Saturday, July 1, 2006

Kecenderungan SEKS Di Kalangan Remaja Membimbangkan


Oleh: Mohd. Nasir Awang

SELEPAS satu dekad melarikan diri dari rumah gara-gara mengikut teman lelaki, Tanya Nicole Kach yang kini berusia 24 tahun akhirnya kembali ke pangkuan keluarga. Ibu bapa yang melaporkan kehilangannya pada 10 Februari 1996 lalu sudah hampir putus harapan menemuinya semula, sehingga dia sendiri keluar dari ‘persembunyian’ dan mendedahkan identiti sebenar ke pengetahuan pihak polis.

Segalanya bermula sewaktu Tanya di darjah lapan (eight grade) di sebuah sekolah menengah di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS). Suatu hari dia ponteng kelas dan ditangkap pengawal keselamatan sekolahnya. Akibat kesalahan itu dia diambil kesempatan oleh pengawal itu, Thomas Hose, yang 24 tahun lebih tua darinya. Di tangga sekolah, Tanya dan Thomas berkucupan. Terdorong oleh rangsangan nafsu yang memuncak, Tanya bersetuju mengikut Thomas ke rumahnya.

Sejak itu Tanya tidak pulang ke pangkuan keluarganya. Untuk sedekad seterusnya, Tanya ‘bersembunyi’ di rumah ibu bapa Thomas dan berterusan melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.

Kebebasan adalah suatu ciri utama dalam masyarakat AS. Kehidupan bebas, termasuk hubungan seks luar nikah pada usia muda, adalah lumrah. Justeru, agak janggal apabila seorang anak mengambil keputusan lari dari rumah semata-mata untuk mencari kebebasan.

Mungkin dalam kes Tanya, usianya pada waktu itu masih dianggap kank-kanak, iaitu 14 tahun.  Implikasi undang-undang memang wujud, kerana seks bawah umur dianggap kesalahan di AS.  Tetapi gejala seks bebas di kalangan kanak-kanak semuda itu bukan suatu yang luar biasa bagi sebahagian masyarakat dunia, terutama di Barat. Malah eksploitasi kanak-kanak untuk berbagai tujuan berunsur seks tidak dianggap kesalahan di sebilangan negara.

Kajian Pusat Kanak-Kanak Hilang dan Diperguna Antarabangsa (ICMEC) yang disiarkan awal April lalu mendedahkan kelucahan membabitkan kanak-kanak tidak dianggap kesalahan jenayah di 138 negara. Presiden dan Ketua Eksekutif ICMEC, Ernie Allen berkata: “Ramai pemimpin dunia tidak menganggap kelucahan kanak-kanak sebagai jenayah. Ia sebaliknya dijadikan industri bernilai berbilion ringgit”.

Menurut kajian itu juga, hanya lima negara yang memiliki undang-undang lengkap mengenai kelucahan kanak-kanak iaitu Australia, Belgium, Perancis, Afrika Selatan dan AS. Ketiadaan undang-undang menghalang eksploitasi kanak-kanak, termasuk membabitkan industri seks, mendedahkan golongan itu kepada hubungan sumbang di usia muda.

Dengan kecetekan ilmu tentang risiko seks, beserta pemikiran yang masih belum matang tentang asam garam hidup, kanak-kanak mudah terjerumus. Lebih-lebih lagi sekiranya ajaran agama berkaitan dosa dan pahala tidak dibekalkan kepada mereka.

Di masa yang sama, lambakan saluran hiburan yang pelbagai menambah dorongan negatif itu.  Akhirnya, apa saja yang terlintas dalam nafsu cuba direalisasikan.

Keadaan itu nampaknya menjadi kecenderungan sejagat kini. Seks bebas bukan setakat merosakkan keturunan, malah mendorong peningkatan gejala sosial lain seperti pelacuran, pengambilan alkohol, penagihan dadah dan pil khayal serta pembuangan bayi.

