Sunday, October 26, 2008

Manfaat dan keperluan Piala Monsun tetap dipertikai


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

TIDAK syak lagi orang paling gembira dan lega dengan pengesahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai ketelusan pengurusan Piala Monsun ialah Pengerusi T-Best Events Sdn Bhd, Datuk Wan Hisham Wan Salleh. Tidak keterlaluan jika dikatakan selama ini bekas anggota Exco kerajaan Terengganu itu adalah orang yang paling tidak senang duduk apabila penganjuran kejohanan tahunan itu dipertikaikan pelbagai pihak, sama ada oleh parti lawan mahu pun kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri.

T-Best Events Sdn Bhd adalah syarikat yang diberikan hak mutlak oleh kerajaan Terengganu bagi menganjurkan kejohanan perahu layar bertaraf antarabangsa itu. Piala Monsun dilangsungkan sejak 2005 di Pulau Duyong, berhampiran muara Sungai Terengganu.

Kontroversi penganjurannya bermula apabila difahamkan beberapa perkara utama berkaitannya diputuskan mesyuarat Exco kerajaan negeri. Sedangkan anugerah hak penganjurannya diberikan kepada sebuah syarikat yang dipengerusikan salah seorang ahli majlis mesyuarat berkenaan sendiri.

Pemahaman itu mendorong wujudnya persepsi umum bahawa telah wujud percanggahan kepentingan (conflict of interest) dalam mesyuarat Exco negeri berkaitan perkara itu, terutama mengambilkira kehadiran anggota Exco berkenaan.

Pertikaian mengenai kejohanan itu diburukkan lagi dengan pembangunan drastik dan extravaganza (terlampau) yang berlaku ke atas Pulau Duyong, semata-mata bagi memenuhi keperluan penganjuran Piala Monsun. Belanja dikeluarkan kerajaan bagi tujuan itu mencecah ratusan juta ringgit.

Keengganan dan dolak-dalih pihak kerajaan negeri untuk mendedahkan angka sebenar perbelanjaan dihabiskan untuk kejohanan itu menyebabkan rakyat semakin mencurigai pengurusannya. Pertikaian mengenainya bukan setakat menjadi bahan perbahasan di kedai kopi atau pentas ceramah politik, malah turut menjadi isu pertikaman lidah antara wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dalam beberapa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu sebelum ini.

Di masa sama, kesan alam sekitar akibat pembangunan tidak teliti di Pulau Duyong turut memberi kesan negatif terhadap kegiatan ekonomi penduduk beberapa pulau dan daratan sekeliling. Keadaan itu dibuktikan bukan sekadar dakwaan tidak berasas oleh pihak pembangkang, malah diakui sendiri oleh dua Adun BN kawasan terbabit ketika itu, iaitu Adun Bukit Tunggal, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Adun Seberang Takir, Mohd Shapian Ali.

Segala pertikaian dan perasaan tidak puas hati rakyat mengenai perkara itu bukan sahaja menyenakkan kepala para pemimpin negeri, khususnya Wan Hisham, malah turut dikaitkan sebagai antara faktor kekalahan BN di Dun Bukit Tunggal dalam pilihan raya umum, Mac lalu.

Sebab itu apabila minggu lalu Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan mengesahkan bahawa penganjuran kejohanan Piala Monsun tidak mempunyai unsur rasuah dan penyelewengan, ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ bagi BN, terutama para pembesar negeri yang terlibat secara langsung dengan pengurusan kejohanan itu.

Menurut Ahmad Said, keputusan tersebut disahkan setelah beberapa kali semakan dan penelitian dibuat terhadap kertas siasatan kes berkenaan.

“Kita dapati tiada wujud kesalahan atau jenayah rasuah mengenai kejohanan kapal layar Piala Monsun di Terengganu selepas melakukan beberapa kali semakan. Bagi BPR memang sudah jelas tidak ada apa-apa”, katanya, sebagaimana disiarkan akhbar, 17 Oktober lalu.

Bagai diduga, orang pertama memberikan reaksi terhadap kenyataan Ahmad Said ini ialah Wan Hisham sendiri. Beliau malah mengambil kesempatan itu untuk membidas pihak-pihak yang dianggap selama ini mempolitikkannya.

