Friday, March 16, 2007

Mampukah BN hidup tanpa salah guna kuasa?


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SEPINTAS lalu, tiada apa yang luar biasa pada majlis pelancaran Program Gerak Mesra Perayu Undi Wanita Umno Terengganu awal Februari lalu. Dalam keadaan seluruh negara sedang menduga pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat, langkah mana-mana parti memulakan gerak kerja pilihan raya memang kena pada masanya.

Seperti mana lazimnya, majlis di Stadium Negeri itu disempurnakan parti pemerintah dengan kerjasama kerajaan negeri. Sudah tentu selain melibatkan beberapa pemimpin dengan kapasiti jawatan masing-masing dalam kerajaan, ia turut menggunakan beberapa kemudahan awam.

Walau pun perbuatan itu dikira suatu penyalahgunaan kemudahan awam untuk kepentingan parti, kesalahan sebegitu sudah tidak diambil pusing mana-mana pihak. Salah guna kuasa adalah terlalu lumrah bagi Barisan Nasional (BN), walau pun pantang bagi mana-mana pemimpinnya mengakui hakikat itu.

Hal itulah yang menbezakan majlis Wanita Umno Terengganu tadi dengan majlis-majlis partinya yang lain. Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri. Seramai 3,180 wanita Umno negeri dipilih melaksanakan tugas merayu undi untuk 318 peti undi bagi menarik sokongan pengundi kepada partinya dalam pilihan raya nanti.

Tanpa selindung, Idris mengisytiharkan kerajaan negeri pimpinannya telah memperuntukkan sebanyak RM254,400 bagi memastikan tugasan partinya itu dilaksanakan dengan sempurna.

Keberanian Idris mengakui secara terbuka penyalahgunaan peruntukan kerajaan untuk gerak kerja partinya adalah di luar kebiasaan para pemimpin BN. Tindakan beliau itu sekali gus mengiyakan dakwaan pembangkang selama ini.

Lebih menarik, pengakuan itu dibuat pada saat politik negara masih bersipongang dengan cakap-cakap mengenai ketempangan proses demokrasi dan pilihan raya negara. ‘Demam campak’ yang menghinggapi BN gara-gara pemboikotan parti-parti pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Batu Talam akhir Januari lalu juga masih belum betul-betul sembuh.

Sebab utama mendorong pembangkang memulaukan pilihan raya berkenaan ialah kerana hilang kepercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pembasmian penipuan, penyelewengan dan pembohongan parti pemerintah. Kegagalan SPR itu menyebabkan setiap pilihan raya yang diadakan gagal memberikan keadilan dan persaingan yang sama rata.

Itulah yang sering didakwa parti-pari pembangkang. Itulah juga yang akhirnya diakui SPR sendiri. Akhbar-akhbar harian pada 8 Januari lalu menyiarkan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mencadangkan agar badan itu distruktur semula. Ia termasuk merombak peraturan dan undang-undang pilihan raya di bawahnya yang sebahagiannya sudah berusia 50 tahun dan dianggap tidak relevan dengan perkembangan semasa.

Abdul Rashid turut menggariskan enam kuasa yang tidak wujud pada SPR yang beliau dakwa menjadi punca kelemahan badan itu pada masa ini. Kuasa-kuasa dimaksudkan ialah kuasa menentukan penubuhan parti politik dan menjamin kebebasan mengambil bahagian bila-bila masa dalam pilihan raya, kuasa mengawal semua keadaan pada musim berkempen dan kuasa mengatur keadilan dan kebebasan melapor bagi semua media cetak dan elektronik.

Tiga lagi ialah kuasa mengawal dan menghukum pihak yang menyalahgunakan kemudahan awam untuk berkempen, kuasa menentukan keadilan dalam hal-hal berkaitan dengan pembiayaan kewangan untuk kempen parti dan kuasa mengawal dan mencegah rasuah dan aktiviti membeli undi pada musim pilihan raya.

Buat masa ini, kesemua kuasa tersebut dimiliki kerajaan. Sebab itu ketika pilihan raya BN turun bukan sekadar sebagai sebuah parti, tetapi sebagai sebuah kerajaan beserta segala kuasa, kemudahan dan peruntukannya. Tanpa kuasa tadi, SPR hanya mampu memerhati.