Hakikat itu barangkali yang mendorong kerajaan Britain memperkenalkan undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa memberi pil secara percuma kepada remaja bawah 16 tahun bagi menangani masalah kehamilan bawah umur.

Tetapi bagi kita, langkah itu lebih kepada mendorong dan bukannya mencegah gejala itu.  Pengambilan pil itu akan membantu remaja yang telah ‘rosak’ menyembunyikan status sebenar kesucian mereka.

Justeru, tidak hairanlah kes-kes remaja bawah umur terlibat dalam gejala seks semakin acap kedengaran, termasuk di negara kita. Awal April lalu, misalnya, sebuah akhbar harian melaporkan pengakuan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang ‘ketagihan’ seks dan telah melakukan hubungan dengan tidak kurang 10 lelaki.

“Bagi saya, seks satu keseronokan dan saya suka melakukannya bersama mana-mana lelaki yang saya kenal. Tidak kira di mana tempatnya asal ada peluang, sama ada di atas motosikal, tempat duduk belakang kereta, pinggir tasik, semak atau di dalam rumah”, itulah pengakuan yang dicatatkan. Dia juga mengakui mula terjebak dengan seks seawal usia 12 tahun.

Suatu ketika dahulu, cerita seumpama itu sukar didengar. Tetapi kini ia tidak lagi menghairankan. Malah, satu kajian mengenai kegiatan seksual di kalangan remaja negara ini mendapati ada di kalangan mereka terjebak dalam hubungan seks luar nikah seawal usia sembilan tahun.

Lebih mengejutkan, menurut Laporan Kajian Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja di Malaysia 2003, selain melakukan hubungan dengan pasangan istimewa, ramai remaja lelaki termasuk yang masih bersekolah mendakwa melakukannya dengan pelacur.

Sesuatu mesti dilakukan bagi mengekang kecenderungan negatif ini. Kanak-kanak dan remaja hari ini adalah pemimpin di masa hadapan. Bayangkan bagaimana keadaan bangsa dan agama kita nanti jika kepimpinannya dikuasai golongan yang telah ‘rosak’ ini.

(Artikel ini disiarkan Majalah Dian, Julai 2006 di ruangan 'Sosial' dengan tajuk sama).

Kelantan dapat juga universiti walau pun PAS berkuasa


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

MODAL paling laris dijaja BN Terengganu dewasa ini ialah pembangunan pendidikan yang didakwa tajaannya. Perancangan mewujudkan Taman Ilmu di Besut sebagaimana diisytiharkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi didakwa tambah menampakkan kesungguhan BN menjulang Terengganu sebagai pangkalan pendidikan.

Pada 17 Jun lalu Abdullah mengumumkan perancangan kerajaan Pusat membina perbandaran baru di Mukim Tembila, Besut iaitu lokasi yang sebelum ini dikenal pasti sebagai tapak kampus induk Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Taman Ilmu itu dikatakan akan menempatkan institusi pengajian tinggi, kolej serta pusat latihan.

Kawasan 280 hektar itu bakal dilengkapi kemudahan asas seperti perpustakaan, masjid, dewan konvensyen dan kemudahan komersial. Sejumlah RM250 juta diperuntukkan kerajaan Pusat untuk tujuan pembangunan itu.

Pengumuman itu menjadikan pemimpin BN Terengganu tersenyum puas. Mereka merasakan seolah-olah telah berjaya melupakan rakyat betapa mereka sendiri sangat tidak berdaya membangunkan pendidikan. Bahkan, minat serta komitmen BN Terengganu dalam memajukan pendidikan turut dipertikaikan rakyat apabila satu demi satu institusi pendidikan milik kerajaan negeri diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk diurustabdir.

Sebelum ini sudah jenuh dibicarakan soal pembubaran Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) bagi memberi laluan penubuhan UDM di kampus sama. BN cuba memaksa rakyat menerima hakikat itu, kononnya ia atas nama menaikkan taraf Kusza, daripada sebuah kolej kepada universiti. Semudah itu BN mahu memperbodohkan rakyat?

