjadi jemputan khas ke perhimpunan agung parti itu di ibu negara.

Itulah bukti hipokritnya para pemimpin Umno!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1674, 19 September 2011 di ruangan 'kolumnis' (F22) dengan tajuk 'Larangan pelajar berpolitik'. Ia turut dimuatkan laman detikdaily.net pada 22 September 2011)

ISA: Yang dibantah ialah prinsip zalimnya

Oleh: Mohd. Nasir Awang

Sementara pelbagai pihak pada zahirnya mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memansuhkan beberapa akta dan peraturan yang selama ini dianggap membelenggu kehidupan rakyat, berita mengembirakan itu sewajarnya disambut dengan lebih berhati-hati dan berpada.

Dalam perutusan khasnya sempena Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi kaca tv pada malam 15 September, Najib antara lain mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Beliau memberi jaminan dua undang-undang baru yang bakal digubal menggantikannya bagi maksud mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik.

Turut diumumkannya ialah pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain kajian semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933 (AKT) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP). Manakala kajian semula terhadap Seksyen 27 Akta Polis 1967 akan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun.

Di sebalik keghairahan merayakan keputusan kerajaan itu yang dianggap bukti kejayaan agenda diperjuangkan rakyat selama ini, ada beberapa perkara atau perincian berkisar pemansuhan akta-akta zalim itu yang tidak sayugia dipandang ringan.

Pertama, wajar diingatkan bahawa kesemua undang-undang dimaksudkan itu telah menjadi agenda bantahan parti-parti pembangkang, khususnya PAS sejak sekian lama. Suara menuntut pemansuhan mereka bukan berkumandang sedekad dua atau hanya setahun dua kebelakangan ini.

Perjuangan PAS membantah dan menuntut pemansuhan ISA bersama beberapa undang-undang lain yang disifatkan ‘draconian’ boleh dikatakan bermula sebaik tergubalnya undang-undang itu, sama ada pada era 50-an, 60-an atau sebagainya. Lebih jelas lagi, bantahan terhadap peraturan-peraturan zalim itu bersemarak tatkala yang menjadi mangsa kebanyakan peruntukan akta-akta tersebut ialah parti-parti pembangkang, khsusunya PAS.

Sebagai contoh, ISA yang walau pun pada zahir dan maksud asalnya digubal bagi mencegah dan mengekang akvtiviti subversif, khususnya gerakan komunis, tidak pernah terlepas daripada turut memangsakan para pemimpin PAS. Sebilangan pemimpin PAS, termasuk para alim ulama dan tok gurunya sudah pun tersenarai sebagai tahanan ISA seawal 60-an lagi. Apakah perbuatan mengajar agama dan menghuraikan hukum-hakam Islam dianggap ‘keganasan terancang’ di sisi kerajaan Umno?

Apakah pemimpin sebuah pertubuhan berdaftar dan diakui ‘halal’ di sisi peraturan negara melakukan aktiviti subversif dan mengancam keselamatan negara? Perkara itu tidak pernah pula dibuktikan di mahkamah terbuka, kerana peruntukan di bawah ISA membolehkan mereka ditahan tanpa bicara untuk tempoh selama mana dikehendaki kerajaan.

Kezaliman itu telah berlaku sejak lebih enam dekad lalu. Selama itu jugalah PAS yang kerap dimangsakannya lantang menyuarakan bantahan. Parti Islam itu secara aktif dan konsisten menuntut akta itu dihapuskan.

Lalu adalah tidak tepat dari perspektif masanya jika dikaitkan perjuangan membantah akta-akta zalim itu dengan perjuangan Pakatan Rakyat yang baru berusia tiga tahun. Walau pun hasrat para pendukung Pakatan menjulang dan menonjolkan agenda perjuangan gabungan parti-parti pembangkang itu suatu yang murni dan wajar didukung, kita jangan tersasul sehingga mengelirukan fakta sebenar.

Jangan sampai keghairahan kita mengutamakan Pakatan akhirnya mendorong kita mengemukakan fakta yang silap, terutama berkaitan fakta masa. Akuilah perjuangan para pendukung pembangkang, khususnya PAS dan DAP, untuk menolak kezaliman BN menerusi penguatkuasaan akta-akta zalim dan menindas itu bermula jauh lebih lama berbanding usia Pakatan.

