Sunday, November 30, 2008

Umno perlu tebus kezaliman, kikis kepahitan rakyat


Prasyarat ajak PAS bersatu demi bangsa, agama

Oleh: Anuwa Jamalullail

PELBAGAI pihak menilai kesediaan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memenuhi jemputan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, untuk mengadakan perbincangan mengenai kepentingan wanita Islam baru-baru ini suatu petanda positif ke arah kerjasama dan perpaduan lebih mantap antara kedua-dua sayap parti Melayu terbesar itu.

Meski pun Shahrizat bertindak di atas sifatnya sebagai Pengerusi Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dan bukannya atas jawatan parti, kedudukannya dalam politik negara tidak boleh diketepikan. Apatah lagi tanggungjawabnya menerajui Senada itu ada hubungkait dengan jawatannya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri.

Sebab itu kerjasama Senada dengan DMPP yang termeterai pada 14 November lalu dianggap satu lagi detik bersejarah dalam hubungan antara PAS dan Umno. Ia antara lain membuktikan bahawa Islam boleh menjadi titik penyatuan kepada semua pihak dalam segenap aspek kehidupan, walau pun melibatkan latar belakang politik yang berbeza.

“Kerjasama dan perjuangan ini adalah wadah yang akan menyatukan kita di bawah satu agama iaitu Islam. Kita akan wujudkan pelbagai program yang melibatkan badan bukan kerajaan dan pihak yang relevan dalam memperkasakan kedudukan wanita Islam”, kata Shahrizat.

Bagi Ketua DMPP, Ustazah Nuridah Salleh, kehadiran beliau dan rombongan ke pejabat Shahrizat di Putrajaya hari itu semata-mata bagi memenuhi tanggungjawab dan tuntutan terhadap Islam.

“Muslimat PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dan melaksanakan kerja kebajikan bersama siapa sahaja. Kita boleh bersama tanpa sebarang halangan”, katanya.

Apa yang dilakukan kepimpinan DMPP itu sebetulnya adalah contoh keterbukaan PAS dalam mengenepikan agenda politik parti dan mengutamakan kepentingan bangsa dan agama. Sebelum ini sudah ada ketika tertentu di mana para pemimpin PAS berkongsi pentas atau meja dengan musuh politik mereka demi menyempurnakan sesuatu agenda bersama.

Kita tentu tidak lupa detik bersejarah bilamana Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkongsi pentas dengan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan para pemimpin Umno lain dalam menyatakan kebersamaan umat Islam di Malaysia dengan perjuangan rakyat Palestin.

Di atas pertimbangan kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu juga beberapa pemimpin PAS memenuhi undangan pemimpin Umno untuk bertukar pandangan mengenai pembentukan kerajaan beberapa negeri sebaik selesai pilihan raya umum, Mac lalu.

Pertemuan secara rahsia itu kemudiannya menjadi bahan pergeseran dan pertikaian pendapat sesama pemimpin PAS sehingga nyaris-nyaris merobek kebulatan perpaduan dalam parti itu.

Apa pun reaksi dan impak dari episod itu terhadap kedua-dua parti, tidak ada pihak wajar menafikan bahawa pertemuan dan perbincangan itu sendiri membuktikan kesediaan dan keterbukaan PAS mendengar apa jua permasalahan dan perancangan dikemukakan musuh utamanya.

Keterbukaan dan jiwa besar ditunjukkan para pemimpin PAS itu juga terserlah dalam meraikan bekas pemimpin Umno. Dalam sejarahnya, PAS menjadi parti paling mudah menyediakan pentas untuk mereka yang kecewa atau tersingkir daripada parti itu. Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan puluhan lagi pemimpin yang suatu ketika menjuarai serangan terhadap PAS, adalah antara yang pernah diberikan layanan istimewa di pentas PAS.

Pun begitu, sikap terbuka dan apologetik PAS itu tidak seharusnya diambil kesempatan oleh pihak lain untuk memperbudak atau memperalatkannya. Sebagaimana disebutkan Presiden PAS beberapa bulan lalu, “orang PAS bukannya bodoh”. Keterbukaan mereka ada batas dan syaratnya.