“Saya berharap pihak pembangkang tidak lagi menjadikan isu Piala Monsun sebagai bahan kempen mereka, selain tidak lagi meminta kerajaan memberi penjelasan dalam sidang Dewan Undngan Negeri (Dun) kerana segalanya sudah terjawab”, katanya.

Ternyata Wan Hisham telah sengaja memesongkan fakta mengenai pertikaian yang timbul selama ini apabila sekadar menyalahkan pembangkang. Rakyat Terengganu tentu tidak mudah lupa betapa rungutan mengenai perkara itu bukan sahaja disuarakan dua bekas Adun BN tadi, bahkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri.

Dalam kenyataannya pada 25 Julai lalu, Ahmad secara terbuka meminta BPR menyiasat pelaksanaan beberapa projek mega di Terengganu, termasuk Piala Monsun yang dikhuatirinya ada unsur penyelewengan. Bukankah penyiasatan BPR itu dilakukan ekoran teguran dan pelawaan oleh Ahmad itu?

Apatah lagi moral utama dalam isu Piala Monsun, selain dakwaan wujud unsur rasuah dan penyelewengan pengurusan, ialah pembaziran dan kesan negatif penganjurannya ke atas pulau warisan ulama itu. Penganjuran kejohanan yang menelan belanja ratusan juta ringgit itu diakui pelbagai pihak amat tidak sepadan dengan manfaat diperolehi rakyat, terutama penduduk Pulau Duyong sendiri.

Jangan dilupakan juga betapa nama Pulau Duyong adalah sangat besar ertinya bagi negeri Terengganu, terutama dalam sejarah perkembangan ilmu Islam beberapa dekad lalu. Di situlah tapak pusat pengajian diterajui Sheikh Duyong yang bukan sahaja popular di kalangan rakyat Terengganu dan Malaysia, bahkan menjadi tumpuan para pelajar dari serata rantau Asia Tenggara untuk menuntut ilmu agama.

Malangnya, imej positif itu sudah tidak kedengaran lagi. Meski pun sejak beberapa tahun lalu Pulau Duyong kembali menjadi kunjungan pelbagai pihak dari serata dunia, ia bukan lagi untuk Islam, sebaliknya untuk sukan dan hiburan.

Justeru, meski pun BPR mengesahkan kejohanan itu bebas daripada sebarang unsur rasuah atau penyelewengan, ia masih tidak dapat membebaskan Piala Monsun daripada pertikaian moral, terutama manfaat ekonomi dan kesan sosialnya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 26 Oktober-1 November 2008 dengan tajuk sama)

Menilai trend dalam pencalonan jawatan Umno


Oleh: Anuwa Jamalullail

SEHINGGA rencana ini ditulis (15 Oktober), sudah 29 Bahagian Umno melangsungkan mesyuarat perwakilan masing-masing. Keputusan kesemua bahagian itu mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Presiden dan 24 bahagian memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.

Begitu juga pencalonan untuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang setakat ini mendahului calon-calon lain untuk perebutan tiga jawatan Naib Presiden.

Bagi jawatan Ketua Pemuda pula, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir turut menepati jangkaan sebagai calon paling popular mengambil alih jawatan dikosongkan Hishammuddin itu. Dengan 40 pencalonan diperolehinya, beliau telah melepasi kuota 39 pencalonan diperlukan.

Bagaimana pun pencabar terdekatnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang baru memungut 20 pencalonan dijangka akan turut melepasi kelayakan tersebut sebaik kesemua bahagian pergerakan itu selesai bermesyuarat awal bulan depan.

Persaingan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda pula agak seimbang antara dua calon utamanya, iaitu Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Reezal Merican Naina Merican. Kedua-dua mereka telah melepasi kelayakan apabila masing-masing mendapat 35 dan 30 pencalonan.

Setakat ini juga, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, telah disahkan layak bertanding mempertahankan jawatannya itu. Beliau telah menerima 52 pencalonan, jauh melebihi syarat 39 pencalonan ditetap partinya.

Naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, turut melayakkan diri mempertahankan jawatannya apabila menerima jumlah pencalonan sama. Keupayaan kedua-dua mereka meraih jumlah pencalonan itu sesuatu yang telah diduga sedari awal.

Namun, pertandingan paling sengit dijangka berlaku dalam perebutan dua jawatan tertinggi Puteri Umno. Setakat ini kelima-lima calon yang menawarkan diri untuk jawatan Ketua Puteri telah melepasi kelayakan. Mereka ialah Datuk Shahaniza Shamsuddin yang memperolehi 33 pencalonan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (29), Datin Ismalina Ismail (18), Bibi Sharliza Mohd Khalid (12) dan Azlina Mehtab Mohd Ishaq (5).

Bagi jawatan Naib Ketua Puteri pula, lima calon juga telah disahkan layak bertanding. Mereka ialah Nolee Ashilin Radzi dengan 31 pencalonan, Shahanim Mohd Yusof (21), Senator Datuk Nordiana Shafie (15), Dr. Wan Norashikin Wan Nordin (15) dan Haslinda Zerain (13). Untuk kedua-dua jawatan tersebut, calon hanya memerlukan dua pencalonan untuk layak bertanding.

Secara umumnya, pencalonan untuk pelbagai jawatan menjelang pemilihan Umno Mac depan menampakkan satu trend agak jelas. Bahagian-bahagian parti itu secara terbuka menyatakan sikap masing-masing yang tidak suka “diikat” dengan sesuatu keputusan oleh kepimpinan lebih tinggi, sama ada peringkat Perhubungan Negeri mahu pun Pusat.

Sebab itu meski pun ada ketetapan atau persefahaman di peringkat Perhubungan Umno Negeri agar kesemua bahagian dalam negeri tersebut mencalonkan pemimpin dari negeri berkenaan untuk jawatan tertentu, ia tidak semestinya dipatuhi.

Contohnya, ada bahagian di Selangor tidak mencalonkan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Timbalan Presiden Umno. Ada juga Umno bahagian di Sabah yang tidak mencalonkan Shafie sebagai calon tunggal dari negeri itu untuk jawatan Naib Presiden.

Apa yang berlaku dalam pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno malah lebih mengejutkan. Setakat ini sudah 12 bahagian Wanita Umno mencalonkan Shahrizat sebagai ketua baru mereka.

Sedangkan telah dimaklumi sayap wanita itu juga telah “diikat” dengan pelan peralihan kuasanya yang tersendiri. Menurut pelan yang diumumkan Rafidah Ogos lalu, beliau akan menyerahkan jawatan ketua pergerakan itu kepada Shahrizat pada Jun 2009.

Jika tidak kerana adanya 12 pencalonan kepada Shahrizat itu, barangkali semua pihak beranggapan pelan tersebut diterima baik segenap lapisan kepimpinan Wanita Umno. Apatah lagi selama ini tatkala ada suara lantang di kalangan pemimpin tertinggi Umno mendesak pelan peralihan kuasa peringkat tertinggi parti itu dipercepatkan, tiada sebarang suara serupa kedengaran dalam Wanita.

Rupa-rupanya dalam kebisuan mereka itu, ada protes yang tidak dapat dibendung. Ia akhirnya dizahirkan menerusi pencalonan terhadap Shahrizat itu. Malah sudah mula kedengaran desakan terbuka agar pelan peralihan kuasa itu dipercepatkan. Ketua Wanita Bahagian Kalabakan, Datuk Hamisa Samat bahkan menyifatkan sesuatu yang janggal jika Shahrizat memangku jawatan Ketua Wanita selepas peralihan kuasa Jun depan, memandangkan mesyuarat agung pemilihan hanya akan berlaku 2011.

“Wanita Umno sepatutnya mempunyai ketua baru pada pemilihan parti Mac depan dan bukannya menunggu sehingga 2011 dengan meletakkan Shahrizat sebagai pemangku”, katanya.

Menilai perkembangan itu, kalangan pemerhati politik, bahkan aktivis Umno sendiri, kini mula mengandaikan tidak mustahil Rafidah bakal menerima nasib serupa Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang terpaksa akur dengan desakan anak-anak buahnya untuk berundur lebih awal.

