Friday, September 22, 2000

Merealisasikan Agenda Memartabatkan Bangsa Bertaqwa

Oleh: Mohd. Nasir Awang

Dalam beberapa minggu mutakhir ini, boleh dikatakan semua sekolah rendah di seluruh negara menumpukan perhatian masing-masing terhadap persiapan terakhir menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan ujian aptitud Penilaian Tahap Satu (PTS) yang telah pun berakhir.

Sehubungan itu, pelbagai aturcara disediakan oleh pihak sekolah. Guru Besar, Guru-Guru Penyelia UPSR dan PTS nampaknya menjadi orang yang paling sibuk memperlengkapkan setiap anak murid mereka yang menjadi calon kedua-dua ujian berprestij itu.

Di sebilangan sekolah, pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) turut memainkan peranan proaktif, terutama dalam mengaturcara program-program yang membabitkan ibu bapa. Seluruh warga sekolah, termasuk ibu bapa dan penjaga dilibatkan dalam berbagai-bagai program ke arah mencapai matlamat bersama, iaitu kejayaan cemerlang para pelajar dalam peperiksaan mereka.

Ada yang dinamakan ‘Bulan Gempur UPSR/PTS 2000’. Ada pula sekolah yang mengistilahkannya ’Program Intensif’, ’Persediaan Rapi’dan berbagai-bagai lagi nama yang digunakan.

Di dalam program tersebut, biasanya para pelajar disajikan dengan sessi kelas tambahan di sebelah petang. Bahkan, ada juga yang melanjutkannya hingga ke sebelah malam. Mereka juga sering diberikan ujian-ujian bertulis bagi menentukan tahap pencapaian semasa masing-masing.

Para ibu bapa pula turut didorong memainkan peranan mereka dalam mencapai hasrat melihat kecemerlangan anak-anak mereka. Sessi Penerangan jadual pembelajaran anak-anak dan sessi motivasi keibubapaan turut diadakan.

Kemuncak kepada semua aturcara itu ialah sessi solat hajat, malah sesetengah sekolah turut menganjurkan majlis bacaan Yaasin. Tujuannya tiada lain, iaitu memohon kepada Allah s.w.t. agar dipermudahkan pemahaman anak-anak dalam pelajaran mereka, agar ditambahkan ilmu kepada anak-anak dan agar diterangkan hati mereka dapat menjawab segala soalan peperiksaan dengan baik.

Hasil yang diharapkan oleh kedua-dua pihak, iaitu sekolah dan juga keluarga ialah anak-anak tadi memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sekolah akan mendapat nama dan ibu bapa juga akan tersenyum bangga.

Sememangnya pihak sekolah dan juga ibu bapa kini rata-rata bersifat lebih kompetitif.  Sekolah yang kurang cemerlang tahun sebelumnya berasa tercabar untuk meningkatkan prestasi pencapaian.

Sekolah yang berprestasi sederhana berusaha mempertingkatkannya. Manakala sekolah yang sudah mencapai tahap kecemerlangan akan lebih tercabar untuk mempertahankan prestij mereka.

Para ibu bapa juga turut menjadi kompetitif. Masing-masing tidak mahu pencapaian akademik anak-anak mereka ’kalah’ kepada anak-anak rakan setugas, jiran-jiran, kaum keluarga mahupun kenalan.

Dalam mengejar impian itulah, kita kekadang terlupa, bahawa yang menjadi mangsa keegoan ibu bapa ialah anak-anak. Mereka didesak belajar sebanyak mungkin sejak dari dunia pra sekolah mereka lagi. Tekanan untuk melihat anak-anak mencapai kejayaan cemerlang seolah-olah melupakan sesetengah ibu bapa terhadap aspek moral dan akhlak anak-anak.

Seorang pakar motivasi dari Kelantan, Haji Nik Muhamad Nik Lib dalam salah satu sessi motivasinya di Besut beberapa minggu lalu mengklasifikasikan pelajar masa kini  kepada empat kategori pencapaian.

Pertama, cemerlang akademik dan bertaqwa pula. Kategori kedua, sederhana akademik tetapi bertaqwa. Ketiga, ialah kumpulan pelajar yang cemerlang akademik, tetapi tidak bertaqwa. Manakala kategori keempat ialah teruk pencapaian akademik dan buruk pula akhlak dan imannya.