Sebab itu apabila ada pihak mengesyorkan agar PAS-Umno kembali bersatu demi bangsa dan agama, ia suatu yang perlu ditangani penuh hati-hati. Sebagai parti yang berkuasa dalam pemerintahan negara, tanggungjawab Umno membuktikan keikhlasannya menjayakan hasrat itu lebih berat berbanding PAS.

Sebabnya, jika dikatakan antara punca utama perpecahan bangsa Melayu ialah kerana diskriminasi dan penyisihan politik, maka mangsa utama perlakuan itu ialah orang-orang PAS. Pemangsa mereka pula sudah tentu para pemimpin Umno.

Pelu diakui bahawa perpecahan bangsa Melayu adalah manifestasi rasa ‘keterasingan’ sekelompok Melayu ekoran amalan diskriminasi dan penindasan politik oleh Melayu yang berkuasa ke atas Melayu yang tidak berkuasa. Hal inilah yang bertanggungjawab secara langsung menyebabkan perpecahan PAS-Umno sejak sekian lama.

Di antara negeri tumpuan kes-kes perpecahan sebegitu ialah negeri yang menjadi pangkalan kekuatan PAS, terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Sebagai pangkalan perpecahan, pada adatnya orang-orang PAS di negeri-negeri tersebut lebih memahami apa yang telah mereka lalui.

Sebab itu apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh, dua minggu lalu menggesa rakyat tanpa mengira fahaman politik melupakan persengketaan dan mengutamakan perpaduan bangsa Melayu dan Islam, ia suatu yang tidak semudah diucap.

Banyak premis yang seeloknya diperbetulkan terlebih dahulu seandainya kita berhasrat melihat perpecahan PAS-Umno diubati. Apatah lagi sebagai salah seorang pemimpin utama Umno di Terengganu, Wan Farid tidak perlu pergi jauh untuk melihat kemusnahan bangsa dan keretakan agama yang berlaku ekoran polisi pemerintahan partinya.

Lantaran itu, Umno yang menerajui negeri itu perlu membuktikan keikhlasan dengan melakukan ‘taubat nasuha’. Mereka perlu berikrar pada diri sendiri tidak akan mengulangi kezaliman yang telah lalu antara sesama bangsa dan agama. Serentak itu mereka perlu berusaha mengikis kepahitan dialami orang-orang PAS akibat polisi berat sebelah dan pilih kasih yang Umno amalkan selama ini.

Senarai kezaliman pemerintahan Umno terhadap orang-orang PAS di Terengganu agak panjang. Antaranya ialah pemecatan puluhan imam dan bilal tanpa sebab syarie, perampasan puluhan ribu lot tanah yang telah dianugerahkan oleh PAS kepada rakyat, penafian berbagai bantuan kebajikan, input pertanian dan perkakasan nelayan, karenah mendapatkan rumah murah, pembiayaan pendidikan anak-anak dan jawatan perkhidmatan awam serta pelbagai lagi.

Semua penindasan ini berlaku apabila Umno mengutamakan merit politik mengatasi keadilan dan kemanusiaan. Kini, atas nama kepentingan bangsa dan agama, bersediakah Umno menebus kembali kedurjanaannya itu? Jika itu tidak dapat diperbetulkan, jangan letak harapan tinggi terhadap perpaduan PAS-Umno!

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 30 November-6 Disember 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, November 23, 2008

Melayu/Islam lemah dorong ‘kaduk naik junjung’


Oleh: MOHD NASIR AWANG

KEBELAKANGAN ini semacam ada kecenderungan di kalangan bukan Melayu dan bukan Islam tampil lebih berani mengusik sensitiviti khalayak majoriti negara ini. Kita semakin kerap dihidangkan dengan insiden dan kes yang boleh ditafsirkan sebagai pencabulan terhadap hak Melayu dan penghinaan terhadap kesucian agama Islam.