Mungkin jumlah 52 pencalonan diperolehi Rafidah itu sudah cukup meyakinkan dia dan penyokongnya untuk mengekalkan jawatan disandangnya. Namun, tiada siapa dapat memastikan apa yang bakal diputuskan lebih 120 bahagian Wanita yang belum melangsungkan mesyuarat perwakilan masing-masing. Bagaimana jika akhir nanti jumlah pencalonan untuk Shahrizat bagi jawatan itu mengatasi Rafidah? Atau sekurang-kurangnya melepasi syarat kelayakan?

Apa yang pasti, bahagian-bahagian Wanita telah menyuarakan sikap mereka yang tidak bersedia “diikat” dengan keputusan kepimpinan tertinggi pergerakan itu. Perkembangan itu sudah tentu tidak begitu menyenangkan Rafidah.

“Saya tidak rasa apa pun, ini demokrasi dan terpulang pada dia (bahagian-bahagian yang mencalonkan Shahrizat)”, komen Rafidah, sebagaimana disiarkan akhbar, 12 Oktober lalu.

Beliau bagaimana pun mengakui perkembangan itu menggambarkan ada Wanita bahagian yang mahu peralihan kuasa dalam pergerakan itu dipercepatkan.

Apa yang berlaku dalam Puteri Umno juga mencatat sejarahnya yang tersendiri. Ia bukan sahaja disebabkan begitu ramai calon yang disahkan layak bertanding untuk dua jawatan tertingginya. Inilah kali pertama jawatan Ketua Puteri dipertandingkan.

Sejak sayap itu diwujudkan, tidak pernah ada perebutan untuk jawatan itu. Ia disandang oleh Datuk Azalina Othman yang dilantik sebagai Ketua Penaja dan seterusnya kekal memimpin Puteri untuk beberapa penggal, sebelum diambil alih Datuk Noraini Ahmad, juga secara tanpa bertanding.

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 26 Oktober-1 November 2008 dengan tajuk sama)

‘Wanita Besi Malaysia’ menuju penghujung kuasa


Oleh: Mohd Nasir Awang

SAYA berkongsi pandangan dengan beberapa penulis dan pengulas politik bahawa pendirian akar umbi Umno kini sudah tidak mampu ‘diikat’ lagi. Pada banyak keadaan mereka cenderung mengambil sikap bercanggah dengan keputusan atau ketetapan oleh kepimpinan lebih tinggi dalam parti itu.

Kecenderungan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pola pencalonan bagi pemilihan Umno, Mac depan. Terdapat bahagian-bahagian Umno yang mengenepikan keputusan perhubungan Umno negeri masing-masing tentang siapa yang perlu dicalonkan untuk jawatan-jawatan tertentu di peringkat tertinggi.

Sebelum ini ada juga bahagian yang tidak mematuhi arahan Umno negeri agar tidak diadakan pertandingan bagi jawatan-jawatan utama di peringkat masing-masing. Arahan itu dikatakan berhasrat mengelakkan perpecahan lebih parah dalam parti yang sentiasa berpecah itu. Ia bagaimana pun dibantah ahli akar umbinya sendiri dan dianggap mencabuli hak mereka untuk memilih dan dipilih.

Kemuncak kecenderungan menyanggahi ketetapan atau arahan pihak atasan itu ialah apabila kalangan kepimpinan tertinggi Umno sendiri berterusan mempertikaikan pelan peralihan kuasa diumumkan Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Julai lalu.

Kini, setelah Abdullah akur kepada desakan tersebut, pertikaian seterusnya berjangkit pula kepada sayap wanita parti itu. Pelan peralihan kuasa serupa yang turut diumumkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, Ogos lalu nampaknya turut ditolak akar umbi pergerakan itu.

Menurut pelan tersebut, Rafidah akan menyerahkan jawatan itu kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Jun 2009. Ini bermakna tidak sepatutnya ada pertandingan atau pencalonan nama selain Rafidah untuk jawatan nombor satu Wanita Umno itu.