Tidak dinafikan sebagai ibu bapa, setiap kita sangat mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak. Pun begitu, tidak semua berpeluang menempatkan anak-anak kita dalam kategori pertama yang ’par-excellence’ dalam akademik dan juga hidup beragama mereka.

Manakala menjadi jumhur para ibu bapa pula untuk mengelak seribu daya agar anak-anak mereka tidak termasuk dalam  golongan keempat, yang bakal menjadi ’sampah masyarakat’.

Secara realistiknya, majoriti anak-anak kita tergolong sama ada dalam kategori kedua atau ketiga. Namun, dengan kecenderungan masyarakat yang ada kini, kelebihan nampaknya memihak kepada kategori ketiga.

Penekanan dilihat lebih banyak diberikan ke atas anak-anak untuk ’excel’ dalam pelajaran, berbanding aspek moral dan akhlak mereka.

Sebab itu, para pelajar sebagai ’produk pendidikan’ moden ini menjadi sektor masyarakat yang paling bermasalah. Kecemerlangan akademik dan juga kemahiran teknikal atau vokasional yang mereka perolehi hasil pembelajaran mereka, nampaknya telah disalahgunakan.

Kita pernah disuakan dengan kes-kes jenayah kolar putih seperti penyelewengan wang syarikat, rasuah, penipuan, dan sebagainya. Ia bukan dilakukan orang awam kelas bawahan, tetapi melibatkan mereka yang berjawatan yang biasanya dari golongan berpendidikan tinggi, tetapi tidak beretika, tidak bermoral dan tidak ada rasa taqwa kepada Allah s.w.t.

Kes-kes kecurian motosikal dan aksesori kereta juga semakin banyak dilaporkan berlaku. Amat mengecewakan apabila kita diberitahu bahawa sebahagian besarnya  melibatkan golongan remaja atau pelajar sekolah.

Percambahan pusat giat, institusi teknikal, politeknik dan sekolah vokasional rupanya menyediakan kemahiran baru bagi remaja yang rosak akhlak itu. Mereka mahir menghidupkan enjin motosikal tanpa memerlukan suis, mereka tidak memerlukan pomen untuk modified motosikal bagi kegunaan ’lumba haram’, mereka berkepandaian mematikan sistem penggera (alarm) kereta sehingga membolehkan mereka mencuri apa sahaja yang mereka mahu dari dalam kereta.

Mereka itu mungkin bukan anak-anak kita. Tetapi kemungkinan besar mereka itulah rakan-rakan sekolah anak-anak kita. Kita pernah membaca Yaasin, bersolat hajat dan berdoa kepada Allah s.w.t. untuk kejayaan akademik anak-anak kita, termasuk juga rakan-rakan mereka itu.

Sedangkan, kita seakan-akan terlupa untuk ’menyelitkan’ sama doa agar anak-anak itu dipelihara iman dan taqwa mereka. Kita terlupa memberi penekanan soal akhlak dan moral, soal solat dan ibadat mereka, soal halal dan haram dalam kehidupan, soal suruhan dan larangan Tuhan yang wajib mereka patuhi.

Akhirnya mereka membesar sebagai makhluk yang tidak ’kenal’ Tuhan, tidak tahu erti iman dan taqwa, tidak mematuhi suruhan dan larangan agama serta tidak takut kepada Allah s.w.t.

Apabila iman dan taqwa kepada Allah s.w.t. sudah tidak lekat di hati mereka, maka amat ’nipis’ bagi mereka segala peraturan yang ada di muka bumi ini. Logiknya, kalaulah Zat semulia, sekuat, sebesar, dan seagung Allah Ta’ala pun mereka tidak rasa gerun, apalah sangat dengan tegahan ibu bapa, peduli apa dengan larangan polis, hairan apa dengan tindakan disiplin guru-guru, peduli apa dengan pandangan serong masyarakat?

Kecenderungan ini semestinya  jangan dibiarkan, kerana kerajaan kita ada agenda ’memartabatkan satu bangsa yang bertaqwa’.

Kita sedang berusaha ’mengembalikan Islam sebagai Ad-Deen’. Agenda ini bukan sahaja membutuhi perancangan rapi Kerajaan Negeri, malah juga menuntut komitmen pihak sekolah dan kita semua sebagai ibu bapa kepada ’produk pendidikan’ yang sedang kita hasilkan itu.

(Artikel ini adalah yang pertama disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 08, 22 September 2000 dengan tajuk sama)