Friday, January 20, 2006

Idris perlu tukar anggota Exco ‘Cap Ayam’

Oleh: Anuwa Jamalullail

Timbalan Unit Risikan Kewangan Bank Negara Malaysia, Yusof Sulong dilaporkan telah mencadangkan supaya kerajaan negeri Terengganu membuat rombakan Exco bagi memastikan Terengganu mencapai agenda penjenamaan semula. Beliau membuat gesaan itu pada majlis Penerangan dan Diskusi Bajet 2006 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 25 Disember lalu.

Spekulasi rombakan Exco negeri mula menjadi bahan percakapan rakyat Terengganu sejak setahun lalu, iaitu belum pun sampai setahun Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaannya.  Desas-desus itu memuncak pada September 2005 apabila akhbar melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, membayangkan untuk berbuat demikian dalam salah satu sidang akhbarnya. Idris menegaskan bahawa rombakan boleh berlaku pada bila-bila masa jika didapati ada anggota Exco gagal menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Kini, kerajaan BN sudah berusia hampir dua tahun. Tempoh itu sudah cukup bagi Idris untuk menilai dan memberi markah kepada anggota Exconya. Sama ada lulus atau gagal, semuanya bergantung kepada penilaian Idris sendiri.

Ada di antara anggota Exco sedia ada dikatakan “tidak mesra” dengan rakyat kerana mungkin merasakan diri mereka sudah cukup hebat. Manakala Idris sendiri pernah didakwa melabelkan beberapa Exconya sebagai “cap ayam”, lantaran gagal menyempurnakan tugasan yang diberikan. 

Dalam bahasa Terengganu, “cap ayam” bermaksud koman, tidak berkelayakan atau low class.
Walaupun diperintah BN sejak 1961 (hanya empat tahun di bawah PAS), Terengganu masih dianggap salah sebuah negeri yang ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Berbeza dengan apa yang sering digambarkan para pemimpin negeri, tahap pembangunan Terengganu kini tidaklah boleh dibanggakan sangat. Aktiviti ekonomi rakyatnya ternyata masih lembab.

Beberapa kawasan perindustrian yang dipromosi begitu hebat masih kosong dan lengang.  Pelabur yang pernah diberitakan berminat membuka perniagaan mereka hingga kini masih belum muncul.

Prasarana di pusat-pusat perniagaan rakyat tempatan juga masih di takuk lama. Pasar Jerteh di Besut belum dibuat apa-apa pembaikan atau penaiktarafan. Pasar buah di Simpang Tiga Ajil di Hulu Terengganu masih daif, sesak dan menyakitkan mata memandang. Sedangkan ia berada di laluan masuk ke Terengganu dari pedalaman Pahang.

Kerosakan Pasar Kedai Payang pula lambat dibaiki. Bumbungnya dikesan bocor, manakala longkangnya tersumbat menyebabkan air sering bertakung. Keadaan menjadi bertambah kotor dengan sampah sarap yang terbiar.

Unit kedai dan industri di Bukit Kor, Maranag juga dilaporkan kurang mendapat sambutan kerana lokasi dan kurang kemudahan berkaitan. Kompleks Perusahaan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berhampiran kawasan itu turut mengalami masalah sama.

Sejak hampir dua tahun lalu juga, bekalan air sering terputus. Soal tekanan air terlalu rendah pula sudah menjadi lumrah. Ia berlaku di seluruh negeri. Ke manakah perginya kehebatan para pemimpin BN menyelesaikan permasalahan tersebut?

Dalam kebuntuan mereka menangani masalah pembangunan, para pemimpin negeri cuba menukar suasana musim tengkujuh daripada kesedihan kepada keceriaan. Mereka membawakan Piala Monsun dengan menjemput para pelancong asing menjayakannya.