Hasrat Rafidah itu bagaimana pun nampaknya tidak dialu-alukan akar umbinya sendiri. Setakat Rabu (22 Oktober) lalu, Rafidah telah memastikan 81 pencalonan untuknya mengekalkan jawatan Ketua Wanita Umno, jauh mengatasi kuota kelayakan 39 pencalonan ditetapkan partinya. Ia suatu yang sudah dijangkakan.

Bagaimana pun, jumlah pencalonan begitu besar bagaikan tidak lagi memberi erti penting baginya dan Wanita Umno apabila di masa sama nama Shahrizat turut dicalonkan untuk jawatan sama. Jumlah 41 pencalonan diperolehi Shahrizat membuktikan terdapat 41 bahagian Wanita Umno yang mahukannya menjadi ketua baru mereka, sekali gus mengisyaratkan agar Rafidah segera berundur. Tidak mustahil jumlah itu bertambah menjelang hari akhir persidangan perwakilan bahagian, 9 November nanti.

Protes ditunjukkan bahagian-bahagian terbabit memberikan implikasi sangat besar kepada karier politik kedua-dua tokoh utama pergerakan itu. Ia juga dibaca pelbagai pihak sebagai petanda era kekuasaan politik tokoh yang pernah digelar sebagai ‘Wanita Besi Malaysia’ itu kini sudah di penghujung.

Kewibawaan Rafidah menerajui sayap wanita Umno diakui kawan dan lawan. Kekebalan dan ketahanan politiknya dapat dinilai berdasarkan prestasinya sejak muncul dalam pentas politik negara lebih tiga dekad lalu.

Rafidah mula menyertai Umno menerusi Cawangan Bukit Bintang, Bahagian Kuala Lumpur pada 1967. Karier politik bekas pensyarah ekonomi, Universiti Malaya itu mula menyerlah apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 1974.

Setahun kemudian beliau mula menduduki kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno. Beliau kekal di barisan tertinggi parti itu hingga kini.

Pada 1976, Rafidah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Awam. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas memenangi kerusi Parlimen Selayang pada Pilihan Raya Umum 1978.

Dalam rombakan Kabinet pada 1980, Rafidah pertama kali dilantik sebagai menteri penuh di Kementerian Perusahaan Awam. Sejak 1982 beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan ia kekal menjadi miliknya hingga kini.

Rafidah beralih ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian sejak 1987 dan turut dikekalkan apabila jawatan itu ditukar nama kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Amat mengejutkan pelbagai pihak apabila beliau diketepikan Perdana Menteri dalam susunan Kabinet baru selepas pilihan raya umum, Mac lalu.

Tanpa hipokrasi wajar diakui kemampuan Rafidah mengekalkan prestasi politik selama lebih tiga dekad sebagai Ahli Parlimen dan anggota Kabinet, selain mengetuai sayap Wanita Umno sejak 1984, adalah suatu pencapaian yang sukar ditandingi calang-calang tokoh wanita negara ini.

Paling menyerlah ialah kemampuannya menebus kembali kekalahan dalam perebutan jawatan parti pada 1996. Rafidah merampas semula jawatan Ketua Wanita pada pemilihan 2000 dan berjaya mengekalkan cengkamannya ke atas pergerakan itu hingga kini.

Buat beberapa dekad kebelakangan ini, nama Rafidah sudah sinonim dengan Wanita Umno. Bahkan, meski pun terbuang dari teraju pergerakan itu dalam tempoh 1996-2000 lalu, nama Rafidah tetap dikaitkan dengan pergolakan dalaman sayap Umno itu.

Beliau dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan penggantinya mendapatkan hak ke atas akaun Wanita Umno ketika itu. Baki wang dalam akaun itu berjumlah RM1.8 juta didakwa ‘hilang’ apabila hanya RM2,000 diserahkan kepada kepimpinan baru. Ironisnya, tindakan sekontroversi itu gagal mencalarkan imej Rafidah di kalangan Wanita Umno apabila dipilih semula mengetuai pergerakan itu kemudiannya.

