Tuesday, January 22, 2002

Mengikis mentaliti tidak bermaruah

Oleh: Mohd. Nasir Awang
DATO’ Seri Tuan Guru Menteri Besar buat kesekian kalinya menegur sikap segelintir rakyat negeri ini yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga menyulitkan usaha kerajaan membantu golongan tidak berkemampuan.
Sambil menyifatkan sikap sebegitu sebagai ‘tidak bermaruah’, Tuan Guru juga melahirkan rasa kesalnya kerana ia turut membantutkan usaha kerajaan menangani masalah kemiskinan rakyatnya.
Awal bulan ini, Tuan Guru dilaporkan memetik satu contoh bagaimana seorang yang mampu memiliki kenderaan mewah tetapi masih menagih bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ibunya.
“Saya diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada anak yang datang bawa kereta Mercedes…bukan dia driver (pemandu), memang itu kereta dia. Marah (kepada JKM) kerana lambat beri bantuan kepada emaknya. Itu memalukan dan tak ada maruah”, kata Tuan Guru.
Kita masih ingat bagaimana program ‘pemutihan’ yang dilakukan kerajaan negeri terhadap senarai penerima bantuan kebajikan dan zakat tahunan telah menjadi isu yang hangat di awal pemerintahan dahulu. Berbagai pihak telah memanipulasi isu berkenaan bagi menaikkan sentimen kemarahan golongan terbabit terhadap kerajaan negeri.
Perkara itu serta-merta bertukar menjadi isu politik. Akibatnya, beberapa kumpulan rakyat dilaporkan ‘berhijrah beramai-ramai’ daripada pendirian politik yang pro-aspirasi kerajaan kepada sikap anti-kerajaan.
Sebagai sebuah pemerintahan yang tegak di atas asas memberikan keadilan sosio-ekonomi kepada rakyatnya, kerajaan negeri tidak dapat melarikan diri daripada berhadapan dengan golongan bermentaliti subsidi ini.
Itulah barangkali warisan pemerintahan dahulu yang paling bersebati di dalam masyarakat.  Sebab itu usaha mengikis ‘mentaliti subsidi’ ini adalah amat menyulitkan. 
Hampir 40 tahun rakyat negeri ini dibelai dengan didikan supaya bergantung harap kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Jangan dikatakan golongan miskin seumpama petani dan nelayan, atau yang tidak berkemampuan seperti ibu tunggal, anak yatim, orang tua dan hilang upaya, golongan berkeupayaan seperti peniaga, kontraktor mahu pun usahawan pun ‘dimanjai’ dengan pelbagai bentuk bantuan dan subsidi.
Apa yang jelas, checking mechanism seolah-olah tidak wujud dalam pemeritahan dahulu. Kalau pun ia wujud, prosedur dan dasar dalam mengesahkan maklumat pemohon bantuan itu amatlah kabur dan bersahaja.
Kita pernah menyebutkan dalam ruangan ini bagaimana penyelewengan ketara telah berlaku dalam pengagihan bantuan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri ini.  Hal itu didedahkan sendiri oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya bagi tahun 1997 lalu. Antara lain laporan itu menyebutkan: “Hasil daripada lawatan ke beberapa buah kampung yang penduduk-penduduknya menerima bantuan di bawah PPRT, didapati program ini tidak dilaksanakan dengan teliti. Maklumat peribadi dan pendapatan pemohon tidak ditapis dan disahkan kesahihannya. Ia semata-mata bergantung kepada perakuan ketua kampung atau penghulu. Mekanisme tertentu bagi menapis ketepatan maklumat tidak diwujudkan oleh Pejabat Daerah berkenaan. Oleh sebab itu terdapat kejadian bantuan diberi kepada individu yang bukannya daripada golongan ‘rakyat termiskin’.
Fenomena yang sama didapati berlaku terhadap penerima bantuan JKM. Antaranya ialah apa yang didedahkan oleh Tuan Guru sendiri.