Apa yang dipersoalkan rakyat kini ialah sejauh manakah kesan kejohanan itu kepada ekonomi rakyat? Sepanjang tempoh kejohanan (29 November-4 Disember 2005), berapa banyak penambahan pendapatan diperolehi para peniaga di sekitar kawasan kejohanan, seperti di Pasar Kedai Payang, Losong dan Pulau Duyong sendiri? Betulkah hotel dan chalet fully-booked? Sejauh manakah kejohanan itu berjaya menarik kunjungan pelancong domestik?

Sebenarnya, rakyat Terengganu telah ada jawaban kepada soalan-soalan berkenaan. Sebab itu, walau pun Idris sendiri pernah menjanjikan 25,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu dalam masa lima tahun ini, mereka sudah tidak mahu membuang masa menunggu dan mengharapkan janji itu tertunai. Rakyat telah mencari penyelesaian sendiri bagi mempertingkatkan ekonomi keluarga.

Antara mereka ada yang sanggup mencari rezeki dengan mengutip sampah. Sebagaimana dilaporkan akhbar, tujuh keluarga menjadikan kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Hulu Terengganu di Ajil sebagai tempat mereka mencari rezeki. Cerita yang sama turut berlaku di kawasan pelupusan sampah berhampiran Bukit Payong, Marang. Apakah kerja selongkar sampah itu sebahagian daripada janji 25,000 peluang pekerjaan tadi?

Kebetulan atau tidak, wakil rakyat di kedua-dua DUN berkenaan (Ajil dan Bukit Payong) adalah anggota Exco kerajaan negeri. Barangkali ini salah satu petunjuk bahawa apa yang pernah dilafazkan Idris sendiri tentang kewujudan “Exco cap ayam” itu ada kebenarannya.

Bagi memastikan agenda memajukan negeri tidak tergendala dengan kehadiran “Exco cap ayam”, Idris perlu mempunyai barisan Exco yang mantap.  Rombakan Exco tidak dapat dielakkan, biar pun ia ibarat mengeluarkan kentut.  Jika dilakukan ia akan berbunyi, berbau busuk dan memalukan. Tetapi jika ditahan, ia akan terus menyeksa badan!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 012, 20 Januari 2006, dengan tajuk sama)

Peraturan kawal industri makanan halal


Oleh: Mohd Nasir Awang

TIDAK dapat dipastikan entah sejak bila ikan patin menjadi kegemaran saya dan keluarga.  Boleh dikatakan setiap minggu ada hidangan patin dalam menu kami. Kebetulan pula Allah mengurniakan saya isteri yang sangat pandai memasak patin dan kena dengan citarasa saya.  Anak-anak yang selalunya agak cerewet dengan lauk-pauk tidak pernah menolak apabila dihidangkan patin. Masaklah apa saja, asalkan patin, pasti licin diratah mereka.

Selera kami terhadap patin agak terbantut apabila membaca laporan sebuah tabloid bertajuk “Patin Babi Rebus”.

“Patin yang selalu Abang beli tu dari Perak ke?”, tanya isteri sambil menggetarkan badan, tanda geli-geleman.

Tabloid itu mendedahkan tindakan segelintir pengusaha kolam ikan air tawar di Perak menggunakan usus dan organ dalaman babi yang direbus sebagai makanan ikan patin peliharaan mereka. Ikan-ikan itu dipasarkan di Perak hingga ke Johor, selain turut dieksport ke Timur Tengah.  

Pada saya, pengusaha yang melakukan itu jelas tidak waras.  Tidak ada rasa tanggungjawab, malah biadab dan tidak menghiraukan sensitiviti umat Islam. Sedangkan mereka tahu ikan-ikan itu untuk dijual kepada orang-orang Islam. Apakah mereka sebagai rakyat Malaysia tidak tahu betapa sensitifnya umat Islam dengan babi?

Oleh itu, pihak Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak cukup sekadar memantau mereka itu. Tindakan yang lebih tegas dan keras adalah perlu, termasuk mengharamkan mereka menternak ikan sampai bila-bila.

Ia tidak boleh dianggap kesalahan kecil. Ia suatu pengkhianatan dan menjadi salah satu di antara siri penghinaan yang sudah kerap berlaku sebelum ini.