Kekebalan Rafidah turut terserlah dalam menghadapi beberapa isu besar lain. Antaranya apabila beliau dipalitkan dengan unsur salah guna kuasa membabitkan pemberian kepentingan perniagaan kepada menantunya. Beliau turut menjadi bahan kecaman kawan dan lawan dalam isu kelulusan permit import (AP) yang memuncak pada September 2005 lalu.

Ketahanan menangkis ribut taufan politik itu bagaimana pun kelihatan sukar dikekalkan Rafidah untuk menghadapi angin perubahan dalam Wanita Umno kini. Barangkali masa untuknya berundur sudah sampai!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 26 Syawal-3 Zulkaedah 1429/26 Oktober-1 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Sunday, October 19, 2008

Najib lengkapkan Teori R.A.H.M.A.N., Anwar masih berpeluang?


“Tuntutan itu dilihat lebih kepada hasrat mendesak Abdullah berundur”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MELAINKAN berlaku perubahan besar dalam politik negara yang sama sekali di luar perancangan serta kawalan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum Mac depan, maka menurut sifir politik semasa sudah pasti Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bakal mengambil alih teraju kepimpinan parti itu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pengumuman dibuat Abdullah pada 8 Oktober lalu bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan partinya Mac nanti menjadi pengesahan awal tentang tuah politik Najib itu.

Di masa sama, Abdullah turut membuktikan bahawa beliau tidak berupaya menghadapi asakan anak-anak buahnya agar segera berundur. Meski pun Julai lau beliau mengumumkan pelan peralihan kuasa yang dikatakan telah diterima dan diluluskan Majlis Tertinggi Umno, pelan itu akhirnya terpaksa dipercepatkan.

Menurut pelan asal, Abdullah hanya akan menyerahkan jawatan Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri kepada timbalannya itu menjelang Jun 2010. Ia bukan sahaja dipersetujui para pemimpin Umno, malah sesiapa sahaja di kalangan mereka yang mempertikaikannya turut menerima kecaman dan kritikan hebat.

Ternyata desakan berubi-tubi beberapa pemimpin Umno sendiri, terutama Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, agar Abdullah mengkaji semula tempoh peralihan tersebut akhirnya membuahkan hasil. Abdullah akur dan tarikh Jun 2010 teranjak 15 bulan lebih awal kepada Mac 2009.

Laluan untuk Najib ke kerusi Presiden Umno dirasakan tidak akan dicabar lagi. Dalam keadaan yang ada sekarang, khalayak Umno dilihat tidak ada calon alternatif kepada Najib. Justeru, meski pun pengumuman Abdullah tentang kekosongan jawatan nombor satu itu dibuat sebelum bermulanya mesyuarat agung bahagian-bahagian Umno, pencalonan untuk jawatan tersebut dijangka tidak akan membabitkan nama selain Najib.

Andaian itu dibuat berdasarkan suara lantang mendesak diadakan pertandingan untuk dua jawatan tertinggi Umno sebelum ini pun bukan sangat bertujuan mencabar kedudukan Najib. Tuntutan itu dilihat lebih kepada hasrat mendesak Abdullah berundur. Kesediaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah, untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno juga dikatakan seiring dengan hasrat tersebut.

Dengan mengandaikan bahawa tidak akan ada pertembungan untuk Najib dalam mengisi kekosongan jawatan Presiden Umno nanti, maka kemenangan beliau itu juga bakal mengesahkannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6. Andaikata itu yang bakal berlaku lima bulan nanti, bermakna sudah sempurna urutan kepemimpinan negara yang disebut sebagai Teori R.AH.M.A.N.

Sama ada ianya suratan takdir atau sekadar kebetulan, perlu diakui bahawa ada kemunasabahan agak menarik di sebalik teori berkenaan. Penulis sendiri tidak sempat mengamati siapa yang memulakan teori berkenaan dan bila ia mula dilontarkan. Cuma yang penulis ingat, ia hangat diperkatakan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Menurut Teori R.AH.M.A.N., huruf ‘R’ itu merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Memandangkan baginda menjadi pemula kepimpinan, maka namanya turut digunakan untuk urutan seterusnya.