“Pernah berlaku kita ambil tindakan (pemutihan) terhadap mereka yang ada kebun getah dan kelapa sawit atau berniaga di man-mana tetapi masih mendapat bantuan. Itu tidak patut kerana mereka ada alat untuk bekerja. Itu kita kena betulkan”, katanya.
Penelitian semula ke atas senarai penerima bantuan zakat tahunan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dua tahun lalu juga turut menemukan kita dengan fenomena yang serupa.
Pernah terdapat di dalam senarai berkenaan orang-orang yang diketahui umum sebagai ‘berkemampuan’. Antara mereka ada yang memiliki bot laut, ada yang mampu membeli kereta dan tidak kurang juga yang mempunyai sebilangan anak yang bekerja makan gaji. Bukan senang berhadapan dengan karenah mereka apabila nama mereka digugurkan daripada senarai penerima bantuan.
Agak sukar untuk dinafikan bahawa ‘kesilapan’ ini berlaku disebabkan tindakan ‘tangan-tangan politik’ pemerintahan lalu. Bukti terbaru ialah bagaimana tabiat serupa turut mewarnai pengagihan ‘duit raya’ baru-baru ini.
Bantuan diberikan kononnya atas nama membantu golongan miskin untuk menghadapi Idul Fitri. Malangnya, kita diberitahu bahawa mereka yang datang untuk menerima ‘duit raya’ itu ada yang memiliki kereta dan bekerja makan gaji.
Akhirnya ‘duit raya’ itu digunakan bukan untuk membeli baju raya anak-anak, tetapi untuk menukar aksesori kereta dan perabot rumah.
Mungkin di kalangan mereka beranggapan “ikut suka aku duit aku”. Tetapi mereka juga perlu ingat bahawa selagi mereka bergelar ‘rakyat Terengganu’ maka selagi itulah kerajaan negeri tidak terlepas tanggungjawab memperbetulkan kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi membebaskan mereka dari tabiat ‘tidak bermaruah’ sebegitu!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 39, 22 Januari 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Tuesday, January 8, 2002

Menjana generasi ‘celik Inggeris’

Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG teman karib yang juga guru Bahasa Inggeris merungut mengenai pencapaian buruk para pelajarnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2001 yang baru diumumkan keputusannya bulan lalu. Bahkan, menurut beliau, negeri Terengganu terletak di tangga tercorot berbanding pencapaian negeri-negeri lain seluruh negara dalam mata pelajaran berkenaan. Namun ianya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan mengambilkira keputusan di tahun-tahun atau dekad-dekad yang sudah-sudah.
Cikgu itu menyebut tiga sebab utama mengapa para pelajar di negeri ini begitu lemah penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Pertama, kekurangan yang amat ketara guru mata pelajaran berkenaan (di seluruh negeri).
Bahkan, sebilangan daripada guru Bahasa Inggeris yang ada kini pun dikatakan asalnya bukan daripada mereka yang mengambil ‘option’ Bahasa Inggeris. Mereka sebaliknya ‘dipaksa’ oleh keadaan untuk bertukar ‘option’ daripada berbagai mata pelajaran pengkhususan asal. Sudah tentu guru-guru itu tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka tidak berupaya mengajarkan mutu berbahasa Inggeris yang terbaik.
Sebab kedua, menurut cikgu itu, ialah suasana kehidupan seharian masyarakat negeri ini yang kurang kondusif dan tidak konstruktif terhadap penggunaan Bahasa Inggeris. Kita pun akui hakikat bahawa tidak banyak ruang di negeri ini yang memungkinkan para pelajarnya mempraktikkan penggunaan bahasa itu dalam interaksi harian mereka.
Manakala sebab ketiga, dan yang dianggap paling mendukacitakan, ialah sikap para pelajar itu sendiri yang kurang berminat memahirkan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris.
Sehinggakan sewaktu mata pelajaran Bahasa Inggeris diajarkan pun, mereka masih berdegil untuk menggunakan Bahasa Melayu. Kalau pun ada antara mereka yang memaksa diri bercakap Bahasa Inggeris, pelat sebutan Inggeris itu terlalu pekat ke-Terengganu-annya. Kata budak-budak, “bau budunya tak hilang”.