Dua minggu lalu ada NGO bukan Islam mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perlakuan perempuan yang menyerupai lelaki atau “pengkid”. Beberapa bulan lalu, Majlis Peguam yang diterajui bukan Islam menganjurkan forum yang dianggap berat sebelah terhadap Islam.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikuasai parti bukan Melayu meneruskan hasrat memasang papan tanda menggunakan bahasa selain Melayu di beberapa jalan utama sekitar bandar Georgetown. Hasrat yang sebelum ini mendapat bantahan meluas pelbagai pihak, terutama para pemimpin Umno yang menjadi pembangkang di negeri itu, dikatakan turut disokong parti rakan karib Umno sendiri, iaitu Gerakan.

Keghairahan anggota Exco bukan Melayu di Selangor mengutamakan projek ladang babi mega turut mengusik sensitiviti masyarakat Melayu/Islam, termasuk aktivis dan pendukung parti rakan komponen Pakatan Rakyat yang berkongsi memerintah negeri itu.

Bantahan persatuan pemaju perumahan di Kedah terhadap keputusan kerajaan negeri menaikkan kuota pemilikan rumah untuk bumiputera juga tidak dapat dipisahkan daripada penafsiran yang mengeruhkan sentimen perkauman.

Saya tidak berhasrat menambah kekusutan dalam polemik tidak sihat ini. Sebagai orang Melayu beragama Islam, saya kira dalam situasi kini adalah lebih sayugia kita memandang ke arah umat kita sendiri sebelum menuding jari ke arah orang lain.

Ada sekurang-kurangnya dua faktor utama mendorong kalangan bukan Melayu dan bukan Islam sebegitu berani dan lantang mempersenda serta mempertikaikan hak kita sebagai khalayak majoriti. Saya menyifatkan kedua-dua faktor tersebut sebagai unsur kelemahan bangsa Melayu dan umat Islam yang sepatutnya menguasai dan menerajui segenap aspek kehidupan di negara ini.

Kelemahan kita yang pertama ialah dalam kuasa politik. Fenomena ini agak ketara dirasai seusai pilihan raya ke-12, Mac lalu.

Izinkan saya memetik lafaz biduan tanahair, Ramli Sarip, dalam dendangannya yang mengumpamakan hidup di dunia ini bagai satu perlumbaan. Katanya, “yang kalah kan tenggelam di bawa arus sengsara, yang menang pula menjadi raja”.

Orang Putih pula menyebut, “the winner takes it all”. Kedua-dua bait ini membawa maksud serupa, iaitu pihak yang menang akan memiliki kekuasaan melaksanakan apa jua yang mereka rencanakan. Itulah realiti politik yang kita hadapi kini.

“Bila kita (orang Melayu) sudah kuat, baru kita boleh katakan kita ‘Tuan’. Tapi kalau kita tidak kuat, orang tidak akan hormat dan tidak akan beri penghormatan itu pada orang Melayu”, kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dalam sidang media di Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Peribumi Dalam Perlembagaan Negara, di Kuala Lumpur, 16 November lalu.

Dalam ucaptamanya sebelum itu, calon Naib Presiden Umno itu mengakui punca orang Melayu dicemuh dan dipersenda pihak lain ialah apabila kuasa politik Melayu tidak lagi kukuh dan perkasa.

Kelemahan kita yang kedua ialah dalam penghayatan dan amalan, sama ada terhadap hukum dan ajaran Islam atau beberapa aspek keistimewaan Melayu. Jangan lupa betapa sikap dan perlakuan orang Melayu/Islam sendiri bagaikan mengajar orang bukan Melayu/Islam untuk tidak sensitif dengan pantang larang kita.

Bukankah sebelum ini para pemimpin Melayu sendiri yang ghairah mempersoalkan ketinggian hukum Islam? Sehingga ada pemimpin parti pemerintah negara menyifatkan usaha mendaulatkan hukum Islam ibarat memusing jarum jam ke belakang? Biadab dan melampau, bukan?

Bukankah orang Melayu sendiri juga yang mempersenda ulama? Ingat lagi nasib seorang mufti yang menyokong tindakan anak buahnya menahan wanita Islam yang menyertai pertandingan ratu cantik suatu ketika dulu?