Huruf ‘A’ selepasnya dipadankan kepada pangkal nama Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak. Sudah tentu huruf ‘H’ kena dengan kehadiran Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn. Manakala huruf ‘M’ menjadi milik Dr Mahathir.

Kemuncak perbahasan Teori R.AH.M.A.N. tercetus kira-kira dua dekad lalu tatkala khalayak politik tanahair mencaturkan siapa bakal menggantikan Dr Mahathir. Sejarah mencatatkan bagaimana kemunculan beliau adalah bersama gandingan 2M, merujuk kepada timbalannya, Tun Musa Hitam.

Meski pun gandingan kedua-dua mereka kelihatan amat mantap dan berwibawa, sudah ada ketika itu kesangsian bahawa Musa tidak akan menerajui negara selepas Dr. Mahathir. Di antara faktor mendorong kesangsian itu ialah huruf pangkal nama Musa tidak sealiran dengan Teori R.AH.M.A.N. Fokus pencarian ialah kepada pemimpin dengan nama berpangkal huruf ‘A’.

Suratan atau kebetulan, kesangsian itu terbukti benar akhirnya. Musa tidak kekal sebagai Timbalan Perdana Mneteri. Justeru, apabila tempat Musa digantikan Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, banyak pihak merasakan beliaulah pemimpin ‘A’ yang dimaksudkan itu.

Malangnya, Dr Mahathir memilih untuk kekal lebih lama di kerusi Perdana Menteri sebelum sempat Ghafar mengambil alih daripadanya. Tempat Ghafar digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekali lagi khalayak politik negara menganggap kehadiran pemimpin berhuruf pangkal nama ‘A’ itu menepati urutan R.AH.M.A.N. tadi.

Di ketika sama, kebangkitan parti-parti pembangkang, khususnya PAS turut menggegarkan pentas politik negara. Kemaraannya begitu hebat sehingga dibayangkan akan ada peralihan kerajaan daripada BN kepada parti tersebut ketika itu. Maka nama-nama para pemimpin parti itu turut dikaitkan dalam kesinambungan teori berkenaan.

Nama Presiden PAS, Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor, misalnya turut disebut sebagai Perdana Menteri kelima di atas kejatuhan Dr Mahathir. Bagaimana mungkin pemimpin berpangkal huruf ‘F’ boleh masuk dengan urutan R.AH.M.A.N.? Jawabnya ialah kerana nama lain Almarhum ialah Ali.

Selain itu, nama Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut disebut. Teorinya malah dipanjangkan lagi dengan mengandaikan pemerintahan diterajui PAS dapat dikekalkan. Maka huruf ‘N’ itu dipadankan pula dengan Datuk Nakhaie Ahmad, yang ketika itu menjadi salah seorang Naib Presiden PAS.

Sejarah mencatatkan bahawa segala telahan itu tidak menjadi. Huruf ‘A’ selepas Dr Mahathir itu tidak menjadi milik Abdul Ghafar, Anwar, Ali mahu pun Abdul Hadi. Anwar juga menerima nasib serupa Musa dan Ghafar.

Akhirnya munculllah Abdullah sebagai pemimpin berhuruf ‘A’ yang benar-benar menepati kedudukan kelima dalam Teori R.AH.M.A.N. itu. Urutan itu kini bagaikan hampir pasti menemui pelengkapnya apabila Najib pula bakal menyumbang huruf ‘N’ lima bulan lagi.

Terlanjur berbicara soal teori, andaian seterusnya ialah tentang siapa pula selepas Najib nanti. Jika digunapakai Teori Domino atau teknik permainan Sahibba, maka nama menggantikan R.AH.M.A.N. nanti ialah N.A.J.I.B., iaitu mengambil nama Perdana Menteri keenam. Jika tuah Teori R.AH.M.A.N. turut sama diwarisi teori kedua ini, maka pemimpin negara selepas Najib ialah yang namanya berpangkal huruf ‘A’.

Mungkinkah ia Ahmad Zahid Hamidi atau Ali Rustam? Ataukah ketika itu ia benar-benar menjadi milik Anwar? Dengan kehendak Allah, segalanya boleh berlaku!

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah edisi 19-24 Oktober 2008)