September lalu, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) mengesan dua kilang memproses produk makanan yang menggunakan logo Halal Malaysia tetapi menggunakan bahan haram. Sebuah kilang kicap di Seremban dan kilang mi di Rahang gagal mematuhi peraturan menyebabkan lesen penggunaan logo halal dibatalkan. Entah berapa banyak produk kedua-dua kilang itu yang telah masuk ke perut pengguna Islam sebelum penipuan mereka dikesan?

Sebelum itu pun media pernah mendedahkan isu sosej dan mi berlogo halal tetapi diperbuat daripada bahan berasaskan babi. Cerita bebola ikan yang dicampur darah babi dan daging ular laut juga pernah didedahkan oleh Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan kira-kira sedekad lalu.  Produk makanan itu yang dijual secara meluas di negara ini dikatakan diimport dari negara jiran.  Siapakah pengimport yang tidak bertanggungjawab itu?

Di negara ini, imej Islam, sama ada melalui penampilan premis dan pekerjanya atau penggunaan logo halal pada produk sebenarnya adalah ‘senjata utama’ bagi pengusaha makanan, terutama yang bukan Islam. Mereka tahu, untuk menarik pelanggan Islam atau menembusi pasaran pengguna Islam, imej dan label Islam perlu digunakan.

Atas kepentingan itu, ada pengusaha meletakkan ayat suci al-Quran di premis niaga dan mengupah pekerja asing berpakaian Islam seperti lelaki berketayap dan wanita bertudung, walau pun mereka sebenarnya bukan Islam. Pemalsuan imej ini telah lama dilakukan, malah disengajakan.

Ada kes Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terpaksa menarik balik sijil pengesahan halal yang diberikan kepada sebuah syarikat pengeluaran ayam berikutan proses penyembelihan yang meragukan. Antaranya menyembelih dua kali setelah penyembelihan pertama tidak sempurna.  Manakala sebahagian ayam yang diproses itu ada yang sudah mati sebelum disembelih. Selain sijil, adakah produk-produk syarikat itu yang masih berada di pasaran juga ditarik balik?

Dalam kes patin tadi, oleh kerana ikan tidak perlu disembelih, pengusahanya tidak perlu mendapatkan lesen penggunaan logo halal. Tetapi tidak semestinya ikan halal dimakan jika terbukti ia diberi makan bahan yang haram, termasuk usus babi.

Babi adalah haram di sisi Islam. Ia dikenalpasti mengandungi parasit yang tidak dapat dihapuskan sekalipun dimasak sekian lama. Parasit itu akan hidup dalam ikan patin atau apa juga haiwan yang memakannya. Oleh kerana parasit itu tidak mati di situ, dia bakal berpindah pula ke dalam tubuh manusia yang memakan ikan atau haiwan tadi.

Hakikat itu barangkali mendorong kumpulan Animal Liberation di Australia yang menentang  penghantaran biri-biri negaranya untuk pasaran Asia Barat menggunakan daging babi dalam bantahan mereka. Daging babi salai diberikan kepada lebih 120,000 biri-biri yang sedang dalam proses dihantar ke negara-negara Islam itu menyebabkan penghantaran pada November 2003 lalu terpaksa dibatalkan.

Negara kita juga ada mengimport daging dari Australia. Ternakan itu disahkan disembelih secara Islam. Tetapi, adakah dipastikan ia diberi makanan yang halal semasa hidup?

Setakat ini belum ada kecurigaan tentang perkara itu. Barangkali kerajaan kita sudah meneliti keseluruhan proses pembikinan daging beku itu. Mereka telah memastikannya halal menurut syariat, sebagaimana saya juga telah menyelidik asal usul ikan patin yang sering saya beli itu. Ia diternak oleh orang Islam dan diberi makan bahan yang suci di sisi Islam.

Kebimbangan isteri saya tadi terhapus. Selera saya terhadap ikan patin juga alhamdulillah tidak terbantut lagi!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 012, 20 Januari 2006, di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)