Saudara, jangan fikir kaum bukan Melayu/Islam tidak mengikuti dan mengamati episod-episod ini. Kita sendiri sebenarnya mengajar mereka untuk tidak hormat kepada agama kita.

“Jika orang Islam sendiri tidak dapat menerimanya (larangan Allah), orang Islam sendiri tidak mahu guna Islam, (sebaliknya) guna kebangsaan, sebab itulah mereka yang bukan Islam berani (membantah fatwa Islam)”, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Isnin lalu.

Beliau mengulas tindakan dua NGO bukan Islam mengadakan demonstrasi di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bagi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan “pengkid”, baru-baru ini. Meski pun menegaskan mereka tidak berhak mencampuri urusan umat Islam, Tuan Guru turut yakin NGO bukan Islam itu tidak akan bersikap seperti “kaduk naik junjung” sekiranya kerajaan dan umat Islam sendiri berpegang dengan ajaran Islam.

Kelemahan turut terserlah dalam beberapa isu berkaitan Melayu, terutama membabitkan penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jangan dinafikan bahawa Umno sendiri sebagai tonggak kerajaan turut bertanggungjawab menodai dan meruntuhkan martabat bahasa Melayu.

Antaranya apabila kerajaan membenarkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar di institusi pengajian tinggi. Kerajaan juga tidak mengendahkan bantahan dan pandangan kedua pelbagai kalangan mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Justeru, apabila ada kerajaan negeri dikuasai bukan Melayu bertegas mendaulatkan bahasa ibunda mereka, apa lagi yang boleh dipertahankan?

Orang Melayu/Islam perlu ambil kesempatan kini untuk bermuhasabah diri. Jangan hanya salahkan orang lain, lihatlah kelemahan diri sendiri!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 23-29 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Sunday, November 16, 2008

Obama buktikan tiada yang mustahil dalam politik


“Meruntuhkan ketuanan kulit putih”

Oleh: Anuwa Jamalullail

TANGGAL 5 November lalu, Barack Hussein Obama disahkan menang dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS). Calon parti Demokrat itu memperolehi 338 undi perwakilan negeri, jauh melebihi jumlah 270 undi diperlukan mana-mana calon untuk memenangi pilihan raya berkenaan. Lawannya dari parti Republikan, John Mc Cain, hanya mengutip 156 undi.

Dengan kemenangan itu, Obama akan dilantik secara rasmi sebagai Presiden AS ke-44 pada 20 Januari depan. Apa yang membezakan detik ditunggu-tunggu seluruh dunia itu dengan upacara serupa sebelum ini ialah sejarah tersendiri yang bakal dicatatnya.

Obama akan dinobatkan sebagai Presiden kulit hitam pertama dalam sejarah negara kuasa besar dunia itu. Ia sekaligus menjadi bukti perubahan sangat positif dalam sikap rakyat AS terhadap isu perkauman yang membelenggu negara itu sejak berabad lamanya.

Berbekalkan tema kempen ke arah perubahan ‘Change, We Need’, Obama dilihat telah berjaya merubah sentimen perkauman sedari awal kemunculannya di peringkat pemilihan parti lagi. Keupayaannya menewaskan bekas Wanita Pertama, Hillary Rodham Clinton dalam saingan menjadi calon Demokrat beberapa bulan lalu adalah isyarat awal bahawa perubahan yang dilaungkannya akan menjadi kenyataan.

Di saat itu pun rakyat AS telah menzahirkan anjakan pemikiran, memandangkan sebelum itu belum pernah seorang tokoh berkulit hitam memenangi pemilihan peringkat parti. Pencapaian terbaik tokoh kulit hitam sebelum ini ialah oleh pejuang hak asasi, Jesse Jackson, yang hampir memenangi pemilihan peringkat parti Demokrat lebih sedekad lalu.

Populariti Obama kini disamakan dengan mendiang John F. Kennedy, pemimpin Demokrat yang sangat disayangi rakyat negara itu. Kennedy bagaimana pun tidak sempat menghabiskan tempoh perkhidmatannya apabila ditembak mati ketika mengadakan lawatan ke Texas, pada 1963.