Fenomena yang disebutkan itu bukanlah suatu perkara baru. Ia mengingatkan kita kepada suatu peristiwa hampir 20 tahun lalu, sewaktu kita masih di kampus. Suatu hari seorang rakan sekampus yang juga dari Terengganu bercerita panjang lebar mengenai kehebatan aksi dalam sebuah filem yang baru ditontonnya.
Apabila kami bertanya apakah tajuk filem tersebut, ia menjawab dalam pelat Terengganu yang pekat, ‘A Meng Wih Degodegang’. Setelah dihalusi, barulah kami dapat menangkap rupa-rupanya yang dimaksudkannya ialah sebuah filem penyiasatan James Bond yang sedang popular waktu itu, iaitu ‘A Man With The Golden Gun’.
Kenangan manis itu mungkin hanyalah suatu kes yang terpencil dan tidak wajar digeneralisasikan atas kelemahan yang melanda para pelajar negeri ini sekarang. Namun, kalaulah seorang siswa yang hidup dalam suasana persekitaran yang sangat kondusif dan konstruktif terhadap penggunaan Bahasa Inggeris itu pun masih tidak berupaya menguasainya dengan baik, maka apalah yang dapat diharapkan daripada para pelajar kampungan di serata ceruk negeri ini?
Ditinjau dari segi sejarah, Bahasa Inggeris sebenarnya bukanlah suatu bahasa yang terlalu asing bagi masyarakat negeri ini. Sebab itu kita dapati begitu banyak perkataan Inggeris yang telah sekian lama di-Terengganu-kan sebutannya dan sering pula dipertuturkan dalam masyarakat.  Misalnya, orang-orang tua kita memanggil guru atau cikgu sebagai ‘mastar’ yang diadaptasikan sebutannya dari perkataan ‘master’ dalam Bahasa Ingggeris.
Mereka juga menyebut ‘ajening’ untuk jurutera (dari perkataan ‘engineer’), ‘sabeyar’ untuk juruukur (surveyor), ‘sapbosiar’ untuk penyelia (supervisor), dan ‘polehpoh’ untuk Polis Hutan (Field Force).
Begitu juga dengan sebutan ‘merkit’ untuk pasar (market), ‘pasenjeng’ untuk penumpang (passenger), ‘sakar’ untuk gula (sugar), ‘segerik’ untuk rokok (cigarette) dan puluhan lagi istilah yang tiada upaya dicatat kesemuanya di sini.
Namun setakat ini hakikat sejarah itu terbukti tidak banyak memberikan kelebihan kepada para pelajar kita untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Mungkin ada benarnya apa yang diluahkan oleh cikgu tadi bahawa sikap para pelajar itu sendiri merupakan batu penghalang utama penguasaan mereka dalam bahasa itu.
Mereka tahu bahawa dunia era globalisasi dan teknologi maklumat (IT) kini tidak menjanjikan pekerjaan yang selesa untuk seseorang warga yang ‘buta Inggeris’. Kerana paling kurang pun mereka perlu celik IT dan celik computer.
Sedangkan bahasa komputer sedunia adalah Bahasa Inggeris. Malangnya mereka tetap endah tak endah untuk menguasai Bahasa Inggeris.
Barangkali ada baiknya minat untuk menguasai Bahasa Inggeris ini disemai sedari peringkat umur prasekolah lagi. Sebab itu barangkali sudah ada prasekolah berorientasikan Islam yang turut mengajarkan asas-asas pemahaman Bahasa Inggeris kepada muridnya.
Begitu juga kita diberitahu sudah ada sekolah menengah Islam di negeri ini yang menghantar para pelajar lepasannya ke kolej Islam di sebuah negara Eropah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantarnya.
Kita mengharapkan generasi inilah yang bakal menjana generasi ‘celik Inggeris’ di negeri ini.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil 38: 8 Jan 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)