Tidak lama selepas itu timbul pula isu penyerahan 14 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu untuk diurustadbir Kementerian Pelajaran. Sekali lagi BN berhujah tindakan itu atas premis menaik taraf sekolah-sekolah berkenaan sebagai Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan Persekutuan (SABK).

Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein berkata, selepas didaftarkan sebagai SABK, setiap sekolah akan menerima geran perkapita RM100,000-RM150,000 setahun. Segala perbelanjaan pengurusan sekolah dan gaji guru serta kakitangan akan ditanggung kementerian.

Tidak dinafikan soal pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan Pusat. Rakyat juga dapat melihat rasional tindakan “penyerahan” itu demi peningkatan mutu pendidikan. Sama ada isu Kusza atau SMAN, yang dipersoalkan bukannya keperluan menaik taraf mereka. Isu sekarang ialah kedua-dua kes itu membuktikan BN Terengganu tidak mampu dan tidak berminat mentadbir institusi pendidikan agama.

Sebelum itu, beberapa institusi pendidikan yang ditubuhkan di zaman pemerintahan PAS telah diabaikan, bahkan dimansuhkan. Antaranya ialah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang kini ibarat “menunggu saat kematian” apabila sudah dua tahun pengambilan pelajar baru tidak dilakukan. Pengurusannya terbiar dan tidak diambil berat kerajaan negeri.

Ada pun Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ), juga ditubuhkan di zaman PAS, telah dibubarkan.

Satu-satunya institusi pendidikan menengah yang dibela dan ditonjolkan sebagai projek negeri ialah Sekolah Imtiaz. Sekolah yang asalnya milik peribadi Menteri Besar, Idris Jusoh itu kini dimilik-negerikan. Ia tidak hanya wujud di Besut, malah dikembangkan membabitkan penubuhan cawangan di tiga daerah lain.

Nasib malang institusi pendidikan negeri tadi bukan sesuatu yang membanggakan rakyat. Pemimpin BN mungkin menganggap kedukaan rakyat itu terubat dengan kejayaan mereka mendapatkan sebuah universiti. Sebab itu mereka sering mengulang sebut penubuhan UDM adalah impian menjadi realiti.

Bagi mereka, realiti itu wujud hanya kerana rakyat Terengganu memilih BN dalam pilihan raya umum lalu. Dalam ertikata lain, ditakdirkan rakyat Terengganu terus memilih PAS dan menolak BN, impian mendapatkan unversiti itu tidak mungkin direalisasikan.

Malang bagi mereka kerana rakyat Terengganu dapat melihat realiti berbeza berlaku di negeri jiran, Kelantan. Dalam manifesto pilihan raya umum lalu, BN Kelantan turut menjanjikan penubuhan sebuah universiti jika memerintah Kelantan.

Apa yang lebihnya BN Kelantan berbanding rakan mereka di Terengganu, mereka tetap mendapat universiti sekali pun tidak memerintah. Penubuhan Universiti Darul Naim diisytiharkan dalam RMK-9 bersama-sama UDM di Terengganu.

Ertinya, BN Kelantan menang dalam kalah. Walau pun mereka tidak memerintah, tuntutan mewujudkan universiti di negeri itu masih mampu dicapai. Kelantan membuktikan rakyat boleh mendapat universiti walau pun PAS yang memerintah. Asal saja pemimpin BN negeri tidak busuk hati, dengki dan khianat.

Lebih hebat lagi, BN Kelantan tidak perlu mengorbankan mana-mana institusi pendidikan negeri sedia ada untuk “dinaiktarafkan” sebagai universiti, sebagaimana BN Terengganu mengorbankan Kusza. Mengambilkira sifir politik ini, BN Terengganu sebenarnya kalah dalam menang!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 1-15 Julai 2006 dengan tajuk sama)