Kini rakyat AS menggelarkan Obama “The Black John F. Kennedy” (Kennedy Berkulit Hitam), sebagai menggambarkan penghargaan dan pengiktirafan sangat tinggi terhadap imej dan kewibawaannya memimpin negara itu.

Tahap popularitinya dapat diukur dengan mudah berdasarkan jumlah undi majoriti 182 yang lebih besar daripada undi diperolehi McCain. Undi itu sendiri menggambarkan bahawa tokoh dari kaum minoriti AS itu telah berjaya menambat kepercayaan daripada lebih dua pertiga perwakilan negeri-negeri.

Sebab itu, meski pun pada zahirnya pertembungan Obama-McCain adalah antara Demokrat dan Republikan, banyak pihak menilai ia lebih daripada itu. Kemenangan Obama membawa bersama pelbagai kejayaan lain. Paling dikatakan ialah perjuangan menuntut hak asasi dan keadilan untuk warga kulit hitam AS.

Kemuncak perjuangan itu ialah menerusi pergerakan diketuai Dr Martin Luther King III pada tahun 60-an dulu. Dalam susur-galur perjuangan itu, tidak sedikit nyawa warga kulit hitam menjadi korban sentimen kebencian melampau orang kulit putih. Ramai lagi yang menjadi mangsa penindasan mereka, sama ada secara emosi mahu pun fizikal. Manakala sikap diskriminasi dan penafian hak terhadap kulit hitam dalam pelbagai sektor kehidupan adalah lumrah, terutama di negeri-negeri Selatan AS.

Mengulas kemenangan Obama itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap ia sebagai bukti persepsi yang wujud selama ini bahawa orang kulit putih lebih hebat dan lebih mulia daripada kulit hitam adalah dongeng semata-mata. Apatah lagi perkara itu berlaku di negara Barat sendiri, di mana mereka amat mengagung-agungkan ‘ketuanan kulit putih’.

“Kita mahu masyarakat (dunia) mengubah tanggapan (kononnya) orang kulit putih mempunyai kelebihan berbanding orang kulit hitam dan pemilihan Obama (sebagai Presiden AS) adalah perkembangan baru kepada dunia”, katanya, sebagaimana disiarkan akhbar harian, 6 November lalu.

Sememangnya sejarah dicatatkan Obama itu suatu perkembangan baru kepada dunia. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia suatu yang dianggap sangat mustahil sebelum ini. Yang dikatakan mustahilnya bukan kerana Demokrat tidak pernah mengalahkan Republikan, tetapi mustahil bagi seorang berkulit hitam dipilih menjadi ketua negara bermajoritikan kulit putih. Apatah lagi negara berkenaan terkenal sangat mengambil berat soal perbezaan warna kulit dan keturunan.

Apa yang berlaku itu seakan membenarkan kata-kata yang sering kita dengar bahawa tidak ada yang mustahil dalam politik. Seringkali dikatakan orang bahawa dalam politik ini kawan boleh menjadi lawan, lawan boleh bertukar menjadi kawan dalam sekelip mata.

Jika kejayaan Obama meruntuhkan ‘ketuanan kulit putih’ itu disifatkan sebagai fenomena golongan minoriti mengepalai puak majoriti, maka ia suatu yang sangat menarik untuk direnungkan. Apatah lagi di negara kita juga, suatu yang dianggap mustahil sebelum ini sudah acapkali berlaku.

Contohnya ialah prinsip umum yang sering disebut bahawa parti yang mendapat kerusi majoriti atau terbanyak dalam mana-mana pilihanraya umum dianggap paling layak mengetuai sesebuah kerajaan yang baru dibentuk.

Namun keadaan tidak semestinya berlaku menepati prinsip tersebut. Kita sudah ada beberapa contoh di mana dalam keadaan tertentu ada parti dengan jumlah kerusi lebih kecil dipilih menjadi ketua memimpin sebuah kerajaan bersama parti-parti dengan jumlah kerusi lebih besar.