Boleh anda bayangkan bagaimana rupa BN menghadapi pilihan raya tanpa kuasa-kuasa tadi? Bayangkan, tiada majlis pembahagian geran tanah, penyampaian bonus dan insentif atau penyerahan kunci rumah murah kepada rakyat oleh para pemimpin BN.

Tiada manipulasi jabatan-jabatan kerajaan untuk pelbagai kempen atau aktiviti kebajikan bagi pihak BN. Tiada lori dan jentera membaiki atau membuat jalan di kawasan pilihan raya.

Alangkah meriah dan seimbangnya pilihan raya jika BN dan parti-parti pembangkang sama-sama mendapat hak berceramah di balai raya, dewan orang ramai, sekolah atau padang awam. Macam mana pula agaknya bentuk laporan media-media arus perdana tanpa manipulasi berat sebelah untuk kepentingan BN?

Paling utama, mampukah BN menjalankan gerak kerja membeli undi dan mengumpan rakyat dengan kebendaan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan? Soalan ini seakan telah dijawab menerusi penganjuran program Wanita Umno Terengganu tadi.

Barangkali Idris tersasul, atau mungkin dia lupa untuk menyembunyikan penyalahgunaan kuasa pihaknya. Boleh jadi juga beliau rasa hal itu sudah tidak perlu disembunyikan. Ibarat kata orang, “menutup bangkai gajah dengan nyiru”. Kalau disembunyikan pun orang akan nampak juga. Lagi pun, apa ertinya memimpin sebuah kerajaan BN kalau tidak pandai menyalahguna kuasa?

Apa yang pasti, para pemimpin BN sedar laluan memenangi mana-mana kerusi di Terengganu tidak semudah pilihan raya lalu. Apatah lagi tanpa penyalahgunaan kuasa. Di atas premis itu, bagaimana mungkin didambakan sebuah pilihan raya yang adil dan saksama?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 16-31 Mac 2007 dengan tajuk sama)

Wednesday, March 14, 2007

Kontraktor Melayu tak hormat waktu Jumaat


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SOLAT fardu Jumaat di masjid Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza), Gong Badak, di utara bandar Kuala Terengganu pada 9 Februari lalu tidak sehening biasa. Ia disulami bunyi hentakan dan dentuman jentera pemasak tiang cerucuk di tapak pembinaan di sebuah kem kira-kira 500 meter dari situ.

Pada papan tanda di tapak berkenaan ditulis projek pembangunan semula Kem Batalion 9, Pasukan Gerak Am itu dimajukan sebuah syarikat berpangkalan di Putrajaya. Ia melibatkan pembinaan bangunan pentadbiran, unit-unit kediaman, mes pegawai dan sebagainya.

Kontraktor pelaksana projek ialah sebuah syarikat terkenal dan tidak asing lagi dari Jerteh, Terengganu. Ia diketahui milik keluarga seorang pemimpin utama negeri itu.

Itulah yang menambahkan lagi kejengkelan rakyat. Tergamak sebuah syarikat milik keluarga pemimpin kerajaan mencemar kesucian hari mulia itu? Mereka persoalkan sejauh mana perlunya kerja-kerja tersebut diteruskan sewaktu solat Jumaat sedang disempurnakan.

Hujah mereka agak rasional. Pertama, Jumaat ialah hari cuti mingguan di Terengganu. Pelbagai sektor perniagaan, pejabat kerajaan dan swasta mahu pun sektor pembinaan mematuhi peraturan sedia ada itu tanpa mengira sepenting mana sekali pun fungsi masing-masing. Jadi, amat penting sangatkah projek yang satu ini disiapkan segera sehingga tidak boleh berhenti walau sehari?

Kedua, negeri-negeri yang bekerja pada hari Jumaat pun tidak meneruskan kerja di waktu itu. Pejabat kerajaan dan swasta berehat antara 12:30 hingga 2:30 petang untuk memberi ruang kepada pekerja Islam lelaki bersolat Jumaat, selain makan dan berehat.

Jika pun ada para pekerja yang memang tidak minat bersolat, itu kesalahan individu. Pihak majikan telah menghormati waktu Jumaat dan tidak bersubahat dengan pekerjanya untuk menyediakan alasan bagi mereka ponteng solat yang wajib itu.