Ia malah mendahului kewujudan Barisan Alternatif (BA) lebih sedekad lalu. Bahkan, dalam konteks perjuangan menuntut pemansuhan ISA, ia bukannya bermula hanya dengan penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada 2001.

Sebab itu lebih tidak sayugia dan amat tidak kena apabila ada pendukung Pakatan yang ‘tersasul’ mendakwa tindakan Naiib memansuhkan ISA dan beberapa peraturan lain itu sebagai tunduk kepada tuntutan ‘Buku Jingga’. Hujah itu sebenarnya menjerat diri sendiri. Ia sekali gus memberikan modal percuma kepada para pemimpin BN.

‘Buku Jingga’ hanya berusia setahun jagung. Mudah saja bagi pemimpin BN menafikan peranan buku yang menjadi pernyataan agenda pemerintahan Pakatan itu. Bahkan sudah ada pemimpin BN membidas bahawa hasrat memansuhkan ISA telah disuarakan Najib sebaik beliau mengambilalih teraju pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009, iaitu setahun lebih awal daripada tertonjolnya ‘Buku Jingga’. Justeru, apa rasional mana-mana pihak mendakwa ia ekoran tuntutan terkandung dalam buku itu?

Perkara kedua yang seharusnya diperhalusi ialah hakikat bahawa yang dibantah pada ISA dan akta-akta disebutkan tadi adalah prinsip dan dasarnya yang zalim serta menindas rakyat. Ertinya perjuangan rakyat membantah dan menuntut agar dimansuhkan itu bukan butiran lahiriah ISA, Akta Polis, AMCP atau AKT itu sahaja.

Sebab itu pendirian PAS dan rakan-rakan Pakatan untuk mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ perkembangan selepas ini adalah lebih tepat. Apakah apa yang diumumkan Najib itu benar-benar terlaksana sepertimana semangat mentransformasi politik dan pentadbiran serta menjulang demokrasi dan kepentingan rakyat atau tidak, masih terlalu awal untuk diberikan pemarkahan.

Pemansuhan ISA contohnya telah diumum akan disusuli penggubalan dua undang-undang baru sebagai ganti. Apakah ia nantinya akan menjadi suatu yang dialu-alukan sekiranya prinsip dan dasar zalim di bawah ISA, terutama peruntukan tahanan tanpa bicara dengan budi bicara kelangsungannya tertakluk secara mutlak di atas menteri atau polis, turut dimuatkan di dalam undang-undang baru itu?

Tepat sepertimana ditegaskan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam wawancaranya dengan sebuah tabloid mingguan, Ahad, “kritikan pembangkang atau NGO terhadap ISA bukan sebab undang-undang itu saja, tetapi prinsip dan kandungannya juga, iaitu prinsip utamanya menahan tanpa bicara. Jika prinsip itu kekal dalam undang-undang lain (baru), saya rasa ia akan mendapat perhatian (bantahan) sebab ia bercanggah dengan prinsip keadilan”.

Langkah beringat-ingat itu agak tepat mengambilkira penegasan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein mengenai kemungkinan dibimbangi itu. Selaku menteri bertanggungjawab ke atas penguaktkuasaan hampir kesemua akta disebutkan Najib di atas, Hishammuddin sedari awal telah membayangkan bahawa pemansuhan ISA bukan bermaksud segala tindakan pencegahan dan penindasan di bawahnya juga terhapus, terutama mengambilkira peruntukan yang akan diwujudkan di bawah undang-undang baru nanti.

“Ramai ingat ISA dimansuhkan, tetapi sebenarnya dua akta baru bakal digubal juga berkaitan dengan keselamatan dan anti keganasan,” katanya, yang mengundang penafsiran amat membimbangkan.

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily.net pada 19 September 2011 di ruangan 'FOKUS Khas' dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net pada hari sama, kemudian oleh Rontogdaily.com pada hari sama dengan diberi tajuk "PAS Tolak ISA Dulu Daripada Pakatan".)