Kalau dikatakan pelantikan seorang wakil rakyat daripada parti PAS menjadi Menteri Besar Perak Mac lalu adalah contoh terkini, tindakan seumpamanya sebenarnya sudah dimulakan Barisan Nasional (BN) sendiri lebih sedekad lalu. Dalam percaturan politik merampas kembali Sabah daripada kekuasaan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang pada  ketika itu sebuah parti di luar gabungan BN, parti pemerintah kerajaan Pusat itu menawarkan sistem penggiliran kepada parti-parti komponennya sekiranya berpeluang memerintah Sabah.

Lalu apabila hasrat itu dicapai menerusi manipulasi kuasa dan “silap mata” politik BN, sistem penggiliran itu direalisasikan. Maka berlakulah parti-parti kecil seumpama Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang hanya memiliki beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri diberikan peluang menjawat Ketua Menteri Sabah, meski pun ketika itu Umno sebagai tonggak utama BN memiliki jumlah kerusi jauh lebih besar berbanding parti-parti lain.

Maka tidak menghairankan apabila PAS ditakdirkan menerajui Perak, meski pun parti itu hanya ada enam kerusi, berbanding rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan tujuh kerusi dan DAP, 18 kerusi.

Ertinya, ada pertimbangan lain yang lebih perlu diutamakan selain prinsip lumrah bahawa parti dengan kerusi majoriti mesti mengepalai kerajaan, termasuk di peringkat nasional. Kita telah buktikan tiada yang mustahil dalam politik, sebagaimana Obama juga telah membuktikannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, 16-22 November 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, November 9, 2008

Melayu jangan jadi penghalang dakwah


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SAYA adalah antara, entah berapa ramai, rakyat Malaysia yang sangat bergembira dengan idea pembinaan sebuah masjid khusus untuk komuniti Cina Muslim di negara ini. Tanpa mengira cetusan idea itu bermula di mana, bila dan oleh siapa, bagi saya cadangan penubuhannya adalah suatu yang sangat wajar diberikan perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab mengenainya.

Rasional saya sangat mudah, setiap komuniti memerlukan pusat pertemuan dan rujukan yang boleh dijadikan simbol kewujudan mereka. Sama ada ia untuk aktiviti atau tempat tuju bagi sesuatu aduan dan keperluan, pusat seumpama itu sangat signifikan dalam konteks komuniti masing-masing.

Lebih-lebih lagi bagi komuniti Cina Muslim di negara ini yang bukan sahaja minoriti dari segi jumlah mereka, malah sering dibatasi ruang dan peluang mendalami Islam yang baru mereka anuti secara sepatutnya. Sudah tentu kewujudan tempat mengadu yang dikendalikan kalangan mereka sendiri amat mereka harapkan.

Sebab itu saya sangat gembira apabila seorang rakan di Kota Bharu memaklumkan pada Julai lalu tentang pembinaan sebuah masjid seumpama itu di Rantau Panjang, Kelantan. Katanya, pembinaan masjid dikenali ‘Masjid Berbagai Budaya’ atau ‘Masjid Beijing’ itu sudah hampir siap.

Saya sendiri belum berkesempatan melihat masjid tersebut dari dekat. Bagaimana pun menurut rakan tadi, yang saya temui semula beberapa hari lalu, masjid itu telah pun digunakan bermula Ramadhan lalu. Katanya, seorang imam dari China didatangkan khas untuk mengimami solat tarawih di situ.

Menariknya, kata beliau, rekabentuk masjid itu menggunakan sebahagian besar senibina Cina sebagai terasnya. Disebabkan persepsi salah di kalangan masyarakat negara ini bahawa setiap yang beridentiti Cina itu ada kaitan dengan agama Buddha, maka ada pelawat yang menyalah anggap masjid itu sebuah tokong Buddha.

Meski pun agak sedih, saya tidak begitu terperanjat dengan salah anggap sedemikian. Bagi saya ia sebenarnya lahir akibat fahaman silap yang sekian lama ditanam dalam pemikiran masyarakat negara ini kononnya Islam di Malaysia mestilah beridentitikan Melayu sahaja.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kewujudan Masjid Cina di Rantau Panjang itu turut diberikan nilaian negatif kalangan tertentu. Ada yang mengkritik rekabentuknya sebagai suatu kecelaruan senibina yang menyimpang dari tradisi. Kononnya ia meminggirkan akar umbi tradisi Melayu yang berkait rapat dengan Islam di negara ini. Ia dianggap terasing dari seni bina setempat, yakni di tengah-tengah persekitaran masyarakat Melayu tradisional.

