oleh: ANUWA JAMALULLAIL
DI TENGAH-TENGAH kerancakan kerajaan mencanangkan kempen budi bahasa di
kalangan rakyat, negara dikejutkan dengan tahap kesopanan yang memalukan di
kalangan Ahli-Ahli Parlimen. Media massa bagaikan tiada pilihan kecuali
melaporkan juga insiden tersebut meski pun ia membabitkan anggota parti
pemerintah.
Persidangan Parlimen menyaksikan beberapa wakil rakyat BN semakin
lantang mengkritik kerajaan. Itu tidak menjadi masalah, kerana Perdana Menteri
sendiri telah memberi lampu hijau kepada mereka untuk menegur kerajaan secara
terbuka di Parlimen. Tetapi apabila mereka menggunakan bahasa yang tidak sopan,
ia bukan lagi sesuatu yang dialu-alukan.
Dalam kes pada 6 April lalu, tokoh yang menjadi cemuhan wakil kerajaan
ialah menteri mereka sendiri. Semuanya gara-gara ‘pakaian alternatif’ yang diperagakan
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan, Dato’ Seri Dr. Rais Yatim. Beberapa Ahli Parlimen BN
mempertikaikan apakah pakaian itu telah diluluskan Yang Dipertua Dewan.
Dari situlah pertikaian bermula. Ia melarat sehingga emosi menguasai
suasana dan menenggelamkan kesopanan. Beberapa ungkapan yang tidak wajar
diucap, lebih-lebih lagi di Dewan, dilaporkan kedengaran. Antaranya, ‘kurang ajar’, ‘halau menteri (sambil
menyebut menteri yang dimaksudkan) kelar Dewan’ dan ‘menteri syok sendiri’.
Kebetulan pula, Rais adalah penggerak utama Kempen
Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni. Beliau malah pernah menyarankan agar
semua Ahli Parlimen dan Adun BN menggunakan bahasa sopan ketika berbahas di
Dewan. Amat malang bagi beliau, apa yang berlaku di Parlimen pada hari itu
bukan sahaja membuktikan saranannya itu tidak diendahkan, malah beliau sendiri
menjadi bahan cemuhan.
Gelagat tidak sopan Ahli Parlimen itu mengundang teguran dan kecaman
pelbagai lapisan masyarakat, termasuk tokoh budayawan. Mereka antara lain
bimbang penggunaan bahasa kasar di kalangan wakil rakyat akan memberi kesan
negatif terhadap rakyat, terutama golongan muda.
Belum pun reda rungutan masyarakat mengenai hal itu, insiden serupa
dilaporkan berlaku pula di persidangan Dun Pahang. Bezanya, kali ini bukan
calang-calang Adun yang mencetuskan kejutan, tapi Menteri Besarnya, Dato’ Seri Adnan Yaakob sendiri.
Pada 24 April Adnan dilaporkan menempelak para wartawan dengan perkataan
“go to hell”.
Bahasa kesat yang mengejutkan sidang Dewan itu dituturkannya ekoran rasa kurang
senang beliau dengan laporan beberapa media berhubung cadangannya agar Kerajaan
Pusat memberi geran tahunan sehingga RM200 juta bagi memberhentikan aktiviti
pembalakan di negerinya.
Akhbar melaporkan Adnan sebagai berkata: “Sebenarnya surat khabar macam ini, kalau tak keluar (berita) saya pun
tak apalah, can go to hell, dengan
izin, minta maaflah, maknanya kalau cakap Melayunya ‘pergi jahanamlah!’”
Siapa tidak kenal Adnan? Beliau memang dikenali dengan sikap
emosionalnya. Ingat lagi peristiwa di hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil
Dun Sanggang, Pahang, 21 Mac 2000 lalu? Di hadapan ribuan hadirin, Adnan yang
gagal mengawal perasaannya tergamak menunjukkan isyarat
lucah serta menungging punggungnya ke arah penyokong Barisan Alternatif
(BA).
Mungkin perlakuan seumpama itu tidak tergamak dilakukan rakan-rakan sejawatnya
yang lain. Namun, Adnan tidak keseorangan apabila dikaitkan dengan perangai
mudah melenting. Rakannya di Terengganu juga tidak kurang hebat dalam hal itu.
Dalam persidangan Dun Terengganu 17 April lalu, Dato’ Seri Idris Jusoh sekali lagi menunjukkan keperibadian
sebenarnya apabila memberikan reaksi spontan terhadap ucapan wakil pembangkang.
Idris tidak mampu menahan emosi hanya kerana Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong (PAS-Batu Burok) menyebut beliau
telah ‘imitate ulasan selari’
mengenai acara Piala Monsun.
Sebagai MB, Idris ada peluang mengulas apa juga perkara di dalam ucapan
penggulungannya. Tapi Idris bagaikan tidak dapat menunggu saat itu. Sebaliknya,
terus mencelah dan dengan penuh emosi menyergah Wan Muttalib, antaranya dengan
berkata, “ini pelawok (bohong) ni Yang Berhormat.
Dah banyak kali dah YB pelawok” dan “20
kali pelawok dah”.
Perilaku Idris yang emosional itu menjadi ikutan beberapa Exconya dan Adun
BN lain sepanjang persidangan itu. Antaranya Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Islam Hadhari Terengganu,
Datuk Rosol Wahid. Beliau bukan sahaja mengaku memecat beberapa imam dan
bilal yang menyokong PAS, malah mengulas, “kalau
beri... (dia) kekoh (gigit), beri... kekoh, lama-lama kita enjal (terajang)
jugok. Kita pun bengkeng (garang)... bagi saya kalau dak retap (tampar), kita
enjal”. Itulah gambaran budi bahasa wakil BN sewaktu bercakap di Dewan.
Sebuah akhbar harian bebahasa Inggeris awal April lalu turut melaporkan
suasana ‘panas’ dalam sidang Dun Melaka minggu sebelumnya. Ia antara lain
menyebut, tiada yang akan menyangka Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam begitu
mudah naik angin meski pun membabitkan isu remeh-temeh, termasuk terhadap
dakwaan kenaikan mendadak cukai tanah ke atas seorang peserta Felda di Jasin
yang dibangkitkan Betty Chew (DAP-Kota
Laksamana).
Baik Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, kedua-duanya merupakan
tempat yang mulia. Dari sudut pentadbiran, anggota kedua-dua Dewan terutama
wakil parti kerajaan dianggap golongan paling penting dalam mencorakkan hala
tuju pemerintahan negara dan negeri.
Insiden yang dipaparkan tadi melibatkan perlakuan tidak sopan dan
emosional oleh para pemimpin kerajaan sendiri. Bolehkah diharapkan mereka itu
untuk menjayakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni dianjurkan BN?
(Artikel ini disiarkan akhbar
Harakah, 18 Rabiulakhir-3 Jamadilawal 1427/16-31 Mei 2006 dengan tajuk sama)