Ketiga, katakanlah kerja-kerja di Gong Badak itu tidak melibatkan pekerja beragama Islam. Sekali pun begitu, sekurang-kurangnya tunjukkanlah rasa hormat kepada umat Islam yang sedang beribadat, bukannya menyulami ibadat mereka dengan dentuman yang mengganggu konsentrasi mereka. Bukankah kontraktor terbabit adalah syarikat milik penuh orang Melayu?

Secara logik juga, adalah tidak munasabah jika dikatakan jadual pembinaan keseluruhan akan terjejas teruk sekiranya ia ditangguhkan barang sejam-dua itu.

Keempat, kejadian di tengah-tengah perkampungan umat Islam itu berlaku pada saat kerajaan Terengganu sedang menguar-uarkan hasratnya bertindak terhadap lelaki Islam yang ponteng solat Jumaat. Malah, seminggu sebelum itu pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terenganu (JHEAT) telah pun membuat operasi menahan golongan yang didapati ponteng daripada menunaikan fardu Jumaat. Dilaporkan 26 notis saman telah dikeluarkan di beberapa lokasi sekitar Batu Burok dan Ladang, Kuala Terengganu.

Amat jelas hasrat kerajaan itu tidak dihayati kontraktor terbabit. Keberaniannya mempamerkan aktiviti pembinaan pada waktu orang Islam bersolat Jumaat bukan sahaja tidak kondusif malah seakan mencabar hasrat kerajaan membendung gejala ponteng Jumaat. Apakah akan ada tindakan oleh JHEAT terhadap syarikat kontraktor terbabit?

Hari Jumaat adalah hari besar orang Islam. Nabi Muhammad saw sangat memuliakan hari Jumaat dan memandangnya sebagai hari yang wajib dihormati dan dibesarkan oleh seluruh umat Islam.

Bahkan, dalam satu hadisnya, Baginda saw menyifatkan hari Jumaat sebagai kemuliaan yang membezakan umat Islam dengan umat-umat lain: “Kita (umat Islam) ialah umat yang terkemudian lahirnya dan terdahulu dapat penyelesaian pada hari Kiamat dan terdahulu pula masuk syurga. Ada pun mereka (Yahudi dan Nasrani) mendapat kitab sebelum kita dan kita mendapat sesudah mereka. Kemudian ahli kitab berselisih dan kita kaum muslimin diberi petunjuk yang benar tentang hari yang diperselisihkan mereka itu. Hari itu ialah hari Jumaat dan ia untuk kita, esoknya (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusanya (Ahad) untuk kaum Nasrani”. (Riwayat Muslim)

Kelebihan hari Jumaat disenaraikan Rasulullah lewat beberapa hadis. Pada hari Jumaat berlaku beberapa peristiwa penting lagi mulia, seperti Nabi Adam as diciptakan Allah, dimasukkannya ke syurga, diturunkan ke bumi dan diwafatkan. Pada hari Jumaat juga Adam dan Hawa dipertemukan di Padang Arafah.

Pada hari Jumaat Malaikat Israfil meniupkan sangkakala bagi menandakan Kiamat. Jumaat juga dihimpunkan segala makhluk di Padang Mahsyar dan orang-orang Islam yang telah dihisab akan memasuki syurga.

Menjadi amalan para ulama dan orang yang bertakwa untuk menghayati kedatangan Jumaat sedari petang sebelumnya. Sebagai penghulu segala hari, Jumaat adalah hari paling afdal untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Maka membiarkan diri sibuk dengan aktiviti kerja adalah ibarat melepaskan peluang mengejar nikmat dan kelebihan di sisi Tuhan.

Dibimbangi kecenderungan meneruskan kerja pada saat umat Islam berduyun-duyun ke masjid memberi imej salah tentang kemuliaan saat itu. Tidak mustahil akan ada generasi muda tidak akan tahu kelebihan Jumaat berbanding hari lain dan tidak akan menghayatinya.

Bagaimanakah mereka ini diharapkan bakal menjadi generasi Ulul-Albab, sebagaimana dicita-citakan pemimpin kerajaan yang juga bekas pemilik syarikat kontraktor itu sendiri?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 11-25 Safar 1428/1-15 Mac 2007 dengan tajuk sama)