Itu baru disentuh soal senibina luarannya. Belum lagi ditimbulkan soal penggunaan bahasa selain Melayu sebagai pengantar, sama ada dalam kuliah mahu pun khutbah di situ. Sebab itu saya kira agak kena pada masanya apabila akhir Oktober lalu, Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, mencadangkam agar kerajaan membina sebuah masjid khusus untuk Cina Muslim di pusat bandar Kuala Lumpur.

Yang saya katakan kena pada masanya ialah kerana beliau turut mencadangkan segala aktiviti di masjid tersebut, termasuk kuliah dan khutbah Jumaat menggunakan bahasa Mandarin. Zuklifli percaya pendekatan itu akan dapat menarik masyarakat Cina yang menjadi penghuni majoriti di tengah kota raya mendekati Islam serta akhirnya memeluk agama suci ini.

Sudah saya tegaskan di awal tadi bahawa saya memang sangat bersetuju dengan pembinaan masjid sebegitu. Tambah menggembirakan saya ialah apabila Zulkifli dengan berani “mengusik” isu penggunaan bahasa yang bagi sesetengah kalangan sangat sensitif.

Bagai diduga, memang ada pihak mempertikaikannya. Kononnya penggunaan bahasa Mandarin membelakangkan bahasa kebangsaan. Bagi mereka apa perlunya menggunakan bahasa lain sedangkan sepatutnya bahasa Malaysia itu difahami setiap warga negara ini.

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin bagaimana pun memberikan pandangan berbeza. Beliau antara yang bersetuju dengan cadangan pembinaan masjid itu. Baginya usaha itu akan membantu golongan Muslim bukan Melayu mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.

Katanya, pengurusan masjid yang dikendalikan golongan tersebut sendiri lebih memahami masalah yang dihadapi komuniti Cina Muslim. Dalam isu bahasa pula, beliau berpendapat pengembangan agama Islam menjadi lebih mudah melalui penggunaan bahasa yang mudah mereka fahami.

Pendirian serupa turut disuarakan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma). Naib Presidennya, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, kewujudan Masjid Cina akan dapat mengubah fahaman sempit dan persepsi salah kebanyakan rakyat Malaysia bahawa agama Islam hanya milik orang Melayu, atau hanya boleh dikembangkan menggunakan bahasa Melayu.

Bagi saya, itulah sebenarnya punca utama kegagalan dakwah Islam kepada kaum bukan Melayu. Kita terlalu dikongkong oleh persepsi salah tentang konsep keagungan bangsa, sehingga menyanjung dan mengangkat identiti Melayu mengatasi kepentingan lain, termasuk kepentingan agama.

Sayang kita kepada bangsa dan bahasa kekadang tidak bertempat. Sehinggakan disebabkan terlalu mengagungkan identiti Melayu, kita dilihat rela membelakangkan keberkesanan dakwah dan pemahaman Islam di kalangan kaum lain.

Para pemimpin kita, terutama para penguasa pentadbiran agama sepatutnya belajar dari sikap dan strategi para penyebar agama selain Islam. Mereka sehabis ikhtiar menggunakan bahasa Melayu dan apa juga kesempatan yang boleh mereka pergunakan dari sebarang indentiti Melayu untuk mempengaruhi masyarakat kita ke arah agama mereka. Bukankah untuk tujuan itulah penjajah Inggeris mengupah Munsyi Abdullah untuk menterjemahkan kitab agama mereka ke dalam bahasa Melayu?

Sudah sampai masanya fahaman salah bahawa Islam di Malaysia mestilah beridentitikan Melayu perlu dihapuskan. Sayang kita kepada bangsa jangan sampai menjadi penghalang kepada usaha dakwah Islam.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, 9-15 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)